Custom Search

Reviews Directory

Selasa, 19 Februari 2008

Apabila Ulama Mentadbir

Kehadiran ulama sebagai umara bukanlah suatu yang luar biasa. Ia suatu yang wajar dan tidak perlu dibimbangi atau dipertikaikan.

Tahun 1999 mencatatkan sejarah baru dalam politik negara apabila ramai tokoh agama melibatkan diri dalam politik. Antara tokoh tersebut adalah Profesor Datuk Dr. Haron Din, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang suatu ketika dahulu sering muncul di kaca televisyen melalui rancangan Forum Perdana. Tidak ketinggalan dalam ‘penghijrahan” itu ialah nama-nama seperti Ustaz Ahmad Awang, bekas orang kuat Persatuan Ulama Malaysia dan Ustaz Taib Azamuddin, bekas Imam Besar Masjid Negara.

Kemunculan begitu ramai ustaz dan tok guru dalam arena politik tempatan menimbulkan pelbagai reaksi. Kesannya sangat signifikan kepada imej PAS apabila begitu ramai golongan profesional dan ulama muncul dalam saf kepimpinannya, menjadi petanda bahawa perjuangan PAS telah diterima ramai intelek Melayu.

Namun tidak dinafikan juga ada yang melabel golongan ulama ini sebagai pemecah belah masyarakat, menggunakan agama untuk kepentingan politik, anti pembangunan dan bermacam lagi tuduhan.

Sebenarnya perihal ulama yang menjadi umarak bukanlah sesuatu yang ganjil atau bertentangan dengan ajaran Islam. Khulafa al-Rasyidin iaitu Syaidina Abu Bakar, Syaidina Umar, Syaidina Uthman dan Syaidina Ali adalah pemerintah-pemerintah awal Islam yang bertaraf ulama. Malah dalam era kerajaan Bani Umaiyyah, Bani Abbasiyah dan Turki Uthmaniyah juga terdapat pemerintah yang memegang “title” Ulama. Contoh yang paling masyhur adalah Khalifah Umar Abdul Aziz.

Perbahasan mengenai penglibatan ulama dalam politik tanahair berlaku apabila negara-negara umat Islam disekularkan oleh penjajah barat. Mungkin juga senario politik Malaysia yang banyak dipalit fahaman sekularisme, nasionalisme dan sosialisme telah menyempitkan ruang bagi pemahaman sistem pemerintahan Islam atau dalam istilah fuqaha “Siyasah Syar’ieyyah”

Untuk mengupas sebab-akibat fenomena ini berlaku di dunia dan khususnya di Malaysia, kita perlu mendalami apakah yang dimaksudkan dengan “Siyasah Syar’ieyyah”. Persoalan ini dapat menjawab sebahagian besar perdebatan mengenai ulama dan politik.

Siyasah syar’ieyyah atau pemerintahan Islam adalah alat yang panting bagi menegakkan maqasid syara’ matlamat syara’. Tujuan utama siyasah syar’ieyyah ialah untuk menyampai dan menegakkan syariat Islam. Hubungan agama dan pemerintahan diungkapkan oleh Imam al-Ghazali sebagai dua entiti yang saling memerlukan.

Menurutnya, agama itu adalah asas dan (kekuasaan) pemerintahan itu penjaganya. Setiap yang tiada asas akan rosak dan setiap yang tiada penjaga akan hilang.

Namun, perlu diingatkan bahawa siyasah syar’ieyyah hanyalah wasilah untuk menegakkan perintah Allah, bukannya matlamat yang dikejar. Allah lah pentadbir sebenar di muka bumi ini dan manusia hanyalah khalifah Allah untuk menjalankan segala perintah dan larangan-Nya. Sa’id Hawwa menyatakan bahawa matlamat mewujudkan khalifah dunia bukan untuk memberi kekuasaan kepada manusia tapi untuk memberi kekuasaan kepada Islam yang dilaksanakan oleh Mukmin.

Dalam ajaran Islam, agama dan politik atau urusan pemerintahan tidak dipisahkan. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Hassan al-Banna : “Islam adalah negara dan tanah air atau kerajaan dan rakyat”. Fahaman yang memisahkan agama dan urusan pemerintahan digelar sekularisme. Fahaman ini amat bertentangan dengan fitrah dan aqidah Islam itu sendiri. Sheikh Mustafa Sabri, mufti terakhir Kerajaan Uthmaniah mengatakan bahawa pemisahan agama dan politik adalah jalan pintas untuk seseorang menjadi kufur. Maka jelas di sini hubungan Islam dan pemerintahan. Tetapi bagaimana pula halnya ulama dengan pemerintahan? Apakah perlunya ulama mentadbir?

Definisi ulama adalah orang-orang yang berilmu, secara khususnya ilmu berkenaan Islam. Ulama pewaris Nabi bererti bukan sahaja golongan manusia yang mempunyai ilmu agama dan mengajar ilmu tersebut kepada orang ramai, tetapi perlu memiliki ciri-ciri tertentu yang melayakkannya bergelar pewaris para Nabi.

Ciri utama yang perlu ada pada diri seorang ulama adalah ketaqwaan. Inilah yang membezakan seorang itu dan seorang orientalis kerana kedua-duanya memiliki ilmu dalam bidang agama. Firman Allah s.w.t. : “Hanya semata-mata yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya ialah Ulama” (Al-Fathir: 28)

Sifat kedua seorang ulama ialah beliau mestilah mempunyai ilmu yang mendalam tentang Islam dan pengetahuan umum dalam cabang-cabang ilmu yang lain. Hanya dengan ilmulah seseorang boleh memimpin ummah dan dengannya jualah seorang ulama dapat mendampingi masyarakat. Apabila dikatakan ulama sebagai pewaris Nabi, maka ilmu yang ditinggalkan para Nabi dan Rasul, iaitu al-Quran dan as-Sunnah, harus menjadi teras dalam kehidupannya. Ini amat penting kerana seorang ulama mesti boleh berijtihad dalam hal-hal yang berkaitan kehidupan seharian manusia.

Ciri ketiga ulama adalah menyampaikan dakwah Islam. Bersesuaian sebagai waris Nabi, peranan ulama adalah menyampaikan ajaran Islam sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Nabi Muhammad saw. Seorang yang berilmu dan bertaqwa tetapi mengasingkan diri di pejabat-pejabat atau di tempat-tempat ibadat lebih sesuai dinamakan sebagai ahli sufi sahaja.

Dari sudut keutamaan di sisi Allah swt, seorang yang terjun berijtihad di tengah-tengah masyarakat untuk berdakwah dan berhadapan dengan ancaman dan kecaman, lebih mulia berbanding seorang ahli sufi yang menyendiri. Ini telah ditegaskan oleh Imam Hassan al-Banna dengan katanya : ”orang yang berjihad lebih sufi daripada ahli sufi kerana mujahadahnya lebih”.

Kiyai Haji Irfan Zidni (salah seorang pemimpin Nahdatul Ulama Indonesia) menyatakan bahawa jika ulama hanya bertahan di inslitusi pengajian tinggi untuk mengajar ilmu tetapi tidak memimpin ummat, maka beliau belum boleh digolongkan sebagai ulama pewaris Nabi. Sabda Rasulullah saw, yang bermaksud : ”Perumpamaan para ulama di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang tersebut mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk” (Hadith Riwayat Imam Ahmad).

Ciri terakhir seorang ulama adalah dia mesti berani mempertahankan yang benar, amar ma’aruf dan nahi munkar. Ciri terakhir inilah yang membezakan ulama sebenar daripada ulama as-su’ atau ulama jahat, seperti yang dicatat oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin. Melalui sifat ini jugalah seorang ulama memperolehi wibawanya. Keberanian sebegini adalah syarat bagi seorang ulama menjawat jawatan penasihat pemerintah atau menjadi wakil dalam Parlimen agar tidak dijadikan boneka oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

Walaupun terdapat mitos bahawa ulama tidak pandai mentadbir, hakikatnya keupayaan ulama mentadbir sebuah kerajaan telah terbukti. Malah, anggapan bahawa suasana huru-hara akan berlaku kiranya ulama mentadbir negara adalah satu alasan yang dangkal bagi mereka yang takut dengan pengaruh golongan ulama ini.

Ulama yang menjadi umara tanggungjawabnya lebih besar daripada ulama yang bukan umara. Mereka bukan sahaja berperanan sebagai pewaris Nabi, malah tidak salah kalau dikatakan mereka berperanan seperti para Rasul. Ini kerana seorang Nabi tidak wajib menyampaikan dakwah kepada masyarakat tetapi seorang Rasul wajib menyampaikan ”Deen” Islam kepada umat. Maka, ulama yang telah dinobatkan rakyat sebagai wakil rakyat perlu bersama-sama dengan rakyat.

Menurut Imam al-Mawardi dalam Al-Ahkam al-Sultaniyah, Al-Imamah atau pemimpin adalah pengganti Nabi untuk memelihara agama dan mentadbir dunia dengan agama. Tugas ini khusus untuk para pemimpin Islam, dan pastinya seseorang yang dibebani amanah yang berat ini harus memiliki ciri-ciri tertentu. Imam al-Mawardi telah menyenaraikan 7 syarat bagi seorang khalifah. Syarat-syarat yang wajib bagi seorang khalifah ialah adil, berilmu yang membolehkannya berijtihad, sejahtera pancainderanya, tidak cacat anggotanya yang mana boleh menghalangnya daripada melaksanakan tugas, mempunyai ketajaman fikiran, berani dan mempunyai kekuatan ‘assabiyyah’ atau pengikut yang ramai.

Berdasarkan syarat-syarat ini, seorang ulama adalah calon yang paling sesuai dalam memikul peranan khalifah untuk menongkah arus cabaran globalisasi. Hal ini lebih jelas apabila Imam al-Mawardi mengatakan bahawa : “Apabila berlaku kekosongan jawatan ketua negara, maka dua golongan masyarakat haruslah tampil ke hadapan untuk mengisi kekosongan itu. Golongan pertama ialah golongan yang mempunyai kelayakan menjadi calon (ketua negara) manakala golongan kedua pula ialah golongan yang layak menjadi pelapis calon. Golongan yang layak menjadi calon sudah barang tentu dari kalangan ulama kerana salah satu daripada syarat-syarat kelayakan itu ialah memahami syariat sampai kepada peningkatan ijtihad”.

Kehadiran ulama dalam medan politik merupakan satu tuntutan semasa dengan melihat kepada senario penghakisan aqidah umat Islam di bawah pemerintahan secular. Dalam satu kenyataannya, Prof. Dr. Sheikh Abdul Razak As Sa’di mengatakan faktor-faktor yang merosakkan aqidah umat Islam masa kini adalah serangan musuh Islam itu sendiri. Orang Islam yang diperalatkan oleh musuh Islam dan kerana ulama tidak bergelanggang di tengah-tengah masyarakat.

Serangan pasca-perang salib adalah dalam bentuk pemikiran dan ideologi. Serangan ini diasak masuk ke dalam fikiran umat Islam melalui dakyah orang kafir dan orientalis, termasuk kader-kader mereka yang terdiri daripada penganut agama Islam sendiri yang mana pegangan agamanya ternyata rapuh. Faktor ketiga berkembangnya arus pemikiran pemisahan agama dan urusan dunia ini menurut beliau adalah kerana kelemahan pihak orang Islam sendiri, khususnya ulamanya yang enggan bermasyarakat untuk membersihkan pemikiran umat, termasuklah secara politik.

Ibnu Taimiyyah berpendapat jihad menegakkan hukum Allah ke atas golongan batiniyah merupakan sebesar-besar amalan taat dan sebesar-besar kewajipan. Tambah beliau lagi, menegakkan negara Islam adalah satu kewajiban yang besar dalam agama dan Islam tidak akan dapat ditegakkan kecuali dengan adanya sebuah negara Islam yang berdaulat.

Untuk menegakkan sebuah negara Islam yang dapat melindungi aqidah, nyawa, pemikiran, harta dan maruah umat Islam, ulama harus berperanan dalam politik kerana golongan inilah sahaja yang mempunyai ciri-ciri khalifah yang dapat mengembalikan kedaulatan Islam.

Tidak semua jemaah Islam yang memperjuangkan sebuah negara Islam mengambil bentuk sebuah parti politik. Sesetengah jemaah secara langsung adalah juga sebuah parti politik dan terdapat juga jemaah yang membentuk platform berasingan untuk berpolitik. Contohnya di Algeria dan Yaman, jemaah Islam di sana telah berubah menjadi parti polilik. Sebaliknya di Jordan terdapat parti (Parti Jabhah Amal Islami) yang menjadi platform politik kepada jemaah. Walaa apa pun caranya jemaah itu menjelmakan dirinya dalam polilik tidak dapat dinafikan kepentingannya kepada dakwah Islamiah.

Dapat disimpulkan di sini ulama sememangnya harus bergerak dalam politik apabila keadaan semasa memerlukannya. Penglibatan mereka haruslah secara tersusun dalam sebuah jemaah Islam dan mereka sendiri hendaklah bersifat dengan sifat ulama rabbani.

Umumnya, penglibatan ulama ke dalam politik mempunyai kesan positif dan negatif. Ini bergantung kepada cara ulama itu sendiri mengasimilasi diri ke dalam masyarakat. Jika niatnya betul tetapi kaedahnya tidak sesuai dengan realiti semasa, penglibatan ulama boleh mengeruhkan lagi keadaan dan kadang-kala menimbulkan fitnah. Dengan tindakan yang terburu-buru dan tidak berhikmah, di sebalik mendekatkan masyarakat kepada Islam, dia akan menjauhkan lagi mereka dari Islam.

Ulama yang berpolitik juga terdedah kepada risiko. Ulama-ulama terdahulu seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Hassan al-Banna pernah dipenjara, disiksa, dibuang negeri dan malah dibunuh. Sejarab berulang hari ini apabila kaedah-kaedah yang sama juga digunakan untuk menutup malut para ulama yang kritis menegur tindak-tanduk pemimpin yang dianggap tidak selari dengan ajaran Islam. Oleh itu seorang ulama haruslah bersedia fizikal, emosi dan mental untuk menjadi seorang ahli politik.

Akhir sekali, ulama yang berpolilik haruslah membezakan antara agenda politik daripada dakwahnya kepada masyarakat. Tujuan mereka berpolitik adalah untuk memperbaiki akhlak masyarakat dan menegakkan syariat Allah. Jika matlamat telah dikaburi oleh alat, maka akan timbul suasana di mana dakwah telah hilang nilainya kepada masyarakat. Kita boleh lihat kesan ini hari ini apabila ulama-ulama yang bertazkirah di masjid dan surau dikecam hebat sebagai pelampau agama yang menggunakan institusi agama sebagai pentas polilik.

Kesan pengucapan yang tidak berhikmah, akhirnya larangan-larangan dibuat ke atas majlis-majlis ilmu dan ini amat merugikan umat Islam sendiri. Tidak ketinggalan juga ulama dipersenda dan diperlekeh.

Walaupun penglibatan ulama dalam politik kepartian mendatangkan kebaikan dari segi kesedaran rakyat dan perkembangan dakwah, ulama dinasihatkan supaya menjadi ”khudwah hasanah” dan meletakkan kemaslahan umat sebagai prioriti.

Daripada hujuh-hujah yang telah dikemukakan, jelas kepada kita bahawa telah menjadi tanggungjawab alim ulama untuk bergiat dalam politik sebagai wasilah menegakkan cita-cita Islam. Namun, ulama haruslah berpolitik dalam batas-batas syara’ agar satu imej yang positif dan suasana yang kondusif dapat diwujudkan. Ini amat penting untuk mencapai matlamat dalam perjuangan di medan polilik dan pilihanraya.

Sejarah Peperangan

PERANG DEMI PERANG, SAMPAI BILA?

Peperangan sudah mempunyai sejarah yang panjang namun peperangan moden belum menjangkau usia seabad. Sepanjang tempoh itu, manusia moden yang kononnya bencikan peperangan terus tidak dapat mengelakkan diri daripada berseteru dan akhirnya berperang dan saling berbunuhan. Perang Dunia Pertama diikuti dengan Perang Dunia Kedua dan kini seluruh dunia menunggu Perang Dunia Ketiga. Dapatkah peperangan global yang ketiga ini dielakkan?

Perang Dunia Pertama (1914-1918)
Perang Dunia Kedua yang meletus pada awal bulan Ogos 1914 merupakan peperangan yang melibatkan negara Eropah. Namun, Afrika dan Asia turut dilibatkan apabila wilayah ini menjadi rebutan negara Eropah untuk dijadikan tanah jajahan. Tanah jajahan Perancis seperti Algeria dan Vietnam turut dilibatkan bagi membekalkan anggota tentera, sementara di Tanah Melayu dan Myanmar kutipan derma perang dilakukan dengan giatnya daripada rakyat peribumi bagi membantu Britain. Kemasukan Amerika Syarikat secara ketenteraan pada tahun 1917 di pihak Britain - Perancis, memastikan tentera Jerman dan sekutuaya dapat ditewaskan.

Peperangan ini ditamatkan selepas tahun 1919 oleh beberapa perjanjian yang dibuat berasingan oleh pihak yang menang dengan pihak yang kalah. Perjanjian Versailles yang ditandatangani pada bulan Septembar 1919 di antara pihak yang menang dengan Jerman merupakan yang terpenting kerana kesanya kepada sejarah Eropah berikutnya.

Perang Dunia Pertama banyak meninggalkan kesan sosial. Berjuta-juta askar dan orang awam terkorban, banyak harta benda musnah dan negara-negara yang terlibat mengalami kerugian besar. Kemiskinan di Eropah turut berleluasa. Negara-negara yang terlibat banyak mengeluarkan belanja untuk membiayai kos peperangan. Inflasi dan pengangguran juga berlaku di Eropah. Negara-negara Eropah kehilangan pasaran perdagangan kepada Amerika Syarikat dan Jepun.

Dari segi nyawa manusia, peperangan ini telah menyebabkan hampir 8.5 juta tentera dan 12.5 juta orang awam terkorban. Dari segi harta benda pula, peperangan ini mengakibatkan kemusnahan yang bernilai hampir AS$36 760 juta.

Perang Dunia Kedua (1939-1945)
Perang Dunia Kedua berlaku lebih kurang 20 tahun selepas tamataya Perang Dunia Pertama dan berlanjutan selama tujuh tahun. Perang ini bermula di Eropah dan merebak ke negara negara Asia. Kuasa-kuasa yang terlibat dalam Perang Dunia Kedua ialah Kuasa Paksi dan Kuasa Bersekutu.

Perang Dunia Kedua meletus kerana beberapa sebab yang berkaitan dengan Perang Dunia Pertama. Kelemahan Perjanjian Versailles 1919 yang ditandatangani negara-negara kalah untuk menamatkan Perang Dunia Pertama dianggap penyebab peperangan tersebut dan mereka mesti membayar denda. Jerman menganggap perjanjian ini tidak adil kerana mereka dipaksa membayar pampasan perang yang tinggi. Jerman juga kehilangan tanah jajahannya kepada Perancis dan Poland. Perancis menduduki wilayah Saar yang kaya dengan arang hatu. Wilayah Rhineland di antara Jerman dengan Perancis dijadikan zon bebas tentera. Jerman dilarang menempatkan tenteranya di wilayah tersebut. Angkatan tentera laut dan udara Jerman juga dikurangkan dan dihadkan.

Itali yang menang dalam Perang Dnnia Pertama tidak puas hati dengan Perjanjian Versailles kerana tidak mendapat pampasan Perang Dunia Kedua (1939-1945) sebanyak yang diterima oleh Britain dan Perancis. Itali tidak mendapat tanah jajahan baru seperti British dan Perancis walaupun Itali menyebelahi kedua-dua kuasa tensebut.

Selepas tahun 1937, Jerman dan Itali yang berhasrat mencabar status-quo politik dan ketenteraan di Eropah, menjadi semakin berpengaruh. Itali paling lantang menyuarakan perubahan, sementara Jerman, negara yang mempunyai pasukan tentera terbesar hanya bertindak pada tahun 1938 dengan menakluki Austria dan Czechoslovakia. Penaklukan Austria pada 13 Mac 1938 yang dibuat berselindungkan penyatuan rumpun sebangsa (bangsa Aryan) menunjukkan kepada masyarakat dunia bagaimana sebuah negara besar menggunakan paksaan dan ugutan kepada negara yang lebih kecil, sementara negara-negara besar yang lain seperti Britain dan Perancis memberi persetujuan kepada Hitler.

Perang Dunia Kedua menyebabkan negara Jenmnan berpecah menjadi dua negara iaitu Jerman Barat dan Jerman Timur. Jerman Barat mengamalkan ideologi politik demokrasi manakala Jerman Timur dikuasai golongan komunis. Tembok Berlin didirikan untuk mengasingkan kedua-dua negara tersebut. Selain itu, kemunculan Amerika Syarikat dan Rusia juga turut berlaku sebagai kuasa utama.

Kesepakatan turut wujud apabila kuasa kuasa besar dunia mahu menubuhkan sebuah badan antarabangsa bagi menggantikan Liga Bangsa-bangsa. Hasilnya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan pada bulan Oktoher 1945.

Perang Dingin
Perang dingin merujuk pada keadaan tegang yang wujud antara Amerika dan negara-negara Barat yang mendukung demokrasi dengan Soviet Union dan sekutu-sekutunya yang berideologi komunis dan sosialis. Ia dinamakan perang dingin kerana tidak melibatkan se
barang pertempuran bersenjata secara langsung. Ia lebih melibatkan perlumbaan program pembangunan senjata canggih. Namun begitu kedua-dua negara ini terlibat dalam peperangan sebenar secara langsung menerusi peranan mereka sebagai dalang dalam peperangan yang berlaku di beberapa buah negara lain. Contohnya dalam peperangan di Afghanistan. Soviet Union menyokong kerajaan pada masa ini dengan membekalkan senjata dan Amerika menyokong puak mujahidin dengan senjata-senjata dan bantuan kewangannya.

Perang Dingin hanya berakhir pada tahun 1990 apabila runtuhnya pengaruh komunis di negara-negara pakatan Warsaw Apabila perubahan melanda Poland, Yugoslavia, Jerman Timur, Checkoslovakia, Hungary dan Bulgaria serta berpecahnya Kesatuan Soviet.

Pecahnya Kesatuan Soviet bererti ranapnya pengaruh dan kuasa komunis di seluruh dunia. Kini Soviet Union telah bertukar menjadi Russia. Gagasan dan idealisme komunis semakin tawar dan tidak lagi diminati. Tumpuan masyarakat antarabangsa kepada negara-negara komunis selepas itu tidak lagi berasaskan ideologi tetapi lebih berasaskan soal ekonomi dan perdagangan.

Perubahan-perubahan yang berlaku di blok Timur sekali gus menamatkan Perang Dingin antara Blok Timur dengan Blok Barat.

Perang Amerika - Vietnam
Perang Vietnam mempunyai tiga peringkat. Peringkat pertama berlaku pada 1945-1954 iaitu peringkat pembebasan.
Dan tahun 1954-1975, peringkat penyatuan Vietnam dan ketiga dari tahun 1978-1991, pendudukan Vietnam ke atas Kemboja. Perang peringkat pertama dan kedua merupakan yang paling penting dan dikenang hingga sekarang. Semasa tercetusnya perang Vietnam, terdapat tiga kuasa besar yang turut berperanan iaitu Amerika Syarikat, Soviet dan China. Banyak bantuan dan sumbangan yang telah diberikan oleh ketiga-tiga kuasa besar tersebut.

Semasa tercetusnya perang, Vietnam Selatan berfahaman bebas dan liberal dibantu oleh Amerika manakala Vietnam Utara yang berfahaman komunis disokong oleh Soviet Union dan China. Amerika Syarikat membunuh orang awam di Vietnam pada skala di antara 195,000 dan 415,000 orang. Kawasan-kawasan luas yang dapat digunakan untuk pertanian dibinasakan oleh senjata kimia. Separuh daripada petani Vietnam selatan dipaksa masuk ke dalam zon-zon selamat. Tujuan ini adalah untuk menafikan sokongan orang ramai kepada pihak musuh.

Perang Arab - Israel
Negara Arab yang
terlibat secara langsung dalam peperangan Arab-Israel pada lahun 1967 ialah Mesir, Jordan dan Syria. Kekuatan tentera kedua belah pihak pra konflik adalah seperti berikut:

Daripada kekuatan tentera, jelas amat sukar untuk Israel menang. Malang bagi negara Arab, kerana kesilapan strategi. Kekuatan Tentera Udara Mesir hancur dalam beberapa jam sahaja hasil daripada Pre-Emptive Attack Israel. Dengan kehancuran tentera Udara Mesir, kekuatan Syria dan Jordan dengan mudah dihancurkan. Dalam masa 6 hari, Arab mengaku kalah. Israel berjaya menawan Semenanjung Sinai di Mesir, Bukit Golan di Syria dan Tebing Barat di Jordan.

Selain daripada peperangan-peperangan ini, dunia terus digugat oleh pelbagai konflik bersenjata. Perang India-Pakistan, Perang Korea, Perang Teluk 1991, Perang Amerika ke atas Afghanistan pada tahun 2001 dan banyak lagi peperangan-peperangan kecil di Asia, Afrika dan Amerika Latin adalah gambaran kedegilan dan kegilaan manusia.

Perang : Pertahankan Islam

BERPERANGLAH BAGI MEMPERTAHANKAN AGAMA

Ketika Allah ingin mencipta makhluk bergelar manusia untuk hidup di atas muka bumi ini, Allah terlebih dahulu memaklumkannya kepada para Malaikat. Para Malaikat lantas bertanya hikmah di sebalik penciptaan manusia ini. Adakah Allah ingin mencipta makhluk yang akan merosakkan muka bumi dan melakukan pertumpahan darah?

Cerita ini dirakamkan oleh Allah dalam firmanNya bermakud : “Dan Ingatlah ketika mana Allah berfirman kepada para Malaikat, sesungguhnya Aku akan meletakkan di atas muka bumi ini seorang khalifah (Adam). Malaikat lantas bertanya: Adakah Engkau akan meletakkan di atas muka bumi ini makhluk yang akan merosakkannya dan menumpahkan darah? Allah Taala menjawab; Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak ketahui:’ (al-Baqarah 30)

Menurut Ibnu Abbas, persoalan ini ditimbulkan oleh Malaikat kerana makhluk Jin yang dicipta terlebih dahulu daripada manusia dan menghuni alam ini telah melakukan pertumpahan darah dan berbunuh-bunuhan sesama mereka. Justeru, mereka tertanya-tanya adakah makhluk baru bergelar manusia ini sama sifatnya seperti makhluk sebelumnya yang akan memusnahkan alam dan berperang sesama sendiri. Allah menjawab, bahawa Dia lebih mengetahui hikmah di sebalik penciptaan makhluk baru ini.

Andaian Malaikat memang tepat. Makhluk bergelar manusia ini juga telah merosakkan alam ini berbunuh-bunuhan sesama mereka. Mereka tidak ubah seperti makhluk jin sebelunmya. Inilah yang telah tercatat dalam tinta sejarah. Peperangan demi peperangan berlaku. Peperangan menjadi alat untuk golongan yang ingin berkuasa meluaskan kekuasaannya. Lahir golongan penjajah yang bernafsu menguasai negeri yang lemah. Mereka sanggup membunuh demi mendapatkan kuasa dan harta.

Sejarah manusia moden memperlihatkan kerakusan manusia menakluk dunia hingga tercetus perang dunia pertama dan kedua, Jepun melancarkan perang terhadap negara-negara di Asia Tenggara. Jerman mengisytiharkan perang di negara-negara Eropah. Israel pula menguasai Palestin, akhirnya perang tercetus antara umat Islam di negara Arab dan Israel. Perang terus berlaku.

Benua India bergolak dengan isu Kashmir. Vietnam diserang oleh Amerika. Korea Utara dan Selatan berbunuh-bunuhan. Peperangan berlaku antara Iran dan Iraq. Soviet Union pula menyerang bumi Afghanistan. Iraq menyerang Kuwait. Berlakulah perang Teluk, Bosnia diserang oleb Serbia. Umat Islam Kosovo pula dibunuh. Sementara umat Islam di Chehnya diperangi oleh Rusia.

Seterusnya, ketenangan bumi Afghanistan berakhir apabila diserang oleh tentera bersekutu yang diketuai oleh Amerika tanpa sebab dan alasan yang boleh diterima oleh akal yang waras. Dan terbaru, dunia menyaksikan Amerika yang rakus memerangi Iraq hanya semata-mata untuk menguasai hasil bumi Iraq yang kaya dengan emas hitam. Sedangkan kekejaman Israel dipandang sebelah mata.

Tetapi apakah hikmah disebalik apa yang berlaku. Adakah makhluk manusia sama seperti makhluk Jin sebelumnya yang telah berbunuhan sesama mereka? Kalau begitu apa bezanya mereka dengan makhluk Jin?

Bezanya ialah makhluk manusia ini sentiasa dipimpin oleh para Nabi dan dipandu oleh Kitab Ilahi yang akan melahirkan pejuang pejuang kebenaran yang akan terus berjuang menentang golongan yang fasik dan suka berperang. Apabila ada golongan yang berperang untuk memuaskan nafsu serakah mereka, tentu akan lahir dikalangan golongan yang akan mengangkat senjata memerangi mereka di atas nama kebenaran. Dengan itulah berlaku keseimbangan dalam kehidupan manusia.

Allah Taala berfirman (bermaksud): “Orang orang yang beriman berperang di jalan Allah, sementara orang-orang yang kufur berperang di jalan Taghut. Justeru, perangilah pembantu-pembantu syaitan. Sesungguhnya tipu daya Syaitan itu amat lemah.’ (an-Nisa 76).

Ayat di atas menjelaskan, peperangan di kalangan manusia akan terus berlaku, Selagi manusia dibekalkan nafsu serakah kebinatangan, peperangan akan menjadi alat untuk mereka mendapatkan apa yang mereka ingini. Selagi adanya syaitan, pasti ada golongan yang akan menjadi juak-juak syaitan yang akan terus berusaha merosakkan muka bumi ini dan menumpahkan darah di kalangan manusia.

Justeru itu, Allah menjadikan peperangan sebagai satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh orang yang beriman. Mereka tidak ada sebarang pilihan. Sama ada mereka membiarkan golongan yang jahat terus bermaharajalela membunuh manusia tidak berdosa atau mereka bangkit menghunus pedang dan melepaskan bom dan peluru berpandu demi mempertahankan manusia yang tidak bersalah.

Allah berfirman (bermaksud) : “Maka hendaklah berperang di jalan Allah mereka yang sanggup menjual kehidupan dunia dengan mendapatkan akhirat. Dan sesiapa yang berperang di jalan Allah, lalu dia terbunuh atau menang, pasti Kami kurniakan kepadanya ganjaran pahala yang besar (an- Nisa 74)

Oleh kerana pejuang Islam sanggup bangkit mempertahankan manusia yang ditindas dan mempertaruhkan nyawanya demi perjuangan suci ini dan bersedia menjual kehidupan dunianya demi kesejahteraan manusia lain. Allah kurniakan kepada mereka kehidupan bahagia di alam kedua. Mereka diberikan kehidupan yang tidak seperti kehidupan dunia. Mereka digelar sebagai Syuhada.

Tetapi mempertaruhkan nyawa bukan suatu yang mudah. Peperangan bukanlah sesuatu yang disukai. Terdapat banyak rintangan dan halangan, Allah Taala berfirman (bermaksud): ‘Difardhukan ke atas kamu berperang, sedangkan ianya dibenci oleh kamu. Boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedangkan ianya adalah baik untuk kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan ia tidak baik untuk kamu. Allah maha mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.’ (al-Baqarah, 2l)

Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Yang terbaik untuk mereka ialah bangkit mempertahankan umat manusia yang dizalimi di atas nama perang fi’sabilillah demi memerangi golongan yang melancarkan perang di atas nama syaitan.

Tidak semua manusia sanggup menggadaikan kehidupan dunia yang amat menyeronokkan. Mereka yang tidak ditimpa musibah peperangan dan tidak berhadapan dengan kekejaman tentu lebih selesa dengan keadaan hidup mereka yang aman. Untuk apa mereka bangkit membahayakan diri mereka untuk membantu golongan yang tertindas? Untuk apa mereka mempertaruhkan nyawa mereka untuk orang lain? Mungkin inilah persoalan yang akan menghantui benak manusia yang hanya memikirkan keseronokan hidup dunia. Mereka lebih rela melihat saudara mereka yang lain ditindas dan dibunuh daripada terpaksa kehilangan nikmat yang sedang dinikmati.

Lantaran itu, Allah Taala menempelak golongan yang enggan bangkit mempertahankan golongan yang ditindas, yang sentiasa melambaikan tangan mereka memohon bantuan. Allah benfirman (bermaksud) : ’Apakah sebab kamu tidak berperang di jalan Allah sedangkan golongan yang lemah daripada kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak sentiasa merayu : Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari kampung yang penduduknya amat zalim ini. Jadikanlah untuk kami dari sisi kami seorang pemimpin. Dan jadikanlah untuk kami dari sisi kami seorang pembantu’ (an Nisa.’ 75).

Peperangan bukan bertujuan memerangi manusia yang tidak berdosa, tetapi untuk membunuh dan menghancurkan golongan yang menjadikan perang sebagai alat untuk memuaskan nafsu kebinatangan mereka. Ia bukan bertujuan menimbulkan huru-hara d kalangan manusia, tetapi untuk menjamin keamanan dan menegakkan keadilan manusia.

Justeru itu, Allah mengarahkan umat beriman agar sentiasa membuat persiapan perang untuk menghadapi golongan ini menerusi firmanNya (bermaksud) : ”Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka sebarang bentuk kekuatan yang terdaya kamu lakukan dan tentera berkuda yang boleh dignnakan untuk menakutkan musuh Allah dan musuh kamu’ ( al Anfal, 60)

Umat Islam di awal Islam diperangi oleh golongan Quraisy. Ada yang dibunuh. Ada yang disiksa. Meskipun begitu umat Islam tidak diizinkan berperang mempertahankan hak. Hanya setelah berhijrah ke Madinah baru turun ayat pertama mengharuskan jihad demi mempertahankan diri yang telah dilindas sekian lama. Allah berfirman (maksudnya): “Diizinkan berperang kepada orang yang diperangi kerana mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya Allah amat berkuasa membantu mereka. Iaitu mereka yang telah diusir keluar dari negeri tanah tumpah darah mereka tanpa sebab yang sebenar, melainkan kerana mereka menyatakan Tuhan kami adalah Allah. (al-Haj, 39-40)

Peperangan ini amat penting untuk mempertahankan agama Allah. Kalau tidak kerana perjuangan ini tentu rumah-rumah ibadah akan dihancurkan oleh golongan yang kufur. Paparan di atas menjelaskan kepada kita, peperangan akan terus berlaku selagi nafsu serakah menjadi tunggangan. Justeru itu, perlu lahir golongan yang berhati suci bangkit di atas nama peperangan suci demi mempertahankan golongan yang tertindas dan memerangi golongan yang jahat

Peperangan juga perlu dilancarkan untuk mempertahankan agama Islam yang diperangi oleh manusia kufur dan rumah Allah yang dirobohkan oleh tangan-tangan durjana.

Sabtu, 16 Februari 2008

Undilah Dengan Bijak

Parlimen sudah dibubarkan, tarikh penamaan calon dan pembuangan undi telah ditetapkan. Inilah masanya untuk kita membuat penilaian parti mana yang hendak kita pangkah kelak. Mereka kata pilihlah parti yang mempunyai reputasi atau track record yang baik, tak kira siapa yang jadi calonnya. Namun, kali ini pemilihan calon lebih ketat lagi dengan menyemak rekod senarai yang dicalonkan oleh BPR. Supaya tiada calon yang rasuah, menyeleweng dan meragukan latarbelakangnya.

Tapi sejauhmanakah ia dapat ditapis dengan sebersih-bersihnya. Namun, itu adalah tapisan BPR sebuah badan bebas yang pekerjanya dibayar gaji. Penilai yang sebenar-benarnya yang menentukan sama ada calon itu rasuah, menyeleweng atau mempunyai latarbelakang yang baik adalah rakyat iaitu diri kita sendiri, kita tak dibayar gaji untuk menilainya. Tidak perlu kita terlalu meyakini penilaian pihak lain kerana keyakinan dan kepercayaan yang sebenarnya adalah datang dari diri kita sendiri.

Selama wakil rakyat di tempat kita menjadi ahli dewan undangan negeri atau parlimen, sejauh manakah mereka telah membantu kita. Adakah mereka membawa kemajuan dan pembangunan di tempat kita benar-benar memberi manfaat kepada kita atau manfaat itu hanya direbut oleh orang lain yang lebih berkemampuan dan lebih kaya dari kita. Ataupun adakah hanya wakil rakyat ini saja mendapat habuannya bilamana memberikan projek-projek pembangunan kepada kroni-kroni dan konco-konconya.

Sungguhpun projek itu dikatakan akan memberi peluang kepada pekerjaan kepada orang tempatan adakah orang tempatan itu yang bekerja disitu atau orang dari tempat lain datang merebut peluang perniagaan disitu. Kalau ada pun orang tempatan mereka bukanlah majority pemilik premis perniagaan disitu, sebaliknya dimiliki oleh bangsa lain. Sementara orang tempatan hanya menjadi pekerja mereka.

Bagi yang mempunyai keinginan untuk berniaga tapi tak berkemampuan untuk menyewa atau membeli premis perniagaan tersebut maka mereka hanya mampu menumpang di kaki lima dan membina gerai setinggan berdekatan dengan premis milik bangsa lain. Malang menimpa orang kita bilamana gerai-gerai setinggan ini dirobohkan oleh kerajaan tempatan kerana dikatakan mencemar lanskap bandar dan hanya menyemakkan tepi jalan raya yang menjadi lalu kenderaan, orang ramai dan pelancong-pelancong asing.

Inikah reality keistimewaan yang dimiliki oleh orang kita pemilik asal bumi bertuah ini, tapi bagaikan orang asing merempat di tempat sendiri. Setelah keistimewaan penggunaan bahasa melayu dipijak-pijak, Islam pula ditokok tambah sebutannya bagi membezakan Islam yang ekstrim dan ganas yang kononnya diamalkan oleh pihak lawan. Subsidi ditarik balik menjadikan semua pihak samarata dan sama saja, tiada lagi keistimewaan untuk orang kita.

Yang kaya, yang miskin, yang merempat dan yang hidup senang lenang semuanya menerima kemudahan, perkhidmatan dan harga barang pada satu harga yang sama. Yang kaya hidup senang lenang tidaklah menjadi masalah untuk menanggung kenaikan kos hidup. Tapi yang miskin merempat tidak mendapat pembelaan oleh mereka yang berkuasa dari kalangan mereka sendiri. Sebaliknya mereka mengambil kesempatan untuk terus mengaut keuntungan di atas kesusahan rakyat jelata. Bila ramai yang susah dan semakin susah maka mereka akan cuba jadi hero menjadi penyelamat, pembela dan penolong. Inilah rupanya permainan politik selama ini.

Mereka kata negeri itu bila dibawah pemerintahan lawan tidak membangun dan maju dengan pesat, tapi setelah mengambilalih pelbagai kemajuan yang terbangun di negeri itu. Memang mudah untuk berkata-kata, kita tentu tahu bahawa kemajuan tidak boleh dibuat dengan air liur sahaja, semuanya perlukan duit. Tapi malangnya kita terpedaya oleh kata-kata mereka. Bandingkan sebuah kerajaan yang memerintah satu negeri sahaja dengan sebuah kerajaan yang memerintah 13 negeri. Banyak manakah hasil pendapatan yang diperoleh oleh kerajaan itu untuk membangunkan negerinya berbanding dengan kerajaan yang memperoleh pendapatan dari 13 negeri boleh saja menyalurkan perbelanjaan pembangunan untuk negeri yang mundur.

Bagaimana mereka boleh mendapat pendapatan itu, tentunya dari pelbagai jenis cukai yang dikutip dari rakyat jelata. Kalau kita makan di KFC dan McDonald kita dikenakan cukai 5% dan ia dinyatakan sebagai Government Tax dalam resit bayaran. Kalau ke tandas awam juga kena cukai 20sen. Kalau nak berniaga juga kena bayar lessen dan dikenakan cukai tahunan. Kerana tidak mampu membayar cukai inilah maka ramai peniaga kita berniaga di kaki lima dan membina gerai-gerai setinggan.

Mengapakah orang kita sendiri tak ditolong nak dibantu dengan ikhlas? Bantuan yang ada sekarang bukanlah bantuan yang sebenarnya ia adalah bantuan pinjaman. Pinjaman yang perlu dibayar semula dengan ribanya sekali. Pinjam RM50 000 bayar balik dalam tempoh 10 tahun sebanyak RM80 000. Bagi mengelak dikatakan riba maka ia diubahsuai sikit supaya ada aqad iaitu persetujuan dua pihak untuk menerima perjanjian jual beli tersebut bentuk pinjaman wang. Nak tak nak peminjam terpaksa terima perjanjian itu kerana terdesak untuk menggunakan wang.

Mengapa Tan Sri Syed Mokhtar boleh berjaya seperti hari ini, kerana dia membantu dirinya sendiri. Beliau mengambil peluang yang diberikan. Tapi bagaimana pula nak membantu orang yang tak dapat membantu dirinya sendiri sedangkan dia ada cita-cita untuk menjadi seorang usahawan berjaya. Kenapa orang seperti ini tidak diberi peluang tanpa dibebankan dengan karenah birokrasi dan hutang piutang.

Daripada banyak-banyak premis perniagaan komersil di pasaraya dan kompleks membeli belah, mereka yang berkuasa dan berkemampuan untuk membantu tidak menyediakan peluang perniagaan kepada kumpulan peniaga tempatan yang berpotensi. Mungkin mereka boleh menyediakan atau membeli 20-30 atau lebih lot premis perniagaan untuk diberikan atau jika tidak mau beri percuma sewakan saja dengan kadar yang murah untuk 10-20 tahun atau lebih.

Pastinya dalam tempoh itu akan lahirlah generasi usahawan bangsa kita sebagaimana bangsa lain yang bermula sebagai peniaga runcit, menjual dengan berbasikal atau bermotosikal dari rumah kerumah, akhirnya kini mereka berjaya memiliki premis perniagaan kekal dan mewujudkan empayar perniagaan yang luas. Mereka menjadi kaya dan mewah seperti hari ini pun kerana kita terus membeli dari mereka. Kalau ramai peniaga kita memiliki premis perniagaan pastinya kita akan membeli dari orang kita sendiri. Malang bagi kita kerana kita tak bermula dari dulu lagi, dari tahun 70-an kerana pemimpin kita hanya mengharap agar orang kita berusaha sendiri dengan keringat dan modal sendiri.

Walau bagaimanapun, realitinya mungkin ada pemimpin yang hendak membantu dulu tapi mungkin juga disebabkan kaedah perlaksanaan akhir tak berkesan maka mudahlah berlaku penyelewengan. Ini kerana mungkin selama ini kita telah memilih pemimpin yang salah atau juga mungkin kerana strategi kita sebagai rakyat untuk menghalang kecenderungan penyelewengan dikalangan pemimpin adalah salah. Bilamana majority pemimpin di parlimen atau dewan undangan negeri dari satu kumpulan parti saja maka tiada siapa yang berani hendak menegur dan memerhatikan apa yang mereka buat dan apa yang mereka cakap.

Sebaliknya dalam situasi 50-50 maka ruang untuk penyelewengan semakin sempit dan tiada mana-mana pihak boleh mengatakan diri mereka hebat dan mendabik dada kumpulan yang banyak mendapat sokongan. Kerana masing-masing tahu bahawa angka 50-50 bermakna seimbang dan masing-masing sering memerhatikan gerak geri dan hasil kerja yang dilakukan. Sebagai rakyat tempatan pastinya kita berkecenderungan untuk memilih calon dari kalangan orang kita sendiri yang boleh diharap untuk membela nasib kita di bumi bertuah ini agar tidak merasa asing dan merempat di negara kita sendiri.

Jadi, undilah dengan bijak mengikut tafsiran kita sendiri, bukannya undi dengan bijak mengikut tafsiran pihak lain. Jangan biarkan diri kita dikuasai oleh minda orang lain yang hendak menguasai hak dan keistimewaan kita, iaitu kebebasan berfikir.

Khamis, 14 Februari 2008

Hakikat Valentine's Day

Sempena Hari Valentine yang disambut hari ini dan pada hari tahun-tahun berikutnya, saya sertakan artikel ini untuk panduan bersama berkenaan dengan kasih terhadap wanita. Sebagai seorang lelaki kita kena memahami mengapa kita mencintai wanita dan apakah batas-batasnya. Jangan kita mudah terpengaruh dengan budaya barat yang menyambut Hari Valentine secara keterlaluan dan menganggapinya sekadar menunjukkan tentang perasaan cinta semata-mata. Sehingga apa yang mereka lakukan semasa menyambutnya juga kita ikuti juga. Berhati-hatilah dengan dakyah halus ini kerana sememangnya golongan kafir tak akan redha dengan kehidupan kita umat Islam sehingga kiamat selagi kita tidak mengikut apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka perkatakan. Sebab dalam banyak-banyak hal umat Islam yang lemah imannya lebih bersikap keterlaluan daripada orang barat sendiri dalam pengamalan budaya yang diperkenalkan kepada umat Islam. Mereka sentiasa memperelokkan sesuatu yang tidak elok supaya kita mudah terjerumus ke dalam kesesatan dan kemaksiatan.


Sejarah Ringkas Asal Usul Valentine Day
Valentine’s Day disambut untuk memperingati kematian tragis seorang Paderi iaitu St. Valentine yang dibunuh oleh Raja Romawi yang bernama Raja Claudius II (268-270M). St. Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan ramai askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Ianya ikon kasih sayang yang diwujudkan oleh Pope Gelasius I (496M) untuk mendekatkan masyarakat Rom kepada agama Kristian melalui satu sambutan perayaan gereja. Ia juga bagi menyaingi perayaan Paganisme Romawi kuno iaitu Lupercalia (perayaan untuk Dewa Lupercius dengan mempersembahkan korban binatang).

Jadi, apabila ada unsur ritual agama lain dan kita pula sama-sama raikannya, seakan-akan kita reda dengan perbuatan menyekutukan Allah (syirik) sedangkan syirik adalah dosa yang tidak terampun. Jika dulu untuk menyaingi perayaan Paganisme Rom sekarang diperkenalkan pula kepada umat Islam untuk menyaingi apa yang diajarkan oleh Islam dan tauladan Rasulullah kepada kita dalam mengungkapkan cinta terhadap wanita. Ini suatu usaha untuk menyesatkan dan merosakkan umat Islam.

Kasih Terhadap Wanita : Lelaki Capai Kesempurnaan
Sifat kasih sayang merupakan suatu anugerah Allah s.w.t. kepada manusia. Ia juga antara sifat semula jadi manusia yang berkecenderungan berkasih sayang antara satu sama lain. Justeru, manusia saling kasih mengasihi sesama mereka. Allah s.w.t. menegaskan mengenal sifat kasih sayang atau cinta dalam al-Quran melalui surah Ali Imran, ayat 14 yang bermaksud, “Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita, anak-anak dan harta.” Ketika mentafsirkan ayat ini, Ibnu Kathir menegaskan bahawa Allah s.w.t. memberitahu bahawa manusia dihiasi dengan kecintaan terhadap perkara yang lazat dan menyeronokkannya seperti wanita, anak-anak dan harta, namun wanita diutamakan kerana melalui wanitalah lahir pelbagai kebaikan, mahupun fitnah dan dugaan.

Dengan ini, kasih atau cinta adalah lumrah kejadian insan di muka bumi ini, malah manusia yang saling cinta mencintai mengikut proses semulajadi yang betul dianggap satu kesempurnaan bagi setiap insan. Mencapai tahap kesempurnaan insan di muka bumi ini agak mustahil kerana sifat kesempurnaan mutlak itu hanyalah milik Allah sebagaimana yang boleh kita fahamkan melalui proses penciptaan manusia, iaitu pada asal kejadiannya adalah sebagai makhluk yang lemah, hanya Allah s.w.t sahajalah yang sempurna segala-galanya.

Menyentuh mengenai kesempurnaan ini, Ibnu Al-Jauzi ada menegaskan bahawa kesempurnaan itu adalah suatu perkara baik, yang sudah tentu diterima oleh jiwa dan akal manusia. Tetapi secara realitinya, bilangan yang sempurna itu amat sedikit (Ibnu al-Jauzi: Shoidul Khatir 1999:304). Ini membuktikan bahawa kesempurnaan itu jarang-jarang ditemui lebih-lebih lagi dalam kalangan makhluk ciptaan Allah s.w.t. di dunia ini. Hanya Allah s.w.t. pencipta yang Maha Sempurna segala-galanya.

Namun kesempurnaan yang dimaksudkan di sini ialah kesempurnaan yang menjadi kelaziman dalam kehidupan. Manakala kelaziman pula perkara yang menenangkan jiwa melalui penyaksian akal. Dalam erti kata lain, kelaziman ialah penerimaan jiwa dan akal terhadap sesuatu. Umpama perasaan dan hati tidak dapat menerima dan menanggapkan lelaki itu sempurna jika tidak mengingini atau mengasihi wanita. Sebaliknya manusia melalui perasaan dan akal menganggapkan seorang lelaki yang mengasihi wanita dan mengingininya adalah sempurna atau normal.

Manusia mampu berusaha untuk mencapai ke arah yang sempurna, bukan sekadar berpuas hati terhadap pencapaian dalam perbicaraan atau bidang yang diceburi. Sama ada tahap kesempurnaan itu tercapai atau tidak, itu hal yang lain. Hanya kepada Allah s.w.t. kita berserah yang akan menentukannya.

Dalam konteks kesempurnaan ini, dan apabila dikaitkan dengan kasih sayang, seorang lelaki yang mempunyai perasaan kasih sayang terhadap wanita dikira seorang lelaki yang telah sampai kepada kesempurnaan manusia. Maksudnya ialah, lelaki tersebut tidak mempunyai kecacatan perasaan berbanding dengan seorang lelaki lain yang tidak mempunyai kasih sayang atau mempunyai perasaan terhadap wanita sedikit pun. Bahkan tidak menjadi suatu keaiban dan tanggapan negatif bagi seseorang yang mencintai wanita sekalipun dengan keterlaluan, bahkan demikian itu melahirkan suatu tanda kesempurnaan seseorang yang digelarkan lelaki.

Pakar psikologi Barat juga menganggap mereka yang tidak berkasih sayang atau mempunyai keinginan terhadap wanita adalah tidak sempurna kelelakiannya. Justeru, pondan yang tidak berkeinginan kepada wanita dianggap tidak normal.

Allah s.w.t. telah menciptakan wanita untuk golongan lelaki demi keperluan lahir dan batin sebagaimana dalam firman Allah s.w.t. dalam sural Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud, “Dan sebahagian daripada ayat-ayat Nya bahawa ia jadikan bagi kamu daripada jenis kamu isteri-isteri yang kamu dapat bersenang-senang kepadanya. Dan ia jadikan di antara kamu percintaan dan kasih sayang. Demikian itu untuk menjadi tanda kekuasaan Allah s.w.t. bagi kaum yang mahu berfikir.”

Daripada ayat ini jelas bahawa, Allah s.w.t. menciptakan wanita sebagai penenang kepada lelaki, agar kaum lelaki dapat menikmati ketenangan dan ketenteraman hati di samping isteri-isteri yang mereka cintai. Seterusnya Allah s.w.t. menciptakan di antara kedua-dua suami isteri itu kasih sayang yang berasaskan keikhlasan kepada Allah s.w.t. yang kemudiannya dapat melahirkan perasaan mawaddah dan rahmat di antara pasangan suami isteri itu.

Rasulullah s.a.w. sendiri bersifat dengan sifat seorang yang penyayang. Baginda diriwayatkan menyayangi dan mencintai beberapa perkara termasuk wanita, siwak, bau wangian, dan solat witir. Dengan contoh pemimpin Islam yang amat teragung seperti Rasulullah s.a.w. ini juga mencintai wanita, sudah tentu ini melambangkan mengasihi wanita adalah suatu perkara yang diharuskan dalam Islam, malah menggambarkan kesempurnaan kelelakian.

Dalam hal ini juga, Rasulullah s.a.w. tidak mengaku umat terhadap mereka yang tidak mahu mengahwini wanita, ini jelas dilihat daripada sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Segala pujian bagi Allah s.w.t., dan saya sentiasa memujinya. Saya sembahyang dan tidur, saya berpuasa dan membukanya, saya juga mengahwini wanita, siapa yang tidak suka kepada sunnahku, maka ia bukan daripada golonganku.”

Mengahwini wanita merupakan sunnah Rasulullah s.a.w., justeru sudah tentu untuk melaksanakan sunnah tersebut memerlukan kepada wanita, begitu pentingnya satu ciptaan Allah s.w.t. yang dinamakan wanita itu dalam kehidupan ini. Menurut sesetengah pendapat ulama, wanita juga mencantikkan alam ini. Dengan itu, dianggap normal serta mencapai kemuncak kemanusiaan seorang lelaki yang mencintai wanita, dan kemudian mengahwininya. Cinta seorang lelaki terhadap wanita bukan suatu keaiban dan kekurangan, bahkan ia dapat menggambarkan kemuncak kesempurnaan seorang manusia.

Bagaimanapun, cinta kepada wanita juga hendaklah disemai dan dijaga supaya tidak terkeluar daripada landasan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Namun, kita amat diseru mengutamakan cinta yang dapat mendorong mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ibnu Qayyim Al-Jauziah ada menegaskan bahawa cinta yang terpilih baginya ialah cinta yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan mentaati Nya seperti cinta terhadap isteri dan hambanya. Maka cinta ini dapat memberi faedah kepadanya dengan mendorong untuk mencapai tujuan maqasid syariat Allah s.w.t. iaitu berkahwin. Dengan itu, dia dapat merendahkan pandangan serta memelihara hati daripada mengingati wanita yang lain daripada isterinya. Cinta seperti ini disukai oleh Allah s.w.t. serta mendekatkan diri kepadanya. Cinta seperti ini juga disukai manusia.

Namun yang amat menyedihkan, hari ini, ramai telah salah menggunakan nikmat kasih sayang semulajadi manusia yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. sehingga sanggup melakukan hubungan seks secara haram.

Kesimpulannya, sifat kasih sayang atau kecenderungan seorang lelaki terhadap seorang wanita adalah suatu anugerah Allah s.w.t. yang amat bernilai kepada insan. Malah ia juga dapat menjadikan seorang itu sempurna serta normal melalui kecintaannya kepada wanita. Dengan ini seorang lelaki mencapai kesempurnaan kelelakiannya melalui wanita. Namun begitu ramai para lelaki yang tidak menyedari tentang nikmat ini sehingga menjadikan kasih sayang kepada wanita itu sebagai pencetus objek maksiat, atau mengadakan pergaulan bebas serta menderhaka terhadap Allah s.w.t. Apakah kecintaan atau kasih sayang wanita seperti ini dianggap sempurna kelelakian seseorang lelaki atau kebinasaan yang sempurna?

Untuk maklumat lanjut :
Valentine Day menurut pandangan Islam