Zaman sekarang bukan lagi seperti zaman dahulu di era 60-80an, zaman sekarang adalah zaman yang penuh dengan keterbukaan tetapi tidak semua orang bersedia dengan sifat keterbukaan itu. Dengan kemajuan teknologi maklumat banyak unsur-unsur dan anasir-anasir luar yang sangat baru untuk kita terima, masuk ke dalam negara kita melalui gerbang internet dan media elektronik. Kecepatan maklumat yang begitu banyak masuk ke dalam setiap rumah rakyat Malaysia tidak disertai dengan kecepatan persediaan individu setiap rakyat Malaysia untuk menangkis pengaruh-pengaruh negative yang merosakkan jiwa dan minda.
Maklumat yang masuk ini ibarat bahan mentah yang belum lagi ditapis dan diproses. Untuk memproses dan menapis semua maklumat itu dengan peralatan tertentu adalah sesuatu yang sangat mustahil untuk dilaksanakan. Justeru, cara terbaik sekali ialah memerlukan sifat dan sikap individu itu sendiri. Sekiranya seseorang itu memiliki pengetahuan agama dan beramal dengannya sehingga menjadi orang yang beriman maka tidaklah menjadi kebimbangan kita sebagai orang yang mahu berfikir dan mengambil berat akan diri mereka sekiranya disogok dengan apa jua maklumat sekalipun kerana dia pasti dapat menilainya, mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang patut diambil dan mana yang patut ditinggalkan. Dengan akhlaknya dia tau apa yang patut dan harus dilakukan sekiranya menerima pelbagai jenis bentuk maklumat di sekelilingnya.
Tetapi sekiranya seseorang itu tidak dibentengi dengan iman maka berlakulah seperti apa yang berlaku kepada muda mudi dan kebanyakan orang dewasa sekarang ini. Mereka menjadi rosak dan perosak kepada orang lain dalam masyarakat. Gejala mat rempit, penagih dadah dan pil khayal, peragut, pencuri barang awam seperti plat tembaga pencawang dan kabel elektrik, pelacur, kaki disko, kaki buli di sekolah, golongan atasan berkonspirasi dalam jenayah terancang dan pelbagai lagi jenayah lain. Maklumat-maklumat dari luar datang dalam pelbagai bentuk seperti filem, hiburan artis dan selebriti, klip-klip video yang mudah diperoleh melalui internet, gambar dan imej lucah serta seksi. Maklumat-maklumat inilah yang akan diterima oleh setiap golongan rakyat dalam Malaysia dari peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa tanpa mengira pangkat dan kedudukan lantaran begitu mudah sekali mendapat akses maklumat tersebut sama ada secara berbayar atau percuma di mana-mana saja sama ada melalui TV, radio, DVD, internet, majalah dan telefon pintar (smartphone).
Filem-filem hollywood misalannya menunjukkan gaya kehidupan dan budaya barat, serta cara-cara tertentu dalam penyelesaian masalah. Filem-filem berkenaan pada dasarnya dianggap sebagai hiburan semata-mata tetapi sebagai manusia, kita mempunyai pelbagai tanggapan masing-masing. Filem-filem tersebut bersifat serampang dua mata, sama ada untuk hiburan atau tauladan. Tauladan pula boleh jadi sama ada untuk diikuti mana yang baik atau diambil pengajaran dari apa yang buruk. Tanggapan setiap kita bergantung kepada sifat dan sikap peribadi seseorang. Kadang-kadang juga dipengaruhi oleh gaya hidup seharian seseorang misalnya berkaitan dengan pekerjaannya. Seorang yang mempunyai sifat mementingkan diri sendiri dan materialistik, dengan sikap tamak dan rakus tentunya akan menyalahgunakan apa yang dipelajarinya dari filem tersebut bagi mencapai apa yang diingininya. Jika seseorang itu hanyalah orang biasa atau orang kebanyakan maka apa yang dibuatnya tidaklah begitu prosfesional dan memang jelas sekali perbuatan jenayahnya. Tapi jika seseorang itu dari golongan berpendidikan tinggi serta mempunyai pengaruh maka apa yang dibuatnya tidak begitu ketara dan dilakukan secara terancang dan profesional. Tidak hairanlah jika ada dikalangan pemimpin mempunyai pengikut atau mengupah kumpulan samseng di dalam menjalankan tugas mereka untuk mengekalkan pengaruh dan mendapatkan habuan. Sementara bagi yang berakal fikiran waras dengan iman di hati, mana-mana yang baik dijadikan panduan misalnya kemajuan teknologi yang digunakan dalam cerita filem tersebut. Sunguhpun teknologi yang digunakan tidak realistik namun sekiranya kita memiliki ilmu pengetahuan dan keupayaan pemikiran untuk mencipta sesuatu yang baru, ia tidak mustahil boleh menjadi realiti, dan ianya diseimbangkan dengan kemajuan iman dan akhlak manusia.
Selain itu, filem-filem hollywood dan dunia selebriti barat juga telah membentuk cara pemikiran muda-mudi negara kita yang tidak dididik dengan ajaran agama yang sempurna. Lalu ia pun menjadi ikutan dan tauladan bagi mereka melalui cara berpakaian, bersolek dan gaya hidup. Sekumpulan artis dan selebriti tempatan yang kurang akhlaknya akan meniru gaya hidup dan pakaian selebriti barat dan ini pula akan menjadi ikutan kepada muda-mudi yang lain lalu semakin ramailah yang akan berpakaian singkat dan bergosip sana sini dengan gaya kehidupan yang penuh sosial dan bebas. Ditambah pula dengan usaha tindakan pihak-pihak media massa dan elektronik sama ada swasta maupun kerajaan menganjurkan program realiti dengan tujuannya untuk memeriahkan lagi dunia hiburan negara kita. Maka berpusu-pusulah muda-mudi mencuba bakat dan berminat apabila melihat kejayaan artis-artis baru sebelum ini yang gaya hidup mereka menjadi glamer dan mewah dengan segala kemudahan yang diberikan. Disamping itu juga, disebabkan begitu mudah mendapatkan seseuatu barangan keperluan seperti pakaian berjenama sebagaimana yang diperagakan oleh artis barat maka artis dan mereka yang berangan dan cuba berlagak seperti artis atau memang sudah terpengaruh dengan pakaian yang menjolok mata dipakai oleh artis-artis barat begitu mudah memperolehinya di pasaraya-pasaraya besar di Malaysia. Inilah yang juga dikatakan globalisasi dalam usaha meng’Amerika’kan atau membaratkan seluruh tamadun bangsa lain di dunia melalui strategi halus barat agar kekuatan Islam itu tidak bangkit kembali sebagaimana di zaman dahulu kala.
Sebenarnya, apa yang terjadi kepada muda-mudi kita hari ini adalah akibat daripada kurangnya didikan agama. Gejala ini lebih ketara sekali berlaku di bandar-bandar besar dan di negeri-negeri yang menggalakkan kegiatan-kegiatan hiburan dan kurang menekankan program pendidikan keagamaan di dalam masyarakat. Kita khuatir sekiranya seluruh Malaysia akan menjadi tempat berleluasanya aktiviti-aktiviti maksiat dan pergaulan yang terlalu bebas. Apatah lagi ada pihak yang rakus dan tamak itu beria-ia benar hendak merampas pentadbiran sebuah negeri yang mempraktikkan pentadbiran Islam, dimana bila kita lihat dijalan-jalan raya negeri itu terpampang iklan-iklan yang bercirikan Islam, sementara personaliti wanita yang diiklankan di papan-papan iklan pula diwajibkan bertudung. Malahan, negeri tersebut telah memulakan usahanya sendiri untuk menggunakan mata wang dinar dalam urusan jual beli di dalam negeri mereka. Sebagai rakyat yang waras dan berakal kita berhak mempersoalkan kuasa mereka yang berkuasa itu dalam membina masyarakat madani. Mengapa mereka terus membiarkan rakyat dibuai alam khayalan atau angan-angan keseronokan sedangkan mereka terus melaungkan Islam versi baru mereka. Mengapa mereka hanya berusaha mencantas ranting yang rapuh dan mencabut daun yang layu sahaja. Mengapa tidak disemai baja di sekeliling akar pokok berkenaan dan meracunkan segala makhluk perosak yang ada di sekitar pokok berkenaan yang berusaha hendak merosakkan sistem akar pokok itu. Supaya dengan itu pokok berkenaan mempunyai sistem pertahanan semulajadi yang kuat dan boleh tumbuh dengan subur menghasilkan buah yang lebat dan segar.
Jika sudah tahu akan ancaman pelbagai bentuk maklumat janganlah sekadar memperkenalkan akta hasutan, akta rahsia, akta ISA, akta itu dan akta ini untuk menghalang rakyat sendiri menyebarkan maklumat yang berbau fitnah atau membahayakan keselamatan negara. Hakikatnya negara kita sudah lama terancam kerana tiada satu pun akta yang dapat menghalang kebanjiran maklumat yang masuk ke dalam negara kita lalu mempengaruhi bentuk pemikiran rakyat kita. Inilah fitnah yang paling besar berlaku tidak kira siang ataupun malam. Jenayah-jenayah yang berlaku dan berleluasa sekarang ini merupakan akibat dari kegagalan diri kita dan kepimpinan kita menghalang fitnah itu dan membina serta membentuk insan yang berakhlak mulia melalui pendekatan yang bersungguh-sungguh dan diusahakan bersama. Sekurang-kurangnya setiap rakyat perlu mempunyai pengetahuan agama dan ianya patut dinilai dan diiktiraf sama seperti sains dan matematik agar dengan itu rakyat dapat berfikir dan mempunyai penapis sendiri di dalam diri mereka. Janganlah hanya sekadar menjadi slogan saja dan bersorak memperjuangkan Islam demi mendapatkan sokongan dan kepentingan kumpulan sendiri. Sedangkan realitinya kita sebagai rakyat mempunyai mata, telinga dan hati untuk memerhatikan apa yang mereka buat, mendengar apa yang mereka cakap dan mengenal hati budi mereka sama ada ikhlas atau hanya berpura-pura kerana ada agenda lain yang lebih besar.
Ahad, 20 Januari 2008
Ancaman zaman maklumat
Labels:
Sosial dan Kemasyarakatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan