Sekiranya kita ingin menjadi lebih maju ke hadapan memerlukan masyarakat yang sentiasa saling memerlukan dan bertukar-tukar pandangan dan idea. Walau bagaimanapun caranya ia disampaikan yang paling utama sekali ialah intipatinya. Tapi, yang sebaik-baiknya biarlah cakap dengan baik-baik barulah orang lain mau dengar walaupun tak mungkin mau terima sepenuhnya.
Namun, sejak kebelakangan ini terdapat rasa tidak puas hati di kalangan awam bahawa berlakunya ketidakadilan dalam menyatakan pandangan dan idea oleh pihak yang berkuasa mengawal penyebaran maklumat. Sebarang pandangan yang tidak selari dengan dasar pemerintah dianggap pengacau dan pengikut parti pembangkang. Teguran yang menyatakan kelemahan pemerintah kadang-kadang dianggap fitnah dan tidak berdasarkan fakta sebenar. Namun, sekiranya teguran itu datang dari kalangan pihak mereka sendiri ia bukan lagi satu dongengan atau cerita rekaan semata-mata, ia bukan cobaan tapi betul-betul di depan mata tapi tak nampak kerana kebijakan mereka bermain silap mata di khalayak ramai. Lalu timbullah perbalahan dan perselisihan pendapat yang jika tidak ditangani dengan baik boleh mencetuskan malapetaka yang lebih besar.
Bergantung kepada siapa yang memegang tampuk pemerintahan, caranya adalah berbeza. Ada yang benar-benar ikhlas berjuang untuk bangsa, agama dan negara, ada pula yang bermain kayu tiga dengan cakap lain tapi buat lain. Tidak semestinya pemerintah itu sentiasa sama corak pentadbirannya, ada yang bersungguh-sungguh berjuang untuk negara dan ada pula yang mengambil kesempatan selagi masih berpeluang untuk mengaut segala keuntungan dengan kedudukan yang ada. Jika ditegur dan dikritik oleh mana-mana pihak maka mereka yang menyeleweng ini cenderung untuk menggunakan segala kuasa yang ada untuk menghalang dan menangkap sesiapa saja dengan alasan demi menjaga keselamatan negara. Padahal yang sebenarnya adalah untuk menjaga kepentingan dan agenda peribadi mereka.
Apakah kita sebagai rakyat biasa harus berdiam diri apabila didedahkan dengan pelbagai penyelewengan dan ketidakadilan mereka yang berkuasa. Seharusnya mereka perlu menjelaskan kepada umum dan membuat laporan yang lebih telus kepada rakyat sekiranya ada pihak membuat tuduhan bagi membuktikan keikhlasan dan kejujuran mereka. Bukannya hanya membuat kenyataan media menafikan segala apa yang dipertuduhkan oleh mana-mana pihak yang mengkritik dan menegur mereka, kemudian mengata yang buruk-buruk terhadap pengkritik tersebut seperti menuduh sebagai golongan pelampau, orang yang tak tau bersyukur, tak mengenang budi dan macam-macam lagi istilah yang digunakan bagi mencerminkan keburukan pengkritik mereka. Mereka pula terus menyembunyikan tembelang mereka tanpa sebarang perisytiharan atau kenyataan berbentuk laporan bebas, sebaliknya masa terus berlalu dan mereka terus membuat keputusan yang membelakangkan kepentingan rakyat dan menggunakan hak milik rakyat sewenang-wenangnya.
Mungkin kerana selama ini rakyat tak pernah membantah atau sudah biasa di ’rasuah’ atau ’digula-gulakan’ maka ramai rakyat yang tak ambil kisah hal sebenar di belakang tabir, maka itulah kita sebagai rakyat mudah diperalat dan diperbodohkan. Dalam menuju sebagai sebuah negara maju, kita hendaklah menjadi rakyat yang bijaksana untuk ’memperalatkan’ pemerintah agar mentadbir mengikut keperluan dan kebaikan rakyat dan negara. Bukannya menjadikan pemerintahan sebagai satu alat untuk individu-individu tertentu mencapai kepentingan peribadi dan kroni mereka. Golongan sebegini semakin banyak yang muncul sekarang dan dalam proses untuk berada dalam arena politik dan pemerintahan negara. Sama ada dengan menggunakan cara demokrasi maupun cara ’kotor’ demi menghalalkan cara demi mencapai matlamat.
Dalam sesebuah negara, ‘check and balance’ atau timbang tara mesti ada dalam pemerintahan negara. Supaya dengan demikian tidak akan berlakunya penyelewengan dan penguasaan pihak tertentu dalam sesuatu urusan negara. Oleh sebab itulah, di dalam parlimen jika boleh perlu seimbang antara parti pembangkang dan parti pemerintah. Jika hanya satu pihak saja yang berkuasa dengan majoritinya adalah dari kalangan satu kumpulan saja maka suara kumpulan pembangkang akan tenggelam dan dengan mudahnya pihak yang berkuasa membenamkan segala kritikan mereka. Maka, segala keputusan akan berada dibawah telunjuk yang berkuasa. Keadaan akan menjadi lebih teruk lagi sekiranya dalam kumpulan yang berkuasa memerintah itu mempunyai ketua yang tak boleh ditegur sewenangnya dan dalam pada masa yang sama juga mempunyai agenda dan kepentingan peribadi. Kerana peraturan yang begitu ketat, dalam diam-diam orang bawahannya akan berkonspirasi untuk menjatuhkan orang atasan dan orang atasan juga akan cuba memantau sekiranya ada ahli bawahannya yang cuba menentang untuk disingkirkan dari barisan utama.
Ya, sekiranya ada antara yang menentang secara terbuka maka sudah tentu dia akan disingkirkan dan diambil tindakan disiplin oleh ketuanya. Sebab itulah, akan ada ahli bawahan yang ‘yess boss’ dan ‘kami sokong kepimpinan boss’ sedangkan pada hakikatnya ada orang bawahan yang ‘makan cili berulamkan jantung pisang’. Kerana tidak boleh mengkritik dan menegur secara terbuka maka dalam diam-diam menunjukkan rasa tidak puas hati. Manakala yang bercita-cita besar akan berkomplot dan membuat konspirasi untuk menyingkirkan ketua yang bongkak dan gila kuasa. Sekiranya mempunyai pembangkang yang seimbang kuasanya dengan ’pencadang’ di parlimen maka pihak-pihak yang berhasrat hendak menyeleweng akan berfikir 1000 kali kalau-kalau tembelangnya pecah dan didedahkan oleh ahli pembangkang. Namun, dengan majoritinya ’pencadang’ maka tiada pihak yang boleh bersuara lantang kerana hanya ’boss’ boleh bersuara lantang dan menentukan keputusan. Sementara pembangkang akan mudah diratah oleh mereka kerana tidak cukup ’power’.
Ada macam-macam jenis ’boss’, ada yang berpendirian teguh dan ada yang buat keputusan ikut kata orang lain yang berjaya mempengaruhinya, ada yang berwawasan dan ada yang ’akai’ pendek dan ’kaki tido’ yang lambat bertindak balas terhadap sesuatu isu, ada yang lantang bersuara berani mencabar kuasa besar yang lebih hebat dan ada yang lembik tak berani nak tegur tindakan buli kuasa besar di forum antarabangsa, ada yang benar-benar hero dan ada yang hanya jaguh kampung, berani bertindak terhadap mana-mana rakyat yang mencabar di dalam negara tapi tidak pandai nak jawab dengan rasional apabila dipersoalkan oleh komuniti media antarabangsa. Kita sangat khuatir jika budaya ugut-mengugut akan menghakis amalan demokrasi di dalam negara sekiranya kita tidak boleh menegur dan mengkritik pihak yang dituduh menyeleweng. Jika rakyat boleh ditahan dengan ISA untuk disiasat lanjut tanpa dibuktikan dahulu akan pertuduhannya melalui mahkamah, bagaimana pula jika pihak berkenaan yang menyeleweng dan dituduh oleh rakyat, siapa pula yang hendak menahan dan menyiasat mereka. Kita amat bimbang sekali jika pihak yang dulunya menjadi hero negara kini menjadi musuh dalam selimut negara. Kita bimbang mereka akan menjadi diktator dan membenamkan amalan demokrasi sikit demi sedikit.
Kini, dulu dan sekarang tidak akan selamanya dan ia boleh berubah bak kata Rosyam Nor dalam ’KL Menjerit’, manusia berubah kerana alam dan alam juga berubah kerana manusia. Kerana wang dan harta yang melimpah ruah di alam ini dengan pelbagai habuan projek dan kontrak pembangunan yang menjanjikan wang berjuta-juta boleh mengubah seseorang anak bekas ulama tersohor menjadi seorang yang gelap mata dan hilang pedoman. Sesebuah perkumpulan atau parti yang terkenal dan besar boleh juga berubah kerana seorang manusia. Sebagai manusia yang rasional, yang mempunyai akal fikiran kita janganlah terlalu mudah untuk menilai berpandukan ’track record’. Umpamanya umat Islam terdahulu akan dikenang sebagai umat yang cemerlang dan terbilang, tetapi umat Islam sekarang akan dikenang sebagai umat yang lemah, kurang berilmu pengetahuan dan mundur. Justeru, sebagai umat Islam kita perlu jadikan umat Islam akan datang dikenang sebagai umat yang bangkit kembali mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Untuk mengubahnya perlulah melibatkan kepimpinan, seorang pemimpin yang berwawasan, dinamik dan berani diperlukan untuk mengubah keadaan itu.
Hanya seorang pemimpin yang berkarisma dan patuh pada sistem dan hukum alam saja akan dihormati oleh kawan dan lawan. Manakala pemimpin itu pula sedar akan keupayaan lawannya, bak kata pepatah ’art of war’, kalau nak tewaskan musuh mesti kenali siapa musuhnya, biarpun memiliki teknologi ketenteraan yang canggih tapi dengan sepatah kata boleh melemahkan semangat dan menakutkan musuhnya. Sebelum tembakan pertama dilepaskan, terlebih dahulu musuh telah gentar apabila mendengar akan kehebatan luar biasa seterunya yang tak boleh ditewaskan dengan senjata.
Rabu, 23 Januari 2008
Check & balance
Labels:
Politik dan Pemerintahan