Custom Search

Reviews Directory

Memaparkan catatan dengan label Ekonomi dan Perniagaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ekonomi dan Perniagaan. Papar semua catatan

Selasa, 7 Oktober 2008

Sistem Ekonomi Riba

Sistem ekonomi dunia kini digerakkan oleh amalan riba, tanpa riba ekonomi sesebuah negara kini tak akan dapat berkembang maju. Dengan memaksa pengguna yang tiada pilihan lain lagi cara untuk terus maju terpaksa membayar riba yang dikenakan ke atas pinjaman mereka dan pihak peminjam akan berterusan memperoleh laba yang besar dari urusniaga ini.

Kenapa kita menyimpan wang di bank? Kerana kita percaya bank adalah satu-satunya institusi yang selamat untuk menyimpan wang. Tetapi kita tidak menyedari bahawa apabila berjuta orang menyimpan wang di bank ia menjadi satu modal kepada pihak bank membuat bisnes. Dengan menggunakan wang penyimpan, pihak bank mengambil peluang ini untuk menawarkan pinjaman kepada mereka yang memerlukan untuk sebarang keperluan. Tetapi pinjaman itu perlu dibayar kembali dengan "bunga" nya sekali untuk sesuatu tempoh pembayaran balik.

Dengan memiliki wang simpanan dari pemegang akaun yang berjumlah berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit, pihak bank mampu membuat bisnes pinjaman riba dan macam-macam lagi bentuk bisnes berbentuk pinjaman ini seperti skim insuran dan kad kredit bagi mendapatkan keuntungan berganda bahkan sesiapa yang hendak memulakan bisnes boleh membuat pinjaman bank kerana bank sedia menawarkan pinjaman dari wang simpanan pemegang akaunnya asalkan sanggup membayar balik dengan "bunga" nya sekali. Bagi mereka yang pandai berbisnes dan mempunyai pengaruh serta keupayaan untuk mengembangkan bisnes tidaklah menjadi masalah untuk membayar pinjaman riba tersebut kerana mereka dapat menghasilkan keuntungan yang lebih lumayan dari perniagaannya kelak dan tidak rugi sedikitpun walaupun terpaksa membayar riba pinjaman bank.

Sesebuah perniagaan yang membuat pinjaman riba tentunya akan menggantikan bayaran riba itu dengan mengenakan bayaran yang lebih melalui harga barang yang mereka tawarkan. Bahkan jika peniaga ingin mendapat untung lebih maka mereka akan menawarkan harga yang melampau kepada pengguna dengan pelbagai alasan seperti kos pengangkutan semakin mahal. Sedangkan, ialah adalah akibat daripada kesan ketidaktentuan ekonomi pasaran terbuka dan kemungkinan kadar faedah bank akan meningkat bagi menampung kerugian bank serta nilai matawang ringgit yang semakin jatuh lantaran bersandarkan pada nilai dolar amerika yang kini semakin merosot. Jadi, kenaikan harga barangan di pasaran adalah saling berkaitan dengan amalan riba yang diamalkan dalam sektor kewangan dan perbankan.

Jika nilai ringgit jatuh kerana kemerosotan ekonomi dunia lantaran kegagalan pembayar hutang membayar pinjaman riba tersebut maka urusniaga riba akan terjejas kerana tiada suntikan baru bagi mewujudkan kitaran semula amalan riba dalam pinjaman untuk pelaburan modal bagi perniagaan pihak yang memerlukan. Jadi, ini akan menjejaskan keuntungan bank menyebabkan kadar faedah bayaran balik pinjaman dinilai semula untuk dinaikkan supaya mereka yang patuh dan akur membayar balik pinjaman riba ini dapat menampung kerugian ini walaupun mungkin tak banyak membantu. Yang menjadi mangsa adalah peminjam dan penyimpan wang ringgit di bank dan pengguna yang membeli barangan keperluan di pasaran.

Inilah akibatkan kerana terlalu mengikut sistem pasaran kewangan riba, yang mengambil kesempatan ke atas orang yang susah dan sangat memerlukan kewangan bagi memajukan diri. Belum pasti peminjam terpaksa ini dapat maju dan memperoleh untung jika terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan, mereka terpaksa membayar bunga pinjaman untuk beberapa tahun dan belum mendapat apa-apa keuntungan. Jika tidak mampu membayar, dikenakan tindakan undang-undang oleh bank atau perlu diisytiharkan muflis oleh mahkamah supaya bank tidak menuntut bayaran balik atau menawarkan apa-apa lagi pinjaman kepadanya.

Bagi yang hendak melanjutkan pelajaran dengan pinjaman pendidikan pula, kalau lulus cemerlang maka dapatlah pekerjaan yang bergaji lumayan. Dengan gaji yang lebih setelah tolak hutang pinjaman riba pendidikan, bagi yang tidak kuat imannya akan menambah lagi hutangnya untuk mendapatkan pinjaman riba membeli kereta, mendapatkan kad kredit dan sebagainya. Membeli pula barangan keperluan di pasaran yang semakin hari semakin mahal kerana tekanan riba sistem kewangan dan perbankan, peniaga terpaksa naikkan harga barang dan ambil kesempatan ini untuk dapat untung lebih. Manakala bagi pelajar yang sekadar lulus cukup makan atau terus gagal setelah keluar universiti, maka hutang tetap hutang mesti dibayar juga dengan "bunga"nya sekali. Kalau dia tak mampu bayar maka ahli keluarganya perlu membantunya untuk membayar balik.

Lihatlah, betapa rakusnya sistem ekonomi riba ini. Ia tidak membantu sesiapa pun untuk maju sebaliknya mengambil kesempatan dari kesusahan orang lain. Ia tidak ambil peduli sama ada mampu atau tidak, itu peminjam punya hal siapa suruh tak bijak mengurus kewangan dan perniagaan, yang penting bagi bank/koperasi/along pinjaman kena bayar balik dengan "bunga" nya sekali. Kalau seseorang itu tak dapat bayar, ahli keluarganya kena tanggung. Itulah hakikat yang jelas nyata nampak di mata, dengar di telinga menerusi media-media massa.

Terdapat suara-suara yang mencadangkan agar sistem zakat diperkasakan, begitu juga sistem wakaf perlu diperluaskan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dapat bermula dengan baik tanpa dibebani hutang yang berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Tentunya ada pihak yang rasa bimbang dengan perkembangan ini kerana ia boleh menggugat bisnes mereka yang selama ini memerah tenaga orang susah dan menyedut wang ringgit orang yang cukup-cukup makan.

Jika nanti sistem zakat dan wakaf ini berjaya, tentunya ramai akan lahir usahawan-usahawan baru yang mantap kerana dapat menumpukan perniagaan mereka tanpa perlu memikirkan hutang, mereka diberi nasihat dengan sebaiknya bahawa bantuan zakat kepada mereka tidak patut dipersiakan dan mereka perlu mengembalikan ia semula kepada orang lain yang juga memerlukannya. Setiap keuntungan dan hasil dari usaha mereka itu perlu dibayar zakat bagi membolehkan orang lain pula dibantu untuk mencapai kejayaan yang diimpikan. Pelajar keluaran universiti pula banyak cemerlang dan berkeupayaan kerana kebanyakan mereka adalah dari kalangan orang yang susah tetapi ingin berjaya dan dibantu lagi untuk lebih berjaya melalui sistem zakat dan wakaf.

Jadi, sistem zakat adalah satu kitaran yang mana mereka yang telah berjaya hasil daripada bantuan wang zakat mesti membayar zakat bagi membantu mereka yang belum berjaya dan ingin mencapai kejayaan. Begitu juga sistem wakaf dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan menggunakan perkhidmatan yang berkualiti walaupun tidak percuma sekurang-kurangnya membayar pada kadar yang termampu, itu pun adalah untuk membayar gaji pekerjanya bukan barangan yang disediakan. Sebagai contoh hotel wakaf yang dibina menggunakan wang wakaf umat Islam, segala peralatan dibeli menggunakan wang yang diwakafkan di atas tanah yang diwakafkan. Pelanggan hanya perlu membayar pada kadar tertentu saja untuk perkhidmatan pekerja di hotel tersebut kerana segala kos peralatan yang disediakan disitu adalah daripada wang wakaf.

Yang membayar kos pembinaan dan peralatan hotel tersebut ialah umat Islam sendiri, jika 1 juta umat Islam di Malaysia mewakafkan RM10 untuk membina sebuah hotel wakaf maka terkumpullah RM10 juta untuk membina hotel tersebut. Jika setiap hari ada 100 ribu umat Islam Malaysia membayar RM1 maka terkumpullah RM100 ribu bagi membeli kelengkapan dan membayar segala bil elektrik, air dan kemudahan lain untuk penginap di hotel tersebut. Sebagai umat Islam tentunya kita percaya kepada pahala dan dosa, setiap perkara baik akan dibalas dengan pahala yang menjadi bekalan untuk akhirat.

Jika kita sumbangkan RM10 sekali dan RM30 sebulan untuk wakaf hotel tersebut misalnya ia akan memberi kebaikan kepada musafir-musafir di kota-kota besar yang mencari rezeki atau mengunjungi sanak saudara tetapi tiada tempat untuk singgah sementara. Tentunya hotel wakaf tidak menawarkan khidmat yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti menjadi tempat untuk berpesta minum arak atau perkara maksiat. Terdapat banyak perkara yang perlu dipatuhi jika ingin mendapatkan kos penginapan dan perkhidmatan yang murah di hotel wakaf, kerana ia tidak memperoleh keuntungan dari pelanggan hotel tetapi daripada 100 ribu umat Islam yang membayar RM1 sehari, kalau sebulan sudah untung RM3 juta dan keuntungan ini perlu diperkembangkan lagi dengan membina lebih banyak hotel wakaf di seluruh negara. Selagi hotel ini memberi kebaikan kepada orang lain dan pada hotel ini kita ada bahagian dari wakafnya selagi itulah kita akan berterusan menerima pahala. Setiap kebaikan walau sebesar zarah atom sekalipun tetap akan dikira.

Banyak lagi perkhidmatan dan kemudahan yang boleh diwakafkan bagi manfaat umat Islam. Sememangnya sistem zakat dan wakaf ini perlu dilihat semula sebagai salah satu cara yang boleh memajukan umat Islam dan melahirkan lebih ramai orang Islam yang berjaya dalam bidang masing-masing dan memberi sumbangan bukan saja dalam aspek buah fikiran atau idea yang bernas dan praktikal yang akhirnya mampu diusahakan tetapi lebih dari itu orang Islam yang berjaya ini mampu membayar zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat harta, zakat hasil pertanian, zakat barang kemas dan juga mewakafkan sebahagian dari harta dan wang ringgit mereka bagi kemudahan mereka yang kurang berkemampuan membayar lebih. Selain hotel, perkhidmatan perubatan dan hospital juga boleh diwakafkan, perkhidmatan pengangkutan seperti pesawat penerbangan juga boleh ditawarkan.

Segala usaha ini perlu dilakukan oleh orang Islam sendiri tanpa perlu bergantung harap kepada kerajaan semata-mata dan ia harus dimulai oleh sekumpulan individu yang berani menghadapi cabaran, berkemampuan sebagai seorang pemimpin, beramanah serta beretika tinggi. Sebagaimana sistem ekonomi kapitalis yang menetapkan bahawa biar kuasa pasaran yang menentukan jatuh bangunnya sesuatu perniagaan dan industri tanpa campurtangan pihak berkuasa, begitu jugalah dalam sistem ekonomi berteraskan zakat dan wakaf ini biar umat Islam sendiri yang tentukan jatuh bangunnya kemajuan orang Islam. Tapi yang nyata dengan sistem yang menggalakkan umat Islam saling bantu membantu walaupun hanya sumbangan RM1 sahaja adalah tidak mustahil sistem ini akan berjaya memajukan ekonomi umat Islam di Malaysia secara menyeluruh dan tidak hanya menguntung seorang dua sahaja yang berada di puncak tingkat pengurusannya.

Jika kita berjaya menubuhkan Lembaga Tabung Haji yang telah banyak membantu umat Islam di Malaysia menunaikan haji dengan pakej yang lengkap mengapa kita tidak boleh menubuhkan satu badan zakat yang ulung dan cemerlang serta badan wakaf yang mampu mengendali dan menguruskan wang zakat serta wakaf dengan baik dan beramanah demi kebaikan umat Islam di Malaysia khususnya dan umat Islam serantau serta dunia amnya. Ia boleh diusahakan secara berperingkat-peringkat kerana pastinya ia akan maju setapak demi setapak dan mampu berkembang dengan pesat sekali hasil dari kesedaran umat Islam akan kepentingan wang zakat dan wang yang diwakafkan.

Malapetaka Riba

Amalan riba kini kian berleluasa, biarpun ada yang berwajah baru dengan memperkenalkan cara yang lebih Islamik namun si peminjam masih juga perlu membayar pada kadar yang lebih tinggi dari nilai harta yang dipinjam atau dibeli menerusi bank (iaitu pihak bank membeli dahulu mengikut harga semasa dan mereka menjual pula kepada pelanggan pada harga yang lebih tinggi setelah mengambilkira kos dan perkhidmatan lain-lain). Sedangkan dalam tempoh pembayaran itu harta yang dibeli misalnya kereta telah mengalami susut nilai sementara nilai wang ringgit pula semakin jatuh dengan kadar peningkatan kos sara hidup harian yang semakin tinggi.

Amalan riba kini bukan saja diamalkan oleh bank sahaja, bahkan pihak-pihak tertentu seperti Along, Koperasi dan individu juga mengamalkannya. Jika institusi berlesen mengenakan tindakan undang-undang mahkamah kepada peminjam yang gagal membuat pembayaran, institusi tak berlesen pula mengenakan tindakan sendiri dengan mengugut, mengancam nyawa ahli keluarga dan pelbagai lagi tindakan tidak berperikemanusiaan. Mereka sanggup bertindak diluar batasan semata-mata hendak mendapatkan lebih keuntungan sekiranya hutang mereka tidak dilunaskan peminjam.

Walau bagaimanapun, inilah dilema yang terpaksa ditanggung oleh pengguna bukan saja di Malaysia bahkan dimana-mana saja yang ingin mengubah cara hidup mereka agar menjadi lebih baik terpaksa membuat pinjaman bank bukan sahaja untuk memperoleh wang segera atau ingin memiliki rumah dan kereta, tetapi untuk mendapatkan modal bagi menceburi bidang perniagaan juga kita sebagai pengguna terpaksa melalui sistem riba ini. Perkara ini tidak boleh dielakkan namun kita harus berhati-hati supaya jangan sampai sistem riba ini merosakkan kehidupan dan masa depan kita.

Bayangkan dengan kemudahan pinjaman riba ini, begitu senang sekali terutama bagi mereka yang mempunyai pekerjaan tetap ditawarkan oleh pihak bank dengan pelbagai skim pinjaman riba, skim pinjaman dalam bentuk kad kredit, skim pinjaman kenderaan dan pelbagai lagi yang boleh menarik perhatian nafsu sesiapa sahaja yang ingin hidup senang dan kelihatan mewah. Namun, ada juga antara skim-skim pinjaman tersebut walaupun berbentuk riba memberikan pulangan kepada peminjam dalam jangka masa panjang misalnya pinjaman perumahan dan pinjaman skim pelaburan saham amanah.

Terpulanglah kepada kita untuk menilai dan memilih mana yang terbaik. Sebarang pilihan hendaknya tidak membebankan kita kerana kini ada diantara pihak bank yang cuba menawarkan bentuk pinjaman tanpa perlu melalui majikan menerusi kad kredit pihak tertentu yang berkerjasama dengan bank tersebut, supaya dengan itu mereka boleh terus mendapat keuntungan yang lebih banyak tanpa terikat dengan mana-mana peraturan yang menghadkan pekerja terus membuat pinjaman setelah melebihi had yang telah ditetapkan.

Riba dalam sistem perbankan/koperasi/along/individu kini wujud dalam bentuk berikut :

  • dalam skim pinjaman kewangan Peribadi
  • dalam skim pinjaman untuk pendidikan
  • dalam skim pinjaman kenderaan
  • dalam skim pinjaman perumahan
  • dalam skim pinjaman pelaburan
  • dalam skim pinjaman untuk perniagaan
  • dalam skim insuran
Kita sebagai pengguna haruslah berhati-hati dengan janji-janji manis pihak berkenaan yang cuba menjebakkan kita ke kancah kehancuran. Walaupun ada diantara tujuan-tujuan pinjaman itu adalah untuk kebaikan tetapi sekiranya melampau dan keterlaluan boleh menyusahkan diri kita sendiri dalam bajet kewangan bulanan serta rancangan simpanan atau pelaburan masa depan sebaliknya hanya menguntungkan pihak lain sama ada kepada pihak peminjam maupun peniaga yang kini menawarkan pelbagai skim bayaran ansuran mudah untuk barangan mereka.

Fikir-fikirkanlah...

Ahad, 29 Jun 2008

M'pertingkat Ekonomi Rakyat 2

Satu Daerah Satu Kilang Pemprosesan Makanan

Sasarannya ialah memenuhi permintaan terhadap pengeluaran hasil makanan bukan saja di dalam negara tetapi juga di luar negara. Berdasarkan laporan, kekurangan bekalan makanan dunia adalah disebabkan oleh perubahan cuaca dunia dan bala bencana yang sering melanda negara-negara pengeluar makanan. Tidak ketinggalan juga negara kita menghadapi masalah tersebut apabila sering berhadapan dengan masalah banjir, namun ia tidak berlaku sepanjang tahun dan hanya pada musim tertentu saja.

Produk-produk tambah nilai hasil pengeluaran makanan juga boleh dihasilkan bagi menjadikan makanan tersebut lebih tahan lama dan boleh dipasarkan ke seluruh negara dan dieksport ke negara luar. Apakah hasil keluaran makanan sebegini tidak mendapat permintaan yang banyak di luar negara. Bagi negara-negara yang sektor ekonominya lebih tertumpu kepada industri berat dan elektronik, pastinya mereka perlu mengimport makanan dari negara yang mengusahakan sektor pertanian. Inilah satu peluang kepada pemerintah negara untuk memberi galakan dan sokongan kepada rakyat menyediakan prasarana-prasarana sokongan dan kemudahan lain bagi membolehkan rakyat melibatkan diri dalam bidang ini secara serius.

Sediakan satu kilang pemprosesan makanan di setiap daerah maka rakyat akan mengusahakan sumber bahan mentahnya. Misalnya, dirikan kilang memproses dan mengetin daging ayam dan galakkan rakyat sekitar daerah tersebut menternak ayam daging. Jika mahu jenis ayam yang seragam maka dengan kerjasama Jabatan Pertanian, sediakan benih-benih anak ayam yang akan diterima oleh kilang tersebut. Pihak kilang akan membeli ayam daging yang diternak oleh penduduk tempatan mengikut harga pasaran yang telah ditetapkan. Semakin banyak ayam yang dibekalkan maka semakin giatlah kilang tersebut menghasilkan produk makanan berasaskan ayam.

Dengan sebab itulah maka rakyat setempat akan berusaha untuk membuka ladang ternakan ayam daging masing-masing. Jika yang melibatkan diri itu beribu-ribu orang maka jumlah sumber daging mentah yang banyak dan berterusan tanpa terputus bekalan. Ini pastinya mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran produk kilang berkenaan. Kilang itu tidak hanya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan untuk bekerja di kilang itu tetapi juga permintaan terhadap sumber daging mentah menjadikan usaha penternakan ayam di kawasan itu menjadi satu sumber pendapatan kepada rakyat tempatan.

Ayam daging tidak saja dijual secara mentah tetapi juga dengan memproses daging ayam itu di kilang maka banyaklah hasil keluaran lain sebagaimana yang kini terdapat di pasaran seperti "nugget ayam", "drummet ayam", daging ayam dalam tin dengan pelbagai resipi seperti masak kurma, masak hitam, masak cendawan dan macam-macam lagi. Menerusi produk-produk makanan sebeginilah pengusaha kilang akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda kerana sebagaimana yang kita tahu sekilo "drummet ayam" dijual pada harga kira-kira RM15.00 dan setin besar daging ayam proses "masak kurma" harganya kira-kira RM3.00.

Produk-produk sebegini akan dijual di pasaraya-pasaraya di dalam negara dan pasarannya boleh diperluaskan sehingga ke luar negara dengan mempergiatkan promosi produk makanan buatan Malaysia. Ini baru saja ayam sebagai contoh, banyak lagi tanaman, ternakan dan sumber makanan laut yang boleh diusahakan. Bagi mendirikan kilang ini sekiranya tidak ada pelabur asing yang hendak memulakannya, kerajaan perlu mengusahakannya dengan menggunakan hasil kekayaan negara sedia ada.

Dengan perkembangan kilang-kilang pemprosesan yang semakin bertambah bagi menampung permintaan produk yang telah diproses serta penawaran daging mentah yang kian bertambah maka ekonomi rakyat di daerah berkenaan akan bertambah maju. Idea ini tidak hanya menguntungkan pengusaha kilang tapi juga kepada penternak ayam serta menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang penternakan ayam daging. Jika suatu hari kelak penawaran terhadap produk ayam ini melebihi permintaan di dalam negara maka lebihan pengeluaran ini boleh dieksport ke luar negara.

Usaha ini sebenarnya menguntungkan semua pihak, kerajaan mendapat untung hasil dari cukai dan zakat perniagaan, semakin banyak untung semakin banyaklah hasil cukai. Pengusaha kilang pun begitu akan mendapat keuntungan dari hasil jualan produk ke pasaran tempatan dan luar negara. Sementara rakyat pula jika kilang itu didirikan di kawasan luar bandar ia akan meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar. Dalam jangka masa panjang, kawasan luar bandar itu dengan aktiviti ekonomi yang meningkat menerusi kepelbagaian perusahaan dan perkilangan mengeluarkan produk makanan, menjadikan ia sebuah pusat pembangunan baru dan ini mampu mengubah kawasan itu kepada sebuah bandar baru.


M'pertingkat Ekonomi Rakyat 1

Memperkasa Semula Industri Pertanian

Post ini adalah lanjutan daripada post sebelumnya. Jika sebelum ini pemimpin menumpukan kepada kemajuan industri berat ia adalah sesuai untuk peralihan infrastruktur ekonomi negara yang hanya bergantung kepada tulang empat kerat serta tenaga manusia kepada penggunaan mesin-mesin dan jentera berat. Bahkan pada masa itu sekiranya sesebuah negara ingin maju perlu melibatkan diri dalam sektor perindustrian dan perkilangan.

Transformasi ini dari segi keupayaan dan daya pengeluaran mampu untuk meningkatkan hasil pengeluaran serta produktiviti sesuatu perusahaan. Hasil daripadanya maka negara kita mampu menjadi pengeluar kereta PROTON dan PERODUA. Begitu juga dalam aspek pembangunan lain dengan wujudnya lebih banyak kilang-kilang dan prasarana-prasarana penting seperti kemudahan jalan raya untuk pengangkutan, pelabuhan dan kargo udara untuk import-eksport dan lapangan terbang untuk menyambut kedatangan pelabur serta pelancong asing.

Negara kita juga telah menjadi antara negara pengeluar peralatan elektronik yang banyak mendapat permintaan dari negara-negara maju pada masa itu. Dengan perkembangan transformasi ini serta peningkatan daya saing serta kos pengeluaran yang murah maka banyak pelabur asing datang ke Malaysia untuk beroperasi mengeluarkan produk keluaran mereka di negara ini. Malaysia telah menjadi hub pengeluaran syarikat-syarikat dan kilang-kilang asing dan ini telah memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Walaubagaimanapun, keadaan dunia kini sudah berubah. Diberitakan bahawa kini seluruh dunia menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan dan kenaikan kos harga minyak petroleum. Kedua-dua krisis ini seharusnya menjadi tumpuan pemerintah sekarang bagaimana hendak berhadapan dengannya dan mengambil langkah yang sesuai supaya kedua-dua krisis sejagat ini tidak menggugat kedudukan ekonomi negara serta kepentingan rakyat. Petroleum dijangka akan habis dan sememangnya mana-mana negara pun tidak boleh berbuat apa-apa. Tetapi dalam pengeluaran makanan dengan keluasan tanah dalam negara yang masih banyak belum diterokai ia seharusnya menjadi agenda serta tumpuan pemerintah untuk memajukan lagi sektor pertanian ini.

Dalam memperkatakan pertanian ini ia tidak hanya melibatkan pengeluaran hasil tanaman untuk makanan sahaja tetapi jika pemimpin kita hari ini berpandangan jauh dan berfikiran besar sesungguhnya pertanian merupakan industri yang sangat menguntungkan jika ia ditransformasikan dengan industri perkilangan yang berkaitan. Jumlah manusia tidak pernah berkurangan dan kelahiran akan terus meningkatkan jumlah manusia pada masa akan datang. Justeru itu, manusia memerlukan sumber makanan dan ia hendaklah diusahakan secara besar-besaran menerusi penyertaan rakyat.

Sektor industri pengeluaran barang bukan pertanian seperti kilang papan, peralatan elektronik, perabot dan sebagainya hanya memerlukan pekerja untuk bekerja di dalam kilang berkenaan. Tapi sekiranya sektor industri pengeluaran berasaskan makanan seperti kilang memproses hasil buah-buahan, hasil ternakan haiwan, hasil perikanan dan sumber makanan laut dan sebagainya, bukan saja memerlukan pekerja untuk bekerja di dalam kilang berkenaan tetapi juga memerlukan pekerja yang tak perlu syarikat atau kilang berkenaan membayar upah untuk menanam pokok buah-buahan, sayuran, menternak ayam atau kambing atau lembu dan menangkap ikan di lautan. Sebaliknya biarlah rakyat mengusahakan segala kerja itu dan sektor perkilangan dan pemprosesan boleh membeli hasil tanaman, ternakan dan tangkapan yang diusahakan oleh rakyat.

Dimana-mana saja selagi ada tanah dan selagi ada lautan dan sungai rakyat mampu mengusahakan aktiviti ini sekiranya terdapat permintaan yang berterusan. Bermakna, kilang-kilang pemprosesan ini tidak akan dibina di sesuatu tempat saja tetapi boleh dibina di mana-mana saja lokasi di seluruh negara di mana sesuatu perusahaan itu boleh dilakukan rakyat setempat.

Rabu, 23 April 2008

Krisis Makanan

Salam Sejahtera,

Dunia kini dikhabarkan sedang menghadapi krisis makanan, sementara di dalam negara kita pula harga barang keperluan terutama makanan semakin naik. Ini berikutan sama ada disebabkan oleh kos pengangkutan atau pengeluaran meningkat kerana melibatkan kenaikan harga minyak ataupun permintaan yang semakin banyak sementara penawarannya tidak mencukupi. Dari sudut ekonomi, kenaikan harga sesuatu barang itu bertujuan untuk mencegah pengguna daripada terlalu banyak membuat permintaan dengan harapan agar pengguna boleh beralih kepada barang keperluan lain. Bagi pengeluar dan penjual pula situasi ini adalah satu peluang untuk mereka mengaut keuntungan yang banyak sekiranya pengguna tidak mempunyai pilihan yang lain kerana telah biasa dengan menggunakan barang keperluan berkenaan.

Persoalan saya ialah, apakah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah kekurangan penawaran ini? Apakah tindakan mengawal harga barang semata-mata dapat menjaga kepentingan pengguna tetapi akan mengakibatkan kerugian kepada pengeluar dan penjual. Ini adalah kerana kos bahan asas pengeluarannya telah meningkat. Dari sinilah secara rasionalnya, tindakan sewajarnya yang boleh dilakukan ialah memperbanyakkan pengeluaran bahan asas terutamanya makanan. Walaupun ada antara makanan yang tak dapat ditanam di negara kita seperti gandum namun sumber-sumber makanan lain masih boleh diperbanyakan lagi hasil pengeluarannya.

Apakah harga daging ayam dan lembu akan terus meningkat sekiranya pengeluarannya diperbanyakkan bagi memenuhi keperluan dan permintaan tempatan. Jika terlebih sekalipun pengeluarannya ia boleh dieksport ke luar negara ataupun diproses untuk ditin dan dikeluarkan dalam bentuk lain seperti nugget atau ketulan yang sedia untuk dimasak. Pastinya dengan pengeluaran secara besar-besaran akan menstabilkan harganya di pasaran tempatan dan menghasilkan keuntungan kepada pengeluar atau penternak ayam dan lembu bilamana ternakan mereka laku dijual ke kilang-kilang memproses sementara kilang-kilang pula akan memasarkan hasil-hasil keluaran mereka ke pasaraya-pasaraya atau dieksport ke luar negara bagi memenuhi permintaan dan kekurangan yang terdapat di dalam pasaran negara lain.

Begitu jugalah yang terjadi pada pengeluaran hasil makanan lain seperti beras, kentang, buah-buahan, ikan, sayuran dan apa jual hasil makanan. Ia tidak semestinya dijual secara mentah bahkan ia juga boleh dijual dalam bentuk yang telah diproses.

Yang menjadi tanda tanya ialah mengapa sumber-sumber dan hasil makanan ini tidak banyak dihasilkan atau dikeluarkan? Apakah dunia ini sudah tidak ada tanah lagi untuk bercucuk tanam, apakah lautan tidak ada lagi menghasilkan ikan-ikan dan sumber makanan laut yang lain? Di negara kita sendiri masih luas lagi tanah-tanah yang belum diterokai, manakala yang telah diterokai pula kebanyakannya digunakan untuk tanaman kelapa sawit, getah dan koko. Kenapa ia banyak ditanam, sebab adanya kilang-kilang memproses minyak mentah sawit, menghasilkan keluaran berasaskan sawit seperti mentega, sabun, lilin dan sebagainya. Begitu juga getah sebab banyaknya kilang-kilang menghasilkan barangan getah seperti kasut, tayar, sarung tangan, kondom dan sebagainya lagi. Kesemua barangan ini mendapat permintaan yang banyak di seluruh dunia. Apakah makanan tidak mendapat permintaan yang banyak di seluruh dunia?

Mengapa tanaman seperti kentang, sayuran dan buah-buahan tidak banyak dikeluarkan? Mengapa haiwan ternakan ayam, kambing, arnab dan lembu tidak banyak dipelihara? Sebab tidak dijual ke pasaran yang luas, tiada usaha untuk memajukan lagi hasil pengeluarannya, tidak ada usaha untuk mempelbagaikan lagi bentuk pengeluarnnya. Bilamana pengeluaranya tidak dilakukan secara besar-besaran dalam negara maka bagi memenuhi permintaan dalam negara ianya perlu diimport saja dari India, Thailand, Vietnam dan lain-lain negara. Maka itulah harganya mahal dijual dalam pasaran tempatan. Tapi yang menghairankan mengapa pulak haiwan babi banyak diternak di negara ini bukan saja mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan bahkan boleh dieksport ke luar negara terutama ke Singapura dan China.

Selama ini, pemimpin kita lebih banyak tertumpu kepada bidang industri pengeluaran hasil bukan pertanian sahaja jika ada pun hanya tanaman yang banyak memberi keuntungan kepada kerajaan saja, bukannya yang dapat menguntungkan rakyat keseluruhannya. Sekiranya kilang-kilang memproses hasil pertanian dan sumber laut diperbanyakkan, sudah tentu sekali akan ramai yang bergiat dalam industri pertanian dan perikanan ini. Dengan sokongan promosi pemasaran hingga ke luar negara, bantuan pinjaman modal, khidmat nasihat berterusan dan rancangan membentuk kumpulan usahawan tani yang mendapat galakan dari kerajaan, pastinya rakyat yang tidak berkemampuan untuk berdiri dengan sendiri mendapat semangat dan keyakinan untuk berusaha menggiatkan lagi bidang ini untuk menghasilkan lebih banyak pengeluaran.

Ke manakah perginya tenaga-tenaga muda rakyat negara ini dan mengapakah banyak tanah terbiar tanpa diusahakan dengan ladang-ladang pengeluaran hasil makanan. Terlalu banyak sekali graduan-graduan menganggur di luar sana, banyak juga yang terlibat dengan industri hiburan dan ada pula yang jadi penyamun, penyangak, penagih dadah, penyeludup dan penjenayah lain di luar sana. Pemimpin negara kita terlalu banyak memperkirakan kepentingan dari segi politik sebelum membuat sesuatu keputusan yang boleh memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat. Juga memperkirakan soal keuntungan dan dari sumber mana modal dapat diperolehi bagi mengusahakan sesuatu projek. Sebab itulah, banyak projek-projek dan pembangunan lebih banyak memberi manfaat dan keuntungan kepada golongan-golongan tertentu sahaja kerana mereka kelak yang akan banyak memberi manfaat dan keuntungan kepada kerajaan. Inilah yang dapat dilihat dalam kes projek babi di Selangor.

Pengeluaran hasil makanan tidak akan menjadi masalah sekiranya ia diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan. Rakyat tidaklah semalas yang disangkakan atau hanya mahu terlibat dengan sector lain saja. Sekiranya bidang pertanian, penternakan dan perikanan ini mempunyai rangkaian hasil pengeluaran, pemprosesan, penjualan dan pemasaran yang luas. Tentunya ia akan menghasilkan keuntungan yang berlipat kali ganda. Sungguhpun jualannya pada harga yang murah namun selagi manusia mau makan dan jumlah manusia pula meningkat bukan saja dalam Malaysia bahkan di luar negara juga, maka banyaklah pengguna yang mau membeli dan memerlukannya.

Kekurangan penghasilan makanan bukanlah disebabkan oleh manusia malas hendak mengusahakannya tetapi pihak yang bertanggungjawab, yang dilantik jadi pemimpin untuk mengajak rakyat berusaha, yang diamanahkan memegang wang dana rakyat bagi membantu para petani, penternak dan nelayan itulah yang menyebabkan makanan menjadi krisis kekuarangan makanan.


Jumaat, 29 Februari 2008

Membangunkan Ekonomi Islam

Bersama Menbangunkan Ekonomi Umat Islam

Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Negeri Perlis)

Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak patut disebutkan. Nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai ‘perkauman’.

Pandangan itu dinyatakan kerana saya ingin menggalakkan masyarakat muslim membantu membeli produk-produk keluaran saudara-saudara muslim. Saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor, antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama sebagai kuasa pengeluar sedangkan kita mempunyai kuasa membeli. Juga pembabitan umat Islam di tanah air dalam bidang perniagaan masih tidak kukuh.

Para peniaga muslim menghadapi cabaran di sudut persaingan. Agak sukar melihat pasar raya besar milik muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Kedai yang dimiliki oleh umat Islam dan produk muslim juga terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli produk umat Islam.

Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasar raya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Keadaan menjadi lebih buruk jika umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Di peringkat antarabangsa, negara-negara umat Islam bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak. Tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni.

Kita masih gagal mewujudkan kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya. Sesungguhnya dunia Arab tidak dapat memerangi Barat – jika keadaan memerlukan demikian – selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain.” (Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, Maza khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah).

Inilah realiti, kita hamba penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, banyak negara umat Islam meminta sedekah. Keadaan ini benar-benar mendesak. Dunia sudah berubah, bukan hanya kekuatan senjata menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara terhadap percaturan dunia. Ekonomi juga menentukan perubahan peta.

Firman Allah dalam surah al-Anfal: 60: (maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh umat. Kekuatan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda, salah satu daripadanya yang dapat dilihat di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu.

Pada zaman sekarang, senjata-senjata canggih menggerunkan musuh dan umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu, kekuatan ekonomi adalah senjata baru dalam membina kekuasaan yang mampu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi adalah tuntutan agama.

Malangnya kita cuai dan alpa. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita... jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadangkala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim yang berkualiti adalah kewajipan. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasar raya milik orang Islam. Di peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan.

Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar al-Quran dan al-Sunah mewujudkan rangkaian ikatan persaudaraan (ukhuwah Islamiah) yang kukuh. Di atas akidah teguh ini menjadikan umat dahulu bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan.

Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam.

Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan lain, termasuk bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb: (Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa dunia Islam... kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi, peperangan, pemikiran dan kebudayaan. (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu’asir)

Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwah (persaudaraan) sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan ukhuwah Islamiah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi. Sedangkan ini adalah sesuatu yang dituntut. Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya kaum al-‘Asy‘ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripada-ku dan aku daripada mereka. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini, Rasulullah memuji sikap tolong-menolong, bantu-membantu serta perasaan mengambil berat antara satu sama lain. Baginda memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy’ariyin yang jamin-menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud: “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah. Tolong-menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan takwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit.

Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadis di atas: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi assabiah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-

Asy’ariyin sebahagian daripada baginda.

Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu-membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi’ wa Qawa’id ‘Ammat).

Kalaulah tolong-menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasulullah tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuhi dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong-menolong, bantu-membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara kebaikan adalah tuntutan persaudaraan Islam. Sabda Nabi s.a.w.: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tolong-menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam akan menjadi kuat.

Namun jika ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah daripada orang lain dan Islam dipandang hina. Dr. Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadis di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat dalam hadis ini bertujuan menggalakkan bantu-membantu dan tolong menolong sesama mukmin.

Pembinaan umat tidak sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agama.

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi, sehingga mampu berdiri dengan sendiri, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita menjadi hambar. Apakah mampu selepas itu kita mencanangkan Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?

Malanglah bagi kita jika tidak habis-habis bising tentang barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi kesedaran.

Bahkan dalam soal ekonomi, kita tidak wajar mementingkan persoalan latar politik dan sempadan negeri. Saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal, sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan kefahaman politik.

Sekiranya kesedaran ukhuwah Islamiah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Saya nyatakan demikian berdasarkan faktor-faktor berikut:

  • Kuasa membeli yang tinggi: Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada secara kelompok mereka memiliki kuasa membeli. Jumlah umat menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa.
  • Isu halal haram: Isu-isu mengenai makanan tidak halal menimbulkan keresahan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam gagal menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.
  • Ketegangan yang wujud: Ketegangan antara blok Barat dan umat Islam boleh membantu mewujudkan umat yang lebih memiliki jati diri dan berdikari. Jika pelancong-pelancong Arab enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.

Jika ukhuwah Islamiah itu benar-benar digilap sehingga ke peringkat penghayatan dalam ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jati diri dalam ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh besar dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa.

Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah tanggungjawab setiap muslim zaman ini.

Khamis, 28 Februari 2008

Perniagaan Runcit Di Malaysia

Sektor peruncitan di negara ini merupakan antara bidang perniagaan yang boleh menjanjikan keuntungan tinggi bersandarkan keadaan rakyat di negara ini yang sememangnya gemar menbeli-belah di samping mendapatkan barang keperluan seharian mereka.

Tradisi aktiviti peruncitan secara moden pula boleh dikesan sejak dari zaman pemerintahan Inggeris lagi apabila banyak kedai runcit kepunyaan saudagar dari India dan milik imigran dari Tanah Besar China dibuka di bandar-bandar besar Tanah Melayu.

Ada diantara kedai-kedai tersebut menjadi warisan sehingga kini dan diusahakan pula oleh anak cucu mereke dengan reka bentuk kedai asal tetap dikekalkan dan penggunaan alat kira seperti sempoa masih dipraktikkan.

Bagi orang Meleyu pula, ada golongan yang berani terbabit dengan akitiviti ini dengan membuka kedei-kedai runcit kecil di kawasan luar bandar dan kampung. Walaupun saiz operasinya tidaklah sebesar saiz operasi kedai runcit milik bangsa lain, tetapi fungsinya sebagai pembekal barangan kering dan basah untuk masyarakat luar desa tidak boleh diabaikan.

Sehingga ke hari ini, aktiviti peruncitan seperti ini masih berterusan. Yang membezakan antara dulu dan sekarang adalah kedai runcit bangsa lain sudah berkembang menjadi pasar raya besar manakala kedai runcit milik orang Melayu masih mengekalkan operasinya secara sederhana serta tidak mampu bersaing dengan kedai milik bangsa lain.

Jika ada perbezaan sekalipun, mungkin kini orang Melayu sudah berani untuk membuka kedai runcit di kawasan bandar dan sekitar taman perumahan dengan operasinya dibesarkan sedikit menjadi pasar mini (mini market).

Satu revolusi baru dalam sektor peruncitan negara dikesan berlaku pada awal tahun 1990-an apabila Jaya Jusco Berhad, sebuah syarikat peruncitan terbesar di Jepun dipelawa memasuki pasaran negara ini oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bermula pada tahun itu, operasi syarikat tarbabit terus berkembang sehingga pada tahun 2005 dilaporkan hasil jualan syarikat berkenaan melebihi RM1 bilion dengan 13 cawangan pasar raya Jusco berada di negara ini. Dengen situasi keadaan negara ini, tidak mustahil sekiranya pendapatan syarikat ini bakal terus berkembang dengan jualan dijangka mencecah lebih dari RM2 bilion pada tahun ini.

Kemudian sekitar tahun 1993, muncul pula gergasi penuncitan dari Eropah yang mula mengintai untuk memasuki pasaran di negara ini. Carrefour mengambil giliran dan sehingga kini kumpulan terbabit mempunyai 13 cawangan di seluruh negara.

Apa yang menarik mengenai Carrefour ialah, kumpulan terbabit menguasai pasaran peruncitan di Eropah dan menduduki tangga kedua di dunia dari segi keuntungan selepas Wal-Mart dari Amerika dengan jualan berjumlah RM309.6 bilion di seluruh dunia.


Industri peruncitan negara kemudian menyaksikan pula kemasukan Tesco pada sekitar tahun 2000 hasil usaha sama di antara syarikat terbabit dengan Sime Darby Berhad. Tesco merupakan syarikat peruncitan keempat terbesar di dunia dengan jualan melebihi AS RM237 bilion setahun.

Andai ada syarikat tempatan yang mampu menyaingi syarikat gergasi ini, cuma Kumpulan Mydin Mohamad Holdings Berhad yang bermula pada tahun 1956 dengan 15 cawangan di seluruh negara serta jualan melebihi AS$111 juta setahun dapat bersaing dengan mereka.

Bagaimanapun pasar raya Mydin mungkin tidak boleh dibandingkan dengan gergasi-gergasi peruncitan yang lain kerana dari segi keuntungan, saiz operasi dan khidmat selepas jualan, Mydin boleh dianggap masih di belakang lagi.

Dari segi segman pemasaran juga, Mydin cuma menguasai golongan kelas yang berpendapatan sederhana dan rendah sahaja. Sedangkan golongan yang mempunyai pendapetan melebihi RM2000 sebulan masih tertumpu pada pasar raya besar yang lain.

Di sini satu persoalan mengapakah kerajaan melalui syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan seperti Khazanah Holdings dan yang lain tidak mahu atau tidak berani untuk melakukan palaburan dalam sektor ini sedangkan industri ini amat besar pasarannya?

Jika pengurusan dan pentadbiran yang dibimbangkan, maka jika diteliti nama-nama pengurus di syarikat antarabangsa terbabit, kita akan mendapati hampir separuh daripadanya adalah orang Melayu yang pastinya beragama Islam.

Sebagai contoh, daripada 13 cawangan Jusco di negara ini, lapan pengurusnya adalah Melayu. Ini tidak termasuk lagi pengurus-pengurus kanan dan kumpulan pengurusan atasan yang lain. Ini tidak ditambah lagi dengan pengurus-pengurus Melayu dari Carrefour, Tesco atau Giant.

Yang pastinya kita tidak akan ketandusan kelompok profesional untuk mengurus atau mentadbir sebuah syarikat peruncitan berteraskan Islam sepenuhnya sekiranya ada pihak yang berani untuk melabur dan terlibat secara serius dalam industri ini

Andai masalah modal pula dibangkitkan, terdapat banyak sumber umat Islam yang boleh digunakan. Tabung Haji misalnya mempunyai ratusan juta wang umat Islam di negara ini yang boleh digunakan sebagai modal pelaburan.

Buat masa kini, Tabung Haji hanya banyak terbabit dengan aktiviti pelaburan yang dianggap selamat seperti pertanian dan pembinaan. Walaupun pelaburan Tabung Haji ini boleh dianggap menguntungkan, namun ia mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan keuntungan.

Sebagai contoh aktiviti perladangan memerlukan tempoh antara tujuh hingga lapan tahun sebelum pokok sawit dapat mengeluarkan hasil sekaligus memberikan pulangan kepada pelabur. Sesuatu yang patut dipertimbangkan juga adalah harga minyak sawit berada di pasaran komoditi. Maka harga minyak sawit bersifat tidak statik sama seperti getah yang mengalami kenaikan harga dan penurunan harga mengikut pasaran dunia.

Sektor peruncitan pula menjanjikan sesuatu yang amat berbeza. Dengan anggaran penduduk Islam di negara ini yang melebihi 10 juta orang, pelaburan terhadap pasar raya besar menjanjikan keuntungan dan kecairan modal yang pantas kecuali jika terdapat situasi salah urus atau masalah lain seperti bencana alam atau peperangan.

Bayangkan dengan kewujudan sebuah pasar raya besar seperti ini, umat Islam di negara ini mempunyai satu pilihan alternatif yang lebih praktikal untuk membeli-belah dan berbelanja. Di samping itu kecairan tunai umat Islam dapat disalurkan kepada satu sistem ekonomi yang turut dipunyai oleh umat Islam sendiri.

Adalah sesuatu yang menarik sekiranya usaha ini dapat menjadi realiti. Andai syarikat-syarikat gergasi peruncitan antarabangsa mampu menembusi negara-negara Islam tidak mustahil juga peluang syarikat milik umat Islam mampu untuk berkembang di negara Islam yang lain adalah besar juga.

Dengan jaringan pasaran industri peruncitan umat Islam yang besar dari negara di Timur Tengah ke negara China, industri ini bukan sahaja mampu menjana ekonomi umat Islam malah dapat membantu memasarkan produk-produk yang dijamin halal dan bersih.

Sekiranya di Malaysia ni ada pihak yang jual rumah kedai atau lot kedai macam yang mereka buat dengan jual rumah di taman perumahan. Bayar serendah RM100 sebulan sewabeli sehingga 50 tahun atau lebih. Kalau tak sempat anak atau cucu boleh sambung bayar. Tentu ramai bumiputera mempunyai ruang niaga sendiri di deretan bangunan komersil di bandar-bandar besar maupun pekan-pekan yang sedang membangun. Saya tak pasti sama ada, ada ke tak projek sebegini yang dibuat oleh kerajaan untuk membantu bumiputera yang tak berkemampuan tapi ada jiwa untuk menjadi peniaga yang ada lot perniagaan sendiri. Kalau ada pun mungkin sewa bulanan mahal yang hanya mampu dimiliki oleh konco-konco, kroni-kroni dan golongan elit bumiputera yang kaya raya saja.

Jadi, buatlah wilayah pembangunan koridor apa pun, utara, selatan, timur, barat kerana dalam setiap pembangunan itu peluang untuk bumiputera berniaga dalam lot bangunan komersil ada. Tapi kalau masih juga berniaga tepi jalan, tepi kaki lima, depan supermarket cina dan bangsa lain, sia-sia saja pembangunan itu. Hanya menguntungkan bangsa lain dan kroni-kroni politik bumiputera yang meluluskan projek pembangunan itu saja. Orang lain untung berniaga mereka pulak dapat komisen dan share sama. Walaupun kena cukai tapi cukai tu untuk pembangunan lagi, pembangunan yang akan terus-menerus menguntungkan mereka sampai bila-bila. Bukannya memberi faedah pada rakyat dan meringankan beban rakyat. Untuk menikmati pembangunan itu rakyat kena bayar dengan tolnya, minyak yang dipotong subsidi, nak berubat kat hospital kena bayar, nak belajar kena bayar.

Inikah yang dinamakan kerajaan prihatin, yang ikhlas membantu rakyat? Kita perlukan satu pembaharuan dalam pemikiran mereka yang membuat keputusan dan dasar kerajaan. Selagi kerajaan sekarang masih memerintah pastinya mereka akan terus membolot segalanya dan rakyat tidak akan mampu mengecapi kemajuan yang sebenarnya untuk masa depan dengan berdikari. Beri pancing dan biar rakyat sendiri mencari lubuk dimana ada ikan yang banyak. Kalau tak nak bagi free pun buatlah skim bayaran mudah yang meringankan beban anak cucu dan cicit bagi tempoh jangka masa panjang.

Ahad, 10 Februari 2008

10 Langkah Untuk Kaya

Robert Kiyosaki adalah seorang ahli perniagaan dan pelabur yang pernah melalui zaman sukar dalam kehidupan, malah pernah jatuh miskin sehingga terpaksa tidur dalam kereta selama 3 minggu kerana tidak mampu membayar sewa rumah. Beliau akhirnya berjaya mengubah hidup sehingga berjaya dan berkongsi pengalamannya melalui buku 'RICH DAD POOR DAD'. Berikut adalah langkah-langkah disarankannya untuk menjadi kaya :

1. Ambil Keputusan untuk menjadi kaya
Banyak yang kita boleh belajar mengenai diri seseorang daripada perkataan-perkataan yang digunakannya. Kata-kata yang dilontarkan dan disimpan di dalam kotak fikiran membentuk dunia seseorang tanpa disedarinya. Kita terdengar orang berkata "saya hanya memerlukan duit yang mencukupi untuk membayar sewa rumah". "Saya perlukan beberapa ringgit saja sebelum dapat gaji esok". "Selepas selesai membayar bil-bil ini, saya tak tahu macamana keluarga saya nak hidup". Kata-kata seumpama ini sebenarnya sering digunakan oleh orang miskin yang fokus mereka hanyalah kepada survival kewangan. Mereka miskin kerana gagal mengurus wang. Jadi mereka yang berfikir begini atau menggunakan perkataan-perkataan ini selalu bergelut dengan survival kewangan, tanpa mengira berapa banyak pendapatan yang mereka perolehi.

Golongan pertengahan pula menggunakan perkataan-perkataan yang berbeza pula sebab mereka mempunyai idea bagaimana untuk menggunakan wang. "Rumah kita adalah aset yg paling penting dan pelaburan kita yg terbesar". "Setiap bulan kami ketepikan sedikit wang untuk disimpan bagi membayar pendahuluan rumah yang kami impikan". "Kami menabung untuk pengajian anak di kolej dan persaraan". Golongan pertengahan memberi tumpuan kepada keselesaan. Sebab itu ramai daripada mereka berkata, "Saya tidak mau menjadi kaya, saya hanya mau hidup selesa".

Bagaimanapun orang kaya menggunakan perkataan yang berbeza ; "Bagaimana anda membiayai pusat membli belah itu? Adakah melalui rakan kongsi atau pinjaman?". "Saya membeli saham itu melalui syarikat saya kerana kesannya dari segi cukai dalam jangka panjang adalah lebih baik". Orang kaya menggunakan perkataan-perkataan yang menjurus kepada aset. Mereka tidak fokus kepada survival jangka pendek atau dari hari ke hari, atau asyik memikirkan perbelanjaan seperti orang miskin. Mereka juga tak tertumpu kepada keselesaan dan pemilikan liabiliti menggunakan kad kredit seperti golongan pertengahan. Orang kaya menjadi kaya kerana mereka fokus kepada pemilikan jangka panjang aset atau harta seperti saham, bon, perniagaan dan hartanah yang memberi hasil. Maka tak hairan ada orang kaya yang rela mengorbankan makan minum, gaji yang diterima tiap bulan, percutian atau keselesaan tinggal di rumah yang cantik; untuk membina atau memiliki aset sebenar. Jadi, ambil keputusan untuk menjadi kaya, walaupun hari ini anda tak mempunyai wang, kerana keadaan itu hanya sementara.

2. Buat keputusan jenis masalah kewangan yang anda kehendaki
Hanya ada 2 jenis masalah kewangan; tak cukup wang atau terlalu banyak wang. Malangnya kebanyakan orang menghadapi masalah tak cukup wang. Ramai orang tau bagaimana bekerja untuk mendapatkan wang, tetapi mereka tak tau bagaimana mempunyai sumber tenaga dan wang bekerja untuk mereka. Jka anda ingin menjadi kaya, anda mesti pastikan segala wang lebihan mendatangkan lebih banyak wang. Anda perlu tau apa yang harus dilakukan dengan wang yang berlebihan itu sebelum ia menguasai anda. Kebanyakan orang berbelanja secara boros atau hanya menyimpan wang di dalam bank jika ada wang lebih.

3. Tulis rancangan anda dan ikut rancangan itu
Jika anda telah memilih untuk menjadi kaya walaupun hari ini anda tak mempunyai wang, buat rancangan dengan beberapa matlamat asas :
- tukar ciri pendapatan anda. Mulakan perniagaan secara separuh masa.
- ubah ciri perbelanjaan. Tukar perbelanjaan peribadi kepada perbelanjaan perniagaan.
- sahkan perniagaan.
- beli aset melalui perniagaan.
Kembangkan rancangan anda, pada waktu yg sama anda mesti bertahan untuk hidup kurang selesa buat sementara waktu. Hari ini anda perlu bersedia untuk tidak mempunyai cukup wang, tetapi bukan miskin.

4. Buat keputusan di mana anda mau membuat urusan perbankan
Anda boleh bezakan golongan kaya, miskin dan pertengahan daripada tempat mereka mendapatkan wang atau di mana mereka melakukan urusan perbankan. Bank bagi orang miskin ialah pajak gadai yang memberi pinjaman atas aset. Manakala golongn pertengahan mempunyai kewajaran kredit untuk menggunakan bank, serta simpanan dan pinjaman. Satu bentuk kredit popular bagi kumpulan ini ialah kad kredit yang amat mudah diperolehi. Orang kaya juga menggunakan bank, tetapi mereka berurusan dengan bank-bank yang berbeza. Mereka menggunakan khidmat bank pelaburan, atau menjadi modal persendirian daripada individu-individu kaya, atau wang dari institusi-institusi lain seperti syarikat insurans atau pasaran saham. Orang kaya yang berjaya sebagai ahli perniagaan, ia lazimnya tak menghadapi masalah mengumpul wang yang banyk dan mendapatkan pada kadar yang lebih baik.

5. Bijak pilih kawan dan rakan kongsi
Salah satu sebab orang kaya menjadi lebih kaya ialah mereka bergaul di kalangan orang kaya. Kebanyakan pelaburan yang baik datang daripada rakan-rakan yang kaya, bukan daripada broker saham atau broker hartanah. Jadi, pilih rakan-rakan yang mempunyai aspirasi untuk menjadi kaya, hidup selesa atau sekadar meneruskan hidup sahaja. Rakan-rakan yang hanya mau hidup selesa atau hidup cukup makan tidak akan faham mengapa anda ingin menjadi kaya, dan tanpa sedar mereka akan menurunkan semangat anda.

6. Beri masa kepada diri sendiri
Membina portfolio perniagaan dan pelaburan memerlukan masa. Membina perniagaan tak seperti mencari pekerjaan. Jika bekerja dengan orang lain, anda akan dibayar gaji, tetapi jika berniaga anda mungkin tak bergaji selama beberapa tahun. Sebab itu ada baiknya di peringkat awal anda berniaga secara separuh masa. Ada pandangan menyatakan 90% daripada perniagaan gagal dalam tempoh 5 tahun pertama. Antara puncanya ialah kekurangan ilmu dan pengalaman. Lagi pun perniagaan bukanlah sesuatu yang boleh anda pelajari di sekolah. Perniagaan adalah kombinasi pendidikan formal, pengalaman dan keberanian. Punca lain ialah wang. Anda mungkin pernah mendengar ungkapan 'membunuh angsa yang mengeluarkan telur emas'. Apabila memulakan perniagaan, ramai orang membunuh anak angsa itu sebelum ia cukup tua untuk mengeluarkan telur emas itu. Dalam kata lain kebanyakan perniagaan kecil tak mempunyai cukup modal, dan pemilik perniagaan cuba menyara hidupnya dan keluarga dengan perniagaannya yang belum cukup kukuh. Jadi, perniagaannya sering tak cukup modal sedangkan ia memerlukan wang untuk berkembang.

7. Mula kecil, impian besar
Hari ini anda mungkin mempunyai sedikit simpanan dan berfikir tak ada gunanya kerana anda tak akan ke mana. Sedangkan kawan anda mempunyai wang berjuta ringgit, tak mungkin anda dapat mengejarnya. Jika anda terus berfikir begitu, memang benar anda tak akan menempah kemajuan dalam hidup. Anda cuma membandingkan diri sendiri dengan orang yang lebih berjaya, dan cuba menyainginya, tetapi tidak menjadikan dia sebagai mentor atau kejayaannya sebagai inspirasi. Impikanlah sesuatu yang lebih besar walaupun anda harus bermula deagan sesuatu yang kecil. Mempunyai impian yang besar adalah penting kerana di dalamnya terdapat bahan-bahan yang penting untuk berjaya: harapan, kemahuan, kecintaan, tenaga, kepercayaan, semangat, inspirasi dan kreativiti. Bahan-bahan ini menjadikan hidup lebih bermakna. Ceritakan kepada orang lain mengenai impian anda itu, biar mereka mengkritiknya. Gunakan kritikan-kritikan itu untuk mengukuh keinginan anda itu.

8. Fokus
Tinggalkan atau kurangkan aktiviti yang kurang mendatagkan faedah dan beri tumpuan kepada pekerjaan yang anda ingin lakuknn. Jika anda ingin mempunyai kedudukan kewangan yang baik pada masa depan, anda harus menginsafi kelalaian lalu dan perbetulkan kegiatan anda hari ini.

9. Jadi lebih besar dengan lebih cepat
Masalah dalam perniagaan kecil ialah anda harus menjalankan semua kerja sendiri kerana tidak mempunyai modal mencukupi mengambil pekerja. Peniaga kecil bermula secara kecil dan terus dengan perniagaan itu. Jika anda ingin berkembang maju dan lebih besar, perniagaan atau pelaburan yang anda buat mesti bekerja untuk anda. Satu perniagaan kecil kurang berkesan utk menjadikan anda kaya, anda harus mempunyai lebih banyak perniagaan-perniagaan kecil itu. Mereka yang mempunyai impian kecil, berfikir kecil sering kali terpaksa bekerja keras dengan pulangan yang sedikit. Jadi, cuba fokus; dapatkan ilmu serta pengalaman sebanyak mugkin, mula secara kecil-kecilan, dan kembangkan perniagaan secepat mungkin. Lebih banyak aset yang anda miliki, berkurangan kerja yang perlu anda lakukan dan lebih banyak wang akan anda perolehi.

10. Lebih banyak anda berkongsi, anda menjadi lebih kaya
Jika anda tamak, kedekut atau terlalu takut untuk berbelanja, lebih lama tempoh yang akan anda ambil untuk menjadi kaya. Fokus untuk melakukan lebih banyak walaupun mendatangkan pulangan yang kurang, tetapi untuk lebih ramai orang. Anda perlu berkongsi kekayaan dengan orang lain seramai mungkin. Bermurah hatilah dan cuba berkongsi. Jika anda berbuat demikian, anda akan menjadi lebih kaya berbanding mereka yang hanya bekerja untuk diri sendiri.
Akai_pc - wang bukanlah segala-galanya, tetapi manusia memerlukannya.

Selasa, 5 Februari 2008

M'bangunkan ekonomi ummah

Oleh: DR. MOHD.ASRI ZAINUL ABIDIN

Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak patut disebutkan. Nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai ‘perkauman’.

Pandangan itu dinyatakan kerana saya ingin menggalakkan masyarakat muslim membantu membeli produk-produk keluaran saudara-saudara muslim. Saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor, antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama sebagai kuasa pengeluar sedangkan kita mempunyai kuasa membeli. Juga pembabitan umat Islam di tanah air dalam bidang perniagaan masih tidak kukuh.

Para peniaga muslim menghadapi cabaran di sudut persaingan. Agak sukar melihat pasar raya besar milik muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Kedai yang dimiliki oleh umat Islam dan produk muslim juga terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli produk umat Islam.

Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasar raya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Keadaan menjadi lebih buruk jika umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Di peringkat antarabangsa, negara-negara umat Islam bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak. Tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni.

Kita masih gagal mewujudkan kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya. Sesungguhnya dunia Arab tidak dapat memerangi Barat – jika keadaan memerlukan demikian – selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain.” (Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, Maza khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah).

Inilah realiti, kita hamba penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, banyak negara umat Islam meminta sedekah. Keadaan ini benar-benar mendesak. Dunia sudah berubah, bukan hanya kekuatan senjata menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara terhadap percaturan dunia. Ekonomi juga menentukan perubahan peta.

Firman Allah dalam surah al-Anfal: 60: (maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh umat. Kekuatan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda, salah satu daripadanya yang dapat dilihat di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu.

Pada zaman sekarang, senjata-senjata canggih menggerunkan musuh dan umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu, kekuatan ekonomi adalah senjata baru dalam membina kekuasaan yang mampu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi adalah tuntutan agama.

Malangnya kita cuai dan alpa. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita... jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadangkala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim yang berkualiti adalah kewajipan. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasar raya milik orang Islam. Di peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan.

Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar al-Quran dan al-Sunah mewujudkan rangkaian ikatan persaudaraan (ukhuwah Islamiah) yang kukuh. Di atas akidah teguh ini menjadikan umat dahulu bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan.

Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam.

Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan lain, termasuk bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb: (Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa dunia Islam... kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi, peperangan, pemikiran dan kebudayaan. (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu’asir)

Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwah (persaudaraan) sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan ukhuwah Islamiah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi. Sedangkan ini adalah sesuatu yang dituntut. Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya kaum al-‘Asy‘ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripada-ku dan aku daripada mereka. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini, Rasulullah memuji sikap tolong-menolong, bantu-membantu serta perasaan mengambil berat antara satu sama lain. Baginda memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy’ariyin yang jamin-menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud: “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah. Tolong-menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan takwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit.

Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadis di atas: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi assabiah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-Asy’ariyin sebahagian daripada baginda.

Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu-membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi’ wa Qawa’id ‘Ammat).

Kalaulah tolong-menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasulullah tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuhi dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong-menolong, bantu-membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara kebaikan adalah tuntutan persaudaraan Islam. Sabda Nabi s.a.w.: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Tolong-menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam akan menjadi kuat.

Namun jika ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah daripada orang lain dan Islam dipandang hina. Dr. Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadis di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat dalam hadis ini bertujuan menggalakkan bantu-membantu dan tolong menolong sesama mukmin.

Pembinaan umat tidak sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agama.

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi, sehingga mampu berdiri dengan sendiri, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita menjadi hambar. Apakah mampu selepas itu kita mencanangkan Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?

Malanglah bagi kita jika tidak habis-habis bising tentang barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi kesedaran.

Bahkan dalam soal ekonomi, kita tidak wajar mementingkan persoalan latar politik dan sempadan negeri. Saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal, sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan kefahaman politik.
Sekiranya kesedaran ukhuwah Islamiah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Saya nyatakan demikian berdasarkan faktor-faktor berikut:

1. Kuasa membeli yang tinggi: Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada secara kelompok mereka memiliki kuasa membeli. Jumlah umat menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa.

2. Isu halal haram: Isu-isu mengenai makanan tidak halal menimbulkan keresahan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam gagal menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.

3. Ketegangan yang wujud: Ketegangan antara blok Barat dan umat Islam boleh membantu mewujudkan umat yang lebih memiliki jati diri dan berdikari. Jika pelancong-pelancong Arab enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.

Jika ukhuwah Islamiah itu benar-benar digilap sehingga ke peringkat penghayatan dalam ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jati diri dalam ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh besar dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa.

Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah tanggungjawab setiap muslim zaman ini.

- DR. MOHD.ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Isnin, 28 Januari 2008

Dinar emas

Satu untuk engkau dua untuk aku, dua untuk engkau empat untuk aku…begitulah si penyamun Nyawa dan Badan dalam kisah Nujum Pak Belalang membahagikan wang dinar emas yang dirompak mereka berdua dari istana sultan. Mungkin ada antara kita teringat akan zaman-zaman kegemilangan kerajaan Islam dahulu kala yang menggunakan dinar emas dan dirham perak sebagai matawang dalam urusniaga mereka. Dengan sekeping syiling dinar emas saja boleh beli banyak barang dimana nilainya mungkin bersamaan dengan RM300-RM1000 mengikut saiznya. Kalau untuk nilai yang lebih kecil dari itu maka dirham perak digunakan.

Kedua-dua barang komoditi emas dan perak yang dibentuk menjadi wang syiling menjadikan ia sesuatu yang benar-benar berharga dan bernilai apabila diniagakan di pasaran terbuka. Siapa yang tak nak terima emas dan perak yang ternyata amat berharga. Sementara wang kertas pula hanyalah sekeping kertas berkualiti tinggi yang dicetak dan mempunyai ciri-ciri istimewa tertentu lalu diiktiraf bank negara sebagai matawang untuk dijual beli dalam pasaran. Tetapi jika kita memiliki wang kertas yang buruk, koyak, diconteng, peniaga kedai takkan mahu terima. Mereka tak lihat ia sebagai sesuatu yang berharga tetapi melihat ia sebagai kertas yang buruk dan tak laku dijual beli. Dari segi nilai sebenar, perbezaan wang kertas dengan wang dinar dan dirham amat jelas sekali.

Dalam cerita lawak arab P.Ramlee kita sering melihat si orang kaya memberi kantung dinar emas atau dirham perak kepada orang yang dibayarnya untuk sesuatu perkhidmatan yang diberikan. Dalam cerita Ali Baba dan Kassim Baba misalnya…. nyiat insoooonnn… matakajiiiiiii… semaranginsengggggg… telah menyapu bersih harta yang di rompak oleh kumpulan penyamun. Lalu si Kassim Baba ditangkap dan dihukum kerat kepala, kaki dan tangan dengan parang gajah. Apek haiiyaa cik Siti…pelempuan manyak muda… uang dan linggit… ana tataak heran na… ditawarkan dengan beberapa kantung yang berisi wang dinar emas untuk menjahit kepala, tangan dan kaki si Kassim Baba yang dikerat oleh bapak penyamun itu. Apek tak sanggup nak jahit, tambah lagi satu kantung dinar emas. Tak sanggup juga, tambah lagi dua kantung lalu akhirnya Apek pun setuju. Kalau satu keping dinar emas tu bernilai RM500 dan dalam sekantung itu ada 100 keping sudah tentu Apek dapat untung RM5000. Kalau Apek dapat 5 kantung, Apek untung RM25’000.

Kerajaan negeri Kelantan telah menghidupkan kembali matawang dinar emas ini dan ianya diterima di negeri itu untuk urusan simpanan, mas kahwin, bayaran zakat, pemberian hadiah, sedekah, harta cagaran, upah dan sumbangan. Setiap satu dinar emas mempunyai nilai-nilai tertentu berdasarkan harga pasaran bagi satu gram emas. Misalnya satu dinar mungkin bernilai RM350. Apabila kita memiliki wang dinar emas maka kita telah memiliki sekeping wang yang sangat berharga sekali dan tidak akan jatuh nilainya kerana nilai emas tidak pernah jatuh menjunam berbanding nilai wang ringgit Malaysia yang terpaksa mengikut perkembangan pasaran matawang dunia. Matawang kertas begitu mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu seperti speculator matawang sebagaimana yang pernah berlaku kepada Ringgit Malaysia pada satu ketika dulu.

Kalau dahulu RM10 boleh beli banyak barang keperluan tetapi sekarang perlukan RM50. Dulu sebungkus nasi lemak boleh dibeli dengan harga 30 sen tetapi sekarang 50 sen. RM1 dahulu boleh beli 5 biji telur ayam, tetapi sekarang RM1 hanya untuk 3 biji telur sahaja. Kian banyak barang keperluan masa kini naik harga kerana nilai matawang tidak begitu berharga lagi, nilainya sudah jatuh menjunam sementara harga emas dan perak terus meningkat dari sehari ke sehari. Dengan memiliki wang dinar emas kita tidak risau akan kejatuhan nilainya, apatah lagi jika kita membuat simpanan harta bukan dalam bentuk wang kertas Ringgit Malaysia atau Dolar Amarika, sebaliknya dalam bentuk kepingan wang dinar emas di bank-bank yang menggunakan sistem simpanan matawang sebegini.

