Custom Search

Reviews Directory

Ahad, 3 Februari 2008

B'pelajaran tak b'pendidikan

“Ramai yang beranggapan bahawa kalau belajar Sains dan Matematik, boleh jadi kaya. Boleh buat duit. Orang sudah tidak pentingkan bidang Sejarah, bidang Geografi. Geografi sudah hampir tiada di sekolah sebab ía tidak mendatangkan keuntungan,” rungut Profesor Khoo Kay Kim dalam Buletin Utama.

“Saya tidak mampu berkata apa-apa kecuali mengangguk dan terus mengangguk.
Mengangguk setuju dan mengangguk kecewa”.

Hari ini Buletin Utama membangkitkan isu kegagalan sistem pendidikan kita berfungsi melahirkan modal insan, sebagaimana yang diharapkan oleh negara. Pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan. Apa maknanya itu? Biar pun saya sedikit kebingungan dengan penjelasan Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz tentang beza berpelajaran dan berpendidikan, tetapi mesejnya jelas. Kita mengukur kecemerlangan dari jumlah A yang terkumpul, hingga ada sekolah yang menyekat pelajar dan mengambil mata pelajaran tertentu di dalam peperiksaan SPM, demi untuk tidak menjejaskan rekod cemerlang sekolah.

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu. Sejauh mana isu ini diperbahaskan? Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR?

Sesungguhnya berita itu benar-benar menjadikan saya kecewa dan hamper putus harapan terhadap masa depan negara ini. Lebih-lebih lagi dengan komen simplistik semua pihak yang ditemui oleh pihak media. Sedangkan kes adik S. Subashini sepatutnya menggegarkan seluruh sistem pelajaran Malaysia, izinkan saya menggunakan perkataan rasmi ‘pelajaran’ biar pun jiwa ini lebih mencari nilai sebuah ‘pendidikan’.

“Modal insan bukan bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata. Kita sepatutnya berusaha memastikan adanya generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Itu tujuan terpenting bagi mana-mana sistem pendidikan bagi sebuah negara”, komen Profesor Khoo Kay Kim lagi.

“Dan saya terus kecewa dan berduka di depan televisyen”. Siapakah yang peduli kepada saranan beliau? Siapakah yang mahu bersungguh-sungguh berfikir tentang hal ini?

Harapan Dari Sebuah Pendidikan

Saya teringat kembali kepada ‘presentation’ saya semasa menjadi panelis bagi Seminar lbnu Khaldun II yang diadakan di Institut Integriti Malaysia. Saya memberikan penekanan kepada aspek pendidikan dalam menjawab soalan “Islam: A Blessing to Malaysians?”

“Biar pun saudara Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kelebihan yang dinikmati oleh orang Islam dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, sedangkan pembayar cukai Malaysia lain dirangkumkan dalam satu kategori dan diberikan pendidikan MORAL, saya tidak dapat melihat ia sebagai suatu kelebihan bagi umat Islam di Malaysia. Bahkan mungkin mata pelajaran itulah punca kepada masalah mengapa kita sulit untuk menjawab Islam: A Blessing To Malaysians?”, saya memulakan ucapan.

Sejauh manakah pendidikan Islam di Malaysia berjaya melahirkan Muslim yang boleh menjustifikasikan Islam sebagai rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia (boleh juga dibaca sebagai Wa maa arsalnaaka illaa rahmatan lii ‘aalameen)? Saya lontarkan isu ini kerana saya tidak melihat kecenderungan masyarakat kita untuk meletakkan pendidikan sebagai suatu keutamaan dalam menggarap masalah-masalah yang wujud di negara kita. Semuanya mahu diselesaikan dengan politik, ketika politik kita gersang dari integriti dan kejujuran. Masakan tidak, jika dulu parti politik banyak digerakkan oleh guru selaku pendidik, tetapi kini trend berubah kepada kemenangan politik bagi yang punya wang dan sokongan mereka yang punya wang. Itu sahaja sudah cukup untuk menjelaskan warna politik negara kita.

Apabila saya sebutkan pendidikan, saya maksudkan ia sebagai pendidikan formal dan tidak formal. Malah saya lebih menjurus kepada mengharapkan agar kita kembali kepada fungsi pendidikan tidak formal yang menjadi tanggungjawab setiap individu. Ibu bapa ada tanggungjawab pendidikan kepada anak-anak, imam dan paderi ada tanggungjawab mendidik pengikut masing-masing, dan seterusnya mereka yang mempunyai minda kritis mempunyai tanggungjawab untuk membawa pemikiran mereka kepada masyarakat melalui seminar, dialog, perbincangan yang merupakan sebahagian daripada rnaksud pendidikan. Tetapi kita tidak minat dengan semua itu.

Mempolitikkan Segalanya

Kita lebih cenderung untuk mensensasikan apa sahaja yang boleh menguntungkan surat khabar. Asalkan ada sahaja isu yang muncul, semuanya mahu ditangani dengan kuasa, dengan politik dan kemudian semuanya berakhir sebagai berita sensasi dan tidak ada apa-apa yang dapat diketengahkan sebagai bahan untuk rnendidik masyarakat. Ada buku yang pelik sedikit, haramkan! Ada sahaja wacana yang lain dan definisi rasmi, ban! Timbul isu penggunakan kalimah Allah dalam literasi Kristian, sekat, haramkan, saman.. segala-galanya disensasikan dan berakhir dengan sentimen yang tidak punya apa-apa nilai pendidikan.

Malah kadang-kadang kita begitu gelojoh mahukan hasil tanpa mahu melalui prosesnya. Saya meragui rasionalnya permintaan Luthfi Assyaukanie dan Jaringan Islam Liberal yang mahukan dialog dihentikan, sebaliknya terus sahaja kepada menghasilkan polisi kebebasan beragama kerana baginya, dialog itu membuang masa.

50-50 dalam Mengiya dan Menidakkannya

Dialog membuang masa, jika kita sensasikan apa sahaja yang ingin dibicarakan. Kita berdialog bukan untuk mendidik dan tanpa ketulusan motif. Kita pilih tajuk-tajuk yang mencetus emosi masyarakat dan kemudian kita memuncung bibir apabila dialog gagal menghasilkan apa-apa.

Dialog Polisi
Tetapi semasa Seminar lbn Khaldun II berlangsung, saya cuba meminjam pengalaman ketika mengendalikan dialog antara agama ketika saya bertugas sebagai ‘Minister of Religion’ di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara. Dialog itu bukan dialog teologi tetapi ia adalah dialog polisi. Kita bukan berhasrat mahu mengheret agama bertanding di medan dialog tentang siapa benar dan siapa batil, tetapi mengajak pandangan agama dikongsi bersama untuk mencari formula penyelesaian kepada isu Euthanasia. Memanfaatkan agama untuk menghasilkan polisi yang boleh disepakati bersama.

Tiada siapa yang membawa ‘superiority attitude’ dalam dialog berkenaan. Wakil Protestan dan Katholik memberikan pandangan berdasarkan kepercayaan masing-masing, dan saya memberikan pandangan berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Hasilnya kami dapat mengutip beberapa pandangan bernas dari kesemua wakil untuk diajukan kepada National Health Service (NHS) sebagai polisi kesihatan dalam kes Euthanasia.

Pengalaman Berharga

Pengalaman yang memberikan keyakinan kepada saya - bahawa seteruk mana sekali pun polemik politik, ekonomi dan sosial masyarakat, sinar harapan tetap ada di dalam pendidikan. Semua pihak harus kembali kepada tugas yang lahir bersama tujuan hidup kita... mendidik yang makruh dan menegah yang keji. Jalannya adalah pada mendidik masyarakat. Tetapi apabila pendidikan diinstitusikan secara membuta tuli, ramai yang melihat pendidikan sebagai tugas guru dan sekolah, manakala sekolah pula menuding jari bahawa ibu bapa adalah guru pertama buat anak-anak mereka. Segalanya berakhir dengan tiada siapa yang memberikan sepenuh hatinya kepada komitmen mendidik.
Semakin bertambah ilmu dan maklumat masyarakat, tindak tanduknya semakin dungu dan tidak masuk akal.

Serangan Socrates

Inilah yang menjadi kritikan Socrates terhadap golongan Sophists dan relativisme mereka dalam menangani pendidikan. Golongan Sophists ini hanya sibuk mengajar kemahiran atau skill kerja kepada anak-anak Athens tetapi mereka mengabaikan soal yang lebih penting.
“Apakah tujuan hidup mi?”
“Apakah nilai yang sepatutnya dipegang oleh seorang manusia dalam hidup ini?”
“Bagaimanakah seorang manusia itu boleh menyempurnakan karektor dan personalitinya?”
Persoalan sebegini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah melahirkan ‘pekerja’, melahirkan ‘ahli politik’ yang licik dan bijaksana.

Sedangkan Socrates berjuang bermati-matian untuk memberitahu masyarakat Athens bahawa matlamat pendidikan adalah untuk menyempurnakan watak seorang manusia, memulihkan akal agar terguna secara bijaksana dan melatih murid-murid agar berdialektik dan tidak kekok mengemukakan persoalan dalam mencari kefahaman.

Seruan Socrates Tidak Diendahkan
Akhirnya pada usia 70 tahun, Socrates telah dikenakan tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Athens, bahkan dianggap mengimani Tuhan lain yang bukan Tuhan rasmi masyarakat arus perdana ketika itu. Tidakkah itu sejarah yang berulang? Bahawa masyarakat kita juga menuju ke arah yang sama. Jika segala-galanya berorientasikan keuntungan semata-mata... tidak hairan ilmu agama menjadi beku tanpa makna, ilmu sains kemanusiaan terabai tanpa perhatian... kerana yang diutamakan hanyalah untuk melahirkan ‘pekerja dan ahli politik yang licik dan bijaksana... bukan pemikir, yang sering dituduh sebagai peracun minda masyarakat.

Saya Hidup Untuk Mendidik

Biarpun profesion saya bukan sebagai seorang guru, tetapi sebahagian maksud hidup saya adalah untuk membentuk dan mendidik manusia... biar pun terpaksa ‘meracun’ minda mereka.

Sabtu, 2 Februari 2008

Dunia tanpa sempadan

Dunia sekarang ini sudah tidak ada sempadan lagi dan boleh ditembusi oleh sesiapa saja kerana langit sudah terbuka untuk dicerobohi oleh sesiapa saja menerusi teknologi maklumat dan komunikasi digital. Dengan kemajuan teknologi ini, mana-mana negara boleh menakluk minda rakyat negara lain dan menghasut mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk mengikut kehendak mereka. Bahkan boleh menjadikan rakyat negara lain menjadi rakyat negara mereka secara tidak langsung dengan membudayakan bangsa lain dengan budaya mereka.

Kita lihat saja perkembangan yang berlaku pada hari ini apabila Amerika Syarikat cuba menakluk dunia dengan membudayakan rakyat seluruh dunia dengan budaya Amerika dan fahaman demokrasi ala-Amerika. Penaklukan dibuat menerusi televisyen dengan menyebarkan pengaruh budaya barat ala-Amerika menerusi filem-filem Hollywood, pertandingan miss world and universe, pertunjukan fesyen dan sebagainya yang boleh ditayangkan menerusi rangkaian televisyen satelit. Sungguhpun kewarganegaraan adalah negara sendiri tetapi budaya, gaya hidup, pertuturan, semangat dan jiwa tidak lagi bersifat tempatan, sebaliknya lebih kepada kebaratan dan Amerika. Tidur bola, makan bola itulah coca-cola.

Saya bukanlah anti kemajuan, apa yang dipersoalkan ialah setiap tahun kita menyambut hari kebangsaan tetapi jiwa kita tidak melambangkan kemerdekaan, kita tidak patriotic dan mempunyai sikap nasionalisme yang tulen dalam mempertahankan perkembangan dan kemajuan budaya bangsa sendiri. Sebaliknya lebih berbangga dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan walaupun ketika bercakap dalam kalangan rakyat sendiri. Lebih suka menonjol dengan fesyen barat dan menghasilkan filem ala-ala barat. Televisyen hari ini merupakan alat penyebar maklumat dan hiburan yang sangat meluas dan berkesan sekali kerana ia boleh dibuka dan disiarkan 24 jam sehari. Apabila pendedahan maklumat ‘ala-Amerikana’ disiarkan dalam setiap aspek kehidupan di televisyen maka ia juga akan dipraktikkan dalam reality kehidupan kita sehari-hari.

Di dalam televisyen budaya barat, di sekeliling kita hari-hari pun budaya barat jadi lama-lama kelak akan jadi barat semuanya. Tiada lagi budaya tempatan atau budaya bangsa kerana sedikit demi sedikit kian terhakis oleh budaya barat yang menyerap masuk dalam gaya kehidupan seharian rakyat. Lebih malang lagi apabila orang kita lebih teruk dari orang barat itu sendiri dalam aspek budaya kehidupan seharian seperti berpakaian dan aktiviti social. Jika pihak yang bertanggungjawab tidak bersungguh-sungguh untuk mempertahankan budaya bangsa sendiri sebaliknya mereka sendiri juga lebih cenderung kepada kebaratan maka tidak mustahil suatu masa kelak negara asing seperti Amerika hanya perlu memberi arahan kepada bonekanya dari kalangan rakyat tempatan untuk mengikut apa yang diperintahkan demi mencapai usaha penaklukan secara tidak langsung ke atas negara lain.

Segala kekayaan negara lain akan dihantar ke Amerika menerusi hubungan perdagangan dan ekonomi, negara lain yang berjiwa barat dan Amerika hanya bergantung kepada Amerika dalam kehidupan seharian mereka. Amerika boleh mencipta dan mengeluar pelbagai jenis barangan kemudian dijual kepada negara yang menerima pengaruhnya dan rakyat negara itu akan menggunakannya. Dari aspek ekonomi Amerika akan menerima lebih banyak keuntungan dengan mendapat lebih banyak kontrak pembangunan dan penjualan komoditi. Amerika juga akan mendapat banyak hartanah di negara lain menerusi pembinaan bangunan perniagaan milik mereka seperti KFC dan McDonald serta gedung-gedung perniagaan yang lain. Pemilik adalah mereka tetapi diuruskan oleh rakyat tempatan.

Inilah bentuk penjajahan baru negara asing ke atas negara yang merdeka dari aspek fizikal semata-mata tetapi fizikal negara mereka sedikit demi sedikit cuba diambil alih oleh penjajah baru ini secara tidak langsung melalui boneka mereka yang menjadi pekerja dan rakan kongsi mereka. Rakyat tempatan biasa pula hanya menjadi kuli dan rakyat kelas kedua atau ketiga di negara sendiri. Kemajuan itu biarlah tunduk dengan keperluan dan kehendak kita, jangan kita tunduk kepada bentuk kemajuan itu dengan menerima segalanya. Mana yang bermanfaat kita terima dan mana yang merosakkan kalau masih ada ruang untuk dimanfaatkan kita boleh perbaiki. Sementara yang langsung merosakkan kita singkirkan terus.

Tetapi adakah ini dapat dilakukan dalam keadaan jiwa kita yang tiada benteng keimanan dan memiliki akal yang kritikal. Kebijaksanaan itu penting tetapi kalau hanya bijaksana semata-mata tidak memadai kerana hari ini semakin ramai orang yang bijaksana melakukan perkara-perkara jenayah dan maksiat secara professional, disamping ada juga yang bijaksana melakukan hal-hal yang menunjukkan kebodohan diri sendiri. Kita memang tidak akan mencapai kesempurnaan yang diharapkan kerana pasti ada yang kekurangan dan kelemahan wujud terhadap apa yang kita lakukan. Sekiranya ia tidak disengajakan memang boleh kita terima alasannya tapi kalau ‘yang sudah terang pun lagi bersuluh’ itu bukan lagi lemah atau kurang, itu memang sengaja nak cari penyakit dan memburukkan lagi keadaan.

Selama ini negara kita memang ada mengusahakan kemajuan mengikut acuan sendiri tetapi disebabkan oleh adanya segelintir ‘virus’ dan ‘parasit’ yang menyerang akar dan tunasnya yang baru nak tumbuh maka pertumbuhannya menjadi terencat. Maju memang pun maju tetapi jika tiada ‘parasit’ itu sudah pasti negara kita boleh mencapai kemajuan dan matlamat dengan jayanya tanpa sebarang kos untuk menampung kerugian yang disengajakan dibuat oleh ‘parasit’ ini. Kalau negara Jepun dan Jerman boleh bangkit kembali dari kemusnahan perang dalam tempoh hanya 30 tahun saja, seharusnya kita sudah mencapai 50 tahun kemerdekaan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan industri berat, industri elektronik, pemantapan bahasa Melayu dan menjayakan penyusunan semula ekonomi dan social masyarakat kita yang berbilang kaum. Kita lihat Jepun berupaya menghasilkan pengaturcaraan computer dalam bahasa Jepun, begitu juga Jerman berjaya mempertingkatkan lagi teknologi kejuruteraan mereka. Itu hanya satu dua contoh saja, sebenarnya banyak lagi kemajuan bangsa-bangsa timur lain yang cuba mempertahankan budaya mereka agar tidak terhakis oleh budaya barat dan Amerika.

China sungguhpun akhir-akhir ini semakin galak dengan kemajuannya setelah dasar tutup pintu dilonggarkan dari aspek ekonomi, namun budaya asas masih lagi dipertahankan. Sebagaimana yang kita ketahui tentang revolusi kebudayaan China adalah untuk mengubah budaya silam yang menghalang kepada kemajuan bangsa mereka. Tidak bermakna semuanya perlu diubah, cuma yang diubah adalah kefahaman konservatif yang menghalang kepada pemikiran terbuka. Kemajuan dari luar diterima masuk tetapi ianya perlu dikawal agar tidak mengancam kedudukan budaya bangsa yang asal. Sungguhpun kita berpakaian kot ala-barat semasa bekerja, ada ketikanya hari kita memakai pakaian budaya kita.

Di negara kita, penggunaan batik setiap khamis adalah satu usaha yang menggalakkan penerapan budaya bangsa kita. Bahkan ada sesetengah pihak menggunakan baju Melayu setiap hari Jumaat di tempat kerja mereka. Sementara bagi kaum yang lain pula turut mencerminkan kebudayaan mereka menerusi pakaian yang dipakai semasa bekerja. Ini sesuatu perkembangan yang baik sekali untuk diperkembangkan lagi. Cuma satu perkara yang tidak begitu memuaskan dalam masyarakat kita iaitu penggunaan bahasa kebangsaan. Kita bercakap bercampur aduk, kalau hendak berbahasa Inggeris biarlah terus berbahasa Inggeris sepenuhnya, tak perlu separuh Inggeris separuh Melayu atau separuh mandarin atau separuh tamil atau separuh iban. Memang betul kalau nak mahir bahasa Inggeris mesti dipraktikkan hari-hari, mempraktikkannya melalui penulisan blog juga adalah satu usaha komunikasi dengan pembaca-pembaca blog dari seluruh dunia yang memahami bahasa Inggeris.

Kalau bukan kita sendiri yang nak hormat bahasa budaya bangsa kita, siapa lagi yang akan menghormatinya. Kerana itulah sejak akhir-akhir ini terdapat satu keadaan yang menunjukkan ada golongan lain yang bukan Melayu atau bumiputera tidak lagi menghormati hak orang Melayu kerana kita sendiri yang tidak menghormati budaya dan bahasa kita sendiri. Kerana itulah mereka berani mencabar dan mengungkit hak-hak yang lain kerana hak yang asas dan begitu mudah pun kita sendiri tidak menghormati dan menjaganya dengan baik. Kerana itulah mereka mula berani memperlekehkan bangsa Melayu. Selama ini pun bangsa Melayu dan bumiputera telah banyak berkorban untuk menerima mereka memiliki harta benda di negara kita dan mengecapi segala kesenangan dan kemudahan di negara ini.

Mungkin kita ada silap juga kerana sikap kita yang lembab dan lambat bertindak untuk berusaha memajukan diri sendiri sehingga ketinggalan di belakang mereka, apabila ada antara orang kita hendak maju ada pula orang kita yang lain ‘menjahanamkannya’. Sikap dengki dan cemburu ini perlu dihapuskan dan sepatutnya telah hapus lama dulu seiring dengan kedatangan Islam di negara kita. Tapi kita sememangnya sentiasa mudah lupa kerana ‘akar’ kita tidak kuat dengan iman dan ‘pucuk’ kita pula rapuh tidak dijaga dan dibaja dengan baik supaya dapat tumbuh membesar dengan sempurna. Sepatutnya di zaman yang semakin moden ini kita pantas berubah ke arah kebaikan tetapi dengan dunia tanpa sempadan rakyat kita makin cepat terdedah kepada kerosakan akibat asas dalaman diri kita sebagai muslim yang sangat rapuh dan tidak diperteguhkan dari hari ke sehari.

Jumaat, 1 Februari 2008

Pesanan seorang ahli koprat

Assalamualaikum, di sini, ingin dikongsikan bersama kata2 Syed Mokhtar al-Bukhary.. terima kasih kepada interviewer asal, dan juga blog2 yang mempamerkannya..

selamat membaca, dan sila kongsikan bersama..


1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (Berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah (SWT) biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa diatas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah (SWT) memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah (SWT) beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke
bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu
berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah (SWT) beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu
selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (Perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah (SWT) boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah (SWT). Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan...

Lagi tentang Syed Mokhtar Al-Bukhary

(dipetik dari http://www.maer-kiput.blogspot.com)

Tentang Jerman & Jepun

Ada sesuatu yang baik untuk saya ceritakan tentang dua negara ini, tatkala sejarah moden negara kita dicatatkan seawal kurun ke-14 kita mungkin tidak mengetahui lanjut akan kisah sejarah dua negara ini pada kurun yang sama dengan catatan sejarah negara kita. Apa yang kita tahu hanyalah kisah samurai Jepun dan kisah barbarian di zaman gelap eropah. Ketika itu kedua-dua bangsa di negara ini saling bermusuhan dan berebut wilayah bagi menunjukkan kekuasaan puak masing-masing.

Negara kita lebih awal menerima ajaran Islam dan sepatutnya negara kita lebih maju lagi dari negara Jerman dan Jepun. Bermakna kita sudah pun membaca ayat al-Quran surah Iqrak yakni ‘Bacalah dengan nama Allah’, ketika itu sudah ramai ulama-ulama tempatan mahupun ulama arab yang bermastautin di negara ini untuk dijadi rujukan dan panduan. Negara kita juga pernah berperang dengan penjajah Portugis dan Belanda serta penakluk British dan Jepun oleh pahlawan-pahlawannya seperti Tok Janggut, Dato Bahaman, Rentap, Mat Salleh dan yang lain-lain lagi. Negara kita sudah banyak juga pengalaman yang perit sama seperti Jerman dan Jepun.

Bezanya Jerman dan Jepun pernah jadi negara penakluk dan cuba untuk menjajah negara lain. Mengapa mereka bertindak demikian? Kerana mereka sudah maju hasil dari ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh mereka. Jerman dalam sejarah modennya memiliki kemajuan hasil daripada peranan yang dimainkan oleh golongan Yahudi. Kita sedia maklum bahawa orang Yahudi ini sejak dari sejarah nabi dan rasul dahulu memang sudah bijak dan pandai disebabkan banyak pengajaran dan kitab-kitab ilmu yang diperturunkan oleh Allah melalui nabi-nabi mereka. Kemudian ia diwarisi oleh generasi-generasi keturunan mereka seterusnya sehinggalah ke hari ini. Lantaran itulah dalam sejarah Jerman, Hitler pernah dicatatkan membunuh lebih 6 juta orang Yahudi kerana ilmu dan pengaruh mereka yang sangat kuat dalam masyarakat eropah. Dengan pengaruh dan ilmu dari Yahudi inilah maka orang-orang Jerman pun mendapat pendidikan ilmu pengetahuan yang boleh membawa mereka kepada kemajuan yang lebih pantas dan luar biasa dari bangsa-bangsa lain di negara eropah lain.

Jepun pula memperoleh ilmu pengetahuan melalui pembelajaran dan pemindahan teknologi dari negara barat terutama sekali menerusi Jerman. Jika kita pernah belajar sejarah Asia maka kita akan temui sejarah moden Jepun menerusi pembaharuan Meiji pada kurun ke-19. Lantaran itulah Jepun juga semakin pantas maju seiring dengan Jerman dalam aktiviti industri dan ilmu pembinaan teknologi mereka. Mungkin kerana sikap tamak oleh kepimpinan mereka maka kedua-dua negara ini terjebak ke dalam kancah peperangan yang mengorbankan banyak nyawa mereka yang tak berdosa. Namun, kedua-dua negara ini bukanlah pemula kepada peperangan kerana lama sebelum itu negara Belanda, Britain, Portugis dan Peranchis telah pun memulakan kempen penaklukan dan penjajahan ke atas wilayah lain dan berperang dengan penduduk tempatan. Tidak terkecuali negara kita ketika zaman kesultanan Melaka yang berperang dengan tentera laut Portugis. Tapi, disebabkan negara Jerman dan Jepun ini mencapai kemajuan teknologi yang pantas terutama sekali jentera perang yang mengatasi keupayaan negara lain, maka kedua-dua negara ini pun tidak mahu terkecuali dalam usaha penaklukan dan penjajahan yang dilakukan oleh negara-negara eropah lain. Malang menimpa bagi negara eropah lain, Jerman sangat digeruni dan ditakuti berikutan kemampuan dan kekuatan mereka meningkat secara mendadak dan begitu juga Jepun di sebelah timur.

Sesuatu yang luar biasa bagi sebuah negara yang tidak menonjol boleh mengalahkan negara eropah lain dan menakluk tanah jajahan British di Asia Timur Jauh dan Asia Tenggara dalam tempoh tidak sampai 30 tahun. Sedangkan negara seperti Britain mengambil masa berkurun-kurun untuk menjajah negara lain yang lemah tidak berkeupayaan. Ketika Jerman sedang ‘mengganas’ di eropah, Jepun pula ‘mengganas’ di timur dan ini membimbangkan Britain kerana diserang bertubi-tubi oleh Jerman dari jarak jauh menggunakan teknologi senjata barunya yang belum dimiliki oleh Britain iaitu peluru berpandu roket, sementara Jepun pula telah memiliki armada tentera laut yang semakin kuat untuk memusnah kapal perang Britain di timur kemudian merampas tanah jajahannya. Britain bernasib baik kerana wilayahnya tidak berada di tanah besar eropah dan dipisahkan oleh selat Inggeris. Jika tidak, sudah pasti Britain akan digempur oleh tentera darat Jerman sebagaimana mereka telah menggempur dengan teruknya negara eropah lain dalam tempoh yang singkat.

Kebimbangan inilah yang menyebabkan semua negara eropah kebingungan dan sanggup bersatu menjadi negara bersekutu setelah sekian lama bersaing mendapatkan wilayah jajahan di luar eropah. Kini mereka terpaksa berhadapan dengan penakluk dan penjajah baru yang akan menjajah negara mereka di wilayah mereka sendiri di eropah. Seluruh negara eropah lain hampir lumpuh dan Britain pula berhempas pulas mempertahankan tanah air mereka dari ditawan oleh Jerman. Lalu Britain terlepas pandang akan kemunculan Jepun di timur yang merampas tanah jajahannya. Lantas, hanya satu jalan saja yang boleh diusahakan untuk menentang Jerman dan Jepun iaitu meminta campurtangan Amerika Syarikat untuk bersama-sama Britain menghadapi musuh mereka yang semakin kuat.

Pada mulanya Amerika Syarikat tidak mahu campurtangan dengan peperangan ini tetapi apabila Jepun berkeupayaan menyeberangi lautan Pasifik dan menyerang Pearl Harbour maka Amerika tersentak dan melihat ini satu ancaman masa depan yang boleh menggugat kedudukan mereka dan wilayah mereka. Mengetahui akan kerjasama antara Jepun dan Jerman melalui pakatan Axis maka Amerika Syarikat terpaksa bersetuju untuk bekerjasama dengan Britain. Begitu juga Kanada yang berjiran dengan Amerika bersetuju untuk bekerjasama membentuk satu pakatan tentera bersekutu bagi menghadapi ancaman Jerman di eropah dan Jepun di rantau Pasifik. Maka itulah, dengan kekuatan baru yang datang dari luar Britain bersama-sama sekutunya berjaya mengekang kemaraan Jerman. Rusia yang pada mulanya menjadi sekutu Jerman, di saat-saat akhir Perang Dunia Ke-2 menjadi sekutu pasukan bersekutu setelah Jerman berpaling tadah dan mengkhianati perjanjian untuk tidak melancarkan serangan di sempadan masing-masing. Sikap tamak dan rakus Hitler memaksanya untuk menawan Moscow dan cuba menawan Rusia hingga ke wilayah Siberia di timur.

Sedikit demi sedikit Jerman semakin lumpuh dan lemah akibat asakan pasukan bersekutu, 4 lawan 1 di eropah adalah satu peperangan yang tidak seimbang. Tetapi dengan kemajuan teknologi dan kepakaran saintis Jerman mereka masih dapat bertahan untuk seikit masa lagi. Kereta kebal ‘Tiger’ lebih hebat dari kereta kebal tentera bersekutu, peluru berpandu roket membolehkan Jerman menyerang pusat ketenteraan bersekutu di Britain, pesawat pejuang Jerman pula lebih tangkas dari keupayaan pesawat Amerika. Sementara itu, Jerman sedang membangun keupayaan teknologi pesawat jet dan mempertingkatkan lagi kemampuan peluru berpandu roket mereka. Namun, akibat kemerosotan ekonomi dan sumber kewangan yang semakin terhad serta sekatan sumber bahan mentah maka usaha pembangunan dan kemajuan teknologi itu tidak dapat dilaksanakan.

Menyedari akan tertewasnya Jerman di tangan tentera bersekutu, saintis Jerman yang tidak mahu rahsia teknologi baru mereka jatuh ke tangan mana-mana negara bersekutu telah membawa keluar rahsia itu ke Jepun. Ini kerana Jepun merupakan satu-satunya sekutu yang boleh dipercayai dan di harap. Malang juga menimpa Jepun selepas itu apabila tewas di tangan pasukan bersekutu. Setelah perang dunia berakhir barulah rahsia antara Jerman dan Jepun diketahui apabila prototaip awal pesawat Jet yang menggunakan teknologi Jerman ditemui di lokasi rahsia pembangunan teknologi Jepun.

Mengapa Amerika Syarikat maju dalam aspek ketenteraan seperti yang kita lihat hari ini? Kerana Amerika Syarikat telah membawa balik saintis Jerman ke Amerika Syarikat dan memberi tauliah kerakyatan Amerika Syarikat kepada mereka. Maka banyaklah pengetahuan-pengetahuan baru yang mereka perolehi dari saintis ini dan mereka banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan teknologi ketenteraan dan angkasa lepas kepada Amerika Syarikat. Rahsia teknologi pesawat jet dari Jepun pula telah dibawa balik oleh Amerika Syarikat untuk dikaji dan diselidiki. Saintis-saintis Jerman dan rahsia teknologi Jerman dan Jepun bukan saja jatuh di tangan Amerika Syarikat dan Britain, tetapi juga telah jatuh ke tangan Rusia. Rusia tidak begitu baik hubungannya dengan Amerika Syarikat dan Britain kerana perbezaan ideology dan selepas perang dunia ke-2 kedua-dua pihak bersaing memajukan teknologi ketenteraan masing-masing.

Apa yang hendak saya bangkitkan dari kisah sejarah ini ialah ketekunan bangsa Jerman dan Jepun menuntut ilmu untuk memajukan negara mereka sehinggakan ia disalahguna oleh pemimpin yang tamak dan rakus untuk kepentingan sendiri. Jepun misalnya lebih lewat maju dari negara eropah tetapi mendahului kebanyakan negara eropah di akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Sehingga hari ini pun Jepun adalah antara negara yang paling maju dan pesat kemajuan ekonominya. Mengapa negara kita tidak seperti negara Jerman dan Jepun, bukanlah hendak menjadi negara penakluk dan penjajah seperti mereka tetapi dari segi kebangkitan mereka untuk mencapai kemajuan yang sangat singkat setelah ditekan dan berada dalam tekanan. Negara kita tidak berada dalam tekanan sehebat kedua-dua negara ini. Jerman dikenakan sekatan selepas perang dunia pertama dan Jepun disekat kemajuan dalam industri ketenteraan.

Siapa tak kenal Merchedes Benz, Philips, Sony, Toyota, Honda yang merupakan jenama-jenama industri otomobil dan elektronik yang terkenal di seluruh dunia. Sungguhpun tidak lagi bangkit dalam industri ketenteraan tetapi mereka bangkit dalam bentuk industri yang lain yang turut memberi keuntungan kepada mereka dari aspek ekonomi dan memperkuatkan kedudukan mereka untuk memajukan lagi negara mereka sebagai sebuah negara yang jika dilepaskan dari sekatan akan mampu bangkit semula sebagai sebuah kuasa ketenteraan dalam masa yang singkat. Ini kerana mereka mempunyai kepakaran dan keupayaan ilmu pengetahuan dan yang paling penting sekali adalah semangat juang yang kental dan sikap berdisiplin yang tinggi. Bangsa Jerman mempunyai disiplin yang tinggi hingga ke hari ini, begitu juga Jepun merupakan bangsa yang rajin dan tekun.

Jikalaulah bangsa kita, bangsa Malaysia terutama bangsa Melayu khususnya mempunyai sikap seperti ini, sudah tentu kita mampu lebih maju lagi dari mereka kerana sejarah negara kita tidaklah begitu teruk seperti yang dialami oleh kedua-dua negara tersebut yang pernah terlibat dengan perang besar dan perang antara puak merebut wilayah. Seharusnya kita mengambil peluang yang aman untuk menuntut ilmu dan menggunakan ruang kebebasan yang luas untuk memajukan diri. Semasa di era penjajahan British dahulu, mereka tidaklah sekejam Jerman dan Jepun. Sekiranya masa itu kita ada kemampuan ilmu pengetahuan kita boleh bekerjasama dengan British lebih awal dan tidak perlu mendapat kemerdekaan dari British kerana kita sudahpun ada kerajaan kesultanan di setiap negeri masing-masing. Tapi ketika itu kita hanya ada keris dan tombak untuk melawan senjata api dan meriam tentera British, Portugis dan Belanda yang dilengkapi baju besi.

Kita boleh bandingkan antara negara kita dengan Siam (nama lama Thailand). Keupayaan senjata silam mereka lebih kurang sama dengan kita tetapi disebabkan kalangan Raja mereka mendapat pendidikan barat maka mereka tahu bagaimana hendak menghadapi sikap dan sifat bangsa eropah ini. Bahkan Jepun sewaktu menakluk Asia Tenggara pun menghormati Siam kerana sepanjang 600 tahun negara kita dijajah Siam langsung tak pernah dijajah walaupun mungkin ada yang menganggap minda orang siap telah dijajah. Apa kurangnya dengan kita sekarang ini, walaupun sudah merdeka tetapi minda masih lagi dijajah kerana mengharapkan apa saja yang datang dari luar tanpa kita berusaha sendiri untuk memajukan negara dengan keupayaan teknologi dan usaha sendiri.

Sebenarnya sudah ada usaha ke arah itu dan ianya telah diperhebatkan lagi oleh Tun Dr. Mahathir semasa pemerintahannya. Beliau menggalakkan kemajuan dan pembangunan yang pantas menggunakan teknologi luar supaya kita dapat mempelajarinya dan memindahkan sedikit demi sedikit teknologi yang datang dari negara maju. Usaha ini telah pun dilakukan oleh Jepun sekurun lebih awal dari kita dan kerana itulah Tun memperkenalkan dasar Pandang Ke Timur supaya kita dapat mencontohi budaya tekun bangsa Jepun yang mampu bangkit dari kemusnahan ledakan bom atom. Seharusnya kita perlu mempunyai pemimpin seperti ini sampai bila-bila supaya kita sentiasa diberi kesedaran, diberi tekanan untuk terus maju dan berupaya untuk berfikir dengan lebih kritikal, seterusnya menjadi kreatif untuk melakukan sesuatu yang luar biasa.

Kita tidak mahu pemimpin yang lembik dan lembab kerana kebanyakan negara maju mencapai kemajuan hasil dari kepimpinan yang agak keras. Bukanlah sekeras seperti Jerman dan Jepun dahulu tetapi sekurang-kurangnya perlu ada pemimpin yang tegas dan bersungguh-sungguh mengusahakan kemajuan yang boleh memartabatkan dan memperkuatkan lagi disiplin rakyat menerusi sikap dan sifat yang kental. Jangan pula hanya bercakap saja dan berceramah ke sana ke mari tetapi yang lebih penting adalah perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.

Masyarakat & sampah

Sekolah merupakan tempat pendidikan formal untuk memasyarakatkan generasi muda, maksudnya untuk mendidik mereka supaya menjadi warga prihatin dan peka dengan budaya masyarakat untuk saling tolong menolong dan hormat menghormati tanpa mengira kaum, pangkat dan jawatan apa pun. Secara teorinya memanglah begitu tetapi realitinya ‘jauh panggang dari api’.

Selama ini kita menyangka sekolah adalah tempat yang baik untuk anak-anak kita belajar tentang hidup bermasyarakat, tapi seringkali kita mendengar tentang kes buli, keracunan makanan, didera guru dan banyak lagi sebenarnya yang tidak begitu dihebohkan bagi menjaga nama baik pihak sekolah dan nama pihak yang berkenaan yang sering bercakap soal perpaduan, soal kemajuan. Tidak semua kes-kes yang dilaporkan itu adalah benar, kerana ada yang sengaja digosipkan oleh media dan ceritanya sengaja diada-adakan oleh ibu bapa yang ‘menatangkan’ anak bagai ‘minyak yang penuh’. Pantang dicubit sikit anak terus mengadu kepada ibu bapa, ibu bapa pula macam kanak-kanak juga mengadu kepada wartawan.

Apakah maju sekiranya akhlak semakin merosot dan budaya tolong menolong serta hormat menghormati semakin terhakis. Hormat-menghormati bukan sekadar tunjuk baik saja tapi sekiranya ada masalah anak-anak di sekolah mengapa tidak berhubung terus dengan pihak sekolah dan bertanya kisah sebenarnya. Begitu juga pihak sekolah perlu melaporkan segera kepada ibu bapa apa sebenarnya yang berlaku, jangan sampai sudah sejam berlalu baru nak diberitahu kepada pihak keluarga atau diambil tindakan segera apabila berlaku kemalangan kepada pelajar di sekolah. Tidak dinafikan bahawa tidak banyak sekolah yang menghadapi masalah dengan PIBG masing-masing tetapi sekiranya masalah kecil tidak dibendung dan tidak diberi penjelasan sewajarnya kepada semua pihak yang terlibat sudah pasti akan berlaku salah faham dan tiada keseragaman dalam mengambil tindakan. Kes-kes terpencil inilah yang selalunya menjadi besar dan digembar gemburkan oleh media.

Bagi mengetahui perkembangan pendidikan pelajar, mereka yang berada di dalam situasi persekolahan itu saja yang dapat memahami dan memerhatikannya. Jangan pula fikir saya ini seorang guru atau kakitangan di sekolah sehingga boleh memerhatikan keadaan ini, saya juga mempunyai ramai rakan dan saudara mara yang bekerja di dalam sector pendidikan untuk mengetahui perkara ini dan sesekali juga saya bertanya tentang bagaimana keadaan sekolah mereka, selain daripada pemerhatian saya sendiri. Sedia berkhidmat adalah satu slogan yang sangat baik dan saya sentiasa menyokongnya apatah lagi sekiranya kita bekerja untuk rakyat dan masyarakat setempat. Tetapi kalau sedia berkhidmat tanpa banyak soal, tanpa banyak rasa tak puas hati dengan situasi yang semakin merosot akibat system yang tidak betul, itu sudah dalam kategori pekerja hamba yang sentiasa patuh dan taat saja pada perintah dengan mengatakan ‘saya yang menurut perintah’ semata-mata. Seharusnya pihak atasan juga harus sedia ditegur dan tidak perlulah merasa ego dengan pangkat dan taraf yang disandang.

Antara keadaan yang telah menjadikan tabiat pelajar dan menjadi kebiasaan di sekolah ialah, membuang sampah di merata-rata tempat. Walaupun tong sampah sudah disediakan masih juga membuang sampah dan menyelit sampah kecil seperti bungkus gula-gula di celah-celah pintu atau soket elektrik. Keadaan ini telah menyusahkan pekerja-pekerja pembersihan di sekolah dan juga pekerja-pekerja di makmal sains, makmal computer dan bengkel KHB kerana setiap kali pelajar selesai menggunakan makmal dan setiap sesi persekolahan, maka berlonggok-longgoklah sampah di atas lantai, di celah pintu, di celah soket, dalam almari dan mana-mana saja tempat yang tersembunyi untuk menyembunyikan sampah itu. Kononnya tak mahu diketahui oleh pekerja pembersihan.

Lebih teruk lagi apabila pelajar terlalu dijaga macam ‘anak raja’, mereka dihantar di sekolah hanya untuk belajar saja, jadi kerja seperti mengutip sampah tidak perlu dilakukan oleh pelajar. Apakah mengutip sampah dan membuang sampah ke tempat yang betul itu bukan belajar? Mereka tidak diajar dan dipraktikkan supaya membersihkan sampah yang mereka buang sendiri. Mengapa pelajar tiada disiplin dalam soal ini? Adakah berpunca dari rumah, mungkin tidak, sebab rumah tempat tinggal jadi perlulah sentiasa bersih atau terpaksa membersihkannya. Tapi bagi anak orang kaya ada orang gaji nak membersihkan rumah dan bilik tidur kanak-kanak ini. Tapi masalahnya bukan saja masih kanak-kanak, yang sudah meningkat remaja pun masih lagi bersifat ’pengotor’.

Sikap ini sebenarnya adalah akibat sistem pendidikan yang tidak mengutamakan aktiviti kemasyarakatan semasa di luar sesi pembelajaran di kelas. Di dalam kelas hanya untuk belajar akademik, di luar kelas pula pelajar perlu dididik untuk berdikari dan menghormati orang lain melalui aktiviti-aktiviti masyarakat dalam sekolah. Sebaliknya, realiti yang dilihat adalah mereka melihat ada orang lain atau pekerja yang bertanggungjawab membersihkan sampah itu, maka tidak mengapa buang sampah merata-rata Dan pada pandangan mereka, apalah gunanya pekerja tukang sapu dan pemungut sampah ini dibayar gaji memang sudah kerja mereka jadi jangan makan gaji buta saja.

Ini bukan soal tugas atau tanggungjawab pekerja makan gaji tetapi soal tanggungjawab masyarakat dan kesedaran sivik yang perlu diterapkan mulai dari bangku sekolah lagi untuk saling bantu membantu meringankan tugas masing-masing. Rakyat akan menjadi sihat kerana menghirup udara segar dan pekerja pemungut sampah pula dapat mempertingkatkan kualiti pembersihan dan menyediakan lebih banyak kemudahan kerana lebih banyak komitmen boleh ditumpukan ke arah itu daripada hanya menyapu dan mengutip sampah saja setiap hari. Bayangkan kalau tiada pekerja pengutip dan penyapu sampah dan mereka akan mogok dalam tempoh seminggu, pasti kita akan melihat sampah akan menimbun berteraburan di atas jalan raya dan di kawasan lapang.

Pekerja membersih sampah tidaklah seramai orang yang membuang sampah setiap hari di jalanan, di bangunan, di kaki lima, di dalam tandas, di sungai-sungai dan di mana-mana saja. Jika alam menjadi kotor dan busuk jangan salahkan 100% kepada pekerja pembersihan tapi pesalah utamanya ialah kita sendiri yang tidak berdisiplin dan tidak ada sikap prihatin, memang padanlah muka kita jika alam sekitar hari ini semakin panas dan ditimpa pelbagai bencana alam sekitar seperti banjir, pemanasan global dan sebaran penyakit. Hanya beberapa kerat saja orang yang prihatin sanggup memberi peringatan dan berjuta-juta orang yang terus membuang sampah merata-rata.

Kalau sejak dari kanak-kanak lagi sudah membuang sampah merata-rata maka kita boleh lihatlah orang dewasa sekarang di luar sana di mana-mana saja tetap akan bertabiat membuang sampah merata-rata tempat, bahkan tong sampah pun dibiarkan membusuk dan kotor tidak dibersih dan susun dengan baik. Ini kerana mereka sejak dari kecil lagi sudah bertabiat begitu kerana ’kurangnya ajaran’ tidak diajar dengan baik dan betul tentang sikap untuk sentiasa menjaga kebersihan di rumah, di sekolah dan di luar kedua-duanya.

Ini sebenarnya perkara asas saja tetapi kita mengambil mudah tentangnya kerana kita kini lebih tumpukan soal matapelajaran sains dan teknologi kemudian bila dah jadi saintis macam-macamlah ciptaan dibuat untuk menjaga kebersihan alam sekitar dan mencegah penyakit. Adalah bodoh jika perkara yang tak memerlukan kos yang tinggi tak dipraktikkan daripada kita menyelesaikan masalah yang sengaja kita buat sendiri. Hanya perlu buang sampah di tempat yang betul kemudian asingkan sampah yang boleh dikitar semula dengan sampah yang boleh lupus mereput. Jadi udara pun sentiasa segar dan mata kita pun selesa memandang alam sekitar yang menghijau tanpa cebisan-cebisan sampah berterabur di sana sini dihinggapi lalat dan menjadi tempat pembiakan nyamuk dan ulat-ulat pembawa penyakit.

Pihak yang menguruskan pembersihan sampah pun dapat tumpukan tenaga kerja mereka untuk mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan dengan menyediakan kemudahan yang berteknologi tinggi dalam memproses sampah yang boleh dikitar semula dan yang tak boleh dikitar semula, memperbanyakkan lagi kemudahan tempat membuang sampah dan mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan. Contohnya sampah yang mudah reput boleh diproses untuk menghasilkan tenaga biojisim. Semasa di sekolah dulu saya ada belajar tentang sains berkaitan tenaga yang boleh di kitar semula seperti biojisim tapi ia hanya sekadar teori semata-mata dan sehingga kini saya tidak melihat pun teknologi itu digunakan di negara kita.

Tenaga biojisim terhasil dari proses penguraian bakteria bagi sampah-sampah yang mudah reput, ketika proses inilah gas hidrogen terhasil dan kita tahu bahawa gas ini boleh di manfaatkan. Saya tidak pasti sama ada teknologi penghasilan gas ini menerusi penguraian sampah wujud di negara-negara maju. Apa yang saya tahu ialah adanya teknologi insinerator yang boleh memproses sampah dengan berkesan tanpa mencemarkan alam sekitar. Kalau tidak ada pun kita boleh buat kajian sendiri dan menjadi antara penyumbang kepada kemajuan yang boleh membawa kebaikan kepada alam dan seluruh masyarakat. Kita juga perlu menjadi masyarakat yang tahu mencipta dan berfikir, jangan hanya tahu mengguna dan membeli teknologi dari masyarakat luar negara saja.