Rasuah, pecah amanah, melanggar undang-undang jalan raya, biadab, tidak menghormati orang tua dan hak orang serta vandalisme adalah antara gambaran punahnya intergriti. Nilai-nilai murni yang dulunya amat dipelihara dan menjadi asas pembinaan tamadun yang unggul kini kian menipis dalam masyarakat, bukan sahaja di peringkat negara, lebih membimbangkan di peringkat keluarga.
Cuba kita ikuti apa yang dikatakan oleh Datuk Mohd Tap Salleh, presiden Institut Intergriti Malaysia tentang pengalamannya mengenai intergriti di luar negara. Di Eropah misalnya, yang paling dipentingkan di sana ialah menghormati hak orang lain. Semasa tinggal di pansapuri seorang rakan di Geneva, mereka mempunyai peraturan yang dihormati oleh semua penghuni, iaitu tidak menggunakan flush tandas selepas pukul 12.00 malam, kerana tidak mahu mengganggu penghuni-penghuni lain yang sedang nyenyak tidur.
Untuk bicara kali ini saya ingin menyentuh tentang intergriti pemanduan di jalan raya. Pemandu di United Kingdom amat menghormati pemandu lain. Di negara kita, orang memotong dari kiri, kanan dan kalau boleh pun dari atas! Tidak langsung memikirkan hak orang lain. Datuk Mohd Tap pernah tinggal di sebuah pekan kecil di Jerman. Di sana, penduduk menebas pokok pada musim panas, tetapi ranting-rantingnya dipotong mengikut saiz tertentu, diikat kemas dan disusun rapi di tepi jalan. Apabila ditanya kenapa mereka berbuat demikian, jawapan mereka ia akan memudahkan pengangkut sampah dan membersihkan kawasan. Kita disini pun mempunyai peraturan-peraturan membuang sampah tetapi kita tidak mengikutnya. Sampah dibuang sesuka hati saja mengharap pekerja ‘kuli’ penyampu sampah tepi jalan mengutip dan membersihkannya. Pekerja sebegini dipandang rendah oleh ibu bapa zaman moden hari ini dan hanya maukan anak mereka jadi doctor dan jurutera sahaja. Maka itulah anak-anak sekarang pun ‘kurang ajar’ sama dengan orang lain yang kerjanya dipandang rendah oleh mereka. Rakyat kita tidak suka mempermudahkan kerja yang bertaraf ‘kuli’ sedangkan mereka mempermudahkan kita untuk bernafas setiap hari tanpa bau busuk sampah sarap. Begitulah tahap ‘kurang ajar’nya rakyat kita yang tak tahu berterima kasih, sebaliknya sombong dan bongkak. Mengaku berilmu tinggi tapi ilmu yang mudah pun tak tahu. Berbeza sekali perangai antara orang yang benar-benar berilmu dengan orang yang mendapat ilmu melalui sijil dan ijazah.
Itu adalah antara pengalaman Datuk Mohd Tap, sememangnya Jerman merupakan negara yang kuat disiplinnya. Mungkin kerana sejarah yang mengajar mereka melalui doktrin Nazi yang menekankan disiplin dan kini sebagai negara yang bebas merdeka budaya berdisiplin masih kuat lagi di sanubari rakyatnya. Pernah saya mengikuti rancangan terbitan astro berkaitan disiplin pemandu Jerman dan amalan keselamatan pemanduan di lebuh raya yang terkenal di Eropah yang menghubungi antara sempadan negara jiran-jirannya. Disebabkan teknologi automobile Merchedes ataupun Jaguar bukan seperti teknologi Perodua ataupun Proton, maka lebuh raya dibina khas untuk menjadi medan bagi menunjukkan prestasi kelajuan kenderaan tersebut benar-benar digunakan. Ia seolah-olah seperti tiada peraturan berkenaan dengan had kelajuan namun disebabkan pemandu mereka mempunyai disiplin dalam menjaga hak pemandu lain maka mereka tidak menyusahkan orang lain dan mengancam keselamatan pemandu lain kerana laluan lebuh raya mereka dibina mengikut keperluan dua golongan pemandu iaitu yang berhemah dan yang memang sukakan kelajuan.
Pihak berkuasa mereka memahami akan kehendak dua golongan pemandu ini, namun sekiranya pemandu laju ini melanggar peraturan dalam penggunaan laluan untuk pemandu berhemah maka mereka akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa sebarang kompromi lagi. Tiada amaran kali pertama atau ‘tiada maaf bagimu’ walaupun bermacam-macam alasan dan dalih. Seperkara yang menarik berkenaan lebuh raya ini ialah pemandu yang melanggar peraturan tidak akan terlepas dari kesalahannya kerana sepanjang lebuh raya itu dilengkapi dengan teknologi CCTV dan paparan digital untuk memberi info kepada pemandu sekiranya terdapat masalah di laluan jalan raya hadapan seperti keadaan cuaca, tanah runtuh, jalan rosak dan kemalangan. Pemandu akan tahu apa yang berlaku di sepanjang laluan jalan raya hadapan dan ini membolehkan mereka mengambil lagkah berjaga-jaga dan memandu secara berhemah. Pengurus yang mengendali lebuh raya itu akan sentiasa memantau laluan itu dan semestinya juga pihak trafik atau polis juga akan memanfaatkan kemudahan ini tanpa perlu membuat pemeriksaan dan macam-macam operasi sehingga ada adegan kejar-mengejar yang mengganggu kelancaran aliran pemanduan jalan raya. Dengan kerjasama sebegini akan memastikan setiap peraturan diikuti dan hak pemandu lain dihormati disamping memberi maklumat kepada pemandu agar lebih berhati-hati.
Begitu juga aspek keselamatan yang meliputi penanda jalan dan papan-papan petunjuk di sepanjang jalan. Ianya sentiasa dipantau supaya dalam keadaan baik dan tidak rosak, papan-papan jalan seperti arah laluan, nama jalan dan simbol-simbol arahan tidak dibiarkan berkarat ataupun berkulat. Mana-mana yang rosak akan segera diganti bagi kemudahan pemandu dan ini dapat mengelak dari kemalangan. Bagi mencuci papan-papan tanda tersebut, Jerman menggunakan teknologi kenderaan yang direkabentuk khas supaya dalam sehari mereka boleh membersihkannya dalam tempoh yang singkat. Memang ini merupakan satu tugas yang sukar jika dilaksanakan dengan cara ‘tradisional’ apatah lagi terlalu banyak sekali papan-papan tanda yang perlu dipastikan kelihatan sempurna dan jelas. Sekiranya berlaku kemalangan di lebuh raya itu, terdapat perkhidmatan pantas seperti bomba menggunakan helicopter untuk segera ke tempat kejadian. Mangsa nahas akan diselamatkan dari dalam kenderaan dan terus dihantar ke hospital berdekatan, sementara kenderaan yang terlibat kemalangan akan segera dialihkan bagi mengelak kesesakan jalan raya.
Tidak seperti di negara kita, papan-papan tanda yang rosak tidak berganti dalam tempoh yang lama dan dibiarkan berkulat serta berkarat. Di desa pula lebih teruk ada yang hilang dicuri oleh pencuri besi dan aluminium untuk dijual. Bagi mengelak dicuri lagi papan tanda tersebut diganti dengan papan bukan logam namun ianya tetap juga rosak dan dipatahkan oleh rakyat yang bermentaliti dunia ketiga mencari keuntungan dengan jalan mudah. Pernah saya terjumpa baru beberapa minggu saja diganti dengan papan bukan logam ianya telah pun dipatahkan. Mugkin pencuri itu geram disebabkan ia bukan lagi aluminium lalu dipatahkannya. Dari segi menyelamat pula pihak bomba agak lambat ke tempat kejadian kerana kesesakan laluan, sementara itu pihak ambulan pula akan datang kemudian juga menggunakan van.
