Custom Search

Reviews Directory

Selasa, 8 Julai 2008

Siapa Ancam Singapura?

Singapura Mahu Beli 100 Pesawat Kalis Radar F-35

WASHINGTON 8 Julai – Singapura menunjukkan minat untuk membeli sehingga 100 pesawat F-35 Joint Strike Fighter keluaran Lockheed Martin Corp untuk beberapa dekad akan datang, sekali gus menyamai pelan pertahanan udara Israel.

“Israel menyatakan mereka mahu membeli sehingga 100 pesawat. Singapura juga pada asasnya menyatakan perkara yang sama,” kata Ketua Program Pentagon, Mejar Jeneral Charles Davis.

Pembangunan F-35 yang merupakan pesawat kalis radar dibiayai bersama oleh Britain, Itali, Belanda, Turki, Kanada, Australia, Denmark dan Norway.

Amerika Syarikat (AS) pula merancang untuk membeli sejumlah 2,443 model F-35 termasuk 1,763 untuk Tentera Udara AS dan 680 untuk Marin dan Tentera Laut dengan kos dianggarkan AS$299 bilion (RM986.7 bilion).

Beratus-ratus pesawat model ini mungkin dijual ke seberang laut bagi menggantikan F-16s keluaran Lockheed dan F-18 keluaran Boeing.

Davis turut meramalkan Jepun akan secara rasmi meminta harga dan maklumat mengenai F-35 menjelang hujung tahun ini dalam prosesnya memilih pesawat pejuang generasi baru.

Jurucakap Lockheed Martin, Tom Jurkowsky berkata, program F-35 kini melalui “kemajuan teknikal memberangsangkan terutamanya dalam konteks pesawat paling kompleks pernah dibuat.”

Penerbangan ujian pertama bagi versi mendarat dan berlepas secara konvensional dilakukan pada 15 Disember 2006.

Antara pesaing utama model F-35 adalah Gripen keluaran Saab; Dassault Rafale; MiG-35; Sukhoi Su-35 dan Eurofighter Typhon keluaran konsortium syarikat Britain, Jerman, Itali dan Sepanyol.

– Reuters

Sungguh menghairankan sebuah negara pulau yang kecil mempunyai sistem pertahanan yang melebihi keperluannya dan di pulau itu bukannya ada kekayaan semulajadi yang perlu dilindungi sehingga 100 buah pesawat anti-radar.

Sekarang pun Singapura merupakan pemilik aset pertahanan yang tercanggih dan terbanyak tidak padan dengan saiz negaranya. Siapakah sebenarnya yang menjadi ancaman Singapura ini?

Selama ini banyak tindak tanduk Singapura menimbulkan syak dan mereka bila-bila masa saja boleh menggertak dan mengugut negara-negara jirannya jika mereka rasakan negara jirannya boleh mengancam kepentingan mereka (belum ada lagi negara jiranya mengancam keselamatan Singapura).

Kita khuatir Singapura akan menggunakan kaedah psikologi ini hanya dengan menunjuk-nunjuk kekuatan aset perang mereka kepada negara jiran supaya ia boleh mempengaruhi sebarang keputusan yang dibuat oleh negara jiran yang tidak boleh menggugat kepentingan mereka.

Apa sebenarnya yang telah berlaku kepada projek Jambatan Bengkok dan Koridor Selatan yang banyak melibatkan pelabur dari Singapura? Apakah negara kita terpaksa akur dengan kehendak Singapura?

Sebarang isu panas Malaysia dengan Singapura dahulu kini tidak lagi kedengaran lagi namun dari perkembangan semasa, hak rakyat Malaysia kini cuba diambil dan dirampas secara halus dan sedikit demi sedikit. Kita sudah kehilangan Pulau Batu Putih yang sepatutnya dari segi sejarah, zon sempadan dan perjanjian kerajaan Kesultanan dahulu adalah jelas hak milik kita.

Kita bimbang di Wilayah Koridor Iskandar kelak pemilik aset di sana lama kelamaan majoritinya kelak adalah orang dari Singapura dan yang sebangsa dengan mereka dan dibimbangi ia akan menjadi satu wilayah tak rasmi Singapura di Malaysia.

Maka itu, Singapura merasakan perlu untuk memiliki 100 buah F-15 pada masa akan datang untuk melindungi wilayah baru ini yang bakal jadi milik mereka suatu hari kelak. Awas Malaysia?? Pertahankan hak dan bumi kita kerana Singapura sedang merancang sesuatu yang kita tak sedar. Tapi persoalannya juga ialah apakah kita mampu pertahankan hak kita dengan kepimpinan negara sekarang? Fikir-fikirkanlah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau saya rakyat Singapura, saya akan melihat penghijrahan ke negara lain sebagai satu pilihan yang lebih baik dari membiarkan kerajaan negara saya menjajah negara lain untuk menambah keluasan tanah. Ini kerana penjajahan tidak akan menghasil penyelesaian yang selesa dan muktamad. Ia hanya akan menyebabkan banyak kerosakan dan masalah yang tidak berpenghujung. Kita hidup bukan menongkat langit. Bagaimana nak menikmati hidup dengan nyaman dalam umur yang singkat ini kalau di sekeliling kita penuh dengan kebencian, kebimbangan dan huru hara?