Mulut adalah satu anugerah yang mesti dihargai dan digunakan dengan sebaik-baiknya. Ada juga orang tidak suka bercakap secara langsung menggunakan mulut, sebaliknya lebih suka menggunakan medium lain untuk berkomunikasi. Penulisan adalah antara salah satu medium percakapan yang paling berkesan kerana ia boleh dibaca oleh sesiapa saja dan dibaca berulang-ulang. Namun begitu, menulis juga ada had dan adabnya kerana ianya lebih berbisa dan lebih berkesan lagi dalam menyampaikan sesuatu maksud dan maklumat. Jangan sampai memakan diri bak kata pepatah ‘kerana pulut santan binasa’ dan ‘perahu masih boleh diundur tapi kata-kata…’.
Walau bagaimanapun, tidak bermakna kita tidak boleh bercakap langsung dengan apa cara sekalipun. Jika kita tidak bercakap maka bencana yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini telah menimpa kita dan berkemungkinan akan menjadi lebih teruk lagi. Walaupun bukan kita yang melakukannya tetapi orang-orang di sekeliling kita yang akan melakukannya. Mungkin kerana tidak mau ‘menjaga tepi kain orang lain’ maka kita tidak mau ambil peduli tentang apa yang berlaku.
Selain itu, kita tidak mau bercakap kerana telah diberi amaran oleh pihak yang mempunyai kuasa untuk tidak membicarakan hal-hal yang sensitive demi menjaga keharmonian rakyat yang berbilang kaum. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya ‘lebih sudu dari kuah’, ‘paku dulang paku serpih’. Mengata orang mereka yang lebih, kalau bukan dengan bercakap akan dilakukan dengan perilaku bagi menunjukkan kehebatan diri. Jika kita melihat saja dan membenarkan apa yang mereka lakukan itu, dikhuatiri kelak seluruh rakyat yang tidak berdosa menjadi mengsa kesan daripada tindakan provokasi dan ‘baling batu sembunyi tangan’ yang dilakukan oleh perkumpulan golongan ini.
Oleh kerana itulah amat penting sekali untuk kita bercakap terutama sekali sekiranya terdapat kemudahan web blog bagi menyatakan pandangan dan aliran pemikiran kita yang tak berpihak kepada sesiapa. Kita berpihak kepada kebenaran, kejujuran dan keikhlasan mereka yang benar-benar ingin membantu rakyat dan orang lain yang memerlukan bantuan serta sokongan. Jika kita tidak kaya dengan wang dan harta menimbun-nimbun, ada antara kita yang boleh menjadi kaya dengan membongkar kitab al-Ghazali untuk dikongsi bersama dengan orang lain. Ada juga orang yang sakit hati tidak boleh diubat dengan pil ataupun herba, sebaliknya boleh diubat dengan kata-kata hikmat yang penuh bermakna.
Mengapa kita sakit hati, sakit jiwa dan sakit mental. Kerana kita memendam perasaan dan ditekan dengan pelbagai masalah yang tidak diselesaikan. Bagaimana hendak menyelesaikan masalah adalah dengan bercakap dan berkomunikasi dengan orang lain. Itulah yang saya belajar dari buku-buku motivasi yang ditulis oleh pakar-pakar seperti Anthony Robin dan Dr. HM Tuah Iskandar. Walaupun kita takkan mampu untuk mengubah keadaan orang lain kita masih mampu untuk mengubah keadaan diri kita sendiri dengan sentiasa bercakap pada diri kita sendiri dan bercakap baik-baik dengan orang lain. Kita meluahkan apa yang terpendam bak gunung berapi memuntahkan lahar menerusi lohongnya. Jika tidak dikeluarkan maka ia akan meletup dari dalam dan memusnahkan seluruh gunung itu. Kata orang tua-tua ‘musuh jangan dicari’, tapi kadang-kadang musuh pun kalau tak dicari akan datang sendiri kerana telah muncul begitu ramai ‘musuh’ di sekeliling kita sekarang. Sama ada musuh yang nampak atau tidak nampak, musuh yang nyata atau yang berpura-pura baik.
Memang benar bercakap mempunyai kuasa yang istimewa yang boleh mengubah orang lain dengan mempengaruhi tindakan dan keputusan mereka. Kerana itu suatu masa dahulu pemimpin kita cukup lantang untuk bercakap di arena antarabangsa bagi mengubah pendirian kuasa-kuasa besar yang bongkak. Negara kita tidak ada kuasa material dan kuasa politik untuk mempengaruhi mereka. Negara kita bukan pemilik kuasa veto untuk membatalkan sesuatu keputusan yang dibuat di PBB. Tetapi kita masih boleh untuk bercakap dan terus bercakap, dan amalan ini tidak disekat oleh pemimpin terdahulu dikalangan rakyatnya bagi menyatakan kebenaran dan memperbetulkan keadaan. Sebagai manusia kita adalah insan yang lemah dan mudah lupa, jadi tidak perlulah yang berkuasa itu mempertikaikan hak bercakap rakyat selagi tidak memprovokasikan dengan unsur-unsur perkauman dan menghasut untuk mengajak perbuatan jahat. Amar makruf nahi mungkar. Jika penguasa pantang ditegur dan ‘pantang dicabar’, ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku terhadap prinsip kepimpinan mereka dan ianya mesti diperbetulkan melalui bercakap dengan baik.
Perkataan yang telah mengubah dunia ini selama-lamanya yang tak mungkin dapat dipadamkan sehingga hari kiamat adalah wahyu Allah s.w.t. Perkataan ini disampaikan dalam bahasa arab dan disampaikan secara dialog dan percakapan kepada pembacanya. Seolah-olah apabila kita membacanya, ayat al-Quran itu berinteraksi dengan kita. Begitulah kehebatan ayat suci al-Quran kerana telah berjaya mempengaruhi tindakan manusia tidak kira sama ada mereka orang Islam ataupun bukan Islam. Umat Islam yang mengamalkannya pasti mendapat ganjaran di dunia dan akhirat, sementara yang belum lagi Islam hanya beruntung di dunia saja dan rugi selama-lamanya di akhirat. Kenyataan itu sudah jelas dan tidak perlulah dipertikaikan kerana telah banyak bukti dan kisah lampau ditujukkan melalui bukti-bukti sejarah dan kajian-kajian saintifik moden terhadap kebenaran ayat-ayat al-Quran.
Namun, kesedaran tentang Islam perlulah terus diperjelaskan dan diperkatakan melalui apa jua medium komunikasi dan boleh dibincangkan oleh sesiapa sahaja selagi tidak melampaui batas. Kita faham dan kita ada akal untuk memikirkannya mana yang baik dan mana yang buruk. Bahkan Allah juga telah memberi peringatan supaya kita sebagai manusia jangan melampaui batas. Ada pihak yang tidak senang dengan laungan azan tetapi jika diperjelaskan secara baik dan terang maka orang bukan Islam pasti akan faham dan boleh menerima penjelasan. Janganlah dijawab dengan nada kasar dan terlalu tegas dengan menyatakan jangan dipersoalkan hak istimewa dan perlembagaan berhubung agama Islam sebagai agama rasmi. Ia seperti memberi ‘kata dua’ sama ada ya atau tidak kepada mereka yang sengaja membangkitkan isu tersebut. Walaupun sebelum ini telah diperjelaskan namun janganlah berputus asa untuk terus menerus memperjelaskan apa jua persoalan dengan baik dan bersabar dalam menyampaikannya, kerana jika sudah disampaikan secara menyeluruh dan umum tiada alasan untuk pihak yang membangkitkannya mengatakan ‘tidak tahu’ dan tidak faham.
Kita boleh bercakap apa saja dengan cara yang sebaiknya supaya tidak menimbulkan rasa sakit hati dan dengki. Walaupun mungkin apa yang dicakapkan itu pahit untuk ditelan, ia terpaksa diterima dan kadang-kadang juga kita pernah dikritik, dikutuk dan dicerca oleh orang lain. Sekurang-kurangnya kita telah menyampaikan apa yang sepatutnya dan kita sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah menyampaikan kebenaran kepada seluruh manusia. Namun, kita bukanlah nabi dan rasul untuk meyakinkan orang lain, menyampaikan sesuatu dengan penuh sakti. Apa yang penting adalah kita boleh membela diri kita di akhirat kelak jika dipersoalkan tentang lidah, untuk apa ia digunakan. Kita hanya akan melakukan apa yang termampu untuk kita lakukan, dan yang selainnya terserah kepada mereka yang berkuasa dan bertanggungjawab untuk mengguna bidang kuasa mereka. Kita sudah menjadi seorang rakyat yang prihatin dan peka dengan situasi sekeliling. Kita telah memainkan peranan menyumbang idea dan pandangan yang boleh diambil kira oleh mereka yang berkenaan.
Selagi kita tidak mendedahkan maklumat terperinci tentang peribadi kita tiada siapa pun boleh membuli kita sewenang-wenangnya. Kita bebas untuk menyatakan pendapat dengan lebih bertanggungjawab tanpa bimbang dibuli, diambil kesempatan, difitnah dan disaman oleh mereka yang berkepentingan. Kita bukanlah pemilik blog seperti ‘Malaysia Today’ yang dimiliki oleh golongan ‘atasan’, berani berbicara secara langsung tanpa sebarang tapisan menghentam pihak lawan. Selagi kita berpegang pada prinsip untuk terus bercakap tiada siapa pun boleh menghalang dan mengugut kita. Kita tidak teragak-agak untuk menyatakan pendapat dengan hati yang terbuka pada ruang yang lebih terbuka.
Ahad, 27 Januari 2008
Ada mulut, cakap
Labels:
Sosial dan Kemasyarakatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan