Custom Search

Reviews Directory

Selasa, 11 Mac 2008

Pembangunan Rakyat

Konsep pembangunan untuk rakyat yang sering diwar-warkan oleh pemimpin hari ini ialah menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan dan keselesaan rakyat. Projek-projek pembangunan seperti jalan raya, sekolah, hospital, taman rekreasi, masjid, pusat membeli belah dan sebagainya diusahakan untuk kepentingan rakyat jelata. Namun begitu, apakah semua itu memadai atau berkesan dalam memberi kemudahan dan keselesaan rakyat sepenuhnya.

Sememangnya, apa jua yang ada dalam kehidupan ini tidak akan 100% sempurna dan tak akan dapat memenuhi kehendak setiap orang. Begitu juga dalam soal pembangunan ini, walaupun banyak mana sekalipun projek-projek pembangunan dimajukan sekiranya taraf hidup penduduk itu tidak diperbaiki, tidak dibantu, tidak dibimbing dan dipimpin, pembangunan itu tidak akan banyak membawa perubahan kepada taraf hidup rakyat secara peribadi. Apatah lagi jika projek-projek tersebut melibatkan satu pembaziran wang yang banyak.

Contohnya pembinaan masjid yang cantik, indah dan berseri-seri bagaikan mahligai dan kristal, pembinaan taman-taman rekreasi dengan hiasan bunga-bunga, lampu-lampu dan aksesori-aksesori lain seperti patung, kolam dan sebagainya. Projek-projek sebegini bukanlah melibatkan sumber kewangan dari pelabur atau tauke bisnes tapi diperolehi dari wang cukai rakyat. Apa manfaatnya projek-projek seperti ini untuk rakyat terutamanya dari golongan yang berpendapatan rendah. Hanya sekadar untuk menarik dipandang mata dan menjadi tempat riadah pelawat. Sedangkan masjid yang biasa saja masih boleh digunakan secara lebih efektif dan rakyat yang sekadar kais pagi makan pagi dan petang makan petang tiada banyak masa untuk beriadah di taman-taman sebegitu. Hanya segelintir saja yang menikmatinya untuk melapangkan fikiran selepas penat bekerja di pejabat.

Wang rakyat sepatutnya perlu digunakan untuk membantu rakyat kembali, bukannya membina projek-projek yang membazir dan tidak memberi manfaat yang berkesan untuk kepentingan rakyat sendiri. Sebab itulah apabila sesebuah hospital dibina dengan menggunakan wang cukai rakyat tidak boleh mengenakan bayaran yang membebankan pesakit secara keterlaluan. Bayaran yang diberi hanyalah untuk caj perkhidmatan kepada pekerja-pekerja hospital, sementara ubat-ubatan dan peralatan sebenarnya sudah dibayar oleh rakyat melalui cukai-cukai yang pelbagai dikutip dari rakyat sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Dalam Islam menekankan bahawa yang kaya dan yang mampu hendaklah membantu mereka yang susah dan miskin. Mereka tidak semestinya membantu secara langsung dengan memberi wang ringgit secara ’by hand’ kepada orang miskin. Sebaliknya yang kaya dan mampu ini membayar cukai kepada kerajaan dan kemudian wang cukai itu digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membantu pula yang susah dan tidak berkemampuan.

Jika tauke-tauke bisnes ada syarikat besar, mereka akan bayar cukai perniagaan mereka kepada kerajaan. Kerajaan pula boleh menggunakan hasil cukai itu untuk membantu orang-orang miskin yang tak mampu. Kerajaan yang berhemah dan bijak pastinya akan memanfaatkan wang cukai itu untuk membantu melahirkan lebih ramai cendiakiawan dan usahawan kerana kedua-dua bidang ini sangat penting dalam memperbaiki taraf hidup rakyat secara lebih menyeluruh.

Dengan cukai dari orang kaya dan berpendapatan tinggi bukan saja dapat menyediakan kemudahan yang akan meringankan beban orang miskin yang tak mampu menikmati segala kemewahan sebagaimana orang berada. Malahan dengan cukai itu juga, kerajaan berupaya untuk memberi bantuan modal kepada mereka yang tak mampu untuk memulakan langkah memajukan diri dengan melibatkan diri dalam perniagaan ataupun perusahaan.

Sungguhpun sekarang ini ada bantuan ia bukanlah bantuan yang sebenarnya sebaliknya lebih berupa pinjaman modal yang memerlukan rakyat membayar semula pada kadar yang agak tinggi dalam tempoh tertentu. Lagipun pinjaman modal yang diberikan itu adalah terbatas dalam bidang yang hasilnya boleh dituai dalam jangka masa yang agak panjang dan agak berisiko. Sekiranya hasil gagal diperoleh seperti yang diharapkan maka pinjaman tersebut terpaksa juga dilangsaikan.

Seharusnya, rakyat terutama yang miskin perlu dibantu sehingga berjaya. Jangan hanya melepas batuk di tangga sekadar melaungkan supaya rakyat terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan pendapatan sendiri. Sedangkan peluang dan khidmat sokongan tidak diberikan secara berterusan dan jika adapun semuanya cuba mengambil kesempatan diatas kepayahan dan kesusahan orang lain. Oleh sebab itulah, tidak ramai dikalangan usahawan kecil dan sederhana muncul kerana untuk berjaya mereka perlu berhempas pulas dan berusaha sendiri membangunkan diri sama ada secara individu maupun berkumpulan. Lebih teruk lagi, hanya pada peringkat permulaan saja bersemangat namun lama-kelamaan usaha mereka menjadi longlai dan akhirnya terbengkalai. Ini semua adalah kerana tiadanya sokongan dan bebanan hutang yang perlu ditanggung sedangkan keuntungan hanya sedikit saja.

Ahad, 9 Mac 2008

BA Perlu Satu Anjakan

Asalamualaikum,


Hari ini kita diperlihatkan dengan kemenangan yang besar diperolehi parti BA di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Pendirian DAP yang kini menerajui Pulau Pinang untuk tidak mengadakan sambutan secara besar-besaran bagi meraikan kejayaan mereka bagi menghormati parti-parti BA lain adalah sangat dialu-alukan dan mana-mana parti BA yang berjaya membentuk kerajaan di negeri yang lain patut mencontohi tindakan tersebut. Kerana tanpa parti BA lain masing-masing tidak akan dapat berdiri dengan betul dan mereka mesti bekerjasama untuk mewujudkan kestabilan dan pembangunan yang diingini.

Tanpa sokongan rakyat mereka takkan berjaya memenangi kerusi tersebut. Menjadi harapan saya sebagai seorang rakyat yang berfikiran terbuka untuk menerima sesiapa saja pemimpin asalkan ikhlas dan menghormati hak dan kepentingan orang lain biarpun berlainan pegangan agama dan kaum. Yang penting kita adalah rakyat Malaysia yang berkongsi harapan dan impian untuk negara.

Apabila sudah berada di puncak kuasa dan memegang kekuasaan itu, ia merupakan satu tanggungjawab yang besar dan mereka perlu menjaganya dengan baik dan mempergunakannya dengan betul. Kerana sekiranya peluang ini tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dalam tempoh 5 tahun ini tentunya mereka akan dinilai semula oleh rakyat yang memilih mereka pada pilihanraya umum akan datang. Sudah semestinya lawan mereka akan berusaha bersungguh-sungguh memburukkan mereka namun sekiranya ia ditangkis dengan cara berhemah akan mampu mematahkan usaha lawan mencemarkan nama baik mereka.

Justeru itu, kepada pihak parti BA saya sebagai seorang rakyat yang rasional dan berfikiran terbuka ingin menyatakan sesuatu sebagai peringatan bersama. Bukanlah hendak mengugut atau mengancam, Cuma hendak memberitahu supaya lebih berhati-hati dan berjaga-jaga ketika peluang diberi untuk berkuasa oleh rakyat. Antara harapan saya kepada BA :

  • Jika mahu terus diberi mandate pada masa akan datang maka mereka mesti bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ditimbulkan oleh pemerintah sebelumnya. Mereka tidak boleh melakukan sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kerana dalam tempoh 5 tahun ini merupakan satu tempoh penilaian dan sangat kritikal untuk mereka dalam mempertahankan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat.
  • Mereka hendaklah membuktikan kredibiliti sebagai parti yang dipilih rakyat dan menunjukkan profesionalisme dengan saling bekerjasama dengan parti BA yang lain. Tidak perlulah bertelingkah dan berebut siapa yang patut memegang jawatan itu dan ini kerana jika ini berlaku maka mudahlah parti BN memanipulasikan keadaan itu bagi membuktikan kecelaruan pakatan BA di mata rakyat. Walaupun ada pihak yang memandang sinis akan keupayaan kerjasama tersebut namun esok masih ada untuk kita melihat bagaimana reality sebenarnya. Jangan kita menjatuhkan hukuman sebelum terbukti disabit kesalahannya. Ini berikutan pertama kali parti-parti BA berjaya membentuk kerajaan di 4 negeri dan sebelum ini tiada reputasi mereka yang boleh dinilai dalam menjadi sebuah pemerintah dari parti campuran pakatan BA.
  • Sungguhpun tidak menjadi kerajaan di Parlimen, namun sebagai sebuah pakatan BA yang kuat mereka mesti menjadi pendesak dan pengkritik yang kuat dan lantang bersuara mewakili kehendak rakyat. Mereka mungkin tidak dapat menentukan keputusan namun mereka masih dapat mempengaruhi sesuatu keputusan yang dibuat dalam parlimen. Mereka boleh memberi penjelasan dan berterus terang kepada rakyat sekiranya mereka tidak dapat menunaikan janji-janji yang disuarakan melalui manifesto mereka sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat. Apa yang penting adalah mereka telah berusaha untuk mempengaruhi parlimen mempertimbangkan usul mereka dan keputusannya pastinya ditentukan oleh parti yang menjadi kerajaan. Pastinya parti BN tidak akan memberi jalan mudah untuk menerima usul cadangan pakatan BA. Ini sedikit sebanyak akan memperlihatkan bahawa BA tidak mampu menunaikan janji-janji mereka sedangkan kita sedia maklum bahawa sesuatu keputusan itu perlu dibuat dengan suara majority. Situasi ini akan dipergunakan oleh BN dengan sebaik-baiknya untuk membuktikan BA gagal menunaikan janji-janji mereka. Antara BN dan BA masing-masing mempunyai kerusi 140 dan 82. Sudah jelas bahawa apa yang dicadangkan oleh BA tidak akan dapat ditunaikan.
  • Walaubagaimanapun, pakatan BA boleh memberi penjelasan kepada rakyat secara jujur dan terbuka, memberikan alasan yang relevan dan boleh diterima. Bukannya alasan yang hendak memperdayakan rakyat dan memperbodohkan pemikiran rakyat sebagaimana yang telah dilakukan oleh parti yang berkuasa sebelum ini. Pakatan BA perlu bijak dalam menghadapi situasi sebegini bagi menjawap segala ketidakupayaan mereka memutuskan usul cadangan di parlimen untuk dilaksanakan pada peringkat nasional.
  • Jika penjelasan mereka difahami rakyat maka rakyat boleh terima alasan kekurangan ahli dewan di parlimen mengakibatkan janji-janji mereka sukar dilaksanakan. Sudah tentunya rakyat boleh mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak kerusi kepada pakatan BA pada pilihanraya umum akan datang sebagai tanda kepercayaan dan keyakinan rakyat bahawa alasan mereka boleh diterima dan perlu membuktikan usaha mereka sekiranya diberi mandate menjadi kerajaan pada masa depan. Apa yang penting dalam tempoh penggal sekarang ialah kelantangan dan keberanian mereka menyuarakan pendapat, mencadangkan usul untuk dibincangkan dan memberi penjelasan yang rasional kepada rakyat mengapa janji-janji mereka sukar ditunaikan. Penggal ini hanyalah merupakan langkah permulaan dan mereka kena tunjukkan langkah permulaan yang baik sebagai pembangkang yang kuat, lantang dan relevan di parlimen.
  • Apa yang penting juga ialah mereka perlu sedar bahawa BN sekarang akan menyusun semula jentera dan barisan mereka untuk menarik semula sokongan rakyat. Sekiranya pakatan BA mahu terus diterima oleh rakyat mereka perlu juga memperkemaskan lagi barisan dan pakatan mereka. Mereka perlu membentuk visi yang jelas dan prinsip kerjasama yang erat dengan menghormati hak dan kepentingan masing-masing. Mereka perlu menunjukkan bahawa mereka bukan parti yang berasaskan perkauman dan boleh menerima sesiapa saja sebagai ahli parti asalkan cukup syaratnya. Misalnya PAS tidak semestinya ahlinya dari kalangan orang Melayu yang beragama Islam saja, sebaliknya mana-mana orang Islam walaupun bukan kaum Melayu layak menjadi ahli parti PAS. Sekiranya boleh dengan adanya kuasa memerintah di 4 negeri mereka perlu mempertimbangkan untuk membentuk satu parti gabungan supaya pada pilihanraya akan datang gabungan mereka mampu menggugat majority BN. Maka tidak akan ada lagi dalam keputusan pilihanraya akan datang keputusan undi pakatan BA dipecah kepada PAS, DAP, PKR ataupun Bebas.
  • Rakyat seperti saya mengharapkan satu parti yang bukan lagi berasaskan perkauman sebagaimana UMNO untuk orang Melayu saja, MIC untuk orang India saja dan MCA pula untuk orang Cina saja. Apa yang saya dan seluruh rakyat mau perhatikan ialah DAP, PKR dan PAS diwakili oleh campuran semua kaum dan bergabung membentuk sebuah parti gabungan. Dengan adanya setiap kaum dalam satu parti akan lebih merapatkan lagi hubungan dan toleransi antara kaum dan agama dan apabila bergabung tentunya mereka akan lebih saling faham memahami kerana setiap parti bukannya memperjuangkan hak dan kepentingan kaum masing-masing tetapi sesuatu yang lebih besar dan lebih utama lagi iaitu hak dan kepentingan rakyat serta perkara-perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

Itu adalah antara pandangan saya saja sebagai seorang rakyat biasa, sekiranya ada sebarang kesilapan atau kecacatan pandangan itu adalah disebabkan saya tidak begitu arif dalam hal politik ini. Namun, keprihatinan saya dalam bidang ini menunjukkan saya ada tanggungjawab untuk melihat satu scenario politik yang matang dan professional. Saya percaya ramai lagi rakyat biasa seperti saya diluar sana mempunyai kepekaan dan keprihatinan terhadap hal ini.

Saya tidak berpihak kepada mana-mana parti kerana saya sendiri tidak menyertai keanggotaan mana-mana parti pun. Saya telah memberikan pandangan saya terhadap BN, mengapa BN tumbang di 4 negeri dan gagal mencapai 2/3 majoriti. Dan BN perlu memperbaiki reputasi mereka dengan membuat satu perubahan yang jelas untuk kembali mendapat sokongan rakyat. Saya juga telah memberikan pandangan saya terhadap pakatan BA, apa yang perlu mereka usahakan dan bagaimana untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka supaya boleh diterima rakyat dan terus mendapat sokongan yang lebih padu dari rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Jadi tidak perlulah membuat andaian bahawa saya ini menyokong BN ataupun BA kerana apa yang saya sokong hanyalah yang terbaik, ikhlas dan adil dalam melaksanakan tanggungjawab. Saya tidak mudah untuk dihasut dan diperdayakan oleh mana-mana parti kerana saya sendiri mempunyai pendirian yang tegas dalam membuat keputusan pemilihan berdasarkan criteria-kriteria tertentu. Inilah kebebasan dan kemerdekaan saya yang sebenarnya kerana apa-apa jua keputusan pemilihan wakil rakyat adalah ditangan saya, bukannya semata-mata disebabkan pengaruh dan propaganda mana-mana parti dari BA dan BN.

Pandangn Pribadi: BN gagal?

Assalamualaikum,

Salam sejahtera untuk semua rakyat Malaysia, hari ini kita telahpun mendapat keputusan jelas pengundian Pilihanraya Umum Ke-12 yang diadakan semalam 8 Mac 2008. Di mana dapat diperhatikan parti BN telah banyak kehilangan kerusi perwakilan di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri. Lebih mengejutkan ialah ketika usaha bersungguh-sungguh dilaksanakan untuk menawan kubu kuat pembangkang yang diwakili PAS, BN telah kehilangan pegangan pemerintahan ke atas 4 negeri sekaligus. Ini merupakan satu tamparan yang sangat hebat buat BN.

Saya tidak mau mengulas lebih lanjut mengenai kemenangan dan kekalahan kedua-dua belah pihak tersebut kerana saya bukanlah ada ijazah maupun kelayakan akademik berkaitan politik untuk menceritakannya dengan panjang lebar. Apa yang hendak saya sampaikan disini adalah mengenai pandangan peribadi saya sebagai seorang rakyat biasa yang mempunyai akal fikiran yang rasional untuk menilai apa jua kenyataan dan tindakan yang telah dilakukan oleh kedua-dua pihak tersebut selama ini dalam usaha untuk menarik sokongan rakyat biasa yang tak kaya raya, tak berpendidikan tinggi dan tak berpengaruh seperti saya, yang tidak ada apa-apa faedahnya pun untuk mereka melainkan undi dari saya semasa pilihanraya.

Saya berani berterus terang disini kerana inilah medium yang paling ampuh untuk menyatakan pendapat secara jujur dan terbuka tanpa rasa takut dan khuatir akan dianiaya dan teraniaya oleh pihak ‘pembuli siber’ yang mungkin akan jadi pembuli realiti yang tidak senang hati dengan kenyataan rakyat biasa seperti saya yang tidak ada apa-apa kuasa, pengaruh dan harta benda mewah pun. Cuma yang ada hanyalah kuasa kebebasan untuk bersuara. Namun begitu, saya masih tetap untuk menjaga tatatertib dan budibahasa ketika berbicara agar tidak mengeluarkan kata-kata lucah, mengugut ataupun mengancam mana-mana pihak. Apa yang disuarakan hanyalah menunjukkan rasa tidak puas hati dan kritikan membina bagi memperbetulkan apa yang tidak betul kepada mana-mana pihak terutama yang berkuasa dan memegang tampuk pemerintahan dan pentadbiran. Biasanya golongan ini mudah lupa dan mudah gelap mata dengan pangkat, darjat dan kuasa mereka.

Mengapa BN tewas di beberapa negeri dan gagal mendapat majority 2/3 di Parlimen?

Sebagai seorang rakyat biasa peringkat akar umbi dapatlah saya nyatakan pendirian saya sendiri disini :

  • Tindakan pemimpin BN yang mempersenda dan memperlekehkan keupayaan lawan, dengan kenyataan-kenyataan seperti pembangkang hanyalah ‘syok-syok sendiri’ bilamana mengemukakan manifesto dan menyatakan hasrat mereka untuk memerintah Negara telah membuatkan saya sendiri menyampah mendengar kenyataan yang melambangkan kesombongan dan kebongkakan mereka apatah lagi ketika mereka berkata begitu masih dipuncak kekuasaan. Kenyataan berkenaan sebenarnya telah memakan diri mereka sendiri, ibarat meludah ke langit kena muka sendiri.
  • Mereka begitu yakin sekali akan menang besar lebih dari 2/3 sedangkan apa yang mereka lakukan dan perkatakan tidak mencerminkan mereka selesa dengan keyakinan itu. Kalau ikut psikologi, sesuatu yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tertekan kebiasaannya terbalik. Semakin lantang mereka merendah-rendahkan keupayaan lawan bermakna ada sesuatu yang goyah bakal berlaku kerana ia mencerminkan kebimbangan mereka. Maka, untuk tidak menjadikan apa yang mereka bimbangkan itu jadi reality maka tindakan dan kenyataan mereka akan menjadi berserabut dan kelam kabut bagi mempertahankan kedudukan mereka. Mereka akan cuba menghentam lawan mereka dan mempergunakan sepenuhnya jentera dan media yang dikuasai mereka untuk memberi gambaran dan kenyataan mereka kepada umum.
  • Kenyataan bahawa BN akan berusaha memporak-perandakan pakatan pembangkang juga memperlihatkan betapa pemimpin BN bukanlah bekerja untuk rakyat tapi untuk parti mereka sendiri. Dimana dalam keadaan terdesak dan tertekan mereka sedaya upaya untuk memburukkan pembangkang dan memperlihatkan kepada rakyat bahawa pembangkang bukanlah satu parti yang kuat dan bersatupadu. Supaya dengan itu rakyat akan terus menyokong dan memilih BN. Malah diburukkan lagi dengan tindakan penyokong yang melampaui batas. Sedangkan mana-mana pihak pun boleh bertindak menganiaya atau menyamar, misalnya menyalahguna lambang parti lawan kemudian melakukan rusuhan atau kekacauan atau sabotaj dan terus melarikan diri setelah membuat jenayah itu. Jika ada antara rakyat yang sedar akan taktik buruk ini menyatakan mereka akan memporak-perandakan parti lawan, pastinya akan ragu-ragu dengan keikhlasan sebenar BN apatah lagi Pemuda mereka beria-ia benar hendak membantu dan menggunakan khidmat Mat Rempit. Sudah tentu saya syak akan berlaku tindakan baling batu sembunyi tangan.
  • Penggunaan media perdana seperti TV, suratkhabar dan majalah oleh BN untuk berusaha mempengaruhi pemikiran rakyat. Media-media ini akan membuat ulasan yang lebih lanjut dan memperlihatkan kenyataan-kenyataan pemimpin BN yang bersifat emosional dan memperlekeh atau merendah-randahkan keupayaan pembangkang. Kenyataan pemimpin lawan pula diambil sekerat-sekerat mengikut bagaimana mereka boleh memanipulasikan kenyataan tersebut. Apabila ini disebarkan secara meluas maka rakyat umum akan dapat mengetahui dan dapat membuat penilaian dengan pemikiran yang kritikal. Tidak semua rakyat itu mudah diperdaya dan dimomokkan dengan kenyataan-kenyataan yang berunsur mengugut, menghina dan cuba memperbodohkan pemikiran majority rakyat yang berpendidikan setakat SPM dan PMR. Walaupun ada juga ditunjukkan dan diulas tentang program-program pembangunan dan kejayaan projek-projek pembangunan sebelum ini oleh parti memerintah, ia bukanlah satu soal penentu muktamad yang akan menarik perhatian rakyat keseluruhannya.
  • Antara perkara yang turut diambilkira ialah soal keperibadian, latarbelakang, sikap dan kepercayaan terhadap pemimpin terbabit untuk berkhidmat dengan ikhlas, jujur dan bertanggungjawab. Apa yang diperkata, apa yang telah dibuat dan apa yang didedahkan tentang penyelewengan mereka akan menimbulkan rasa syak dan ragu-ragu. Apatah lagi sekiranya pendedahan itu melibatkan bukti yang jelas tentang kejelekan sikap dan perbuatan mereka di belakang pengetahuan rakyat umum. Kegagalan mereka memberi penjelasan yang memuaskan untuk mempertahankan diri mereka dari tohmahan itu akan memperkukuhkan lagi bahawa apa yang didedahkan itu adalah benar dan takkan dapat disembunyikan lagi.
  • Apabila timbul rasa tidak puas hati terhadap barisan kepimpinan sedia ada, tiada tindakan sewajarnya dilakukan oleh kepimpinan utama untuk merombak semula atau menggantikan pemimpin tersebut dari kalangan mereka yang betul-betul berkelayakan. Setelah jelas pemimpin tersebut merosakkan imej Negara dengan kenyataan yang kelam kabut dengan penggunaan bahasa Inggeris yang teruk dan tergagap-gagap. Tindakan terburu-buru menghantar wakil permohonan maaf kemudian setelah disiasat bukanlah rakyat asing. Ini sangat memalukan dan mencerminkan kepimpinan Negara yang tidak professional dalam menjalankan tugas sehingga boleh merendahkan martabat Negara di mata dunia sekiranya diperhati dan diketahui oleh masyarakat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia tentunya saya sangat malu juga mempunyai pemimpin Negara seperti ini. Sepatutnya pemimpin sebegini perlu digugurkan dari memegang jawatan tersebut dan digantikan oleh pemimpin lain yang lebih berkelayakan.
  • Soal prinsip dimana terdapat kecenderungan dikalangan pemimpin BN yang melanggar prinsip. Saya tidak menyentuh tentang prinsip-prinsip khusus misalnya prinsip RUKUNEGARA, tapi prinsip yang umum yang perlu ada sebagai manusia amnya dan sebagai muslim khususnya. Sebagai manusia pemimpin perlu bersikap terbuka dan tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak apabila berlaku masalah dalam Negara. Mereka tidak boleh menyalahkan rakyat atau menyindir rakyat malas dan tidak bersungguh-sungguh bekerja meningkatkan pendapatan semata-mata nak mempertahankan keputusan mereka menaikkan harga minyak dan mengurangkan subsidi. Pada saya, mereka seolah-olah telah menghukum rakyat terutama dari kalangan berpendapatan rendah dan tidak bekerja tetap dan menuduh golongan ini pemalas. Rakyat mana yang tidak marah bila dikatakan begitu.
  • Kalau benar selama ini banyak peluang diberikan dan bantuan pula tidak mengharapkan balasan atau bayaran balik sudah tentunya akan lahir ramai rakyat walaupun tidak begitu cemerlang dalam pendidikan dapat membantu memperbaiki diri sendiri memulakan perniagaan sendiri walaupun dijalankan secara kecil-kecilan namun tersusun dan boleh berkembang dalam jangkamasa panjang. Disokong pula oleh persatuan-persatuan dan badan-badan perniagaan misalnya koperasi yang membekalkan produk untuk dijual oleh ahlinya kepada masyarakat. Pemerintah boleh membuat skim pinjaman lot kedai di bangunan komersil di Bandar-bandar atau pekan-pekan yang giat membangun dengan bayaran bulanan yang mampu dibayar sehingga berpuluh tahun, sehingga perniagaan itu boleh diwarisi pula oleh anak cucu akan datang. Sekiranya keuntungan pemilik mencapai berlipat kali ganda bolehlah diselesaikan segera pembayarannya tanpa perlu menunggu tempoh yang ditetapkan.
  • Sementara itu ibubapa turut disalahkan apabila kini berlaku banyak gejala social dikalangan remaja. Ibubapa disalahkan tidak tahu mendidik dan mengasuh anak-anak. Ibubapa disalahkan tidak tahu menjaga kanak-kanak bila berlaku penculikan dan kehilangan kanak-kanak yang kian berleluasa kini. Bila saya telitikan, begitu banyak unsur-unsur yang merosakkan pemikiran remaja yang disajikan setiap hari menerusi media massa dan elektronik. Budaya hiburan yang melampau dengan konsert-konsert dan lessen diberikan kepada pusat-pusat hiburan dan perjudian yang menjadi tumpuan anak muda. Usaha untuk mengurangkan unsur-unsur yang boleh mengurangkan penjenayah tidak digiatkan sebaliknya gaya hidup dan pengaruh budaya kuning menyuburkan lagi kelahiran penjenayah-penjenayah baru di Negara ini.
  • Dalam menentukan dasar Negara ia hendaklah seiring dengan prinsip yang diamalkan. Jika prinsip perlembagaan menetapkan bahawa bahasa melayu sebagai bahasa utama dan bahasa kebangsaan dan perpaduan apa-apa dasar berkenaan bahasa melayu perlu selari dengan prinsip tersebut. Jika dasar pendidikan dalam pengajaran sains dan mate dibuat dalam bahasa inggeris ini telah melanggar prinsip asas yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama dalam perlembagaan. Apakah tiada langsung cara lain untuk memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa inggeris tanpa melanggar prinsip tersebut.
  • Prinsip sebagai seorang pemimpin muslim pula hendaklah jujur, ikhlas, tidak berbohong, tidak menyembunyikan sesuatu yang patut diketahui oleh rakyat, tidak memperdayakan rakyat dan memperbodoh-bodohkan rakyat. Rakyat akan faham sekiranya jawapan yang diberikan oleh seorang pemimpin yang menjawap tohmahan lawan itu relevan dan rasional, boleh diterima tanpa menimbulkan tanda soal yang meragukan. Lebih teruk persoalan itu terus dibiarkan begitu saja sebaliknya cuba menimbulkan perkara baru pula untuk mengalih perhatian rakyat. Pemimpin yang berprinsip tentu akan dihormati, disanjungi, dipercayai dan diyakini oleh rakyat. Rakyat tidak akan tawar hati sekiranya prinsip ini dipegang oleh seorang pemimpin yang berbudi dan berakhlak mulia dengan menghormati hak dan pandangan orang lain.

tulah antara pandangan peribadi saya sebagai seorang rakyat biasa, rakyat bawahan yang tiada kuasa, tiada pengaruh dan tiada apa-apa jawatan tinggi pun, yang menentukan mengapa kepimpinan BN tidak lagi diterima secara menyeluruh oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan taraf hidup. Pihak-pihak berkenaan perlu menerima pandangan ini secara hati yang terbuka tanpa rasa benci, tanpa emosional dan tanpa berniat hendak mengenakan tindakan terhadap mana-mana blogger seperti saya semata-mata hendak menutup mulut saya supaya jangan lagi berbicara tentang perkara ini secara terbuka melalui blog. Tindakan itu bukanlah satu yang professional, mereka mesti mendengar pandangan rakyat bawahan seperti saya walaupun pahit untuk diterima.

Mereka mesti berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri mereka, ketua mereka pula mesti memilih perwakilan yang bakal menjadi menteri dari kalangan yang benar-benar berkelayakan bukan saja dari segi taraf pendidikan tetapi juga akhlak yang baik dan keimanan mereka sekiranya pemilihan dibuat dari kalangan muslim. Mereka patut berterima kasih kepada rakyat seperti saya kerana berterus terang menyatakan kelemahan mereka. Blogger-blogger seperti saya adalah cermin untuk mereka perhatikan tentang siapa diri mereka dan bagaimana penerimaan seorang rakyat terhadap gaya kepimpinan mereka.

Diharap mereka sedar dan insaf akan kesilapan ini, janganlah terlalu bongkak dan sombong dan menyangka kekuasaan akan terus berada dalam genggaman mereka sehingga sanggup bertindak sesuka hati tanpa pertimbangan yang wajar sebelum membuat kenyataan dan mengambil tindakan yang melibatkan kepentingan dan hak rakyat.

Khamis, 6 Mac 2008

Sains & Mate Dalam BI

Perlukah Pengajaran Sains dan Matematik dilakukan dalam Bahasa Inggeris

1) Perlu sekiranya IPTA mahu menarik pelajar-pelajar dari luar negara untuk mengikuti kursus-kursus di IPTA di peringkat Sarjana Muda dan Sarjana. Ini juga dapat meningkatkan kredibiliti Universiti tersebut dengan adanya para pelajar dari luar negara.


2) Tidak perlu sekiranya para pelajar di negara ini kurang penguasaan Bahasa Inggeris untuk memahami ilmu Sains dan Matematik yang diajarkan dalam bahasa tersebut.

Ketika Dunia Islam mengusai ilmu pengetahuan (ketika Daulah Khilafah masih wujud), orang Eropah belajar daripada orang Islam ilmu-ilmu Sains dan Matematik. Mereka belajar bahasa Arab, untuk memahami Sains dan Matematik dari orang Islam. Tetapi orang Eropah tidak menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda mereka. Mereka mengalih bahasakan buku-buku Sains dan Matematik yang ditulis dalam bahasa Arab ke bahasa Latin.

Sehingga sekarang beberapa istilah bahasa Arab masih lagi dikekalkan dalam bahasa mereka seperti:
  • Chemistry (yang berasal dari Kimia),
  • Sugar (yang berasal dari sukkar)
  • Alkali (yang berasal dari alkali)
  • Alcohol (yang berasal dari alcohol)
  • Algebra (yang berasal dari aljabar)
Bahasa Inggeris hanyalah bahasa, dan bukannya suatu cabang dari ilmu Sains dan Matematik. Oleh itu, sekiranya seseorang ingin belajar membina atau mencipta kapal terbang, roket, kereta, motosikal dan komputer, beliau tidak perlu belajar bahasa Inggeris, kerana kebanyakan buku panduan bagaimana untuk mencipta kapal terbang, roket, kereta, motosikal dan komputer ada ditulis dalam bahasa Jepun, Rusia, Korea, Jerman, Perancis dan sebagainya. Malah ada Microsoft Windows versi Jepun dan Korea yang menggunakan sepenuhnya bahasa Jepun dan Korea.

Bahasa hanyalah suatu medium (perantaraan) untuk memahami ilmu Sains dan Matematik. Sekiranya seorang itu selesa untuk belajar ilmu sains dan Matematik dalam bahasa ibundanya dan bukan bahasa Inggeris, maka itulah yang paling baik baginya. Pengajaran Sains dan Matematik di Jepun dan Korea dilakukan dalam bahasa Jepun dan Korea, dan mereka lebih maju dalam Sains dan Matematik jika dibandingkan dengan negara ini di mana pengajaran Sains dan Matematik dilakukan dalam bahasa Inggeris sekarang.

Menjadikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak semestinya menjadikan pelajar-pelajar lebih faham tentang Sains dan Matematik, tetapi mungkin sebaliknya. Saya telah memeriksa beratus-ratus skrip peperiksaan STPM, Matrikulasi dan Universiti dan mendapati kefahaman tentang bahasa Inggeris pelajar-pelajar masih rendah. Sekiranya penguasaan terhadap bahasa Inggeris masih rendah, maka adalah amat tidak wajar mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kerana langkah tersebut hanya menambahkan bebanan pelajar untuk memahami Sains dan Matematik, malah lebih buruk lagi, pemahaman menjadi semakin merosot.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa kebanyakan buku-buku rujukan dan research journals ditulis dalam bahasa Inggeris, maka oleh itu perlulah mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Memang benar, kebanyakan buku-buku rujukan dan research journals bagi Sains dan Matematik ditulis dalam bahasa Inggeris, namun hakikatnya, apakah guna mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sekiranya penguasaan majoriti pelajar dalam bahasa Inggeris masih amat lemah. Adalah lebih sesuai sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa yang lebih mudah difahami oleh pelajar-pelajar (tidak kira sama ada Bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil atau Arab). Pada masa yang sama, pertingkatkan kualiti pengajaran subjek bahasa Inggereis, degan penambahan subjek bahasa Inggeris untuk Sains (English for Scientific purposes) sebagai matapelajaran yang berasingan, untuk membolehkan para pelajar membaca dan memahami sumber-sumber saintifik dalam bahasa Inggeris.

Sekiranya anda ke luar negara seperti Eropah ke negara-negara Jerman, Perancis, Sepanyol atau Itali, rata-rata mereka boleh berbahasa Inggeris, tetapi jarang mereka akan melayan anda dalam bahasa Inggeris. Mereka mungkin akan melayan anda sekiranya anda bercakap dalam bahasa mereka di negara mereka sendiri. Keadaan yang sama sekiranya anda pergi melawat Jepun dan Korea. Sekiranya anda dapat perhatikan profesor-profesor dari Jepun dan Korea memberikan syarahan dalam bahasa Inggeris, anda akan mendapati seorang pelajar sekolah menengah di Malaysia lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding profesor-profesor ini. Adakah ini bermakna mereka gagal dalam mengajarkan Sains dan Matematik hanya kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka lebih rendah dari pelajar sekolah menengah di Malaysia?

Hakikatnya, Bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya Bahasa Sains dan Matematik. Bahasa, dalam konteks ini hanyalah 'container' atau 'bekas' untuk menyampaikan idea-idea Sains dan Matematik. Mana-mana bahasapun boleh digunakan sebagai 'container' bagi Sains dan Matematik selama mana idea-idea tersebut dapat difahami sebaik-baiknya oleh yang mengkajinya . Ini adalah kerana Sains dan Matematik bukanlah suatu bentuk 'hadharah' yang perlu disandarkan kepada bahasa Inggeris semata-mata. Ini berbeza dengan bahasa Arab. Tanpa bahasa Arab, banyak perkara di dalam Islam tidak dapat dipenuhi; ijtihad sebagai contoh. Bahasa Arab adalah sebahagian dari hadharah Islam. Kesinambungan dari itu, bahasa Arab, setelah Islam menguasai 1/3 dunia, telah menjadi bahasa elit – tamadun dunia itu sendiri disandarkan kepada bahasa Arab sehinggalah umat mula melalaikannya.

Sumber : www.mykhilafah.com

Artikel yang berkaitan dengan tajuk ini

Rabu, 5 Mac 2008

Sejarah Perkembangan ATM

Berdasarkan analasis sumber maklumat pengunjung, saya dapati ada pencarian maklumat 'keywords' berkaitan sejarah ketenteraan. Sememangnya blog ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dalam apa jua perkara dan bidang, usaha untuk mencari fakta dan isu yang relevan tetap diutamakan bagi memberi manfaat kepada semua pengunjung yang memerlukan maklumat bermakna. Berikut adalah antara tajuk yang berkaitan dengan pencarian pengunjung berkenaan dan InsyaAllah maklumat sejarah berkaitan ketenteraan seperti perang Korea, perang Vietnam, Komunis China dan yang berkaitan dengan teknologi ketenteraan turut akan dipaparkan disini. Untuk pencarian lanjut, pengunjung bolehlah gunakan enjin carian GOOGLE yang disediakan dalam blog ini untuk mencari maklumat berkaitan.

Tunjang Utama Pertahanan Negara Yang Mesti Peka Kepada Dunia Realiti

Latar berlakang


Sejak dan zaman kemerdekaan, apabila negara berhadapan dengan ancaman gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang mahu menggulingkan sistem sedia ada, dengan bantuan negara-negara Komanwel, pasukan tentera Tanah Melayu khasnya tentera darat ketika itu yang masih bertatih telah berjaya berkhidmat dengan cemerlang. Apabila idea untuk menubuhkan Malaysia ditentang secara kekerasan oleh Indonesia, tentera laut pula mula memperlihatkan kematangannya dengan melaksanakan rondaan serta kawalan kawasan pantai yang berjaya mengekang pencerobohan mengikut jalan laut secara besar-besaran oleh tentera Indonesia. Apabila tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei, sekali lagi tentera darat berjaya menonjolkan dirinya sebagai satu organisasi yang profesional dan tidak mudah diperalatkan oleh mana-mana pihak dan terus memastikan bahawa sistem perundangan dan kedaulatan negara kekal berfungsi. Ini benbeza dengan banyak negara dunia ketiga pada waktu itu, dan masih berlaku pada setengah negara pada hari ini apabila ada persengketaan yang mempunyai bau perkauman dan etnik turut mempengaruhi pasukan tentera yang akhirnya terlibat secara langsung dalam pertempuran dan pembunuhan etnik yang menghancurkan negara.

Bagi tentera udara, walaupun belum pernah dalam sejarahnya bertempur di udara dengan pesawat musuh secara hakiki, sumbangannya terhadap pertahanan negara memang tidak perlu dipertikai. Sepanjang tempoh pemberontakan PKM dan Darurat berlangsung tentera udara boleh dianggap sebagai ‘penyelamat’ dan merupakan talian logistic yang utama bagi pos-pos kawalan terpencil di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. Ketibaan pesawat Nuri membawa bekalan atau ransum ‘basah’ kerap disambut seakan satu keramaian, manakala bedilan bertalu-talu dari udara oleh helikopter Alloutte memberikan kelegaan dan kepastian kepada tentera darat bahawa mata dan telinga mereka di udara bekerja keras memastikan pihak musuh sentiasa berada dalam keadaan huru-hara.

Era perubahan dari COIN kepada operasi konvensional


Jika dilihat secara rambang perihal proses mengubah strategi operasi dan yang berteraskan melawan keganasan atau perang gerila yang dilancarkan oleh PKM (COIN-Counter Insurgency) kepada perang konvensional, perubahan yang paling ketara sebenarnya berlaku kepada unit-unit TUDM dan TLDM berbanding dengan rakan mereka dari Tentera Darat. Malah mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa di rantau ini TUDM adalah merupakan perintis dalam memperkenalkan pesawat dwi-fungsi iaitu pesawat tempur/serang pada pertengahan tahun 1970-an dengan perolehan pesawat Northrop F-5 Tiger II. Ini berbeza sebelumnya apabila TUDM hanya memiliki pesawat Dart Herald dan Caribou serta helikopter Allouette. Keupayaan ini adalah perolehan yang dianggap penting selepas TUDM memperolehi pesawat F-86 Sabres dari Australia dan Canadair CL-41 Tebuan di samping helikopter Sikorsky S-61A sebagai helikopter pelbagai fungsi.

Di pihak TLDM pula perkara yang sama turut berlaku apabila kapal-kapal TLDM adalah antara yang pertama di dunia menggunakan sistem Exocet MM38 pada sekitar tahun 1973. Sistem peluru berpandu anti kapal permukaan yang efektif ini dipasangkan pada kapal-kapal serang laju yang diklasifikasikan sebagai FAC-M. Malah idea unluk memperlengkapkan TLDM dengan sejumlah kapal selam telah pun diperbincangkan pada 1978. Setahun kemudian pada 1979, pihak kerajaan telah meluluskan program jangka panjang pemodenan dan pembesaran Angkatan Tentera Malaysia yang diberi nama PERISTA. Mengikut program yang telah direncanakan ini sejumlah RM9.8 billion akan diperuntukkan untuk jangkamasa lima tahun berikutnya. Pasukan tentera darat akan diperbesarkan dari sejumlah 70,000 anggota pada 1979 kepada hampir 100,000 menjelang tahun 1985 manakala aset kapal TLDM dan TUDM turut dipertingkatkan dengan beberapa perolehan baru. Ini termasuklah dua buah kapal korvet baru dan empat penyapu ranjau kelas Lerinci untuk TLDM sementara sejumlah 40 buah pesawat Skyhawk dari jenis A-4C dan A-4L yang telah dibaik pulih. PERISTA bagaimanapun menghadapi jalan buntu apabila pada 1981 kerajaan terpaksa menjalankan program penjimatan dan perbelanjaan berhemat akibat kegawatan ekonomi. Ini termasuklah pembatalan beberapa program penting seperti pembinaan pusat latihan tempur di Gemas yang telah terpaksa dihentikan hanya setelah beberapa bulan dilaksana.

Menjelang pertengahan 1980-an kemerosotan ekonomi yang dihadapi pada awal dekad mula menampakkan tanda-tanda pemulihan. Pada September 1988 Malaysia mengejutkan beberapa negara serantau apabila ia mengumumkan beberapa kemungkinan perolehan utama yang merupakan kesinambungan dari program PERISTA. Paling utama adalah beberapa perjanjian dan persefahaman awal antara Kuala Lumpur dan London. Dalam persetujuan awal yang telah dicapai oleh kedua pihak, Kuala Lumpur dan London bersetuju pada dasarnya mengenai pakej yang melibatkan pelbagai aset persenjataan, latihan dan pembangunan serta pembinaan pelbagai prasarana yang berkaitan dengan pertahanan. Pakej yang mempunyai nilai kira-kira USD2.5 billion ini termasuklah satu skuadron pesawat tempur/pengebom, dua kapal selam terpakai dari Tentera Laut DiRaja British (RN) sistem pertahanan jarak dekat Rapier serta artileri sederhana dan berat. Pada masa yang sama pihak British juga akan membantu TLDM untuk membentuk cabang udaranya sendiri dengan enam helikopter jenis WASP yang telah dibaikpulih.

Keinginan Malaysia untuk mendapatkan pesawat Tornado ketika itu dikatakan mempunyai kaitan dengan penerimaan sejumlah pesawat F-16A/B oleh Singapura dan Thailand pada awal tahun 1988. Pesawat Tornado dengan dua enjin dikatakan mampu menyaingi pesawat F-16. Walaupun F-16 dikatakan mempunyai kelebihan sebagai sebuah pesawat tempur, namun Tornado turut berkemampuan berbuat demikian dan boleh diguna pakai bagi tujuan serangan darat serta maritim. Kebolehan melaksanakan operasi maritim dilihat sebagai sesuai dengan doktrin pertahanan negara yang meletakkan kepentingan kepada pengawasan ZEE dan konsep cegah rintang yang mahukan ATM mencabar mana-mana kuasa yang mempunyai niat jahat terhadap negara sejauh mungkin dan persisiran pantai.

Walaubagaimanapun pada Jun 1989 pakej ini ternyata menghadapi jalan sukar apabila kos yang terpaksa ditanggung oleh negara, walaupun pakej tersebut telah diubah suai agar kosnya tidak terlalu membebankan bajet negara. Bilangan Tormado telah dikurangkan dari jumlah asal 12 kepada 8 buah, manakala pembelian sistem pertahanan udara Rapier dibatalkan. Apa yang membimbangkan TUDM ialah jumlah 8 pesawat dikatakan tidak akan dapat memikul beban pertahanan udara dan menjelang tahun 1990-an, sudah pasti lebih banyak pesawat Tornado akan terpaksa dibeli sekali lagi. Pakej baru ini dikatakan akan menelan belanja USD4.5 billion untuk jangkamasa 10 tahun. Bagi memastikan bahawa perolehan masa akan datang tidak terjejas serta untuk menjimatkan kos, dijangka jumlah kekuatan tentera darat yang sedia ada akan terpaksa dikurangkan dan negara akan menggunakan kekuatan pasukan simpanan untuk memastikan kedaulatan negara kekal terjamin. Memandangkan keadaan negara pada waktu itu masih lagi di bawah ancaman PKM permintaan untuk mengurangkan jumlah anggota tentera darat tentunya akan dipandang sinis dan seterusnya menggugat keseluruhan pelan pakej pembelian itu. Akhirnya TUDM terpaksa berpuas hati dengan perolehan sejumlah pesawat Skyhawk-A4 TPM dari Amerika Syarikat.

Selain memperolehi aset, sebagai sebuah angkatan tentera yang sedang giat membangunkan keupayaan perang konvensionalnya, tentunya Malaysia juga perlu membangunkan industri pertahanannya bagi memastikan bahawa ia mampu membekalkan peralatan-peralatan kritikal sewaktu berlakunya sesuatu konflik kepada ATM. Sejak tahun 1987 lagi Kementerian Pertahanan telah melaksanakan pelan tindakan untuk mengatasi masalah tersebut. Antara negara yang dilihat oleh Malaysia mampu memberikan bantuan dari segi pemindahan teknologi ketenteraan adalah Itali dan Austria. Firma tempatan, Syarikat Malaysian Explosive atau SME serta sebuah firma Austria telah bersetuju untuk mengeluarkan raifal Steyr AUG yang digunakan oleh ATM. Pada Jun 1989 perjanjian perlesenan dan bantuan teknikal antara kedua pihak telah dimeterai bagi memastikan bahawa SME mampu mengilangkan komponen-komponen utama untuk raifal tersebut. SME telah diarahkan untuk menghasilkan sebanyak 65,000 pucuk raifal Steyr AUG bagi kegunaan ATM.

Pada era tahun l990-an, berbeza dengan dekad sebelumnya ATM dilihat seakan melalui satu proses pemodenan yang paling pesat dan benar-benar dilihat oleh ramai pemerhati sebagai memulakan evolusi dari sebuah angkatan bersenjata yang mempunyai konsep COIN kepada pasukan tentera konvensional yang moden dan berkemampuan. Hampir kesemua cadangan dan kemungkinan terhadap pembelian aset-aset canggih, khususnya bagi TUDM dan TLDM telah dikaji semula pada awal dekad tersebut. Cadangan pembelian pesawat Tornado yang telah berkubur digantikan dengan minat baru kepada pesawat-pesawat Hawk Mk 108 (10 buah) dan Hawk Mk 208 (18 buah). Selain itu program untuk mendapatkan pesawat tempur yang terbengkalai pada pertengahan tahun 1980-an juga dihidupkan kembali pada 1992 dan tidak seperti sebelumnya, kali ini segala urusan mengenainya dilakukan dengan pantas. Ini terbukti apabila hanya setelah setahun dilaksanakan, TUDM telah mengumumkan ia akan membeli sejumlah 20 buah pesawat MiG-29 Fulcrum yang kemudiannya dipertingkatkan keupayaannya dengan sistem avionik negara Barat. Tidak lama selepas itu menyusul pula pembelian lapan pesawat McDonnel Douglas F/A-18D dari Amerika Syarikat yang mempunyai kemampuan khusus untuk melakukan operasi maritim.

Bagi pihak TLDM, era ini juga menyaksikan bagaimana kapal-kapalnya melangkau kepada keupayaan melaksanakan peperangan tiga dimensi dengan lebih berkesan. Ia bermula pada Mac 1992 apabila TLDM telah memesan dua buah frigat baru yang diklasifikasikan sebagai kapal F2000, iaitu KD Lekiu dan KD Jebat. Kapal-kapal ini dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40, 16 peluru berpandu anti-pesawat udara VL Seawolt, sistem torpedo anti-kapal selam Eurotorp dan meriam Bofors 57mm. Kapal ini juga dilengkapi dengan sistem penderia dan peperangan elektronik yang tercanggih dalam inventori kapal-kapal TLDM yang sedia ada. Program cabang udara TLDM dikenali sebagai KD Rajawali yang diperkenalkan pada tahun 1988 juga telah diberikan nafas baru dengan pembelian kedua-dua buah Irigat tersebut. Ini kerana keduanya mempunyai kemampuan untuk membawa helikopter maritim paling terkini bagi melaksana operasm-operasi maritim yang tentunya tidak lagi mampu dilakukan oleh helikopter Wasp. Pembelian sehingga enam buah lagi pesawat helikopter Westland Super Lynx dengan kemampuan untuk membawa sistem peluru berpandu Sea Skua bagi peperangan anti-kapal permukaan di samping kebolehan untuk membawa torpedo anti-kapal selam telah turut melonjakkan kemampuan TLDM ke peringkat yang belum pernah tercapai sebelum ini. TLDM juga berhasrat untuk menggantikan kesemua kapal ronda kelas Sabah dan Kris (PV) dengan kapal-kapal yang lebih berkemampuan yang diklasitiaksikan sebagai NGPV (New Generation Patrol Vessel) atau kapal ronda generasi baru. Tender bagi program tersebut telah dibuka pada November 1994 dan pada 1997 kumpulan GNG dari Jerman telah terpilih untuk membina kapal-kapal tersebut menggunakan rekabentuk MEKO-100. Kerja-kerja pembinaan akan dilakukan oleh GNG dan rakan industri perkapalan tempatan PSC-ND. Penglibatan industri tempatan dilihat penting agar hasrat negara untuk mencapai tahap berdikari dalam pengeluaran produk pertahanan akan dipenuhi.

Bagi mengisi ‘kekosongan’ menjelang terbinanya kapal kelas F2000 dan NGPV, TLDM telah membeli empat buah kapal kelas korvet buatan Itali. Kapal-kapal yang diklasifikasikan sebagai kelas Laksamana ini adalah merupakan kapal yang telah dipesan untuk tentera laut Iraq, namun akibat sekatan PBB ia tersadai di limbungan Itali. TLDM telah membuat dua pembelian iaitu dua pada 1996 untuk dua kapal pertama dan setahun kemudian pada awal 1997 untuk dua kapal berikutnya. Ia kini merupakan kapal terpantas dalam inventori TLDM serta mempunyai sistem persenjataan dan peperangan elektronik yang moden, berkemampuan melakukan peperangan tiga dimensi.

Bagi pihak Tentera Darat Malaysia (TD), pula ia turut melakukan beberapa pembelian yang boleh dilihat sebagai merintis jalan yang hakiki dalam pembentukan pasukan darat yang benar-benar mampu melaksanakan peperangan konvensional. Apa yang jelas sejak awal dekad 1990-an ialah bagaimana kuasa tembak dan gerak pihak tentera darat telah dipertingkatkan secara beransur-ansur tetapi dengan sistematik. Ini terutamanya benar bagi pihak artileri, mekanise dan armor. Pembelian dan perolehan yang dilakukan sepanjang dekad ini dengan jelas memperlihatkan bagaimana evolusi dan pengoperasian COIN kepada perang konvensional kini menghampiri proses kematangannya. Walaupun terpaksa berhadapan dengan beberapa rintangan terutamanya dari segi kewangan dan kemampuan menyerap teknologi baru yang bakal diperkenalkan oleh pihak ATM sendiri dan juga industri pertahanan tempatan.

Apabila TD dipanggil untuk melaksanakan misi pengaman di Bosnia pada 1993, ia secara tidak langsung telah menyerlahkan bagaimana tentera darat pada waktu itu masih dilihat jauh kemampuannya untuk melaksanakan perang konvensional. Ini terbukti apabila ia secara tergesa-gesa terpaksa memesan 42 buah kenderaan Daewoo K200A1 bagi memastikan bahawa pergerakan dan perlindungan anggota-anggota pengamannya boleh dilaksanakan dengan baik. Ini diikuti dengan 22 lagi kenderaan pada 1994. Pada masa yang sama TD juga tidak mempunyai sistem peluru berpandu anti-kereta kebal yang efektif dan seperti juga sistem kenderaan berperisai, ia memesan sejumlah pelancar peluru berpandu anti-kereta kebal jarak dekat Eryx dari Perancis untuk digunakan di Bosnia. Walaupun jarang diperkatakan, namun kesedaran mengenai kekurangan sistem darat terkini dalam inventori tentera darat sewaktu di Bosnia dipercayai telah mempercepatkan program pemodenan cabang ATM itu. Selain dari krisis kemanusiaan di Bosnia, Perang Teluk 1 juga turut mempengaruhi arah halatuju pemodenan. Iktibar yang diperolehi oleh pemikir-pemikir ketenteraan dan penggubah dasar TD dalam Perang Teluk 1 ialah bagaimana kuasa udara memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan tempo operasi peperangan di darat, dan kemungkinan besar mempunyai kesan langsung terhadap sama ada kekuatan darat akan dapat mengalahkan musuhnya dengan mudah, secara sukar atau mungkin dikalahkan. Walaupun corak topografi atau bentuk mukabumi antara Iraq dan Malaysia adalah berbeza, namun pengajaran asas yang boleh ditimba adalah sama. Iaitu tidak ada lagi mana-mana cabang dalam tiga perkhidmatan, darat, laut dan udara yang mampu beroperasi dalam peperangan konvensional moden secara bersendirian.

Kesedaran ini kemudiannya diperkuatkan lagi dengan konflik-konflik berikutnya di Afghanistan dan sekali lagi di Iraq pada Perang Teluk II yang baru. Penggal kedua dekad 1990 menyaksikan tentera darat melakukan tiga perolehan secara berturut-torut dari segi sistem persenjataan anti-pesawat udara, iaitu dengan sistem Jernas, Igla (termasuk platform dzigit) dan Anza MkII. Sebelum ini keupayaan unit pertahanan udara negara hanyalah menggunakan meriam dan peluru berpandu Starburst sahaja. Selamn itu TD juga kini dikatakan berada dalam proses pemilihan akhir untuk memilih sistem peluru berpandu antipesawat udara jarak sederhana.

Sistem artileri medan juga menunjukkan tahap peningkatan yang memberangsangkan dengan perolehan secara mengejut sistem pelancar roket Astros-II dari Brazil. Ini diikuti dengan sistem meriam 155mm G-5 dari Afrika Selatan yang akan diganding bersama 15 sistem meriam VSEL FH-70 yang sedia ada. Namun pelengkap kepada pembelian dan perolehan aset tentera darat tentunya jatuh kepada ‘raja’ medan tempur; iaitu kereta kebal. Setelah sekian lama menanti, hasrat TD untuk memiliki unit kereta kebal akhirnya telah tercapai apabila kerajaan bersetuju untuk membeli 48 buah kereta kebal PT-91M dari Poland berserta kenderaan jurutera dan bantuan yang lain. Selama itu ia juga kini dalam proses penerimaan sejumlah 211 kenderaan berperisai ADNAN yang merupakan usahasama antara firma Turkey dan sebuah firma tempatan dengan kerja-kerja permasangan dilakukan di dalam negara.

Era milinium baru terus menyaksikan ketiga-tiga cabang ATM terus memperkasakan keupayaan ke arah kemampuan untuk melaksanakan peperangan konvensional dengan lebih berkesan, ini berjaya dilaksanakan walaupun pada penggal akhir 1997 negara telah mengalami kegawatan ekonomi yang teruk sehingga menjejaskan kedudukan ekonomi dan kewangan, yang mengakibatkan kuasa beli negara merosot agak teruk. Perolehan baru yang lebih canggih dan mantap terus dilakukan, selagi mana keadaan ekonomi dan kewangan negara membenarkannya. Penghujung dekad 1990-an dan awal 2000 telah menyaksikan bagaimana kapal-kapal kelas F2000 tiba di Lumut dan pembelian pesawat Su-30MKM akhirnya dipersetujui untuk memberikan Malaysia kelebihan berbanding negara-negara jirannya dalam menguasai ruang udara untuk mempertahankan negara. Pihak TUDM juga mula meneroka ke bidang yang dianggap baru dengan pembelian empat pesawat ARV bagi lujuan peninjauan dan pemantauan kawasan.

Pesawat yang boleh dioperasikan sama ada secara insani atau tanpa pemandu ni mampu melakukan pelbagai operasi pemantauan dan perisikan yang memerlukan tahap kerahsiaan tinggi. Selain itu unjuran kuasa ke atas kawasan ZEE atau Zon Ekonomi Eksklusif terus dipertingkatkan apabila TLDM bersetuju untuk membeli dua kapal selam baru dan sebuah terpakai dari Perancis. Seperti juga program kereta kebal, program kapal selam ini di lihat sebagai pelengkap kepada proses mematangkan TLDM sebagai sebuah kuasa laut yang disegani di rantau ini dan merupakan amaran kepada mana-mana kuasa yang berniat serong terhadap Malaysia. Ketibaan pesawat-pesawat Super Lynx yang telahpun berada di Pangkalan Lumut dan dijangka akan diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada bulan Jun ini turut sama menggandakan kuasa operasi TLDM dalam operasi peperangan maritim.

Pemodenan era siber dan anjakan pemikiran yanq mesti dilakukan


Dalam keghairahan negara untuk memiliki sistem-sistem persenjataan dan aset ketenteraan yang dianggap terkini dan bermutu tinggi, dekad 1990-an menyaksikan satu revolusi yang mungkin tidak dapat dilihat secara fizikal, tetapi menular dengan pantas dalam setiap cabang ketenteraan di seluruh dunia. Perkataan-perkataan dan akronim seperti RMA (Revolution in Military Afairs)-revolusi dalam perihal ketenteraan, EW (Electronic Warfare)-peperangan elektronik, ICT (Information & Communication Technology)-teknologi informasi dan komunikasi dan NCW (Network Centric Warfare)-peperangan pemusatan rangkaian maklumat, adalah perkara-perkara yang harus diberikan tumpuan sekiranya ATM mahu kekal terus unggul sebagai sebuah angkatan tentera yang kredibel. RMA, NCW dan EW adalah tiga unsur yang tidak boleh lagi diceraikan dari kamus pengoperasian ketenteraan moden hari ini. Seperti juga bagaimana kepupusan dinosaur dari muka bumi berlaku, terdapat spesis yang mampu terus kekal hidup kerana mempunyai sifat yang harus dicontohi iaitu ‘adaptability’ atau kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dengan efektif. Kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan teknologi, corak dan rentak peperangan dari segi semua aspek adalah fakta yang harus ada pada ATM. Kita sememangnya tidak dapat mempertikaikan semangat juang dan ketahanan mental anggota-anggota ATM yang sejak sejarah penubuhan dan penglibatannya dalam konflik dari Bukit Chandu sehinggalah ke Sarajevo dan Bakara Market. Tetapi dalam peperangan moden hari ini semangat juang semata-mata sememangnya tidak cukup lagi untuk memenangi perang secara total.

Komunikasi elektronik adalah merupakan fakta yang boleh dianggap sebagai senjata yang mempunyai dua mata. Maksud perkataan komunikasi dalam peperangan moden hari ini tidak hanya tertakluk kepada pemindahan atau interaksi suara dan Kod Morse antara dua pihak seperti yang lazimnya dilakukan pada era komunikasi Perang Dunia dahulu. Sistem-sistem termoden hari ini bukan sahaja mampu menghantar suara secara selamat menggunakan sistem enkripsi, tetapi turut berupaya untuk menghantar data, gambar, siaran video dan pelbagai maklumat yang dianggap mustahil pada suatu masa dahulu. Digunakan dengan baik ia akan dapat memberikan tugas-tugas arahan dan kawalan di medan tempur serta markas logistik dengan efektif. Walaupun demikian jika terdapat kelemahan atau sistem tersebut berjaya dicerobohi ia akan memberikan musuh kelebihan untuk mengetahui dan merangka pelan tindakan untuk mengalahkan pihak yang serba kekurangan dalam bidang teknologi tersebut. ICT dan EW umpamanya semakin diberikan penekanan oleh hampir keseluruhan angkatan tentera dunia kerana nilainya yang tinggi dari segi pulangan dan kerosakan yang boleh dihasilkan terhadap sesebuah angkatan tentera atau sebuah negara jika dilakukan dengan intensif. Dengan kegelojohan dunia merangkul teknologi ICT dalam hampir kesemua bidang dari pertanian, perindustrian, perdagangan, perubatan, komunikasi hinggalah kepada pertahanan, ini juga bermaksud mana-mana pihak yang boleh memanipulasikan sistem tersebut akan mampu menyeret sebuah negara untuk menyembah bumi bukan sahaja dan segi pertahanannya, tetapi juga dari segi ekonomi, perdagangan dan pembangunannya.

Perang Teluk I dan II dengan jelas telah memperlihatkan bagaimana sistem ICT dan EW Amerika telah berjaya melumpuhkan sebahagian besar dari kekuatan ketenteraan konvensional Iraq, walaupun belum sebutir peluru pun dilepaskan dari sempadan Kuwait ke tanah Iraq. Penyerakan sistem elektronik yang dilakukan oleh pihak Bersekutu dan Amerika, sama ada secara pancaran gelombang elektromagnetik, intipan komunikasi atau taburan risalah dan propaganda melalui siaran-siaran radio telah berjaya membuatkan sebahagian dari tentera darat Iraq yang terkenal dengan tradisi ketenteraannya hilang keupayaan untuk berperang.


Oleh yang demikian tentunya ATM juga perlu mengenalpasti dan mencari jalan penyelesaian agar nasib yang sama tidak akan menimpa diri mereka. Keadaan ini dilihat semakin kritikal apabila ATM secara beransur-ansur turut mendakap konsep pengoperasian yang meletakkan sistem ICT sebagai pemacu sebaran maklumat dan unit paling atas di kalangan panglima-panglima sehinggalah kepada divisyen dan batalion yang kemudiannya turun kepada unit-unit operasi kecil dan anggota perseorangan. Gambaran sistem yang melibatkan lCT dan NCW secara langsung dalam ATM boleh diambil dari sistem C3I (Command & Control, Communications & Inteligence) atau dalam ATM dikenali sebagai P4 (pengarahan & pengawalan, perhubungan & perisikan). Jika selama ini ATM melihat perolehan aset-aset yang terkini dan canggih serta kakuatan kuasa tembakan dan mobility sebagai sesuatu yang mesti wujud bagi sebuah angkatan tentera konvensional, pemikiran yang sama juga mestilah diterapkan terhadap ICT dan EW.

ICT dan EW dalam ATM


Sebagai tunjak kepada kekuatan tulang belakang ATM, tentera darat sentiasa diberikan perhatian oleh bukan sahaja pihak berwajib dalam usaha mempertingkatkan kemampuannya tetapi juga pihak tertentu yang mungkin menganggap ianya sebagai ‘bakal’ musuh pada suatu hari nanti. Pada lahun 2002, walaupun sukar untuk diterima oleh setengah pihak, kemampuan ATM dalam bidang NCW dan EW boleh diandaikan masih berada pada peringkat yang amat rendah atau mengikut kata ketua pengarah KOMLEK (Komunikasi Elektronik) pada waktu itu, kita masih berada pada peringkat ‘infant stage’. Kesedaran mengenai kepentingan sistem ICT dan NCW bagi sistem keselamatan negara bukanlah satu isu yang baru. Pada akhir dekad 1980-an bagi mempertingkatkan keberkesanan sistem P4, pada 1988 sebuah firma asing telah diarahkan untuk membangunkan sistem P4 milik ATM dengan kos yang rnenelan belanja sehingga RM4.5 billion. Memandangkan pihak ATM sendiri tidak berkemampuan untuk membina atau melaksanakan program tersebut dengan kepakaran yang sedia ada, keseluruhan program terpaksa diserahkan kepada firma luar negara tersebut. Menyulitkan lagi ialah firma tersebut menggunakan sistem perkakasan dan perisiian yang mempunyai label ‘propriety rights’ atau hak milik khusus yang tidak boleh diciplak atau diubah bentuknya dan tidak menggunakan sistem terbuka atau ‘open architecture’. Bertambah malang lagi bagi ATM apabila di atas sebab-sebab tertentu pihak kontraktor asing tersebut terpaksa menangguhkan pula program itu selama 18 bulan. Sekali lagi kedaifan kemampuan ICT dan EW ATM telah membuatkan ia tidak dapat mencari jalan alternatif dan sistem P4 mereka yang merupakan nadi kepada pertahanan negara sekiranya timbul sesuatu konflik berada dalam genggaman kontraktor asing. ATM tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan ia sendiri tidak berkemampuan dan kesemua teknologi serta pengalaman yang diperlukan berada pada firma asing tersebut.

Pengalaman ini memberikan kesan yang pahit pada ATM memandangkan bagi perubahan maklumat atau rombakan pada sistem yang telah diprogramkan, firma kontraktor asing akan terpaksa dipanggil bagi melakukan perubahan tersebut. Pada Jun 1996, sebuah firma tempatan diberikan kebenaran untuk terlibat secara minima dalam program P4 tersebut. Melihat kepada kemampuan prestasi firma tempatan ini, pada Februari 1997, mereka telah diberikan hak untuk melakukan senggaraan dan gantian perkakasan serta mengubah dan mencipta semula sisfem perisian P4 tersebut agar ianya lebih mudah untuk dioperasikan oleh pihak atau anggota ATM. Dengan perubahan dari segi bukan sahaja sistem perkakasan tetapi juga perisian, kerja-kerja senggaraan dan pertukaran data kini lebih mudah untuk dilakukan dan tidak lagi melibatkan firma atau pihak asing. Dari segi keselamatan maklumat atau kerahsiaan sistem pengoperasian pasukan keselamatan negara, menggunakan sistem dan firma tempatan dilihat sebagai lebih terjamin. Sistem ini siap sepenuhnya dan memulakan operasi pada tahun 2001 dengan keseluruhan sistem perisian dan komponen perkakasan yang digunakan dibuat atau dibeli oleh jurutera-jurutera tempatan sendiri. Kejayaan ini walaupun kadang-kala diperkecilkan oleh pihak-pihak yang masih berfikiran sempit mempunyai implikasi yang amat besar terhadap sumbangan pembangunan ICT dan keupayaam EW negara. Ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada sistem tersebut dianggap cukup baik dan berkesan. Malah pihak ATM menerusi KOMLEK telah mengupah firma IT persendirian terkemuka untuk cuba menggodam sistem tersebut, namun mereka gagal berbuat demikian. Sistem terbaru buatan tempatan ini telah berjaya mempertingkatkan lagi sistem penghantaran data dan video secara langsung, untuk membolehkan sidang video dilaksanakan antara pegawai-pegawai tertinggi menggunakan sistem komunikasi satelit.

Bagi pengoperasian unit-unit secara taktikal, ATM kini sedang giat membangukan sistem pengurusan medan tempur atau BMS (Battle Management Systems). Secara amnya sistem BMS akan dapat mempertingkatkan keupayaan sistem komunikasi dan jaringan yang sedia ada dengan menggunakan teknologi wayarles (wireless) sebagai alternatif kepada sistem waktu ini yang mengunakan talian tetap yang disewa. Sistem BMS tidak terhad kepada unit- unit tentera darat sahaja malahan tentera laut turut mempunyai sistem BMSnya yang tersendiri yang turut dibangunkan sebagai satu sistem percubaan oleh firma tempatan yang sama. Sebuah kapal LST, KD Inderapura dan salah sebuah kapal F2000 yang terbaru telah dipasangkan dengan sistem tersebut. Menurut beberapa sumber sistem tersebut telah terbukti mampu melaksanakan tugasnya dengan baik sewaktu latihan Pahlawan pada penghujung 2002. Bagi anggota TD, radio taktikal juga kini diberikan kemampuan baru dengan pengenalan sistem protokol internet dalam radio-radio unit yang beroperasi di garis hadapan. KOMLEK turut mensasarkan tiga projek utama untuk ATM iaitu :

  • Sistem pengurusan berasaskan data untuk semua cabang ATM serta secara bersepadu
  • Unit EW bagi membantu pasukan bersepadu ATM di peringkat markas utama
  • Pusat latihan EW yang dicadang akan ditubuhkan menjelang pertengahan 2004

Walau apa perancangan yang telah ditetapkan oleh pihak KOMLEK, intipati kepada apa jua program yang telah dan akan dirancang bergantung kepada sejauh manakah kemahuan kita dan pada tahap apakah kita meletakkan program ini dalam senarai kepentingan pertahanan negara. Jika kita benar-benar serius dalam perkara ini ATM mestilah menunjukkan ia turut mempunyai komitmen untuk melaksanakannya secara berterusan dan tidak hanya melepaskan batuk di tangga. Ini bermakna anggota-anggota yang terlibat mestilah diberikan pendedahan yang meluas, dihantar ke seminar-seminar serta pameran EW dan ICT, melanjutkan pelajaran ke institusi yang diperakui mempunyai program ICT atau EW yang mantap dan mengadakan sesi perbincangan atau ‘brain storming’ dengan pihak-pihak seperti NISER dan MAMPU untuk memastikan bahawa idea dan cadangan mengenai peningkatan ilmu ICT dan EW dalam ATM sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Kebimbangan kita ialah minat ATM dan penggubal dasar di Kementerian Pertahanan terhadap bidang ini lebih merupakan sesuatu yang bermusim dan bukan dari kepercayaan sebenar bahawa kita perlukan kekuatan dan kelebihan berbanding negara-negara jiran yang lain. Contohnya pada seminar ‘Electronic Warfare & Information Operations’ (EW & IO) yang di adakan di Adelaide, Australia pada pertengahan bulan Februari yang 2004, tiada seorangpun wakil dari ATM menghadirinya. Seminar yang berlangsung selama tiga hari itu antara lain dihadiri oleh pakar-pakar EW dan IO dari seluruh pelusuk dunia bagi membincangkan kepentingan, pengalaman, masalah dan masa hadapan operasi yang melibatkan EW dan IO. Negara jiran di selatan umpamanya menghantar sehingga empat wakil ke persidangan tersebut.

Pameran DSA-Antara peningkatan kuasa sebenar & lubuk komisyen


Seperti juga pameran-pameran pertahanan lain, DSA adalah antara pameran pertahanan pelbagai cabang ketenteraan yang dianggap terulung di rantau Asia Tenggara dan kedua terbesar di dunia. Bagi ATM sepanjang berlangsungnya pameran tersebut, ia memberikan pelbagai pihak, dan pegawai-pegawai tertinggi, pegawai kanan, anggota biasa hinggalah wakil perbendaharaan dari Kementerian Pertahanan melihat pelbagai jenis sistem persenjataan dan peralatan sokongan yang berkaitan dengan operasi ketenteraan. Ini termasuklah dari sekecil pisau lipat kepada raifal, meriam, kereta kebal sehinggalah kapal pengangkut. Bagi pegawai-pegawai yang berkenaan, masa terhad yang diluangkan di lantai pameran dan perbincangan tertutup dengan wakil-wakil industri dari dalam dan luar negara akan merupakan agenda utama. Ini disusuli pula dengan permainan golf dan jamuan makan malam yang seakan tiada kesudahannya. Kita mempunyai harapan tinggi bahawa segala keputusan, walaupun pada peringkat perbincangan mengenai sesuatu sistem yang dianggap boleh diguna pakai oleh ATM atau yang diperlukan mestilah mengikut prosedur yang betul dan menepati ciri-ciri yang diperlukan oleh doktrin atau keperluan operasi yang telah ditetapkan sebelum ini. Sepanjang sejarah perolehan yang dilakukan oleh pihak ketiga-tiga cabang angkatan tentera, sememangnya kita tidak dapat melarikan diri dari kenyataan bahawa terdapat pembelian-pembelian yang dianggap kurang bijak. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuding jari dan menuduh bahawa terdapat unsur-unsur tidak sihat yang mempengaruhi pembelian atau perolehan tersebut. Apa yang penting ialah kita mestilah peka dan sedar bahawa setiap pembelian dan perolehan lazimnya akan menelan belanja yang bukan sedikit. Rakyat dari seorang penoreh getah, nelayan, jurutera, pegawai kerajaan dan ahli korporat mempunyai hak untuk bersuara dan bertanya mengenai ke arah manakah wang yang telah diamanahkan kepada pihak tertentu bagi tujuan perbelanjaan pertahanan. Apakah aset yang dibeli mampu memberikan anggota-anggota yang mengendalikannya keupayaan tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara ini atau lebih banyak menghabiskan masa di woksyop untuk dibaik pulih.

Dalam dunia globalisasi hari ini penyebaran maklumat adalah sesuatu yang lumrah dan ini memberikan kelebihan kepada pegawai-pegawai perolehan dari uji nilai untuk mencari pelbagai dokumen dan maklumat yang diperlukan terhadap sesuatu aset. Apa yang diperlukan adalah inisiatif sendiri mencari yang terbaik dan meletakkan kepentingan negara dari apa jua kepentingan peribadi atau kewangan yang boleh dicapai melalui sesuatu perolehan. Ketelusan dalam melakukan penilaian terhadap sesuatu sistem juga mestilah jelas dan nyata tanpa sebarang tekanan baik dari elemen dalaman mahupun luaran yang mungkin mempunyai motif atau niat serong. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pihak penasihat perdagangan Amerika Syarikat beberapa tahun yang lalu kepada firma-firma negara tersebut yang ingin melabur atau menjalankan aktiviti komersial yang berasaskan aset pertahanan atau persenjataan, mereka tidak harus terkejut sekiranya pihak orang tengah atau ejen antara mereka dan Kementerian Pertahanan meminta 30% dari nilai aset bagi tujuan komisyen. Bayangkan berapakah jumlah yang diperolehi dalam pembelian sistem persenjataan yang bernilai beratus-ratus juta RM hanya untuk bertindak sebagai ejen. Pun begitu kita harus akur bahawa tidak ada firma korporat atau ejen yang mahu rugi dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi, tetapi nisbah keuntungan haruslah berpada dengan jenis sistem yang ditawarkan dan apakah khidmat selepas jualan dapat dibekalkan secara sistematik, atau ATM sendiri terpaksa meraba-raba mencari siapakah OEM yang sebenar untuk mendapatkan alat ganti sedangkan ejen bersifat lepas tangan sebaik sahaja kontrak ditandatangani dan cek habuan komisyen diterima. Dengan kepimpinan negara baru sahaja diberikan mandat baru oleh rakyat dan berbilang bangsa serta latarbelakang, dari pemandu teksi kepada pekebun sayur, dari arkitek kepada penyapu sampah, dari pensyarah kepada seorang remaja, kerajaan Malaysia dengan slogan negara ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ perlu membuktikan bahawa unsur ketelusan dan bersih dari rasuah yang dilaungkan oleh Perdana Menteri bukan setakat menanam tebu di bibir mulut sahaja. Rakyat telah membuat keputusan berada di belakang slogan yang telah dilaungkan, kini tiba masanya bagi mereka yang telah diamanahkan memikul tanggungjawab tersebut untuk meneruskan kesinambungan membangunkan ATM sebagai sebuah pasukan yang kredibel mampu menghadapi apa jua ancaman yang bakal di hadapi dari dalam dan luar negara.