Custom Search

Reviews Directory

Sabtu, 26 Julai 2008

Sarawak Maju Menjelang 2020


Ramai yang tak mengetahui secara mendalam tentang Koridor Sarawak atau dikenali sebagai SCORE (Sarawak Coridor of Renewable Energy). Umum mengetahui bahawa koridor-koridor yang dilancarkan oleh PM sebelum PRU12 banyak yang menimbulkan kontroversi misalnya Koridor Selatan di Johor. Sebagai rakyat negeri ini, saya lebih memahami akan keperluan SCORE dan ia pada dasarnya telah pun dirancang lama sebelum ia dikenali sebagai SCORE dan dimasukkan sebagai salah satu koridor-koridor yang lain. Kalau tidak ada projek pembangunan koridor di negeri-negeri lain pun ia tetap juga akan dibangunkan demi kepentingan rakyat negeri ini dan masa depan negeri Sarawak.

Rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai suku kaum perlu berdikari dan tak perlu hanya bergantung pada bantuan Kerajaan Persekutuan semata-mata dalam usaha pembangunan negeri ini. Politik di negeri ini berbeza dengan keadaan politik di negeri-negeri lain dan ini dibuktikan melalui PRU12 yang lepas dimana pemimpin dan rakyat negeri ini menjadi penyelamat kepada BN yang hampir dilumpuhkan oleh pembangkang yang begitu kuat di Negeri-negeri Semenanjung. Bagi sesiapa yang pernah mempelajari sejarah Malaysia, Sarawak merdeka dalam Malaysia dan tertakluk kepada beberapa persetujuan bersama yang telah dimasukkan ke dalam perlembagaan sebagai syarat untuk menyertai rancangan penubuhan Malaysia oleh PM pertama Al-marhum Tunku Abdul Rahman.

Saya sungguh terkilan apabila terdapat beberapa badan dan NGO di Semenanjung yang menyelar pembangunan di negeri ini yang kononnya akan mengancam warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO di Mulu. Sama ada mereka tidak tau atau mungkin tak nak ambil tau atau sengaja nak memburukkan negeri ini dan mau melihat supaya rakyat negeri ini terus mundur hidup "dalam hutan dan tinggal atas pokok" dan "meminta-minta" dari negeri lain. Perlu diingatkan bahawa negeri ini adalah antara penyumbang Petroleum kepada negara Malaysia dan telah banyak membawa kemajuan kepada negeri-negeri tertentu di Semenanjung. Jika ia diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri pastinya rakyat negeri ini mampu lebih maju lagi.

Namun, demi perpaduan dan intergrasi, sebagai rakyat negeri ini saya tak mau mengungkit kulit dengan lebih panjang lebar lagi atau dengan kata lain "menghasut" supaya rakyat negeri ini menuntut lebih banyak hak terhadap hasil bumi semula jadi tersebut dalam bentuk royalti yang lebih banyak dari yang diterima sekarang. Kerajaan dan rakyat negeri ini perlu melihat jauh lebih ke hadapan melihat peluang yang lebih luas lagi daripada membangkitkan isu royalti petroleum sebagaimana yang dibangkitkan oleh Terengganu.

Sarawak mempunyai 2 buah universiti utama iaitu UNIMAS di Kuching dan CURTIN University di Miri. Apakah kerajaan negeri suka-suka atau main hentam saja nak bina 12 empangan ini? Apakah kerajaan negeri tidak melibatkan kedua-dua buah universiti ini untuk membuat kajian ekologi dan kesan pembinaan empangan ini terhadap kawasan sekitarnya. Walau apapun saya tak ada maklumat lanjut berkenaan dengannya namun saya percaya dengan kepimpinan negeri Sarawak sekarang bahawa mereka telah mempunyai pelan perancangan yang rapi, tersusun dan jelas sebelum melaksanakan sesuatu projek. Justeru itu, sebagai sebuah badan dan NGO yang lebih berpendidikan tinggi dan profesional perlulah mendapatkan maklumat yang betul dan tepat sebelum mengkritik atau menghebahkan sesuatu yang boleh menimbulkan kontroversi. Peristiwa sebegini pernah berlaku dahulu melibatkan isu orang penan, namun dengan penjelasan dan maklumat yang tepat isu ini bertujuan untuk memburukkan usaha kemajuan yang hendak dibawa oleh kepimpinan negeri ke atas setiap suku kaum di Sarawak. Walau apapun, kerajaan negeri ini akan tetap meneruskan segala perancangan yang telah dibuat kerana ia bukannya projek yang "dibuat dulu tapi kemudian baru merancang setelah berbilion-bilion wang rakyat digunakan". Ia adalah rancangan yang mempunyai pelan dan rangka kerja yang jelas untuk rakyat Sarawak memahaminya.

Sekiranya pembaca ingin mengetahui lanjut tentang SCORE dan hala tuju serta potensi masa depannya boleh lah ke laman web berikut :

http://www.sarawakscore.com.my

SCORE merupakan satu pelan jangka masa panjang yang akan menafikan kebergantungan negeri ini pada sumber Petroleum semata-mata yang akhirnya akan kering bila tiba masanya. Kawasan pedalaman Sarawak sekarang masih banyak yang bergantung kepada generator yang dihidupkan oleh tenaga petrol atau diesel untuk menjana tenaga elektrik bagi keperluan penduduk pedalaman negeri ini. Dengan keadaan kawasan pedalaman yang berbukit bukau dan bergunung ganang apatah lagi keluasan negeri ini hampir sebesar seluruh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia memerlukan satu sumber tenaga yang efektif dan lebih menyeluruh untuk menjana proses pembangunan dan kemajuan seluruh kawasan di negeri ini. Maka itulah, 12 empangan yang bakal dibina meliputi seluruh kawasan di setiap bahagian negeri ini.

Tenaga elektrik adalah tenaga masa depan, teknologi sistem pengangkutan dan perhubungan yang ada sekarang lebih tertumpu kepada keperluan tenaga elektrik. Sistem LRT, Komuter bahkan kereta elektrik juga kini merupakan satu trend baru sistem pengangkutan dan perhubungan di negara-negara maju. Teknologi telekomunikasi seperti infrastruktur rangkaian komputer internet memerlukan sumber tenaga elektrik. Di kawasan pedalaman Sarawak kemudahan internet memerlukan tenaga elektrik yang tidak hanya dijana oleh tenaga solar tetapi perlukan tenaga elektrik yang lebih murah. Sekiranya negeri ini hendak memajukan sektor industri di kawasan pedalaman maka ia perlukan tenaga elektrik. Apabila rangkaian grid saluran tenaga elektrik wujud dari kawasan pedalaman ke kawasan yang lebih maju atau ke bandar-bandar utama pastinya kawasan pedalaman di sekitar empangan tersebut bakal dihubungi oleh rangkaian jalan raya.

Sarawak kaya dengan hasil semulajadinya dan sekiranya ia dimanfaatkan dengan sebaiknya pasti ia akan memberi pulangan dan kemajuan kepada penduduk negeri ini dengan peluang-peluang pekerjaan yang banyak melibatkan kemahiran, perniagaan industri hiliran dan IKS serta peluang-peluang dalam ekonomi yang lain seperti pertanian, perikanan, perhutanan dan penternakan. Peluang-peluang sebegini banyak melibatkan sektor swasta dan penyertaan rakyat Sarawak, dan tidak terlalu bergantung kepada pekerjaan dalam sektor awam semata-mata. Usaha ini perlu melibatkan kerjasama antara kerajaan, swasta dan rakyat negeri ini. Rakyat takkan dapat meningkatkan taraf hidup mereka sekiranya tidak dibantu dan disokong oleh pihak swasta dan kerajaan. Swasta juga takkan dapat mewujudkan industri yang menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat sekiranya kerajaan tidak memberi galakan melalui dasar-dasar dan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti rangkaian jalan raya, telekomunikasi dan sumber tenaga elektrik. Begitu juga rakyat negeri ini takkan dapat menyumbangkan tenaga, kemahiran dan ilmu mereka jika peluang tidak diwujudkan untuk memajukan negeri ini.

Melalui penjelasan dan penerangan melalui laman web Sarawakscore sekurang-kurangnya rakyat Sarawak seperti saya dapat memahami halatuju SCORE dan matlamat ia diusahakan. Menjadi harapan rakyat negeri ini agar pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan negeri Sarawak memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini. Pihak-pihak luar yang tidak mempunyai kefahaman yang jelas dan tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai apa saja yang berkaitan dengan negeri ini tidak ada kredibeliti untuk mempersoal apa jua pelan dan perancangan yang telah dirangka dengan teliti dengan mengambil kira semua kepentingan dan kesan-kesannya terhadap alam sekitar dan kepentingan penduduk negeri Sarawak.

Daripada kebanyakan forum internet membabitkan hal-hal politik, terdapat tuduhan yang mengatakan bahawa pemimpin dan rakyat negeri Sarawak dan Sabah lebih bersifat kenegerian kononnya tidak mendukung intergrasi nasional. Namun perlu dijelaskan bahawa pemimpin dan rakyat negeri ini telah banyak berkorban demi kepentingan negeri-negeri lain bukan saja dalam soal sumber ekonomi seperti hasil petroleum yang menyumbang pendapatan terbesar kepada negara Malaysia, bahkan dari segi kedudukan politik juga pemimpin negeri ini dan Sabah walaupun menang besar dalam PRU12 tidak ramai yang dilantik mengetuai kementerian kerajaan persekutuan Malaysia. Dari segi komposisi kaum pula, bumiputera Sarawak dan Sabah telah membantu menjadikan penduduk pribumi negara Malaysia sebagai majoriti yang melayakkan kuasa pentadbiran dikuasai oleh orang Melayu dan bumiputera Sarawak dan Sabah.

Justeru itu, fikirkanlah sendiri dan belajarlah semula sejarah negara kerana dari situ kita akan dapat belajar sesuatu bahawa suatu masa kelak bila rakyat Sarawak dan Sabah semakin berpendidikan dan mampu berdikari. Jika hak dan kepentingan rakyat negeri ini dipersoalkan dan menjadi isu yang menggugat masa depan dan pembangunan untuk rakyat Sarawak maka rakyat Sarawak juga boleh mempersoalkan segala pengorbanan yang telah mereka lakukan sepanjang bergabung dengan Persekutuan Malaysia. Apa yang diharapkan ialah saling hormat-menghormati antara rakyat setiap negeri, menghargai peranan masing-masing dalam membangunkan negara Malaysia dan jangan menikam dari belakang mementingkan diri sendiri sepertimana adanya suara-suara sumbang dalam beberapa forum dan blog yang mempersoal tambahan peruntukan bantuan RM1 bilion kepada negeri ini kononnya demi menjaga kepentingan politik pemimpin-pemimpin tertentu. Janganlah mencemburui kemakmuran negeri Sarawak, keharmonian pelbagai suku kaum negeri ini dan kebijaksanaan kepimpinan negeri ini yang jarang kedengaran perbalahan dikalangan pemimpin negeri.

Akhir kata, salam perpaduan dari saya rakyat negeri Sarawak untuk rakyat negeri-negeri lain. Kita adalah sama-sama rakyat negara Malaysia.

MALAYSIAN PEACE

Tiada ulasan: