Kata pepatah ada menyatakan ‘kalau nak melentur buluh biarlah bermula dari rebung’ barulah dapat membengkokkan buluh itu. Sekarang ini pun kalau nak buat batang pokok bunga kelihatan cantik dan menarik contohnya bunga kertas, perlulah dilentur batangnya ketika masih lembut untuk membentuk sepertimana yang kita ingini.
Begitu jugalah kalau kita hendak membentuk generasi muda masa depan, perlulah dimulai dengan kanak-kanak sekarang. Sebagai ibu bapa sudah semestinya kita inginkan anak yang baik dan sebagai muslim kita menginginkan anak yang soleh juga. Untuk itu kita bertanggungjawab dalam memberi pendidikan kepada anak-anak kita terutama ketika mereka masih kecil dan semasa mendapat didikan awal langsung di rumah. Jangan kita hanya tau mengatakan semoga mendapat anak yang baik dan soleh tapi kita serahkan tugas mendidik kepada televisyen, pembantu rumah dan pembimbing di tabika, tadika dan taska. Ada antara ibu bapa muslim tidak begitu mengambil peduli atau hanya mengambil mudah akan pendidikan asas agama kepada anak-anak. Terutama sekali ibu bapa yang sibuk dengan urusan dunia mengejar kemewahan dan kebendaan. Situasi kesibukan ini sangat ketara berlaku di bandar-bandar dan kini sedikit demi sedikit menular ke luar bandar pula akibat proses urbanisasi dan modenisasi.
Setiap hari otak anak-anak kecil ini sentiasa didedah ataupun terdedah dengan maklumat-maklumat yang mempunyai unsur-unsur yang tidak baik bagi perkembangan mental mereka. Misalnya, hiburan, fesyen, pakaian, filem dan aksi-aksi di tv. Anak-anak kita sekarang kebanyakannya dididik menerusi rancangan televisyen dan tidak hairanlah sekiranya kanak-kanak ini sudah pun pandai bergaya serta bersolek, membuli anak-anak lain dan meniru lagak artis sama ada dari barat maupun tempatan. Kita bukannya hendak melarang anak-anak kita bersosial dan terlibat dengan aktiviti-aktiviti social dalam masyarakat. Tapi adalah lebih baik sekiranya pada peringkat awal mereka dibentengi dengan ilmu yang baik dan diperkuatkan dengan kefahaman tentang ajaran agama Islam. Semasa masih kanak-kanak inilah masanya untuk ibubapa menerapkan nilai-nilai yang mulia dalam jiwa mereka yang masih putih bersih. Sekiranya kanak-kanak sudah tahu menilai mana yang baik mana yang buruk serta mempersoalkan sesuatu tentang apa yang dia pelajari maka kita tidak berasa khuatir akan masa depannya dan dengan itu mudahlah kita membimbing dan membentuk mereka sehingga mereka boleh berfikir sendiri menjelang remaja hingga ke alam dewasa.
Kanak-kanak mempunyai sikap ingin tahu dan dalam tempoh inilah kita harus tumpukan perhatian pada pendidikan mereka tentang ajaran Islam dan akhlak mulia kemudian mengaplikasikannya dalam kehidupan harian supaya dapat membeza mana yang patut diikuti dan mana yang perlu dijauhi sebagaimana yang terkandung dalam ajaran Islam. Kerana kanak-kanak sekarang sangat terdedah kepada persekitaran yang penuh anasir-anasir jahat dan unsur-unsur yang merosakkan pemikiran, seterusnya mempengaruhi pemikiran mereka untuk membentuk keadaan pengurusan fizikal mereka sepanjang proses perkembangan mental dan fizikal mereka. Jika kita tidak membimbing mereka sudah tentu mereka akan hanyut dan mudah terikut-ikut serta mencontohi apa yang diperhatikan oleh mereka menerusi televisyen serta pengaruh kawan-kawan yang juga terikut-ikut dengan apa yang mereka perhatikan dalam televisyen.
Apa yang dapat saya perhatikan hari ini, ada kalangan ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak untuk menceburi bidang-bidang yang mereka sukai atau minati sungguhpun bidang itu sudah ternyata sekali boleh merosakkan diri mereka dari segi akhlak. Bukan saya nak mengata, realitinya menerusi program reality tv ada antara ibu bapa merasa bangga sekali apabila anak-anak mereka terlibat dalam bidang seni apatah lagi ia semakin galak dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Ibu bertudung bapa berkopiah kemudian anak-anak remaja terutama yang perempuan berpakaian mendedahkan aurat tidak bertudung masuk ke audition rancangan tersebut mencuba bakat meniru apa yang telah dipelajari dan diperhatikan melalui televisyen dan majalah selama ini. Anak-anak sekarang terlalu dimanjakan dan kasih sayang pula diberikan tidak bertempat dan silap pada bidang yang sepatutnya. Mungkin kerana sejak kecil sudah terdedah dengan dunia hiburan ini maka ia pun menjadi hobi atau gaya hidup yang membentuk corak kehidupan masa depan anak-anak ini.
Ada juga yang beranggapan apabila anak-anak terlalu dididik dengan ajaran Islam kelak akan menjadi terlalu alim, apabila dewasa berpakaian jubah, berkopiah sepanjang masa, berjanggut panjang. Sementara yang wanita pula akan berpurdah menutup wajah hanya nampak mata sahaja. Dalam pendidikan anak-anak perlulah bersederhana dan perlu diseimbangkan antara tuntutan dunia dan tuntutan akhirat. Kita tidak melarang anak-anak untuk belajar sains, matematik dan teknologi atau ilmu-ilmu dunia yang lain. Sebaliknya kita sangat menggalakkannya dan memberi ruang yang luas untuk mereka mempelajarinya demi membentuk masa depannya. Sebagai contoh, kalau kita inginkan anak-anak menjadi seorang jurutera maka semenjak kecil kita berikanlah didikan berkaitan nombor dan pengiraan. Kalau inginkan anak-anak menjadi doctor atau saintis maka berikanlah didikan berkaitan tentang alam misalnya dengan menyayangi binatang seperti kucing, menyuruh membuang sampah ke dalam tong sampah untuk mendidiknya tentang penjagaan kebersihan. Perkara ini kelihatannya amat mudah tetapi kerana disebabkan kita letih sibuk bekerja maka kita tidak pun mengajar perkara ini kepada anak-anak dan menyerah bulat-bulat kepada pembantu rumah kita dan guru-guru di tadika.
Disamping kita mengajar dan mendidik anak-anak dengan ilmu dunia, kita bimbing mereka tentang ajaran agama dan mengaitkannya dengan kehidupan seharian mereka. Apa yang tidak boleh dilakukan, apa yang halal dan haram, memberitahu apa perbuatan yang berdosa dan apa pula perbuatan yang boleh mendapat ganjaran pahala. Sebagai seorang kanak-kanak sudah tentu mereka boleh menerima apa yang diajar dan diberitahu. Saya bukanlah pakar membimbing kanak-kanak tapi sebagai manusia kita semua boleh berfikir sendiri secara logic dan secara rasional. Saya sendiri kadang-kadang apabila membaca terjemahan al-Quran rasa terharu juga apabila ada wahyu-wahyu Allah yang mencabar akal pemikiran manusia untuk berfikir tetapi kebanyakan manusia tidak sedar dan tidak mampu untuk memikirkannya. Ini kerana pada pandangan Allah s.w.t manusia itu sifatnya lemah dan mudah terpedaya dengan unsur-unsur kejahatan dan hasutan iblis. Beruntunglah sesiapa yang tahu menggunakan akal fikirannya dalam situasi kehidupan dunia yang penuh cabaran dan dugaan.
Apa yang berlaku sekarang ini, ramai anak-anak yang meningkat remaja sungguhpun tidak menjadi mat rempit, kaki buli, penghisap gam dan sebagainya gejala social yang negative, sekurang-kurangnya akan nampak betapa terhakisnya jati diri mereka yang semakin menipis imannya dan budaya sopan ketimuran. Ditambah pula dengan tiada prinsip dan pegangan yang kukuh, sebaliknya berbolak balik simpang peranang sekejap cakap orang putih sekejap cakap orang Melayu dengan orang yang tulen Melayu. Walaupun kita orang Islam tidak semestinya bercakap orang Arab bagi menunjukkan keislaman kita, Islam menerima kepelbagaian namun biarlah kepelbagaian itu tunduk kepada tuntutan Islam. Tapi sekarang ini apabila kita mula cakap orang putih, budaya hidup pun makin hari makin tunduk dengan gaya orang putih sebab selalu tengok cerita orang putih dalam filem Hollywood. Peluk isteri pun depan khalayak orang ramai sama macam orang putih, nanti lama-lama bercium dengan isteri pun depan orang ramai. Ashtagrfirullah. Inikah yang nak ditunjukkan sebagai seorang pemimpin Islam.
Jadi, kalau kita mahu membentuk satu generasi baru yang benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang perlulah dimulakan dengan pendidikan yang betul dan pendekatan pengajaran yang berkesan. Bukannya main cuba-cuba macam nak buat eksperimen sains di sekolah. Jangan sekadar hendak mendidik tentang pengetahuan semata-mata tapi mendidik untuk membentuk akhlak dan kebijaksanaan berfikir membuat penilaian berdasarkan perkara asas. Jangan jadikan anak-anak sebagai modal insane untuk jadi kuli, jadi robot, jadi pak turut atau jadi pengikut yang taksub. Tapi jadilah modal insane yang benar-benar memberi manfaat kepada orang lain, tidak menyusahkan orang lain dan menghormati orang lain. Generasi kita hari ini bila semakin pandai dengan macam-macam ilmu, semakin pandai pula nak menipu, nak temberang, nak menyeleweng dan nak salahguna kuasa. Semoga generasi masa depan tidak menjadi seperti generasi hari ini yang semakin rosak kerana salah asuhan.
Rujukan al-Quran tentang pendidikan anak-anak, sila klik DISINI
Rabu, 30 Januari 2008
Kalau melentur buluh
Labels:
Pendidikan dan Pembelajaran
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan