Tenaga adalah satu sumber yang sangat penting bagi menggerakkan segala kegiatan ekonomi, sebelum ini kenderaan enjin diesel bergantung sepenuhnya kepada tenaga minyak petrodiesel iaitu minyak diesel yang dihasilkan daripada petroleum. Namun, dengan kenaikan harga diesel yang turut semakin meningkat pada masa akan datang maka ini juga akan meningkatkan kos pengeluaran dan pengangkutan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi rakyat. Petrodiesel hanya dihasilkan oleh syarikat-syarikat minyak petroleum seperti Petronas dan Shell. Walaupun Petronas adalah syarikat minyak tempatan namun atas kepentingan politik, hasil minyak keluaran Petronas tidak mampu lagi membela kepentingan ekonomi rakyat sebaliknya lebih menjaga kepentingan ekonomi pihak yang menguasai syarikat minyak ini.
Jadi, rakyat seboleh-bolehnya perlu mencari alternatif lain tanpa terlalu bergantung kepada pihak pemerintah sekarang yang sering menyalahkan rakyat yang telah mengundi mereka menjadi pemerintah sekiranya terlalu bergantung kepada mereka. Rakyat dikatakan terlalu dimanjakan dengan subsidi sehingga pemerintah tidak mampu lagi menanggung kerugian akibat kekurangan hasil pendapatan jika tidak memberi subsidi dan menjualnya pada harga pasaran dunia.
Justeru itu, bagi menyahut seruan tersebut marilah kita rakyat mula mengorak langkah untuk belajar sedikit demi sedikit bagaimana hendak menghasilkan biodiesel ini, sekurang-kurangnya sekiranya kita tahu asas penghasilannya maka untuk memperkembangkan lagi keluaran biodiesel sendiri memerlukan daya usaha yang gigih serta ketekunan untuk mencari alternatif membina sendiri perkakasan yang mampu menghasilkan sejumlah biodiesel yang banyak bagi tujuan komersil atau mencari pembekal yang menyediakan peralatan lengkap untuk mesin-mesin serta peralatan yang diperlukan.
Bagi menyokong usaha ini, sebagai permulaan kita hendaklah cuba memahami bukan saja akan kepentingan biodiesel ini tetapi lebih dari itu ialah asas-asas penghasilannya. Berikut merupakan satu laman web komuniti biodiesel yang akan menjelaskan secara terperinci dari A sampai Z bagaimana menghasilkan biodiesel di makmal :
COLLABORATIVE BIODIESEL TUTORIAL
Melalui laman web komuniti biodiesel ini, akan terdapat banyak lagi LINK atau rangkaian lain yang berkaitan dengan biodiesel ini. Dengan itu, sumber-sumber maklumat mengenai biodiesel ini boleh diperolehi secara lebih terperinci. Laman web ini dalam bahasa Inggeris dan bagi mereka yang kurang faham pastinya menghadapi sedikit masalah namun demi ilmu pengetahuan serta kemahuan untuk mempelajari sendiri penghasilan biodiesel ini bahasa bukannya halangan. Kerana potensi dan masa depan bidang ini cukup luas dan boleh memberi manfaat kepada rakyat dan semestinya kerajaan juga akan tidak boleh melihat rakyat hidup senang bilamana kerajaan kelak akan mengenakan macam-macam cukai dan syarat. Sedangkan peniaga yang menaikkan harga barang mereka tidak mampu menanganinya secara menyeluruh, inikan pula hendak mengenakan macam-macam syarat dan cukai kepada pengusaha biodiesel persendirian yang bakal wujud kelak.
Bukan hendak mengagung-agungkan USA, sememangnya dalam keadaan tertentu walaupun banyak menyusahkan negara lain namun kerajaan mereka turut membantu meningkatkan ekonomi rakyat bagi membolehkan mereka mempunyai perusahaan sendiri. Begitu juga dalam bidang biodiesel ini, juga terdapat syarikat-syarikat yang menyokong usaha rakyat US yang ingin menceburi bidang perniagaan ini. Bahkan difahamkan syarikat-syarikat yang menyokong usaha ini turut menetapkan standard dan kualiti jualan biodiesel yang dihasilkan oleh pengusaha yang boleh diterima oleh syarikat ini. Bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan, bekalan-bekalan peralatan dan mesin, serta khidmat-khidmat nasihat serta sokongan secara tutorial menerusi internet. Pengunjung sekalian boleh lawati laman web berikut :
UTAH BIODIESEL SUPPLY
Semoga dengan segala pendedahan maklumat ini dapat membuka minda kita, bahawa sebenarnya peluang itu ada tapi disebabkan oleh halangan-halangan tertentu kita tidak dapat sampai untuk mencapai peluang itu. Kita tidak seharusnya terlalu bergantung kepada tenaga fosil lagi kerana lambat laun ia akan habis juga dan akan dijadikan sumber tenaga yang dikawal dan hanya mampu dimiliki oleh mereka yang kaya raya saja kelak lantaran harganya yang semakin mahal. Marilah kita beralih kepada sumber tenaga alternatif, tenaga yang boleh dikitar semula seperti elektrik, biodiesel, ethanol, solar, hydrogen, air dan udara. Daripada sumber-sumber tenaga tersebut sememangnya ada yang memerlukan kos yang tinggi yang tidak akan termampu dibuat oleh rakyat biasa misalnya elektrik yang perlu dijana oleh empangan hidro atau kincir angin yang memutarkan dinamo untuk menghasilkan cas elektrik. Tapi bagi biodiesel ini, rakyat US telah membuktikan bahawa ia boleh dihasilkan oleh orang-orang biasa saja pada kos yang mampu. Dan sudah tentu kita rakyat Malaysia juga mampu menghasilkannya dan menjadikan ia satu sumber ekonomi baru kepada rakyat yang berilmu pengetahuan sains dan teknology.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan