Custom Search

Reviews Directory

Ahad, 29 Jun 2008

M'pertingkat Ekonomi Rakyat 1

Memperkasa Semula Industri Pertanian

Post ini adalah lanjutan daripada post sebelumnya. Jika sebelum ini pemimpin menumpukan kepada kemajuan industri berat ia adalah sesuai untuk peralihan infrastruktur ekonomi negara yang hanya bergantung kepada tulang empat kerat serta tenaga manusia kepada penggunaan mesin-mesin dan jentera berat. Bahkan pada masa itu sekiranya sesebuah negara ingin maju perlu melibatkan diri dalam sektor perindustrian dan perkilangan.

Transformasi ini dari segi keupayaan dan daya pengeluaran mampu untuk meningkatkan hasil pengeluaran serta produktiviti sesuatu perusahaan. Hasil daripadanya maka negara kita mampu menjadi pengeluar kereta PROTON dan PERODUA. Begitu juga dalam aspek pembangunan lain dengan wujudnya lebih banyak kilang-kilang dan prasarana-prasarana penting seperti kemudahan jalan raya untuk pengangkutan, pelabuhan dan kargo udara untuk import-eksport dan lapangan terbang untuk menyambut kedatangan pelabur serta pelancong asing.

Negara kita juga telah menjadi antara negara pengeluar peralatan elektronik yang banyak mendapat permintaan dari negara-negara maju pada masa itu. Dengan perkembangan transformasi ini serta peningkatan daya saing serta kos pengeluaran yang murah maka banyak pelabur asing datang ke Malaysia untuk beroperasi mengeluarkan produk keluaran mereka di negara ini. Malaysia telah menjadi hub pengeluaran syarikat-syarikat dan kilang-kilang asing dan ini telah memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Walaubagaimanapun, keadaan dunia kini sudah berubah. Diberitakan bahawa kini seluruh dunia menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan dan kenaikan kos harga minyak petroleum. Kedua-dua krisis ini seharusnya menjadi tumpuan pemerintah sekarang bagaimana hendak berhadapan dengannya dan mengambil langkah yang sesuai supaya kedua-dua krisis sejagat ini tidak menggugat kedudukan ekonomi negara serta kepentingan rakyat. Petroleum dijangka akan habis dan sememangnya mana-mana negara pun tidak boleh berbuat apa-apa. Tetapi dalam pengeluaran makanan dengan keluasan tanah dalam negara yang masih banyak belum diterokai ia seharusnya menjadi agenda serta tumpuan pemerintah untuk memajukan lagi sektor pertanian ini.

Dalam memperkatakan pertanian ini ia tidak hanya melibatkan pengeluaran hasil tanaman untuk makanan sahaja tetapi jika pemimpin kita hari ini berpandangan jauh dan berfikiran besar sesungguhnya pertanian merupakan industri yang sangat menguntungkan jika ia ditransformasikan dengan industri perkilangan yang berkaitan. Jumlah manusia tidak pernah berkurangan dan kelahiran akan terus meningkatkan jumlah manusia pada masa akan datang. Justeru itu, manusia memerlukan sumber makanan dan ia hendaklah diusahakan secara besar-besaran menerusi penyertaan rakyat.

Sektor industri pengeluaran barang bukan pertanian seperti kilang papan, peralatan elektronik, perabot dan sebagainya hanya memerlukan pekerja untuk bekerja di dalam kilang berkenaan. Tapi sekiranya sektor industri pengeluaran berasaskan makanan seperti kilang memproses hasil buah-buahan, hasil ternakan haiwan, hasil perikanan dan sumber makanan laut dan sebagainya, bukan saja memerlukan pekerja untuk bekerja di dalam kilang berkenaan tetapi juga memerlukan pekerja yang tak perlu syarikat atau kilang berkenaan membayar upah untuk menanam pokok buah-buahan, sayuran, menternak ayam atau kambing atau lembu dan menangkap ikan di lautan. Sebaliknya biarlah rakyat mengusahakan segala kerja itu dan sektor perkilangan dan pemprosesan boleh membeli hasil tanaman, ternakan dan tangkapan yang diusahakan oleh rakyat.

Dimana-mana saja selagi ada tanah dan selagi ada lautan dan sungai rakyat mampu mengusahakan aktiviti ini sekiranya terdapat permintaan yang berterusan. Bermakna, kilang-kilang pemprosesan ini tidak akan dibina di sesuatu tempat saja tetapi boleh dibina di mana-mana saja lokasi di seluruh negara di mana sesuatu perusahaan itu boleh dilakukan rakyat setempat.

Tiada ulasan: