Dengan ilmu pengetahuan memungkinkan segalanya yang mustahil, yang penting ialah minda perlu kreatif disamping kritikal. Kadang-kadang minda kritikal juga akan membentuk minda menjadi kreatif. Apa gunanya asyik mengkritik sahaja sedangkan diri kita tidak kreatif mencari jalan penyelesaian kepada masalah. Pemikiran sebegini perlu ada pada seorang pemimpin, terutama dalam menerajui negara. Tanpa pemikiran sebegini, seorang pemimpin itu akan kehilangan punca dan segala keputusan yang dibuat bukan lagi dengan pemikirannya, sebaliknya dibuat oleh orang lain dan dia hanyalah seperti "burung kakak tua".
Sebagai seorang manusia yang mempunyai akal fikiran yang sihat dan normal, kita tentu tahu memerhatikan ciri-ciri pemimpin yang hanya menjadi boneka dan tidak cerdik lantaran pemikirannya yang tidak kritikal dan kreatif dalam penyelesaian sesuatu masalah. Walaupun dikatakan lebih bersifat terbuka kerana menerima segala pandangan dan tidak terlalu menyekat kebebasan, namun seorang pemimpin yang tidak kritikal dan kreatif akan lebih mudah diperalatkan dan dipengaruhi berbanding seorang pemimpin yang kritikal dan kreatif. Pemimpin kritikal dan kreatif menerima pandangan dan teguran umum tapi pada masa yang sama turut mengkritik. Dengan pemikirannya yang kritikal itu menjadikan dia lebih kreatif untuk menghasil dan menyusun rancangan masa depan. Bukan saja pada dirinya tapi juga untuk bangsa, agama dan negaranya. Siapakah contoh terbaik pemimpin sebegini di negara kita? Teruskan membaca.
Kenaikan harga petrol di pasaran sekarang banyak memberi hikmat, kita mengkritik bukan semata-mata kerana mengapa perlu dinaikkan harga minyak dalam keadaan rakyat Malaysia masih belum teguh kedudukan ekonominya. Setelah bermuhasabah, sepatutnya dengan hasil kekayaan sumber petroleum ini maka dapatlah pemerintah pada masa sekarang membangunkan projek-projek yang boleh membantu meningkatkan lagi ekonomi rakyat Malaysia yang telah diperteguhkan oleh pemimpin sebelumnya.
Dahulu, projek-projek pembangunan yang dilaksanakan dengan menggunakan hasil petroleum telah menyelamatkan ekonomi rakyat ketika dalam keadaan kegawatan ekonomi 1997. Segala projek itu memberi manfaat kepada ekonomi rakyat dengan kedatangan pelancong asing yang semakin ramai, Malaysia dikenali seluruh dunia melalui mercu tanda KLCC dan Putrajaya. Kebanjiran pelancong ini mampu ditampung oleh KLIA dan bukan saja mengurangkan kesesakan lalulintas udara bahkan dengan Monorel dan LRT pelancong dapat ke pusat bandar Kuala Lumpur dengan segera.
Tidak cukup dengan itu, Litar Sepang pula menjanjikan prestij kepada peminat F1 seluruh dunia untuk berkampung di Malaysia. Dengan MSC dan Cyberjaya pula, prasarana dan teknologi ICT dapat berkembang di Malaysia dan pastinya ini memberi manfaat kepada sektor pelancongan kerana kini apa jua sektor ekonomi dan perniagaan yang diusahakan rakyat boleh dipromosi hanya dengan laman web yang boleh dilihat oleh seluruh penduduk dunia. Terbukti sudah, segala projek yang dilaksanakan pada zaman itu biarpun menggunakan hasil dari sumber petroleum namun pulangannya kembali kepada rakyat Malaysia. Siapakah pemimpin dan peneraju negara pada masa itu? Tepuk dada tanya iman. Sudah gaharu cendana pula.
Dan apa pula langkah yang telah diambil oleh pemimpin negara kita hari ini? Mereka kata, negara tidak ada wang lagi kerana habis diguna untuk melaksanakan projek mega di zaman pemimpin sebelumnya. Tapi dalam masa yang sama 5 koridor dilancarkan bernilai beratus-ratus bilion melebihi kos yang ditanggung untuk projek mega oleh pemimpin sebelum itu. Projek mega hasilnya pasti dan setelah siap terus mendatangkan pulangan tahun demi tahun. Koridor pula perlukan kos tinggi yang berterusan dan hasilnya tidak sesegera seperti projek mega kerana koridor banyak fasa-fasa pembangunan. Bagaimana hendak mendapatkan sumber pendapatan untuk modal pembangunan kelima-lima koridor tersebut. Apakah dengan cara menarik subsidi dan menaikkan harga minyak? Sumber pendapatan dari sektor pelancongan pun tak cukup untuk menampungnya apatah lagi sekiranya kelima-lima koridor itu perlu disiapkan sesegera mungkin menjelang 2020.
Semata-mata hendak mencapai pembangunan yang pantas, kepentingan rakyat dikorbankan. Beralasan pembangunan itu penting untuk generasi akan datang tapi kestabilan dan kehidupan harmoni generasi kini diabaikan. Apabila kehidupan generasi kini dilanda kesusahan maka tentunya produktiviti menurun dan dayasaing berkurangan kerana tidak mampu lagi menanggung kos yang semakin tinggi. Apabila kehidupan rakyat generasi kini merosot tentunya mereka tidak gembira dan tidak berpuas hati dan ini boleh menimbulkan porak peranda. Apakah dengan keadaan ini kehidupan generasi akan datang akan lebih senang. Tentu sekali rasa tidak puas hati ini akan berterusan ke generasi akan datang. Maka itulah, amat penting sekali untuk menghalang kejadian yang tak diingini oleh seluruh rakyat Malaysia generasi sekarang supaya tidak berlaku. Tapi bagaimana? Permasalahan ini hanya boleh ditangani oleh seorang pemimpin yang kritikal dan dengan kritikannya itu menjadikan dia lebih kreatif untuk membawa halatuju masa depan negara yang lebih stabil, aman, harmoni dan kuat.
Masalahnya juga, apakah ada pemimpin sebegini sekarang ini seperti pemimpin yang terdahulu itu. Apakah ada pemimpin sekarang mempunyai ciri-ciri kritikal dan kreatif seperti yang diharapkan itu. Apa yang kelihatan sekarang majoritinya pemimpin pengampu dan pembodek, hanya pak turut yang banyak dan tidak berani mengkritik serta mengemukakan idea yang kreatif. Kalau ada pun, hanya pemimpin yang dipandang serong dan mempunyai reputasi yang kurang baik. Sungguhpun kritikal tapi kurang kreatif kerana pendekatannya terlalu ekstrim dan tidak bijaksana dalam mengambil hati rakyat untuk mempercayai dan meyakini kejujuran serta keikhlasannya.
Semoga Allah SWT sekali lagi kurniakan negara kita seorang pemimpin yang kritikal dan kreatif dalam menerajui negara yang banyak menempuhi rintangan dan cabaran masa depan yang semakin getir. Rakyat Malaysia memerlukan kepimpinan yang kritikal dan kreatif, bukannya pemimpin yang lembut dan lembab kerana dalam keadaan dunia yang semakin kompleks sekarang pemimpin sebegitu tidak sesuai untuk rakyat dan negara dalam mengharungi cabaran masa depan yang semakin kritikal. Untuk menghadapi dunia yang kompleks dan kritikal memerlukan pemimpin yang berfikiran kritikal dan kompleks juga supaya dia mempunyai idea yang kreatif bagi menghadapinya dengan lebih berkesan dan bijaksana. Demi untuk rakyat, agama, bangsa dan negara, bukannya demi keluarga, menantu, kroni dan kepentingan sendiri.
Who Is The Richest Man In Malaysia? It Is Not Robert Kuok ...Can Abdullah Badawi Be Trusted After All the Lies About the Oil Price Hike? You Be The Judge
Tiada ulasan:
Catat Ulasan