Ada seorang pemimpin pemerintah sekarang menjelaskan :
Ia kerana dalam menghadapi krisis seumpama ini, sebuah kerajaan yang ingin menjadi popular tidak akan menaikkan harga minyak. Ini memandangkan apa pun penjelasan yang diberikan kepada rakyat langkah berbuat demikian bukan satu tindakan yang akan diterima.
Oleh itu, kalau kerajaan ingin menjadi sebuah kerajaan yang popular, kerajaan tidak akan berbuat apa-apa pun. Kerajaan akan terus memberi subsidi dengan meminjam atau mengambil wang Petronas.
Tetapi apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini menunjukkan kematangan kepimpinan kita yang sanggup membuat keputusan yang dianggap memang tidak popular. Kerajaan membuat keputusan menaikkan harga minyak sebab kerajaan berpegang kepada konsep amanah dan tanggungjawab. Kedua-dua konsep ini adalah berlandaskan kepada Islam dan nilai-nilai universal.
Apa yang dilakukan harus dilihat dari segi demi generasi sekarang dan masa depan. Dalam demokrasi, kerajaan itu bertanggungjawab kepada rakyat dan harus mengambil tindakan memberi nikmat kepada rakyat.
Tetapi persoalannya apa definisi rakyat dari segi konsep amanah dan tanggungjawab itu? Apakah ia hanya untuk rakyat seramai 27 juta yang ada sekarang? Hakikatnya, dari segi konsep berkenaan, ia bukan sahaja melibatkan persoalan kehidupan 27 juta penduduk yang ada pada hari ini tetapi juga generasi akan datang - anak-anak serta cucu cicit kita dan seterusnya.
Kita bertanggungjawab dan memegang amanah untuk mereka ini. Kerajaan boleh menjadi popular dengan mengekalkan subsidi walaupun kepada orang yang tidak layak menerima bantuan melalui meminjam wang dari dalam dan luar negara serta menggunakan wang Petronas.
Tetapi kita harus ingat bahawa pinjaman itu akan dibayar balik oleh anak cucu kita dan sumber kekayaan kita iaitu Petronas tidak akan dapat dinikmati oleh generasi berkenaan.
Kalau kita memberi fokus hanya kepada generasi sekarang, ia bukanlah satu konsep amanah. Jadi kerajaan dalam mengambil tindakan tidak popular itu berpegang kepada konsep amanah dan tanggungjawab yang tulen. Saya fikir ia adalah sesuatu yang diajar oleh Islam dan boleh diterima oleh bangsa-bangsa lain."
Itu adalah alasan bagi menghalalkan cara dan tindakan pemerintah yang sangat "matang" terpaksa berbuat keputusan demikian, seolah-olah tiada pilihan cara lain lagi yang tidak perlu mengorbankan kepentingan generasi kini. Sepatutnya masa depan negara ini ditentukan oleh rakyat bukannya parti yang menjadi pemerintah, jika ekonomi rakyat sekarang meningkat maka generasi akan datang akan mewarisinya.
Sebagai seorang "bapa" pemerintah seharusnya membantu rakyat membangunkan ekonomi masing-masing dengan menyediakan prasarana dan peluang yang lebih terbuka, yang boleh melibatkan penyertaan semua rakyat tak kira di bandar maupun luar bandar. Dengan kekayaan hasil Petronas sepatutnya kerajaan mampu menyediakan peluang-peluang ekonomi yang boleh membantu ekonomi rakyat, bukannya menerokai peluang ekonomi yang hanya memperkayakan pemerintah semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan