Custom Search

Reviews Directory

Selasa, 7 Oktober 2008

Sistem Ekonomi Riba

Sistem ekonomi dunia kini digerakkan oleh amalan riba, tanpa riba ekonomi sesebuah negara kini tak akan dapat berkembang maju. Dengan memaksa pengguna yang tiada pilihan lain lagi cara untuk terus maju terpaksa membayar riba yang dikenakan ke atas pinjaman mereka dan pihak peminjam akan berterusan memperoleh laba yang besar dari urusniaga ini.

Kenapa kita menyimpan wang di bank? Kerana kita percaya bank adalah satu-satunya institusi yang selamat untuk menyimpan wang. Tetapi kita tidak menyedari bahawa apabila berjuta orang menyimpan wang di bank ia menjadi satu modal kepada pihak bank membuat bisnes. Dengan menggunakan wang penyimpan, pihak bank mengambil peluang ini untuk menawarkan pinjaman kepada mereka yang memerlukan untuk sebarang keperluan. Tetapi pinjaman itu perlu dibayar kembali dengan "bunga" nya sekali untuk sesuatu tempoh pembayaran balik.

Dengan memiliki wang simpanan dari pemegang akaun yang berjumlah berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit, pihak bank mampu membuat bisnes pinjaman riba dan macam-macam lagi bentuk bisnes berbentuk pinjaman ini seperti skim insuran dan kad kredit bagi mendapatkan keuntungan berganda bahkan sesiapa yang hendak memulakan bisnes boleh membuat pinjaman bank kerana bank sedia menawarkan pinjaman dari wang simpanan pemegang akaunnya asalkan sanggup membayar balik dengan "bunga" nya sekali. Bagi mereka yang pandai berbisnes dan mempunyai pengaruh serta keupayaan untuk mengembangkan bisnes tidaklah menjadi masalah untuk membayar pinjaman riba tersebut kerana mereka dapat menghasilkan keuntungan yang lebih lumayan dari perniagaannya kelak dan tidak rugi sedikitpun walaupun terpaksa membayar riba pinjaman bank.

Sesebuah perniagaan yang membuat pinjaman riba tentunya akan menggantikan bayaran riba itu dengan mengenakan bayaran yang lebih melalui harga barang yang mereka tawarkan. Bahkan jika peniaga ingin mendapat untung lebih maka mereka akan menawarkan harga yang melampau kepada pengguna dengan pelbagai alasan seperti kos pengangkutan semakin mahal. Sedangkan, ialah adalah akibat daripada kesan ketidaktentuan ekonomi pasaran terbuka dan kemungkinan kadar faedah bank akan meningkat bagi menampung kerugian bank serta nilai matawang ringgit yang semakin jatuh lantaran bersandarkan pada nilai dolar amerika yang kini semakin merosot. Jadi, kenaikan harga barangan di pasaran adalah saling berkaitan dengan amalan riba yang diamalkan dalam sektor kewangan dan perbankan.

Jika nilai ringgit jatuh kerana kemerosotan ekonomi dunia lantaran kegagalan pembayar hutang membayar pinjaman riba tersebut maka urusniaga riba akan terjejas kerana tiada suntikan baru bagi mewujudkan kitaran semula amalan riba dalam pinjaman untuk pelaburan modal bagi perniagaan pihak yang memerlukan. Jadi, ini akan menjejaskan keuntungan bank menyebabkan kadar faedah bayaran balik pinjaman dinilai semula untuk dinaikkan supaya mereka yang patuh dan akur membayar balik pinjaman riba ini dapat menampung kerugian ini walaupun mungkin tak banyak membantu. Yang menjadi mangsa adalah peminjam dan penyimpan wang ringgit di bank dan pengguna yang membeli barangan keperluan di pasaran.

Inilah akibatkan kerana terlalu mengikut sistem pasaran kewangan riba, yang mengambil kesempatan ke atas orang yang susah dan sangat memerlukan kewangan bagi memajukan diri. Belum pasti peminjam terpaksa ini dapat maju dan memperoleh untung jika terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan, mereka terpaksa membayar bunga pinjaman untuk beberapa tahun dan belum mendapat apa-apa keuntungan. Jika tidak mampu membayar, dikenakan tindakan undang-undang oleh bank atau perlu diisytiharkan muflis oleh mahkamah supaya bank tidak menuntut bayaran balik atau menawarkan apa-apa lagi pinjaman kepadanya.

Bagi yang hendak melanjutkan pelajaran dengan pinjaman pendidikan pula, kalau lulus cemerlang maka dapatlah pekerjaan yang bergaji lumayan. Dengan gaji yang lebih setelah tolak hutang pinjaman riba pendidikan, bagi yang tidak kuat imannya akan menambah lagi hutangnya untuk mendapatkan pinjaman riba membeli kereta, mendapatkan kad kredit dan sebagainya. Membeli pula barangan keperluan di pasaran yang semakin hari semakin mahal kerana tekanan riba sistem kewangan dan perbankan, peniaga terpaksa naikkan harga barang dan ambil kesempatan ini untuk dapat untung lebih. Manakala bagi pelajar yang sekadar lulus cukup makan atau terus gagal setelah keluar universiti, maka hutang tetap hutang mesti dibayar juga dengan "bunga"nya sekali. Kalau dia tak mampu bayar maka ahli keluarganya perlu membantunya untuk membayar balik.

Lihatlah, betapa rakusnya sistem ekonomi riba ini. Ia tidak membantu sesiapa pun untuk maju sebaliknya mengambil kesempatan dari kesusahan orang lain. Ia tidak ambil peduli sama ada mampu atau tidak, itu peminjam punya hal siapa suruh tak bijak mengurus kewangan dan perniagaan, yang penting bagi bank/koperasi/along pinjaman kena bayar balik dengan "bunga" nya sekali. Kalau seseorang itu tak dapat bayar, ahli keluarganya kena tanggung. Itulah hakikat yang jelas nyata nampak di mata, dengar di telinga menerusi media-media massa.

Terdapat suara-suara yang mencadangkan agar sistem zakat diperkasakan, begitu juga sistem wakaf perlu diperluaskan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dapat bermula dengan baik tanpa dibebani hutang yang berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Tentunya ada pihak yang rasa bimbang dengan perkembangan ini kerana ia boleh menggugat bisnes mereka yang selama ini memerah tenaga orang susah dan menyedut wang ringgit orang yang cukup-cukup makan.

Jika nanti sistem zakat dan wakaf ini berjaya, tentunya ramai akan lahir usahawan-usahawan baru yang mantap kerana dapat menumpukan perniagaan mereka tanpa perlu memikirkan hutang, mereka diberi nasihat dengan sebaiknya bahawa bantuan zakat kepada mereka tidak patut dipersiakan dan mereka perlu mengembalikan ia semula kepada orang lain yang juga memerlukannya. Setiap keuntungan dan hasil dari usaha mereka itu perlu dibayar zakat bagi membolehkan orang lain pula dibantu untuk mencapai kejayaan yang diimpikan. Pelajar keluaran universiti pula banyak cemerlang dan berkeupayaan kerana kebanyakan mereka adalah dari kalangan orang yang susah tetapi ingin berjaya dan dibantu lagi untuk lebih berjaya melalui sistem zakat dan wakaf.

Jadi, sistem zakat adalah satu kitaran yang mana mereka yang telah berjaya hasil daripada bantuan wang zakat mesti membayar zakat bagi membantu mereka yang belum berjaya dan ingin mencapai kejayaan. Begitu juga sistem wakaf dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan menggunakan perkhidmatan yang berkualiti walaupun tidak percuma sekurang-kurangnya membayar pada kadar yang termampu, itu pun adalah untuk membayar gaji pekerjanya bukan barangan yang disediakan. Sebagai contoh hotel wakaf yang dibina menggunakan wang wakaf umat Islam, segala peralatan dibeli menggunakan wang yang diwakafkan di atas tanah yang diwakafkan. Pelanggan hanya perlu membayar pada kadar tertentu saja untuk perkhidmatan pekerja di hotel tersebut kerana segala kos peralatan yang disediakan disitu adalah daripada wang wakaf.

Yang membayar kos pembinaan dan peralatan hotel tersebut ialah umat Islam sendiri, jika 1 juta umat Islam di Malaysia mewakafkan RM10 untuk membina sebuah hotel wakaf maka terkumpullah RM10 juta untuk membina hotel tersebut. Jika setiap hari ada 100 ribu umat Islam Malaysia membayar RM1 maka terkumpullah RM100 ribu bagi membeli kelengkapan dan membayar segala bil elektrik, air dan kemudahan lain untuk penginap di hotel tersebut. Sebagai umat Islam tentunya kita percaya kepada pahala dan dosa, setiap perkara baik akan dibalas dengan pahala yang menjadi bekalan untuk akhirat.

Jika kita sumbangkan RM10 sekali dan RM30 sebulan untuk wakaf hotel tersebut misalnya ia akan memberi kebaikan kepada musafir-musafir di kota-kota besar yang mencari rezeki atau mengunjungi sanak saudara tetapi tiada tempat untuk singgah sementara. Tentunya hotel wakaf tidak menawarkan khidmat yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti menjadi tempat untuk berpesta minum arak atau perkara maksiat. Terdapat banyak perkara yang perlu dipatuhi jika ingin mendapatkan kos penginapan dan perkhidmatan yang murah di hotel wakaf, kerana ia tidak memperoleh keuntungan dari pelanggan hotel tetapi daripada 100 ribu umat Islam yang membayar RM1 sehari, kalau sebulan sudah untung RM3 juta dan keuntungan ini perlu diperkembangkan lagi dengan membina lebih banyak hotel wakaf di seluruh negara. Selagi hotel ini memberi kebaikan kepada orang lain dan pada hotel ini kita ada bahagian dari wakafnya selagi itulah kita akan berterusan menerima pahala. Setiap kebaikan walau sebesar zarah atom sekalipun tetap akan dikira.

Banyak lagi perkhidmatan dan kemudahan yang boleh diwakafkan bagi manfaat umat Islam. Sememangnya sistem zakat dan wakaf ini perlu dilihat semula sebagai salah satu cara yang boleh memajukan umat Islam dan melahirkan lebih ramai orang Islam yang berjaya dalam bidang masing-masing dan memberi sumbangan bukan saja dalam aspek buah fikiran atau idea yang bernas dan praktikal yang akhirnya mampu diusahakan tetapi lebih dari itu orang Islam yang berjaya ini mampu membayar zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat harta, zakat hasil pertanian, zakat barang kemas dan juga mewakafkan sebahagian dari harta dan wang ringgit mereka bagi kemudahan mereka yang kurang berkemampuan membayar lebih. Selain hotel, perkhidmatan perubatan dan hospital juga boleh diwakafkan, perkhidmatan pengangkutan seperti pesawat penerbangan juga boleh ditawarkan.

Segala usaha ini perlu dilakukan oleh orang Islam sendiri tanpa perlu bergantung harap kepada kerajaan semata-mata dan ia harus dimulai oleh sekumpulan individu yang berani menghadapi cabaran, berkemampuan sebagai seorang pemimpin, beramanah serta beretika tinggi. Sebagaimana sistem ekonomi kapitalis yang menetapkan bahawa biar kuasa pasaran yang menentukan jatuh bangunnya sesuatu perniagaan dan industri tanpa campurtangan pihak berkuasa, begitu jugalah dalam sistem ekonomi berteraskan zakat dan wakaf ini biar umat Islam sendiri yang tentukan jatuh bangunnya kemajuan orang Islam. Tapi yang nyata dengan sistem yang menggalakkan umat Islam saling bantu membantu walaupun hanya sumbangan RM1 sahaja adalah tidak mustahil sistem ini akan berjaya memajukan ekonomi umat Islam di Malaysia secara menyeluruh dan tidak hanya menguntung seorang dua sahaja yang berada di puncak tingkat pengurusannya.

Jika kita berjaya menubuhkan Lembaga Tabung Haji yang telah banyak membantu umat Islam di Malaysia menunaikan haji dengan pakej yang lengkap mengapa kita tidak boleh menubuhkan satu badan zakat yang ulung dan cemerlang serta badan wakaf yang mampu mengendali dan menguruskan wang zakat serta wakaf dengan baik dan beramanah demi kebaikan umat Islam di Malaysia khususnya dan umat Islam serantau serta dunia amnya. Ia boleh diusahakan secara berperingkat-peringkat kerana pastinya ia akan maju setapak demi setapak dan mampu berkembang dengan pesat sekali hasil dari kesedaran umat Islam akan kepentingan wang zakat dan wang yang diwakafkan.

Malapetaka Riba

Amalan riba kini kian berleluasa, biarpun ada yang berwajah baru dengan memperkenalkan cara yang lebih Islamik namun si peminjam masih juga perlu membayar pada kadar yang lebih tinggi dari nilai harta yang dipinjam atau dibeli menerusi bank (iaitu pihak bank membeli dahulu mengikut harga semasa dan mereka menjual pula kepada pelanggan pada harga yang lebih tinggi setelah mengambilkira kos dan perkhidmatan lain-lain). Sedangkan dalam tempoh pembayaran itu harta yang dibeli misalnya kereta telah mengalami susut nilai sementara nilai wang ringgit pula semakin jatuh dengan kadar peningkatan kos sara hidup harian yang semakin tinggi.

Amalan riba kini bukan saja diamalkan oleh bank sahaja, bahkan pihak-pihak tertentu seperti Along, Koperasi dan individu juga mengamalkannya. Jika institusi berlesen mengenakan tindakan undang-undang mahkamah kepada peminjam yang gagal membuat pembayaran, institusi tak berlesen pula mengenakan tindakan sendiri dengan mengugut, mengancam nyawa ahli keluarga dan pelbagai lagi tindakan tidak berperikemanusiaan. Mereka sanggup bertindak diluar batasan semata-mata hendak mendapatkan lebih keuntungan sekiranya hutang mereka tidak dilunaskan peminjam.

Walau bagaimanapun, inilah dilema yang terpaksa ditanggung oleh pengguna bukan saja di Malaysia bahkan dimana-mana saja yang ingin mengubah cara hidup mereka agar menjadi lebih baik terpaksa membuat pinjaman bank bukan sahaja untuk memperoleh wang segera atau ingin memiliki rumah dan kereta, tetapi untuk mendapatkan modal bagi menceburi bidang perniagaan juga kita sebagai pengguna terpaksa melalui sistem riba ini. Perkara ini tidak boleh dielakkan namun kita harus berhati-hati supaya jangan sampai sistem riba ini merosakkan kehidupan dan masa depan kita.

Bayangkan dengan kemudahan pinjaman riba ini, begitu senang sekali terutama bagi mereka yang mempunyai pekerjaan tetap ditawarkan oleh pihak bank dengan pelbagai skim pinjaman riba, skim pinjaman dalam bentuk kad kredit, skim pinjaman kenderaan dan pelbagai lagi yang boleh menarik perhatian nafsu sesiapa sahaja yang ingin hidup senang dan kelihatan mewah. Namun, ada juga antara skim-skim pinjaman tersebut walaupun berbentuk riba memberikan pulangan kepada peminjam dalam jangka masa panjang misalnya pinjaman perumahan dan pinjaman skim pelaburan saham amanah.

Terpulanglah kepada kita untuk menilai dan memilih mana yang terbaik. Sebarang pilihan hendaknya tidak membebankan kita kerana kini ada diantara pihak bank yang cuba menawarkan bentuk pinjaman tanpa perlu melalui majikan menerusi kad kredit pihak tertentu yang berkerjasama dengan bank tersebut, supaya dengan itu mereka boleh terus mendapat keuntungan yang lebih banyak tanpa terikat dengan mana-mana peraturan yang menghadkan pekerja terus membuat pinjaman setelah melebihi had yang telah ditetapkan.

Riba dalam sistem perbankan/koperasi/along/individu kini wujud dalam bentuk berikut :

  • dalam skim pinjaman kewangan Peribadi
  • dalam skim pinjaman untuk pendidikan
  • dalam skim pinjaman kenderaan
  • dalam skim pinjaman perumahan
  • dalam skim pinjaman pelaburan
  • dalam skim pinjaman untuk perniagaan
  • dalam skim insuran
Kita sebagai pengguna haruslah berhati-hati dengan janji-janji manis pihak berkenaan yang cuba menjebakkan kita ke kancah kehancuran. Walaupun ada diantara tujuan-tujuan pinjaman itu adalah untuk kebaikan tetapi sekiranya melampau dan keterlaluan boleh menyusahkan diri kita sendiri dalam bajet kewangan bulanan serta rancangan simpanan atau pelaburan masa depan sebaliknya hanya menguntungkan pihak lain sama ada kepada pihak peminjam maupun peniaga yang kini menawarkan pelbagai skim bayaran ansuran mudah untuk barangan mereka.

Fikir-fikirkanlah...

Rabu, 17 September 2008

Azan,Jawi,JAIS,UiTM & bui*

Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya

JANGANLAH anggap apa yang saya tulis ini sebagai rasis atau berunsur perkauman. Dalam suasana negara yang dipenuhi dengan isu sensitif perkauman sekarang, tulisan ini hanyalah sebagai satu ingatan kepada kita semua, terutamanya umat Islam.

Saya amat tertarik untuk merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo yang membangkitkan mengenai ''ada usaha oleh pihak tertentu (di Selangor) yang cuba menasihatkan pihak masjid dan surau supaya tidak menggunakan pembesar suara semasa melaungkan azan''.

Bagi saya petikan itu pelik bunyinya. Bagi saya ia juga amat serius. Tidak pernah dalam sejarah 51 tahun merdeka, rakyat Malaysia sedang menghadapi situasi seperti itu. Selama ini kita - Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain bangsa dan agama tidak pernah bercakap mengenai perkara itu. Kita hormat antara satu sama lain. Soal agama Islam terpelihara secara suci di dalam Perlembagaan negara. Justeru, petikan semacam itu tidak pernah terlintas langsung atau termimpi akan diucapkan.

Kini, ia berlaku. Ya benar, Dr. Khir bukan buat cerita mengarut. Ia benar-benar berlaku di Selangor. Orang Pas, yang kini mula menguasai jawatankuasa masjid dan surau di situ pun tercengang. Orang UMNO yang masih lagi menganggotai jawatankuasa surau dan masjid pun terkejut.

"Sampai macam itu sekali tindakan mereka," kata seorang AJK sebuah surau di Shah Alam kepada saya Jumaat lalu. Beliau ialah sahabat lama saya, yang kami bertemu selepas solat Jumaat, lalu mengajak saya bersembang.

Sembang punya sembang, tiba-tiba beliau menyentuh mengenai soal suraunya. Katanya, kira-kira tiga bulan selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Selangor, seorang Exco kerajaan negeri itu, yang juga seorang Ahli Parlimen dari parti DAP membuat kunjungan ke suraunya. Yang peliknya, YB wanita itu datang pada waktu sebelum subuh.

Tanpa rasa malu-malu atau rasa bersalah, dia menasihatkan pengurusan surau itu supaya tidak melaungkan azan dengan kuat menggunakan pembesar suara, terutama pada waktu subuh. Katanya, ''hasil tinjauannya'' pada waktu subuh itu, cuma ada imam, bilal dan dua tiga orang sahaja makmum.

"Kalau ada macam itu jangan kasi bangun oranglah (dengan azan)..." katanya kepada imam yang ada di situ.

Semua yang ada terus 'terkedu'. Mereka berpandangan antara satu sama lain. YB yang baru tiga bulan menjadi Yang Berhormat itu tahukah apa yang dia cakap. Tidak sensitif langsungkah? Tidak sedarkah dia, kira-kira 90 peratus penduduk di kawasan itu ialah orang Melayu beragama Islam.

Jika diambil pendekatan isu yang berlaku sekarang, saya ingin bertanya, siapakah yang rasis? Siapakah yang perkauman? Dr. Khirkah, sayakah yang menulis Cuit ini? Atau, YB wanita berkaca mata itukah?

Sambil menulis kolum ini, saya menelefon seorang rakan saya, yang juga seorang YB dalam Pakatan Rakyat. Dia mengakui memang berlaku. Hasil perbualan saya, beliau berkata: ''…bukan teruk lagi, dah jadi kurang ajar".

Persoalan saya lagi, mengapa situasi seperti ini sudah mulai berlaku. Saya tidak mahu mengulas lanjut, biarlah pembaca budiman membuat analisis dan pernilaian sendiri.

Nak dijadikan cerita, tindakan YB wanita itu tidak habis di situ saja. Dia juga, dikatakan sedang 'memaksa' Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan semua tulisan jawi di semua papan tanda jalan di Kuala Lumpur.

Sekali lagi ini cerita benar. Ia disahkan sendiri oleh rakan saya, YB dari Pakatan Rakyat itu. Sebagai ganti untuk menurunkan tulisan jawi itu, dia menuntut dinaikkan tulisan Cina dan Tamil bersama-sama tulisan rumi.

"Yang ekstremnya, YB wanita itu siap bawa 'sample' berserta spesifikasi papan tanda jalan tulisan Cina dan Tamil itu untuk ditunjukkan kepada pegawai DBKL," kata rakan saya itu lagi.

Seperti yang saya tanya di atas tadi, tidak sensitifkah YB wanita itu? Jawapan saya ialah, dia memang sengaja tidak mahu sensitif.

Melihatkan kepada senario ini, barulah kita tahu, siapa sebenarnya yang 'menyuapkan' ke mulut Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mengenai cadangan supaya diambil 30 peratus peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk digunakan bagi kegunaan agama-agama lain. Sekarang kita juga tahu siapa yang 'memegang tali' untuk menyuruh Khalid membuat kenyataan supaya pintu UiTM dibuka kepada 10 peratus penuntut bukan Melayu.

Yang jelas kita semua tahu, siapakah orang itu yang 'berkobar-kobar' membangkitkan isu babi Sepang, sebaik saja dia melangkah kaki menduduki bangunan SUK Selangor, tempoh hari.

Dan, sekarang baru kita juga tahu, suasana bercelaru yang sedang berlaku - yang terbaru mengenai isu perkauman atau rasis itu memang dirancang - secara sengaja, oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat suasana negara dan rakyat Malaysia tidak tenteram.

Akhir kalam, semoga Allah menyelamatkan kita semua. Amin
_____________________________________________________________

Hanya kerana artikel yang menyatakan kebenaran ini maka orang yang "kurang ajar" yang tak tau bersyukur hidup dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama yang selama ini rukun dan damai itu pun buat saman tak nak mengaku keceluparan mulut sendiri dan kebiadapan tindakan yang tak menghormati sensitiviti masyarakat lain.

Teresa tuntut RM30j dari Utusan

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta daripada Utusan Malaysia berhubung kandungan sebuah kolum pada 10 September yang didakwa menjejaskan reputasinya.

Surat tuntutan itu disampaikan melalui peguamnya, S. N. Nair & Partners ke pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Surat tuntutan itu antara lain mendakwa kolum bertajuk Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya... menggambarkan Teresa sebagai seorang ahli politik yang tidak baik dan tidak boleh bertolak-ansur.

Surat berkenaan juga menuntut Utusan Malaysia supaya menarik balik penyiaran kandungan kolum itu selain menyiarkan permohonan maaf.

Pihak Utusan telah merujuk surat tuntutan tersebut kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.
____________________________________________________________

Bagaimana pula dengan isi kandungan suratkhabar berbahasa cina yang ditulis seorang wartawan yang juga ditahan dibawah ISA kerana menerbitkan artikel yang mengulas isu ucapan YB Bukit Bendera yang menganggap asalnya nenek moyang orang cina di negara ini adalah "pendatang". Apakah YB tersebut turut menyaman pihak media berkenaan. Dari sini kita boleh lihat dua situasi yang berbeza melibatkan 2 YB dari pihak yang bertentangan apabila berhadapan dengan laporan media tentang diri mereka. Kita sebagai rakyat akan dapat menilai betapa YB Selangor tersebut memang pun tak baik dan tak tau bertolak ansur sanggup menyaman pihak media.

YB Bukit Bendera menerima hukuman digantung keahlian dalam parti 3 tahun tanpa menuntut apa-apa. Kemudian isu yang dibangkitkannya itu disensasikan pula oleh wartawan media berbahasa cina. Sementara YB dari Selangor itu ditahan dibawah ISA kemudian menuntut pula RM30juta dari UTUSAN kerana memaparkan artikel yang tersebut di atas.

( Sumber Berita : Utusan Online )

Isnin, 1 September 2008

Mungkir Janji

Syed Hamid was asked to comment on former Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad's claim that the government had reneged on its promise not to censor the Internet.

Dr Mahathir, in his posting dated Aug 29 on his blog www.chedet.com, said that when a government made a promise and reneged on it, "then not only would the government lose credibility but also any respect the public may have for it.

berita penuh klik DI SINI

Persoalan saya sebagai rakyat dan orang awam yang melihat tindakan kerajaan sekarang berhubung perkara di atas ialah, apa sebenarnya yang pemimpin-pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan sekarang takutkan dengan blogger MALAYSIA TODAY, Raja Petra? Apakah takut orang akan percaya dengan apa yang terkandung dengan blog tersebut sungguhpun ia perkara yang tak benar atau blog tersebut cuba menyebarkan fitnah dengan memburuk-burukkan kepimpinan sekarang dengan kenyataan palsu yang tiada bukti kukuh.

Apa bodoh sangatkah rakyat nak percaya bulat-bulat dengan apa yang terkandung dalam MALAYSIA TODAY. Sebenarnya tindakan kerajaan tersebut hanyalah memperlekehkan keupayaan pemikiran rakyat dan menganggap rakyat bodoh dan akal pendek, kononnya sekiranya MALAYSIA TODAY terus wujud maka akan lebih banyaklah orang akan terpengaruh dengan apa yang terkandung dalam blog tersebut. Walau berjuta-juta artikel fitnah dan berita palsu yang cuba disebarkan oleh blog tersebut, rakyat yang dididik dengan betul, yang celik ilmu dan berfikiran terbuka akan mempertimbangkan mana yang benar dan mana yang palsu sebelum menerima apa-apa kenyataan. Majoriti penguna dan pelayar internet merupakan mereka yang terpelajar, sudah pastinya mereka tahu berfikir secara rasional.

Mengapa perlu mereka menyekat kerana zaman sekarang ini fitnah boleh muncul dalam pelbagai rupa, tidakkah pemerintah sedar bahawa hiburan-hiburan yang melampau yang ditonjolkan menerusi media massa dan elektronik serta konsert-konsert yang dianjurkan merupakan fitnah halus yang ternyata telah banyak merosakkan remaja-remaja dan generasi muda sekarang. Unsur-unsur merosakkan inilah yang perlu disekat kerana ia tidak membentuk dan mendidik generasi muda agar menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dan berperanan secara sihat dalam arena politik negara.

Apakah pemimpin yang memerintah sekarang ini sudah jemu hendak menjawab dan tak mampu lagi nak pertahankan diri kerana fitnah pihak lawan sukar lagi disekat dengan cara biasa bahkan 'tak makan saman'. Lalu menggunakan pendekatan menyekat blog MALAYSIA TODAY. Mengapa pemimpin sekarang tak berfikir dan mengambil iktibar dari al-Quran dan Hadis, dijelaskan bahawa fitnah akhir zaman sukar dibendung dan ia berterusan siang dan malam. Pendekatan Islam adalah dengan solat 5 waktu dari subuh hingga ke malam dan azan terus berkumandang berterusan tanpa henti bermula dari timur hingga ke barat. Kerana kalimah kebesaran Allah yang terkandung dalam azan tersebut akan memperingatkan manusia dan seluruh alam agar kembali kepada Allah. Walau bagaimana cara sekalipun orang kafir yang menentang secara nyata dan secara halus terhadap agama dan umat Islam, mereka tak akan dapat menghapuskan ajaran Islam dan pegangan umat Islam itu.

Begitulah juga jika pemimpin kerajaan berfikir secara bijak, mereka tunjukkan tauladan yang baik, laksanakan dengan jujur dan ikhlas tanpa ada sebarang tujuan tersembunyi, kemudian sampaikan apa jua kebaikan melalui medium-medium yang boleh sampai kepada rakyat secara cekap dan pantas tanpa perlu bertindak terlalu defensif. Maka rakyat akan lebih yakin dengan kredibiliti pemimpin yang memerintah dan lebih hormat dengan pemimpin yang menunjukkan tauladan yang baik secara zahir, bukan saja pada dirinya tapi juga pada ahli keluarganya yang lain termasuk menantunya sekali. Pemimpin yang menerajui negara sekarang perlu sedar, sekali mereka buat kesilapan dan keputusan yang salah, rakyat yang celik dan bijak berfikir takkan mudah percaya lagi dengan apa jua yang hendak mereka laksanakan.

Sebagaimana tradisi-tradisi kepimpinan yang bermaruah terdahulu bukan saja dalam negara tapi juga pada tamadun-tamadun demokratik lalu, seseorang pemimpin yang tidak lagi diterima rakyat melalui proses-proses demokrasi termasuklah tidak lagi mendapat sokongan yang besar walaupun menang akan mengundur diri dan memberi ruang kepada kepimpinan baru untuk menerajui pemerintahan. Sebagaimana juga pemimpin-pemimpin kukubesi terdahulu mereka tetap terus berkuasa walaupun tidak lagi mendapat sokongan yang banyak dan tindakan penguatkuasaan yang diambl lebih menjurus kepada untuk mempertahankan kedudukan politik dan kuasa mereka dan menganggap sesiapa yang cuba menggugat mereka dengan pelbagai pertuduhan seperti pengganas, pengkhianat, perosak, pengacau dan blogger tak guna dan macam-macam lagi.

Rakyat awam menjadi keliru akibat situasi politik sebegini kerana pemimpin yang dipercayai selama ini telah menzahirkan apa yang telah dipertuduhkan oleh pembangkang terhadap mereka. Walau apa sekalipun, rakyat tetap merupakan pelanggan yang patut dihormati dan bukannya diperbodohkan dengan permainan wayang oleh ahli-ahli politik di negara ini.

Khamis, 28 Ogos 2008

Lindungi Privacy Anda

Kalau mereka yang berkuasa pun nak saman orang dan buat serbuan atau roadblock tanpa beri amaran dan secara mengejut tanpa diketahui orang awam, begitu jugalah orang awam boleh buat. Orang awam tak ada kuasa undang-undang tapi ada kuasa untuk bersuara tapi biarlah bersuara dengan penuh bertanggungjawab, bukan hendak menfitnah atau memburuk-buruk sehingga mengaibkan orang secara khusus pada individu berkenaan.

Zaman sekarang telah banyak berlaku penyelewengan kuasa dan ketidakcekapan pihak berwajib dalam melaksanakan amanah. Sehingga kita sebagai rakyat tidak yakin lagi dengan pihak tersebut. Lihat saja apa yang berlaku dan dengarlah apa yang mereka perkatakan. Mereka kata SEMUA blogger tak bertanggungjawab, mereka kata rakyat yang memprotes kepimpinan mereka sebagai pengkhianat bangsa dan perosak negara. Siapa pengkhianat dan siapa perosak sebenarnya? Mereka hendak samakan rakyat yang memprotes dan mengkritik itu dengan pengganas.

Rakyat sudah tahu bahawa selama ini mereka yang menjadi pemimpin politik yang berpura-pura baik kononnya membela nasib rakyatlah yang telah merosakkan bangsa dan negara ini. Membenarkan anasir-anasir negatif masuk ke negara ini untuk melalaikan rakyat dengan pelbagai hiburan yang merosak akhlak generasi muda. Merosakkan negara ini dengan amalan-amalan rasuah yang tersembunyi dan tidak ketara di mata rakyat dalam usaha memancing undi dan mendapat sokongan. Menjatuhkan martabat bahasa melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, tiada usaha bersungguh-sungguh hendak mempertingkatkan lagi martabat bahasa melayu sebagai bahasa yang boleh diterima global melalui pelbagai pendekatan, sebaliknya lebih mengagungkan bahasa inggeris. Merekalah yang dahulu merosakkan bangsa dan negara ini, dan apa yang berlaku kepada rakyat kini adalah akibat perlakuan dan cara kepimpinan mereka.

Usahlah terlalu menyalahkan rakyat jelata kerana kesalahan yang paling besar adalah pada pemimpin itu sendiri. Walaupun ada idea dan ada dasar-dasar tapi kerana pemimpin itulah sesebuah dasar dan idea yang baik, perlaksanaannya tidak seperti yang diharapkan. Ada pemimpin yang pecah amanah, meyeleweng dan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan untuk diri sendiri, ahli keluarganya dan kroni-kroninya. Bagi menyembunyikan tembelang dan perilaku belakang tabir mereka, para pemimpin ini lebih cenderung hendak menyalahkan rakyat daripada mengaku akan kesalahan sendiri apabila berlakunya masalah dalam politik dan ekonomi negara. Tapi kerana kuasa ditangan mereka maka bermaharajalela lah mereka. Dengan bongkak mereka menyalahkan rakyat dan sanggup mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang menggugat kedudukan mereka sebagai pemimpin politik yang memerintah negara.

Ini sesuatu yang melampaui batas dan tidak boleh diterima oleh rakyat awam, terima kasih kepada teknologi internet dan blog kerana telah membuka ruang untuk demokrasi dan kebebasan bersuara yang lebih telus tapi perlu berhemah. Kerana kita tak dapat menduga tindakan pihak yang memegang kuasa dan punyai wang berjuta-juta untuk menyaman rakyat yang lemah dan miskin yang cuba untuk bersuara menuntut keadilan dan kebebasan maka lebih baik lindungi privasi blogger. Dengan itu, kita terus boleh bersuara menyatakan kebenaran dan luahkan rasa tak puas hati kita secara umum.