Siapa yang tak kenal P.Ramlee, seorang seniman agung yang terkenal dengan filem-filemnya yang sentiasa ditayangkan di TV setiap tahun secara berulang-ulang. Bahkan bagi kita yang mungkin bukan berjiwa seni tidak merasa bosan untuk menontonnya kerana kesenian filemnya yang cukup menghiburkan. Sama ada filem beliau yang bergenre lawak jenaka, percintaan, keluarga, kepahlawanan, budaya dan penyiasatan, semuanya cukup memberi kesan kepada penonton sehingga tidak jemu menontonnya berkali-kali.
P.Ramlee merupakan seorang yang pintar dan berfikiran kritikal. Mengapa dikatakan pintar adalah kerana beliau bijak menggunakan potensinya sebagai seorang seniman. Beliau bukan saja menjadi seorang pelakon yang serba boleh dalam memegang apa saja watak, tetapi juga berperingkat-peringkat menjadi seorang pencipta lagu, penulis skrip filem dan pengarah filem. Sebagai seorang yang berfikiran kritikal beliau dengan pintar telah menggunakan pendekatan sinis menerapkan unsur-unsur sindiran dalam babak-babak filem yang diterbitkannya.
Kita lihat saja filem Seniman Bujang Lapok bagaimana beliau bijak menggunakan watak ‘Jaga Sikh’ yang menegur watak Sudin yang memanggil orang lain ‘hoii..’ untuk bertanyakan sesuatu. Jaga itu menegurnya kerana budaya sopan orang timur tidak akan memanggil orang lain sebegitu, sebaliknya bertanyalah dengan sopan. Kata ‘Jaga’ itu lagi ‘Budi bahasa melambangkan budaya bangsa”. Begitu juga dalam filem Ali Baba Bujang Lapok yang penuh dengan unsur-unsur sinis, watak Ibrahim Pendek sebagai penyamun yang merasa tak cukup dengan gajinya keluar ke kota untuk mencari ‘pendapatan’ tambahan. ‘Kita tengok siapa yang kena’ adalah antara kata-kata watak Ibrahim pendek tersebut yang menipu masyarakat kota yang suka berjudi main tikam ekor untuk menjadi kaya dengan cepat sedangkan mereka semua sebenarnya telah ditipu dengan dadu yang semuanya sama simbolnya oleh seorang penyamun yang pandai bermain kata. Lalu penyamun itu pula yang menjadi kaya raya. Sementara itu, watak Sudin sebagai Kasim Baba pula seorang yang tamak membolot semuanya bilamana mengetahui ‘lubuk emas’ yang disembunyikan oleh kumpulan penyamun. Sedangkan saudaranya Ali Baba dengan sedikit modal dari hasil galian ‘lubuk emas’ di gua penyamun telah memulakan perniagaannya bagi memperkembangkan lagi hartanya.
Disamping itu melalui Ali Baba Bujang Lapok juga terdapat unsur sindiran terhadap pihak-pihak yang berkuasa bilamana perniagaan candu bebas dijalankan di pasar-pasar kota sementara belacan pula menjadi barang yang dilarang dijual dalam pasaran sehingga ia diniagakan secara gelap. Filem Hang Tuah versi P.Ramlee pula telah dilakonkan dengan cukup berkesan sekali dan watak Hang Jebat telah mempertikaikan tindakan P.Ramlee sebagai Hang Tuah itu yang masih juga mempertahankan sultan walaupun Hang Tuah telah dijatuhkan hukuman tanpa usul periksa, dan sanggup pula mengorbankan hubungan setiakawan demi mempertahankan penguasa yang terang-terangan telah menyeleweng dan tidak berlaku adil dalam menjatuhkan sesuatu hukuman. Filem Nujum Pak Belalang pula secara sinis menceritakan bagaimana seorang yang pemalas dan ‘kaki tido’ secara kebetulan menggunakan kesempatan dari peluang yang tak disangka-sangka untuk menjadi orang yang ternama hasil dari idea buah fikiran anaknya yang cerdik. Sedangkan Pak Belalang sendiri tidak tau berfikir dan tidak ada idea bagaimana hendak menyelesaikan masalah melainkan dengan bantuan dari anaknya yang masih lagi setahun jagung.
Begitulah serba sedikit contoh-contoh dari kepintaran pemikiran P.Ramlee yang kritikal membuat sindiran secara sinis kepada masyarakat kita dan golongan yang berkuasa. Gejala tersebut bukan saja berlaku di dalam kehidupan masyarakat pada zaman dahulu tapi juga sehingga ke hari ini. Oleh sebab itulah filem P.Ramlee ini sentiasa ditonton tanpa jemu-jemu kerana ia sentiasa relevan sepanjang zaman untuk dijadikan panduan dan tauladan yang disampaikan secara sinis melalui babak-babak dan watak filem. Contohnya masyarakat kita sekarang ingin cepat kaya dengan jalan yang mudah, dalam usaha kita untuk cepat kaya ada orang yang hendak mengambil kesempatan untuk menipu kita. Bilamana mendapat peluang untuk kaya dengan berlipat kali ganda pula, mulalah menjadi tamak sehinggakan akhirnya rugi besar dan mengorbankan diri sendiri. Ada pula benda yang haram dihalalkan dan yang halal diharamkan. Pendusta dan penyeleweng dianggap benar dan pengkritik dan penegak kebenaran pula dianggap pengkhianat bangsa dan negara. Pada dasarnya filem P.Ramlee mengajak kita untuk berfikir rasional dan bukan sekadar untuk menonton dan dilalaikan dengan hiburan semata-mata.
Berbanding dengan filem tempatan pada hari ini tidak banyak mendedahkan unsur-unsur pengajaran dan tauladan. Sebaliknya lebih banyak mendedahkan kebobrokan reality dan budaya hidup masyarakat hari ini. Sementara filem lawak jenakanya hanya mengajak penonton untuk ketawa melihat aksi lawak ‘bodoh’ semata-mata dan tiada isi tauladan dan pengajaran. Apalah tujuannya memfilemkan kisah-kisah seperti mat rempit, anak halal, kaki lumba haram dan sebagainya. Jika hanya sekadar difilemkan untuk hiburan semata-mata maka apa yang dipaparkan di dalam filem itu akan menjadi ikut-ikutan anak muda yang kurang didikan akhlak dan mereka tidak faham apa tujuan filem itu dibuat. Mereka tidak diajar secara sinis tetapi diajar secara langsung bagaimana hendak berbuat maksiat, bagaimana hendak melakukan jenayah dan bagaimana hendak memperbodohkan orang lain. Di dalam filem P.Ramlee pun ada juga filem yang serius tapi disampaikan secara berhemah, kita tidak merasakan bahawa apa yang disampaikan oleh P.Ramlee misalnya filem Anakku Sazali sebagai sebuah filem watak kanak-kanak yang mengajar supaya kurang ajar terhadap bapanya. Sazali yang telah dewasa telah mempersoalkan tindakan bapanya yang memanjakan anaknya dengan segala kemewahan sebagai tanda kasih sayang, bukannya dengan didikan yang betul dan ajaran agama yang berkesan untuk melahirkan anak yang taat.
Namun, bukan semua filem sekarang tidak bermakna dan tiada isi yang boleh dijadikan tauladan. Misalnya filem Gerak Khas memaparkan kisah-kisah yang sebenarnya berlaku dalam dunia kepolisan. Seharusnya rakyat perlu tahu bagaimana mencabarnya anggota keselamatan bertugas siang dan malam menjaga keselamatan negara, dan bagaimana anasir-anasir jenayah itu berlaku dalam masyarakat kita agar kita boleh berjaga-jaga dalam dunia reality kerana apa yang dipaparkan dalam filem itu adalah reality hidup yang boleh dijadikan tauladan untuk kita sentiasa berhati-hati.
Daripada apa yang dapat diperhatikan, pada hari ini artis muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan manakala filem pula diterbitkan hanya mengikut selera penonton. Mengapa begitu ramai artis yang muncul? Mungkin kerana glamer atau inginkan perhatian penonton supaya lebih banyak dapat untung dengan sokongan-sokongan peminat dan penonton yang ramai. Begitu juga filem perlu mengikut selera orang ramai supaya lebih ramai penonton datang menonton ke pawagam dan dapat banyak untung dari jualan tiket masuk. Hanya keuntungan kewangan semata-mata dan tidak lagi mengutamakan kualiti isi kandungan filem berkenaan. Kemungkinan juga kerana banyak peraturan dan tapisan yang mengkehendaki supaya sesebuah filem itu tidak menyentuh sensitivity masyarakat. Sindiran yang sinis mungkin juga dianggap sebagai sesuatu yang sensitive. Tapi sebagai seniman yang pintar dan bijaksana perlulah bijak menggunakan pendekatan yang halus bagi menunjukkan pemikiran kritikal mereka dalam menyampaikan sesuatu rasa.
Jika kita mengkritik secara langsung memanglah kita telah melanggar ‘pantang larang’ mereka yang tak mau ditegur dan dikritik. Sebagai seniman seharusnya perlu bijak mencipta watak yang sinis dan berkesan. Masih ada lagi antara seniman-seniman kita yang berbakat, cuma perlu diasah lagi akan potensi mereka agar menjadi seorang yang sinis, bukannya ego dan berlagak. Sehingga kini belum ada lagi seniman moden yang serba lengkap dengan teknologi perfilemannya dapat menandingi seniman agung P.Ramlee dengan filem hitam putihnya. Filem-filem beliau tetap ‘evergreen’ dan sentiasa relevan sepanjang zaman untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan peringkat umur.
Khamis, 24 Januari 2008
Pemikiran P.Ramlee
Labels:
Pendidikan dan Pembelajaran
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan