Custom Search

Reviews Directory

Memaparkan catatan dengan label Pertahanan dan Keselamatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pertahanan dan Keselamatan. Papar semua catatan

Selasa, 8 Julai 2008

Pesawat Tempur Terkini

Youtube dibawah ini adalah perbandingan antara pesawat-pesawat pejuang canggih terkini dan akan datang

F-35 Lightning II (US Stealth Fighter)



F-22 Raptor (US Stealth Fighter)



MIG-35 (Russia)



SUKHOI T-50 PAK-FA (Russia Stealth Fighter : 2012)



J-XX (Chinese Stealth Fighter : 2015)



Dassault Rafale (Euro)



Eurofighter Typhoon (Euro)



SU-35 (Russia)



Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam keyakinan kita adalah pada kekuatan Allah SWT. Walau secaggih dan sehebat mana pun kekuatan musuh, sesungguhnya hati-hati dan nyawa mereka adalah dibawah pegangan Allah. Jika Allah SWT berkehendak dan umat Islam bernaung di bawah kekuatan Nya, Allah SWT boleh menghapuskan kekuatan musuh dengan sekali gegaran, tiupan beliung, gelombang tsunami dan menahan hati-hati musuh Islam sebelum mereka sempat menyerang umat Islam dan dengan itu umat Islam sempat bersiap sedia dengan kekuatan yang setanding.

Siapa Ancam Singapura?

Singapura Mahu Beli 100 Pesawat Kalis Radar F-35

WASHINGTON 8 Julai – Singapura menunjukkan minat untuk membeli sehingga 100 pesawat F-35 Joint Strike Fighter keluaran Lockheed Martin Corp untuk beberapa dekad akan datang, sekali gus menyamai pelan pertahanan udara Israel.

“Israel menyatakan mereka mahu membeli sehingga 100 pesawat. Singapura juga pada asasnya menyatakan perkara yang sama,” kata Ketua Program Pentagon, Mejar Jeneral Charles Davis.

Pembangunan F-35 yang merupakan pesawat kalis radar dibiayai bersama oleh Britain, Itali, Belanda, Turki, Kanada, Australia, Denmark dan Norway.

Amerika Syarikat (AS) pula merancang untuk membeli sejumlah 2,443 model F-35 termasuk 1,763 untuk Tentera Udara AS dan 680 untuk Marin dan Tentera Laut dengan kos dianggarkan AS$299 bilion (RM986.7 bilion).

Beratus-ratus pesawat model ini mungkin dijual ke seberang laut bagi menggantikan F-16s keluaran Lockheed dan F-18 keluaran Boeing.

Davis turut meramalkan Jepun akan secara rasmi meminta harga dan maklumat mengenai F-35 menjelang hujung tahun ini dalam prosesnya memilih pesawat pejuang generasi baru.

Jurucakap Lockheed Martin, Tom Jurkowsky berkata, program F-35 kini melalui “kemajuan teknikal memberangsangkan terutamanya dalam konteks pesawat paling kompleks pernah dibuat.”

Penerbangan ujian pertama bagi versi mendarat dan berlepas secara konvensional dilakukan pada 15 Disember 2006.

Antara pesaing utama model F-35 adalah Gripen keluaran Saab; Dassault Rafale; MiG-35; Sukhoi Su-35 dan Eurofighter Typhon keluaran konsortium syarikat Britain, Jerman, Itali dan Sepanyol.

– Reuters

Sungguh menghairankan sebuah negara pulau yang kecil mempunyai sistem pertahanan yang melebihi keperluannya dan di pulau itu bukannya ada kekayaan semulajadi yang perlu dilindungi sehingga 100 buah pesawat anti-radar.

Sekarang pun Singapura merupakan pemilik aset pertahanan yang tercanggih dan terbanyak tidak padan dengan saiz negaranya. Siapakah sebenarnya yang menjadi ancaman Singapura ini?

Selama ini banyak tindak tanduk Singapura menimbulkan syak dan mereka bila-bila masa saja boleh menggertak dan mengugut negara-negara jirannya jika mereka rasakan negara jirannya boleh mengancam kepentingan mereka (belum ada lagi negara jiranya mengancam keselamatan Singapura).

Kita khuatir Singapura akan menggunakan kaedah psikologi ini hanya dengan menunjuk-nunjuk kekuatan aset perang mereka kepada negara jiran supaya ia boleh mempengaruhi sebarang keputusan yang dibuat oleh negara jiran yang tidak boleh menggugat kepentingan mereka.

Apa sebenarnya yang telah berlaku kepada projek Jambatan Bengkok dan Koridor Selatan yang banyak melibatkan pelabur dari Singapura? Apakah negara kita terpaksa akur dengan kehendak Singapura?

Sebarang isu panas Malaysia dengan Singapura dahulu kini tidak lagi kedengaran lagi namun dari perkembangan semasa, hak rakyat Malaysia kini cuba diambil dan dirampas secara halus dan sedikit demi sedikit. Kita sudah kehilangan Pulau Batu Putih yang sepatutnya dari segi sejarah, zon sempadan dan perjanjian kerajaan Kesultanan dahulu adalah jelas hak milik kita.

Kita bimbang di Wilayah Koridor Iskandar kelak pemilik aset di sana lama kelamaan majoritinya kelak adalah orang dari Singapura dan yang sebangsa dengan mereka dan dibimbangi ia akan menjadi satu wilayah tak rasmi Singapura di Malaysia.

Maka itu, Singapura merasakan perlu untuk memiliki 100 buah F-15 pada masa akan datang untuk melindungi wilayah baru ini yang bakal jadi milik mereka suatu hari kelak. Awas Malaysia?? Pertahankan hak dan bumi kita kerana Singapura sedang merancang sesuatu yang kita tak sedar. Tapi persoalannya juga ialah apakah kita mampu pertahankan hak kita dengan kepimpinan negara sekarang? Fikir-fikirkanlah.

Selasa, 25 Mac 2008

Sambutan Hari Polis Ke-201

Selamat Hari Polis diucapkan kepada semua warga PDRM di seluruh negara. Dengan pengenalan cogankata baru Adil, Tegas dan Berhemah menggantikan cogankata lama Mesra, Cepat dan Betul sudah pastinya akan dapat meningkatkan lagi prestasi dan memperbaiki peranan polis negara kita yang selama ini dilihat seolah-olah berpihak kepada golongan tertentu sahaja. Sebagai anak kepada bekas anggota polis, saya memahami akan tugas dan tanggungjawab yang berat dipikul oleh seseorang anggota polis yang memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan dalam menghadapi tindakan provokosi oleh pihak-pihak yang tak berpuas hati dan cubaan mempengaruhi tindakan polis oleh pihak-pihak yang cuba melindungi kesalahan mereka.


Adil, Tegas dan Berhemah

Cogankata sebelum ini dilihat terlalu mesra terhadap pihak yang mengampu dan berusaha menyembunyikan kesalahan mereka dengan menuding pada orang lain untuk diambil tindakan undang-undang dan siasatan. Kemesraan ini menjadikan pihak polis bertindak dengan cepat dengan cara yang dianggap betul pada perkiraan mereka berdasarkan apa yang dilaporkan. Sehinggakan kadang-kadang tindakan yang diambil oleh polis tidak begitu mesra terhadap rakyat awam berbanding dengan pihak-pihak yang ada kepentingan. Sememangnya cogankata ini tidak lagi sesuai memandangkan apa yang telah berlaku selama ini telah mencemarkan nama baik PDRM.


Cogankata baru pula kelihatannya lebih sesuai lagi kerana ia tidaklah terlalu lemah lembut seperti perkataan mesra yang melambangkan mudah diperalat jika pihak yang cuba memperalat menggunakan pendekatan yang mesra juga untuk mempengaruhi polis. Sebaliknya perkataan adil lebih bermaksud tidak kira siapa saja maka tindakan tegas akan diambil sama ada mereka itu golongan politik atau orang biasa. Polis tak akan terpengaruh dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh mana-mana pihak sebagai satu strategi mengampu dan membodek supaya lepas dari tindakan dan siasatan. Jika mereka melakukan kesalahan maka tindakan yang tegas tetap diambil bagi mencerminkan keadilan dilaksana sama rata tak kira pangkat atau darjat.


Berhemah tentunya dalam setiap tindakan yang diambil tidak dilakukan secara terburu-buru. Kita lihat apa yang berlaku sebelum ini disebabkan terlalu mesra dengan media massa maka segala rahsia dan pendedahan untuk menangkap penjenayah yang menculik kanak-kanak dapat memberi maklumat terkini kepada penculik tersebut tentang perkembangan kes penculikan itu melalui media massa dan memberi jalan mudah untuknya memboloskan diri atau bertindak balas terhadap sebarang maklumat yang dia ketahui itu. Bukan polis yang cepat menangkap penculik itu sebaliknya penjenayah itu yang cepat melarikan diri dan bertindak sesuatu yang tak diingini oleh pihak polis sendiri dan masyarakat umum.


Penjenayah sudah tahu apa yang akan dilakukan oleh pihak polis melalui pendedahan media dan pastinya ini bukan satu tindakan yang berhemah. Berhemah bermaksud mempunyai kebijaksanaan dan pekerti yang tinggi sehingga mampu melahirkan anggota polis yang dapat menjalankan tugasnya dengan cemerlang dan berkesan.


Intergriti Amalan Kita


Cogankata ini diperkukuhkan lagi dengan penggunaan lencana Intergriti Amalan Kita menggantikan Saya Anti Rasuah. Lencana lama tidak sesuai langsung seolah-olah pihak polis sebelum itu memang banyak mengamalkan rasuah dan mudah dirasuah. Maka ke mana-mana pun dengan lencana Saya Anti Rasuah saya lihat sangat janggal sekali dan kejanggalan saya dengan penggunaan lencana itu dipendam dalam hati saja. Sehingga hari ini barulah saya luahkan bahawa lencana Saya Anti Rasuah tidak mampu menaikkan profesionalisme seseorang anggota polis dalam menjalankan tugasnya kerana sentiasa saja dilihat oleh masyarakat yang beranggapan polis memang mudah dirasuah maka lencana Saya Anti Rasuah dipakai supaya orang awam tak boleh beri rasuah. Kalau saya yang pakai lencana itu, memang rasa malu kalau dianggap orang awam mudah dirasuah tapi kalau terpaksa apa boleh buat, pakai sajalah. Sebagai orang awam sekarang ini pun saya beranggapan polis yang pakai lencana itu mudah dirasuah. (Maaf kepada anggota-anggota polis yang terbaca artikel ni, namun inilah pandangan saya sebagai orang awam terhadap pemakai lencana itu).


Berbeza dengan lencana baru Intergriti Amalan Kita mencakupi semua amalan-amalan mulia termasuk tidak mau menerima rasuah. Pastinya seseorang anggota polis itu lebih berkeyakinan dengan lencana tersebut apatah lagi bentuk lencananya yang lebih simbolik berbanding sebelum ini hanya berbentuk bulat berhuruf merah dengan latarbelakang warna putih. Berkeyakinan kerana perkataan intergriti itu sudah cukup memberi ertikata yang sangat mulia dan menyeluruh dalam menerapkan nilai-nilai profesionalime seseorang anggota polis. Saya tabik pada polis yang pakai lencana baru ini, memang ada nilai-nilai intergriti dalam diri anggota polis tersebut kerana lencana tu kata amalan mereka. Jadi, saya kena tabik dan hormatlah pada mereka lepas ni. Mereka tidak mudah dirasuah lagi. Semoga lencana ini dapat meyakinkan setiap anggota polis untuk mengamalkan intergriti dalam menjalankan tugas mereka.


Syabas diucapkan kepada PDRM diatas pembaharuan yang telah dibuat ini, sekaligus ia mampu membersihkan nama baik polis dan mempertingkatkan lagi martabat PDRM amnya dan seseorang anggota polis khususnya dikalangan masyarakat. Semoga pada masa hadapan jangan terlalu mudah mesra dengan pihak-pihak yang hendak mengambil kesempatan atas kemesraan polis. Tidak kira siapa, pihak polis mesti bertindak tegas dan mengambil tindakan yang berhemah dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks pada hari ini. Apatah lagi kini terdapat 4 negeri yang tidak lagi diterajui oleh golongan politik yang sama dan segala tindak-tanduk pihak yang dulunya merupakan pentadbir kini menjadi pembangkang pastinya tidak terduga. Ini pastinya akan menguji kredibiliti polis untuk bertindak tanpa pilih kasih sekiranya mereka melakukan perkara yang sama seperti pihak yang sebelumnya.


ADIL, TEGAS DAN BERHEMAH….Intergriti Amalan Kita

Jumaat, 21 Mac 2008

F-22 Raptor



Pesawat Pejuang Utama Amerika 2010

Menjelang 2010 USAF akan menggantikan kesemua pesawat utama pelbagai fungsi mereka sekarang dari jenis F-15 Eagle, F-16 Falcon, F-18 Hornet dan F-18 Super Hornet dengan pesawat generasi baru yang lebih canggih dan dapat menyesuaikan dengan kemajuan teknologi pesawat pejuang pencabar utamanya dari Russia.

Mengambil iktibar dari pengalaman lalu, pakar teknologi persenjataan Amerika telah membuat kajian tentang kelemahan teknologi pesawat mereka dan kelebihan teknologi pesawat dan anti-pesawat Russia dan negara sekutu terdekatnya China. Kelemahan sebelum ini ialah mudah dikesan radar dan menjadi sasaran mudah kepada peluru berpandu anti-pesawat Russia dan China. Sementara itu, Russia turut memiliki pesawat yang dapat menandingi kehebatan dan kelincahan F-15,F-16 dan F-18 USAF iaitu Sukhoi SU-27 dan SU-30. Bermakna, sekiranya berlakunya pertembungan di udara akan berlaku pertempuran yang sengit dan dikatakan pesawat Russia lebih hebat dalam pertempuran 'dogfigth' ini.

Justeru itulah, dengan ilmu pengetahuan yang sentiasa berkembang di bumi Amerika dengan sokongan kepimpinan mereka dalam kemajuan teknologi maka hanya dalam tempoh tidak sampai 20 tahun saja jurutera dan saintis Amerika berjaya mencipta teknologi 'stealth', teknologi yang menyebabkan pesawat tidak dapat dikesan radar. Percubaan pertama teknologi ini digunakan pada pesawat F-117 Black Hawk dan bagi menyokong ketidakstabilan pesawat ianya dikawal oleh komputer menerusi teknologi yang dipanggil sebagai 'Fly by wire'.

F-22 Raptor adalah kombinasi lengkap kemajuan teknologi pesawat terdahulu milik Amerika dan mengambil teknologi yang terdapat pada pesawat Russia. Ini bermakna, F-22 akan mudah memasuki kawasan wilayah musuhnya tanpa dapat dikesan radar peluru berpandu anti-pesawat Russia dan mampu untuk mengalahkan SU-27 dan SU-30 jika pertempuran udara tidak dapat dielakkan. Bahkan semasa dalam pertempuran, radar pesawat Russia takkan dapat berfungsi dengan baik ketika membidik F-22 dan pastinya adegan kejar-mengejar akan berlaku dan kelebihan menjadi milik F-22.

Jika begitulah situasinya, SU-30MKM milik negara kita akan menjadi ketinggalan zaman dalam tempoh 10 tahun akan datang kerana teknologi kini kian berkembang dan begitu cepat sekali berubah. Kalau negara kita tidak bersungguh-sungguh melahirkan saintis dan jurutera dalam bidang ini secara ikhlas dan jujur, amat sukar untuk kita menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa. Mengharapkan pembelian teknologi tersebut dari negara luar bukanlah satu pendekatan yang bijak untuk jangka masa panjang kerana kemampuan kewangan negara yang terbatas.

Namun begitu, janganlah kita berfikiran bahawa kebijakan hanya diukur melalui kepandaian mencipta teknologi. Kebijakan juga boleh diukur melalui pengaturan strategi yang berkesan dalam menghadapi keupyaan musuh yang kuat dan lengkap bersenjata canggih. Sungguhpun kita tidak ada kelebihan dari segi kemajuan teknologi, sekiranya kita ada kelebihan strategi dan bijak memanipulasikan keadaan dengan berkesan pastinya kita walaupun tak dapat mengalahkan musuh namun mampu menghalau mereka keluar dari tanah air kita.

Situasi ini pernah berlaku ketika zaman mula-mula Rasulullah menyebarkan Islam. Pada waktu itu, tentera Islam tidak ramai dan tidak mempunyai persenjataan yang lengkap dan moden berbanding tentera bersekutu Quraisy dan kerajaan Rom. Namun mampu menewaskan Quraisy dan menghalau keluar Rom dari wilayah Arab. Hanya selepas umat Islam semakin maju dan ilmu pengetahuan semakin berkembang terutama di zaman syaidina Umar, umat Islam berjaya menewaskan tentera Rom dan melebarkan pengaruh penyebaran Islam sehingga ke selatan Eropah.

Memadailah hari ini jika kita belum mampu menguasai dan membina sendiri teknologi moden yang canggih, kita mesti mampu menyusun strategi bukan saja dalam aturgerak ketenteraan dalam peperangan konvensional tapi juga dalam usaha melebarkan pengaruh bagi menyatupadukan negara bangsa yang merasa tertindas dan diancam oleh kuasa besar Amerika dan Eropah. Jika kedua-dua kebijaksanaan ini kita tiada, tunggu sajalah musuh akan menyelinap masuk memecahbelahkan perpaduan umat dan kemudian menyerang secara besar-besaran bermula dengan fitnah untuk masuk campur ke dalam hal ehwal dan politik negara.

Kita cukup bimbang setelah ketiadaan kepimpinan seperti Tun Dr. Mahathir yang mampu menyatupadukan dalam negara dan negara-negara kecil yang lain di arena antarabangsa. Beliau juga telah memulakan usaha untuk mempertingkatkan perkembangan ilmu melalui teknologi maklumat dan menunjukkan kepada dunia akan kehebatan dan kemampuan negara dan rakyat Malaysia melalui strategi pembangunan yang berkesan dan usaha menaikkan semangat rakyat. Disamping kelantangannya mempersoal tindak tanduk kuasa besar dan mencabar mereka menjadikan negara kita dahulunya digeruni biarpun tidak memiliki kecanggihan teknologi tentera.

Malang sekali, hari ini kebijaksanaan itu semakin pudar dan dikhuatiri akan lenyap bilamana kepimpinan negara diterajui oleh orang yang lemah dan dikuasai oleh orang yang berperangai buruk dan jahat. Akibatnya, perpaduan kita semakin lemah dan jika tidak ditangani dengan bijaksana boleh menimbulkan perpecahan. Sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh penjajah dan kuasa besar untuk masuk campur, kalau tidak secara langsung mungkin melalui bonekanya. Pemimpin negara kita hari ini bukan tidak pernah belajar sejarah, tapi tak mau tau mengenainya sehinggakan dia tak tau bahawa musuh sentiasa mengintai peluang untuk mencari ruang kelemahan kita.

Khamis, 20 Mac 2008

Active Denial System



Ini satu lagi teknologi yang boleh digunakan untuk menyuraikan demonstrasi yang agresif. Kebiasaannya kita akan nampak adegan kejar mengejar antara kumpulan anggota keselamatan dan penunjuk perasaan. Bahkan dalam keadaan yang tak terkawal 'water canon' dan gas pemedih mata akan digunakan untuk menyuraikan perhimpunan tersebut.

Apabila 'water canon' digunakan pasti ianya akan menambahkan lagi kerosakan harta benda awam akibat hentaman pancutan air yang kuat. Air yang dilimpahkan akan mengotorkan lagi kawasan yang telah sedia kotor dan berselerakan. Dan kemungkinan juga akan mencederakan orang awam yang menunjuk perasaan tersebut. Trak 'water canon' perlu mendekati sekumpulan penunjuk perasaan untuk kesan yang lebih efektif dalam menyuraikan perhimpunan dan mendedahkan bahaya kepada anggota keselamatan sekiranya penunjuk perasaan mengambil tindakan 'berani mati'. Ini mungkin tak akan berlaku di negara kita.

Active Denial System (ADS) merupakan teknologi masa depan berasaskan gelombang elektromagnet tapi bukan gelombang mikro, yang akan mengakibatkan rasa tidak selesa, kebas dan panas namun tidak membahayakan kepada orang awam yang menunjuk perasaan. Hanya dengan memancarkan gelombang tersebut mereka yang berhimpun dan bertindak membaling batu dapat disuraikan dengan lebih efektif dalam jarak yang agak jauh. Penunjuk perasaan mahu tak mahu perlu mengelak dari pancaran ini lantaran kepedihan yang terasa olehnya. Teknologi ini tidak memerlukan begitu ramai anggota tambahan dan disamping penggunaan ADS, Taser juga boleh digunakan untuk menangkap individu-individu yang bertindak ganas dalam perhimpunan tersebut.

Sememangnya kemajuan teknologi banyak membawa kebaikan, walaupun ia sejenis senjata namun sekiranya senjata itu bukan bertujuan untuk membunuh atau mencederakan. Namun peranannya untuk menawan musuh hidup-hidup kemudian dibicarakan di mahkamah untuk mendapat keadilan yang setimpal kenapa dia berbuat demikian. Sebab kesalahan manusia tidak semuanya kerana niatnya tapi disebabkan kejahilannya. Kejahilan itulah perlu diperbetulkan supaya mereka faham bahawa penentangan mereka adalah salah dan tidak berdasarkan pengetahuan, tapi atas dasar dendam, benci, marah dan dihasut oleh pemimpin mereka.

Lihat sajalah dalam sejarah Islam di zaman Rasulullah, walaupun sebelum syaidina Umar al-Khattab memeluk Islam penentangannya terhadap Islam dan baginda Rasulullah sangat kuat sehingga Umar sanggup bergolok-bergadai hendak membunuh baginda. Namun, setelah Syaidina Umar sendiri menyerah diri kepada Rasulullah, beliau tidak dihukum atas perbuatannya yang terdahulu yang banyak membunuh dan menyakiti umat Islam. Syaidina Umar diberi peluang untuk membela dirinya dengan menjadi seorang Islam yang banyak berjasa kepada perkembangan empayar Islam dan kemajuan umat Islam.

Seharusnya pada hari ini, tidak perlulah umat Islam bersikap benci dan membalas dendam terhadap orang barat yang memusuhi Islam. Sehingga sanggup berani mati meletupkan diri dan berjuang mengangkat senjata untuk membunuh mereka sebagai balasan kerana membunuh umat Islam lain. Tidak dinafikan bahawa umat Islam ini tak berdaya hendak pertahankan dirinya dari dianiaya. Segala kesalahan dan dosa akan tertanggung oleh para pemimpin dan ilmuan dari kalangan umat Islam yang mampu. Pemimpin Islam tidak menyokong usaha kemajuan umat Islam dan para ilmuan Islam hari ini hanya mementingkan keuntungan kebendaan wang dan harta benda peribadi saja dari berusaha hendak menjadi pakar teknologi dan pencipta teknologi baru untuk kepantingan umat Islam sejagat.

Namun, pada akhirnya juga yang akan dipersalahkan dan dipersoalkan secara bertubi-tubi dihadapan Allah di padang Mahsyar kelak ialah para pemimpin Islam. Kerana ditangan mereka segala kuasa untuk mentadbir, mengurus dan mengumpul kekayaan negara dan menggalakkan kemajuan bangsa dan umat Islam menerusi kekayaan itu. Orang awam yang berani mati dan berjuang secara individu dan kumpulan yang digelar pengganas pastinya akan disoal di akhirat kelak kenapa mereka berbuat demikian. Tentu sekali mereka akan menyalahkan kepimpinan umat Islam yang tidak berbuat apa-apa untuk membela dan memajukan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Peringatan kepada mereka yang memimpin negara, sesungguhnya beban yang anda pikul sangat berat dan sekiranya umat Islam tersiksa dan tertindas dibawah kepimpinan anda, pastinya orang awam akan menjadi saksi kepada kesalahan anda dalam memimpin negara dan umat Islam kerana tidak mampu membawa kemajuan dan memartabatkan maruah umat Islam dengan kekuatan dan ilmu pengetahuan yang mampu menggentarkan musuh.

Taser



FUTURE WEAPONS
Rancangan ini merupakan antara kegemaran saya, bagaimana teknologi senjata masa depan lebih toleran terhadap pengganas atau penjenayah atau musuh negara. Dibawah tajuk FUTURE WEAPONS saya akan mengulas sedikit tentang teknologi senjata yang akan dipaparkan yang patut negara kita maupun umat Islam harus miliki dan kuasai ilmu penciptaannya demi kesejahteraan dan keamanan sejagat tanpa menimbulkan kemusnahan besar-besaran kepada manusia sejagat. Barat telah mendahului kita, jika kita tiada kesedaran dalam bidang ini maka kita akan berterusan dibuli dan dianiaya oleh mereka yang menyalahguna ilmu teknologi ini untuk terus menguasai dunia dan merampas hak manusia sejagat.


TASER
Taser adalah sejenis pistol yang berkonsepkan kejutan elektrik, sekarang kebanyakan anggota keselamatan seperti polis menggunakan pistol atau submesingun peluru hidup semasa menghadapi ancaman penjenayah yang tidak menggunakan senjata api secara bersemuka. Sehinggakan apabila penjenayah tersebut menerkam dengan parang atau pisau, anggota keselamatan terpaksa melepaskan tembakan sehingga mencederakan penjenayah tersebut dan kadang-kadang hingga menyebabkan kematian yang tak disengajakan.

Begitu juga ketika dalam tunjuk perasaan atau demonstrasi, terutama di negara kita dimana tidak ada rakyat yang menggunakan senjata api atau parang ketika berhadapan dengan halangan anggota keselamatan ketika berdemonstrasi. Anggota keselamatan menggunakan kayu belantan dan perisai bagi menyuraikan perhimpunan sehingga kadang-kadang ketika menghadapi pendemonstrasi yang agresif anggota keselamatan tiada pilihan lain akan memukul sehingga cedera tidak boleh melawan sebelum boleh ditangkap dan dibawa ke balai untuk disoal siasat. Situasi beginilah yang sering digunakan oleh pihak yang tak berpuas hati bilamana pihak keselamatan menggunakan pendekatan yang dilihat mencederakan orang awam yang bertindak agresif tanpa menggunakan senjata api atau senjata berbahaya.

Justeru, dari video yang kita lihat di atas ternyata taser hanyalah digunakan untuk melumpuhkan seketika penjenayah tersebut menggunakan kejutan elektrik bagi membolehkan anggota keselamatan menangkapnya tanpa mencederakan fizikalnya. Taser lebih toleran dalam menghadapi keagresifan penunjuk perasaan. Sebelum penunjuk perasaan menghayun tangannya memukul anggota keselamatan dengan kayu atau membaling batu ke arah anggota keselamatan, taser akan diacu ke arah seseorang penunjuk perasaan dengan panduan inframerah dan mengenainya dengan tepat. Ketika masih dalam keadaan kaku tak boleh bergerak itulah anggota keselamatan boleh menggarinya untuk disoal siasat atau ditenangkan bagi meredakan ketidakpuas hatiannya di balai polis.

Pendekatan sebeginilah yang kita inginkan, iaitu pendekatan yang tidak menimbulkan rasa benci dan marah dikalangan rakyat umum sekiranya melihat orang awam yang menunjuk perasaan dipukul sehingga bengkak dan berdarah oleh anggota keselamatan dengan kayu belantan dan sepak terajang menggunakan but keselamatan. Dan kadang-kadang dikejar oleh anggota polis menggunakan pistol peluru hidup sedangkan orang awam tersebut hanya menggunakan kayu atau objek keras seperti batu untuk mempertahankan dirinya dari tindakan anggota keselamatan yang tidak rasional dan tidak toleran ketika berhadapan dengan mereka yang sangat agresif tanpa senjata api atau tajam.

Namun, persoalannya mampukah anggota keselamatan kita memiliki senjata seperti ini pada masa depan atau mengaplikasikannya semasa berhadapan dengan situasi penjenayah yang tidak bersenjatakan pistol. Ini kerana ia dicipta oleh orang barat yang tidak mahu berkongsi ilmu teknologi canggih dan terkini mereka pada orang lain yang dianggap boleh mengancam masa depan mereka. Jika kita tidak mampu menciptanya sendiri maka terpaksalah anggota keselamatan menggunakan pendekatan dan teknologi konvensional yang tidak toleran dan terlalu zalim terhadap mereka yang tidak berupaya.

Selagi itulah juga anggota keselamatan kita akan dilihat sebagai satu pasukan yang tidak profesional dan bertindak di luar batasan. Janganlah suatu hari nanti ketika mana negara maju sudah mampu berhadapan dengan penjenayah tanpa senjata api menggunakan taser secara meluas kita masih lagi serupa dengan anggota keselamatan di negara dunia ketiga, sedangkan pemimpin kita sibuk menjaja nama negara kita sebagai sebuah negara maju.

Rabu, 5 Mac 2008

Sejarah Perkembangan ATM

Berdasarkan analasis sumber maklumat pengunjung, saya dapati ada pencarian maklumat 'keywords' berkaitan sejarah ketenteraan. Sememangnya blog ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dalam apa jua perkara dan bidang, usaha untuk mencari fakta dan isu yang relevan tetap diutamakan bagi memberi manfaat kepada semua pengunjung yang memerlukan maklumat bermakna. Berikut adalah antara tajuk yang berkaitan dengan pencarian pengunjung berkenaan dan InsyaAllah maklumat sejarah berkaitan ketenteraan seperti perang Korea, perang Vietnam, Komunis China dan yang berkaitan dengan teknologi ketenteraan turut akan dipaparkan disini. Untuk pencarian lanjut, pengunjung bolehlah gunakan enjin carian GOOGLE yang disediakan dalam blog ini untuk mencari maklumat berkaitan.

Tunjang Utama Pertahanan Negara Yang Mesti Peka Kepada Dunia Realiti

Latar berlakang


Sejak dan zaman kemerdekaan, apabila negara berhadapan dengan ancaman gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang mahu menggulingkan sistem sedia ada, dengan bantuan negara-negara Komanwel, pasukan tentera Tanah Melayu khasnya tentera darat ketika itu yang masih bertatih telah berjaya berkhidmat dengan cemerlang. Apabila idea untuk menubuhkan Malaysia ditentang secara kekerasan oleh Indonesia, tentera laut pula mula memperlihatkan kematangannya dengan melaksanakan rondaan serta kawalan kawasan pantai yang berjaya mengekang pencerobohan mengikut jalan laut secara besar-besaran oleh tentera Indonesia. Apabila tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei, sekali lagi tentera darat berjaya menonjolkan dirinya sebagai satu organisasi yang profesional dan tidak mudah diperalatkan oleh mana-mana pihak dan terus memastikan bahawa sistem perundangan dan kedaulatan negara kekal berfungsi. Ini benbeza dengan banyak negara dunia ketiga pada waktu itu, dan masih berlaku pada setengah negara pada hari ini apabila ada persengketaan yang mempunyai bau perkauman dan etnik turut mempengaruhi pasukan tentera yang akhirnya terlibat secara langsung dalam pertempuran dan pembunuhan etnik yang menghancurkan negara.

Bagi tentera udara, walaupun belum pernah dalam sejarahnya bertempur di udara dengan pesawat musuh secara hakiki, sumbangannya terhadap pertahanan negara memang tidak perlu dipertikai. Sepanjang tempoh pemberontakan PKM dan Darurat berlangsung tentera udara boleh dianggap sebagai ‘penyelamat’ dan merupakan talian logistic yang utama bagi pos-pos kawalan terpencil di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. Ketibaan pesawat Nuri membawa bekalan atau ransum ‘basah’ kerap disambut seakan satu keramaian, manakala bedilan bertalu-talu dari udara oleh helikopter Alloutte memberikan kelegaan dan kepastian kepada tentera darat bahawa mata dan telinga mereka di udara bekerja keras memastikan pihak musuh sentiasa berada dalam keadaan huru-hara.

Era perubahan dari COIN kepada operasi konvensional


Jika dilihat secara rambang perihal proses mengubah strategi operasi dan yang berteraskan melawan keganasan atau perang gerila yang dilancarkan oleh PKM (COIN-Counter Insurgency) kepada perang konvensional, perubahan yang paling ketara sebenarnya berlaku kepada unit-unit TUDM dan TLDM berbanding dengan rakan mereka dari Tentera Darat. Malah mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa di rantau ini TUDM adalah merupakan perintis dalam memperkenalkan pesawat dwi-fungsi iaitu pesawat tempur/serang pada pertengahan tahun 1970-an dengan perolehan pesawat Northrop F-5 Tiger II. Ini berbeza sebelumnya apabila TUDM hanya memiliki pesawat Dart Herald dan Caribou serta helikopter Allouette. Keupayaan ini adalah perolehan yang dianggap penting selepas TUDM memperolehi pesawat F-86 Sabres dari Australia dan Canadair CL-41 Tebuan di samping helikopter Sikorsky S-61A sebagai helikopter pelbagai fungsi.

Di pihak TLDM pula perkara yang sama turut berlaku apabila kapal-kapal TLDM adalah antara yang pertama di dunia menggunakan sistem Exocet MM38 pada sekitar tahun 1973. Sistem peluru berpandu anti kapal permukaan yang efektif ini dipasangkan pada kapal-kapal serang laju yang diklasifikasikan sebagai FAC-M. Malah idea unluk memperlengkapkan TLDM dengan sejumlah kapal selam telah pun diperbincangkan pada 1978. Setahun kemudian pada 1979, pihak kerajaan telah meluluskan program jangka panjang pemodenan dan pembesaran Angkatan Tentera Malaysia yang diberi nama PERISTA. Mengikut program yang telah direncanakan ini sejumlah RM9.8 billion akan diperuntukkan untuk jangkamasa lima tahun berikutnya. Pasukan tentera darat akan diperbesarkan dari sejumlah 70,000 anggota pada 1979 kepada hampir 100,000 menjelang tahun 1985 manakala aset kapal TLDM dan TUDM turut dipertingkatkan dengan beberapa perolehan baru. Ini termasuklah dua buah kapal korvet baru dan empat penyapu ranjau kelas Lerinci untuk TLDM sementara sejumlah 40 buah pesawat Skyhawk dari jenis A-4C dan A-4L yang telah dibaik pulih. PERISTA bagaimanapun menghadapi jalan buntu apabila pada 1981 kerajaan terpaksa menjalankan program penjimatan dan perbelanjaan berhemat akibat kegawatan ekonomi. Ini termasuklah pembatalan beberapa program penting seperti pembinaan pusat latihan tempur di Gemas yang telah terpaksa dihentikan hanya setelah beberapa bulan dilaksana.

Menjelang pertengahan 1980-an kemerosotan ekonomi yang dihadapi pada awal dekad mula menampakkan tanda-tanda pemulihan. Pada September 1988 Malaysia mengejutkan beberapa negara serantau apabila ia mengumumkan beberapa kemungkinan perolehan utama yang merupakan kesinambungan dari program PERISTA. Paling utama adalah beberapa perjanjian dan persefahaman awal antara Kuala Lumpur dan London. Dalam persetujuan awal yang telah dicapai oleh kedua pihak, Kuala Lumpur dan London bersetuju pada dasarnya mengenai pakej yang melibatkan pelbagai aset persenjataan, latihan dan pembangunan serta pembinaan pelbagai prasarana yang berkaitan dengan pertahanan. Pakej yang mempunyai nilai kira-kira USD2.5 billion ini termasuklah satu skuadron pesawat tempur/pengebom, dua kapal selam terpakai dari Tentera Laut DiRaja British (RN) sistem pertahanan jarak dekat Rapier serta artileri sederhana dan berat. Pada masa yang sama pihak British juga akan membantu TLDM untuk membentuk cabang udaranya sendiri dengan enam helikopter jenis WASP yang telah dibaikpulih.

Keinginan Malaysia untuk mendapatkan pesawat Tornado ketika itu dikatakan mempunyai kaitan dengan penerimaan sejumlah pesawat F-16A/B oleh Singapura dan Thailand pada awal tahun 1988. Pesawat Tornado dengan dua enjin dikatakan mampu menyaingi pesawat F-16. Walaupun F-16 dikatakan mempunyai kelebihan sebagai sebuah pesawat tempur, namun Tornado turut berkemampuan berbuat demikian dan boleh diguna pakai bagi tujuan serangan darat serta maritim. Kebolehan melaksanakan operasi maritim dilihat sebagai sesuai dengan doktrin pertahanan negara yang meletakkan kepentingan kepada pengawasan ZEE dan konsep cegah rintang yang mahukan ATM mencabar mana-mana kuasa yang mempunyai niat jahat terhadap negara sejauh mungkin dan persisiran pantai.

Walaubagaimanapun pada Jun 1989 pakej ini ternyata menghadapi jalan sukar apabila kos yang terpaksa ditanggung oleh negara, walaupun pakej tersebut telah diubah suai agar kosnya tidak terlalu membebankan bajet negara. Bilangan Tormado telah dikurangkan dari jumlah asal 12 kepada 8 buah, manakala pembelian sistem pertahanan udara Rapier dibatalkan. Apa yang membimbangkan TUDM ialah jumlah 8 pesawat dikatakan tidak akan dapat memikul beban pertahanan udara dan menjelang tahun 1990-an, sudah pasti lebih banyak pesawat Tornado akan terpaksa dibeli sekali lagi. Pakej baru ini dikatakan akan menelan belanja USD4.5 billion untuk jangkamasa 10 tahun. Bagi memastikan bahawa perolehan masa akan datang tidak terjejas serta untuk menjimatkan kos, dijangka jumlah kekuatan tentera darat yang sedia ada akan terpaksa dikurangkan dan negara akan menggunakan kekuatan pasukan simpanan untuk memastikan kedaulatan negara kekal terjamin. Memandangkan keadaan negara pada waktu itu masih lagi di bawah ancaman PKM permintaan untuk mengurangkan jumlah anggota tentera darat tentunya akan dipandang sinis dan seterusnya menggugat keseluruhan pelan pakej pembelian itu. Akhirnya TUDM terpaksa berpuas hati dengan perolehan sejumlah pesawat Skyhawk-A4 TPM dari Amerika Syarikat.

Selain memperolehi aset, sebagai sebuah angkatan tentera yang sedang giat membangunkan keupayaan perang konvensionalnya, tentunya Malaysia juga perlu membangunkan industri pertahanannya bagi memastikan bahawa ia mampu membekalkan peralatan-peralatan kritikal sewaktu berlakunya sesuatu konflik kepada ATM. Sejak tahun 1987 lagi Kementerian Pertahanan telah melaksanakan pelan tindakan untuk mengatasi masalah tersebut. Antara negara yang dilihat oleh Malaysia mampu memberikan bantuan dari segi pemindahan teknologi ketenteraan adalah Itali dan Austria. Firma tempatan, Syarikat Malaysian Explosive atau SME serta sebuah firma Austria telah bersetuju untuk mengeluarkan raifal Steyr AUG yang digunakan oleh ATM. Pada Jun 1989 perjanjian perlesenan dan bantuan teknikal antara kedua pihak telah dimeterai bagi memastikan bahawa SME mampu mengilangkan komponen-komponen utama untuk raifal tersebut. SME telah diarahkan untuk menghasilkan sebanyak 65,000 pucuk raifal Steyr AUG bagi kegunaan ATM.

Pada era tahun l990-an, berbeza dengan dekad sebelumnya ATM dilihat seakan melalui satu proses pemodenan yang paling pesat dan benar-benar dilihat oleh ramai pemerhati sebagai memulakan evolusi dari sebuah angkatan bersenjata yang mempunyai konsep COIN kepada pasukan tentera konvensional yang moden dan berkemampuan. Hampir kesemua cadangan dan kemungkinan terhadap pembelian aset-aset canggih, khususnya bagi TUDM dan TLDM telah dikaji semula pada awal dekad tersebut. Cadangan pembelian pesawat Tornado yang telah berkubur digantikan dengan minat baru kepada pesawat-pesawat Hawk Mk 108 (10 buah) dan Hawk Mk 208 (18 buah). Selain itu program untuk mendapatkan pesawat tempur yang terbengkalai pada pertengahan tahun 1980-an juga dihidupkan kembali pada 1992 dan tidak seperti sebelumnya, kali ini segala urusan mengenainya dilakukan dengan pantas. Ini terbukti apabila hanya setelah setahun dilaksanakan, TUDM telah mengumumkan ia akan membeli sejumlah 20 buah pesawat MiG-29 Fulcrum yang kemudiannya dipertingkatkan keupayaannya dengan sistem avionik negara Barat. Tidak lama selepas itu menyusul pula pembelian lapan pesawat McDonnel Douglas F/A-18D dari Amerika Syarikat yang mempunyai kemampuan khusus untuk melakukan operasi maritim.

Bagi pihak TLDM, era ini juga menyaksikan bagaimana kapal-kapalnya melangkau kepada keupayaan melaksanakan peperangan tiga dimensi dengan lebih berkesan. Ia bermula pada Mac 1992 apabila TLDM telah memesan dua buah frigat baru yang diklasifikasikan sebagai kapal F2000, iaitu KD Lekiu dan KD Jebat. Kapal-kapal ini dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40, 16 peluru berpandu anti-pesawat udara VL Seawolt, sistem torpedo anti-kapal selam Eurotorp dan meriam Bofors 57mm. Kapal ini juga dilengkapi dengan sistem penderia dan peperangan elektronik yang tercanggih dalam inventori kapal-kapal TLDM yang sedia ada. Program cabang udara TLDM dikenali sebagai KD Rajawali yang diperkenalkan pada tahun 1988 juga telah diberikan nafas baru dengan pembelian kedua-dua buah Irigat tersebut. Ini kerana keduanya mempunyai kemampuan untuk membawa helikopter maritim paling terkini bagi melaksana operasm-operasi maritim yang tentunya tidak lagi mampu dilakukan oleh helikopter Wasp. Pembelian sehingga enam buah lagi pesawat helikopter Westland Super Lynx dengan kemampuan untuk membawa sistem peluru berpandu Sea Skua bagi peperangan anti-kapal permukaan di samping kebolehan untuk membawa torpedo anti-kapal selam telah turut melonjakkan kemampuan TLDM ke peringkat yang belum pernah tercapai sebelum ini. TLDM juga berhasrat untuk menggantikan kesemua kapal ronda kelas Sabah dan Kris (PV) dengan kapal-kapal yang lebih berkemampuan yang diklasitiaksikan sebagai NGPV (New Generation Patrol Vessel) atau kapal ronda generasi baru. Tender bagi program tersebut telah dibuka pada November 1994 dan pada 1997 kumpulan GNG dari Jerman telah terpilih untuk membina kapal-kapal tersebut menggunakan rekabentuk MEKO-100. Kerja-kerja pembinaan akan dilakukan oleh GNG dan rakan industri perkapalan tempatan PSC-ND. Penglibatan industri tempatan dilihat penting agar hasrat negara untuk mencapai tahap berdikari dalam pengeluaran produk pertahanan akan dipenuhi.

Bagi mengisi ‘kekosongan’ menjelang terbinanya kapal kelas F2000 dan NGPV, TLDM telah membeli empat buah kapal kelas korvet buatan Itali. Kapal-kapal yang diklasifikasikan sebagai kelas Laksamana ini adalah merupakan kapal yang telah dipesan untuk tentera laut Iraq, namun akibat sekatan PBB ia tersadai di limbungan Itali. TLDM telah membuat dua pembelian iaitu dua pada 1996 untuk dua kapal pertama dan setahun kemudian pada awal 1997 untuk dua kapal berikutnya. Ia kini merupakan kapal terpantas dalam inventori TLDM serta mempunyai sistem persenjataan dan peperangan elektronik yang moden, berkemampuan melakukan peperangan tiga dimensi.

Bagi pihak Tentera Darat Malaysia (TD), pula ia turut melakukan beberapa pembelian yang boleh dilihat sebagai merintis jalan yang hakiki dalam pembentukan pasukan darat yang benar-benar mampu melaksanakan peperangan konvensional. Apa yang jelas sejak awal dekad 1990-an ialah bagaimana kuasa tembak dan gerak pihak tentera darat telah dipertingkatkan secara beransur-ansur tetapi dengan sistematik. Ini terutamanya benar bagi pihak artileri, mekanise dan armor. Pembelian dan perolehan yang dilakukan sepanjang dekad ini dengan jelas memperlihatkan bagaimana evolusi dan pengoperasian COIN kepada perang konvensional kini menghampiri proses kematangannya. Walaupun terpaksa berhadapan dengan beberapa rintangan terutamanya dari segi kewangan dan kemampuan menyerap teknologi baru yang bakal diperkenalkan oleh pihak ATM sendiri dan juga industri pertahanan tempatan.

Apabila TD dipanggil untuk melaksanakan misi pengaman di Bosnia pada 1993, ia secara tidak langsung telah menyerlahkan bagaimana tentera darat pada waktu itu masih dilihat jauh kemampuannya untuk melaksanakan perang konvensional. Ini terbukti apabila ia secara tergesa-gesa terpaksa memesan 42 buah kenderaan Daewoo K200A1 bagi memastikan bahawa pergerakan dan perlindungan anggota-anggota pengamannya boleh dilaksanakan dengan baik. Ini diikuti dengan 22 lagi kenderaan pada 1994. Pada masa yang sama TD juga tidak mempunyai sistem peluru berpandu anti-kereta kebal yang efektif dan seperti juga sistem kenderaan berperisai, ia memesan sejumlah pelancar peluru berpandu anti-kereta kebal jarak dekat Eryx dari Perancis untuk digunakan di Bosnia. Walaupun jarang diperkatakan, namun kesedaran mengenai kekurangan sistem darat terkini dalam inventori tentera darat sewaktu di Bosnia dipercayai telah mempercepatkan program pemodenan cabang ATM itu. Selain dari krisis kemanusiaan di Bosnia, Perang Teluk 1 juga turut mempengaruhi arah halatuju pemodenan. Iktibar yang diperolehi oleh pemikir-pemikir ketenteraan dan penggubah dasar TD dalam Perang Teluk 1 ialah bagaimana kuasa udara memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan tempo operasi peperangan di darat, dan kemungkinan besar mempunyai kesan langsung terhadap sama ada kekuatan darat akan dapat mengalahkan musuhnya dengan mudah, secara sukar atau mungkin dikalahkan. Walaupun corak topografi atau bentuk mukabumi antara Iraq dan Malaysia adalah berbeza, namun pengajaran asas yang boleh ditimba adalah sama. Iaitu tidak ada lagi mana-mana cabang dalam tiga perkhidmatan, darat, laut dan udara yang mampu beroperasi dalam peperangan konvensional moden secara bersendirian.

Kesedaran ini kemudiannya diperkuatkan lagi dengan konflik-konflik berikutnya di Afghanistan dan sekali lagi di Iraq pada Perang Teluk II yang baru. Penggal kedua dekad 1990 menyaksikan tentera darat melakukan tiga perolehan secara berturut-torut dari segi sistem persenjataan anti-pesawat udara, iaitu dengan sistem Jernas, Igla (termasuk platform dzigit) dan Anza MkII. Sebelum ini keupayaan unit pertahanan udara negara hanyalah menggunakan meriam dan peluru berpandu Starburst sahaja. Selamn itu TD juga kini dikatakan berada dalam proses pemilihan akhir untuk memilih sistem peluru berpandu antipesawat udara jarak sederhana.

Sistem artileri medan juga menunjukkan tahap peningkatan yang memberangsangkan dengan perolehan secara mengejut sistem pelancar roket Astros-II dari Brazil. Ini diikuti dengan sistem meriam 155mm G-5 dari Afrika Selatan yang akan diganding bersama 15 sistem meriam VSEL FH-70 yang sedia ada. Namun pelengkap kepada pembelian dan perolehan aset tentera darat tentunya jatuh kepada ‘raja’ medan tempur; iaitu kereta kebal. Setelah sekian lama menanti, hasrat TD untuk memiliki unit kereta kebal akhirnya telah tercapai apabila kerajaan bersetuju untuk membeli 48 buah kereta kebal PT-91M dari Poland berserta kenderaan jurutera dan bantuan yang lain. Selama itu ia juga kini dalam proses penerimaan sejumlah 211 kenderaan berperisai ADNAN yang merupakan usahasama antara firma Turkey dan sebuah firma tempatan dengan kerja-kerja permasangan dilakukan di dalam negara.

Era milinium baru terus menyaksikan ketiga-tiga cabang ATM terus memperkasakan keupayaan ke arah kemampuan untuk melaksanakan peperangan konvensional dengan lebih berkesan, ini berjaya dilaksanakan walaupun pada penggal akhir 1997 negara telah mengalami kegawatan ekonomi yang teruk sehingga menjejaskan kedudukan ekonomi dan kewangan, yang mengakibatkan kuasa beli negara merosot agak teruk. Perolehan baru yang lebih canggih dan mantap terus dilakukan, selagi mana keadaan ekonomi dan kewangan negara membenarkannya. Penghujung dekad 1990-an dan awal 2000 telah menyaksikan bagaimana kapal-kapal kelas F2000 tiba di Lumut dan pembelian pesawat Su-30MKM akhirnya dipersetujui untuk memberikan Malaysia kelebihan berbanding negara-negara jirannya dalam menguasai ruang udara untuk mempertahankan negara. Pihak TUDM juga mula meneroka ke bidang yang dianggap baru dengan pembelian empat pesawat ARV bagi lujuan peninjauan dan pemantauan kawasan.

Pesawat yang boleh dioperasikan sama ada secara insani atau tanpa pemandu ni mampu melakukan pelbagai operasi pemantauan dan perisikan yang memerlukan tahap kerahsiaan tinggi. Selain itu unjuran kuasa ke atas kawasan ZEE atau Zon Ekonomi Eksklusif terus dipertingkatkan apabila TLDM bersetuju untuk membeli dua kapal selam baru dan sebuah terpakai dari Perancis. Seperti juga program kereta kebal, program kapal selam ini di lihat sebagai pelengkap kepada proses mematangkan TLDM sebagai sebuah kuasa laut yang disegani di rantau ini dan merupakan amaran kepada mana-mana kuasa yang berniat serong terhadap Malaysia. Ketibaan pesawat-pesawat Super Lynx yang telahpun berada di Pangkalan Lumut dan dijangka akan diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada bulan Jun ini turut sama menggandakan kuasa operasi TLDM dalam operasi peperangan maritim.

Pemodenan era siber dan anjakan pemikiran yanq mesti dilakukan


Dalam keghairahan negara untuk memiliki sistem-sistem persenjataan dan aset ketenteraan yang dianggap terkini dan bermutu tinggi, dekad 1990-an menyaksikan satu revolusi yang mungkin tidak dapat dilihat secara fizikal, tetapi menular dengan pantas dalam setiap cabang ketenteraan di seluruh dunia. Perkataan-perkataan dan akronim seperti RMA (Revolution in Military Afairs)-revolusi dalam perihal ketenteraan, EW (Electronic Warfare)-peperangan elektronik, ICT (Information & Communication Technology)-teknologi informasi dan komunikasi dan NCW (Network Centric Warfare)-peperangan pemusatan rangkaian maklumat, adalah perkara-perkara yang harus diberikan tumpuan sekiranya ATM mahu kekal terus unggul sebagai sebuah angkatan tentera yang kredibel. RMA, NCW dan EW adalah tiga unsur yang tidak boleh lagi diceraikan dari kamus pengoperasian ketenteraan moden hari ini. Seperti juga bagaimana kepupusan dinosaur dari muka bumi berlaku, terdapat spesis yang mampu terus kekal hidup kerana mempunyai sifat yang harus dicontohi iaitu ‘adaptability’ atau kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dengan efektif. Kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan teknologi, corak dan rentak peperangan dari segi semua aspek adalah fakta yang harus ada pada ATM. Kita sememangnya tidak dapat mempertikaikan semangat juang dan ketahanan mental anggota-anggota ATM yang sejak sejarah penubuhan dan penglibatannya dalam konflik dari Bukit Chandu sehinggalah ke Sarajevo dan Bakara Market. Tetapi dalam peperangan moden hari ini semangat juang semata-mata sememangnya tidak cukup lagi untuk memenangi perang secara total.

Komunikasi elektronik adalah merupakan fakta yang boleh dianggap sebagai senjata yang mempunyai dua mata. Maksud perkataan komunikasi dalam peperangan moden hari ini tidak hanya tertakluk kepada pemindahan atau interaksi suara dan Kod Morse antara dua pihak seperti yang lazimnya dilakukan pada era komunikasi Perang Dunia dahulu. Sistem-sistem termoden hari ini bukan sahaja mampu menghantar suara secara selamat menggunakan sistem enkripsi, tetapi turut berupaya untuk menghantar data, gambar, siaran video dan pelbagai maklumat yang dianggap mustahil pada suatu masa dahulu. Digunakan dengan baik ia akan dapat memberikan tugas-tugas arahan dan kawalan di medan tempur serta markas logistik dengan efektif. Walaupun demikian jika terdapat kelemahan atau sistem tersebut berjaya dicerobohi ia akan memberikan musuh kelebihan untuk mengetahui dan merangka pelan tindakan untuk mengalahkan pihak yang serba kekurangan dalam bidang teknologi tersebut. ICT dan EW umpamanya semakin diberikan penekanan oleh hampir keseluruhan angkatan tentera dunia kerana nilainya yang tinggi dari segi pulangan dan kerosakan yang boleh dihasilkan terhadap sesebuah angkatan tentera atau sebuah negara jika dilakukan dengan intensif. Dengan kegelojohan dunia merangkul teknologi ICT dalam hampir kesemua bidang dari pertanian, perindustrian, perdagangan, perubatan, komunikasi hinggalah kepada pertahanan, ini juga bermaksud mana-mana pihak yang boleh memanipulasikan sistem tersebut akan mampu menyeret sebuah negara untuk menyembah bumi bukan sahaja dan segi pertahanannya, tetapi juga dari segi ekonomi, perdagangan dan pembangunannya.

Perang Teluk I dan II dengan jelas telah memperlihatkan bagaimana sistem ICT dan EW Amerika telah berjaya melumpuhkan sebahagian besar dari kekuatan ketenteraan konvensional Iraq, walaupun belum sebutir peluru pun dilepaskan dari sempadan Kuwait ke tanah Iraq. Penyerakan sistem elektronik yang dilakukan oleh pihak Bersekutu dan Amerika, sama ada secara pancaran gelombang elektromagnetik, intipan komunikasi atau taburan risalah dan propaganda melalui siaran-siaran radio telah berjaya membuatkan sebahagian dari tentera darat Iraq yang terkenal dengan tradisi ketenteraannya hilang keupayaan untuk berperang.


Oleh yang demikian tentunya ATM juga perlu mengenalpasti dan mencari jalan penyelesaian agar nasib yang sama tidak akan menimpa diri mereka. Keadaan ini dilihat semakin kritikal apabila ATM secara beransur-ansur turut mendakap konsep pengoperasian yang meletakkan sistem ICT sebagai pemacu sebaran maklumat dan unit paling atas di kalangan panglima-panglima sehinggalah kepada divisyen dan batalion yang kemudiannya turun kepada unit-unit operasi kecil dan anggota perseorangan. Gambaran sistem yang melibatkan lCT dan NCW secara langsung dalam ATM boleh diambil dari sistem C3I (Command & Control, Communications & Inteligence) atau dalam ATM dikenali sebagai P4 (pengarahan & pengawalan, perhubungan & perisikan). Jika selama ini ATM melihat perolehan aset-aset yang terkini dan canggih serta kakuatan kuasa tembakan dan mobility sebagai sesuatu yang mesti wujud bagi sebuah angkatan tentera konvensional, pemikiran yang sama juga mestilah diterapkan terhadap ICT dan EW.

ICT dan EW dalam ATM


Sebagai tunjak kepada kekuatan tulang belakang ATM, tentera darat sentiasa diberikan perhatian oleh bukan sahaja pihak berwajib dalam usaha mempertingkatkan kemampuannya tetapi juga pihak tertentu yang mungkin menganggap ianya sebagai ‘bakal’ musuh pada suatu hari nanti. Pada lahun 2002, walaupun sukar untuk diterima oleh setengah pihak, kemampuan ATM dalam bidang NCW dan EW boleh diandaikan masih berada pada peringkat yang amat rendah atau mengikut kata ketua pengarah KOMLEK (Komunikasi Elektronik) pada waktu itu, kita masih berada pada peringkat ‘infant stage’. Kesedaran mengenai kepentingan sistem ICT dan NCW bagi sistem keselamatan negara bukanlah satu isu yang baru. Pada akhir dekad 1980-an bagi mempertingkatkan keberkesanan sistem P4, pada 1988 sebuah firma asing telah diarahkan untuk membangunkan sistem P4 milik ATM dengan kos yang rnenelan belanja sehingga RM4.5 billion. Memandangkan pihak ATM sendiri tidak berkemampuan untuk membina atau melaksanakan program tersebut dengan kepakaran yang sedia ada, keseluruhan program terpaksa diserahkan kepada firma luar negara tersebut. Menyulitkan lagi ialah firma tersebut menggunakan sistem perkakasan dan perisiian yang mempunyai label ‘propriety rights’ atau hak milik khusus yang tidak boleh diciplak atau diubah bentuknya dan tidak menggunakan sistem terbuka atau ‘open architecture’. Bertambah malang lagi bagi ATM apabila di atas sebab-sebab tertentu pihak kontraktor asing tersebut terpaksa menangguhkan pula program itu selama 18 bulan. Sekali lagi kedaifan kemampuan ICT dan EW ATM telah membuatkan ia tidak dapat mencari jalan alternatif dan sistem P4 mereka yang merupakan nadi kepada pertahanan negara sekiranya timbul sesuatu konflik berada dalam genggaman kontraktor asing. ATM tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan ia sendiri tidak berkemampuan dan kesemua teknologi serta pengalaman yang diperlukan berada pada firma asing tersebut.

Pengalaman ini memberikan kesan yang pahit pada ATM memandangkan bagi perubahan maklumat atau rombakan pada sistem yang telah diprogramkan, firma kontraktor asing akan terpaksa dipanggil bagi melakukan perubahan tersebut. Pada Jun 1996, sebuah firma tempatan diberikan kebenaran untuk terlibat secara minima dalam program P4 tersebut. Melihat kepada kemampuan prestasi firma tempatan ini, pada Februari 1997, mereka telah diberikan hak untuk melakukan senggaraan dan gantian perkakasan serta mengubah dan mencipta semula sisfem perisian P4 tersebut agar ianya lebih mudah untuk dioperasikan oleh pihak atau anggota ATM. Dengan perubahan dari segi bukan sahaja sistem perkakasan tetapi juga perisian, kerja-kerja senggaraan dan pertukaran data kini lebih mudah untuk dilakukan dan tidak lagi melibatkan firma atau pihak asing. Dari segi keselamatan maklumat atau kerahsiaan sistem pengoperasian pasukan keselamatan negara, menggunakan sistem dan firma tempatan dilihat sebagai lebih terjamin. Sistem ini siap sepenuhnya dan memulakan operasi pada tahun 2001 dengan keseluruhan sistem perisian dan komponen perkakasan yang digunakan dibuat atau dibeli oleh jurutera-jurutera tempatan sendiri. Kejayaan ini walaupun kadang-kala diperkecilkan oleh pihak-pihak yang masih berfikiran sempit mempunyai implikasi yang amat besar terhadap sumbangan pembangunan ICT dan keupayaam EW negara. Ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada sistem tersebut dianggap cukup baik dan berkesan. Malah pihak ATM menerusi KOMLEK telah mengupah firma IT persendirian terkemuka untuk cuba menggodam sistem tersebut, namun mereka gagal berbuat demikian. Sistem terbaru buatan tempatan ini telah berjaya mempertingkatkan lagi sistem penghantaran data dan video secara langsung, untuk membolehkan sidang video dilaksanakan antara pegawai-pegawai tertinggi menggunakan sistem komunikasi satelit.

Bagi pengoperasian unit-unit secara taktikal, ATM kini sedang giat membangukan sistem pengurusan medan tempur atau BMS (Battle Management Systems). Secara amnya sistem BMS akan dapat mempertingkatkan keupayaan sistem komunikasi dan jaringan yang sedia ada dengan menggunakan teknologi wayarles (wireless) sebagai alternatif kepada sistem waktu ini yang mengunakan talian tetap yang disewa. Sistem BMS tidak terhad kepada unit- unit tentera darat sahaja malahan tentera laut turut mempunyai sistem BMSnya yang tersendiri yang turut dibangunkan sebagai satu sistem percubaan oleh firma tempatan yang sama. Sebuah kapal LST, KD Inderapura dan salah sebuah kapal F2000 yang terbaru telah dipasangkan dengan sistem tersebut. Menurut beberapa sumber sistem tersebut telah terbukti mampu melaksanakan tugasnya dengan baik sewaktu latihan Pahlawan pada penghujung 2002. Bagi anggota TD, radio taktikal juga kini diberikan kemampuan baru dengan pengenalan sistem protokol internet dalam radio-radio unit yang beroperasi di garis hadapan. KOMLEK turut mensasarkan tiga projek utama untuk ATM iaitu :

  • Sistem pengurusan berasaskan data untuk semua cabang ATM serta secara bersepadu
  • Unit EW bagi membantu pasukan bersepadu ATM di peringkat markas utama
  • Pusat latihan EW yang dicadang akan ditubuhkan menjelang pertengahan 2004

Walau apa perancangan yang telah ditetapkan oleh pihak KOMLEK, intipati kepada apa jua program yang telah dan akan dirancang bergantung kepada sejauh manakah kemahuan kita dan pada tahap apakah kita meletakkan program ini dalam senarai kepentingan pertahanan negara. Jika kita benar-benar serius dalam perkara ini ATM mestilah menunjukkan ia turut mempunyai komitmen untuk melaksanakannya secara berterusan dan tidak hanya melepaskan batuk di tangga. Ini bermakna anggota-anggota yang terlibat mestilah diberikan pendedahan yang meluas, dihantar ke seminar-seminar serta pameran EW dan ICT, melanjutkan pelajaran ke institusi yang diperakui mempunyai program ICT atau EW yang mantap dan mengadakan sesi perbincangan atau ‘brain storming’ dengan pihak-pihak seperti NISER dan MAMPU untuk memastikan bahawa idea dan cadangan mengenai peningkatan ilmu ICT dan EW dalam ATM sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Kebimbangan kita ialah minat ATM dan penggubal dasar di Kementerian Pertahanan terhadap bidang ini lebih merupakan sesuatu yang bermusim dan bukan dari kepercayaan sebenar bahawa kita perlukan kekuatan dan kelebihan berbanding negara-negara jiran yang lain. Contohnya pada seminar ‘Electronic Warfare & Information Operations’ (EW & IO) yang di adakan di Adelaide, Australia pada pertengahan bulan Februari yang 2004, tiada seorangpun wakil dari ATM menghadirinya. Seminar yang berlangsung selama tiga hari itu antara lain dihadiri oleh pakar-pakar EW dan IO dari seluruh pelusuk dunia bagi membincangkan kepentingan, pengalaman, masalah dan masa hadapan operasi yang melibatkan EW dan IO. Negara jiran di selatan umpamanya menghantar sehingga empat wakil ke persidangan tersebut.

Pameran DSA-Antara peningkatan kuasa sebenar & lubuk komisyen


Seperti juga pameran-pameran pertahanan lain, DSA adalah antara pameran pertahanan pelbagai cabang ketenteraan yang dianggap terulung di rantau Asia Tenggara dan kedua terbesar di dunia. Bagi ATM sepanjang berlangsungnya pameran tersebut, ia memberikan pelbagai pihak, dan pegawai-pegawai tertinggi, pegawai kanan, anggota biasa hinggalah wakil perbendaharaan dari Kementerian Pertahanan melihat pelbagai jenis sistem persenjataan dan peralatan sokongan yang berkaitan dengan operasi ketenteraan. Ini termasuklah dari sekecil pisau lipat kepada raifal, meriam, kereta kebal sehinggalah kapal pengangkut. Bagi pegawai-pegawai yang berkenaan, masa terhad yang diluangkan di lantai pameran dan perbincangan tertutup dengan wakil-wakil industri dari dalam dan luar negara akan merupakan agenda utama. Ini disusuli pula dengan permainan golf dan jamuan makan malam yang seakan tiada kesudahannya. Kita mempunyai harapan tinggi bahawa segala keputusan, walaupun pada peringkat perbincangan mengenai sesuatu sistem yang dianggap boleh diguna pakai oleh ATM atau yang diperlukan mestilah mengikut prosedur yang betul dan menepati ciri-ciri yang diperlukan oleh doktrin atau keperluan operasi yang telah ditetapkan sebelum ini. Sepanjang sejarah perolehan yang dilakukan oleh pihak ketiga-tiga cabang angkatan tentera, sememangnya kita tidak dapat melarikan diri dari kenyataan bahawa terdapat pembelian-pembelian yang dianggap kurang bijak. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuding jari dan menuduh bahawa terdapat unsur-unsur tidak sihat yang mempengaruhi pembelian atau perolehan tersebut. Apa yang penting ialah kita mestilah peka dan sedar bahawa setiap pembelian dan perolehan lazimnya akan menelan belanja yang bukan sedikit. Rakyat dari seorang penoreh getah, nelayan, jurutera, pegawai kerajaan dan ahli korporat mempunyai hak untuk bersuara dan bertanya mengenai ke arah manakah wang yang telah diamanahkan kepada pihak tertentu bagi tujuan perbelanjaan pertahanan. Apakah aset yang dibeli mampu memberikan anggota-anggota yang mengendalikannya keupayaan tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara ini atau lebih banyak menghabiskan masa di woksyop untuk dibaik pulih.

Dalam dunia globalisasi hari ini penyebaran maklumat adalah sesuatu yang lumrah dan ini memberikan kelebihan kepada pegawai-pegawai perolehan dari uji nilai untuk mencari pelbagai dokumen dan maklumat yang diperlukan terhadap sesuatu aset. Apa yang diperlukan adalah inisiatif sendiri mencari yang terbaik dan meletakkan kepentingan negara dari apa jua kepentingan peribadi atau kewangan yang boleh dicapai melalui sesuatu perolehan. Ketelusan dalam melakukan penilaian terhadap sesuatu sistem juga mestilah jelas dan nyata tanpa sebarang tekanan baik dari elemen dalaman mahupun luaran yang mungkin mempunyai motif atau niat serong. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pihak penasihat perdagangan Amerika Syarikat beberapa tahun yang lalu kepada firma-firma negara tersebut yang ingin melabur atau menjalankan aktiviti komersial yang berasaskan aset pertahanan atau persenjataan, mereka tidak harus terkejut sekiranya pihak orang tengah atau ejen antara mereka dan Kementerian Pertahanan meminta 30% dari nilai aset bagi tujuan komisyen. Bayangkan berapakah jumlah yang diperolehi dalam pembelian sistem persenjataan yang bernilai beratus-ratus juta RM hanya untuk bertindak sebagai ejen. Pun begitu kita harus akur bahawa tidak ada firma korporat atau ejen yang mahu rugi dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi, tetapi nisbah keuntungan haruslah berpada dengan jenis sistem yang ditawarkan dan apakah khidmat selepas jualan dapat dibekalkan secara sistematik, atau ATM sendiri terpaksa meraba-raba mencari siapakah OEM yang sebenar untuk mendapatkan alat ganti sedangkan ejen bersifat lepas tangan sebaik sahaja kontrak ditandatangani dan cek habuan komisyen diterima. Dengan kepimpinan negara baru sahaja diberikan mandat baru oleh rakyat dan berbilang bangsa serta latarbelakang, dari pemandu teksi kepada pekebun sayur, dari arkitek kepada penyapu sampah, dari pensyarah kepada seorang remaja, kerajaan Malaysia dengan slogan negara ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ perlu membuktikan bahawa unsur ketelusan dan bersih dari rasuah yang dilaungkan oleh Perdana Menteri bukan setakat menanam tebu di bibir mulut sahaja. Rakyat telah membuat keputusan berada di belakang slogan yang telah dilaungkan, kini tiba masanya bagi mereka yang telah diamanahkan memikul tanggungjawab tersebut untuk meneruskan kesinambungan membangunkan ATM sebagai sebuah pasukan yang kredibel mampu menghadapi apa jua ancaman yang bakal di hadapi dari dalam dan luar negara.

Isnin, 3 Mac 2008

Polis Ronda Jalan Kaki

Saya tertarik dengan satu cadangan pihak tertentu yang prihatin dengan masalah jenayah dan gejala social yang semakin berleluasa sekarang ini, untuk menjadikan anggota Polis di negara kita seperti mana yang terdapat di England. Di sana anggota polis menjalankan tugas rondaan dengan berjalan kaki. Di negara kita rasanya ada anggota sedemikian tetapi ia bukanlah anggota polis peronda sebaliknya merupakan anggota polis pelancong dengan topi yang bergaris petak-petak.

Menurut penjelasan pihak berkenaan, polis peronda berjalan kaki banyak kebaikannya. Ia bukan saja merapatkan hubungan dengan masyarakat malah membolehkan tugas rondaan dijalankan dengan lebih efisyen lagi. Ini kerana ketika meronda, anggota polis berkenaan boleh mengenalpasti sesuatu pergerakan atau aktiviti yang mencurigakan dengan lebih dekat. Berbanding dengan meronda menggunakan kenderaan tentunya sesuatu pergerakan atau aktiviti yang mencurigakan sukar dikesan lantaran duduk memerhatikan saja di dalam kenderaan yang sedang bergerak dan sukar untuk memerhati gerakan yang mencurigakan.

Pada pandangan saya, polis peronda berkenderaan masih lagi diperlukan tapi tidak perlu digunakan sepenuh masa. Sebaliknya digunakan dalam keadaan yang bersiap sedia saja sekiranya terdapat panggilan atau laporan dari anggota peronda pejalan kaki yang memerlukan bantuan anggota polis kereta peronda. Dalam keadaan penjenayah yang tidak sedar akan kehadiran anggota polis peronda berjalan kaki, anggota polis berkenaan boleh mengintip pergerakkan mereka sambil menghubungi polis peronda berkereta untuk bersiap-sedia sekiranya penjenayah berkenaan cuba melarikan diri dengan kenderaan.

Anggota preman atau polis yang tak berpakaian seragam berbeza dengan anggota polis peronda berjalan kaki. Anggota preman digunakan sebagai penyiasat atau penyamar bagi mendapatkan maklumat dan membuat serbuan mengejut. Anggota polis peronda berjalan kaki akan meronda sepanjang masa di dalam kawasan rondaannya mengikut jadual giliran bertugas. Pastinya apabila terdapat anggota polis yang berjalan meronda dapat memastikan kawalan keselamatan terjamin kerana ianya lebih berkesan untuk memantau sesuatu kawasan dengan lebih terperinci.

Sudah tentu apabila meronda secara berjalan kaki akan mendedahkan diri anggota polis berkenaan kepada tindak balas penjenayah atau diintai oleh penjenayah. Apatah lagi sekiranya penjenayah terbabit menggunakan senjata api. Sebagai pasukan yang professional pastinya mereka boleh membuat andaian apakah ancaman yang bakal dihadapi oleh anggota berkenaan semasa bertugas secara terbuka. Maka, disinilah pentingnya penggunaan teknologi seperti baju kalis peluru dan senjata khas yang lebih spesifik untuk pertempuran dalam bandar besar yang sibuk. Bukan setakat penggunaan teknologi saja malah strategi dan taktik pertempuran dengan penjenayah di dalam bandar perlu ada pada seorang anggota polis berjalan kaki. Disamping hubungan baik dengan masyarakat setempat di dalam kawasan kawalannya, sudah tentu akan memudahkan anggota polis mendapat maklumat.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, terdapat satu usaha untuk memantapkan lagi tugas rondaan di dalam bandar besar menggunakan teknologi pesawat mikro GPS tanpa pemandu yang boleh dikawal dari pusat kawalan jarak jauh. Pada dasarnya teknologi itu digunakan untuk pihak tentera namun ia juga diaplikasikan untuk kegunaan polis bandaraya dan kota metropolitan. Teknologi berkenaan boleh membuat rondaan tanpa khuatir ia akan terhempas terlanggar dinding bangunan kerana ia sememangnya dicipta dapat mengesan halangan dan melihat sekeliling menggunakan kamera resolusi tinggi.

Mungkin negara kita belum lagi mampu berbuat demikian lantaran kosnya yang terlalu mahal dan pengetahun teknologi berkenaan belum sampai pada kita. Namun, apa yang boleh dipraktikkan adalah dengan membuat rondaan secara berjalan kaki dan dilindungi dengan perkakasan yang sesuai ketika menjalankan tugas. Supaya dengan itu anggota polis berkenaan mempunyai perlindungan yang mencukupi dengan system persenjataan yang lebih praktikal dalam keadaan yang tak terduga.

Zaman sekarang merupakan zaman maklumat, maka itu seseorang anggota peronda pejalan kaki merupakan pencari maklumat dan pemantau keselamatan setempat. Dengan bantuan teknologi maklumat yang sesuai dapat membantunya melaksanakan tugas menjejak dan menyampaikan maklumat penting dengan segera ke pusat kawalan untuk tindakan lanjut. Bermakna anggota polis berjalan kaki adalah barisan hadapan rakyat dalam menghadapi ancaman jenayah di tempat awam. Kalau dalam tentera ia dikenali sebagai langkah menjejak musuh sebelum musuh itu menyerang.

Tapi, sejauh manakah keberkesanan peranan polis dalam negara kita sekarang ini, saya sendiri belum pernah melihat polis berpakaian seragam membuat rondaan dengan berjalan kaki secara berkumpulan di tempat-tempat awam. Yang sering saya nampak hanyalah kereta polis meronda ke hulu ke hilir berulang-ulang, disamping polis traffic membuat rondaan untuk mencari pesalah dikalangan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal.

Mungkin saya tidak sedar ada kalangan polis yang menyamar sebagai orang awam mencari maklumat dan penjenayah yang dikehendaki. Walau bagaimanapun, cadangan untuk mewujudkan polis peronda berjalan kaki merupakan satu usaha yang lebih praktikal untuk merapatkan hubungan antara rakyat dan penduduk setempat dengan anggota polis. Dimana polis dapat menjaga keselamatan awam dengan lebih terkawal dan masyarakat setempat pula dapat memberi maklumat secara bersemuka di tepi jalan saja sekiranya terserempak dengan aktiviti yang mencurigakan. Jadi, tidak perlu lagi ke pondok-pondok polis berdekatan untuk membuat laporan kerana dengan adanya polis yang meronda berjalan kaki maka sesiapa saja boleh berjumpa dengan anggota polis tersebut untuk membuat laporan.

Bukan sekadar itu saja, polis yang berjalan kaki tentunya akan menemui lubuk-lubuk jenayah dan lokasi-lokasi masalah social seperti tempat penagih dadah, penghidu gam, pengedar pil, tempat tumpuan pelajar ponteng dan melepak. Bahkan polis berjalan kaki juga boleh memasuki premis-premis seperti pusat hiburan, siber kafe, pusat membeli belah, lorong-lorong terpencil dan dimana-mana saja lokasi tertutup di dalam bandar. Semua itu adalah untuk memastikan tiada anasir-anasir jahat yang boleh mengancam ketenteraman awam dan mengganggu keharmonian penduduk setempat.

Walau bagaimanapun, sejauh mana cadangan ini dapat dilaksanakan? Perlu ada usaha untuk mendapatkan maklumat dan belajar dari pengalaman polis bandaraya England yang membuat rondaan secara berjalan kaki. Mungkin penjenayah sekarang melihat ruang untuk mereka melakukan jenayah ada dan tiada kawalan terperinci serta pemantauan 24 jam oleh polis yang hanya meronda di tempat-tempat terbuka dan melalui jalan raya utama saja. Janganlah hanya menjaga secara teliti dari ancaman pendemonstrasi jalanan sahaja, sebaliknya jagalah keselamatan rakyat secara teliti dengan turun padang dan berjalan sama seperti orang awam di tempat awam.

Rabu, 6 Februari 2008

Land Warrior























Land Warrior atau dalam bahasa Melayunya ialah Wira Darat. Kali ini saya nak menceritakan tentang kisah sejarah kepahlawanan individu pula. Zaman dulu seorang pahlawan yang hebat perlu memiliki kemahiran yang hebat dalam bermain senjata dan melemahkan gerakan lawannya, begitu juga pada zaman kini seorang perwira perlu mempunyai kemahiran yang hebat juga dari segi taktikal dan kelengkapan senjatanya. Saya bukanlah hendak menceritakan tentang persenjataan yang dipakai seperti jet pejuang ataupun kereta kebal. Itu semua adalah peralatan sokongan untuk peperangan yang besar. Tetapi apa yang hendak saya ceritakan ialah tentang kemahiran individu dan persediaan kelengkapan yang perlu dimilikinya untuk menjadi seorang wira darat yang hebat.

Di zaman kesultanan Melayu Melaka, Hang Tuah merupakan seorang wira laksamana yang hebat dengan kemahiran bersilatnya. Silat yang dipelajari bukanlah mudah diperoleh begitu saja, menurut hikayatnya Hang Tuah lima bersaudara telah pergi bertapa berguru dengan seorang guru silat yang handal. Daripada lima orang bersaudara itu, Hang Tuah lah yang paling menonjol kemahirannya dan bijak dalam mengatur rentak dan langkah silat semasa menghadapi lawan. Sehinggakan langkah lawannya boleh dipatahkan lalu ditewaskannya dengan mudah. Ini terbukti apabila hikayat dahulu kala menceritakan Hang Tuah berjaya menewaskan seorang pahlawan yang mengamuk membunuh orang kampong di kota Melaka.

Menurut ceritanya pahlawan itu sukar untuk ditewaskan kerana memiliki sebilah keris sakti yang menjadikan dia kebal. Tetapi dengan kemahiran Hang Tuah, pahlawan itu dapat ditewaskan dan keris saktinya dihadiahkan kepada Hang Tuah. Keris itu kemudiannya dinamakan Taming Sari bersempena dengan nama pahlawan yang mengamuk itu. Dengan kemahiran silatnya dan kebijaksanaan mengatur langkah serta keris Taming Sari yang dimiliki Hang Tuah menjadikan dia seorang perwira yang hebat. Jadi, Hang Tuah tidak saja mahir dan bijak bersilat semata-mata tetapi juga mempunyai senjata keris yang terbaik pembuatannya dan mungkin juga telah dijampi serapah supaya mempunyai sakti.

Itu hikayat sejarah Hang Tuah, kita imbas kembali pula kisah sejarah kepahlawanan perwira Islam Syaidina Ali Radiallahu Anhu (RA). Menurut hadis-hadis Rasulullah, Syaidina Ali merupakan seorang perwira yang berilmu pengetahuan tinggi bukan saja dari segi pengetahuan agama malahan juga pengetahuan ilmu yang lain. Sehinggakan beliau digelar sebagai Harimau Allah kerana ilmu dan kepahlawanannya yang hebat dalam menghadapi musuh Islam. Dengan pengetahuannya yang tinggi beliau dapat memantapkan kemahirannya bermain pedang dan menunggang kuda. Sehinggakan gerak langkahnya melibas pedang dapat menandingi pahlawan musuh yang bengis dan ganas serta ketangkasannya menunggang kuda dapat mengelirukan pergerakan musuh yang berkuda.

Sehingga kini kita masih boleh melihat tinggalan sejarah berupa pedang yang digunakan oleh Syaidina Ali dahulu di muzium Islam (tapi bukan original). Dengan kehebatan ilmu pengetahuan dan kemahiran berlawan Syaidina Ali, maka beliau dipilih menjadi pahlawan pertama yang menentang musuh secara satu lawan satu ketika perang Badar, perang yang menentukan jatuh bangunnya perjuangan Islam di masa akan datang. Dengan keperwiraan Syaidina Ali, beliau berjaya menumpaskan panglima terbaik musuh Islam dalam perlawanan satu lawan satu itu. Perwira Islam kemudian muncul satu demi satu, mereka muncul bersama ilmu pengetahuan, kebijaksanaan, kemahiran dan ketangkasan serta memiliki senjata pedang dan kuda yang berkualiti terbaik. Agar dengan memiliki semua itu perwira Islam tersebut dapat membangkitkan semangat pengikutnya untuk berjuang di jalan Allah memperjuangkan ajaran dan kebenaran Nya.

Itu semua hanyalah kisah-kisah sejarah kepahlawanan orang dulu-dulu yang pakai keris dan pedang untuk menewaskan musuhnya secara satu lawan satu atau satu lawan dengan beberapa orang. Siapa yang tangkas dan mahir sudah pasti akan menang dalam pertempurannya menewaskan sungguhpun musuh ramai. Zaman moden sekarang tiada lagi yang pakai senjata kuno seperti itu, sehebat mana sekali pun gerak langkah dan bunga silat yang ditunjukkan di depan lawan, musuh yang berdiri tegak di depannya hanya sekali petik saja pistol atau M16 digenggaman tangannya akan membunuh terus seorang perwira darat yang hebat itu atau berpuluh-puluh yang lain berada di depannya tanpa perlu berpeluh-peluh bersusah payah menunjuk langkah silat. Mungkin pada pandangan kita sebagai seorang individu yang bergelar askar perlu mempunyai kemahiran menggunakan senjata yang dimilikinya semata-mata. Bagi saya mahir saja tidak cukup, sesiapa saja boleh belajar dan menggunakan senjata api seperti pistol atau M16 atau AK47, seorang askar perlu juga memiliki peralatan yang lengkap dan canggih untuk bertempur.

Apatah lagi bertempur dengan menggunakan senjata api tidak memerlukan seorang askar itu berlawan mengatur langkah menumbangkan musuh dengan fizikal tubuh badannya. Apa yang diperlukan ialah kebijaksanaan mengatur strategi dan mempersiapkan diri dengan kelengkapan yang cukup. Kelengkapan yang cukup bermakna seseorang askar itu boleh memanipulasikan keadaan dan seterusnya menguasai medan peperangan dengan memilih peralatan yang sesuai untuk digunakan mengalahkan musuh secara mutlak. Semua ini memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi, membina dan mencipta senjata sebagai satu peralatan untuk seseorang askar juga memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dari segi penggunaan teknologi. Peperangan kombat hari ini tidak lagi dilakukan secara bersemuka, sebaliknya dilakukan secara sembunyi-sembunyi atau serang hendap atau tembak curi. Bagaimana seorang askar boleh menghadapi semua ini sekiranya dia sekadar mempunyai peralatan senjata asas dan ilmu mengesan musuh secara agak-agak saja tanpa dapat mengesan dengan tepat berdasarkan maklumat semasa yang diperolehi.

Mungkin anda kenal Kanang anak Langkau, seorang askar Renjer Sarawak yang pakar mengesan jejak komunis dalam era 70-an dan 80-an dulu. Dia mempunyai ilmu pengetahuan bagaimana untuk mengesan musuh berdasarkan jejak tetapi bila bertempur dengan komunis, namun dia akan sama juga seperti komunis itu iaitu saling berbalas tembakan antara satu sama lain bersembunyi disebalik pokok dan meniarap di dalam semak. Disebabkan askar kerajaan memiliki kelebihan anggota yang terlatih dan senjata M16 yang lebih baik dari apa yang dimiliki komunis, maka askar kerajaan boleh menang. Itu saja kelebihan askar kita dulu.

Namun, zaman sudah berubah maka askar kita pun berubah, sistem persenjataan dipertingkatkan dan ilmu taktikal peperangan diperbaiki. Musuh kita bukan lagi komunis di dalam hutan tebal Malaysia tetapi musuh kita ada di sempadan negara, di ruang udara, di permukaan laut dan di dasar laut. Kita tak katakan yang askar Thailand, Singapura, Filipina dan Indonesia itu sebagai musuh kita tetapi masing-masing berpotensi menjadi musuh jika mereka merasakan perlu untuk menyerang negara kita. Bakal musuh tidak saja datang dari sempadan negara tetapi juga boleh datang dari beribu-ribu batu jauhnya datang ke Malaysia semata-mata nak merebut dan menguasai kekayaan yang ada di dalam negara kita.


Bagi negara yang lebih maju, untuk menghadapi pasukan musuh secara senyap, unit komando ditubuhkan agar askar terpilih memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi bagaimana untuk mengesan posisi musuh dan memusnahkan asset strategic musuh di barisan hadapan tanpa perlu mendedahkan diri secara menonjol. Namun askar komando ini masih lagi terdedah kepada bahaya dan untuk memastikan keselamatannya seseorang komando itu perlu bijak mengawal keadaan di sekelilingnya secara main agak-agak saja tanpa mempunyai maklumat yang cukup. Maklumat yang dia perolehi cuma berdasarkan taklimat yang diberikan oleh komandernya sebelum dia melaksanakan misinya memasuki barisan hadapan musuh. Untuk berhubung dengan pusat kawalan bagi menghantar ataupun mendapatkan maklumat sokongan, perlu menggunakan komunikasi radio.

Namun, dengan ilmu yang semakin tinggi hari ini maka teknologi yang semakin canggih dicipta untuk kegunaan seorang askar di medan perang bagi menghadapi peperangan yang semakin senyap dan tersembunyi menggunakan sistem teknologi informasi C41 (pengarahan, pengawalan, perhubungan, perkomputeran dan perisikan). Zaman kini untuk berperang hendaklah bijaksana dan mestilah penuh rahsia. Bukan seperti zaman Rom atau Yunani yang bertempur secara berdepan dengan jumlah askar beratus ribu hingga berjuta orang. Bukan lagi seperti zaman kesultanan Melayu bersilat antara satu sama lain dan membaling tombak serta menghunus keris dan parang kontot. Bukan juga seperti zaman perang dunia pertama dan kedua, askar berdepan saling berbalas tembakan bila terserempak.

Zaman sekarang ialah zaman askar menjejak, mencari dan memusnah. Bila terjumpa saja jejak musuh tidak akan terus menyerang kerana misinya bukan untuk memusnah secara mutlak sebaliknya mengumpul maklumat tentang kekuatan musuh, kedudukan musuh dan persenjataan musuh. Maklumat-maklumat ini akan dihantar terus secara masa sebenar (real-time) ke pusat kawalan untuk dianalisa oleh kamander seterusnya merangka bagaimana untuk menyerang dan menawan musuh. Bermakna askar komando yang berada di dalam kawasan barisan hadapan musuh menjadi perisik, mata dan telinga untuk mengetahui keadaan sebenar musuh pada waktu semasa.

Maka itulah, langkah seterusnya mungkin komander memerintahkan pasukan tentera udara dikerah ke kawasan musuh itu ataupun jika mempunyai pesawat yang lebih canggih lagi menghantar pesawat halimunan B-2 atau B52 atau F22 Raptor untuk memusnah kedudukan pasukan musuh dengan tepat pada masanya tanpa perlu mendedahkan diri pesawat jet di ruang angkasa musuh, takut nanti musuh bertindak balas menggunakan peluru berpandu atau menghantar pesawat pemintas. Maka lebih baik menghantar pesawat halimunan ataupun UCAV untuk melancarkan hellfire ke kedudukan peluru berpandu itu atau lokasi utama musuh yang telah dijejak oleh askar komandonya di darat.

Jika pasukan hadapan musuh sudah lemah dan tidak dapat menangkis secara agresif maka dapatlah pasukan askar darat yang lebih besar dihantar yang terdiri daripada kereta kebal mahupun pasukan infantry. Jika maklumat dari askar komando memberitahu bahawa kawasan musuh bertanah paya dan berhutan tebal maka kereta kebal dan senjata berat yang lain serta pasukan infantry akan dihantar menggunakan helicopter berat seperti Chinook atau yang terbaru sekarang ini V-22 iaitu pesawat separuh helicopter dan separuh pesawat terbang yang lebih cekap dan pantas sekali menghantar senjata berat di dalam kawasan musuh dengan mudah.


Kesemua kecanggihan peralatan perang dan kemampuan seorang askar komando seperti yang dinyatakan tadi mungkin tidak dimiliki oleh askar kita, tetapi ia adalah gambaran sebenar bagi seorang askar Amerika dan keseluruhan pasukan darat, udara dan laut Amerika Syarikat. Mengapa mereka memiliki kecanggihan itu? Kerana mereka memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi seperti ilmu computer dan pengaturcaraan sistem dan mempunyai kemahiran untuk mencipta dan membina peralatan senjata askar mereka dengan baik setelah diuji prototaipnya dan direka bentuk semula dari satu versi lama ke satu versi baru untuk memperbaiki kelemahan yang wujud selepas digunakan di medan perang.

Mereka juga bijak menggunakan senjata dan menggunakannya mengikut situasi tertentu sahaja. Kerana mereka tahu teknologi persenjataan yang mereka miliki terlalu mahal harganya maka mereka tidak menggunakan sepanjang masa tetapi akan menggunakannya mengikut strategi dan taktikal yang perlu untuk menggunakannya. Itulah hasil dari ilmu pengetahuan, apabila ilmu itu dapat membentuk kemahiran dan kepakaran, kemudian melahirkan kebijaksanaan untuk mempergunakannya dengan sebaik-baiknya. Adakah ahli strategis dan komander askar kita memikirkan semua itu, mungkin ada memikirkannya tetapi tidak mampu mencapainya kerana kurangnya ilmu pengetahuan, kurangnya kepakaran, kurangnya kemahiran dan juga kekurangan modal. Kerana kekurangan itulah pasukan tentera kita hanya bergantung harap kepada kecanggihan teknologi senjata negara luar dengan membelinya kerana negara kita tidak berupaya mencipta dan membinanya sendiri lantaran tiada bijak pandai yang boleh membangunkannya untuk negara. Kalau ada pun bijak pandai, mereka telah berhijrah ke luar negara kerana peluang mereka di sana lebih baik dan diberi layanan yang istimewa lantaran ilmu dan kemahiran mereka dihargai oleh pihak lain.

Berbicara tentang Land Warrior pula, ia merupakan askar masa depan Amerika Syarikat yang mempunyai sistem tempur lengkap. Ia mempunyai beberapa sub-sistem; iaitu sub-sistem helmet bersepadu yang lebih ringan dan dipasang dengan sistem teropong satu lensa bagi kegunaan di siang hari, penderia penglihatan malam dengan paparan nipis, alat pengesan pancaran laser, cermin pelindung mata, mikrofon dan fon telinga, mempunyai skrin kecil paparan berwarna dengan ciri-ciri audio dan video, sungguhpun kecil apabila dilihat pada sebelah mata seperti melihat pada skrin 17 inci. Uniform yang mempunyai tahap perlindungan tinggi dengan ves kalis peluru yang lebih ringan dan mempunyai reka bentuk unik dengan kerangka yang berisi ruang 4cm bagi membolehkan pemakainya rasa dingin dan tidak panas, fakta keselamatan maklumat dipertingkat dengan kemudahan memadam segala maklumat dengan menekan satu butang khas saja, maklumat kritikal juga boleh dipadamkan sekiranya perlu.

Computer berasaskan cip Pentium III 500MHz dengan kemampuan penstoran 800Mb yang berfungsi menggunakan Windows 2000. sub-sistem radio pula menggunakan pemproses intel SA1100 dan berfungsi menggunakan Windows CE. Sub-sistem persenjataan pula menggunakan M16/M-4 karbin yang bersifat modular. Senjata ini dipasangkan dengan pengukur jarak laser, kompas digital, video kamera, penunjuk sasaran laser dan pengimbas haba. Selain itu, sistem-sistem lain seperti ransom boleh diambil oleh seorang askar komando dalam masa 72 jam walaupun ketika dia sedang berjalan atau sedang bertempur. Terdapat juga sistem pelekat plaster khas mengandungi vitamin dan zat, askar tersebut hanya perlu menampalkannya pada lengan dan bahan vitamin dan zat itu akan diserap menerusi kulit menggunakan sistem yang dipanggil TNDS (transdermal nutrient delivery sistem).

Selain itu juga pelekat tersebut juga boleh berbentuk bahan ubatan dan farmaseutikal yang boleh digunakan oleh askar akibat tercedera atau terdedah kepada cuaca yang melampau. Nah…lihatlah betapa tingginya ilmu orang Amerika sehingga mereka mahir menggunakannya untuk kebaikan askar mereka. Mereka boleh mengetahui kedudukan musuh walau di tempat yang tersembunyi sekalipun dengan teknologi GPS serta penguat gelombang bunyi sekitarnya untuk mengesan kedudukan musuh. Bahkan dengan memiliki pelancar grened pelbagai guna yang boleh dilancarkan 5 grened secara berterusan bukan saja boleh melancarkan grened yang memusnah, tetapi juga grened khas yang akan memancarkan cahaya di ruang udara tempur pada waktu malam serta melancarkan grened yang mempunyai kamera ke udara dan jatuh menggunakan payung terjun untuk melihat seluruh kawasan tempur.

Kelebihan ini mengakibatkan musuh tidak lagi dapat bersembunyi. Itu baru saja diperlihatkan dengan Land Warior, belum lagi Air Warior ataupun Sea Warrior yang boleh anda lihat sendiri di kaca TV atau rencana-rencana astro. Melihat kepada kecanggihan sistem Land Warrior ini sudah pasti ia cukup mahal sekali dan ia tak mungkin digunapakai oleh semua askar darat Amerika, hanya komando khas yang terlatik dan terbaik saja yang akan menggunakannya untuk misi-misi tertentu saja dan bukan untuk semua medan peparangan. Sudah pastinya juga sistem pada Land Warrior ini akan diperbaiki dan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa mengikut perkembangan teknologi maklumat mereka yang terkini apatah lagi mereka mempunyai ramai golongan bijak pandai dalam bidang itu.

Mengapakah orang Amerika boleh maju ke tahap itu? Kerana mereka belajar sejarah, mereka mengambil iktibar dan pengajaran dari sejarah lalu untuk mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka agar memiliki kemahiran, kepakaran serta keupayaan untuk memperbaiki sebarang kelemahan, mencipta sesuatu yang boleh memperteguhkan kekuatan mereka dan membina sesuatu yang lebih hebat lagi dari apa yang ada pada musuh dan saingan mereka. Dahulu mereka bangsa yang lemah pernah dijajah British tetapi mereka tak mahu mengaku. Dahulu mereka begitu mudah sekali ditewaskan dan diserang musuh seperti Jepun di Pearl Harbour dan Al-Qaeda di Washington.Kerana itu saya tekankan bahawa sejarah ini sangat penting dan sejarah inilah yang akan menentukan jatuh bangunnya sesuatu cabang ilmu yang lain.

Sejarah adalah kisah silam yang banyak kekurangan dan kelemahannya, maka kita pelajarilah sesuatu yang baru untuk memperbaiki dan memperkukuhkan kekuatan kita. Bukan setakat hanya belajar sejarah semata-mata tetapi belajarlah ilmu sains dan teknologi yang lain, ilmu strategic dan taktikal, ilmu agama untuk mengukuhkan semangat dan keyakinan kita terhadap apa yang mesti kita perjuangkan dan banyak lagi ilmu lain yang perlu kita kuasai. Tapi kena ingat, jangan bila sudah mempunyai ilmu yang tinggi dan kekuatan yang tidak mudah dicabar, menjadi sombong dan bongkak macam Bush, sewenang-wenangnya membuli dan menyerang negara lain.

Kita juga kena belajar sejarah bahawa bangsa yang sombong dan bongkak ini walau hebat mana sekalipun akhirnya akan runtuh dengan sendirinya dan warisan ilmu pengetahuan serta kemampuan teknologi mereka akan jatuh ke tangan pihak lain yang lebih berhak memegangnya. Sejarah Firaun, Rom, Turki Uthmaniah, Soviet Union, semuanya jatuh dan runtuh kekuatannya kerana sombong, bongkak dan lupa diri mengakui diri mereka saja yang hebat dan menindas bangsa lain serta menganiaya rakyat sendiri. Bahkan sejarah Islam sendiri yang lupa, lalai dan suka bertelagah sesama sendiri dalam hal hukum hakam menyebabkan ilmu lain dipinggirkan, lalu umat Islam ketinggalan jauh ke belakang hari ini dan dengan mudah saja dibuli, diratah dan difitnah siang dan malam ke seluruh dunia menerusi media masa ‘in real time’. Nasib kita masih baik kerana ada stesen al-Jazeera sebagai sumber maklumat berita alternative bagi menyeimbangkan maklumat berat sebelah media barat.