Sistem ekonomi dunia kini digerakkan oleh amalan riba, tanpa riba ekonomi sesebuah negara kini tak akan dapat berkembang maju. Dengan memaksa pengguna yang tiada pilihan lain lagi cara untuk terus maju terpaksa membayar riba yang dikenakan ke atas pinjaman mereka dan pihak peminjam akan berterusan memperoleh laba yang besar dari urusniaga ini.
Kenapa kita menyimpan wang di bank? Kerana kita percaya bank adalah satu-satunya institusi yang selamat untuk menyimpan wang. Tetapi kita tidak menyedari bahawa apabila berjuta orang menyimpan wang di bank ia menjadi satu modal kepada pihak bank membuat bisnes. Dengan menggunakan wang penyimpan, pihak bank mengambil peluang ini untuk menawarkan pinjaman kepada mereka yang memerlukan untuk sebarang keperluan. Tetapi pinjaman itu perlu dibayar kembali dengan "bunga" nya sekali untuk sesuatu tempoh pembayaran balik.
Dengan memiliki wang simpanan dari pemegang akaun yang berjumlah berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit, pihak bank mampu membuat bisnes pinjaman riba dan macam-macam lagi bentuk bisnes berbentuk pinjaman ini seperti skim insuran dan kad kredit bagi mendapatkan keuntungan berganda bahkan sesiapa yang hendak memulakan bisnes boleh membuat pinjaman bank kerana bank sedia menawarkan pinjaman dari wang simpanan pemegang akaunnya asalkan sanggup membayar balik dengan "bunga" nya sekali. Bagi mereka yang pandai berbisnes dan mempunyai pengaruh serta keupayaan untuk mengembangkan bisnes tidaklah menjadi masalah untuk membayar pinjaman riba tersebut kerana mereka dapat menghasilkan keuntungan yang lebih lumayan dari perniagaannya kelak dan tidak rugi sedikitpun walaupun terpaksa membayar riba pinjaman bank.
Sesebuah perniagaan yang membuat pinjaman riba tentunya akan menggantikan bayaran riba itu dengan mengenakan bayaran yang lebih melalui harga barang yang mereka tawarkan. Bahkan jika peniaga ingin mendapat untung lebih maka mereka akan menawarkan harga yang melampau kepada pengguna dengan pelbagai alasan seperti kos pengangkutan semakin mahal. Sedangkan, ialah adalah akibat daripada kesan ketidaktentuan ekonomi pasaran terbuka dan kemungkinan kadar faedah bank akan meningkat bagi menampung kerugian bank serta nilai matawang ringgit yang semakin jatuh lantaran bersandarkan pada nilai dolar amerika yang kini semakin merosot. Jadi, kenaikan harga barangan di pasaran adalah saling berkaitan dengan amalan riba yang diamalkan dalam sektor kewangan dan perbankan.
Jika nilai ringgit jatuh kerana kemerosotan ekonomi dunia lantaran kegagalan pembayar hutang membayar pinjaman riba tersebut maka urusniaga riba akan terjejas kerana tiada suntikan baru bagi mewujudkan kitaran semula amalan riba dalam pinjaman untuk pelaburan modal bagi perniagaan pihak yang memerlukan. Jadi, ini akan menjejaskan keuntungan bank menyebabkan kadar faedah bayaran balik pinjaman dinilai semula untuk dinaikkan supaya mereka yang patuh dan akur membayar balik pinjaman riba ini dapat menampung kerugian ini walaupun mungkin tak banyak membantu. Yang menjadi mangsa adalah peminjam dan penyimpan wang ringgit di bank dan pengguna yang membeli barangan keperluan di pasaran.
Inilah akibatkan kerana terlalu mengikut sistem pasaran kewangan riba, yang mengambil kesempatan ke atas orang yang susah dan sangat memerlukan kewangan bagi memajukan diri. Belum pasti peminjam terpaksa ini dapat maju dan memperoleh untung jika terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan, mereka terpaksa membayar bunga pinjaman untuk beberapa tahun dan belum mendapat apa-apa keuntungan. Jika tidak mampu membayar, dikenakan tindakan undang-undang oleh bank atau perlu diisytiharkan muflis oleh mahkamah supaya bank tidak menuntut bayaran balik atau menawarkan apa-apa lagi pinjaman kepadanya.
Bagi yang hendak melanjutkan pelajaran dengan pinjaman pendidikan pula, kalau lulus cemerlang maka dapatlah pekerjaan yang bergaji lumayan. Dengan gaji yang lebih setelah tolak hutang pinjaman riba pendidikan, bagi yang tidak kuat imannya akan menambah lagi hutangnya untuk mendapatkan pinjaman riba membeli kereta, mendapatkan kad kredit dan sebagainya. Membeli pula barangan keperluan di pasaran yang semakin hari semakin mahal kerana tekanan riba sistem kewangan dan perbankan, peniaga terpaksa naikkan harga barang dan ambil kesempatan ini untuk dapat untung lebih. Manakala bagi pelajar yang sekadar lulus cukup makan atau terus gagal setelah keluar universiti, maka hutang tetap hutang mesti dibayar juga dengan "bunga"nya sekali. Kalau dia tak mampu bayar maka ahli keluarganya perlu membantunya untuk membayar balik.
Lihatlah, betapa rakusnya sistem ekonomi riba ini. Ia tidak membantu sesiapa pun untuk maju sebaliknya mengambil kesempatan dari kesusahan orang lain. Ia tidak ambil peduli sama ada mampu atau tidak, itu peminjam punya hal siapa suruh tak bijak mengurus kewangan dan perniagaan, yang penting bagi bank/koperasi/along pinjaman kena bayar balik dengan "bunga" nya sekali. Kalau seseorang itu tak dapat bayar, ahli keluarganya kena tanggung. Itulah hakikat yang jelas nyata nampak di mata, dengar di telinga menerusi media-media massa.
Terdapat suara-suara yang mencadangkan agar sistem zakat diperkasakan, begitu juga sistem wakaf perlu diperluaskan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dapat bermula dengan baik tanpa dibebani hutang yang berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Tentunya ada pihak yang rasa bimbang dengan perkembangan ini kerana ia boleh menggugat bisnes mereka yang selama ini memerah tenaga orang susah dan menyedut wang ringgit orang yang cukup-cukup makan.
Jika nanti sistem zakat dan wakaf ini berjaya, tentunya ramai akan lahir usahawan-usahawan baru yang mantap kerana dapat menumpukan perniagaan mereka tanpa perlu memikirkan hutang, mereka diberi nasihat dengan sebaiknya bahawa bantuan zakat kepada mereka tidak patut dipersiakan dan mereka perlu mengembalikan ia semula kepada orang lain yang juga memerlukannya. Setiap keuntungan dan hasil dari usaha mereka itu perlu dibayar zakat bagi membolehkan orang lain pula dibantu untuk mencapai kejayaan yang diimpikan. Pelajar keluaran universiti pula banyak cemerlang dan berkeupayaan kerana kebanyakan mereka adalah dari kalangan orang yang susah tetapi ingin berjaya dan dibantu lagi untuk lebih berjaya melalui sistem zakat dan wakaf.
Jadi, sistem zakat adalah satu kitaran yang mana mereka yang telah berjaya hasil daripada bantuan wang zakat mesti membayar zakat bagi membantu mereka yang belum berjaya dan ingin mencapai kejayaan. Begitu juga sistem wakaf dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan menggunakan perkhidmatan yang berkualiti walaupun tidak percuma sekurang-kurangnya membayar pada kadar yang termampu, itu pun adalah untuk membayar gaji pekerjanya bukan barangan yang disediakan. Sebagai contoh hotel wakaf yang dibina menggunakan wang wakaf umat Islam, segala peralatan dibeli menggunakan wang yang diwakafkan di atas tanah yang diwakafkan. Pelanggan hanya perlu membayar pada kadar tertentu saja untuk perkhidmatan pekerja di hotel tersebut kerana segala kos peralatan yang disediakan disitu adalah daripada wang wakaf.
Yang membayar kos pembinaan dan peralatan hotel tersebut ialah umat Islam sendiri, jika 1 juta umat Islam di Malaysia mewakafkan RM10 untuk membina sebuah hotel wakaf maka terkumpullah RM10 juta untuk membina hotel tersebut. Jika setiap hari ada 100 ribu umat Islam Malaysia membayar RM1 maka terkumpullah RM100 ribu bagi membeli kelengkapan dan membayar segala bil elektrik, air dan kemudahan lain untuk penginap di hotel tersebut. Sebagai umat Islam tentunya kita percaya kepada pahala dan dosa, setiap perkara baik akan dibalas dengan pahala yang menjadi bekalan untuk akhirat.
Jika kita sumbangkan RM10 sekali dan RM30 sebulan untuk wakaf hotel tersebut misalnya ia akan memberi kebaikan kepada musafir-musafir di kota-kota besar yang mencari rezeki atau mengunjungi sanak saudara tetapi tiada tempat untuk singgah sementara. Tentunya hotel wakaf tidak menawarkan khidmat yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti menjadi tempat untuk berpesta minum arak atau perkara maksiat. Terdapat banyak perkara yang perlu dipatuhi jika ingin mendapatkan kos penginapan dan perkhidmatan yang murah di hotel wakaf, kerana ia tidak memperoleh keuntungan dari pelanggan hotel tetapi daripada 100 ribu umat Islam yang membayar RM1 sehari, kalau sebulan sudah untung RM3 juta dan keuntungan ini perlu diperkembangkan lagi dengan membina lebih banyak hotel wakaf di seluruh negara. Selagi hotel ini memberi kebaikan kepada orang lain dan pada hotel ini kita ada bahagian dari wakafnya selagi itulah kita akan berterusan menerima pahala. Setiap kebaikan walau sebesar zarah atom sekalipun tetap akan dikira.
Banyak lagi perkhidmatan dan kemudahan yang boleh diwakafkan bagi manfaat umat Islam. Sememangnya sistem zakat dan wakaf ini perlu dilihat semula sebagai salah satu cara yang boleh memajukan umat Islam dan melahirkan lebih ramai orang Islam yang berjaya dalam bidang masing-masing dan memberi sumbangan bukan saja dalam aspek buah fikiran atau idea yang bernas dan praktikal yang akhirnya mampu diusahakan tetapi lebih dari itu orang Islam yang berjaya ini mampu membayar zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat harta, zakat hasil pertanian, zakat barang kemas dan juga mewakafkan sebahagian dari harta dan wang ringgit mereka bagi kemudahan mereka yang kurang berkemampuan membayar lebih. Selain hotel, perkhidmatan perubatan dan hospital juga boleh diwakafkan, perkhidmatan pengangkutan seperti pesawat penerbangan juga boleh ditawarkan.
Segala usaha ini perlu dilakukan oleh orang Islam sendiri tanpa perlu bergantung harap kepada kerajaan semata-mata dan ia harus dimulai oleh sekumpulan individu yang berani menghadapi cabaran, berkemampuan sebagai seorang pemimpin, beramanah serta beretika tinggi. Sebagaimana sistem ekonomi kapitalis yang menetapkan bahawa biar kuasa pasaran yang menentukan jatuh bangunnya sesuatu perniagaan dan industri tanpa campurtangan pihak berkuasa, begitu jugalah dalam sistem ekonomi berteraskan zakat dan wakaf ini biar umat Islam sendiri yang tentukan jatuh bangunnya kemajuan orang Islam. Tapi yang nyata dengan sistem yang menggalakkan umat Islam saling bantu membantu walaupun hanya sumbangan RM1 sahaja adalah tidak mustahil sistem ini akan berjaya memajukan ekonomi umat Islam di Malaysia secara menyeluruh dan tidak hanya menguntung seorang dua sahaja yang berada di puncak tingkat pengurusannya.
Jika kita berjaya menubuhkan Lembaga Tabung Haji yang telah banyak membantu umat Islam di Malaysia menunaikan haji dengan pakej yang lengkap mengapa kita tidak boleh menubuhkan satu badan zakat yang ulung dan cemerlang serta badan wakaf yang mampu mengendali dan menguruskan wang zakat serta wakaf dengan baik dan beramanah demi kebaikan umat Islam di Malaysia khususnya dan umat Islam serantau serta dunia amnya. Ia boleh diusahakan secara berperingkat-peringkat kerana pastinya ia akan maju setapak demi setapak dan mampu berkembang dengan pesat sekali hasil dari kesedaran umat Islam akan kepentingan wang zakat dan wang yang diwakafkan.
Selasa, 7 Oktober 2008
Sistem Ekonomi Riba
Malapetaka Riba
Amalan riba kini kian berleluasa, biarpun ada yang berwajah baru dengan memperkenalkan cara yang lebih Islamik namun si peminjam masih juga perlu membayar pada kadar yang lebih tinggi dari nilai harta yang dipinjam atau dibeli menerusi bank (iaitu pihak bank membeli dahulu mengikut harga semasa dan mereka menjual pula kepada pelanggan pada harga yang lebih tinggi setelah mengambilkira kos dan perkhidmatan lain-lain). Sedangkan dalam tempoh pembayaran itu harta yang dibeli misalnya kereta telah mengalami susut nilai sementara nilai wang ringgit pula semakin jatuh dengan kadar peningkatan kos sara hidup harian yang semakin tinggi.
Amalan riba kini bukan saja diamalkan oleh bank sahaja, bahkan pihak-pihak tertentu seperti Along, Koperasi dan individu juga mengamalkannya. Jika institusi berlesen mengenakan tindakan undang-undang mahkamah kepada peminjam yang gagal membuat pembayaran, institusi tak berlesen pula mengenakan tindakan sendiri dengan mengugut, mengancam nyawa ahli keluarga dan pelbagai lagi tindakan tidak berperikemanusiaan. Mereka sanggup bertindak diluar batasan semata-mata hendak mendapatkan lebih keuntungan sekiranya hutang mereka tidak dilunaskan peminjam.
Walau bagaimanapun, inilah dilema yang terpaksa ditanggung oleh pengguna bukan saja di Malaysia bahkan dimana-mana saja yang ingin mengubah cara hidup mereka agar menjadi lebih baik terpaksa membuat pinjaman bank bukan sahaja untuk memperoleh wang segera atau ingin memiliki rumah dan kereta, tetapi untuk mendapatkan modal bagi menceburi bidang perniagaan juga kita sebagai pengguna terpaksa melalui sistem riba ini. Perkara ini tidak boleh dielakkan namun kita harus berhati-hati supaya jangan sampai sistem riba ini merosakkan kehidupan dan masa depan kita.
Bayangkan dengan kemudahan pinjaman riba ini, begitu senang sekali terutama bagi mereka yang mempunyai pekerjaan tetap ditawarkan oleh pihak bank dengan pelbagai skim pinjaman riba, skim pinjaman dalam bentuk kad kredit, skim pinjaman kenderaan dan pelbagai lagi yang boleh menarik perhatian nafsu sesiapa sahaja yang ingin hidup senang dan kelihatan mewah. Namun, ada juga antara skim-skim pinjaman tersebut walaupun berbentuk riba memberikan pulangan kepada peminjam dalam jangka masa panjang misalnya pinjaman perumahan dan pinjaman skim pelaburan saham amanah.
Terpulanglah kepada kita untuk menilai dan memilih mana yang terbaik. Sebarang pilihan hendaknya tidak membebankan kita kerana kini ada diantara pihak bank yang cuba menawarkan bentuk pinjaman tanpa perlu melalui majikan menerusi kad kredit pihak tertentu yang berkerjasama dengan bank tersebut, supaya dengan itu mereka boleh terus mendapat keuntungan yang lebih banyak tanpa terikat dengan mana-mana peraturan yang menghadkan pekerja terus membuat pinjaman setelah melebihi had yang telah ditetapkan.
Riba dalam sistem perbankan/koperasi/along/individu kini wujud dalam bentuk berikut :
- dalam skim pinjaman kewangan Peribadi
- dalam skim pinjaman untuk pendidikan
- dalam skim pinjaman kenderaan
- dalam skim pinjaman perumahan
- dalam skim pinjaman pelaburan
- dalam skim pinjaman untuk perniagaan
- dalam skim insuran
Fikir-fikirkanlah...