Custom Search

Reviews Directory

Memaparkan catatan dengan label Pendidikan dan Pembelajaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan dan Pembelajaran. Papar semua catatan

Ahad, 23 Mac 2008

Tahap Awal Budaya Pendidikan

Berbicara tentang budaya pendidikan di negara kita, dari apa yang saya perhatikan kurang begitu memuaskan dan berada pada tahap yang rendah. Walaupun begitu, saya bincangkan terlebih dahulu secara ringkas peringkat-peringkat bagaimana hendak membentuk budaya pendidikan anak-anak supaya ia menjadi satu amalan yang akan menjadikan seorang anak itu insan yang soleh dan menjunjung budaya menerokai ilmu pengetahuan.


Bagi menyemai budaya pendidikan perlu bermula dari rumah, sejak dari kandungan lagi sehinggalah seseorang anak itu menjadi remaja dan dewasa. Mungkin ada antara anda pernah terbaca mengenai bagaimana seorang ibu boleh mendidik anak dalam kandungannya dengan membaca surah-surah al-Quran dan memperdengarkan bacaan-bacaan tersebut melalui ear phone ke perut si ibu. Amalan sebegini dilakukan setelah anak-anak tersebut sudah cukup sifatnya. Si ibu juga perlu mempunyai emosi yang baik dan amalan kesihatan yang dapat membantu melahirkan anak yang sihat dan cerdas. Begitu juga si bapa perlu memberi sokongan kepada isterinya sepanjang proses kandungan tersebut dan mempunyai amalan-amalan yang baik seperti beribadat, bersedekah, berdoa, membantu orang lain dan sebagainya sehinggalah anak tersebut dilahirkan.


Setelah lahir proses pembelajaran dan pengajaran kepada anak tersebut perlu diteruskan supaya ia menjadi satu budaya untuk menuntut ilmu bila anak kita besar kelak. Anak yang masih bayi perlu diajar dengan komunikasi kerana derianya sedang berkembang. Komunikasi melalui percakapan, jangan beranggapan bahawa bayi tidak faham kerana deria pendengarannya cukup tajam dan peka untuk mengetahui setiap patah ayat apa yang didengarnya. Cubalah kita bercakap dengan bayi kita setiap hari, cakap apa saja yang baik sama ada dengan bahasa kita sendiri atau bahasa Inggeris. Pelbagaikan proses komunikasi kita dengannya sama ada dengan membaca surah al-Quran, menyanyikan lagu, berpantun atau apa-apa saja yang boleh menarik perhatian anak-anak kita. Deria penglihatan bayi juga sedang berkembang dan justeru itu tidak salah sekiranya kita mula mengajarnya ABC atau 123 atau memperlihatkannya dengan gambar-gambar yang boleh mendidiknya lebih awal.


Proses tumbesaran anak akan terus berkembang mengikut peringkat usianya, ketika anak sudah tahu memegang atau menggenggam, sesuatu proses pengajaran sebelum ini boleh dilanjutkan lagi. Jika sebelum ini anak hanya mendengar dan melihat saja tapi kini dia perlu menyentuh apa yang dilihat dan apa yang didengarnya. Ini penting kerana dia akan tahu lebih lanjut lagi apa yang selama ini hanya didengar dan dilihatnya saja. Jangan kita melarang atau memarahinya jika dia hendak mengambil sesuatu kerana tindakan ini sebenarnya boleh merencatkan sikap ingin tahunya. Justeru itulah, ibu bapa perlu menyediakan satu ruang yang boleh menjadi tempat untuk anak-anak ini bermain mengikut kehendak hatinya dan sediakan alat permainannya di samping ibu bapa membimbing apa yang perlu ketika bersamanya.


Anak-anak ketika sudah berumur antara 3-5 tahun sudah tahu bercakap dan banyak bertanya. Biarlah mereka terus bertanya dan kita jawablah dengan berhemah. Pada peringkat inilah budaya pendidikan yang lebih aktif sudah bermula di mana akan wujud satu komunikasi langsung antara ibu bapa dengan anak. Maksud saya ialah apabila kita berkata sesuatu kepada anak, maka anak akan menerima ia sebagai satu yang perlu dia ikuti dan patuhi. Sebagai contoh, bila kita kata jangan mencuri kerana ia satu dosa, kita terangkan apa itu dosa dan apa hukumannya sama ada hukuman di dunia maupun di akhirat. Tunjukkan video atau gambar akibat orang yang mencuri atau melakukan dosa sebagai satu pengajaran kepadanya. Seharusnya anak-anak pada usia ini tidak boleh dibiarkan terkapai-kapai atau tertanya-tanya, dan juga tidak boleh begitu dimanjakan mengikut apa saja kehendak dan kemahuannya, ibu bapa kena beri penjelasan yang sewajarnya agar anak faham. Ketika inilah anak-anak perlu dididik tentang ibadat, tentang amalan-amalan baik, apa yang boleh dan apa yang tak boleh. Ibu bapa perlu kemukakan alasan yang kukuh kepada anak-anak dan memberi penjelasan yang boleh diterima akal, biarpun anak kita itu baru berumur 3 tahun.


Apabila anak-anak kita sudah mula melangkah ke bangku sekolah maka dia akan mengalami satu budaya yang baru dalam pendidikannya. Jika selama ini ibu bapa sebagai guru yang mengajarnya kini guru di sekolah pula yang turut memainkan peranan mendidiknya. Kita tak akan merasa bimbang sekiranya kita telah didik anak apa yang baik dan apa yang buruk semenjak dia berusia 3-5 tahun lagi. Cuma ibu bapa perlu memantau perkembangannya dan mengambil tahu apa yang dipelajarinya dan membantunya dalam proses pembelajaran dan pengajaran yang dia perolehi di sekolah. Sehinggalah dia ke peringkat pendidikan menengah, jika kita terus mengambil tahu apa yang dipelajarinya semestinya anak yang kita didik dengan baik sejak dari kecil lagi akan menghargai kita kerana telah memberi dorongan dan bimbingan sehingga dia menjadi seorang pelajar yang baik dan cemerlang.


Walaupun banyak pengaruh negative di sekelilingnya ketika di bangku sekolah, disebabkan kita telah didiknya tentang apa yang baik dan apa yang buruk disamping kita berterusan mengambil tau tentang dirinya, insyaAllah anak kita akan terpelihara dari ancaman pengaruh negative. Amalan budaya pendidikan yang kita semai sejak dari kandungan lagi akan beterusan sehingga ke dewasa di mana anak-anak ini akan terus ingin tau tentang sesuatu melalui deria penglihatan dan pendengarannya dan berusaha untuk mencapai sesuatu melalui panca indera tulang empat keratnya sehingga dia menemui jawapannya. Selagi belum ditemui apa yang dia hendak tau selagi itulah dia berusaha untuk menerokai ilmu tersebut kerana akalnya sudah terdidik dengan persoalan-persoalan yang perlu dijawab dengan bernas dan munasabah.


Jika masih kanak-kanak dan remaja mereka bergantung kepada ibu bapa untuk apa jua persoalan dan permasalahan dan dibantu dengan sebaik-baiknya sehingga mereka berjaya mencapai apa yang mereka kehendaki menerusi nasihat dan perundingan dengan ibu bapa. Maka setelah dewasa mereka sudah tahu berdikari untuk merungkai persoalan di benak mereka dan menyelesaikan sendiri permasalahan mereka dengan sebaik-baiknya tanpa perlu lagi bergantung dengan ibu bapa, sebaliknya mereka perlu berunding dengan orang lain yang lebih tau dan arif. Pastinya mereka mampu berdikari hasil dari didikan yang sempurna sejak dari kecil lagi.


Adakah budaya sebegini diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat kita? Melihat kepada kualiti graduan yang negara kita hasilkan tidak ramai yang benar-benar boleh berdikari sendiri dan tidak mampu menghadapi cabaran dan persaingan yang sengit. Terlalu ramai yang menganggur dan mengharap untuk bekerja makan gaji dengan majikan. Di sekolah pula pelbagai kes yang tak elok didengar dengan gejala-gejala negative yang merosakkan pemikiran dan masa depan generasi anak-anak kita. Institusi keluarga pula tidak lagi utuh lantaran ibu bapa kini terlalu sibuk mengejar kebendaan dengan sibuk bekerja. Anak-anak dicurahkan dengan kemewahan, bukannya kasih sayang dan bimbingan yang betul. Anak-anak dibimbing oleh pembantu rumah, tv dan rakan-rakan yang belum tentu baik akhlaknya. Kesemuanya tidak lagi dipantau dan dibimbing dengan baik oleh ibu bapa, membiarkan anak-anak dengan karenah dan perilaku masing-masing tanpa nasihat dan teguran yang membina.


Untuk menceritakan panjang lebar tentang perkara ini amat pahit untuk diterima oleh kebanyakan kita. Namun, jika kita mahu terus maju dan memperbaiki diri seharusnya kita perlu terima apa jua pandangan dan pendapat orang lain. Kerana bilamana kita mampu menghimpunkan semua pandangan dan pendapat, fikiran kita akan lebih terbuka kepada idea-idea baru tak kira ia bernas atau tidak hanya kita sendiri boleh memikirkannya secara bijak untuk menerima mana yang baik dan mana yang buruk. Usah khuatir dengan kritikan orang dan takut dengan ugutan pihak berkuasa yang tidak senang hati dengan apa yang kita ungkitkan. Selagi apa yang kita perkatakan itu dapat memperbaiki keadaan yang tidak betul, mereka kena terima ia sebagai satu rasa kekesalan dan tidak puas hati kita sebagai rakyat yang sudah matang dan tahu menilai sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling dalam negara kita.


Saya akan bincangkan lebih lanjut tentang perkara ini bila ada masa terluang, tentang budaya pendidikan yang berlaku dalam negara kita. Mereka yang berkenaan kenalah terima teguran ini dan ambil ia sebagai satu suara rakyat yang perlu diambil kira dalam membuat sesuatu dasar dan keputusan. Bukannya menghukum, menyekat dan mencantas kebebasan berfikir rakyat Malaysia.

Selasa, 11 Mac 2008

Bantuan Yang Ikhlas

Kata bijak pandai kalau sesuatu itu dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, pasti suatu masa kelak tanpa disangka-sangka dia akan mendapat ganjaran yang setimpal yang dia sendiri tak tau apakah bentuk ganjaran itu, bila dan dimana.

Bagi melahirkan pelajar universiti yang mampu mencapai taraf cendiakawan memerlukan satu sokongan yang kuat bukan saja dari segi kewangan tapi juga dorongan dan juga persekitaran yang menyokong budaya keilmuan dan berfikir secara kritikal. Kalaulah hendak belajar di universiti pun sudah berhutang dengan pinjaman pendidikan pastinya konsisten fikiran pelajar agak terganggu dan tekanan akan berlaku untuk belajar bersungguh-sungguh supaya mencapai keputusan yang cemerlang. Dengan itu, bila tamat pengajian kelak mereka berharap mendapat pekerjaan yang baik dan diterima oleh majikan supaya dapat melangsaikan hutang pinjaman pendidikan itu.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa sekiranya bantuan kewangan pendidikan diberikan secara percuma akan melalaikan pelajar tersebut dan menyebabkan dia tak bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh kerana bantuan tersebut tak perlu dibayar balik. Ayuhlah, jangan lagi kita berfikiran sempit, jangan mandulkan pemikiran kerana sekiranya bantuan pendidikan diberi percuma bermakna ia adalah satu penghargaan dan amanah besar yang diberikan oleh mereka yang memberi bantuan supaya pelajar bila tamat pengajian dapat membayar balik dengan kelulusan dan kelayakan mereka untuk menjadi seorang saintis, jurutera, ahli falsafah, astronomi dan pelbagai lagi bidang lain. Dengan itu, diharap mereka boleh memberi sumbangan kepada negara, bangsa dan agama melalui hasil ciptaan dan kajian mereka.

Jika cendiakiawan ini terhasil mereka akan mencipta sesuatu yang akhirnya akan menguntungkan negara juga untuk jangka masa yang lebih panjang. Jika cendiakiawan ini berjaya mencipta teknologi baru, teknologi ini akan menjadi sumber pendapatan negara ataupun menjadi nadi kepada penghasilan sumber pendapatan negara. Dari situlah, pelajar ini akan membayar segala kos pendidikan yang diberi percuma dahulu dengan hasil-hasil yang memberi pulangan berlipat kali ganda kepada negara. Pastinya pelajar itu juga akan mendapat pulangannya sendiri secara peribadi.

Jangan terlalu berburuk sangka kepada generasi muda, tidak yakin dengan kemampuan mereka menyebabkan tidak mahu memberi bantuan pendidikan tinggi secara percuma. Sekiranya mereka dibentuk dan didorong dengan betul pastinya mereka tidak akan menyeleweng dan menyimpang dari jalan yang lurus. Mereka mesti diberi kepercayaan, dan kepercayaan terhadap mereka disampaikan melalui bantuan pendidikan atau biasiswa pengajian tinggi ke universiti. Sesuatu yang diusahakan secara ikhlas, dibuat secara jujur dan beramanah akan menghasilkan kejayaan yang baik. Mereka pasti akan menghargai kepercayaan itu dengan menjadi cendiakiawan yang akan berbakti dan memberi pulangan kepada negara, bangsa dan agama.

Tapi hari ini, amat malang sekali kerana amalan dan budaya sebegini tidak lahir dalam jiwa mereka yang berkemampuan atau berkuasa untuk membantu dan membimbing mereka. Sebaliknya mengambil kesempatan untuk menjadikan ia satu perniagaan yang menguntungkan atau satu modal untuk mereka dilihat sebagai pihak yang prihatin terhadap kesusahan mereka untuk mendapatkan belanja bagi pengajian pelajar universiti.

Khamis, 6 Mac 2008

Sains & Mate Dalam BI

Perlukah Pengajaran Sains dan Matematik dilakukan dalam Bahasa Inggeris

1) Perlu sekiranya IPTA mahu menarik pelajar-pelajar dari luar negara untuk mengikuti kursus-kursus di IPTA di peringkat Sarjana Muda dan Sarjana. Ini juga dapat meningkatkan kredibiliti Universiti tersebut dengan adanya para pelajar dari luar negara.


2) Tidak perlu sekiranya para pelajar di negara ini kurang penguasaan Bahasa Inggeris untuk memahami ilmu Sains dan Matematik yang diajarkan dalam bahasa tersebut.

Ketika Dunia Islam mengusai ilmu pengetahuan (ketika Daulah Khilafah masih wujud), orang Eropah belajar daripada orang Islam ilmu-ilmu Sains dan Matematik. Mereka belajar bahasa Arab, untuk memahami Sains dan Matematik dari orang Islam. Tetapi orang Eropah tidak menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda mereka. Mereka mengalih bahasakan buku-buku Sains dan Matematik yang ditulis dalam bahasa Arab ke bahasa Latin.

Sehingga sekarang beberapa istilah bahasa Arab masih lagi dikekalkan dalam bahasa mereka seperti:
  • Chemistry (yang berasal dari Kimia),
  • Sugar (yang berasal dari sukkar)
  • Alkali (yang berasal dari alkali)
  • Alcohol (yang berasal dari alcohol)
  • Algebra (yang berasal dari aljabar)
Bahasa Inggeris hanyalah bahasa, dan bukannya suatu cabang dari ilmu Sains dan Matematik. Oleh itu, sekiranya seseorang ingin belajar membina atau mencipta kapal terbang, roket, kereta, motosikal dan komputer, beliau tidak perlu belajar bahasa Inggeris, kerana kebanyakan buku panduan bagaimana untuk mencipta kapal terbang, roket, kereta, motosikal dan komputer ada ditulis dalam bahasa Jepun, Rusia, Korea, Jerman, Perancis dan sebagainya. Malah ada Microsoft Windows versi Jepun dan Korea yang menggunakan sepenuhnya bahasa Jepun dan Korea.

Bahasa hanyalah suatu medium (perantaraan) untuk memahami ilmu Sains dan Matematik. Sekiranya seorang itu selesa untuk belajar ilmu sains dan Matematik dalam bahasa ibundanya dan bukan bahasa Inggeris, maka itulah yang paling baik baginya. Pengajaran Sains dan Matematik di Jepun dan Korea dilakukan dalam bahasa Jepun dan Korea, dan mereka lebih maju dalam Sains dan Matematik jika dibandingkan dengan negara ini di mana pengajaran Sains dan Matematik dilakukan dalam bahasa Inggeris sekarang.

Menjadikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak semestinya menjadikan pelajar-pelajar lebih faham tentang Sains dan Matematik, tetapi mungkin sebaliknya. Saya telah memeriksa beratus-ratus skrip peperiksaan STPM, Matrikulasi dan Universiti dan mendapati kefahaman tentang bahasa Inggeris pelajar-pelajar masih rendah. Sekiranya penguasaan terhadap bahasa Inggeris masih rendah, maka adalah amat tidak wajar mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kerana langkah tersebut hanya menambahkan bebanan pelajar untuk memahami Sains dan Matematik, malah lebih buruk lagi, pemahaman menjadi semakin merosot.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa kebanyakan buku-buku rujukan dan research journals ditulis dalam bahasa Inggeris, maka oleh itu perlulah mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Memang benar, kebanyakan buku-buku rujukan dan research journals bagi Sains dan Matematik ditulis dalam bahasa Inggeris, namun hakikatnya, apakah guna mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sekiranya penguasaan majoriti pelajar dalam bahasa Inggeris masih amat lemah. Adalah lebih sesuai sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa yang lebih mudah difahami oleh pelajar-pelajar (tidak kira sama ada Bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil atau Arab). Pada masa yang sama, pertingkatkan kualiti pengajaran subjek bahasa Inggereis, degan penambahan subjek bahasa Inggeris untuk Sains (English for Scientific purposes) sebagai matapelajaran yang berasingan, untuk membolehkan para pelajar membaca dan memahami sumber-sumber saintifik dalam bahasa Inggeris.

Sekiranya anda ke luar negara seperti Eropah ke negara-negara Jerman, Perancis, Sepanyol atau Itali, rata-rata mereka boleh berbahasa Inggeris, tetapi jarang mereka akan melayan anda dalam bahasa Inggeris. Mereka mungkin akan melayan anda sekiranya anda bercakap dalam bahasa mereka di negara mereka sendiri. Keadaan yang sama sekiranya anda pergi melawat Jepun dan Korea. Sekiranya anda dapat perhatikan profesor-profesor dari Jepun dan Korea memberikan syarahan dalam bahasa Inggeris, anda akan mendapati seorang pelajar sekolah menengah di Malaysia lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding profesor-profesor ini. Adakah ini bermakna mereka gagal dalam mengajarkan Sains dan Matematik hanya kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka lebih rendah dari pelajar sekolah menengah di Malaysia?

Hakikatnya, Bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya Bahasa Sains dan Matematik. Bahasa, dalam konteks ini hanyalah 'container' atau 'bekas' untuk menyampaikan idea-idea Sains dan Matematik. Mana-mana bahasapun boleh digunakan sebagai 'container' bagi Sains dan Matematik selama mana idea-idea tersebut dapat difahami sebaik-baiknya oleh yang mengkajinya . Ini adalah kerana Sains dan Matematik bukanlah suatu bentuk 'hadharah' yang perlu disandarkan kepada bahasa Inggeris semata-mata. Ini berbeza dengan bahasa Arab. Tanpa bahasa Arab, banyak perkara di dalam Islam tidak dapat dipenuhi; ijtihad sebagai contoh. Bahasa Arab adalah sebahagian dari hadharah Islam. Kesinambungan dari itu, bahasa Arab, setelah Islam menguasai 1/3 dunia, telah menjadi bahasa elit – tamadun dunia itu sendiri disandarkan kepada bahasa Arab sehinggalah umat mula melalaikannya.

Sumber : www.mykhilafah.com

Artikel yang berkaitan dengan tajuk ini

Selasa, 26 Februari 2008

Minda Itu Media


Mungkin ada yang belum tau apa itu minda, berikut adalah pengenalan tentang bagaimana minda itu berfungsi :

Memahami Minda Sebagai Satu Bentuk Media

Pernahkah kita terfikir bahawa minda adalah juga satu bentuk media? Bagaimana hal ini boleh terjadi?

James K. Van Fleet dalam bukunya Hidden Power telah membicarakan minda bawah sedar (subconcious mind) sebagai satu gelanggang ekslusif yang tidak sahaja berperanan sebagai pemikir tetapi juga pencetus idea, penyelesai masalah dan pembuat keputusan. Hal ini bagaikan satu gelanggang yang bertindak apa-apa saja mengikut arahan pemiliknya. Sebagaimana media dimiliki dan diperalat oleh pemiliknya, minda di dalam kepala juga akan bertindak mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh tuan punya kepala. Minda adalah satu bentuk media yang terhebat dan tercanggih kerana media bercetak atau elektronik yang berada di sekeliling kita sekarang ini dilahirkan oleh media (minda) yang berada di dalam kepala itu

Kehebatan minda sebagai media adalah keupayaannya bertindak sendiri dengan memberikan jawapan-jawapan yang dikehendaki oleh pemiliknya. Misalnya, A mahu menulis sepucuk surat untuk seorang teman yang tinggal amat berjauhan daripada negaranya. Sewaktu menulis itu A akan dibantu oleh mindanya dengan memberikan maklumat-maklumat sampingan yang relevan, misalnya fakta tentang cuaca, suasana, iklim, ekonomi dan politik negaranya mengikut ilmu bantu yang dimilikinya hingga menjadikan suratnya bukan seperti surat biasa tetapi seperti senaskhah akhbar yang penuh maklumat. Minda dalam otak A telah bertindak sebagai sebuah ensiklopedia, seperti sebuah kamus, seperti sebuah perpustakaan, seperti arkib, seperti jabatan kaji cuaca, malah seperti parlimen. Dalam kata lain minda dalam otak A telah bertindak sebagai sebuah media .

Kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar mendapati cara minda atau media dalam otak ini bekerja adalah hampir menyamai sebuah komputer bekerja. Bagaimanapun, seorang saintis telah rnenyebut, “Minda bekerja seperti sebuah komputer tetapi tiada satu pun komputer dapat bekerja seperti minda.” Seterusnya dia berkata, “Buat selama-lamanya, sains tidak akan mampu menghasilkan sesuatu yang sehebat minda. Walaupun jika dapat, minda manusia masih diperlukan untuk menggerak kannya.”

Terdapat sebanyak 10 hingga 15 bilion neurons di dalam setiap otak atau dua kali lebih banyak daripada sejumlah manusia di seluruh dunia. Meskipun jumlah neurons menunjukkan tahap kebijaksanaan - kebijaksanaan ditentukan oleh jumlah sambungan setiap otak sekurang-kurangnya mempunyai sebanyak 10 trilion (10 000 000 000 000) sambungan yang dipanggil synapse. 10 trilion ini adalah jumlah yang amat besar untuk diyakini sebagai kejadian paling ajaib dan menakjubkan yang ada pada diri manusia. Sudah tentulah, apabila minda dikatakan sebagai media - dengan jumlah sambungan yang sebegini banyak - menjadikan ia satu pengkalan data yang terhebat mengatasi komputer terbaik pernah dihasilkan atau tidak mungkin mampu dihasilkan.

Sudah tentu ini suatu hal yang semestinya kerana komputer itu sendiri dicipta oleh otak. Sudah tentu bahan ciptaan tidak boleh mengatasi kehebatan si pencipta sebagaimana ALLAH tidak dapat ditandingi oleh ciptaan Nya.

Para saintis telah membahagikan otak manusia kepada tiga; neocortex, mammalian dan reptilian. Dalam otak neocortex inilah minda dibahagikan kepada dua bahagian pula iaitu kiri dan kanan. Biasa disebut otak kanan sebagai otak kreatif dan kiri sebagai numeric. Kajian menunjukkan kedua-dua minda ini bekerja memberikan pelbagai maklumat atau apa-apa juga yang diperlukan. Misalnya, bahagian belakang neocortex berfungsi memproses data visual, sisi memproses data auditori, tengah memproses data hasil sentuhan dan mengawal pemikiran, pendengaran, penglihatan dan juga pertuturan. Manakala otak mammalian berperanan sebagai alat pengingat dan otak reptilian mengawal pernafasan serta denyutan jantung.

Secara lebih terperinci minda kiri berfungsi melalui empat pecahan iaitu logik, bahasa, matematik dan analisis, di mana logik adalah turutan, sebab, dan arahan; bahasa adalah tulisan, bacaan dan bertutur; matematik ada nombor dan analisis adalah penilaian.

Pecahan minda kanan pula ialah gambar, imaginasi, ritma dan dimensi. Dimana gambar adalah rnengenal warna, imej dan corak; imaginasi adalah nilai kreativiti dan ritma adalah muzik dan dimensi adalah ruang.

Apabila dibicarakan terus tentang peranan minda menguasai seluruh cara berfikir dan pergerakan individu terutama tentang bagaimana ia menerima maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya kembali apabila diperlukan dengan begitu pantas dan efisien, serasa ia adalah media yang paling tidak terjangkau untuk difahami dan difikirkan oleh minda itu sendiri. Lihat bagaimana memori terbentuk. Bermula daripada menerima maklumat, menyimpan, kemudian mengeluarkannya kembali atau registration, retention, dan retrieval. Semuanya boleh dilakukan sama ada sekelipmata, lemban, atau tidak sekali-kali bergantung kepada minda sedar (concious mind), minda bawah sedar (subconcius mind) ataupun minda tidak sedar (un concius mind) sewaktu menerima sesuatu maklumat itu.

Bercakap tentang minda bawah sedar ini pula menurut Fleet lagi seluruh idea manusia datangnya dari situ. Ia satu bentuk media yang benar-benar menakjubkan dengan bertindak sebagai ensiklopedia, kampus, komputer, CD, dan segala-galanya. Ia adaah sumber maklumat, penentu bagi sebarang keputusan yang akan dibuat oleh minda sedar malah ibarat enjin yang menggerakan jika diibaratkan seperti sebuab kenderaan.Tanpa minda bawah sedar ini manusia tidak ubah bagaikan alat mainan kanak-kanak iaitu berfungsi mengikut progam yang telah ditentukan sahaja. Jika sesebuah alat mainan itu telah diprogramkan berpusing, ia akan terus-menerus berpusing sehinggalah kuasa yang dibekalkan atau disambungkan kepadarnya habis. Namun, satu kekurangan Fleet dalam berteori ialah meletakkan seluruh keupayaan kepada minda bawah sedar tanpa dapat mengaitkannya dengan kehendak Tuhan dan peranan doa untuk meraih ilham.

Minda bawah sedar adalah satu-satunya media yang boleh bertindak sendirian mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh minda sedar. Misalkan begini; seseorang (B) telah menetapkan bahawa dia perlu berjaya dalam bidang yang diceburinya. Katalah bidang jualan. Apabila hatinya berkata; ”Aku mesti buat jualan bernilai RM1 juta pada tahun ini”. Dia sebenarnya telah meletakkan satu target dalam minda sedarnya. Target yang tertanam dalam minda sedar ini secara automatik akan diketahui oleh minda bawah sedar. Tanpa diketahui oleh B, minda bawah sedar ini akan bekerja dengan sendirinya dan akan memberikan jalan-jalan atau idea secara tidak terduga. Ia mungkin muncul seminit dua selepas itu atau pun sehari dua atau pun seminggu dua dan seterusnya. Syaratnya B mesti ada ilmu bantu iaitu pengetahuan-pengetahuan asas tentang perniagaan, ekonomi atau pengalaman-pengalaman berkaitan dan sebagainya. Pertumbuhan idea sebegini hanya mampu dilakukan oleh media yang bernama minda dan hanya boleh dilakukan oleh hidupan yang bernama manusia. Sekali lagi, kehebatan media ini perlu dikaitkan dengan izin Allah kerana bergantung semata-mata kepada minda bawah sedar tidaklah tepat dan tidaklah selalunya benar. Keupayaan manusia tidak selama-lamanya total sebab ia adalah kejadian yang dijadikan.

Lihatlah betapa minda bukan sekadar membekal maklumat tetapi mencari jawapan kepada permasalahan. Justeru, mengatakan ia adalah suatu bentuk media sahaja belumlah mencukupi sebab setiap yang dijadikan sentiasa dibawah kawalan ”Yang Menjadikan” dan inilah suatu hakikat yang perlu difahami dan diyakini oleh semua. Dalam kita mengagumi minda sebagai suatu bentuk media yang terhebat kita sebenarnya tertakluk kepada cabaran untuk mengakui memang ia ia telah dijadikan sedemikian oleh sebenar-benar pencipta iaitu Allah Yang Maha Mencipta.

Isnin, 25 Februari 2008

Megacreativity

Dalam kehidupan reality kita jangan terlalu fanatic dengan mempertahankan sikap konservatif enggan membuat perubahan walaupun sedikit. Seharusnya kita mesti berani melakukan sesuatu yang bukan kebiasaan supaya kita boleh nampak jalan yang kita tidak nampak di hadapan. Malang bagi kita selama ini bilamana fikiran kita dikelirukan dengan pelbagai kata-kata ugutan dan ancaman supaya kita terus berada ditakuk lama dan terus menyokong apa yang orang lain lakukan terhadap kita. Berikut adalah pengalaman seorang rakyat Rusia menerusi bukunya tentang perbezaan suasana sekeliling yang membentuk kreativiti seseorang manusia.

Anda ingin menjadi insan kreatif? Bolehkah semua orang menjadi kreatif? Kalau boleh, apakah caranya? Buku Megacreativity: 5 Steps to Thinking Like Genius dapat memberi cara-cara yang berkesan untuk menjadi kreatif dan mencapai genius. Cara-cara ini boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa yang terluang. Begitulah kesan kepada penulis apabila menganalisis buku ini.

Buku ini ditulis oleh Andrei Aleinikov mantan kolonel Rusia selama 10 tahun, berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan akhirnya menjadi rakyat AS pada Mei 2002. Pengalamannya sebagai rakyat Rusia seolah-olah memperlihatkan bahawa orang tidak boleh menjadi kreatif sewaktu tinggal di Rusia sebaliknya dapat menyuburkan kreativiti semasa tinggal di Amerika Syarikat.

Begitulah Aleinikov mengemukakan lima langkah untuk kita berfikir sebagai seorang genius. Pada langkah pertama dengan judul Quit Quitting, Aleinikov menjelaskan bahawa untuk seseorang mencapai tahap genius yang tertentu, mereka harus bertindak melatih diri menjadi kreatif.

Cara pertama dalam langkah ini tidak lain tidak bukan ialah “membuka minda”. Jika minda tertutup, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan kerana orang boleh terus menerus menjadi jumud. Untuk membuka minda, mereka harus mendedahkan dirinya kepada masalah. Dia akan menjadi kreatif dan genius jika terus melatih diri menyelesaikan masalah yang timbul pada setiap masalah. Untuk mematangkan diri dengan penyelesaian masalah, penulis memberi bimbingan terhadap penyelesaian secara tahap demi tahap. Hanya dengan membiasakan diri menyelesaikan masalah secara ini, minda kita akan terbuka dan berani berdepan dengan berbagai-bagai masalah kehidupan harian. Minda kita pula menjadi semakin kreatif dan terbuka.

Cara selanjutnya dalam langkah ini adalah untuk memahami bentuk genius. Untuk tujuan ini penulis berusaha membongkar konsep genius yang lama ini mengelirukan orang. Kekeliruan ini dijelaskan untuk mendapatkan konsep genius yang sebenarnya. Penulis cuba mencabar beberapa mitos tentang genius yang mengelirukan.

Antaranya, genius itu dilahirkan. Sebenarnya tidak. Genius bukan dilahirkan tetapi diciptakan. Genius juga bukan kerana keturunan tetapi kerana penyuburan diri seseorang melalui pendidikan awal dan pengaruh sosial yang kuat ditambahkan dengan ketrampilan yang dipelajari. Tanpa hal-hal ini orang tidak akan menjadi genius.

Mitos kedua yang mengatakan genius dapat dikenal pasti dalam diri anak-anak. Ini dicetuskan daripada idea tahap kecerdasan yang dipanggil prodigy dan rumusan yang cukup mengelirukan. Idea yang menyatakan bahawa jika kanak-kanak itu tidak dikenal pasti sebagai genius sejak dari kanak-kanak, ertinya kanak-kanak itu tidak genius.

Sebenarnya prodigy yang dikenal pasti pada zaman kanak-kanak. Seseorang yang mencapai tahap kecerdasan luar biasa yakni prodigy memperlihatkan kebolehan tahap dewasa pada zaman kanak-kanaknya. Genius pula berbeza. Misalnya Albert Einstein tidak boleh bercakap sehingga berumur tiga tahun bahkan mengalami kecacatan dalam percakapan semasa bersekolah. Pablo Picasso pula hanya dapat belajar dengan baik apabila bapanya duduk berdekatan dengannya semasa belajar. Thomas Edison pula memperoleh markah C dalam mata pelajaran Fizik. Robert Frost menerbitkan buku pertamanya pada umur 38 tahun. Peter Roger mencipta tesaurusnya yang masyhur selepas bersara, iaitu sewaktu berumur 70 tahun.

Mengambil kira hal-hal itu, dapatlah dikatakan bahawa genius boleh sahaja dicapai sewaktu seorang mencapai umur dewasa atau meningkat tua. Begitulah penulis mencadangkan bahawa pernyataan ”genius dapat dikenal pasti pada zaman kanak-kanak” ditukar kepada “eloklah dikenal pasti genius dalam diri setiap kanak-kanak dan orang yang dewasa”.

Untuk tujuan itu, Aleinikov mencadangkan agar setiap orang mengungkapkan genius “dalam diri kanak kanaknya”. Maksudnya biar pun seseorang sudah mencapai usia dewasa, yang matang atau meningkat tua, seseorang masih memiliki tabiat seperti anak-anak. Contohnya mereka suka berangan-angan, suka berlucu, berfikir gila-gila dan kadang kadang kelihatan memikirkan idea yang pandir. Adakalanya orang bermimpi untuk melaksanakan idea-idea yang pandir tetapi praktikal dalam hidupnya.

Andrei Aleinikov mencadangkan kita merakamkan beberapa idea pandir ini agar dapat dilaksanakan. Mana tahu jika idea yang bodoh ini boleh dilaksanakan dan menjadi kenyataan. Selanjutnya ada sesuatu pertanyaan yang harus difikirkan jika kita mahu menjadi lebih kreatif dan mencapai tahap genius. Adakah kita sanggup mengatakan “ya” kepada sesuatu kemungkinan atau kemustahilan? Pada beliau, kita harus positif dan mengatakan “ya” yakni bersetuju kepada sesuatu kemungkinan atau kemustahilan yang kita depani.

Manfaat kita melihat kemungkinan atau kemustahilan sebagai sesuatu yang positif ialah kita dapat melihat sesuatu dengan berbagai-bagai pandangan idea dan nazrah. Dengan cara ini, kita dapat melihat sesuatu masalah, fenomena atau peluang dengan cara yang baru dan segar. Dengan kata-kata lain, tidak akan kita lihat sesuatu masalah, fenomena atau peluang dalam dua konsep: tolak atau campur sahaja, bahkan kita melihat sesuatu yang lain, yang mungkin lebih menarik dan banyak kemungkinannya. Sebab itu pada beliau untuk meningkatkan kreativiti, kita harus selalu belajar mengelak akan kata-kata, “tidak” atau “tidak boleh”. Sebaliknya harus kita mengamalkan kata-kata “mengapa tidak”. Misalnya “mengapa tidak masalah itu diselesaikan dengan cara yang lain daripada yang lain”.

Di sini nampaknya penulis cuba mencabar agar dapat menukar cara kita berfikir satu haluan kepada pelbagai haluan kerana berfikir pelbagai haluan memungkinkan kita memperoleh idea yang baru dan lebih segar. Begitu juga dengan cara penyelesaian masalah yang lebih kreatif, segera dan terbuka berbekalkan cara berfikir pelbagai haluan.

Langkah selanjutnya iaitu langkah ketiga, keempat dan kelima memperlihatkan antara tujuan menjadi kreatif dan genius, iaitu “Go to a Million”, “Megavalue People” dan “Launch to Genius Orbit”. Perlu dijelaskan bahawa “Go to a Million” pada beliau tidak semestinya untuk menjadi kaya sahaja, tetapi menjadikan otak kita lebih bernilai jauh lebih penting.

Untuk tujuan ini, orang yang kreatif harus melakukan pembaharuan atau inovasi. Hubungan kreativiti dengan inovasi memang cukup erat kerana orang harus terlebih dahulu dapat berfikir secara kreatif dan terbuka sebelum melakukan sebarang inovasi.

Setelah melakukan inovasi sekali gus berjaya menjadi orang kreatif, kita harus melakukan lompatan untuk menguasai konsep kreativiti yang lebih besar yang beliau namakan Megacreativity. Maksud Megacreativity ialah penciptaan idea yang lebih pantas dan besar, berbanding dengan penciptaan idea sebelumnya yang agak lambat dan kecil.

Untuk memastikan kita memperoleh idea yang digolongkan dalam Megacreativity, ada hal-hal penting yang harus diperhatikan. Contohnya pemahaman yang jelas tentang penyuburan kreativiti dalam diri kanak-kanak. Kehidupan biasa dalam hidup kanak-kanak bukanlah kreativiti. Sebaliknya usaha menyuburkan hidup yang kreatif dalam jiwa kanak-kanak itulah suatu kreativiti.

Demikian juga bahawa kecantikan atau ketampanan semula jadi yang dimiliki oleh seseorang bukanlah kreativiti. Sebaliknya tugas seni seseorang jurucantik adalah kreativiti kerana ia mempercepat proses alamiah untuk mencantikkan wajah dan melambatkan proses alamiah ketuaan.

Selanjutnya proses pengajaran biasa bukanlah kreativiti sebaliknya usaha pencepatan pengajaran melalui reka bentuk pengajaran yang lebih kreatiI itulah kreativiti. Ertinya usaha pencepatan penyerapan idea kreatif dalam pelbagai bidang kehidupan tentunya akan mencapai tahap Megacreativity jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Begitulah langkah terakhir iaitu “Launch to the Genius Orbit” merupakan puncak penerapan idea yang kreatif dan Megacreativity dalam hampir semua bidang kehidupan. Aleinikov mencadangkan agar orang yang kreatif menguasai kaedah menjadi genius yang dicadangkan lebih awal. Diperlukan juga gerakan yang terancang untuk menerapkan keterampilan kreatif dan inovatif sebagai seorang genius yang kita miliki. Akan tetapi pesanan beliau yang cukup berguna kepada kita ialah memanfaatkan idea kreatif yang kita miliki dan mencuba memanfaatkannya dengan kadar yang segera.

Kesimpulannya, kita bukannya bodoh sangat tapi telah diperbodohkan, kita bukannya lembab dan lemah akal untuk berfikir kreatif tetapi telah dilemahkan untuk berfikir secara bebas dan terbuka dengan pelbagai ugutan dan ancaman pihak yang berkuasa dan kuat demi menjaga survival mereka supaya tidak dicabar oleh mereka yang mempunyai kesedaran dan berpotensi dalam kebijaksanaan berfikir jika ruang dan peluang dibuka dengan seluas-luasnya untuk mereka.

Sabtu, 23 Februari 2008

Budaya Sampah Di Sekolah

Sebelum ini saya ada menyentuh tentang sampah dan masyarakat, tapi kali ini saya hendak membicarakannya secara khusus tentang budaya membuang sampah di sekolah. Mustahil sekali ada sekolah yang benar-benar bersih tanpa ada sekeping kulit gula-gula atau keropok di buang di merata-rata tempat di sekolah.

Yang paling menyakitkan hati para pekerja kebersihan ialah apabila ada sampah yang dibuang di celah-celah lubang tak kira lubang apa pun sama ada lubang kunci, celah meja, celah suis, kalau di dalam makmal sains misalnya di dalam laci dan almari penuh dengan kulit gula-gula setiap kali selepas makmal digunakan. Itu belum lagi makmal computer, bengkel KHB dan bengkel seni.

Tong sampah sebenarnya ada disediakan tetapi mengapa pelajar masih juga membuang sampah di merata-rata tempat. Ini melibatkan budaya pendidikan di sekolah negara kita. Pendidikan di negara kita lebih menekankan akademik dan kecemerlangan keputusan ujian dan sukan. Soal akhlak, sikap dan perangai pelajar tidak ditekankan. Ada pihak mengatakan pelajar tidak perlu dibebankan dengan tugas-tugas yang remeh seperti itu. Kalau dulu semasa saya masih bersekolah setiap pagi pasti ada sekumpulan pelajar dari setiap kelas telah ditugaskan untuk membersih tandas, membersih longkang dan mengutip sampah. Tidak ada seorang pelajar pun akan terkecuali kerana setiap pelajar tak kira dari tingkatan berapa akan tiba gilirannya untuk tugas-tugas social di sekolah sepanjang tahun.

Tapi hari ini semua tugas itu telah diambil alih oleh pekerja kontrak pembersihan dan juga pekerja tetap di sekolah itu. Seorang tukang akan sibuk menukar suis yang rosak, tingkap kelas yang pecah dan pintu kelas yang tercabut, ia sengaja dirosakkan oleh pelajar. Pelajar hari ini terlalu dimanjakan dan tidak diberi latihan untuk melakukan kerja-kerja amal di sekolah. Pada tanggapan pihak lain, apa gunanya pekerja dibayar gaji tiap bulan kalau bukan hendak mengerjakan itu semua.

Ini bukan soal tak kerja dan goyang kaki tak ada kerja nak buat, tapi ini adalah soal pendidikan kepada anak-anak kita supaya saling tolong menolong dan menjaga kebersihan kawasan dan harta benda awam di sekolah. Bila di sekolah sudah terdidik dengan cara sedemikian, pasti juga ia menjadi amalan di rumah. Pastinya setiap ibu bapa inginkan anak-anak yang cemerlang dalam semua segi. Jangan cemerlang akademik dan sukan saja tapi akhlak hancur menyusahkan ibu bapa.

Kalau budaya sebegini dipraktikkan di sekolah secara berterusan pastinya tidak ada budaya vandalisme dan menyusahkan ketenteraman awam berlaku di luar sekolah. Golongan yang tak mendapat didikan akhlak di sekolah ini lah yang bakal mengganggu dan merosakkan harta benda awam di dalam kalangan masyarakat umum kelak. Walaupun ada matapelajaran kesedaran sivik namun ianya sekadar teori semata-mata, tiada praktikal diamalkan di sekolah. Pembelajaran tidak seiring dengan perlaksanaan praktikal, ini semua kerana mengutamakan keputusan semata-mata.

Disebabkan di sekolah mereka dilayan seperti anak raja, tidak diberi latihan kerja social maka itulah muncul gejala baru iaitu tabiat membuli. Sekarang ini pelajar bukan saja suka membuli sesama mereka sendiri di kalangan pelajar tetapi mula sudah tahu membuli orang dewasa secara tidak langsung. Mereka membuang sampah merata-rata kemudian pekerja pembersihan mengutip dan membersihnya. Mereka sengaja merosakkan kerusi bangku dan suis elektrik serta memecah tingkap kemudian pekerja am akan membaiki dan menggantikannya. Begitulah seterusnya sampai bila-bila selagi tidak ada usaha untuk mendidik pelajar agar mempunyai sikap hormat dan bertanggungjawab di sekolah.

Jika system pembelajaran dan pengajaran di sekolah disusun dengan betul iaitu antara pembelajaran di dalam kelas dengan pembelajaran di luar kelas. Tidak mustahil pelajar dapat dibentuk dengan baik. Di dalam kelas cemerlang dengan akademik, di luar kelas pula bukan saja cemerlang dalam kokurikulum tapi juga sikap tolong menolong dan hormat menghormati. Sudah tentu negara akan dapat menjimatkan wang rakyat daripada memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Jika program latihan khidmat sekolah dapat dibentuk dengan baik dan tersusun pastinya pelajar kita yang akan menjadi orang dewasa kelak akan mempunyai disiplin yang baik. Jadi negara kita dapat menjimatkan wang rakyat daripada diperuntukkan bagi program PLKN ini.

Di sekolah yang saya lihat walaupun tong sampah berada di depan mata sekalipun masih juga pelajar membuang sampah di bawah bangku, atas meja, bawah meja. Di dalam kelas lagi teruk, seolah-olah tiada pelajar yang bertugas atau rela bertugas untuk bekerjasama membersihkan kelas masing-masing. Sehinggakan di dalam kelas pun tiada jadual nama pelajar bertugas membersih kelas dari hari isnin hingga jumaat. Beginilah reality pelajar masa kini.

Mungkin ada pentadbiran sekolah yang cukup ketat perlaksanaan disiplin pelajarnya. Tidak kurang juga banyak sekolah yang pentadbirannya berterabur dengan masalah disiplin yang teruk. Tidak pasti apakah puncanya, adakah kerana bebanan tugas yang semakin hari semakin banyak? Tepuk dada tanya selera. Kerana apa yang paling penting adalah kecemerlangan akademik dan sukan perlu dijaga dan dipertingkatkan. Yang lain-lain tu tolak tepi biarkan saja asalkan sekolah dapat anugerah maka semua tenaga kerja perlu dikerah supaya tak makan gaji buta untuk memanjakan anak-anak dan pelajar kita dengan segala kesenangan dan kemudahan yang mereka tak perlu bersusah-susah nak dapat.

Jadi, pekerja yang jadi kuli pelajar dan kuli pegawai atasan terpaksalah terima hakikat ini. Jangan banyak soal dan jangan komplen kat mana-mana media, kalau tak akan kena gam. Tapi saya bukan hamba abdi, saya manusia yang bebas dan mempunyai hak untuk bersuara secara bebas tanpa rasa khuatir. Namun, realitinya kebebasan itu hakikatnya tiada kerana yang kuat akan berkuasa dan yang berkuasa boleh bertindak atas mereka yang lemah.

Kalau tidak mau dibuli maka bersuaralah dalam keadaan Private & Confindential tanpa mendedahkan identity supaya tak akan dibuli sama ada di alam siber maupun di alam reality.

Khamis, 21 Februari 2008

Publish Or Perish

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beberapa tahun lalu pernah mengeluh kerana hanya segelintir daripada lebih kurang 9’000 tenaga akademik tanahair yang menulis. Saya tidak pasti apakah beliau bermaksud menerbitkan karya dengan agensi pimpinan beliau atau angka itu mengambil kira penerbit-penerbit yang lain juga. Saya juga kurang pasti apakah beliau merujuk kepada penerbitan ilmiah dalam bidang masing-masing atau penerbitan yang meskipun ilmiah yang bersifat umum dan melepasi audien pengkhususan ahli-ahli akademik itu.

Bagaimanapun setahu saya masalah yang disebut Ketua Pengarah DBP itu memang wujud. Sukar untuk menafikan bahawa jumlah yang menulis dan menerbit di kalangan pensyarah-pensyarah universili amat kecil bilangannya. Mungkin kalau diletakkan angka 10% dari keseluruhan angka 9’000 atau di dalam fakulti atau jabatan pun sudah tinggi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kebanyakan tenaga pengajar di universiti hanya mengajar dan memeriksa kertas sahaja. Dan apa yang menyedihkan ialah mereka yang tidak menulis dan menerbit tidak berasa bersalah atau janggal. Setengahnya malah tanpa segan silu mengatakan bahawa “tugas saya mengajar, bukan menulis”! Golongan ini jarang atau tidak pernah menghadiri, jauh sekali menyampaikan kertas dalam seminar di dalam atau luar negara. Dengan demikian hanya pelajar yang mengambil kertas atau kursus mereka sahaja yang mengenali mereka.

Pada hakikatnya menerbit, yakni menulis di peringkat pengajian tinggi, dengan sendirinya mengkehendaki penyelidikan. Ini kerana penulisan akademik bukan penulisan yang cetek dan tidak mempunyai sebarang analisis. Hatta jika para pensyarah itu mahu menulis di dalam media popular sekalipun ia memerlukan kepakaran dan penyelidikan. Jika tidak tulisan mereka akan hambar dan dangkal.

Di peringkat universiti, mengajar sebenarnya memerlukan penyelidikan kerana para mahasiswa mengharapkan sesuatu yang baru dan asli, yang tidak mungkin datang tanpa penyelidikan. Sebab itu adalah salah jika golongan berkenaan mengatakan bahawa tugas mereka hanya mengajar, bukan menyelidik. Apakah mereka beranggapan bahawa cukup untuk mereka menyalin dan mengulang bahan yang sama saban semester dan tahun? Bagaimana pula dengan perkembangan lain yang perlu diambilkira sama, yang kebanyakannya tidak terdapat di dalam buku-buku teks?

Apa yang disebut oleh Ketua Pengarah DBP sebenarnya adalah sesuatu yang lebih jauh lagi kerana saya menduga bahawa beliau menjurus kepada penerbitan-penerbitan yang boleh dijual kepada umum, bukan penerbitan-penerbitan yang hanya boleh difahami oleh mereka yang berkecimpung di dalam bidang berkenaan sahaja.

Bidang ini sebenarnya lebih sulit dan tidak ramai golongan pensyarah, hatta di kalangan yang menyelidik dan menulis sekalipun yang berkecimpung di dalamnya. Kebanyakan ahli akademik hanya menyelidik dan menulis untuk teman-teman sepakaran sahaja. Tidak ramai orang akademik yang boleh bercakap seperti Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, Profesor KS Jomo, Profesor Syed Naquib al-Attas atau Dr Chandra Muzaffar. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan untuk mengaplikasikan bidang dan kepakaran masing-masing ke atas masalah semasa masyarakat.

Tidak perlulah disebutkan betapa kemampuan itu juga turut mengkehendaki keberanian dan ketulenan intelektual. Ini semua datang sekiranya seseorang pensyarah itu benar-benar komited dan memahami peranan dan fungsi mereka. Dan oleh kerana golongan ini sedar bahawa mereka mempunyai nilai yang tinggi mereka tidak takut berhadapan dengan risiko kerana kalau tindakan membuang kerja diambil sekalipun mereka boleh bekerja di tempat lain. Di pihak berwajib pula mereka berfikir banyak kali sebelum mengambil tindakan kerana tindakan yang tidak bijak akan hanya mengundang kontroversi dan menyebabkan pihak berkenaan dipandang sebagai anti intelektual, satu gelaran yang mereka tidak sanggup untuk menerimanya.

Berbalik kepada soal penerbitan tadi sebenarnya insentif yang ada dalam bidang ini mencukupi. Meskipun insentif yang ada di negara ini tidak dapat menandingi apa yang diperolehi oleh teman-teman sejawatan mereka di Barat, rasanya ia tidaklah terlalu rendah. Seorang bekas guru saya yang kini adalah seorang profesor di Universiti Oxford mengakui bahawa beliau dapat “buat duit’ apabila buku beliau diterbitkan oleh penerbit Penguin. Saya agak terkejut kerana buku yang beliau tulis itu ialah buku tenlang undang-undang Kesatuan Eropah (EU). Bagaimanapun apabila ia diterbitkan oleh Penguin ia sudah cukup menggambarkan betapa pendekatan yang diambil oleh professor berkenaan boleh dijual kepada umum.

Masalah kurangnya penerbitan di kalangan tenaga akademik sebenarnya turut menandakan adanya satu kitaran ganas, baik di dalam kampus atau di dalam sistem pentadbiran kita. Dunia penerbitan tidak begitu ”glamour” kerana masyarakat kita tidak gemar membaca. Saya tidak mempunyai statistiknya tetapi yang saya ingat bahawa setakat ini saya belum pernah menemui perangkaan yang menunjukkan bahawa minat membaca di negara ini meningkat.

Dan gejalanya telah mula kelihatan sejak di universiti lagi. Para pelajar hanya membaca nota kuliah dan buku teks sahaja. Mereka tidak gemar membaca buku lain, hatta yang masih mempunyai kaitan dengan bidang pengajian mereka. Pelajar undang-undang misalnya tidak berminat membaca buku-buku akademik yang berkaitan dengan subjek yang mereka ambil.

Hendak dikatakan bahawa para mahasiswa tidak mempunyai wang mereka kelihatannya mampu membeli benda-benda lain seperti telefon bimbit, baju berjenama, motosikal dan seumpamanya. Sekarang ini kebanyakan kampus di Malaysia menghadapi masalah tempat letak kereta, sesuatu yang menunjukkan bahawa pelajar sebenarnya mampu membeli buku dan bahan bacaan lain. Malangnya mereka lebih gemar menyalin sahaja. Kita boleh bayangkan bagaimana ini akan merebak selepas mereka tamat pengajian dan meninggalkan kampus.

Jika beginilah sikap golongan yang berpendidikan tinggi terhadap buku, kita boleh bayangkan kesannya terhadap perkembangan minda dan intelektual khususnya terhadap industri buku dan penerbitan lainnya.

Berbalik kepada para pensyarah tadi, kita boleh mencadangkan supaya pihak berkenaan mengeluarkan dana atau geran yang cukup untuk membantu penerbitan. Bagaimanapun setakat ini tidak banyak kemajuan diperlihatkan. Malah sebenarnya pihak universiti juga mengeluarkan geran untuk penyelidikan dan penerbitan. Mengingat kenyataan ini kita terpaksa mengakui bahawa ia sebenarnya bergantung kepada soal sikap di kalangan para akademik itu sendiri. Dan dalam apa bidang sekalipun komitmen dan pengorbanan amat perlu.

Dari sudut yang lain barangkali fenomena yang dibangkitkan oleh Ketua Pengarabh DBP itu secara tidak langsung turut menonjolkan imej hodoh dasar membantu para pelajar bumiputera untuk menjadi ahli akademik. Sebaik sahaja mereka memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) mereka berasa sudah berjaya dan mengira-ngira kenaikan pangkat melalui jalan-jalan yang lain, seperti menjadi dekan, timbalan dekan atau ketua jabatan. Dan oleh kerana di negara ini kedudukan berkenaan lebih merupakan lantikan yang dibuat berdasarkan kriteria bukan akademik maka ia menjadi sarang buat golongan yang sudab lupa diri itu.

Sering disebutkan bahawa dalam dunia akademik kata-kata seperti “publish or perish” adalah amaran buat semua pensyarah. Bagaimanapun oleh kerana sistem yang ada membolehkan golongan yang malas tadi hidup setengahnya malah berupaya mendapat kenaikan pangkat akademik, kata-kata itu hanya benar bagi golongan paria yakni golongan yang tidak disukai oleb pihak ”eshtablishment” baik di dalam mahupun di luar kampus.

Sementara itu para pensyarah yang terlibat dengan program motivasi agak ramai kerana ia mendatangkan pulangan kewangan yang lebih segera. Dan masyarakat nampaknya meminati program-program seumpama itu. Program-program sedemikian juga banyak disiarkan dalam televisyen. Berbanding dengan pembacaan, program-program sedemikian nampaknya menunjukkan sambutan yang lebih di kalangan masyarakat.

Untuk memperbetulkan keadaan yang disebut oleh Ketua Pengarah DBP tadi satu perubahan yang mendasar perlu dibuat di universiti-universiti kita. Anugerah-anugerah yang mempunyai potensi mengurangkan minat dan kesungguhan untuk menyelidik dan menulis harus tidak diwujudkan. Selain itu dasar-dasar dan program-program perlu mencerminkan kesungguhan ke arah kecemerlangan akademik yang sebenarnya tiada lain merupakan penyelidikan dan penerbitan. Jawatan-jawatan pentadbiran perlu digilirkan supaya tidak ada siapa yang berasa bahawa mereka dikecualikan daripada pninsip “publish or perish” itu.

Ahad, 3 Februari 2008

B'pelajaran tak b'pendidikan

“Ramai yang beranggapan bahawa kalau belajar Sains dan Matematik, boleh jadi kaya. Boleh buat duit. Orang sudah tidak pentingkan bidang Sejarah, bidang Geografi. Geografi sudah hampir tiada di sekolah sebab ía tidak mendatangkan keuntungan,” rungut Profesor Khoo Kay Kim dalam Buletin Utama.

“Saya tidak mampu berkata apa-apa kecuali mengangguk dan terus mengangguk.
Mengangguk setuju dan mengangguk kecewa”.

Hari ini Buletin Utama membangkitkan isu kegagalan sistem pendidikan kita berfungsi melahirkan modal insan, sebagaimana yang diharapkan oleh negara. Pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan. Apa maknanya itu? Biar pun saya sedikit kebingungan dengan penjelasan Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz tentang beza berpelajaran dan berpendidikan, tetapi mesejnya jelas. Kita mengukur kecemerlangan dari jumlah A yang terkumpul, hingga ada sekolah yang menyekat pelajar dan mengambil mata pelajaran tertentu di dalam peperiksaan SPM, demi untuk tidak menjejaskan rekod cemerlang sekolah.

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu. Sejauh mana isu ini diperbahaskan? Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR?

Sesungguhnya berita itu benar-benar menjadikan saya kecewa dan hamper putus harapan terhadap masa depan negara ini. Lebih-lebih lagi dengan komen simplistik semua pihak yang ditemui oleh pihak media. Sedangkan kes adik S. Subashini sepatutnya menggegarkan seluruh sistem pelajaran Malaysia, izinkan saya menggunakan perkataan rasmi ‘pelajaran’ biar pun jiwa ini lebih mencari nilai sebuah ‘pendidikan’.

“Modal insan bukan bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata. Kita sepatutnya berusaha memastikan adanya generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Itu tujuan terpenting bagi mana-mana sistem pendidikan bagi sebuah negara”, komen Profesor Khoo Kay Kim lagi.

“Dan saya terus kecewa dan berduka di depan televisyen”. Siapakah yang peduli kepada saranan beliau? Siapakah yang mahu bersungguh-sungguh berfikir tentang hal ini?

Harapan Dari Sebuah Pendidikan

Saya teringat kembali kepada ‘presentation’ saya semasa menjadi panelis bagi Seminar lbnu Khaldun II yang diadakan di Institut Integriti Malaysia. Saya memberikan penekanan kepada aspek pendidikan dalam menjawab soalan “Islam: A Blessing to Malaysians?”

“Biar pun saudara Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kelebihan yang dinikmati oleh orang Islam dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, sedangkan pembayar cukai Malaysia lain dirangkumkan dalam satu kategori dan diberikan pendidikan MORAL, saya tidak dapat melihat ia sebagai suatu kelebihan bagi umat Islam di Malaysia. Bahkan mungkin mata pelajaran itulah punca kepada masalah mengapa kita sulit untuk menjawab Islam: A Blessing To Malaysians?”, saya memulakan ucapan.

Sejauh manakah pendidikan Islam di Malaysia berjaya melahirkan Muslim yang boleh menjustifikasikan Islam sebagai rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia (boleh juga dibaca sebagai Wa maa arsalnaaka illaa rahmatan lii ‘aalameen)? Saya lontarkan isu ini kerana saya tidak melihat kecenderungan masyarakat kita untuk meletakkan pendidikan sebagai suatu keutamaan dalam menggarap masalah-masalah yang wujud di negara kita. Semuanya mahu diselesaikan dengan politik, ketika politik kita gersang dari integriti dan kejujuran. Masakan tidak, jika dulu parti politik banyak digerakkan oleh guru selaku pendidik, tetapi kini trend berubah kepada kemenangan politik bagi yang punya wang dan sokongan mereka yang punya wang. Itu sahaja sudah cukup untuk menjelaskan warna politik negara kita.

Apabila saya sebutkan pendidikan, saya maksudkan ia sebagai pendidikan formal dan tidak formal. Malah saya lebih menjurus kepada mengharapkan agar kita kembali kepada fungsi pendidikan tidak formal yang menjadi tanggungjawab setiap individu. Ibu bapa ada tanggungjawab pendidikan kepada anak-anak, imam dan paderi ada tanggungjawab mendidik pengikut masing-masing, dan seterusnya mereka yang mempunyai minda kritis mempunyai tanggungjawab untuk membawa pemikiran mereka kepada masyarakat melalui seminar, dialog, perbincangan yang merupakan sebahagian daripada rnaksud pendidikan. Tetapi kita tidak minat dengan semua itu.

Mempolitikkan Segalanya

Kita lebih cenderung untuk mensensasikan apa sahaja yang boleh menguntungkan surat khabar. Asalkan ada sahaja isu yang muncul, semuanya mahu ditangani dengan kuasa, dengan politik dan kemudian semuanya berakhir sebagai berita sensasi dan tidak ada apa-apa yang dapat diketengahkan sebagai bahan untuk rnendidik masyarakat. Ada buku yang pelik sedikit, haramkan! Ada sahaja wacana yang lain dan definisi rasmi, ban! Timbul isu penggunakan kalimah Allah dalam literasi Kristian, sekat, haramkan, saman.. segala-galanya disensasikan dan berakhir dengan sentimen yang tidak punya apa-apa nilai pendidikan.

Malah kadang-kadang kita begitu gelojoh mahukan hasil tanpa mahu melalui prosesnya. Saya meragui rasionalnya permintaan Luthfi Assyaukanie dan Jaringan Islam Liberal yang mahukan dialog dihentikan, sebaliknya terus sahaja kepada menghasilkan polisi kebebasan beragama kerana baginya, dialog itu membuang masa.

50-50 dalam Mengiya dan Menidakkannya

Dialog membuang masa, jika kita sensasikan apa sahaja yang ingin dibicarakan. Kita berdialog bukan untuk mendidik dan tanpa ketulusan motif. Kita pilih tajuk-tajuk yang mencetus emosi masyarakat dan kemudian kita memuncung bibir apabila dialog gagal menghasilkan apa-apa.

Dialog Polisi
Tetapi semasa Seminar lbn Khaldun II berlangsung, saya cuba meminjam pengalaman ketika mengendalikan dialog antara agama ketika saya bertugas sebagai ‘Minister of Religion’ di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara. Dialog itu bukan dialog teologi tetapi ia adalah dialog polisi. Kita bukan berhasrat mahu mengheret agama bertanding di medan dialog tentang siapa benar dan siapa batil, tetapi mengajak pandangan agama dikongsi bersama untuk mencari formula penyelesaian kepada isu Euthanasia. Memanfaatkan agama untuk menghasilkan polisi yang boleh disepakati bersama.

Tiada siapa yang membawa ‘superiority attitude’ dalam dialog berkenaan. Wakil Protestan dan Katholik memberikan pandangan berdasarkan kepercayaan masing-masing, dan saya memberikan pandangan berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Hasilnya kami dapat mengutip beberapa pandangan bernas dari kesemua wakil untuk diajukan kepada National Health Service (NHS) sebagai polisi kesihatan dalam kes Euthanasia.

Pengalaman Berharga

Pengalaman yang memberikan keyakinan kepada saya - bahawa seteruk mana sekali pun polemik politik, ekonomi dan sosial masyarakat, sinar harapan tetap ada di dalam pendidikan. Semua pihak harus kembali kepada tugas yang lahir bersama tujuan hidup kita... mendidik yang makruh dan menegah yang keji. Jalannya adalah pada mendidik masyarakat. Tetapi apabila pendidikan diinstitusikan secara membuta tuli, ramai yang melihat pendidikan sebagai tugas guru dan sekolah, manakala sekolah pula menuding jari bahawa ibu bapa adalah guru pertama buat anak-anak mereka. Segalanya berakhir dengan tiada siapa yang memberikan sepenuh hatinya kepada komitmen mendidik.
Semakin bertambah ilmu dan maklumat masyarakat, tindak tanduknya semakin dungu dan tidak masuk akal.

Serangan Socrates

Inilah yang menjadi kritikan Socrates terhadap golongan Sophists dan relativisme mereka dalam menangani pendidikan. Golongan Sophists ini hanya sibuk mengajar kemahiran atau skill kerja kepada anak-anak Athens tetapi mereka mengabaikan soal yang lebih penting.
“Apakah tujuan hidup mi?”
“Apakah nilai yang sepatutnya dipegang oleh seorang manusia dalam hidup ini?”
“Bagaimanakah seorang manusia itu boleh menyempurnakan karektor dan personalitinya?”
Persoalan sebegini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah melahirkan ‘pekerja’, melahirkan ‘ahli politik’ yang licik dan bijaksana.

Sedangkan Socrates berjuang bermati-matian untuk memberitahu masyarakat Athens bahawa matlamat pendidikan adalah untuk menyempurnakan watak seorang manusia, memulihkan akal agar terguna secara bijaksana dan melatih murid-murid agar berdialektik dan tidak kekok mengemukakan persoalan dalam mencari kefahaman.

Seruan Socrates Tidak Diendahkan
Akhirnya pada usia 70 tahun, Socrates telah dikenakan tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Athens, bahkan dianggap mengimani Tuhan lain yang bukan Tuhan rasmi masyarakat arus perdana ketika itu. Tidakkah itu sejarah yang berulang? Bahawa masyarakat kita juga menuju ke arah yang sama. Jika segala-galanya berorientasikan keuntungan semata-mata... tidak hairan ilmu agama menjadi beku tanpa makna, ilmu sains kemanusiaan terabai tanpa perhatian... kerana yang diutamakan hanyalah untuk melahirkan ‘pekerja dan ahli politik yang licik dan bijaksana... bukan pemikir, yang sering dituduh sebagai peracun minda masyarakat.

Saya Hidup Untuk Mendidik

Biarpun profesion saya bukan sebagai seorang guru, tetapi sebahagian maksud hidup saya adalah untuk membentuk dan mendidik manusia... biar pun terpaksa ‘meracun’ minda mereka.

Rabu, 30 Januari 2008

Kalau melentur buluh

Kata pepatah ada menyatakan ‘kalau nak melentur buluh biarlah bermula dari rebung’ barulah dapat membengkokkan buluh itu. Sekarang ini pun kalau nak buat batang pokok bunga kelihatan cantik dan menarik contohnya bunga kertas, perlulah dilentur batangnya ketika masih lembut untuk membentuk sepertimana yang kita ingini.

Begitu jugalah kalau kita hendak membentuk generasi muda masa depan, perlulah dimulai dengan kanak-kanak sekarang. Sebagai ibu bapa sudah semestinya kita inginkan anak yang baik dan sebagai muslim kita menginginkan anak yang soleh juga. Untuk itu kita bertanggungjawab dalam memberi pendidikan kepada anak-anak kita terutama ketika mereka masih kecil dan semasa mendapat didikan awal langsung di rumah. Jangan kita hanya tau mengatakan semoga mendapat anak yang baik dan soleh tapi kita serahkan tugas mendidik kepada televisyen, pembantu rumah dan pembimbing di tabika, tadika dan taska. Ada antara ibu bapa muslim tidak begitu mengambil peduli atau hanya mengambil mudah akan pendidikan asas agama kepada anak-anak. Terutama sekali ibu bapa yang sibuk dengan urusan dunia mengejar kemewahan dan kebendaan. Situasi kesibukan ini sangat ketara berlaku di bandar-bandar dan kini sedikit demi sedikit menular ke luar bandar pula akibat proses urbanisasi dan modenisasi.

Setiap hari otak anak-anak kecil ini sentiasa didedah ataupun terdedah dengan maklumat-maklumat yang mempunyai unsur-unsur yang tidak baik bagi perkembangan mental mereka. Misalnya, hiburan, fesyen, pakaian, filem dan aksi-aksi di tv. Anak-anak kita sekarang kebanyakannya dididik menerusi rancangan televisyen dan tidak hairanlah sekiranya kanak-kanak ini sudah pun pandai bergaya serta bersolek, membuli anak-anak lain dan meniru lagak artis sama ada dari barat maupun tempatan. Kita bukannya hendak melarang anak-anak kita bersosial dan terlibat dengan aktiviti-aktiviti social dalam masyarakat. Tapi adalah lebih baik sekiranya pada peringkat awal mereka dibentengi dengan ilmu yang baik dan diperkuatkan dengan kefahaman tentang ajaran agama Islam. Semasa masih kanak-kanak inilah masanya untuk ibubapa menerapkan nilai-nilai yang mulia dalam jiwa mereka yang masih putih bersih. Sekiranya kanak-kanak sudah tahu menilai mana yang baik mana yang buruk serta mempersoalkan sesuatu tentang apa yang dia pelajari maka kita tidak berasa khuatir akan masa depannya dan dengan itu mudahlah kita membimbing dan membentuk mereka sehingga mereka boleh berfikir sendiri menjelang remaja hingga ke alam dewasa.

Kanak-kanak mempunyai sikap ingin tahu dan dalam tempoh inilah kita harus tumpukan perhatian pada pendidikan mereka tentang ajaran Islam dan akhlak mulia kemudian mengaplikasikannya dalam kehidupan harian supaya dapat membeza mana yang patut diikuti dan mana yang perlu dijauhi sebagaimana yang terkandung dalam ajaran Islam. Kerana kanak-kanak sekarang sangat terdedah kepada persekitaran yang penuh anasir-anasir jahat dan unsur-unsur yang merosakkan pemikiran, seterusnya mempengaruhi pemikiran mereka untuk membentuk keadaan pengurusan fizikal mereka sepanjang proses perkembangan mental dan fizikal mereka. Jika kita tidak membimbing mereka sudah tentu mereka akan hanyut dan mudah terikut-ikut serta mencontohi apa yang diperhatikan oleh mereka menerusi televisyen serta pengaruh kawan-kawan yang juga terikut-ikut dengan apa yang mereka perhatikan dalam televisyen.

Apa yang dapat saya perhatikan hari ini, ada kalangan ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak untuk menceburi bidang-bidang yang mereka sukai atau minati sungguhpun bidang itu sudah ternyata sekali boleh merosakkan diri mereka dari segi akhlak. Bukan saya nak mengata, realitinya menerusi program reality tv ada antara ibu bapa merasa bangga sekali apabila anak-anak mereka terlibat dalam bidang seni apatah lagi ia semakin galak dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Ibu bertudung bapa berkopiah kemudian anak-anak remaja terutama yang perempuan berpakaian mendedahkan aurat tidak bertudung masuk ke audition rancangan tersebut mencuba bakat meniru apa yang telah dipelajari dan diperhatikan melalui televisyen dan majalah selama ini. Anak-anak sekarang terlalu dimanjakan dan kasih sayang pula diberikan tidak bertempat dan silap pada bidang yang sepatutnya. Mungkin kerana sejak kecil sudah terdedah dengan dunia hiburan ini maka ia pun menjadi hobi atau gaya hidup yang membentuk corak kehidupan masa depan anak-anak ini.

Ada juga yang beranggapan apabila anak-anak terlalu dididik dengan ajaran Islam kelak akan menjadi terlalu alim, apabila dewasa berpakaian jubah, berkopiah sepanjang masa, berjanggut panjang. Sementara yang wanita pula akan berpurdah menutup wajah hanya nampak mata sahaja. Dalam pendidikan anak-anak perlulah bersederhana dan perlu diseimbangkan antara tuntutan dunia dan tuntutan akhirat. Kita tidak melarang anak-anak untuk belajar sains, matematik dan teknologi atau ilmu-ilmu dunia yang lain. Sebaliknya kita sangat menggalakkannya dan memberi ruang yang luas untuk mereka mempelajarinya demi membentuk masa depannya. Sebagai contoh, kalau kita inginkan anak-anak menjadi seorang jurutera maka semenjak kecil kita berikanlah didikan berkaitan nombor dan pengiraan. Kalau inginkan anak-anak menjadi doctor atau saintis maka berikanlah didikan berkaitan tentang alam misalnya dengan menyayangi binatang seperti kucing, menyuruh membuang sampah ke dalam tong sampah untuk mendidiknya tentang penjagaan kebersihan. Perkara ini kelihatannya amat mudah tetapi kerana disebabkan kita letih sibuk bekerja maka kita tidak pun mengajar perkara ini kepada anak-anak dan menyerah bulat-bulat kepada pembantu rumah kita dan guru-guru di tadika.

Disamping kita mengajar dan mendidik anak-anak dengan ilmu dunia, kita bimbing mereka tentang ajaran agama dan mengaitkannya dengan kehidupan seharian mereka. Apa yang tidak boleh dilakukan, apa yang halal dan haram, memberitahu apa perbuatan yang berdosa dan apa pula perbuatan yang boleh mendapat ganjaran pahala. Sebagai seorang kanak-kanak sudah tentu mereka boleh menerima apa yang diajar dan diberitahu. Saya bukanlah pakar membimbing kanak-kanak tapi sebagai manusia kita semua boleh berfikir sendiri secara logic dan secara rasional. Saya sendiri kadang-kadang apabila membaca terjemahan al-Quran rasa terharu juga apabila ada wahyu-wahyu Allah yang mencabar akal pemikiran manusia untuk berfikir tetapi kebanyakan manusia tidak sedar dan tidak mampu untuk memikirkannya. Ini kerana pada pandangan Allah s.w.t manusia itu sifatnya lemah dan mudah terpedaya dengan unsur-unsur kejahatan dan hasutan iblis. Beruntunglah sesiapa yang tahu menggunakan akal fikirannya dalam situasi kehidupan dunia yang penuh cabaran dan dugaan.

Apa yang berlaku sekarang ini, ramai anak-anak yang meningkat remaja sungguhpun tidak menjadi mat rempit, kaki buli, penghisap gam dan sebagainya gejala social yang negative, sekurang-kurangnya akan nampak betapa terhakisnya jati diri mereka yang semakin menipis imannya dan budaya sopan ketimuran. Ditambah pula dengan tiada prinsip dan pegangan yang kukuh, sebaliknya berbolak balik simpang peranang sekejap cakap orang putih sekejap cakap orang Melayu dengan orang yang tulen Melayu. Walaupun kita orang Islam tidak semestinya bercakap orang Arab bagi menunjukkan keislaman kita, Islam menerima kepelbagaian namun biarlah kepelbagaian itu tunduk kepada tuntutan Islam. Tapi sekarang ini apabila kita mula cakap orang putih, budaya hidup pun makin hari makin tunduk dengan gaya orang putih sebab selalu tengok cerita orang putih dalam filem Hollywood. Peluk isteri pun depan khalayak orang ramai sama macam orang putih, nanti lama-lama bercium dengan isteri pun depan orang ramai. Ashtagrfirullah. Inikah yang nak ditunjukkan sebagai seorang pemimpin Islam.

Jadi, kalau kita mahu membentuk satu generasi baru yang benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang perlulah dimulakan dengan pendidikan yang betul dan pendekatan pengajaran yang berkesan. Bukannya main cuba-cuba macam nak buat eksperimen sains di sekolah. Jangan sekadar hendak mendidik tentang pengetahuan semata-mata tapi mendidik untuk membentuk akhlak dan kebijaksanaan berfikir membuat penilaian berdasarkan perkara asas. Jangan jadikan anak-anak sebagai modal insane untuk jadi kuli, jadi robot, jadi pak turut atau jadi pengikut yang taksub. Tapi jadilah modal insane yang benar-benar memberi manfaat kepada orang lain, tidak menyusahkan orang lain dan menghormati orang lain. Generasi kita hari ini bila semakin pandai dengan macam-macam ilmu, semakin pandai pula nak menipu, nak temberang, nak menyeleweng dan nak salahguna kuasa. Semoga generasi masa depan tidak menjadi seperti generasi hari ini yang semakin rosak kerana salah asuhan.

Rujukan al-Quran tentang pendidikan anak-anak, sila klik DISINI

Selasa, 29 Januari 2008

Fikiran makin celaru

Kita sekarang ini hidup di zaman yang penuh dengan masalah, sama ada masalah itu datang dari luar mahupun masalah yang kita buat sendiri. Apatah lagi pelbagai tekanan yang datang menuntut perubahan, tekanan-tekanan yang datang itu seiring dengan kepantasan hasil dari kemajuan. Sekiranya kita tidak bersedia maka kita pun menjadi bingung dan fikiran pun menjadi celaru bagaimana hendak menyelesaikan masalah itu. Kadang-kadang keputusan yang kita buat langsung tidak relevan dan hanya memburukkan lagi keadaan. Sungguhpun ada pro dan kontranya namun ia seharusnya berkesan dan tidak membebankan atau menyusahkan sesiapa.

Selaras dengan kemajuan negara untuk menarik lebih ramai pelabur asing maka tenaga kerja masa depan negara perlu mahir dalam berbahasa Inggeris. Supaya dengan demikian mereka boleh berkomunikasi dan mendapat lebih banyak ilmu pengetahuan menerusi internet yang 90% menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara. Justeru, satu perubahan telah dilakukan dalam system pendidikan dengan memperkenalkan pengajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Isu ini pernah menjadi kontroversi pada awal ia diperkenalkan dahulu. Jika ia dibuat secara tergesa-gesa dan melibatkan perubahan mendadak tentunya akan mencelarukan otak pelajar yang sebelumnya belajar sains dan matematik dalam bahasa Malaysia. Akibatnya terdapat sekolah terutama di luar bandar telah mengalami kemerosotan dalam keputusan kedua-dua subjek ini walaupun menggunakan dwi bahasa kerana di dalam bilik darjah mereka tidak faham apa yang di ajar dan tidak semua pelajar akan bertanya kepada guru tentang apa yang mereka tidak faham itu. Oleh itu, di dalam ujian mereka tidak dapat menjawab langsung dan gagal memberi jawapan dengan baik berikutan terpaksa menterjemah jawapan dalam bahasa Inggeris.

Kita tidak membantah untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah, tapi pendekatan yang digunakan tidak sesuai dan tidak dapat memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris itu dengan betul. Bayangkan dalam pembelajaran terpaksa belajar 2 dalam 1, memahami konsep tentang sains dan matematik kemudian cuba memahaminya pula ke dalam bahasa Melayu. Memang benar kata professor Ungku Aziz, kalau nak belajar bahasa Inggeris belajarlah tentang penggunaan bahasa Inggeris itu secara lengkap dan menyeluruh. Sama ada dari segi sebutan yang betul, penggunaan ‘grammar’ yang tepat dan penguasaan ‘vocabulary’ yang banyak. Jadi pelajar akan dapat menggunakan bahasa Inggeris dengan baik dan berkomunikasi dengan ‘orang putih’ dengan petah, bukan dengan ‘broken English language’. Saya pelik kenapa tidak dipertingkatkan lagi pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah dan memulakannya di peringkat rendah lagi jika mahu pelajar mahir berbahasa Inggeris, apa gunanya subjek English Science and Technology di ajar di sekolah menengah kalau sains dan matematik diajar pula dalam bahasa Inggeris.

Jika pelajar sejak dari peringkat darjah satu lagi sudah diajar subjek bahasa Inggeris dengan baik dengan sendirinya mereka akan dapat mempertingkatkan lagi penggunaan bahasa Inggeris dan memahami apa-apa maklumat yang disampaikan dalam bahasa Inggeris. Sungguhpun sains dan matematik diajar dalam bahasa Malaysia, kemudiannya mereka diberikan buku sains dan matematik itu dalam bahasa Inggeris, disebabkan mereka menguasai bahasa Inggeris menerusi pembelajaran subjek bahasa Inggeris ia tidak menjadi masalah untuk pelajar memahami konsep sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Saya sendiri pun tidak faham bagaimana cara berfikir orang-orang yang membuat keputusan supaya pembelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Fikiran mereka bercelaru, berterabur sana sini dan tidak rasional dalam membuat keputusan penting. Yang menjadi mangsa bebanan dan tekanan adalah pelajar dan mereka yang mengajar. Tugas yang mudah menjadi susah, patutnya yang susah dipermudahkan dan dipertingkatkan tahap pengajarannya agar menjadi lebih mudah. Bukannya mencelarukan fikiran dengan perlaksanaan yang berterabur sana-sini.

Kemudian ada pihak lain pula menyalahkan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai mandul fikiran dan tidak berupaya mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kalau tiada kerjasama tentulah sukar diusahakan, DBP buat lain pihak yang bertanggungjawab dalam pelajaran pula buat lain. DBP menggalakkan supaya bahasa Melayu diperkasakan pihak terbabit pula menggalakkan bahasa Inggeris digunakan dalam sains dan matematik. Ini menggambarkan kepada kita semua bahawa tiada kesepakatan oleh pihak terbabit dalam membuat keputusan dan tidak merujuk kepada mereka yang berkenaan untuk mendapatkan pandangan. Kemudian muncullah istilah-istilah baru bahasa Melayu untuk perkataan-perkataan bahasa Inggeris yang tidak banyak berubah dari segi sebutannya kerana apabila pelajar sudah biasa menyebutnya dan memahaminya dalam bahasa Inggeris maka perkataan itu hanya perlu di’Melayu’kan ejaannya sahaja. Bila ini berlaku maka DBP pun dikritik sebagai mandul fikiran sedangkan puncanya yang menjadikan bahasa Melayu semakin merosot digunakan adalah daripada mereka yang memperjuangkannya menerusi landasan politik.

Penggunaan bahasa Melayu tidaklah menjadi masalah yang besar sekiranya kita dapat mengasingkan antara pembelajaran bahasa Inggeris dengan pembelajaran subjek lain yang menggunakan bahasa Melayu. Kita lihat di Jepun dan Korea tidak ada masalah untuk maju dengan menggunakan bahasa ibunda mereka. Bahkan pakar-pakar teknologi dan kejuruteraan mereka yang menguasai penggunaan bahasa ibunda mereka dapat pula merekacipta system computer dan maklumat menggunakan pengaturcaraan dalam bahasa ibunda. Bayangkan bagaimana juruterbang dan angkasawan kita mesti belajar bahasa Rusia kerana system computer teknologi penerbangan jet Sukhoi dan roket Soyuz menggunakan bahasa Rusia. Mereka tidak pun menterjemahkannya atau merekacipta system computer ke dalam bahasa Inggeris pun kerana bagi mereka adalah lebih baik menggalakkan bangsa dan rakyat mereka menguasai sains dan teknologi menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.

Namun alasan pihak berkenaan cukup mudah dan boleh diterima akal oleh kebanyakan kita, banyak ilmu pengetahuan sains dan teknologi terkandung dalam bahasa Inggeris. Untuk menguasainya perlu menguasai bahasa Inggeris dan bagi menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris maka sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Tidak memadai dengan hanya subjek bahasa Inggeris diajar kerana penggunaannya terbatas. Tapi kalau sudah banyak ilmu pengetahuan dalam bahasa Inggeris maka dengan sendirinya juga penggunaan bahasa Inggeris akan meningkat terutama sekali untuk membaca dan rujukan. Dalam masa yang sama juga sekiranya pelajar dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik, apabila jawapan atau tugasan mereka memerlukan penggunaan bahasa Melayu maka apabila mereka dapat memahami maksud apa yang dibaca oleh mereka dalam bahasa Inggeris tidaklah menjadi masalah kepada mereka untuk menjawab dan menterjemah maklumat itu ke dalam bahasa Melayu.

Dari situlah kita boleh mendidik pelajar supaya membezakan antara dua perkara yang berbeza, antara pengantara bahasa dengan isi ilmu pengetahuan. Jika kita hendak memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlulah diusahakan secara bersungguh-sungguh dan dibuat secara menyeluruh. Malangnya, ada pihak yang sama ada tidak tahu atau sengaja tak tahu sedikit demi sedikit telah meruntuhkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Kalau bangsa Melayu sendiri tidak memartabatkan bahasa sendiri maka orang berbangsa lain pun tak akan menghormati bahasa kita. Mereka lebih selesa berbahasa Inggeris apabila berkomunikasi dengan kita walaupun tahu bahawa kita adalah orang Melayu. Tapi apabila mereka bercakap sesama mereka pula, bahasa mandarin pula yang digunakan. Mereka tidak ‘tabik’ dengan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan kaum lain.

Di televisyen pula kita perhatikan majority pemimpin bukan Melayu menggunakan bahasa Inggeris apabila membuat kenyataan media atau ditanya oleh wartawan dan ada juga sesetengah pemimpin Melayu turut menggunakan bahasa Inggeris. Ini bukan soal perkauman tetapi soal perpaduan, kalau dalam perlembagaan sudah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan maka kita mesti berpegang pada prinsip itu dan memperkembangkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum. Tetapi kita bangsa Melayu yang diterajui oleh pemimpin Melayu oleh parti Melayu tidak segan silu ‘membontotkan’ bahasa Melayu dan berasa megah bercakap dalam bahasa Inggeris dengan orang bukan Melayu. Gejala ini tidak berlaku dikalangan orang biasa tapi lebih ketara sekali di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi ala barat ‘Americana’ dapat ijazah dari Oxford London. Sampaikan gaya hidup dan social pun macam barat dan Amerika boleh bertemujanji pula di hotel 5 bintang untuk bersenam demi menjaga kesihatan.

Pemikiran mereka makin hari makin celaru, semakin pandai dan belajar tinggi ingatkan boleh buat semakin baik tapi rupa-rupanya makin teruk. Saya sendiri pun lihat makin pening mana satu yang betul mana satu yang tak betul. Cakap lain buat lain, pendirian tidak teguh dan boleh berubah ikut sesuka hati saja nak mengubahnya kemudian menyalahkan orang lain apabila gagal mencapai matlamat yang lain. Mengata orang 'hangat-hangat tahi ayam' tapi diri sendiri '2 X 5 = 10' dan '8 + 2 = 10'.

Klik DISINI untuk artikel yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu.

Ahad, 27 Januari 2008

Intergriti dan jalan raya

Rasuah, pecah amanah, melanggar undang-undang jalan raya, biadab, tidak menghormati orang tua dan hak orang serta vandalisme adalah antara gambaran punahnya intergriti. Nilai-nilai murni yang dulunya amat dipelihara dan menjadi asas pembinaan tamadun yang unggul kini kian menipis dalam masyarakat, bukan sahaja di peringkat negara, lebih membimbangkan di peringkat keluarga.

Cuba kita ikuti apa yang dikatakan oleh Datuk Mohd Tap Salleh, presiden Institut Intergriti Malaysia tentang pengalamannya mengenai intergriti di luar negara. Di Eropah misalnya, yang paling dipentingkan di sana ialah menghormati hak orang lain. Semasa tinggal di pansapuri seorang rakan di Geneva, mereka mempunyai peraturan yang dihormati oleh semua penghuni, iaitu tidak menggunakan flush tandas selepas pukul 12.00 malam, kerana tidak mahu mengganggu penghuni-penghuni lain yang sedang nyenyak tidur.

Untuk bicara kali ini saya ingin menyentuh tentang intergriti pemanduan di jalan raya. Pemandu di United Kingdom amat menghormati pemandu lain. Di negara kita, orang memotong dari kiri, kanan dan kalau boleh pun dari atas! Tidak langsung memikirkan hak orang lain. Datuk Mohd Tap pernah tinggal di sebuah pekan kecil di Jerman. Di sana, penduduk menebas pokok pada musim panas, tetapi ranting-rantingnya dipotong mengikut saiz tertentu, diikat kemas dan disusun rapi di tepi jalan. Apabila ditanya kenapa mereka berbuat demikian, jawapan mereka ia akan memudahkan pengangkut sampah dan membersihkan kawasan. Kita disini pun mempunyai peraturan-peraturan membuang sampah tetapi kita tidak mengikutnya. Sampah dibuang sesuka hati saja mengharap pekerja ‘kuli’ penyampu sampah tepi jalan mengutip dan membersihkannya. Pekerja sebegini dipandang rendah oleh ibu bapa zaman moden hari ini dan hanya maukan anak mereka jadi doctor dan jurutera sahaja. Maka itulah anak-anak sekarang pun ‘kurang ajar’ sama dengan orang lain yang kerjanya dipandang rendah oleh mereka. Rakyat kita tidak suka mempermudahkan kerja yang bertaraf ‘kuli’ sedangkan mereka mempermudahkan kita untuk bernafas setiap hari tanpa bau busuk sampah sarap. Begitulah tahap ‘kurang ajar’nya rakyat kita yang tak tahu berterima kasih, sebaliknya sombong dan bongkak. Mengaku berilmu tinggi tapi ilmu yang mudah pun tak tahu. Berbeza sekali perangai antara orang yang benar-benar berilmu dengan orang yang mendapat ilmu melalui sijil dan ijazah.

Itu adalah antara pengalaman Datuk Mohd Tap, sememangnya Jerman merupakan negara yang kuat disiplinnya. Mungkin kerana sejarah yang mengajar mereka melalui doktrin Nazi yang menekankan disiplin dan kini sebagai negara yang bebas merdeka budaya berdisiplin masih kuat lagi di sanubari rakyatnya. Pernah saya mengikuti rancangan terbitan astro berkaitan disiplin pemandu Jerman dan amalan keselamatan pemanduan di lebuh raya yang terkenal di Eropah yang menghubungi antara sempadan negara jiran-jirannya. Disebabkan teknologi automobile Merchedes ataupun Jaguar bukan seperti teknologi Perodua ataupun Proton, maka lebuh raya dibina khas untuk menjadi medan bagi menunjukkan prestasi kelajuan kenderaan tersebut benar-benar digunakan. Ia seolah-olah seperti tiada peraturan berkenaan dengan had kelajuan namun disebabkan pemandu mereka mempunyai disiplin dalam menjaga hak pemandu lain maka mereka tidak menyusahkan orang lain dan mengancam keselamatan pemandu lain kerana laluan lebuh raya mereka dibina mengikut keperluan dua golongan pemandu iaitu yang berhemah dan yang memang sukakan kelajuan.

Pihak berkuasa mereka memahami akan kehendak dua golongan pemandu ini, namun sekiranya pemandu laju ini melanggar peraturan dalam penggunaan laluan untuk pemandu berhemah maka mereka akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa sebarang kompromi lagi. Tiada amaran kali pertama atau ‘tiada maaf bagimu’ walaupun bermacam-macam alasan dan dalih. Seperkara yang menarik berkenaan lebuh raya ini ialah pemandu yang melanggar peraturan tidak akan terlepas dari kesalahannya kerana sepanjang lebuh raya itu dilengkapi dengan teknologi CCTV dan paparan digital untuk memberi info kepada pemandu sekiranya terdapat masalah di laluan jalan raya hadapan seperti keadaan cuaca, tanah runtuh, jalan rosak dan kemalangan. Pemandu akan tahu apa yang berlaku di sepanjang laluan jalan raya hadapan dan ini membolehkan mereka mengambil lagkah berjaga-jaga dan memandu secara berhemah. Pengurus yang mengendali lebuh raya itu akan sentiasa memantau laluan itu dan semestinya juga pihak trafik atau polis juga akan memanfaatkan kemudahan ini tanpa perlu membuat pemeriksaan dan macam-macam operasi sehingga ada adegan kejar-mengejar yang mengganggu kelancaran aliran pemanduan jalan raya. Dengan kerjasama sebegini akan memastikan setiap peraturan diikuti dan hak pemandu lain dihormati disamping memberi maklumat kepada pemandu agar lebih berhati-hati.

Begitu juga aspek keselamatan yang meliputi penanda jalan dan papan-papan petunjuk di sepanjang jalan. Ianya sentiasa dipantau supaya dalam keadaan baik dan tidak rosak, papan-papan jalan seperti arah laluan, nama jalan dan simbol-simbol arahan tidak dibiarkan berkarat ataupun berkulat. Mana-mana yang rosak akan segera diganti bagi kemudahan pemandu dan ini dapat mengelak dari kemalangan. Bagi mencuci papan-papan tanda tersebut, Jerman menggunakan teknologi kenderaan yang direkabentuk khas supaya dalam sehari mereka boleh membersihkannya dalam tempoh yang singkat. Memang ini merupakan satu tugas yang sukar jika dilaksanakan dengan cara ‘tradisional’ apatah lagi terlalu banyak sekali papan-papan tanda yang perlu dipastikan kelihatan sempurna dan jelas. Sekiranya berlaku kemalangan di lebuh raya itu, terdapat perkhidmatan pantas seperti bomba menggunakan helicopter untuk segera ke tempat kejadian. Mangsa nahas akan diselamatkan dari dalam kenderaan dan terus dihantar ke hospital berdekatan, sementara kenderaan yang terlibat kemalangan akan segera dialihkan bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Tidak seperti di negara kita, papan-papan tanda yang rosak tidak berganti dalam tempoh yang lama dan dibiarkan berkulat serta berkarat. Di desa pula lebih teruk ada yang hilang dicuri oleh pencuri besi dan aluminium untuk dijual. Bagi mengelak dicuri lagi papan tanda tersebut diganti dengan papan bukan logam namun ianya tetap juga rosak dan dipatahkan oleh rakyat yang bermentaliti dunia ketiga mencari keuntungan dengan jalan mudah. Pernah saya terjumpa baru beberapa minggu saja diganti dengan papan bukan logam ianya telah pun dipatahkan. Mugkin pencuri itu geram disebabkan ia bukan lagi aluminium lalu dipatahkannya. Dari segi menyelamat pula pihak bomba agak lambat ke tempat kejadian kerana kesesakan laluan, sementara itu pihak ambulan pula akan datang kemudian juga menggunakan van.

Di Eropah juga terdapat pihak berkuasa sebuah negara yang cuba menggunakan pendekatan baru mendidik pemandu supaya menggunakan adab dan budi pekerti semasa berada di simpang empat atau simpang tiga. Di mana setiap pemandu perlu memberi laluan dan berinteraksi antara satu sama lain semasa berada di jalan raya tanpa perlu dikawal oleh lampu isyarat. Sebaliknya ia bergantung penuh kepada moral individu seperti sikap timbang rasa, sopan, sabar dan disiplin setiap pemandunya. Bagi kita tentu ia tidak sesuai dilakukan di bandar yang sesak namun apa yang berlaku, di pekan atau laluan yang tidak sesak pun juga menggunakan lampu isyarat. Tapi di kebanyakan bandar besar kini telah dilengkapi dengan jalan bertingkat bagi satu pusat yang begitu banyak simpang. Namun bagi yang ada lampu isyarat pun masih ada yang melanggar peraturannya kerana sikap pemandu yang bengis, mementing diri dan sombong. Selagi system seperti ini masih digunakan untuk mendidik pemandu, selagi itulah ia sukar untuk menjadikan pemandu yang berakhlak dan bertimbang rasa menghormati orang lain dengan rela hati dan penuh kejujuran serta keikhlasan.

Apa yang dimaksudkan dengan system itu ialah satu peraturan yang sangat ketat bagaimana membentuk akhlak tetapi apabila berlakunya perlanggaran disiplin tidak pula diambil tindakan tegas. Sebab itulah ada kalangan pemandu yang mula ‘pijak kepala’ dan memperlekehkan undang-undang kerana ‘cakap tak serupa bikin’. Lagipun ada pihak penguatkuasa amat mudah pula di’gula-gula’kan oleh pelaku kesalahan jalan raya untuk mengelak dari dikenakan tindakan saman. Setiap insan memang inginkan kebebasan dan begitu juga pemandu jalan raya tentu tidak suka dengan peraturan had jalan raya dan lampu isyarat. Ketika waktu bukan puncak pun walaupun tidak banyak kenderaan di jalan raya masih juga menunggu walaupun tiada kenderaan di kiri dan kanan serta di hadapan. Mereka yang melanggar peraturan itu pastinya orang yang inginkan kebebasan, namun setiap kebebasan itu perlu dikawal namun ia tetap diberi ruang untuk mengamalkan kebebasannya memandu di jalan raya dengan menyediakan kemudahn untuk mereka. Bagi negara maju yang kaya tentunya ia tidak menjadi masalah kerana mereka mampu menyediakannya dengan segera. Bagi negara seperti kita pastinya tidak dapat menyediakan kemudahan menyeluruh akibat ketidakberkesanan dalam pengurusan pembangunan dan bayaran yang terlalu tinggi dari kos sebenar pembinaan. Adakah wajar harga kamera di pasaran terbuka RM4000 tapi dengan harga tender RM8000. Ini pastinya juga berlaku dalam cabang jabatan yang lain.

Begitulah antara contoh di Eropah di mana telah muncul kesedaran bukan saja di kalangan pihak berkuasa malah juga pemandu sendiri bahawa untuk mendidik pengguna jalan raya perlulah lahir dari dalam jiwa mereka sendiri. Namun yang penting ia perlu di mulakan oleh pihak berkuasa dan pihak yang bertanggungjawab dalam memberi galakan dan memberi pendidikan kepada pengguna dan pemandu jalan raya. Pihak yang bertanggungjawab itu mempunyai kuasa dan mempunyai segala sumber yang boleh digerakkan untuk mewujudkan satu system yang fleksibel dan menjadikan pemandu dan pengguna jalan raya proaktif dengan berinteraksi sesama mereka. Pihak yang berkenaan telah melakukan yang terbaik untuk kemudahan pengguna dan mengambilkira akan keperluan setiap pemandu jalan raya. Jika kemudahan yang telah dipermudahkan ini pun mereka masih lagi melanggar peraturan maka tiada kompromi lagi dan hukuman mesti dilaksanakan kerana tiada alasan lagi untuk mengatakan salah jalan yang tak sempurna, laluan yang sesak atau tiada lampu isyarat.

Walau bagaimanapun, pastinya akan ada yang mempertikaikannya dan memperlekehkan sesuatu pandangan dan idea. Sememangnya manusia ini makhluk yang suka berbantah-bantah dan banyak soal dalam melakukan sesuatu yang baik. Sehinggakan apabila sudah melakukan pendekatan lain berlaku pula masalah lain dan kembali pula memikirkan pandangan dan idea asas yang dahulunya dipandang remeh. Yang pasti sudah banyak kos dibelanjakan untuk melaksanakan pendekatan yang mereka ingat baik untuk mereka dan telah terbazir begitu saja. Dan lebih mengharukan wang dari cukai rakyat pula digunakan untuk menampung kerugian yang disebabkan oleh keputusan perlaksanaan mereka.

Tak perlulah kita menyalah dan menuduh sesiapa. Hanya dengan kerjasama saja semua pihak boleh menjadikan apa yang kita usahakan menjadi mudah, dan kesediaan kita menerima teguran dapat membuatkan kita berfikir secara rasional dan kembali kepada sifat kemanusiaan diri sendiri. Sedangankan aliran deras air sungai yang dihalang juga akan merobohkan tembok dan tiang jambatan. Mengapa itulah di negara maju telah wujud kesedaran dikalangan jurutera untuk membina sesuatu pembangunan mengikut sifat alam semulajadi termasuk juga sifat manusia itu sendiri yang tidak gemar dihalang dengan macam-macam peraturan yang remeh.