Custom Search

Reviews Directory

Ahad, 29 Jun 2008

Cuma Pandai Beralasan Saja

"Tetapi persoalannya apa definisi rakyat dari segi konsep amanah dan tanggungjawab itu? Apakah ia hanya untuk rakyat seramai 27 juta yang ada sekarang? Hakikatnya, dari segi konsep berkenaan, ia bukan sahaja melibatkan persoalan kehidupan 27 juta penduduk yang ada pada hari ini tetapi juga generasi akan datang - anak-anak serta cucu cicit kita dan seterusnya."

Menjawab kepada persoalan pemimpin berkenaan di atas saya sebagai rakyat melalui blog ini ingin menjelaskan kepada umum pandangan dan pendapat peribadi saya. Supaya dengan itu saya tidak hanya tau mengkritik saja tapi juga mampu memberi idea untuk membantu negara, bangsa dan agama sungguhpun idea ini kelak hanya akan dibakul sampahkan dan cuma angan-angan mat jenin saja.

Memang begitulah nasib orang yang tak ada pengaruh dan tak ada kuasa, hanya pandai cakap saja tapi buat belum tentu dapat. Tapi sekiranya orang yang berkuasa dan ada pengaruh sekarang pun tak mampu nak buat, pun tak guna juga mereka jadi pemimpin atau pemerintah. Kerana ia hanya menyusahkan rakyat dan menjadi beban kepada bangsa, agama dan negara.

Bagaimana hendak meningkatkan ekonomi rakyat dalam keadaan harga minyak dunia meningkat dan bekalan makanan dunia berkurangan? Pemerintah yang bertanggungjawab tidak akan semata-mata hendak menjaga periuk nasi mereka, sebaliknya bagi memastikan pemerintah terus mendapat sokongan rakyat dan dalam masa yang sama juga ekonomi rakyat dapat dipertingkatkan sejajar dengan kenaikan kos hidup sekarang, pemerintah sepatutnya mampu berfikir dan bertindak untuk menyelamatkan keadaan, bukannya memburukkan keadaan.

Memang benar kos akan meningkat jika harga minyak dunia naik dan pemerintah tak mampu lagi menanggung kerugian dengan terus memberi subsidi. Persoalannya sekarang bukan subsidi tapi apakah usaha pemerintah untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat. Sekiranya ekonomi dan pendapatan rakyat meningkat maka kesannya tak akan terasa dan rakyat boleh terima hakikat tersebut. Bahkan kalau pemerintah hendak menarik balik subsidi sekalipun rakyat boleh terima keputusan tersebut asalkan rakyat mempunyai kedudukan ekonomi yang mantap.

Jika pemerintah sebelum ini mampu menyelamatkan negara dari ancaman spekulator matawang dengan menambat ringgit, pada masa yang sama dengan pembinaan projek-projek yang mampu meningkatkan ekonomi rakyat menerusi kedatangan jutaan pelancong saban tahun maka kesan kemelesetan ekonomi pada masa itu tidak terasa oleh rakyat kerana dengan kedatangan pelancong asing rakyat masih mampu meningkatkan pendapatan mereka. Pemerintah pada masa itu dengan kebijaksanaan kepimpinannya mampu menyelamatkan negara, rakyat dan partinya untuk terus mendapat sokongan menerajui kerajaan.

Tapi sekarang setelah peralihan kuasa kepimpinan apa yang telah terjadi? Dimana kebijaksanaan pemimpinnya? Dimana keberanian mereka untuk menyelamatkan rakyat dan negara? Apakah partinya mendapat sokongan besar rakyat sementara pemimpinnya yang tidak mempunyai kebijaksanaan dan keberanian membela nasib rakyat terus menerajui kepimpinan negara? Di mana-mana saja sekarang ini rakyat terus mengkritik, mengutuk dan mempersoal kerelevanan pemimpin dan pemerintah sekarang.


Tiada ulasan: