Custom Search

Reviews Directory

Khamis, 20 Mac 2008

Lindungi Maklumat Rahsia

Saya ingin berkongsi tentang satu freeware yang sangat berguna sekali untuk kerahsiaan maklumat apa saja yang anda fikirkan tidak boleh digunakan atau dibuka oleh mereka yang tak dikenali atau yang tak minta izin terlebih dahulu dari anda. Maklumat-maklumat ini sama ada dalam bentuk words, powerpoints, excel, picture, video, grafik atau apa jua formatnya boleh dikunci bagi memelihara kerahsiaannya agar tidak jatuh ke pengetahuan orang yang cuba hendak menganiaya kita.


Folder Encryption adalah satu freeware yang boleh menghimpunkan apa jua bentuk dan format maklumat. Ianya boleh digunakan pada apa jua hardware sama ada pada hard disk computer anda, thumd drives atau handy drives, cd-r atau cd-rw, floppy disc atau apa saja perkakas simpanan anda termasuk yang digunakan pada telefon pintar, pda atau kamera digital anda. Setelah anda download freeware tersebut, anda boleh copy saja ke tempat simpanan yang lain selagi ia belum dikunci dengan password. Anda atau sesiapa saja tak akan dapat copy folder tersebut sehingga ia dibuka passwordnya. Hanya setelah dibuka barulah ia dapat di copy kemudian boleh tukar atau rename tajuknya mengikut kesesuaian jenis maklumat yang anda hendak rahsiakan. Folder ini juga boleh dibuka dan digunakan pada mana-mana komputer.


Freeware ini sangat berguna sekali digunakan pada thumb drives sebab kadang-kadang disebabkan kecuaian kita, ia tercicir atau hilang sehingga terjumpa oleh orang lain. Sekira di dalamnya mengandungi maklumat-maklumat penting dan rahsia, pastinya ia boleh menggugat kepentingan dan hak privasi kita sekiranya ia disalahguna oleh orang lain. Begitu juga kadang-kadang computer peribadi kita atau computer dirumah kita dipinjam dan digunakan oleh orang lain, kawan-kawan, sanak-saudara, anak buah dan anak-anak kita. Jika kita tidak menyimpan maklumat-maklumat penting dan rahsia itu pasti mereka akan terjumpa atau terbuka folder yang tak dilindungi tersebut.


Justeru itu, kepada pembaca sekalian saya syorkan freeware tersebut untuk digunakan bagi kebaikan dan kepentingan hak peribadi dari mudah diceroboh dan diketahui oleh orang-orang yang tak dikenali maupun orang-orang yang dikenali. Kerana sebelum membuka folder tersebut mestilah meminta izin atau melalui kita terlebih dahulu. Selamat mencuba.


Freeware ini boleh di download dengan klik link berikut :
Folder Encryption

Rabu, 19 Mac 2008

Kbijaksanaan Rakyat M'sia

Sudah lebih seminggu PRU12 berlalu dan macam-macam peristiwa yang berlaku selepas keputusan diketahui. Ada yang kecewa, ada yang dulunya mudah lupa kini kembali sedar, ada juga yang belum sedar sedar lagi masih diulit mimpi indah, ada yang masih tak nak lepaskan jawatan ketika rakan-rakan kamcengnya yang lain sudah letak jawatan sebagai bertanggungjawab di atas kekalahan mereka dan parti yang mereka wakili. Walau apa pun biarlah mereka dengan dunia politik mereka itu, sememangnya mereka itu suka cari pasal.


Sebagai rakyat, saya dan kita semua akan memerhati perkembangan politik mereka akan datang dan ingin tahu bagaimana mereka menyelesaikannya. Kalau dahulu kita dianggap mudah digula-gulakan dengan habuan itu dan ini dan dibodoh-bodohkan dengar putar belit dan temberang mereka, tapi kini dengan dunia tanpa sempadan, gerbang maklumat semakin melebar dan ilmu pengetahuan kini kian berkembang, menjadikan rakyat Malaysia semakin bijak untuk menilai mana intan dan mana kaca, terutamanya golongan muda dan belia yang tidak mau lagi dianggap budak mentah dan hingusan yang dilayan macam orang suruhan.


Kita tidak mau lagi melihat pemimpin yang bongkak dan sombong dengan kuasa di tangan mereka, sesuka hati saja mengata dan menuduh rakyat tak tau berfikir bila menyokong pembangkang, menuding rakyat yang mengkritik mereka sebagai pengkhianat negara, menganggap rakyat yang tak puas hati macam monyet, menganggap rakyat yang tak maju dan masih mundur sebagai malas dan macam-macam lagi ayat dan perkataan yang menyinggung perasaan rakyat yang telah memilih mereka selama ini untuk menjadi pemimpin dan penolong rakyat ketika dalam kesusahan. Mereka inilah pemimpin yang tak mengenang budi dan tak tau bersyukur kerana terpilih menjadi pemimpin dengan mendapat undi majority dari rakyat selama ini.


Rakyat Malaysia sebenarnya boleh bersatu bilamana hak asasi mereka dihalang dan dicabar oleh pemimpin yang bongkak. Rakyat Malaysia apabila secara individu hakikatnya lemah kerana tiada kuasa, tiada pengaruh dan tiada wang untuk berhadapan dengan orang yang berkuasa, orang yang berpengaruh dan orang yang mewah untuk boleh lakukan apa saja terhadap rakyat yang lemah. Namun, jangan diperkecil akan keupayaan rakyat Malaysia yang tertindas di bumi sendiri. Kalau tidak dengan menyertai perhimpunan atau demonstrasi maka cara yang lebih tertib dan halus boleh digunakan untuk menyatakan pandangan dan menghimpunkan 1001 suara dari seluruh negara melalui blog.


Selepas ini kelak, pastinya pihak berkenaan akan memantau lebih ketat akan perkembangan blog-blog dari seluruh negara untuk mengetahui suara-suara rakyat Malaysia yang sudah celik IT dan celik maklumat yang telah berjaya melemahkan dan menumbangkan kekuasaan mereka. Keprihatinan pihak tersebut sangat dialu-alukan dan bertindaklah dengan bijak dan rasional dalam menghadapi para bloggers ini kerana mereka bukanlah golongan yang fanatic dan konservatif. Berilah peringatan kepada ketua-ketua atau pemimpin-pemimpin masing-masing supaya jangan bongkak, angkuh, sombong dan suka membuat tuduhan serta fitnah terhadap rakyat yang lemah tidak berdaya.


Kerana kini rakyat Malaysia tidak lagi hanya bersatu pada sukan, riadah, perayaan dan aktiviti kebudayaan saja, tapi rakyat kini boleh menjadi lebih bersatu melalui alam maya, bersatu dalam pemikiran, bersatu menyampaikan suara hati, bersatu mengemukakan idea, bersatu memberi pandangan, bersatu untuk berkongsi perasaan dan bersatu tekad melalui luahan kata-kata yang disampaikan melalui blog dan forum internet. Kuasa rakyat melalu suara hati di dalam blog dan forum kini mula berkembang pesat dan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dijangka akan lebih pesat lagi bilamana banyak laman-laman social yang menghimpun lebih ramai rakan dan taulan bukan saja dari kalangan rakyat Malaysia malah dari seluruh dunia.


Seharusnya mereka yang yang mendapat kuasa melalui saluran demokrasi berperlembagaan yang mengiktiraf kebebasan bersuara dan hak rakyat harus sedar bahawa kini bukan lagi zaman 60an, 70an, 80an atau 90an. Sekarang adalah zaman millennium, zaman ledakan maklumat, zaman di mana seluruh penduduk bumi boleh berkongsi pengalaman, berkongsi rasa dan berkongsi ilmu. Sehinggakan ada yang menyalahgunakannya untuk berkongsi apa saja untuk menyebarkan perkara yang buruk dan berunsur maksiat. Walau bagaimanapun, inilah dikatakan dunia, setiap manusia tidak sama sifat dan sikapnya.


Kalau tidak dicipta pisau atau parang, bagaimana nak potong ikan atau kayu yang keras untuk makanan dan kegunaan manusia. Hanya bila ia jatuh pada orang yang salah maka ianya memudaratkan hingga boleh mencedera dan membunuh orang lain. Namun dalam membela dan mempertahankan diri, kita terpaksa juga menggunakannya untuk menjatuhkan orang yang zalim dan tidak adil. Jika tidak demikian, orang yang lemah akan terus ditindas dan dianiaya oleh orang yang angkuh dan gila kuasa untuk mendapatkan segala apa yang dia kehendaki dengan mengorbankan rakyat yang lemah dan tiada kepentingan bagi mereka.

Bicara Buat Yang Menang Dalam Merebut Jawatan

Jumaat, 14 Mac 2008

Asal Usul Negara Kebajikan

Asal-usul Negara Kebajikan

Negara Kebajikan atau ‘welfare state’ bukanlah suatu yang baru. Konsep ini telah pun muncul di Barat sejak dua abad yang lepas dan sebenarnya di negara kufur Baratlah konsep welfare state ini lahir. Welfare state merupakan sistem negara yang membelanjakan pendapatan cukainya untuk mengambil peranan utama dalam memberikan jaminan sosial dan ekonomi kepada rakyat dengan pencen, perkhidmatan kesihatan percuma, gaji minimum dan sebagainya [Federal-Chambers Dictionary]. Konsep welfare state ini diasaskan kepada prinsip kesamarataan peluang, pengagihan kekayaan secara sama rata dan tanggungjawab ke atas mereka yang tercicir dalam mendapatkan jaminan kehidupan yang setara. Ciri asasnya adalah berteraskan jaminan sosial di mana bantuan diberikan kepada rakyat di waktu ia diperlukan seperti ketika usia tua, sakit dan ketika menganggur. Welfare state juga dikaitkan dengan penyediaan pendidikan, rawatan kesihatan dan perumahan secara percuma [Britannica Concise Encylopedia].


Istilah ‘welfare state’ (dalam bahasa Inggeris) dipercayai dicipta oleh Asa Briggs, seorang sejarawan terkenal Barat dan mula digunakan oleh Archbishop William Temple ketika Perang Dunia Kedua untuk membezakan Britain (yang sedang berperang) dengan Nazi Jerman, yang dikenali sebagai ‘warfare state’ (negara perang). Friedrich Hayek menegaskan bahawa istilah (welfare state) ini diambil dari perkataan Jerman lama wohlfahrtsstaat, yang digunakan oleh sejarawan abad ke-19 untuk menggambarkan kelainan/perbezaan yang baik dengan poliseistaat (‘police state’). Ia (konsep welfare state) ini telah dikembangkan oleh Otto Von Bismark, Canselor Jerman, pada tahun 1881. Bismark telah meletakkan asas negara kebajikan untuk menangkis perkembangan pesat Parti Sosialis Demokratik yang berjaya meraih kekuatan apabila Jerman menjadi sebuah negara industri. Gerakan Sosialis pada ketika itu memainkan isu jurang ketaksamaan antara yang kaya dan yang miskin, dan mula bertapak di Jerman walaupun kerap ditindas. Kebijakan politik Bismark berjaya mencantas pengaruh tersebut dan beliau mula memperkenalkan polisi kebajikan sosial.
http://en.wikipedia.org/wiki/Welfare_state


Sebagai pelaksanaan konsep welfare state ini, dari segi perundangan, Undang-undang 1881 telah mewujudkan insurans kemalangan waktu kerja yang diwajibkan terhadap majikan, diikuti dengan tiga lagi undang-undang risiko utama iaitu insurans wajib untuk sakit pada 1883, undang-undang kecenderungan kemalangan kerja pada 1884 dan skim pencen pada 1889. Setelah itu, seluruh Eropah mencontohinya termasuklah Britain yang memperkenalkan undang- undang yang sama sejak 1906.

Khamis, 13 Mac 2008

Keutamaan Bidang Sejarah

Antara Sains & Matematik Dengan Sejarah.


Semua subjek atau bidang ilmu itu sangat penting dalam kehidupan, namun bagi setiap subjek itu mempunyai keutamaan yang berbeza. Dalam konteks hari ini, ramai pihak beranggapan bahawa subjek sains dan matematik lebih penting lagi dari subjek-subjek yang lain kerana keperluan terhadap ilmu pengetahuan dalam bidang ini semakin meningkat untuk mengisi ruang-ruang kerjaya yang memerlukan ilmu pengetahuan tersebut.


Tidak memadai dengan ilmu pengetahuan sains dan matematik, wujud pula keperluan dan kepentingan mahir dalam bahasa Inggeris. Kerana sekiranya hendak terus maju dalam bidang sains dan matematik ini perlulah mahir dalam bahasa Inggeris kerana banyak sumber maklumat dan ilmu berkaitan diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Tidak dinafikan bahawa semua bidang ilmu tersebut penting dan perlu diberi keutamaan sejajar dengan perkembangan semasa dan kehendak zaman ini yang memerlukan kemahiran dan kepakaran dalam bidang sains dan matematik.


Namun demikian, kita jangan terlalu taksub dengan kepentingan dan keutamaan yang telah diberikan dalam bidang ilmu sains dan matematik ini. Sehinggakan kita menjadi lalai, alpa dan merendahkan bidang lain yang dianggap ketinggalan zaman, tidak menyumbang kepada pembinaan tamadun dan menyekat pemikiran ke arah kemajuan masa depan.


Saya tak mau menyentuh tentang kepentingan sains dan matematik ini, kerana ia sudah banyak diberi keutamaan dalam ulasan dan penjelasan oleh pihak-pihak berkenaan bagi menggalakkan lagi kita belajar sains dan matematik. Saya hendak membincangkan bagaimana sejarah juga memainkan peranan yang sangat besar dalam membina tamadun dan kemajuan malah lebih penting dan utama lagi dari sains dan matematik.


Sejarah adalah subjek yang hidup sepanjang zaman dan sejarah juga merupakan pengisian utama kitab al-Quran dalam memberi pengajaran dan tauladan tentang Islam. Sejarah merupakan bidang kajian dan penelitian yang bukan saja menghidupkan bidang sains dan matematik malah paling penting adalah masa depan. Tanpa sejarah, sains dan matematik akan pincang dan tidak dapat berdiri teguh mudah runtuh dalam sekelip mata. Sejarah adalah tunggak utama kepada survival sesuatu bangsa dan catatan lampau yang sangat penting untuk menentukan hala tuju masa depan sesuatu tamadun bangsa. Jika sejarah dilupakan dan dipinggirkan berikutan sibuk mengejar ilmu sains dan matematik, dibimbangi kelak yang dikejar tak dapat sementara yang dikendong berciciran.


Kita boleh lihat sendiri apa yang telah berlaku pada hari ini, ataupun kita sendiri boleh menilai kejadian-kejadian sejarah yang berlaku dalam tempoh 100 tahun yang lalu bagaimana kemajuan sains dan kepandaian dalam membentuk kod matematik telah menghasilkan komputer dan teknologi canggih lalu mengubah kehidupan manusia. Dalam tempoh tersebut kemajuan sains dan teknologi ini tidak banyak membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada bangsa yang lemah dan celik ilmu pengetahuan sejarah.


Kita kena kaji sejarah dan teliti mengapa bangsa barat yang menerajui kemajuan sains dan teknologi ini mampu membina dan mempertahankan tamadun bangsa mereka sehingga menguasai dunia sama ada dari segi ekonomi, budaya, politik, teknologi dan ketenteraan. Semua ini berlaku bermula dari kurun ke-11 lagi iaitu selepas barat gagal dalam kempen perang salib untuk menguasai semula Palestin dan menjatuhkan pemerintahan khalifah Islam di semenanjung Arab. Mereka sedar bahawa mereka tidak akan mampu menewaskan umat Islam dan menguasai wilayah yang telah diperintah oleh Islam.


Jika kita kaji dan teliti sejarah bagaimana bangsa Arab dan bangsa-bangsa kecil bukan Arab setelah memeluk Islam mampu melahirkan ramai cendikiawan dan pakar-pakar ilmu dalam bidang masing-masing. Sumber utama kepada kejayaan mereka ini ialah kitab al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Dari situlah mereka mula mengkaji dan membuat penyelidikan secara praktikal. Membuat rujukan dari sumber-sumber ilmu dari tokoh yang pernah muncul dalam sejarah lampau ketika zaman Yunani. Mungkin ada antara kita pernah mendengar tokoh-tokoh seperti Plato dan Socrates. Ilmuan-ilmuan Islam awal ini telah membuat kajian terhadap teks-teks dan tulisan-tulisan yang dibuat oleh tokoh-tokoh dari zaman Yunani dan Rom.


Hasil dari kajian dan pemahaman terhadap kitab al-Quran, Hadis serta ilmu pengetahuan dari tulisan tokoh zaman lampau, maka lahirlah bidang-bidang baru seperti perubatan, astronomi, zoologi, matematik, sains, sosial dan sebagainya dipelopori oleh ilmuan Islam. Dengan ilmu pengetahuan dalam bidang inilah maka umat Islam yang terdiri dari bangsa-bangsa kecil di semenanjung tanah Arab mampu membina tamadun yang cemerlang dengan pembinaan-pembinaan yang agung, teknologi perkapalan dan pandu arah yang tepat dan strategi-strategi ketenteraan serta pembentukan sosial masyarakat yang teguh.


Kemajuan sains dan teknologi bangsa kecil yang menjadi umat Islam dahulu dimulai dengan kesedaran mereka terhadap kajian sejarah lampau dan penyelidikan terhadap apa yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadis. Sumber-sumber asas ilmu ini bukanlah semata-mata buku atau kisah sejarah, sebaliknya ia adalah sumber untuk menggalakkan lagi kemajuan. Bukan saja terhadap fizikal tapi juga rohani, mental dan pemikiran bangsa dan umat Islam yang akan mewujudkan pembentukan sistem sosial dan masyarakat yang maju dan kuat berusaha untuk memperbaiki diri.


Kesedaran inilah yang telah membina kekuatan bangsa-bangsa kecil sehingga dihormati dan digeruni oleh bangsa yang kuat dan besar dari parsi, rom, india dan china. Pengetahuan tentang sains dan matematik semata-mata tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kerana jika kita lalai dan lupa sehingga melakukan kesilapan dan kecuaian maka ilmu sains dan matematik ini akan memakan diri sendiri dan kita akan kehilangan sesuatu yang lebih berharga dari kemajuan sains dan teknologi itu sendiri.


Apakah yang paling berharga itu? Iaitu maruah bangsa, tanah air dan hak kita sebagai bangsa peribumi yang menjadi pemilik asal kepada tempat tanah tumpah darah yang kita pijak disini. Bila kita melupakan sejarah dan mengabaikannya kita akan melakukan kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan oleh bangsa-bangsa lain yang dahulunya kuat dan dihormati tapi sekarang terhina dan merempat di bumi sendiri tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kita lihat saja apa yang telah berlaku di timur tengah, di Palestin, di Iraq bahkan seluruh bangsa Arab hari ini tidak berupaya untuk menuntut hak mereka di bumi Palestin dari bangsa Yahudi dan mempertahankan negara mereka dari ancaman Barat yang diwakili oleh Amerika Syarikat.


Di dalam sejarah, kebangkitan semula bangsa-bangsa eropah atau barat setelah tewas ditangan pemerintahan umat Islam bermula dengan kesedaran seorang panglima tentera salib mereka yang ditangkap dan menjadi tawanan umat Islam. Dia sendiri telah melihat dengan mata kasarnya setelah meninjau-ninjau cara hidup orang Islam dan pegangan agama yang mereka amalkan. Dari situ baru dia menyedari punca kepada kekalahan mereka adalah disebabkan oleh ajaran Islam itu sendiri yang menjadi umat Islam kuat dan bersemangat sehingga mampu mengalahkan tentera salib yang ramai lengkap bersenjata dan lebih canggih dari teknologi tentera Islam.


Ketika masih dalam tawanan itulah panglima tersebut telah mengutus surat secara rahsia kepada raja mereka di Eropah menyatakan sebab punca kekalahan mereka sepanjang kempen perang salib yang telah mereka lakukan selama ini. Dari situlah, bermulanya satu kesedaran kepada bangsa eropah untuk mengkaji apa yang terkandung dalam ajaran Islam sehingga menyebabkan ia umat Islam mampu bangkit dalam tempoh yang singkat dan berupaya menewaskan mereka walaupun dalam keadaan yang kekurangan tidak sehebat mereka.


Kempen-kempen perang bangsa barat di tanah Arab selepas itu tidak lagi begitu menonjol, Cuma terdapat sekali usaha mereka untuk mengalahkan umat Islam di timur tengah tetapi telah digagalkan oleh Salahudin al-Ayubi. Tumpuan mereka selepas itu banyak kepada penerokaan wilayah baru menggunakan angkatan kapal laut di luar tanah Arab dengan tujuan untuk mencari sumber kekayaan baru dan menyebarkan ajaran kristian bagi menghalang agama Islam berkembang ke wilayah luar dari tanah Arab. Mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di timur tengah, mereka memulakan kempen untuk menawan wilayah yang belum dikuasai Islam. Bangsa barat ini khuatir sekiranya bangsa-bangsa kecil di wilayah berkenaan bangkit dan mampu muncul sebagai satu bangsa yang kuat jika mereka menerima ajaran Islam dan mengamalkan cara hidup Islam.


Oleh sebab itulah, dalam sejarah negara kita Portugis telah sampai ke Melaka sekitar tahun 1500 dan merampas penguasaan pemerintahan kerajaan Melayu Melaka supaya agama Islam yang telah menjadi pegangan orang Melayu ketika itu tidak dapat berkembang dan mengukuhkan lagi kedudukan serta tamadun bangsa Melayu di seluruh semananjung tanah Melayu. Selama lebih dari 600 tahun kita dijajah dan ajaran Islam tidak berkembang dengan baik dalam kehidupan kita menyebabkan kita terus lemah dan tidak mampu untuk bangkit dengan lebih teguh.


Sehinggalah kita merdeka pada tahun 1957, hari ini kita mampu untuk bermuhasabah diri, menuntut ilmu dan mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan kita. Namun begitu, bangsa barat tidak pernah lupa akan sejarah lalu dan sentiasa memperkukuhkan lagi kedudukan mereka serta berusaha untuk melemahkan dan memecahbelahkan bangsa-bangsa lain di dunia agar mereka tidak dapat menjadi ancaman kepada penguasaan bangsa mereka pada masa hadapan.


Bangsa barat ini memajukan bangsa mereka berdasarkan pengalaman sejarah mereka. Mereka menilai dan kemudian membuat penyelidikan demi penyelidikan supaya mereka dapat mencari jalan bagaimana hendak menyekat kebangkitan bangsa lain sebelum mereka kuat dan mengancam penguasaan bangsa mereka terhadap dunia hari ini. Dalam masa yang sama juga mereka berusaha untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka melalui penciptaan teknologi baru yang lebih canggih dan sofistikated. Supaya dengan teknologi itu mereka dapat mendahului bangsa lain dari segi kemampuan menguasai ilmu pengetahuan dan membolot segala kekayaan yang ada di pelusuk dunia.


Kita tau bahawa sebahagian besar kekayaan dunia berada di wilayah yang diduduki dan didiami umat Islam. Maka itulah melalui strategi yang licik bangsa-bangsa barat ini akan cuba bersungguh-sungguh untuk melalaikan umat Islam agar mereka tidak dapat mempertahankan hak dan harta mereka. Kemudian melalui kemajuan teknologi mereka dapat masuk ke wilayah umat Islam atau bangsa kecil yang lemah menguasai kekayaan itu dan mengeluarkan hasilnya untuk kepentingan mereka dan sekutu-sekutu mereka.


Justeru itu, jika kita hendak maju dan membina tamadun yang cemerlang, gemilang dan terbilang perlulah dimulakan dengan kesedaran anak bangsa kita sendiri. Kesedaran itu tidak akan timbul sekiranya kita membelakangkan sejarah dan menganggap subjek sejarah ini sebagai bidang kelas kedua yang tidak begitu penting. Sejarah bukan sekadar sejarah, di dalam sejarah banyak cabang-cabang ilmu yang akan membuka laluan kepada pembangunan dan kemajuan termasuk sains dan teknologi. Sejarah akan menyedarkan kita betapa pentingnya amalan dan ajaran Islam itu dipegang dalam kehidupan seharian kita. Kerana sejarah juga telah membuktikan bahawa agama Islam ini telah membawa bangsa Arab dan bangsa-bangsa kecil di sekitar timur tengah ke satu tahap tamadun yang tinggi, dihormati dan digeruni oleh bangsa-bangsa besar seperti Eropah, China, India dan Parsi.


Jadi, marilah kita sama-sama mulai menilai semula dasar yang telah kita lakukan sekarang kerana ternyata dasar yang kita lakukan sekarang tidak begitu banyak membantu kesedaran kita untuk bangun dan maju ke hadapan. Kita terlalu asyik menumpukan masa depan dengan pengajian sains dan teknologi, pengiraan matematik dan hasil ekonomi. Kita tidak sedar bahawa terdapat bangsa lain cuba hendak menjatuhkan kita dan menguasai kita dengan merosakkan akhlak dan pemikiran kita. Bila akhlak kita rosak dan pemikiran kita mudah diperdayakan dengan sogokan-sogokan harta kekayaan dan kemewahan, maka mudahlah bangsa lain merampas hak kita yang paling besar dan menduduki tanah yang kita pijak ini.


Bermula dengan menguasai minda, mereka akan menjajah dan merosakkan pemikiran bangsa kita. Bila sudah rosak akhlak, sudah rosak fikiran, bangsa kita takkan dapat berfikir dengan waras dan betul. Mereka akan mengambil kesempatan ini untuk cuba pula menguasai fizikal kita, mereka akan membeli hak kita melalui syarikat milik kita, tanah kita dan kemudian mereka akan mengukuhkan kedudukan mereka dengan memajukan pembangunan yang menghasilkan kekayaan di atas tanah itu. Sementara kita yang sudah kehilangan hak itu bila melihat diri kita tiada apa-apa lagi yang boleh melambangkan kekuasaan dan kehebatan kita barulah mula sedar kembali. Jika apa yang kita miliki sudah dikuasai orang lain, amat sukar untuk kita mendapatkannya kembali kerana hak milik kita bukannya dirampas tapi diserahkan oleh kita sendiri secara sukarela kerana terpedaya dengan janji-janji dan tawaran mereka.


Apa yang penting ialah, kita kembali semula untuk meneliti sejarah dan membuat penyelidikan mengenai sejarah itu supaya kesilapan datuk nenek moyang kita dahulu tidak diulangi oleh kita. Dan kita boleh mengambil pengajaran serta tauladan dari sejarah bagaimana satu bangsa kecil yang lemah, berpecahbelah boleh bersatu teguh, bangkit bangun memajukan bangsa mereka melalui penguasaan ilmu dan bidang yang luas. Kita sebenarnya satu bangsa yang kecil saja berbanding bangsa cina dan india di negara ini. Jika kita tidak berpegang kepada amalan dan ajaran yang pernah bangsa Arab pegang dahulu, kita sebagai bangsa yang kecil tak akan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa yang besar di dunia.

Rabu, 12 Mac 2008

Sejarah Sentiasa Berubah

‘Itu dulu, sekarang lain, zaman dah berubah mana boleh disamakan dengan zaman dulu-dulu’


Begitulah pernyataan orang yang tidak mahu membuka mindanya untuk merentasi masa lampau bagi melihat bagaimana sesuatu keadaan dan peristiwa itu berlaku. Dulu dan sekarang tiada bezanya, yang berbeza hanyalah perubahan kemudahan yang semakin banyak dan canggih sedangkan sikap dan perangai manusia sama ada akan berubah menjadi lebih baik atau makin buruk, bergantung kepada tahap dan jenis ilmu yang diterima dan dipelajarinya dan bagaimana pula seseorang itu cuba mengaplikasikan ilmu pengetahuannya itu dengan keadaan semasa.


Sebelum saya mengulas lebih lanjut, saya hendak menceritakan secara ringkas dahulu tentang sejarah bangsa arab ketika di zaman jahiliyah dan selepas mereka menerima Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Pada zaman jahiliyah bangsa arab hidup berpuak-puak dan sering berperang sesama sendiri, jika berselisih sedikit saja terhadap hak dan kepentingan puak masing-masing maka isu itu akan diperbesar-besarkan sehingga mengakibatkan mereka sanggup bertelagah dan memerangi puak lain. Sedangkan mereka adalah satu suku bangsa yang sama iaitu arab tapi berpecah belah. Mereka bukannya dipecah belahkan oleh bangsa lain tapi dipecah belahkan oleh sikap individu yang keras kepala, bongkak dan takbur dalam bangsa mereka sendiri dan menjadi pemimpin mereka. Disebabkan perbezaan fahaman dalam puak-puak masing-masing, pemimpin mereka sanggup bermusuhan dan mengajak pengikut-pengikut dalam puaknya untuk memerangi puak yang lain.


Bangsa arab jahiliyah ini juga mengamalkan budaya hidup yang sesat, dengan menyembah berhala dan menolak keras penerimaan terhadap dakwah-dakwah ajaran agama yang Maha Esa (ketika itu belum ada lagi istilah agama Islam). Mereka mengamalkan tahyul dengan bertenung nasib, melihat sesuatu nasib dan takdir pada hari tersebut berdasarkan arah ke mana burung terbang. Mereka mempercayai bahawa anak perempuan membawa sial kepada keluarga sehingga sanggup membunuhnya dengan menanam hidup-hidup.


Bangsa arab jahiliyah juga suka berfoya-foya dan minum arak, mereka suka berhibur dan berseronok-seronok, berzina dan menyimpan gundik. Akibat daripada sikap dan budaya buruk ini maka mereka mudah diperkotak-katikkan oleh bangsa-bangsa lain seperti yahudi, parsi dan rom yang datang ke wilayah negeri mereka. Ketika zaman jahiliyah juga, wilayah semenanjung arab tidak pernah dijajah secara langsung oleh parsi dan rom, hanya wilayah palestin saja yang sering menjadi rebutan lama sebelum itu antara bangsa arab palestin, yahudi, rom dan yunani. Walaupun tidak pernah dijajah secara langsung, namun bangsa arab ini sanggup bernaung di bawah parsi dan rom bagi menjaga hak dan kepentingan puak masing-masing terutama sekali puak dari sebelah utara semenanjung arab.


Walau bagaimanapun, zaman jahiliyah tidak bererti tiada pembangunan dan kemajuan fizikal, bangsa arab juga pernah mempunyai sebuah kerajaan yang hebat dan agung sebagaimana yang pernah tercatat dalam al-Quran, iaitu Kerajaan Saba’ di Yaman, terletak di sebelah selatan semananjung arab. Mungkin ada antara kita yang pernah membaca kisah antara Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis yang memiliki mahligai dan istana yang cantik, pengikut-pengikutnya yang setia, kawasan tanah yang subur dengan ladang-ladang pertanian, mempunyai teknologi empangan untuk system pengairan pertanian rakyatnya. Sementara di sebelah utara pula dulunya dikenali sebagai Syam dan sekarang Syiria merupakan wilayah perdagangan yang menjadi tumpuan antara benua asia dengan benua eropah pada masa itu. Pedagang-pedagang arab dari wilayah tengah dan selatan arab akan menuju ke Syam untuk berdagang. Baginda Rasulullah juga semasa kecilnya pernah mengikuti rombongan perdagangan bersama datuknya ke Syam.


Ini bermakna bangsa arab jahiliyah bukanlah satu bangsa yang mundur, mereka mempunyai kemajuan setaraf dengan tahap ilmu pengetahuan yang dimiliki mereka pada masa itu. Cuma yang kurangnya, mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan untuk membangunkan dan memajukan akhlak dan pemikiran mereka supaya mampu bersaing pada peringkat global dan menjadi satu bangsa yang bermaruah, dihormati dan dipandang tinggi. Pada masa itu, istilah global untuk bangsa arab mungkin boleh ditakrifkan bersaing dengan bangsa rom, bangsa parsi, bangsa India dan bangsa china.


Masing-masing bangsa tersebut mempunyai tamadun yang lebih tinggi dari bangsa arab dan mempunyai kesatuan yang lebih teguh berasaskan pegangan agama dan falsafah ajarannya yang mereka terima. Rom dengan penerimaan kristian, parsi dengan pegangan agama majusi, India dengan agama hindunya dan china pula dengan agama Buddha dan confusius. Dengan pegangan-pegangan agama atau kepercayaan inilah maka bangsa-bangsa tersebut mampu bersatupadu meluaskan empayar mereka ke wilayah lain untuk menyebarkan lagi pengaruh mereka. Di mana letaknya pegangan agama bangsa arab? Menyembah berhala hakikatnya bukan satu agama yang berfalsafah tinggi. Ia hanyalah satu perbuatan ritual yang diwarisi secara turun temurun atau upacara mengenang dan menghormati moyang-moyang mereka yang sudah lama meninggal dunia dan menjelma menjadi dewa-dewa yang akan menolong mereka. Dalam upacara tersebut bangsa arab akan mengalunkan bait-bait syair yang indah memuji dewa-dewa tersebut.


Perubahan mendadak berlaku kepada bangsa arab setelah Islam berjaya membentuk akhlak mereka dan menerima ajaran Islam sebagai pegangan hidup mereka. Berkurun-kurun lamanya mereka hidup dalam zaman jahiliyah namun hanya dalam tempoh beberapa kurun saja mereka bangkit dan dikenali seluruh dunia. Mereka berjaya meluaskan empayar pemerintahan mereka menyebarkan ajaran Islam kepada bangsa-bangsa kecil yang lain termasuk bangsa kita di nusantara ini. Kalau kita hanya mengharapkan pada nama bangsa saja sebagai bangsa melayu dan bumiputera, kita takkan se-gah bangsa cina dan India yang mempunyai sejarah tamadun yang tinggi dan pegangan yang kukuh dalam menyatupadukan mereka sejak berkurun-kurun lamanya.


Apabila saya membicarakan hal ini dalam satu laman forum di internet, ada yang mengata saya tidak realistic dan sekadar berangan-angan saja. Mengatakan bahawa itu bangsa arab dulu, dulu memang ramai bangsa-bangsa kecil dunia berpusu-pusu hendak memeluk Islam. Tapi sekarang lain, bangsa arab dah berpecah, bergaduh sesama sendiri sementara bangsa-bangsa kecil lain cuba dikuasai oleh bangsa-bangsa dari barat, cuba dikuasai oleh tamadun Amerika dan negara Amerika Syarikat. Jadi, saya dikehendaki oleh pihak berkenaan supaya lebih realistik dan perlu berbicara mengikut perkembangan semasa. Maknanya saya sudah ketinggalan zaman dan berangan-angan nak jadi macam umat Islam dahulu.


Sebenarnya apa yang hendak saya sampaikan ialah, cuba kita renungkan kembali bagaimana satu bangsa kecil tidak dikenali umum iaitu bangsa arab yang dulunya lemah, mudah dijajah, mempunyai akhlak yang rendah, walaupun mempunyai satu organisasi pentadbiran dan kepimpinan yang tersusun tapi disebabkan oleh pegangan mereka yang rapuh, tidak mampu membantu mereka membina tamadun yang tinggi dan meningkatkan kekuatan bangsa mereka dari pencerobohan dan penjajahan bangsa asing.


Kerana itu kita sebagai umat Islam diseru supaya menghormati baginda Rasulullah dan berterima kasih kepada baginda kerana sanggup berkorban menyebarkan ajaran Islam bukan saja untuk bangsanya tapi juga kepada semua bangsa terutama bangsa-bangsa kecil yang tidak cukup kuat walaupun bersatu untuk menghadapi ancaman dan ugutan satu bangsa yang besar dan masih mampu untuk bersatupadu. Kerana itulah para pendakwah sering mengajak kita supaya mengikut sunnah rasulullah, supaya kita lakukan amalan secara peribadi kita sebagaimana yang dilakukan oleh rasulullah. Bila setiap orang dari kita secara individu mempunyai sifat dan sikap seperti baginda maka kita akan mampu bersatupadu dan berganding bahu, berjuang bersama-sama menegakkan ajaran Islam. Cendekiawan Islam pernah berkata : ’kalau hendak tegakkan Islam di tanah airmu maka tegakkanlah dahulu Islam itu di dalam jiwamu’.


Apa yang saya perkatakan ini bukanlah satu angan-angan, dan bukan juga tidak realistik. Sejarah telah terbukti, jika kita mau ia jadi realiti semula kita kena lakukan sekali lagi sebagaimana bangsa-bangsa arab dahulu telah melakukannya, maka kita akan mampu mengulangi semula sejarah itu dan lebih membanggakan bangsa kita di Malaysia ini yang melakukannya. Jika kita hendak merealisasikannya maka kita kena berusaha dan melaksanakan apa yang pernah dilakukan oleh bangsa-bangsa arab dahulu. Kalau mereka dahulu tahap ilmu pengetahuan dan kemudahan mereka tidaklah secanggih dan sehebat kini tapi masih berupaya menyaingi bangsa lain seperti bangsa eropah, china dan india yang terbukti mempunyai teknologi yang lebih maju dari bangsa arab dahulu.


Jadi, kalau bangsa kita sekarang ini taklah sehebat bangsa china ataupun eropah, jika kita berpegang pada ajaran Islam dan merujuk kepada sejarah bangsa arab dahulu bagaimana cara mereka melakukannya maka kemunduran kita sekarang ini bukanlah satu masalah besar. Kita akan dapat mendahului mereka semula dari segi ilmu pengetahuan dan kemajuan taknologi. Masalah besar bangsa kita sekarang ialah cara pemikiran kita. Kepimpinan kita yang tidak berpandangan jauh dan sering bertelagah sehingga menjadi ikutan dan tauladan rakyat dari bangsa sendiri. Kita tidak mau berfikir secara terbuka untuk menerima sebarang perubahan yang besar. Kita takut dengan bayang-bayang kita sendiri sebagai satu bangsa yang kecil. Sehinggakan kita cuba sedaya upaya hendak mempertahankan hak istimewa dan kepentingan bangsa kita di tanah air sendiri dari dirampas oleh bangsa lain yang lebih besar dan mempunyai tamadun sejarah yang hebat.


Justeru itu, jika kita mahu menjadikan bangsa kita kuat dan terus berkuasa dan mampu menguasai semula 2/3 dunia sebagaimana yang telah dilakukan oleh bangsa arab dahulu didokong oleh bangsa-bangsa kecil lain sekitar semenanjung arab, mahu tidak mahu kita kena kembali semula kepada ajaran asal Islam. Kita kena kaji semula sejarah dan teliti kembali bagaimana bangsa yang dulunya berpecahbelah saling bermusuhan dan tertindas di tanah air sendiri boleh bangkit menjadi satu bangsa yang dihormati dan mempunyai tamadun yang lebih gemilang dari tamadun-tamadun bangsa yang lain.


Semua ini mesti dilakukan oleh peringkat kepimpinan bangsa kita dan didokong oleh para cendekiawan dan ilmuan kita. Bahkan rakyat biasa dari kalangan bangsa kita mesti diberi peluang untuk menyatakan pendapat dan memberi pandangan. Walaupun tidak memiliki gulungan ijazah dan phd, golongan atasan harus sedar bahawa dalam Islam yang diperhatikan adalah Iman dan Takwa. Setiap insan diberi kelebihan dan anugerah tersendiri berdasarkan iman dan takwa oleh Allah Yang Maha Besar dan Berkuasa terhadap segala sesuatu.


Pemimpin Islam bangsa kita sekarang harus ingat, sejarah telah membuktikan bahawa baginda Rasulullah pernah menerima pandangan dan idea dari seorang pengikut biasa dan telah berjaya menyelamatkan barisan tentera Islam dari kepungan pasukan tentera musuh. Sallahudin Al-Ayubi yang membebaskan Palestin dari cengkaman tentera Eropah merupakan anak kampung berasal dari wilayah Tikrit, Iraq. Kebolehannya menyatupadukan bangsanya diberi kepercayaan oleh khalifah untuk menjadi pemimpin dan panglima tentera Islam. Sehinggakan beliau menjadi ikon kepada Saddam Hussein untuk mengikut jejak anak watan yang berasal dari wilayah yang sama dengannya itu. Malang bagi Saddam kerana bangsanya sendiri telah menjadi talibarut musuh sementara puak-puak yang lain memusuhinya, dan pendekatannya yang kurang bijak dalam menghadapi ancaman Amerika dan sekutunya.


Pada hari ini, kita sebenarnya telah berada di zaman yang sejarahnya telah berulang kembali disebabkan oleh kecuaian dan kelalaian kita. Jika kita mahu kembali ke zaman kegemilangan itu sesuai dengan kemajuan hari ini kita kena terima perubahan dan kembali semula kepada asas ajaran Islam dengan mengkaji dan menelitinya semula. Jadikan perlaksanaan yang dibuat oleh bangsa arab dan bangsa-bangsa kecil terdahulu yang menerima Islam sebagai panduan dan tauladan untuk kita mengusahakannya melalui pendekatan yang sesuai dengan zaman ini.