Custom Search

Reviews Directory

Memaparkan catatan dengan label Motivasi dan Tauladan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi dan Tauladan. Papar semua catatan

Jumaat, 27 Jun 2008

Perjuangan Yg Belum Selesai

Perjuangan Yang Belum Selesai

Oleh : Tun Dr. Mahathir Mohamad



Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina

Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa
selangkah beerti mara
mengharung sejuta dugaan

Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemrdekaan
rupanya lebih sukar dari bermandi
keringat dan darah menuntutnya

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut, pengembara
malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi pedagang dan peniaga

selain menjadi ulama dan
ilmuan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal
erti takut dan kematian?

Di manakah silapnya hingga bangsaku
berasa begitu kecil dan rendah diri?
Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsaku mulai
melupakan kegemilangan silam
dan sejarah gemilang membina empayar

Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan
memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya.

Mei 1996


ERTI KEMERDEKAAN

Oleh : Tun Dr. Mahathir Mohamad

Dan jatuhnya hanya beberapa hari
lalu terbelenggu 400 tahun
suatu tempoh yang amat payah dan panjang
pengabdian dan kehilangan yakin diri
43 tahun kita berdiri menebus maruah
merdeka mentafsir diri sendiri dan bangga pada apa yang ada
masih mahukan harga itu diperjudikan?

Kita tidak akan mempertaruhkan nasib itu
di tangan kita masih panas
keringat, tulang belulang dan tenaga fikir
menghayun langkah membina wawasan
waspada harimau di matahari terbenam
tidak akan hilang belangnya
mengisytiharkan dirinya yam tuan tunggal sejagat
yang lemah longlai
yang gagah gergasi
akan meruntuhkan segala sempadan rimba
atas nama membina perkampungan dunia
mahukah kita biarkan
mereka menginjak-injak dan menghancurkan taman kecil permai ini?

Rimba tanpa sempadan
atas nama “kebaikan” menyelinap menusuk matafikir
hidupan dunia ketiga terpaku takjub dengan slogan
‘kasih alam
ketelusan hukum
keadilan timbangan
kesatuan warga dunia
kebebasan mutlak’
lalu beraraklah anak-anak bumi ini meraikan kesatuan alam
dengan sorak sorai
‘runtuhkan sempadan!
runtuhkan sempadan!
runtuhkan korupsi
runtuhkan kolisi’

dan di belakang mereka tidak melihat
bayang-bayang belenggu halimunan
yang lebih ganas daripada segala yang ganas
kita pun akan kehilangan harga dan erti diri
mengapa diundang mereka
dan mereka tiba-tiba berada di depan pintu rumah kita?
Kita telah bangun dengan segala kepayahan
membuka belantara dan mempertahankan warisan
kita tafsir merdeka mengikut acuan sendiri
merdeka kita dengan fikiran
dan kita pertahankannya dengan fikiran
dunia sudah melihat kita
dunia sudah menghormati kita
Timur dan Selatan mengharapkan kita
mereka datang berbondong-bondong mencari bumi ini
perlindungan dan erti hidup
mengapa kita sendiri masih belum mahu melihat
dengan tangan masih terbelenggu ke belakang
dan hanya sesekali menjulangnya
mengikut rentak genderang dunia matahari terbenam?
Bijak pandai pernah berpesan
‘mereka yang tidak belajar dari sejarah mereka didera
dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali’
sejarah mengajar kita betapa kukuh sesuatu bangsa
akan tetap kecundang bila ditikam dari belakang
mengapa kita mula halalkan sejarah hitam berulang?

Nasib kita genggam
dengan tangan sendiri dan segala kudrat kurniaan
kita jalin kekuatan sulaman kasih bangsa
kita didihkan dia dengan tradisi semangat juang
maruah bangsa kita julang ke mercu alam
kita bangunkan suatu tamadun cinta damai
di sini kita ajar anak-anak kita erti sayang
di sini kita tawarkan dunia menaja kemanusiaan
dan bukan alat peperangan
dunia belajar erti merdeka sejati
mempelajari dan menerima segala perbezaan
merdeka menafsir hidup tanpa paksaan kuasa

Di sini kita yakin segalanya boleh
Di sini kita yakin segalanya boleh
Itulah erti kemerdekaan

Perjuangan ini mesti diteruskan.

Puisi Patriotik 2000

Jumaat, 2 Mei 2008

Bekerjalah Untuk Diri Sendiri

Buat Kerja, Bukan Asyik Cari Kerja

Apakah tujuan kita bekerja? Adakah semata-mata untuk menjadi punca rezeki melalui pendapatan yang diperolehi. Jika itulah tujuannya maka kita takkan ke mana-mana dan akan sentiasa mencari kerja yang memberikan pendapatan dan pulangan yang lumayan. Jika tidak, akan terus berusaha mencari pekerjaan yang memberikan pendapatan yang banyak.

Mungkin kita mempunyai kefahaman yang berbeza-beza kerana terdapatnya perbezaan dalam penerimaan pengetahuan dan maklumat. Namun itu tak mengapa kerana yang penting saya buat kerja saya iaitu menyampaikan apa yang saya tahu dan apa yang saya buat. Saya tak mahu cari alasan dan buat alasan berjela-jela sehingga tak dapat hasil apa-apa dan pengalaman tidak bertambah. Bagi saya bekerja bukan setakat untuk menjadi punca rezeki semata-mata bahkan yang lebih penting sekali ia adalah sebagai satu amalan yang jika dilakukan secara ikhlas, jujur dan amanah maka kerja yang dilihat orang lain susah bagi kita menjadi mudah, kerja yang dianggap orang lain berpendapatan sedikit tapi bagi kita cukup besar hasilnya kerana nilai tambah yang diperolehi darinya akan menghasilkan sumber pendapatan yang lain. Bukan setakat dengan menerima pelbagai insentif dan anugerah hasil dari kecemerlangan kerja kita tapi dari pengalaman bekerja serta kebijaksanaan memanipulasikan keadaan dengan sebaiknya akan membuka pintu dan jalan sumber pendapatan lain.

Di dalam ajaran Islam, setiap pekerjaan yang dibuat dengan baik, ikhlas, jujur dan amanah akan dibalas dengan pahala untuk bekalan akhirat kelak. Bermakna kita akan memperolehi pendapatan dan ganjaran hasil dari perbuatan itu di hari pembalasan kelak. Di dunia kita memperoleh pendapatan dalam bentuk wang ringgit serta nilai tambah dari usaha kita manakala di akhirat kelak kita bakal memperolehi ganjaran pahala yang membolehkan kita memiliki khazanah syurga.

Berbalik kepada buat kerja, bukan asyik cari kerja dalam apa jua yang saya buat saya tidak mahu mengikut rentak kerja orang lain yang kadang-kadang sangat berkira dan banyak membuat alasan untuk tidak mau buat kerja. Ketika mereka menerima pendapatan setiap bulan dengan kerja yang tak ikhlas dilakukan dan kadang-kadang banyak goyang kaki, banyak berborak di kedai kopi dan tunggu masa nak balik kerja mereka masih juga memegang jawatan kerja itu, dalam masa yang sama mereka mau cari kerja lain kerana merasakan pendapatan yang diperoleh dari kerja ini tak cukup dan kerja ini tak glamer dan tak ada class di mata masyarakat. Maka itu mereka malu hendak mengaku dan berbuat kerja ini dan mengharapkan orang lain atau rakan sekerja berbuat kerja itu untuk mereka. Jika saya jenis orang yang sama dengan mereka dan suka berkira-kira, mungkin saya akan sering bertekak dan bertelingkah dengan rakan sekerja saya yang lepas tangan dan tak bertanggungjawab dengan jawatan yang diamanahkan itu. Sama seperti orang politik yang hanya banyak berdebat dan mencari kesalahan pihak lawan tapi satu projek pun tak jalan, kalau jalan pun tak ada kualiti dan tidak memenuhi spesifikasi yang dikehendaki. Akhirnya semua kerja tak jadi dan tak dibuat tapi tiap bulan tetap terima gaji. Anda pasti sedia maklum apakah status pendapatan yang mereka perolehi itu dan tak perlulah saya perjelaskan lebih lanjut. (to be continued)


Utusan Malaysia : Buat Kerja, Bukan Asyik Cari Kerja


Rabu, 5 Mac 2008

Tukar Rutin Capai Matlamat

Tukar Rutin Untuk Capai Matlamat

Seorang pengkaji alam semulajadi Perancis, John Fabre pernah membuat kajian mengenai sejenis ulat bulu yang tabiatnya suka mengikut ulat di hadapannya. Dalam kajian itu Fabre telah mengisi sebuah pasu dengan tanah dan menanam pokok yang menjadi makanan ulut bulu tersebut di tengah-tengahnya.

Fabre kemudian menyusun ulat bulu tersebut seekor demi seekor, mengelilingi tepi pasu dan membiarkannya. Seperti biasa, ulat-ulat bulu tersebut berjalan mengikut ulat yang di hadapannya. Mereka berjalan mengelilingi pasu jam demi jam, dan hari demi hari sehingga akhirnya semua mati kebuluran.

Jika salah seekor daripada ulat bulu itu bergerak keluar kira-kira enam inci daripada pusingan tersebut, ia pasti akan mendapat makanan yang diperlukan. Malangnya ulat-ulat bulu tersebut tetap dengan tabiatnya mengikut ulat di hadapannya tanpa berfikir dan bertindak bijak. Mereka mengikut rutin, dan akhirnya semua menemui maut.

Perkara yang sama mungkin berlaku kepada sesetengah orang, atau anda sendiri. Hidup saban hari melakukan perkara yang sama, dan mengikut rutin serupa tanpa ada perubahan. Matlamat-matlamat yang anda ingin perolehi berada tidak jauh, tetapi anda tidak boleh mencapainya. Dan selagi anda tidak bertindak diluar kebiasaan untuk mencapainya, selagi itulah matlamat-matlamat itu kekal sebagai angan-angan kosong.

Adalah mudah untuk memahami hal ini, jika hidup anda menjadi satu rutin, ia boleh memusnahkan. Hari demi hari anda akan melakukan perkara yang sama dan pagi hingga ke malam, pergi kerja, bekerja, bergaul dengan kawan, dan pulang untuk tidur. Anda tidak melakukan sesuatu yang lain dengan menggunakan pelbagai alasan. ‘Tidak ada masa adalah antara alasan yang sering didengar.

Ini adalah kehidupan anda, ambil sedikit masa untuk menukar corak rutin harian dan mencipta perubahan yang boleh memberi lebih manfaat kepada hidup anda. Sebelum itu anda perlu mengenal pasti bahawa hidup telah menjadi satu rutin dan perlu berubah.

Jika anda menjalani hidup seharian tanpa banyak berfikir lagi, seolah-olah memandu sebuah pesawat secara autopilot, atau melalui kehidupan tanpa perancangan untuk mengubah masa depan, maka anda sebenarnya sedang berada dalam zon rutin.

Sebenarnya bukan sukar untuk keluar daripada rutin itu. Anda hanya perlu membuat keputusan untuk berubah. Jika berterusan dengan kerja, atau tindakan yang sama setiap hari, keputusan atau hasil yang didapati juga hampir serupa.

Contohnya jika anda ingin mengurangkan berat badan tetapi terus dengan tabiat makan yang serupa setiap hari, adakah anda akan mencapai matlamat itu? Tentu tidak! Begitu juga anda tidak akan mencapai matlamat jika terikat dengan rutin yang sama. Anda mesti melakukan kelainan, jika anda berterusan dengan perkara yang sama, anda akan terus terikat dengannya sehingga ia menguasai hidup.

Inilah perangkap yang perlu dielakkan. Anda mesti membuat perubahan itu sekarang. dan tidak membiarkan hidup dijalani secara autopilot!

Selasa, 4 Mac 2008

Adakah Kau Lupa?



Bangkitlah saudaraku semua..

Sehingga hari ini kita sudah terlalu jauh terpesong dr jalan yang lurus. Kita telah sekian lama disesatkan dengan pelbagai hiburan yang melalaikan yang disajikan kepada kita setiap hari di media massa perdana dan paparan menarik kesenangan dunia. Kita telah sekian lama diperdayakan dengan pelbagai janji-janji manis pembangunan dan kemajuan keindahan fatamorgana. Kita telah sekian lama difitnah dengan gambaran-gambaran buruk terhadap mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama dan tamadun bangsa.

Kita sudah jauh ketinggalan dibelakang kerana penerapan dan pencarian ilmu yang terbuka dan bebas terhalang oleh kesusahan, kemiskinan dan penyelewengan kuasa dan bantuan pendidikan untuk generasi Islam. Di dalam Islam antara mereka yang layak menerima zakat ialah pemuda pemudi Islam yang sanggup berjuang untuk menuntut ilmu bagi mendapat redha Allah dan memperjuangkan agama Nya.

Walau bagaimanapun, kita masih tetap boleh memperkasakan Islam dengan iman dan taqwa. Menarik hati-hati para cendekiawan, ilmuan, saintis dan pakar-pakar teknologi bukan Islam untuk menghayati ajaran Islam agar mereka boleh bersama berada dalam barisan umat Islam. Dengan itu kelebihan mereka dapatlah digunakan untuk Islam dan umat Islam kelak. Agama Islam bukan untuk bangsa Arab dan Melayu saja. Agama Islam adalah untuk semua bangsa di dunia kerana asal kejadian manusia adalah satu, kemudian Islam datang untuk menyatukan semula manusia.

Hari ini, kita takkan mampu untuk menyaingi teknologi terkini barat. Walaupun kita tak dapat mengambil secara langsung dari mereka dalam masa terdekat tapi untuk jangka masa panjang kita masih mampu untuk menarik hati-hati pereka dan pencipta teknologi mereka untuk bersama Islam dan mencipta lagi teknologi terbaru untuk umat dan negara Islam. Kemenangan mutlak bukanlah hanya dengan menawan wilayah mereka semata-mata dan menjadikan mereka tawanan kita. Kemenangan sebenar kita ialah kemenangan menawan hati-hati bukan Islam untuk tertarik dengan ajaran-ajaran Islam dan jaminan-jaminan Islam untuk dunia dan akhirat.

Sungguh malang sekali bagi kita, bilamana kini ramai antara rakyat dan umat Islam sendiri yang rosak akhlak, sesat, murtad, hidup penuh dosa, menipu, berbohong, bermusuhan sesama sendiri. Musuh-musuh Islam berkonspirasi halus menghancurkan Islam dari dalam. Melalui kepimpinan orang Islam sendiri. Mereka yang berkuasa sekarang menjadi ejen kepada kehancuran Islam sedikit demi sedikit dengan merendahkan martabat umat Islam dan membiarkan kemungkaran terus berleluasa menyesatkan dan menghancurkan umat Islam.

Mereka tiada kesungguhan untuk menegakkan semula seruan Islam, sebaliknya mereka hanya terus membuat pembangunan demi pembangunan dan kemajuan demi kemajuan dengan membelakangkan ajaran Islam sebenar dan tuntutan Islam yang paling utama. Mereka membolot segala keuntungan berlipat kali ganda diperolehi melaluinya, sedangkan rakyat dan umat Islam terus menanggung kesengsaraan, kesusahan, kemelaratan dan diperlakukan seperti hamba dan kuli yg tiada maruah dan hak membela nasib diri menyuarakan pandangan.

Semoga koleksi video youtube "Adakah Kau Lupa" dalam pelbagai versi ini dapat memberi kesedaran kepada kita semua.

Isnin, 3 Mac 2008

Jangan Miskin Minda

Biar Miskin Harta, Jangan Miskin Minda

‘Biar miskin harta jangan miskin minda’, itulah ungkapan pujangga yang selalu kita dengari apabila menceritakan tentang betapa tingginya kedudukan minda dan pemikiran seseorang. Tidak dapat disangkal atau dinafikan peranan minda di dalam mencanai dan membentuk peribadi, akhlak, kelakuan dan sikap seseorang. Jika ingin melihat nilai minda atau akal seseorang itu lihatlah pada kelakuan, tutur kata dan tingkah lakunya. Malah ia mencerminkan keseluruhan peribadi dan keturunannya. Maka mengayakan minda adalah menjadi tanggunglawab diri kita sendiri, tambah-tambah lagi kepada generasi yang akan datang iaitu anak-anak kita.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa minda juga perlu disemai, dibaja, disiram dan disantap dengan perkara-perkara yang baik dan sensitif. Janganlah membuang masa berfikir tentang hal- hal yang remeh-temeh. Sebaliknya gunakanlah segenap ruang yang ada untuk memikirkan tentang bagaimana anda mahu memperbaiki arah hidup anda dan masa depan keluarga anda. Jadi, apakah perancangan anda? Bagaimanakah anda mampu menggunakan segala kekuatan dan keajaiban minda ini untuk merealisasikan impian anda terutamanya untuk menjadi kaya.

Perkara pertama yang paling penting adalah bersedia untuk berubah pemikiran kerana apabila anda menukar cara pemikiran, maka anda akan mengubah cara hidup. Belajar untuk mengadaptasi perkara-perkara baru di dalam kehidupan. Bukalah minda anda seluas-luasnya. Lihat betapa luas dan indahnya dunia ini serta belajarlah menghormati kehidupan disamping menikmatinya.

Tengok apa bezanya diri kita dan orang lain dari segi kualiti kehidupan. Dapatkan sedikit inspirasi dan semangat daripada orang-orang yang tepat. Belajar melihat sesuatu benda dan perkara dengan mata hati akan membuatkan anda berasa dan mula berfikir. Lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutamanya belajar mengenai perkara-perkara baru yang dapat merangsang minda dan jiwa anda. Berikan sedikit kesegaran kepada bank info anda.

Tukarkan juga gaya pemikiran anda seperti siapa yang anda mahu jadi. Andai anda mahu jadi ‘tauke’ maka berfikirlah cara ‘tauke’ bukan berfikir cara ‘kuli’. Begitu juga dengan aliran pemikiran anda, pastikan ia sentiasa pada mood ‘positif’. Minda perlu sentiasa cantik dan penuh optimis terhadap apa jua yang anda rencanakan.

Cetuskan idea-idea yang bernas dan kreatif. Pada zaman ini, idea- idea adalah terlalu mahal dan berharga. Malah idea-idea yang bernas ini mampu menandingi kepandaian seseorang. Buka minda dan mata dengan melihat lebih banyak benda serta perkara. Pengalaman adalah guru dan ilmu terbaik untuk anda memperbaiki diri kerana melaluinya, kesedaran dan ilham akan timbul, jika boleh mencari kelainan dan mempunyai kelebihan tersendiri, anda akan menjadi lebih hebat daripada orang lain yang anda pernah lihat.

Mempunyai strategi dan perancangan teliti juga penting untuk mencerminkan anda kaya minda dan kalau boleh biarlah ia berskala besar. Ini juga menunjukkan anda sudah pun berfikir daripada segenap sudut tentang keuntungan dan risikonya. Ia membuatkan anda lebih bersedia.

Dan akhir sekali yang terpenting adalah sikap dan mentaliti anda. Orang yang kaya minda selalunya mencerminkan peribadi dan akhlak terpuji, bermurah hati, penuh dengan kasih sayang dan puji-pujian. Orang yang kaya mindanya hanya akan lihat pada kelebihan orang lain bukan kelemahan orang itu. Orang kaya minda akan menjaga kata tuturnya agar tidak menyakiti hati orang lain. Orang kaya minda juga akan sentiasa senyum walaupun dalam kesusahan dan kesempitan. Orang kaya minda akan hormat dan menyayangi dirinya sendiri.

Kaya atau miskin, hanya kita yang mampu mengubah nasib kita. Segalanya di dalam tangan dan minda kita. Namun sealunya yang miskin akan memberi pelbagai alasan dan yang kaya akan memberi seribu jalan, renungkanlah, tingkatkan potensi minda anda semaksimumnya.

Rabu, 20 Februari 2008

"Smart"

Selalu mendengar, “Learn smart, work smart, earn smart?” Selalu juga mendengar ungkapan, “Don’t work hard, but work smart?”

Nampaknya perkataan “smart” begitu berkeramat sekali. Ia mudah disebut tetapi payah juga untuk dibuktikan. Mengapa? Sebab ia adalah gabungan mental, fizikal dan spiritual. Tanpa salah satu seseorang itu tidak akan menjadi “smart’ tidak boleh dikatakan “smart” bahkan dia mungkin melakukan perkara-perkara yang boleh ditafsirkan sebagai tak berakal.

Mental seseorang yang “smart” sentiasa “brilliant” dan “evergreen” untuk mengeluarkan idea-idea baru lagi bernas, sesuai dengan peredaran zaman atau perkembangan yang mengambil tempat. Fizikalnya sihat, terpancar melalui pergerakannya yang tangkas dan spiritualnya utuh, tergambar melalui pengamalan-pengamalan agamanya.

Realitinya, dalam kehidupan hari ini apabila perkataan “smart” disebut, ramai orang membayangkan seseorang yang bertali leher, pen jenama popularnya di poket, mungkin memakai kot. Pendek kata kemas. Jika wanita pula orang itu memakai blazer sedondon. Dia mungkin mengenakan kacamata hitam berbingkai emas. Kenderaan yang dipandunya jenis import.

Tidak dinafikan, itulah ciri-ciri yang merangsang “smart” tapi “smart” jauh lebih mencabar dari itu. “Smart” sebenarnya bermula di kepala. Apa yang menghiasi tubuh adalah “booste” untuk membantu apa yang ada di dalam kepala menjadi “smart” dan bertindak “smart”.

Peliknya otak manusia ini, kadang-kadang walaupun tidak berapa banyak ilmu tersimpan di situ, tetapi disebabkan adanya rangsangan rangsangan luaran yang disebutkan itu tadi, ia boleh bertindak seiring dengan apa yang dihadapi. Misalnya, seorang jurujual yang hanya tahu mempengaruhi pelanggan biasa, suatu hari dia berdepan dengan pelanggan “smart” yang pakar dalam satu-satu bidang. Disebabkan oleh tampil dirinya hampir menyamai pelanggan itu, mungkin sama-sama bertali leher dan berkot serta berkacamata tebal, dia mampu menyampuk apa-apa juga yang diperkatakan oleh pelanggan itu, walaupun sebelumnya dia tidak begitu berpengetahuan.

Begitulah “smart” nya orang yang merasakan dirinya “smart” lalu bertindak dengan “smart” . Tidak semena-mena mindanya mengeluarkan idea-idea “smart’: jurujual yang “smart” seperti ini akan sentiasa dapat mempengaruhi pelanggannya. Bukanlah dia bijak tetapi semata-mata kerana dia “smart’.

Jika begitu peranan berlaku “smart”, nampaknya kita terpaksa mengusahakan agar sikap ini terbentuk dan tertanam terus dalam diri kita. Maklumlah dalam menjalani hidup yang serba canggih hari ini kita memang perlu sentiasa “smart” supaya orang yang lebih “smart” tidak memperdayakan kita.

Saya mengakronimkan ejaan SMART sebagai ”Saya Menguasai A Rata Tinggi” atau dalam bahasa Inggeris, “I win A Flat” atau dalam bahasa Sarawak “Kamek Menang Semua”. Dengan meletakkan slogan ini tatkala “bersmart-smart” dengan sendirinya merangsang otak untuk turut “smart” selari dengan tampil diri yang mahu ditunjukkan. “Saya mahu menguasai A rata tinggi” bermakna satu dorongan untuk melakukan yang terbaik.

Secara khusus bagaimanakah ciri-ciri “smart” ini boleh direalitikan? Mengikut kaedah “extra mind” saya menggariskan tiga cara:

1. Konsisten
Orang smart berterusan dalam memotivasi diri. Dia seorang yang tekun dalam kerjanya dan sentiasa cuba menguasai bidangnya serta mengikut perkembangan persekitaran dengan penuh kesedaran untuk memperbaiki diri. Sebenarnya, mengikut kajian psikologi, dengan menyibukkan diri setiap hari, ia akan mengurangkan tekanan atau “stress” . Orang yang tidak melakukan apa-apa atau malas sebenarnya lebih mudah mendapat tekanan berbanding orang yang sentiasa aktif menjalani hidupnya.

2. Ghairah
Ghairah dalam aspek ini adalah lonjakan yang dibentuk setiap awal pagi sebaik sahaja terjaga dari tidur. Rasa ghairah untuk hidup dan melakukan yang terbaik akan mendorong kecemerlangan dan rasa sihat sepanjang hari. Orang “smart” sentiasa merasakan hidup adalah jalan untuk meraih kejayaan meskipun seribu halangan terpaksa ditempuh. Ghairah dengan hidup adalah punca segala kejayaan. Rasa ini lahir dari jiwa yang suci. Ia berkait rapat dengan matlamat hidup seseorang itu.

3. Gapai
Apa juga yang diingini tidak akan diperolehi jika tangan tidak dihulur untuk mengambilnya. Tanpa inisiatif untuk merealitikan segala impian, semua yang diidam-idamkan itu akan hanya wujud dalam imaginasi dan ilusi sahaja. “Bulat tidak akan datang bergolek dan pipih tidak akan datang melayang” tanpa usaha yang gigih. Individu yang “smart” sentiasa cuba menggapai apa yang diingininya. Dia tidak hanya bertahan pada angan-angan.

Orang “smart” berani mengambil risiko walaupun dia tahu risiko selalunya diterjemahkan kepada kerugian dan kesakitan. Dia seorang yang berani untuk gagal dengan menganggap kalau dia tidak gagal jawapannya pasti sebaliknya - berjaya. Dia hanya akan berada dalam dua situasi gagal atau berjaya. Dengan segala usaha yang dicurahkan dia lebih yakin akan berjaya namun berani untuk gagal sebab kegagalan adalah tiket kedewasaan dan bertambahnya pengalaman.

Sesungguhnya seseorang yang takut pada risiko bukan sahaja membantutkan segala kreativiti yang ada pada diri mereka malah ianya merupakan penghalang ke arah proses anjakan paradigma ke arah kehidupan “smart” .

Selasa, 12 Februari 2008

Perlu Kuat Berusaha

Ramai yang belum mengenali Syed Mokhtar secara dekat. Apakah falsafah hidupnya? Apakah falsafahnya dalam perniagaan? Yang nyata beliau tidak begitu gemarkan publisiti tentang dirinya. Personaliti yang diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 ini menganggap institusi yang didukungnya iaituYayasan Al-Bukhary lebih penting daripada dirinya.

Mengungkap sisi peribadinya, Syed Mokhtar berkata beliau bertindak mengikut keperluan tapi wajib terus berusaha agar setiap masalah selesai secepat mungkin. Yang penting semua kerja perlu dibereskan walaupun berat. “Kalau yakin perkara benar, tiada masalah. Perkara yang benar akan beri kita kekuatan untuk terus berusaha, jangan lari dari tanggingjawab. Senaman kita buat secara sederhana, makan dan minum satu pertiga sahaja. Saya suka berusaha dan cuba setakat yang terdaya.” ujarnya.

“Dalam pada itu kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak nierosakkan kita. Yayasan Al-Bukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita,” pesannya lagi. Syed Mokhtar juga mempunyai pendirian yang sangat jelas tentang apa sebenarnya yang harus dimiliki oleh orang Melayu. Ujarnya, orang Melayu perlu memiliki sifat kuat benusaha. “Sama ada kita dapat kejayaan atau tidak, kita tak boleh putus asa. Kalau dapat kejayaan kena bersyukur, tidak dapat pun bersyukur juga. Saya tidak melihat cara jangka pendek untuk berjaya. Saya percaya kita mesti melalui proses tertentu untuk kita mendapat kejayaan.”

“Ini kerana sebelum kejayaan diperoleh, kita terpaksa mengalami bermacam-macam cabaran. Kita kena kenal diri kita sendiri. Dalam agama pun Allah suruh kita kenal diri sendiri sebelum mengenali Allah. Maknanya kita kena menilai dengan jujur dan tidak boleh tipu diri sendiri. Sebab itu apa yang kita buat mesti ikhlas.” Bilionair Melayu ini percaya kepada perkara yang wajib ada iaitu asas ekonomi. “Sememangnya wujud jurang ekonomi antara ketiga-tiga kaum (Melayu, Cina dan India) ini. Kalau kita kecewa maka jurang ini akan semakin jauh. Walaupun sesetengah orang Melayu mudah kecewa namun sekarang ni sudah nampak banyak perubahan.

Jurang katanya, masih ada tapi beliau menyeru masyarakat agar tidak berputus asa dan terus belajar selok-belok berniaga kerana kalau tiada kekuatan sendiri dan tiada pengalaman selok-belok perniagaan, susah untuk maju ke hadapan.”

Tiada Jalan Singkat
Dalam pada itu ramai pula yang tidak sabar dan menggunakan jalan singkat untuk berjaya. Mengulas hal ini Syed Mokhtar berkata, “Kalau kita tak sabar, kita akan dapat hasil yang ‘tak sabar’. Tahun 60-an saya adalah salah seorang yang tak dapat peluang yang orang patut tolong. Tapi alhamdulillah, saya tolong diri saya sendiri. Kita semua sama saja. Mak saya kata, “Hangpa tujuh orang keluar dan perut aku.”

“Kerana itu dia tak bagi kami berkongsi bisnes. Tujuh orang kena ada kemahiran sendiri dan bila jumpa kasih saying akan berpanjangan. Sekarang ini saya tolonglah sikit-sikit. Tapi yang penting mereka tolong diri sendiri. Setiap orang akan dapat peluang mengikut kemampuan dan tak boleh berputus usa. Beliau juga sentiasa mengulang-ulang bahawa dirinya adalah anak Dasar Ekonomi Baru (DEB). “Saya melalui proses, misalnya, mula-mula minta lesen nak berniaga kedai, minta lesen lori. DEB sediakan semuanya tapi ada yang hendak cepat kaya ambil lesen pajak kepada Cina. Beli lori tidak mahu mengusahakan sendiri.

“Kerajaan yang didukung oleh UMNO memang ada polisi untuk menolong orang Melayu. Tapi DEB hanya bagi orang Melayu 30 petatus dan 70 peratus lagi kepada kaum lain. Sebab itu bila saya jumpa mereka saya kata, DEB bagi 70 peratus kepada mereka dan saya hanya tumpang 30 peratus, itu pun mereka hendak suruh kaji semula. DEB kayakan seluruh masyarakat Malaysia dan memberi peluang terbuka kepada semua kaum dan bukan kepada orang Melayu saja. Saya tahu perkara ini sebab saya menceburi perniagaan sejak dari awal lagi.”

Disebabkan pelbagai kemudahan yang disediakan adakah menyebabkan orang Melayu tidak sedar mereka ketinggalan? Syed Mokhtar menjelaskan, “Saya fikir orang Melayu sedar tapi mereka rnungkin tidak mahu menjadikan itu sebagai satu isu. Bagi saya, kalau sedar macam mana sekalipun, isu tetap di situ juga jika tidak mencari jalan mengatasinya. Seperti saya selalu kata, benda yang benar akan kekal. Bagi saya, orang Islam bernasib baik kerana kita ada akhirat. Dalam Islam, ajaran dan budaya sudah lengkap. Ini meliputi cara hidup dan cara kita cari rezeki. Kalau kita ikut nilai-nilai ini tak payah nak pakai serban. Orang Kedah kata macam lebai kodok, bukan cerdik sangat. Tapi yang penting kita ada kekuatan itu. Kita tak perlu ada sifat malu kerana kita tak mencuri. Setiap orang Allah bagi kekuatan”. Tegasnya.

Modenkan Sekolah Agama
Syed Mokhtar juga berkecenderungan untuk memodenkan sistem sekolah pondok di negara ini, namun timbul persoalan adakah rancangan itu relevan untuk dilaksanakan pada masa ini.
Menjelaskan hal ini beliau berkata, “Sistem sekolah pondok yang ada pada hari ini memerlukan perubahan, sekolah yang lengkap dengan kemudahan asas. ini penting kerana kebersihan itu adalah asas kesihatan pelajar dan juga sebahagian daripada iman.

“Kolej Yayasan Al-Bukhary di Alor Setar ada sistem, lapan jam belajar, lapan jam waktu tidur dan lapan jam lagi untuk buat kerja-kerja sukarela. Pembelajaran hukum agama asas seperti sembahyang dan mengaji adalah tanggungjawab individu dan mesti ada. Kolej tidak hanyak tumpukan kepada agama kerana itu tanggungjawab individu, tanggungjawab dengan Allah. Kolej itu tumpukan ilmu dunia.”

“Bila kita susah, orang tolong kita dan bila kita nampak orang susah kita kena tolong. Objektifnya bila keluar dari kolej ini mereka berisi dengan ilmu, nak jadi akauntan atau ahli ekonomi, kita berikan pelajaran dan lepas itu kita lepaskan, tiada terikat untuk pergi ke mana sahaja. Sistem sekolah pondok hanya pentingkan agama. Agama adalah tanggungjawab kita, memang ada dalam jiwa cuma perlu diperkuatkan tapi perlu juga ada ilmu dunia,”ujarnya.

Syed Mokhtar turut menghimbau zaman remaja dan cara bagaimana dirinya dibesarkan dengan didikan keluarga. “Masa itu keluarga saya susah tapi saya ke sekolah rendah dan rnenengah macam biasa. Bila habis sekolah menengah, duit tidak ada dan saya ambil keputusan untuk tolong ayah saya dan berusaha dari kecil untuk berjaya. Duit kita guna untuk kehidupan peribadi dan untuk tolong orang lain juga.” Kaum lain ada organisasi seperti persatuan Hokkien atau Kantonis tetapi di mana orang Melayu? Di Kedah tiada satu pun dewan orang Melayu.”

Lalu apabila Syed Mothtar mendirikan kolej, beliau mengarahkan agar dibuat lima atau enam reka bentuk yang berbeza. Sebab orang Kodiang, Arau, Padang Terap dan Pokok Sena bukan mampu untuk pergi sampai ke Samarkhan, Istanbul, Isfahan untuk melihat reka bentuk asing itu. Bila anda pergi ke kolej itu ada lima konsep seperti Morish, Turki, Tupaki, Afrika Utara dan sekali gus mencerminkan Islam yang global. Secara penbadi saya memang minat kepada seni bina Islam,” katanya.

Syed Mokhtar mengakui sejak dulu lagi beliau sedar akan masalah pendidikan orang Melayu. Jelasnya, pada tahun 60-an beliau menghadapi masalah pendidikan kerana tiada kemampuan.
“Saya tidak boleh bayar yuran semasa di tingkatan Lima. Masalah budak-budak Melayu yang tak mampu nak bayar yuran memang ada pada masa itu. Saya nampak masalah pendidikan tapi saya pun salah seorang daripada mereka yang memerlukan pertolongan. Tapi tidak ada siapa yang tolong membayar yuran sekolah. Mungkin masa itu tidak ada orang Melayu yang berkemampuan yang boleh tolong saya. Jadi, bila dapat sikit peluang dalam pemiagaan, saya ada kemampuan untuk menolong orang lain. Orang kaya ada dalam semua kaum. Mereka kena membantu kaum sendiri supaya tidak tercicir. Yang miskin kita kena bantu,” katanya.

Isnin, 11 Februari 2008

Ikon Korporat Muslim

Penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1429 kepada ikon korporat Muslim, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah dibuat pada majlis sambutan Maal Hijrah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putratrajaya (PICC). Anugerah itu telah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, disaksikan oleh 3,000 orang termasuk Pendana Menteri dan isteri, menteri-menteri kanan kabinet dan para pembesar luar negeri.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz yang juga ahli Jawatankuasa Kecil Pemilihan tokoh Maal Hijrah 1429H, anugerah ini diberi kepada warga Malaysia yang banyak berjasa membantu kemajuan ummah dan membuktikan dirinya sebagai teladan bagi umat Islam. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah memperlihatkan ciri-ciri yang luar biasa dan menjadi teladan yang baik bukan sahaja untuk dicontohi oleh umat Islam tetapi juga warga Malaysia,” jelas beliau.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah telah diperkenalkan pada tahun 1987 dan para penerima terdahulu termasuk Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim, seorang cendekiawan undang-undang Islam, Allahyarham Raja Tun Mohar Raja Badiozaman, pejuang urustadbir piawaian paling tinggi, Datuk Dr Halim Ismail, pengarah urusan pertama Bank Islam dan Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Naib Canselor Pertama Universi Malaya.

YAYASAN AL-BUKHARY
Yayasan Albukhary menjadi saluran untuk Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menyampaikan sumbangan kebajikannya. Di tubuhkan pada tahun 1996, ia telah melangkah setapak demi setapak dan mendapat pengiktirafan sebagai sebuah yayasan kebajikan Islam antarabangsa. Dengan berpegang kepada ajaran Islam, ia memheri tumpuan kepada lima bidang utama: agama, kebajikan sosial, pendidikan, kebudayaan dan inisiatif antarabangsa.

Agama
Sumbangan paling awal yayasan disalurkan kepada pembinaan dan pengubahsuaian masjid yang sangat diperlukan apabila bilangan umat Islam bertambah ramai dan pembangunan perbandaran menjadi semakin pesat. Setakat ini, ía telah membina lebih 20 masjid di kawasan luar bandar dan bandar di merata Malaysia. Sumbangan terbesarnya ialah kepada projek membaik pulih Masjid Negara berusia 40 tahun di ibu kota Kuala Lumpur, yang digunakan sebagai tempat untuk majlis rasmi negara, pengebumian pemimpin negara, tempat untuk bersolat dan menjadi daya tarikan pelancong. Yayasan Al-Bukhary turut membiayai umat Islam miskin untuk menunaikan fardu haji di Makkah.

Kebajikan Sosial
Syed Mokhtar sentiasa memperjuangkan kesaksamaan sosial, menjadikan pembasmian kemiskinan sebagai satu keutamaan. Yayasan al-Bukhary bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menaiktarafkan hidup golongan miskin tegar, dengan memberikan bantuan yang diperlukan. Ia juga melaksanakan beberapa inisiatifnya sendiri untuk membantu fakir miskin, kebanyakannya ditumpukan kepada Kompleks Al-Bukhary di Kedah - yang mempunyai rumah anak yatim, hospital dan pusat dialysis untuk fakir miskin tegar. Semua kemudahan dan perkhidmatan di sini diberikan secara percuma kepada fakir miskin bagi membolehkan mereka hidup dengan selesa.

Pendidikan
Bagi Syed Mokhtar, setiap insan berhak mendapat pendidikan. Justeru beliau menghulurkan tangan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik menerusi Yayasan Al-Bukhary memberi mereka harapan untuk membina masa depan yang lebih baik. Menerusi Program Tuisyen al-Bukhary murid miskin luar bandar diberi tuisyen percuma bagi membolehkan mereka lulus di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pelajar cemerlang dari seluruh dunia pula dibantu menerusi pemberian Biasiswa al-Bukhary. Kini seramai kira-kira 300 pemegang Biasiswa Al-Bukhary dari lebih 40 negara Islam sedang belajar di Malaysia. Bakal pemegang Biasiswa Al-Bukhary akan dapat melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Al-Bukhary yang sedang dibina di Kompleks Al-Bukhary di Alor Setar.

Universiti bertaraf antarabangsa ini akan menawarkan kursus pengajian perakaunan, teknologi informasi dan komunikasi (ICT) dan sains gunaan supaya para pelajar Al-Bukhary boleh pulang ke tanah air dan membantu negara masing-masing. Dengan demikian ia membantu membina dunia Islam yang lebih kuat dan lebih progresif. Yayasan juga telah memberi bantuan kewangan kepada projek membina universiti seperti UTAR dan Universiti Wawasan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau. Yayasan Al-Bukhary turut menaja beberapa fellowship di universiti seperti Oxford Centre of Islamic Studies, untuk meningkatkan kecemerlangan di kalangan umat Islam dan dunia Barat, lebih-lebih lagi selepas serangan 11 September.

Kebudayaan
Hadiah gemilang Yayasan al-Bukhary kepada dunia ialah Muzium Kesenian Islam Malaysia. Kesenian adalah duta bagi mana-mana budaya dan Muzium Kesenian Islam Malaysia memaparkan warisan budaya dan kesenian Islam kepada umat Islam dan bukan Islam. Muzium ini menyimpan lebih 7000 artifak yang melambangkan kekayaan dunia Islam terutama dari China dan Asia Tenggara. Sejak dibuka pada 1998, muzium ini turut menganjurkan pameran, syarahan, seminar dan aktiviti kanak-kanak untuk membantu menyemaikan kefahaman dan penghargaan terhadap dunia Islam di kalangan masyarakat.

Aktiviti ini juga menggalakkan dialog dan syarahan di kalangan cendekiawan sebagai sebahagian daripada program memperkaya budaya. Kebanyakan pameran ini dianjurkan dengan kerjasama muzium terkenal di Eropah, Timur Tengah dan Asia. Ia mengharumkan nama Malaysia di persada intelektual dan budaya dunia. Muzium ini telah menerima anugerah daripada Pusat Penyelidikan Kebudayaan dan Kesenian Islam OIC kerana memelihara Warisan Budaya Islam dan menggalakkan kecemerlangan di kalangan cendekiawan.

Inisiatif Antarabangsa
Sumbangan Yayasan Al-Bukhary terus bercambah, seiring dengan perkembangan empayar perniagaan Syed Mokhtar ke luar negara. Kini Yayasan Al-Bukhary diiktiraf sebagai pertubuhan kebajikan Islam yang memberi sinar harapan kepada umat Islam yang miskin, sakit dan terpinggir dalam dunia Islam - di khemah pelarian Afghan, pusat bantuan bencana alam di Iran dan Pakistan, penempatan semula pelarian di Bosnia dan program membantu kanak-kanak jalanan di Afrika Selatan.

Ia telah membina dan menguruskan rumah anak-anak yatim untuk mangsa tsunami di Acheh, hospital untuk pesakit Aids di Uganda, masjid di India, Indonesia dan Afrika Selatan, sumbangan kewangan untuk Program Bantuan Kemanusiaan di Lubnan, Sekolah Sains dan Teknologi di Sarajevo dan membiayai pengajian Islam di Universiti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Melestarikan Amal Untuk Muslimin
Selepas 10 tahun menjalankan pelbagai aktiviti amal dan kebajikan, pada 2007 Yayasan Al-Bukhary berpindah ke bangunannya sendiri di Kuala Lumpur. Dari situ ia menyelia perkembangan dunia kedermawanan - dunia yang berkembang lebih pesat daripada entiti perniagaan Syed Mokhtar sendiri.

Bangunan itu melambangkan ketetapan dan komitmen jangka panjang Yayasan Al-Bukhary untuk membantu membina masa depan yang lebih cerah di kalangan mereka yang terbabit. Ia adalah hajat Tan Sri Syed Mokhtar untuk membantu membuka peluang kepada orang lain, supaya mereka juga boleh melakukan perkara yang serupa di kemudian hari.

Latarbelakang Syed Mokhtar Al-Bukhary
Pesanan Syed Mokhtar Al-Bukhary

Jumaat, 8 Februari 2008

Sikap 'Tuli' Yang Tepat

Tuli bukan bererti tak boleh atau tak mahu mendengar kata-kata orang atau dalam bahasa kasarnya ‘degil' dan ‘ingkar’ dengan arahan dan perintah. ‘Tuli' bererti menyaring setiap maklumat dan pengaruh yang datang dari luar. Kita hanya menerima apa yang penting bagi pencapaian kita. Kita menolak apa saja yang tak bermanfaat, apa saja yang bakal merosakkan dan mematahkan langkah kita. Sukar? Tentu saja. Setiap usaha positif sentiasa mendapat tentangan. Dalam realiti tidak mudah menghindarkan diri daripada berbagai pengaruh negative di sekeliling kita. Sama ada berupa ejekan orang-orang terdekat, atau perubahan lingkungan yang diluar jangkaan, seringkali mempengaruhi visi yang telah kita buat.

Oleh sebab itu, hal terpenting yang harus kita jaga adalah semangat. Bila semangat lemah sudah sedekat apa pun kita dengan cita-cita, kita akan terjatuh dan tak mampu menggapainya lagi. Lalu bagaimana caranya bersikap ‘tuli’ yang tepat agar semangat tetap terjaga. Caranya ialah :

1. YAKIN BAHAWA ‘USAHA MELEMAHKAN DIRI’ SENTIASA ADA
Usaha melemahkan tak boleh dihindari. Di sekitar kita selalu ada mereka yang hasad dengki, atau gemar mengganggu usaha orang lain. Ini sunnatullah. Anggaplah ia sebagai satu ujian apakah kita terus istiqamah, atau tergoyah. Semuanya terserah pada pilihan kita sama ada hendak melayannya atau kita terus melangkah ke hadapan.

2. PERCAYA PADA DIRI SENDIRI

Jangan katakan ‘mustahil’ selagi kita belum bersungguh-sungguh mengusahakannya. Kalau kita sudah menganggap itu mustahil, bagaimana pula jika orang lain mengatakan mustahil. Ketidakpercayaan kita akan sebuah pencapaian akan bertambah kuat. Semakin jauhlah kita dari kejayaan yang diimpikan.

3. KETAHANAN DIRI
Jangan pedulikan orang lain selagi ia tak memberi faedah kepada kita kecuali ia hanya melemahkan semangat kita saja. Tumpukan pada tujuan-tujuan peribadi yang hendak dicapai. Jangan biarkan orang lain dapat menghasut kita dan memporak perandakan asas yang sudah kita bangun. Tak seorang pun berhak menggangu kita dan merenggut impian kita.

4. CARILAH TEMAN-TEMAN YANG MEMBERI SEMANGAT, BUKAN YANG MELEMAHKAN SEMANGAT KITA
Kita boleh tahu perilaku teman-teman kita dari percakapannya. Selalu ada orang yang setiap ucapan dan tindakannya memberi semangat pada kita. Selalu juga ada orang setiap gerak-gerinya cuba hendak menjatuhkan semangat dan usaha kita. Hindari sebolehnya mungkin orang yang terakhir ini. Mereka berbahaya seperti zat bahaya yang tak ketara, namun lama-lama membuat kita berkarat seperti besi ditimpa hujan. Utamakan keselamatan cita-cita dan mulailah bergaul dengan orang-orang yang berjiwa pemenang.

5. JADIKAN KRITIKAN SEBAGAI PEMACU UNTUK BANGKIT
Kalau ada orang yang berkomentar negatif pada tindakan kita, jangan termakan kritikannya itu. Justeru seharusnya menjadi motivasi diri untuk bangkit. Orang-orang yang berjaya terdiri atas mereka yang kebal terhadap komentar negatif. Mereka boleh membezakan antara olok-olok dengan kritikan yang membina. Kalau sebuah kritikan bersifat membina, mereka sengaja mencarinya agar boleh terpacu untuk berbuat lebih baik dalam mencapai tujuan, Sebaliknya bila kritikan itu negatif, lupakan! Anggap saja itu “kerikil” kecil di tengah jalan.

6. MOHON KEKUATAN DARI ALLAH S.W.T.

Allah Maha Kuat. Kepada siapa lagi kita akan memohon kekuatan kecuali dari Nya? Saat badai menghadang, guruh menggempur, bencana membahana, yakinkan satu perkara: Allah s.w.t. selalu ada. Dia lebih dekat dari urat leher kita. Siap memberikan pertolongan bila-bila pun kita meminta. Allah s.w.t. akan sentiasa melindungi hamba Nya dari gangguan orang-orang zalim yang tak Dia kehendaki. Jadi jangan khuatir pada mereka yang berniat mencelakakan kita. Selama tujuan kita baik, yakinlah Dia selalu memberi petunjuk kepada kita pada tujuan itu.

Berjaya Kerana 'Tuli'

ORANG-ORANG YANG BEROLEH KEJAYAAN KERANA’TULI’.

Sikap tuli tidak selamanya buruk. Orang-orang yang berjaya bahkan percaya bahawa tuli itu baik. Dengan sikap TULI atau ‘tutup telinga’, mereka mampu menepis berbagai pengaruh, omongan, bisikan dan tentangan dari luar yang bakal melemahkan semangat. Kerana itulah mereka tetap di atas landasan yang benar, tanpa sedikit pun terlempar dari jalur menuju kejayaan. Banyak contoh orang yang sukses kerana ‘tuli’. Mereka hidup di zaman berbeza namun punya prinsip ‘tuli’ yang sama, Beberapa diantaranya adalah :

1. KIYOSAKI
Sekembalinya dari perang Vietnam, Robert Kiyosaki bekerja di Xerox Corporation, sebuah perusahaan multinasional. Pendapatannya pada saat itu sangat besar. Akan tetapi, beberapa tahun kemudian dia keluar dari pekerjaan untuk membangun usaha sendiri. Orang lain menganggapnya gila : “Kamu meninggalkan gaji besar, hanya untuk bisnes yang belum tentu maju.” Begitulah celaan orang, termasuk dari pihak keluarganya sendiri. Tapi Robert bersikap ‘tuli’. Tak peduli, dia berjalan terus. Bahkan berkali-kali jatuh dalam bisnes, dia bangun lagi. Pada usia 30-an, teman-temannya sudah punya jawatan tinggi dan gaji besar di perusahan tempat mereka bekerja. Sementara Robert masih bersusah payah melajukan usaha. Untunglah dia tidak iri hati. “Yang penting saya yakin, inilah jalan kejayaan saya.” Begitu tegas prinsipnya.

Akhirnya, saat teman-temannya masih bekerja di usia setengah abad dan harus bekerja terus seumur hidup agar keperluan tetap terpenuhi, Robert sudah pun ‘bersara’. Di usia 47, dia tak perlu bekerja mencari wang, kerana wang sudah bekerja untuknya melalui bisnes yang berhasil dibangunnya. Sekarang perusahaannya di bidang pendidikan bisnes telah memiliki puluhan ribu siswa di seluruh dunia. Buku-buku mengenai Penanaman modalnya yang terkenal dengan siri ‘Rich Dad Poor Dad’ sudah sejak lama termasuk dalam jajaran buku-buku terlaris di dunia. Ia termasuk manusia kaya yang mempunyai kebebasan waktu dan kewangan di usia menjelang setengah abad.
Akai_pc - 10 tips Kiyosaki untuk menjadi kaya. Klik DISINI

2. BOEING
Sejak kecil, Boeing terpesona pada pesawat terbang. Dia rajin mengikuti berita-berita usaha manusia membuat pesawat terbang. Pada masa itu banyak orang gagal membuat pesawat dan meninggal ketika berusaha untuk terbang. Akan tetapi hal ini tidak mematahkan semangatnya malah Boeing terus bersemangat. Ia bertekad untuk membuat pesawat terbang. Suatu hari dia menyatakan keinginannya ini pada ayahnya. Mendengar keinginan anaknya, si ayah lalu berkata, “Apa kamu sudah gila? Di akhbar-akhbar banyak orang mati gara-gara nekad untuk terbang. Apakah kamu juga ingin mati seperti mereka? Tidak, lebih baik kamu bantu ayah bekerja menebang kayu di hutan, daripada sibuk mengejar impian gila seperti itu.” Tapi Boeing tidak berganjak, meskipun dia menuruti kemahuan ayah untuk bekerja menebang kayu di hutan, namun impiannya membuat pesawat terbang tetap menyala. Dia “tuli” terhadap protes ayahnya. Dia terus mengikuti perkembangan berita tentang penerbangan.

Suatu bari, Boeing membaca pengumuman tentang pertunjukkan pesawat terbang. Dia segera berangkat untuk melihat. Dan dia kagum ketika melihat sebuah pesawat berhasil terbang ke angkasa. Dia lalu mendekati para juruterbang yang bertugas mengoperasikan pesawat itu. Dengan tegas dia menyatakan keinginannya untuk belajar dari mereka. Mendengar keinginan Boeing para juruterbang itu bertanya, “Apa pekerjaanmu”, “Tukang kayu” ujar Boeing. Para juruterbang itu tertawa mengejek, “Mana mungkin seorang tukang kayu boleh menjadi juruterbang, apa lagi membuat pesawat?”. Boeing tak menghirau cemuhan itu. Meskipun mendapat penolakan dari sebilangan juruterbang, dia terus membawa keinginannya untuk belajar mengoperasikan dan membuat pesawat terbang. Día yakin, meskipun hanya seorang tukang kayu. Suatu masa dia bakal menjadi ahli pesawat. Kerana itu dia mendaftar ke sebuah universiti yang menyediakan matapelajaran kuliah penerbangan.

Setelah lulus kuliah, Boeing kembali menjadi tukang kayu dan memajukan bisnes perkayuan milik ayahnya. Ketika bisnes itu berhasil, dia mula mengeluarkan modal untuk membuat pesawat tenbang sendiri. Tentu saja keluarganya menjadi berang, “Kamu membazir wang saja hanya untuk sebuah cita-cita yang mustahil,” ujar mereka. Namun dia membiarkan anjing menggonggong tulang, Boeing tetap berlalu. Día menutup telinga dan bersama seorang rakan kongsi mulailah dia merancang rangka pesawat. Rancangan gagal, mencuba lagi, gagal lagi dan seterusnya selama bertahun-tahun lamanya. Sampai akhirnya rakan kongsinya pun menyerah kalah dan berkata, “Aku akan berhenti dari pekerjaan yang sia-sia ini.” Boeing merasa sedih kerana harus meneruskan percubaannya sendirian. Tanpa teman, tanpa dukungan. Tapi dia terus berusaha, meskipun tekanan dan cemuhan terus datang. Dan dengan segala jerih payah, akhirnya pesawat pertamanya berhasil diterbangkan. Saat itu Boeing baru berusia 35 tahun.

Berkat sikap ‘tuli’nya terhadap cakap-cakap orang, Boeing menjadi ‘raja’ pesawat terbang. Selama lebih dari 100 tahun. Perusahaannya telah berhasil menciptakan berbagai pesawat canggih di dunia. Berbagai model pesawat, baik tempur mahupun komersil sekarang ini kebanyakan adalah hasil rancangan perusahaan yang didirikannya.

3. LEVI STRAUSS
Ibu bapa Levi adalah pasangan suami isteri tukang jahit pakaian. Mereka hidup miskin dan pindah ke daerah perlombongan di San Francisco. Di sana ibu bapa Levi membuka kedai jahit, sementara Levi menjual pakaian hasil jahitan kepada para pekerja lombong. Har pertama berjual, Levi diusir oleh ketua pekerja, dilarang berjualan. Hari berikutnya, dia dibolehkan menjual asalkan mahu memberikan baju-baju secara percuma untuk ketua pekerja itu. Pakaian yang dia jual ternyata laku, terutama seluar, para pekerja rnbong memerlukan banyak seluar untuk bekerja di tempat yang kotor dan keras. Levi
menuai keuntungan lumayan. Dia datang lagi ke kawasan lombong dan berjualan setiap hari.Akan tetapi, beberapa waktu kemudian pekerja lombong di situ ramai-ramai mengeroyoknya. Mereka marah kerana seluar yang dibeli ternyata tidak tahan lama. Mereka menuntut ganti rugi pada Levi. Levi jatuh bankrap. Dia kemudiannya pergi ke tempat yang jauh, menyepi sekaligus mencari ilmu mengenai perkembangan tekstil.

Suatu hari, Levi mendengar seseorang menemui satu bahan yang boleh menjadikan seluar sangat kuat. Dia langsung saja membawakan bahan itu, meminta ibu bapanya menjahitkannya untuk kegunaan para pekerja lombong. Beberapa waktu kemudian, para pekerja lombong datang beramai-ramai menemui Levi . Levi ketakutan dan hendak lari. Namun tanpa diduga, kali ini para buruh itu bukannya hendak menyerbu Levi, sebaliknya hendak memborong seluar yang dijualnya. Para pekerja lombong itu mencerita bahawa seorang teman mereka telah jatuh di tebing, namun selamat kerana seluarnya terkait di tebing tanpa terkoyak sama sekali. Sejak itulah, Levi menjadi terkenal sebagai peniaga ‘seluar tahan lasak’. Levi belum puas hati. Dia ingin seluar buatannya ‘popular’ ke seluruh dunia. Dia tidak merasa puas kalau penemuannya hanya terkenal dikalangan para pekerja lombong saja. “Jangan nak berangan-angan,” ujar teman-temannya. “Siapa yang akan sudi memakai seluar yang dipakai oleh pekerja lombong.”

Tapi dengan ke’tuli’annya, Levi giat mempromosikan jenamanya. Dan setelah dipakai dalam sebuah filem koboi, seluar berjenama ‘Levi’ menjadi trend di kalangan remaja Amerika. Mereka menyebutnya ‘blue jeans’ dengan ‘Levi’ sebagai pelopornya. Orang sering menyebut blue jeans sebagal Levi’s. Saat ini blue jeans telah dipakai oleh jutaan orang di dunia.

4. AL-KHAWARIZMI
Dia seorang ilmuwan muslim yang terkenal. Dunia ilmu pengetahuan menyebutnya sebagai bapa Algoritma. Memang, Al-Khawarizmi adalah pencipta teori algorism, algoritma atau logaritma, yang hingga saat ini masih menjadi cabang ilmu matematik yang sangat penting. Tidak banyak yang tahu kalau dia adalah pencipta peta dunia dan ‘bola dunia’ (globe). Pada saat raja Iraq menyatakan dan menganggapnya sebagai sesuatu yang lucu : “Mana mungkin dunia yang luas ini boleh diwakili hanya oleh gambar dalam selembar kertas dan sebuah bola?”. Tapi sebagai ilmuwan, Al-Khawarizmi tidak menganggap itu mustahil. Dia menyanggupi cabaran raja. Para ilmuwan lain mengejek dan menentangnya, “Cuba saja kalau kamu boleh!”. Ternyata Al-Khawarizmi boleh. Walaupun harus berjuang keras, berfikir, bekerja, sekaligus menutup telinga dari cemuhan kawan-kawannya, dia berhasil membuat peta dunia dan bola dunia. Raja pun sangat senang dan menyebut Al-Khawarizmi sebagai ilmuwan besar dunia Islam.

5. HONDA
Anda kenal Honda? Tentu saja. Seluruh dunia mengenalinya. Bila pun kita mendengar kata ‘motorsikal’ fikiran langsung tertuju pada Honda. Walaupun jenama Honda tak terbatas pada motorsikal, tapi imej yang diciptakannya telah menempel demikian kuat di alam bawah sedar masyarakat umum. Siapa orang yang telah berhasil menciptakan jenama sehebat itu? Nama penuhnya Soichiro Honda. Dia lahir di Jepun dan beberapa tahun dalam hidupnya dikenal sebagai ‘orang tua yang kerjanya main-main’. Soichiro memang senang bermain-main dengan kenderaan. Dan mulai dengan basikal hingga kereta lumba. Dia pernah dua kali hampir kehilangan nyawa gara-gara kecelakaan dalam lumba kereta. Sebabnya, kereta yang digunanya untuk berlumba adalah hasil rekaan sendiri. Dia membuat bahagian-bahagian keretanya sendiri dan menjadikannya model-model kenderaan yang pada masa itu dianggap sebagai suatu ‘kebodohan’.

Soichiro dengan susah payah membina kilang untuk memasang kereta jenamanya. Tapi kemudian gugurnya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menghancurkan harapannya. Dia harus mulai lagi dari awal. Pada usia makin meningkat, dia jatuh miskin dan meminjam wang dari ayahnya untuk memulakan semula usahanya. Suatu hari Soichiro mempunyai idea untuk membuat motorsikal. Pada masa it, motorsikal belum dikenali di Jepun. Kebanyakan orang menyangka ia sebagai basikal. Namun ketika ‘basikal’ itu menderum-derum bergerak laju, barulah orang ramai sedar bahawa Soichiro bukanlah ‘Si tua yang masih main-main’ seperti anggapan mereka selama ini. Semenjak itu perusahaan Honda berkembang pesat. Lihat saja, di bandar-bandar besar lautan motorsikal Honda setiap hari memenuhi jalanan dan membuat jalan raya sesak. Dengan sikap ‘tuli’nya akan cemuhan orang, Honda tidak saja berhasil mengeluarkan motorsikal yang dikenal lasak dan stabil dari segi harga. Namun mampu membuat berbagai kereta cantik dan kereta lumba yang merajai berbagai kejuaraan Formula 1.

Kesimpulannya, masih banyak orang-orang berjaya memilih sikap ‘tuli’ dalam mencapai kejayaan mereka. Bahkan Rasulullah saw sendiri memberi contoh kebaikan sikap ‘tuli’ yang bertempat ini. Ketika baginda menyebarkan Islam di Jazirah Arab, orang musyrik mengolok-oloknya, rnenuduhnya ‘gila’, meludahinya, melemparinya dengan batu, bahkan mengancam keselamatannya dengan pedang dan pakatan jahat. Tetapi baginda Rasulullah saw tidak peduli. Menutup telinga dan terus saja berdakwah, menegakkan syariat Islam, menumbangkan kejahatan. Berkat pertolongan Allah swt baginda mencapai kejayaan gemilang. Islam tidak hanya tegak pada masa baginda, namun terus hidup dan berkembang di serata dunia, hinggalah ke akhir zaman kelak.

Khamis, 7 Februari 2008

Perlu Sentiasa Berubah

Masa berlalu begitu pantas sekali sehinggakan kita tidak menyedarinya. Tapi apakah pencapaian yang telah kita lakukan pada hari ini. Apakah masih sama seperti hari kelmarin atau hari-hari sebelumnya. Seharusnya kita perlu membuat perubahan dan kalau boleh setiap hari, namun bagi yang tidak mampu cukuplah sekadar memperbaiki diri sendiri. Itu pun dikira sebagai satu perubahan walaupun kita tidak membuat sesuatu yang baru pada hari ini.

Berbicara tentang perubahan ini sebenarnya sesuatu yang begitu peribadi tetapi kita boleh melihat apakah perubahan yang berlaku pada orang-orang tertentu sama ada yang kita tak kenali mahupun yang kita kenali. Tahap perubahan tidak sama bagi setiap orang kerana kita masing-masing mempunyai latar belakang yang berlainan dan dipengaruhi pula oleh keadaan situasi persekitaran. Ada yang dilahirkan dalam kemewahan, ada yang keluarganya susah hanya kais pagi makan pagi, ada juga yang terdidik dengan betul dan sempurna sejak dari kecil lagi dan macam-macam lagi keadaannya yang akan mempengaruhi proses perkembangan dari seorang kanak-kanak kecil sehingga menjadi dewasa.

Jika yang berasal dari keluarga yang mewah atau agak senang sedikit, maka perubahan yang berlaku kepada mereka sememangnya terurus dengan sempurna, tidak kurang juga yang tak sempurna kerana keluarga terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan dunia menyebabkan kasih saying mereka terabai. Bagi mereka yang datang dari keluarga yang susah sudah tentu banyak menghadapi banyak cabaran dan dugaan. Mereka ini kebanyakannya lebih berfikiran kritikal daripada kreatif, namun sekiranya pemikiran kedua-duanya dapat diseimbangkan maka kekreatifannya akan lebih menonjol bagi mencerminkan sifat lasaknya yang tahan terhadap dugaan. Dengan kekreatifannya itulah maka sebarang kesukaran dapat dipermudahkan sama ada disebabkan oleh kebijaksanaan caranya berfikir atau hasil usahanya untuk mempermudahkan tugas yang berat.

Pemikiran sebegini banyak digunakan oleh orang-orang dahulu kala kerana dahulu kita tahu kehidupan memang susah kerana tidak banyak peralatan. Jadi kesusahan itulah menjadikan mereka berusaha mencari idea demi idea bagi menghasilkan ciptaan-ciptaan moden. Daripada ciptaan yang ringkas berkonsepkan mekanikal kemudiannya semakin berkembang selaras dengan perubahan pemikiran yang semakin kompleks. Sehinggalah ke hari ini kita melihat perkembangan yang sangat menakjubkan dalam teknologi-teknologi canggih yang berasaskan teknologi maklumat. Dengan teknologi maklumat maka semua peralatan menjadi pintar dan boleh bertindak secara automatic dan bertindak balas dengan pantas sekali. Kalau bukan kerana disebabkan orang yang mahu berubah pasti perubahan dari yang ringkas kepada sesuatu yang sofistikated tidak akan terhasil. Kita tidak akan berada di depan computer ini sekarang jika tiada perubahan.

Mengapa ramai orang terutama di negara membangun dan mundur tidak banyak yang berpemikiran kritikal sebaliknya lebih banyak yang emosional? Ini sebenarnya melibatkan dasar dan polisi kerajaan dalam sesebuah negara. Di negara maju, mereka mengamalkan dasar yang terbuka dan menghargai mereka yang berfikiran terbuka dan kritikal maka golongan ini akan diberi sokongan dan bantuan yang sewajarnya. Mereka sedar akan potensi golongan yang kritikal ini kerana pemikiran mereka sentiasa hidup dan berkembang. Jika dimanfaatkan dengan sebaiknya maka mereka yang berfikiran kritikal ini dapat memberi sumbangan yang cukup bermakna dari segi idea dan keupayaan kemahiran yang dibentuk berdasarkan cara mereka berfikir. Manakala bagi negara mundur dan membangun lebih bersikap menekan dan berhati-hati khuatir dengan ancaman pihak lawan sehinggakan rakyat yang suka mengkritik pun dianggap berada di pihak lawan.

Sebab itulah kita boleh lihat ramai golongan bijak pandai,cendakiawan dan pakar-pakar dari negara lain berhijrah menjadi warganegara Amerika Syarikat kerana polisi kerajaan Amerika yang menghargai idea dan menerima pandangan yang kritikal supaya dengan itu boleh wujud dialog dan perdebatan untuk mencari idea siapa yang lebih baik dan lebih realistic. Manakala peluang untuk mereka memperbaiki diri dan menyatakan idea serta pandangan di negara sendiri tidak dihargai, sebaliknya diri mereka dimusuhi, dianggap sebagai pencetus kekacauan dan menghasut orang lain supaya menentang pemerintah yang dilihat korup dan mengamalkan kronisme. Ketakutan ini telah membenamkan potensi seseorang itu untuk menjadi ejen perubahan dan menjadi penyumbang kepada idea-idea untuk pembangunan bangsa, agama dan negara. Kita lihat saja apa yang telah berlaku di Pakistan bilamana bekas presidenn Benazir Bhutto ditembak mati oleh pengikut parti pemerintah yang melampau.

Walau bagaimanapun, bagi kita yang masih tinggal di negara sendiri walaupun ruang untuk menjadi lebih maju itu agak terbatas terpaksalah bersusah payah memajukan diri. Sungguhpun ada pihak menyatakan peluang itu ada tetapi hakikatnya ruang yang wujud sangat sempit kerana ianya dipengaruhi dan dikuasai oleh mereka yang berkuasa dan berpengaruh saja. Hanya mereka yang dekat dengan golongan ini sajalah yang dapat menikmati peluang tersebut. Peluang dan ruang adalah sesuatu yang berbeza, walaupun peluang banyak diberikan tetapi ruangnya agak sempit maka yang lemah tak berkeupayaan akan tewas oleh mereka yang kuat dan mempunyai pengaruh. Namun, bagi kita yang ada potensi tapi tak berpeluang untuk mengisi ruang, dalam menghadapi cabaran dunia global sekarang ini kita mesti juga mempertingkatkan usaha ke arah kebaikan dengan penuh kepayahan. Tak kira dalam apa jua perkara dan bidang sekalipun, sama ada dalam pekerjaan, perbuatan, perkataan, ilmu pengetahuan dan yang paling penting sekali ialah amalan. Supaya dengan itu, kita tidak terus tenggelam dan ditekan. Sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk menonjolkan keupayaan kita yang tidak mendapat tempat yang sewajarnya.

Apa yang lebih penting dan utama sekali adalah niat kita, berubah untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik dari hari semalam. Jika kita keberatan untuk mula melakukan sesuatu yang baik dan cenderung untuk melakukan sama ada kejahatan atau hanya berdiam diri saja, adalah disebabkan oleh nafsu kita sendiri dan dihasut pula oleh iblis yang berbisik ke telinga dan hati kita. Apabila kita berusaha untuk melawan nafsu kita dan menentang bisikan kejahatan maka ia adalah satu jihad untuk kita. Begitu juga bila kita berjuang untuk melakukan amalan kebaikan maka ia juga merupakan jihad. Jangan kita sempitkan erti jihad, kerana Rasulullah pernah bersabda bahawa peperangan melawan musuh Islam hanyalah jihad kecil saja berbanding jihad yang lebih besar iaitu melawan nafsu kita sendiri dan hasutan iblis ke atas kita.

Jangan pula kita terlalu berani sehingga mencapai tahap berani mati, sebaiknya gunakanlah keberanian kita untuk mempertingkatkan usaha. Jika gagal dalam usaha yang dilakukan sekarang maka usahakanlah yang lain yang berpotensi untuk berhasil. Jangan kerana kegagalan lalu kita kecewa dan putus asa, kita berdendam terhadap pihak yang menggagalkannya. Mungkin ada pihak yang menggagalkan usaha kita tetapi jika kita tidak setanding dengan kekuatan dan kemampuan mereka tak perlulah kita melawan mereka. Adalah lebih baik kita terus berusaha dalam bidang yang lain, memperbaiki kesilapan lalu, memperkukuhkan lagi kedudukan dan kemampuan kita pada masa akan datang dan lebih berjaga-jaga terhadap pihak yang pernah menggagalkan usaha kita. Supaya dengan cara demikian kita boleh menjadi lebih kuat dan semakin kuat setanding dengan kekuatan pihak yang membuli kita. Bila kita ada kekuatan maka orang lain akan rasa gentar untuk membuli kita lagi. Usaha ini mesti dilakukan secara berterusan dengan sentiasa melakukan perubahan dan memperbaiki diri.

Ada juga antara kita yang berpandangan bahawa jika tiada wang maka bagaimana hendak berubah kerana zaman sekarang ini semuanya perlukan wang. Namun, untuk berubah hanya memerlukan tenaga dan tulang empat kerat kita saja. Dan kalau mahu berubah dengan lebih pantas lagi gunakanlah akal untuk kita berfikir. Kerana dengan akal fikiran inilah perkara yang susah boleh menjadi mudah, dan yang mustahil menjadi reality. Bagaimana nak dapat wang kalau tenaga tidak digunakan untuk bekerja, tulang empat kerat tidak digunakan untuk melaksanakan kerja dan akal fikiran pula tidak digunakan untuk mencari dan berusaha melakukan atau mempermudahkan cara kerja. Rajin dan sekuat manapun kita bekerja kalau tidak disertai dengan cara berfikir untuk bekerja dengan lebih baik dan lebih mudah, lambat laun kita akan rasa letih dan lelah dan ini boleh melemahkan semangat untuk terus bekerja. Jika kita permudahkan cara kerja dengan berfikir lebih bijak lagi maka kita akan rasa gembira dan senang dengan apa yang kita lakukan. Dan pada masa depan kita tidak lagi perlu bersusah payah untuk mengulangi kerja dan cara kerja yang sama kerana setiap pembaharuan dan perubahan yang dilakukan telah mempermudahkan lagi kerja kita dan boleh dibuat secara automatic. Kita boleh terus menumpukan usaha untuk mempertingkatkan lagi kemudahan yang sedia ada supaya lebih canggih lagi dan lebih efektif.

Inilah yang dapat kita perhatikan pada kemajuan dunia barat terutama Amerika Syarikat hari ini yang kita lihat semakin maju dari aspek fizikal dan kebendaan, manakala bagi negara kita pula sentiasa diselubungi masalah dan ancaman kejatuhan. Ini adalah kerana tiada usahasama dan peranan pengkritik tidak begitu kukuh untuk menghalang penyelewengan dan salahgunakuasa. Perebutan seringkali terjadi sehingga berlakunya penyelewengan yang merugikan syarikat-syarikat besar. Dan bagi menyelamatkan syarikat itu pula, wang dari cukai rakyat pula digunakan bagi memastikan syarikat itu dapat terus bertahan. Perebutan itu berlaku di kalangan mereka manakala yang benar-benar baik dan berpotensi untuk menjadi penyelesai masalah terpinggir sekadar mengkritik rasa kecewa dan tidak puas hati. Pengkritik yang keterlaluan pula akan ditahan dan diugut supaya jangan terus bersuara dan mengkritik.

Selasa, 5 Februari 2008

Yakin pada diri

Bila saya baca blog atau laman web orang lain, ada antara mereka berpendidikan tinggi dan mempunyai jawatan yang lebih baik dalam masyarakat berbanding saya. Kadang-kadang saya rasa malu juga dan rasa rendah diri bila membandingkan saya dengan mereka. Ada yang bergelar ustaz, jurutera, doctor, ahli falsafah dan bermacam-macam lagi. Disebabkan mereka berpelajaran tinggilah mereka menjadi Blogger untuk menyampaikan ilmu dan pengalaman mereka.

Tetapi apabila saya fikirkan bahawa kita semua ini manusia, sama saja memiliki panca indera yang dianugerahkan Allah samarata dan saya juga seorang Muslim mengetahui apa yang saya baca menerusi kitab al-Quran dan hadis, maka saya tidak perlu rasa rendah diri dan malu dengan apa yang ada pada diri saya. Kerana bagi Allah swt, yang membezakan setiap manusia adalah keyakinannya dalam kepercayaan beragama, sementara di kalangan Muslim pula adalah berdasarkan takwa. Saya fikir orang bijak pandai di kalangan Muslim sudah sedia maklum akan perkara ini.

Saya tidaklah berkelulusan tinggi sangat untuk melayakkan saya memegang jawatan yang penting dalam masyarakat. Mungkin ada orang akan mengata saya : “tidak perlulah cakap lebih-lebih berlagak macam orang pandai kalau setakat lulus SPM atau bekerja ‘kuli’ dalam kerajaan”. Saya sedar akan perkara itu dan saya hanya dapat mengagak tentu akan ada orang berkata demikian sama ada secara langsung atau tidak langsung. Begitulah zaman sekarang, zaman materialistic dan individualistic, semuanya cuba membanding-bandingkan diri mereka dengan orang lain siapa yang lebih baik. Patutnya yang pandai bantulah yang kurang pandai, yang jadi ‘boss’ bantu dan berilah bimbingan pada orang bawahan.

Bila ada orang lain yang lebih rendah dari mereka janganlah orang itu diperlekehkan dan tidak dihormati. Kerana itulah ramai kalangan orang kita berusaha belajar tinggi-tinggi supaya tak dipandang hina dan rendah oleh orang lain kerana masyarakat kita sekarang hanya menghargai orang yang berjawatan dan berpendidikan tinggi saja. Kalau semuanya jadi doctor, jadi jurutera, jadi pegawai, siapa pula nak jadi ‘kuli’ untuk bekerja dibawah mereka. Kalau tidak ada ‘kuli’ apa yang mereka rancang dan usahakan tak akan berjalan dan berhasil.

Saya tidak mengatakan semua tapi segelintir, namun pengalaman saya menunjukkan bahawa sebagai seorang berjawatan rendah bila berhadapan dengan orang berjawatan tinggi, layanan yang diberi adakalanya merendah-rendahkan orang yang tidak setaraf dengan mereka. Tidak menghargai masa orang biasa, bukan nak minta dilayan macam anak raja tapi cukuplah dengan senyuman dan budi bahasa dan sopan santun yang baik. Kalau saya sendiri tak berbuat baik terhadap orang lain, mungkin saya tak akan merungut disini tetapi disebabkan saya telah melakukan yang terbaik maka saya berhak mengatakannya untuk menunjuk rasa tidak puas hati terhadap sesiapa yang berjawatan tinggi dan berkelulusan tinggi yang tidak ada budi pekerti yang baik dan membangga diri.

Justeru itulah saya tidak mahu berdiam diri saja dan mesti berkata sesuatu melalui saluran ini. Saya tidak mahu merendahkan diri saya dan malu dengan kekurangan diri yang saya ada sekarang. Tidak bermakna saya seorang yang tak berilmu, tak tahu satu apa pun dan tidak layak untuk bersuara. Saya mesti meletakkan diri saya di dalam kalangan umum supaya saya dikenali ramai, saya bukan hanya pandai berkata-kata saja sebaliknya telah saya lakukan dalam organisasi tempat saya berkerja. Bukan apa, ada orang kata kalau cakap saja tak guna. Walaupun banyak mana ilmu kalau tak ada pengalaman tak guna juga kata mereka. Kata mereka lagi hanya orang yang ada ilmu dan pengalaman saja boleh memimpin orang lain dengan berkesan. Memang betul tu, tapi kalau tiada ilmu tak adalah pengalaman. Kerana dengan ilmu itulah yang memandu pengalaman. Kalau tak lulus cemerlang SPM takkan dapat pengalaman belajar di Universiti. Kalau tak lulus Ijazah takkan dapat jadi ‘boss’ dan berpengalaman bekerja dalam sector yang mencabar.

Jadi, janganlah kita bercakap besar bila kita ada ilmu tinggi dan berpeluang menimba pengalaman lebih dari orang lain. Kita kena hormat juga pada taraf ilmu dan pengalaman orang lain. Setiap orang melakukan apa yang termampu dibuatnya, harus kita ingat semakin tinggi jawatan dan pangkat kita semakin tinggilah bebanan, dan semakin tinggilah kita dipertanggungjawabkan ke atas apa yang kita pimpin. Mungkin ada antara kita terlupa akan kisah alam ini, bahawa apabila terciptanya dunia Allah swt hendak melantik khalifah. Gunung, air, tanah, pokok semuanya tak mau memikul tanggungjawab itu lalu Allah swt pun mencipta manusia untuk dipertanggungjawabkan mentadbir dunia. Kenapa Allah swt melantik manusia? Kerana kita ada panca indera, kaki, mulut, tangan, mata, telinga untuk kita pergunakan. Apa gunanya saya ada mulut kalau tak diguna untuk bercakap, nanti ia akan ditanya semasa di akhirat kelak untuk apa ia digunakan.

Maka, tak perlulah kita terlalu bangga dengan apa yang kita ada dan miliki kerana akhirnya kelak kita tetap akan kembali kepada Nya. Setiap orang dipertanggungjawabkan ke atas apa yang ia telah lakukan, bukannya yang belum ia lakukan. Dan setiap orang akan melakukan apa yang termampu dibuatnya dan akan cuba melakukan yang terbaik jika berkemampuan. Jika kita berniat nak bersaing atau membandingkan diri dengan orang lain maka akan keluarlah kata-kata yang tidak elok diperkatakan terhadap orang yang berpendidikan rendah dan berjawatan rendah seperti saya.

Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya sebagai seorang yang tak ada ijazah dan bukan pekerja professional. Sungguhpun saya bukan kelulusan dalam sastera ataupun seni namun bakat dan kemahiran semulajadi yang saya asah sendiri dihargai dengan perlantikan menjadi ahli jawatankuasa penerbitan. Di kalangan ahli yang lain semuanya mempunyai jurusan yang baik dengan kelulusan yang lebih tinggi dari saya. Ada juga yang mempunyai kelulusan teknologi maklumat dan multimedia tapi hanya dipendam begitu saja tidak dimanfaatkan kepada umum. Hanya berbuat apabila disuruh dan diperintahkan oleh ketua. Sebaliknya saya pula yang memegang tugas itu kerana saya tak pernah menolak dan menyembunyikan apa yang saya tahu.

Bahkan saya sendiri pernah menyatakan kepada ketua jawatankuasa supaya memanfaatkan juga pengetahuan dan kemahiran ahli lain yang mereka perolehi dan pelajari di university. Melantik mereka yang berkelayakan dan bersesuaian dengan bidang tugas. Alhamdulillah sudah ada perubahan dan kini tugas saya tidak saya pikul seorang sebaliknya saya bekerjasama dengan ahli jawatankuasa yang lain yang memegang peranan yang sama dengan saya. Untuk menjayakan sesuatu usaha kita perlu bekerjasama dan menyampaikan sesuatu yang benar agar kita dihormati dan dipandang mulia. Tidak perlu malu dan rasa rendah diri kerana itu hanya akan menjadikan diri kita seorang yang lemah dan tidak ada semangat perjuangan untuk memperbaiki keadaan diri.

Lantaran itulah, saya melibatkan diri dengan dunia blogger. Bukan sekadar untuk berkongsi-kongsi pengalaman atau cerita kosong atau nak dapat untung wang ringgit melalui blog atau web semata-mata. Saya mahu juga menjadi penulis blog yang berfikiran kritikal, berani menyatakan pendapat dan berkongsi pengalaman yang ada. Bangsa yang maju ialah bangsa yang sedia berdialog secara terbuka, kerana dengan dialog inilah pelbagai idea diperolehi dan sebarang kelemahan dari yang baik dapat dikesan kemudian diperbaiki. Memang kadang-kadang terdapat kritikan dan rasa tidak puas hati tapi sekiranya ia dibincangkan, diulas dan dibicarakan lanjut maka sedikit-demi sedikit jalan penyelesaian dapat ditemui untuk diusahakan lebih lanjut melalui kerjasama semua pihak.

Namun begitu, dalam menyampaikan kritikan perlulah terkawal. Jangan sampai emosional, kutuk mengutuk, hina menghina, cabar mencabar dan membangkitkan amarah orang lain. Mungkin disebabkan masyarakat kita ini cukup sensitive dan cepat marah maka isu-isu sensitive yang menyentuh hak dan kepentingan masing-masing tidak boleh disuarakan secara langsung dan terbuka. Masalahnya, sepatutnya semakin tinggi ilmu seseorang semakin terbukalah pemikirannya dan tahu membuat penilaian. Juga tahu bagaimana hendak menggunakan pendekatan yang terbaik bila berhadapan dengan karenah orang lain yang terlalu mengikut emosi dan perasaan.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah, pemikiran mereka terus sempit dan semakin sempit. Mengambil langkah yang undur ke belakang dan terus dengan pemikiran yang konservatif zaman penjajah dan darurat. Menghadapi orang yang tak sependapat dengan mereka dengan cara yang tidak professional, suka bertikam lidah caci mencaci dan memburukkan sesiapa yang mengancam kedudukan mereka. Berdialog dalam keadaan yang emosional, bila terkasar bahasa sikit terus marah dan cuba untuk berlawan. Janganlah kita jadi sebahagian dari mereka.

Isnin, 4 Februari 2008

Antara cerita & realiti

Sering kali kita mendengar orang berkata: “Islam agama yang hebat dan membentuk penganutnya menjadi insan yang bertamadun dan mendahului umat-umat Islam”. Penyataan tersebut disertakan pula dengan kisah-kisah umat Islam yang telah berjaya dan gemilang sebagai sokongan fakta. Dengan harapan umat di era ini akan rerus berbangga dengan Islam mereka dan umat yang lain akan tertarik hati dengan agama yang agung ini.

Malangnya penyataan sejarah yang lepas kelihatannya amat berbeza dengan realiti yang disaksikan pada hari ini. Sementara manusia pula secara majoritinya lebih terkesan dengan realiti yang disaksikan dibandingkan apa yang tertera dalam lembaran sejarah. Apatah lagi jika umat itu bukan umat yang membaca dan mengkaji. Jika kita lihat kepada masyarakat Islam tempatan kita, khususnya orang Melayu yang mendominasinya, kita agak kecewa. Sebut sahaja segala gejala sosial yang serius, orang Melayu yang mengakui diri sebagai Muslim mendahuluinya. Hinggakan Melayu yang minoriti di Singapura, tetap majoriti dalam pengambilan dadah. Mat rempit, vandalisme, keciciran dalam pendidikan, kemunduran ekonomi dan berbagai lagi, sama ada kita ingin akui atau tidak realitinya, mereka semua didominasi oleh satu masyarakat yang mengakui Islam sebagai agamanya dan Melayu adalah bangsanya.

Persoalan yang ditimbulkan, atau mereka yang bukan ‘Melayu’ tertanya : “Adakah Islam yang dianuti itu punca kepada ini semua?”. Sebab pada zahirnya semua bangsa berkongsi sama di tanah air kita dari segi udara, air, tanah dan persekitaran. Apa yang membezakan antara kita ialah pertama adalah agama, keduanya bangsa. Jika bangsa tidak ada kaitan dengan soal ini, tentu akan dikaitkan dengan agama. Begitulah sebaliknya. Sudah pasti sifat Islam sebagai agama wahyu yang Maha Benar dan sejarah Islam yang gemilang menolak untuk dikaitkan kemunduran dan kelemahan dengan agama yang agung itu. Akidah yang sejahtera akan pasti mengingkari untuk Islam dipalitkan dengan kecacatan dan ketidakmajuan.

Jika demikian, yang tinggal untuk diperbahaskan atau dikaitkan dengan kelemahan ini ialah sesuatu yang berkait dengan bangsa. Bukan tujuan untuk merendahkan bangsa! Sama sekali tidak. Sebaliknya untuk dibaiki dan dinilai. Bahkan bagi saya orang Melayu, dalam hal ini tidak jauh atau banyak bezanya dengan orang Arab. Bangsa Melayu sekalipun banyak kelebihan di sudut budi dan bahasanya, namun dalam beberapa perkara lain secara perbandingan ‘warisan budaya’ Melayu semata tidak begitu mampu atau berdaya saing dalam sesetengah perkara. Ambil sahaja contoh orang cina di sudut budaya kesungguhan kerja, berniaga dan seni-seni kehidupan yang lain, amat mantap untuk dibandingkan.

Secara umumnya, seorang yang lahir dalam keluarga Cina tidak perlu berhempas pulas memahami ilmu perniagaan, kerana ia telah menjadi sebahagian dari kehidupan mereka. Demikian budaya kerja, tolong menolong sesama bangsa dan berbagai budaya positif yang lain. Justeru itu, ramai di kalangan mereka sekalipun tidak keluar dengan kelulusan yang tinggi dalam bidang perniagaan, mereka lebih berjaya dari orang Melayu yang keluar dengan sijil bergulung namun masih menganggur di rumah. Soal rajin kerja, kuat belajar, bersaing secara positif, walaupun ada di kalangan sejarah bangsa Melayu ini, namun ia belum sampai ke peringkat warisan budaya. Sementara orang cina dan Barat telah mewarisinya sejak zaman berzaman menerusi sejarah dan tamadun mereka.

Islam Tulen

Untuk mengatasi kelemahan ruang-ruang tersebut, maka orang Melayu tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil suatu tamadun untuk dibudayakan secara zahir dan batin yang tidak mungkin dicabar iaitu Islam yang tulen. Di sini saya sebutkan perkataan Islam tulen bagi membezakan Islam yang telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak. (Akaipc : Apalagi kalau bukan Islam Hadhari)
Jika Islam ini tidak diambil secara betul, maka orang Melayu atau Arab tidak akan mampu untuk bersaing di persada dunia hari ini, kerana sesetengah bangsa-bangsa lain sekalipun mereka kehilangan akidah yang benar, namun ciri-ciri tamadun kaum yang mereka pusakai telah membantu membawa mereka membina harta dan kekayaan.

Sementara bangsa-bangsa yang menganut Islam, jika tidak benar-benar membudayakan Islam dalam prinsip kehidupan secara komprehensif maka mereka bersaing tanpa sebarang kekuatan. Tidak kekuatan Islam, tidak juga kekuatan tamadun bangsa. Sedangkan bangsa-bangsa yang tidak Islam, sekurang-kurang mereka mempunyai bekalan persaingan iaitu tamadun bangsa mereka yang mempunyai ciri-ciri positif dalam beberapa sudut. Justeru itu, mereka lebih kehadapan dan berjaya.

Mungkin ada yang berkata: “Mana perginya kekuatan tamadun bangsa-bangsa yang menganut Islam itu?”. Apakah bangsa mereka langsung tidak ada keistimewaan? Saya katakan, mungkin. Namun banyak pusaka warisan itu hampir hilang sejak bergenerasi lamanya, dek datangnya Islam yang membawa tamadun yang maha agung dan berwibawa. Juga sifat Islam yang menghapuskan apa yang bertentangan dengan prinsipnya yang kudus. Islam telah mengambil tempat warisan budaya atau pusaka sesetengah bangsa dengan gantian suatu sistemnya yang paling ampuh.

Malangnya apabila generasi kemudian memegang Islam secara pinggiran atau tersasar dari panduannya, maka mereka kehilangan tamadun Islam yang agung, sekaligus warisan budaya mereka yang dahulu. Sesuatu bangsa apabila hilang akar tamadunnya, maka lemahlah mereka serta mudahlah terdedah kepada pengaruh dan serangan luar. Itulah realiti kita hari ini. Melayu atau Arab yang
sedang hanyut dengan dunia khayalan yang digula-gulakan (oleh Amerika melalui Hollywood dan Disneyland). Ditambah lagi Islam yang diajar tidak lagi dalam bentuk yang difahami oleh generasi awal yang telah berjaya membina keagungan. Persoalan akidah tidak lagi menjadi teras dalam hanyak keilmuan. Sehinggakan perkara-perkara yang merosakkan akidah ramai tidak lagi difahami. Ataupun akidah gagal ditempatkan di persada persaingan.

Sementara sesetengahnya mencanangkan Islam dengan tafsiran yang mundur lagi tidak berasas. Sehingga ada yang menganggap selain dari mata pelajaran yang berbunyi Arab adalah sekular. Seketika golongan agama lebih mudah untuk diingati jika dikaitkan dengan kain pelekat, baju Melayu, datang lewat, berjalan ‘slow’, tidur di masjid, susah terima pendapat orang lain, muncul ketika orang mati dan kahwin, dan hilang ketika umat gawat bersaing menghadapi percaturan zaman. Hingga orang akan kehairanan bila seorang ustaz tahu banyak perkara. Jika ustaz tidak tahu tentang perkembangan semasa dan persoalan dunia moden, mereka kata ; “biasalah, dia tu ustaz!”. Maka akhirnya golongan agamawan gagal untuk mengisi posisi-posisi penting umat.

Apa tidaknya ketika harta dan ekonomi umat tergadai, golongan agama masih ada yang bising soal hukum orang bukan Islam makan daging akikah atau larangan menjawab salam mereka! Sepatutnya kita berfikir bagaimana untuk menjadikan Islam ini lebih menarik sehingga bukan Muslim di sekeliling kita menerima petunjuk yang benar. Sekaligus segala kekayaan yang mereka miliki turut Islam bersama mereka. Bukan sekadar sekeping daging akikah, atau sepatah ucapan salam.

Hilang Pusaka
Maka kita hilang Islam, tiada pula pusaka nenek moyang. Islam yang sepatutnya mengisi ruang tamadun kita, telah kita tinggalkan. Maka ramai pemuda kita tiada cita-cita besar, tidak merasa ketinggiaan harga diri dan tiada tanggungjawab, akibat tidak ada jiwa agama. Jika dia berbangsa cina, mungkin dia malu kerana bekerja rajin itu adalah budaya yang jika ditinggal suatu kecacatan dan kehinaan. Jika dia Muslim yang baik, dia akan merasa berdosa hidup tanpa usaha dan perjuangan. Tapi apabila dia Melayu tanpa agama dan budaya, dia rasa itu biasa saja...

Amir al-Mukminin ‘Umar bin al-Khattab pernah menyebut kepada kaum Arab: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya, maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleb al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Daral-Ma’rifah, Beirut).

Maulana Abu al-Hasan Ali al-Nadwi dalam bukunya Kaif Dakhala al-Arab al-Tarikh menggambarkan betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah. Sekalipun pada Arab itu ada ciri-ciri yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki keberanian dan kehandalan dalam senjata, juga tunggangan kuda. Mereka mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik. Malangnya kesemua itu tidak mampu membawa mereka ke persada sejarah yang gemilang. Namun mereka akhir berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah.

Sehingga al-Nadwi menyatakan: “hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Isam dan dakwah Islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas. Ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang hanyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki pentas sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya” (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-Ilmi, Lacknow, India).

Maka memajukan Melayu bukan dengan sekadar menghidupkan inang dan mak yong atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya ialah dengan membunuh nilai-nilai negative yang dimusuhi oleh Islam, seperti tidak rajin (malas), hasad dengki (cemburu), tidak itqan (bersungguh-sungguh) dalam sesuatu pekerjaan, membazir waktu, melampau dalam hiburan dan berbagai lagi. Wajib menghidupkan nilai-nilai positif yang disuruh oleh al-Quran dan al-Sunnah seperti rasa bertanggungjawab membangunkan umat yang membuahkan kesungguhan menuntut ilmu dalam segala bidang dan melaksanakan peranan kekhalifahan membina tamadun. Roh sebenar Islam mesti diterapkan untuk ini semua.

Maka guru-guru agama, hendaklah memiliki ‘al-uqulal nadijah al-wa’iyyah’ - (akal yang matang lagi berkesedaran) yang mampu menggerakkan tamadun umat. Bukan sekadar membicarakan kes-kes yang hampir pupus pada ratusan tahun yang lepas. Atau sekadar mengulang bab haid dan nifas tanpa mampu menggerakkan murid-muridnya menghasilkan sendiri keperluan wanita moden ketika haid dan nifas.

Oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Jumaat, 1 Februari 2008

Pesanan seorang ahli koprat

Assalamualaikum, di sini, ingin dikongsikan bersama kata2 Syed Mokhtar al-Bukhary.. terima kasih kepada interviewer asal, dan juga blog2 yang mempamerkannya..

selamat membaca, dan sila kongsikan bersama..


1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (Berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah (SWT) biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa diatas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah (SWT) memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah (SWT) beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke
bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu
berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah (SWT) beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu
selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (Perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah (SWT) boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah (SWT). Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan...

Lagi tentang Syed Mokhtar Al-Bukhary

(dipetik dari http://www.maer-kiput.blogspot.com)