Jika bertahun-tahun disimpan sudah pasti nilainya telah meningkat dan ia merupakan satu pelaburan yang sangat berguna sekali untuk masa depan kita. Dengar khabarnya ar-rahn juga akan membuka cawangannya di Kuala Lumpur. Idea penggunaan wang dinar ini sebenarnya dicetuskan semula oleh bekas perdana menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad setelah beratus-ratus tahun ditinggalkan oleh pemerintah umat Islam akibat penjajahan kuasa barat di dunia Islam. Entah kenapa idea ini tidak diperkembangkan lagi dan tidak dimulakan kemudian dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di dalam negara oleh kepimpinan sekarang. Tak usahlah kita menyeru negara lain agar menggunakan matawang dinar sebagai satu instrument jual beli di kalangan negara luar seperti negara-negara OIC. Kita usahakanlah sendiri di dalam negara dengan menggalakkan setiap negeri menerima penggunaan matawang dinar emas dan dirham perak untuk tujuan-tujuan yang telah dinyatakan pada permulaan kisah ini tadi dan membuka lebih banyak cawangan seperti ar-rahn di negeri lain ataupun boleh dibuat di bank-bank sedia ada dengan memberi pilihan kepada pelanggan dan penyimpan harta di bank agar tidak terbatas dalam bentuk wang kertas Ringgit Malaysia sahaja dan pelanggan juga boleh menukar atau membeli wang dinar emas di kaunter bank.

Satu contoh yang sangat baik sekali bagi negeri Kelantan apabila pemerintahnya melihat kepentingan matawang dinar ini untuk memelihara hak dan nilai harta rakyat yang disimpan di pusat-pusat simpanan seperti ar-rahn. Kelantan merupakan perintis kepada usaha ini sedangkan negeri-negeri lain masih lagi mempertahankan nilai wang kertas ringgit di pasaran yang semakin hari semakin jatuh nilainya. Penggunaan matawang dinar ini bukanlah hendak menghapuskan terus penggunaan matawang kertas yang sedia ada, tetapi ia hanyalah sebagai satu pilihan untuk mereka yang mahu menghargai nilai harta mereka dengan sesuatu yang benar-benar berharga.

Apatah lagi dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi sekarang ini membolehkan penggunaan matawang dinar tidak perlu di bawa ke mana-mana di dalam dompet yang mungkin agak berat untuk dibawa atau mudah tercicir, sebaliknya boleh digunakan dengan pengenalan kad debit iaitu nilai simpanan kita dalam bentuk wang dinar akan ditolak terus dari akaun simpanan jika kita membeli sesuatu barangan di kedai yang menerima bayaran menggunakan kad debit. Sekiranya kita membawa wang dinar pun, sekeping dinar emas akan bernilai RM300 bermakna kita boleh membawa hanya beberapa keping saja. Jika penggunaan matawang dinar ini digalakkan dan diterima di pasaran seiring dengan penggunaan matawang kertas maka tauke-tauke kedai tentu akan menerimanya.

Sebagai contoh apabila kita hendak membeli telefon bimbit Nokia yang berharga RM1’700 di kedai apek Chong, kita kena hulurkan 6 keping dinar emas kepada apek Chong. 6 dinar bersamaan dengan RM1’800 (1 dinar = RM300), jadi baki RM100 bolehlah diberi balik kepada kita dalam bentuk wang kertas Ringgit Malaysia. Kalau takut nilai RM100 itu jatuh pada hari tersebut, cepat-cepatlah ke pusat simpanan ar-rahn atau bank yang menyediakan kemudahan simpanan matawang dinar dengan hanya perlu menambah RM200 lagi untuk disimpan dalam bentuk 1 dinar emas. Kalau pada hari itu RM300 jatuh nilainya menjadi RM250, tetapi dengan 1 dinar emas nilai wang kita selamat dan kekal kepada RM300 bahkan mungkin meningkat menjadi RM350 sekeping.

Bukankah ini dilihat sebagai sesuatu yang menguntungkan. Saya tidak fikir bahawa mereka yang berkuasa untuk melaksanakan sistem ini tidak nampak akan kebaikan dan kepentingan matawang dinar dan dirham ini digunakan dalam urusan jual beli di pasaran. Mungkin ada sebab ataupun mungkin ada alasan lain untuk mereka tidak memulakan perlaksanaannya disebabkan untuk menjaga kepentingan sesuatu. Ada yang mengatakan disebabkan perlu mengikuti bentuk sistem kewangan yang digunapakai pada peringkat antarabangsa yang menggunakan dagangan matawang kertas berasaskan Dolar Amerika. Pada pandangan saya tak perlulah kita terlalu melihat secara sempit, kita lihat akan potensinya jika ia digunapakai dalam negara sahaja, tak perlu melihat kepada penggunaannya di peringkat antarabangsa. Lambat laun orang luar akan nampak faedahnya jika negara kita berjaya melaksanakannya di dalam negara.

Akhir kata, kepada sesiapa yang berkenaan janganlah jadikan penggunaan dinar emas ini hanya sebagai satu tinggalan sejarah saja, sejarah telah membuktikan bahawa betapa berharga dan bernilainya matawang dinar emas ini sehingga pada zaman dahulu ketika era penjajah, si pencari harta karun yang sebenarnya merupakan pencuri dan perompak harta umat Islam sanggup meredah lautan dan gurun padang pasir untuk mencari peti wang emas dinar di negeri-negeri Arab. Bagi yang berkuasa seperti British dan Peranchis pada ketika itu sanggup berbelanja besar untuk berperang dengan kerajaan Islam kerana pulangan dari kemenangan mereka cukup besar dan lumayan sekiranya berjaya merampas dan membawa balik wang emas dinar berjuta-juta di peti harta karun yang tersimpan di istana raja-raja dan sultan-sultan arab.

Pembangunan di Britain, Peranchis dan Amerika sekarang ini adalah hasil dari rompakan yang dibuat oleh mereka pada zaman dahulu dan sekarang ini mereka mengecapi hasil kemajuannya. Tetapi sekarang ini, pencuri, perompak, penyamun, penyangak, penjajah tidak perlu lagi meredah ombak lautan yang bergelora, ribut pasir gurun yang kencang kerana mereka boleh merompak dan merampas matawang kertas mana-mana negara dengan hanya memanipulasikan dagangannya di pasaran matawang dunia hanya melalui internet mahupun di kaunter bursa saham mereka. Mereka boleh membeli dan menjual sesuka hati mereka kerana yang dijual beli adalah matawang kertas yang tak berharga langsung bila ia koyak rabak, buruk dan diconteng. Tauke kedai pun tak nak terima wang kertas sebegitu, melainkan jika kepingan dinar emas sudah pasti tauke kedai dengan tangan terbuka menerimanya walaupun ia sudah tercalar dan kemik sekalipun, ia tetap kepingan emas yang berharga.

Penjajah zaman sekarang ini tidak perlu lagi merompak emas negara lain sebab semuanya telah hampir habis dikebas. Sekarang ini bukan emas kuning lagi jadi rebutan sebaliknya emas hitam pula cuba dirompak dari negara-negara arab. Wahh…betapa kayanya negara arab yang memiliki banyak emas kuning dan emas hitam yang tak pernah habis-habis dari dulu sampai sekarang tapi pemimpin mereka kurang cerdik untuk memanfaatkannya sehingga mudah diperdaya dan dijajah oleh bangsa asing. Diharap pemimpin negara kita janganlah jadi kurang cerdik seperti pemimpin negara arab ini. Sejarah telah memperlihatkan akibat daripada kurang cerdik ini dan seharusnya kita mengambil pengajaran dari kisahnya.

Maklumat lanjut tentang :
Dinar emas Kelantan
Kijang Emas Maybank

Ahad, 27 Januari 2008

Siapa usahawan berjaya

ISLAM bersikap positif terhadap aktiviti keusahawanan. Buktinya dapat dilihat daripada pemahaman sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “Usaha yang baik itu ialah pekerjaan yang dilakukan sendiri oleh orang itu.”

Adalah antara bukti Islam bersikap positif terhadap aktiviti keusahawanan. Agama Islam memberi ruang yang luas kepada manusia untuk merangsang daya kreativiti bagi membangunkan peradaban insan. Dalam bidang muamalah contohnya, untuk memastikan sistem keusahawanan yang akan diuruskan oleh manusia tidak terdedah daripada sifat ketempangan yang boleh memudaratkan kepentingan umum manusia, Islam telah merangka satu garis panduan yang jelas berdasarkan petunjuk daripada al-Quran dan as-Sunah. Keistimewaan yang terpancar dalam sistem keusahawanan yang berorientasikan muamalah Islam kerana ía disuburkan dengan nilai-nilai teologi yang menjadi teras kepada model pembangunan keusahawanan yang bersifat holistik.

Manifestasi keunikan yang ada pada sistem keusahawanan Islam dapat dilihat daripada amalan keusahawanan yang telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, dan para sahabat seperti Sayidina Abu Bakar, Abdul Rahman bin Auf dan sebagainya.

Apabila manusia membelakangkan faktor keagamaan, golongan tersebut akan bertindak bertuhankan hawa nafsu dalam mengejar kepentingan material sehingga menghalalkan apa sahaja cara untuk memenuhi segala impian meskipun bertentangan dengan prinsip agama dan norma masyarakat. Klimaknya berlakulah penyelewengan, rasuah, spekulasi yang bertentangan dengan nilai-nilai luhur manusia, penipuan, penindasan dan perlakuan negatif yang lain sehingga boleh merosakkan sistem sosioekonomi masyarakat.

Hal yang demikian disebabkan doktrin keusahawanan dikatakan sebagai ‘akta kekreatifan manusia’, menuntut usahawan untuk mencipta dan meneroka sesuatu nilai daripada yang tiada. Justeru, ia perlu diimbangi dengan asas keagamaan yang berfungsi sebagai kuasa neutral untuk mengawal tingkah laku manusia daripada melakukan kezaliman dan pencerobohan sesama manusia.

Berdasarkan World View Islam, usahawan yang berjaya ialah individu yang cemerlang dalam setiap lapangan yang diusahakannya dan mengamalkan sepenuhnya nilai-nilai agama serta dapat menyumbangkan keuntungan yang diperolehi untuk kepentingan agama dan masyarakat amnya. Keuntungan material semata-mata bukanlah dianggap indicator untuk menunjukkan kejayaan seseorang usahawan. Sebaliknya, kejayaan yang ingin dikecapi bukan sahaja di dunia bahkan berkesinambungan dengan am akhirat. Kunci utama yang perlu dijadikan objektif ialah mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.

Konsep Usahawan Berjaya.
Secara konseptualnya, usahawan berjaya boleh ditakrifkan sebagai indvidu yang cernerlang dalam aktiviti keusahawanan dan komited terhadap perintah agama atas kapasitinya sebagai seorang Muslim, mukmin dan muhsin. Dalam Islam, ketentuan untuk mencapai kejayaan ini dikenali sebagai konsep al-falah pencapaian cemerlang yang mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia daripada aspek kerohanian, kebendaan, moral dan sebagainya untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan habuanmu dari (kenikmatan) di dunia.” (Al-Qasas: 77).

Melalui konsep ini, golongan usahawan akan lebih cenderung untuk berusaha secara konsisten melaksanakan tugasnya sebagai khalifah al-Ard untuk melakukan kebaikan kepada manusia demi mencari keredhaan yang hakiki. Semangat al-falah yang dihayati oleh usahawan Muslim akan mendorong mereka mengoptimumkan segala sumber-sumber yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t untuk kemaslahatan umat manusia sejagat.

Usahawan Muslim perlu memastikan mereka menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang bentuk penyelewengan dan unsur-unsur yang boleh mencemarkan keharmonian sistem keusahawanan Islam. Harta yang diperolehi melalui aktiviti perekonomian bukan bersifat pemilikan yang mutlak, sebaliknya manusia hanyalah sebagai pemegang amanah yang menguruskan sumber tersebut.

Usahawan bejaya juga perlu mengambil kira faktor pembangunan insan dalam lapangan kerja yang diusahakannya. Contohnya, melazimkan sembahyang berjemaah dalam kalangan pekerja, membudayakan penghayatan ilmu dalam kalangan stafnya, bersifat terbuka dan bertoleransi terhadap kritikan yang membina, menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat luar dan menekankan nilai-nilai murni dalam organisasinya.

Usahawan yang mempraktikkan nilai-nilai tersebut akan mendapat ganjaran yang besar kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Peniaga yang bersifat benar bersama dengan para anbiya, siddiqin dan para syuhada.” (at-Tirmizi)

Kriteria Asas Usahawan Berjaya
Penanda aras (benchmarking) kepada kejayaan usahawan bukan hanya terletak kepada keuntungan yang diperolehinya semata-mata. Walaupun, prestasi keuntungan dilihat sebagai indikator kepada kejayaan usahawan namun pengabaian kepada faktor bukan ekonomi iaitu nilai rohaniah akan memberi dampak yang negatif terhadap pembangunan ekonomi yang bersifat holistik.

Keghairahan mengejar faktor material semata-mata boleh menjadikan seseorang usahawan itu bersifat individualistik dan materialistik. Realiti ni berlaku disebabkan nilai agama dilihat sebagai kawalan kerohanian kepada individu Muslim dalam setiap tindakan yang dilakukan. Akibat daripada kelonggaran pegangan nilai keagamaan boleh mendedahkan diri usahawan bertindak dengan cara yang salah demi mendapat habuan dunia. Umumnya, kriteria-kriteria asas kejayaan usahawan Muslim dapat dirumuskan seperti berikut:

1. Tidak tertibat dalam perniagaan yang diharamkan syarak
Islam menyeru kepada penganutnya bersikap kreatif dan berinovatif dalam memakmurkan sumber alam yang telah dianugerahkan oleh Allah. Dalam setiap transaksi yang melibatkan perniagaan ataupun perkhidmatan yang diusahakan oleh usahawan, Islam menganjurkan golongan tersebut melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Ini kerana, sebahagian besar sumber rezeki yang melimpah ruah dikurniakan oleh Allah s.w.t. adalah melalui aktiviti keusahawanan.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menerusi Fatwa Mu’asir, menjelaskan bahawa dalam kerancakan bergiat aktif dalam dunia keusahawanan, Islam telah mengharamkan kepada manusia berkecimpung dalam perniagaan yang mempunyai unsur-unsur diharamkan oleh syarak. Contoh yang lazim dikemukakan dalam kitab fiqh seperti perniagaan yang berkaitan dengan judi, arak, riba dan babi. Menurut perbahasan muamalah Islam, sekiranya hasil tersebut diniagakan kepada bukan Muslim hukumnya kekal sebagai tidak sah.

Dalam kes yang melibatkan arak, syarak mencela dan melaknat individu yang terlibat sama ada secara langsung atau sebaliknya, dalam aktiviti tersebut. Peristiwa ini telah dirakamkan dalam sebuah hadis Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh al-Hamidi barkenaan dengan seorang lelaki yang datang kepada baginda untuk menghadiahkan arak. Lantaran itu baginda bersabda yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengharamkan arak." Kemudian beliau berkata kepada Baginda: “Sekiranya begitu, aku mahu menjualkannya.” Baginda berkata: “Sesungguhnya Allah yang mengharamkan minum arak mengharamkan menjualnya.”

Oleh yang demikian lelaki tersebut berkata “Sekiranya begitu saya akan memuliakan (menghadiahkan) orang-orang Yahudi dengannya". Apabila mendengarnya Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah yang telah mengharamkan menjual dan meminumnya, mengharamkan engkau memuliakan orang Yahudi dengannya.” Mendengar jawapan tersebut beliau berkata: “Apa yang harus saya lakukan?”
Baginda bersabda: “Pergilah engkau ke jalan raya dan simbahkan ia di situ.”

2. Bebas daripada unsur-unsur penipuan dan khianat.
Sebahagian usahawan beranggapan untuk mendapat keuntungan yang lebih kadang-kadang mereka terpaksa mengorbankan soal moraliti demi mengelakkan kerugian. Apa yang difikirkan adalah objektif keuntungan material lebih diutamakan daripada kepentingan umum pengguna. Namun begitu, jika diperhalusi secara terperinci unsur-unsur negatif yang dipraktikkan oleh usahawan ia meninggalkan kesan negatif yang cukup besar dan boleh menjejaskan reputasi yang telah dibina oleh usahawan terbabit.

Golongan usahawan yang bersifat sedemikian, lebih cenderung dan terdedah untuk melakukan pecah amanah, rasuah, sumpah palsu, penipuan dan penindasan ke atas pengguna. Oleh kerana unsur-unsur negatif tersebut mendatangkan kemudaratan kepada manusia, maka Islam memandang serius perkara ini. Nabi Muhammad s.a.w. menegah unsur-unsur sedemikian dibudayakan dalam aktiviti keusahawanan. Dalil daripada sunah, sabda Nabi s.a.w. bemaksud: “Barang siapa yang menipu maka dia bukan dalam golongan kita(Muslim dan lain-lain)."

Aktiviti keusahawanan yang dituntut oleh Islam hendaklah bersih danpada unsur-unsur negatif yang telah dinyatakan. Keuntungan yang diperolehi dengan cara yang salah menyebabkan harta yang diperolehi tidak diberkati dan yang lebih dibimbangkan ialah mendapat kemurkaan danpada Allah s.w.t.

3. Tidak terlibat dalam aktiviti sorok barang dan manipulasi harga
Pengagihan kekayaan tidak mencapai objektif sekiranya hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja tambahan lagi dengan cara penindasan terhadap pihak lain. Contohnya, apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji atau bonus sudah tentulah membawa berita gembira kepada para pekerja. Bagaimanapun, gembira yang dinikmati hanyalah sementara apabila terdapat segelintir usahawan dan peniaga cuba mengambil kesempatan mengamalkan kegiatan sorok barang dan dalam masa yang sama memanipulasikan harga barang asasi masyarakat dengan sewenang-wenangnya. Ternyata aktiviti negatif sedemikian boleh menyebabkan ketidakstabilan ekonomi dalam masyarakat, kenaikan harga barang yang tidak munasabah, peningkatan kadar inflasi, jurang kemiskinan tinggi, pembolotan kekayaan oleh segelintir pihak, dan pelbagai kesan negatif yang lain.

Islam mengkritik dan mencela golongan yang bertindak menguasai pasaran secara tidak adil. Islam melihat fenomena ini sebagai perkara yang tidak sihat dan penyebab kepada ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat. Dalam hal ini, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang yang melakukan komplot menyorok barang melainkan dia telah melakukan kesalahan."

4. Kesedaran beragama dan menghayati nilai-nilai terpuji

Matlamat utama yang perlu diletakkan oleh setiap individu usahawan atau peniaga ia mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t. Apabila cita-cita ini dijadikan objektif yang utama dalam diri usahawan sudah pastilah ia akan mencapai konsep al-falah di dunia dan akhirat. Golongan usahawan yang mempunyai kesedaran agama yang tinggi sentiasa memastikan segala hasil pendapatan yang dimiliki mengikut jalan yang diredhai dan bersih. Umpamanya, pendapatan yang diperolehi perlu dipastikan sumber-sumbernya, prinsip-prinsip muamalah yang diaplikasikan, memenuhi kualiti, dan mengeluarkan zakat.

Secara fitrahnya, pembangunan keusahawanan yang berorientasikan nilai-nilai luhur tidak akan berlaku kontradiksi dan konflik (disequilibirium) disebabkan perkara tersebut telah diberi jaminan daripada Allah kepada hanba-hamba Nya yang bertakwa. Melalui aplikasi nilai-nilai murni dalam diri usahawan yang bersumberkan akhlak lslamiah akan mengelakkan mereka daripada dicemari dengan nilai-nilai mazmumah dan akhirnya mendorong melakukan pengkhianatan dan kerosakan atas muka bumi (fasad).
Selain jelas menentang keras nilai-nilai negatif yang boleh mencemarkan keharmonian sistem keusahawanan. Asimilasi doktrinisasi nilai-nilai mahmudah dalam amalan keusahawanan akan membentuk satu kerangka pembangunan keusahawanan yang komprehensif ke arah melahirkan usahawan Muslim yang berjaya. Natijahnya nilai-nilai positif seperti berani, berjiwa besar, amanah, berdaya saing, tidak mudah putus asa akan terpancar dalam diri para usahawan.

Sebaliknya, jika aspek ini diabaikan dan dipandang remeh ia membuka pintu yang luas kepada manusia untuk memuaskan keinginan hawa nafsunya yang tidak terbatas. Impaknya, golongan usahawan akan tenggelam dengan tipu daya dunia yang hanya menjanjikan keseronokan yang bersifat sementara. Oleh kerana terlalu taasub dengan kemewahan dunia manusia sanggup mengetepikan nilai-nilai rohaniah yang menjadi penghalang kepada tuntutan hawa nafsu.

5. Memperkasakan diri dengan ilmu dan kemahiran
Amalan keusahawanan yang dipraktikkan oleh Nabi s.a.w berbeza dengan realiti yang berlaku pada hari ini. Meskipun begitu, sistem keusahawanan yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w dilihat sebagai asas fundamental yang mendasari kerangka sistem tersebut. Ia bersifat kuantitatif kerana berpandukan kepada wahyu, bagaimanapun syarak masih lagi membuka ruang kepada manusia untuk proses penambahbaikan bagi memperkasakan sistem tersebut selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Dalam aspek keusahawanan ia menuntut kepada individu yang terlibat mempunyai sifat ketekunan yang tinggi, kreatif, berani menghadapi risiko dan bermotivasi tinggi. Semua ciri-ciri yang dinyatakan tersebut menuntut kepada usahawan untuk membuat persiapan yang mencukupi sebelum menceburkan diri dalam dunia usahawan.

Bagi menghadapi realiti yang berlaku dalam dunia keusahawanan, golongan usahawan perlu memperkasakan diri mereka daripada aspek penjanaan modal, sumber manusia, penguasaan teknologi terkini, kemahiran yang kompeten, jaringan perniagaan yang global dan berpengetahuan. Elemen-elemen inilah yang perlu ditekan oleh usahawan Muslim pada hari ini. Jika kita masih lagi berfikiran tertutup, menggunakan peralatan tradisional dalam proses pengeluaran, meneruskan aktiviti tradisional yang diwarisi daripada ahli keluarga nescaya usahawan Muslim akan ketinggalan dan masih lagi belum bersedia untuk menjadi usahawan di peningkat yang lebih tinggi.

Islam tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk mencari harta kekayaan untuk kesenangan di dunia. Seseorang individu dituntut untuk berusaha dengan tekun untuk memperbaiki taraf hidupnya. Secara prinsipnya, usahawan berjaya menurut kerangka keusahawanan Islam ialah individu yang berusaha secara konsinten untuk maju dalam bidang yang diceburinya dan mematuhi sepenuhnya tuntutan keagamaan. Terminologi usahawan berjaya dalam korpus muamalah Islam bukan hanya mendapat pengiktirafan di dunia semata-mata seperti yang difahami oleh Barat tetapi merentasi alam akhirat. Justeru, aplikasi teori-teori asas keusahawanan perlu diintegrasikan dengan nilai-nilai rohaniah keagamaan supaya dapat menghasilkan satu momentum yang positif ke arah penjanaan usahawan Muslim berjaya dan cemerlang menenusi konsep al-falah.