Di Eropah juga terdapat pihak berkuasa sebuah negara yang cuba menggunakan pendekatan baru mendidik pemandu supaya menggunakan adab dan budi pekerti semasa berada di simpang empat atau simpang tiga. Di mana setiap pemandu perlu memberi laluan dan berinteraksi antara satu sama lain semasa berada di jalan raya tanpa perlu dikawal oleh lampu isyarat. Sebaliknya ia bergantung penuh kepada moral individu seperti sikap timbang rasa, sopan, sabar dan disiplin setiap pemandunya. Bagi kita tentu ia tidak sesuai dilakukan di bandar yang sesak namun apa yang berlaku, di pekan atau laluan yang tidak sesak pun juga menggunakan lampu isyarat. Tapi di kebanyakan bandar besar kini telah dilengkapi dengan jalan bertingkat bagi satu pusat yang begitu banyak simpang. Namun bagi yang ada lampu isyarat pun masih ada yang melanggar peraturannya kerana sikap pemandu yang bengis, mementing diri dan sombong. Selagi system seperti ini masih digunakan untuk mendidik pemandu, selagi itulah ia sukar untuk menjadikan pemandu yang berakhlak dan bertimbang rasa menghormati orang lain dengan rela hati dan penuh kejujuran serta keikhlasan.
Apa yang dimaksudkan dengan system itu ialah satu peraturan yang sangat ketat bagaimana membentuk akhlak tetapi apabila berlakunya perlanggaran disiplin tidak pula diambil tindakan tegas. Sebab itulah ada kalangan pemandu yang mula ‘pijak kepala’ dan memperlekehkan undang-undang kerana ‘cakap tak serupa bikin’. Lagipun ada pihak penguatkuasa amat mudah pula di’gula-gula’kan oleh pelaku kesalahan jalan raya untuk mengelak dari dikenakan tindakan saman. Setiap insan memang inginkan kebebasan dan begitu juga pemandu jalan raya tentu tidak suka dengan peraturan had jalan raya dan lampu isyarat. Ketika waktu bukan puncak pun walaupun tidak banyak kenderaan di jalan raya masih juga menunggu walaupun tiada kenderaan di kiri dan kanan serta di hadapan. Mereka yang melanggar peraturan itu pastinya orang yang inginkan kebebasan, namun setiap kebebasan itu perlu dikawal namun ia tetap diberi ruang untuk mengamalkan kebebasannya memandu di jalan raya dengan menyediakan kemudahn untuk mereka. Bagi negara maju yang kaya tentunya ia tidak menjadi masalah kerana mereka mampu menyediakannya dengan segera. Bagi negara seperti kita pastinya tidak dapat menyediakan kemudahan menyeluruh akibat ketidakberkesanan dalam pengurusan pembangunan dan bayaran yang terlalu tinggi dari kos sebenar pembinaan. Adakah wajar harga kamera di pasaran terbuka RM4000 tapi dengan harga tender RM8000. Ini pastinya juga berlaku dalam cabang jabatan yang lain.
Begitulah antara contoh di Eropah di mana telah muncul kesedaran bukan saja di kalangan pihak berkuasa malah juga pemandu sendiri bahawa untuk mendidik pengguna jalan raya perlulah lahir dari dalam jiwa mereka sendiri. Namun yang penting ia perlu di mulakan oleh pihak berkuasa dan pihak yang bertanggungjawab dalam memberi galakan dan memberi pendidikan kepada pengguna dan pemandu jalan raya. Pihak yang bertanggungjawab itu mempunyai kuasa dan mempunyai segala sumber yang boleh digerakkan untuk mewujudkan satu system yang fleksibel dan menjadikan pemandu dan pengguna jalan raya proaktif dengan berinteraksi sesama mereka. Pihak yang berkenaan telah melakukan yang terbaik untuk kemudahan pengguna dan mengambilkira akan keperluan setiap pemandu jalan raya. Jika kemudahan yang telah dipermudahkan ini pun mereka masih lagi melanggar peraturan maka tiada kompromi lagi dan hukuman mesti dilaksanakan kerana tiada alasan lagi untuk mengatakan salah jalan yang tak sempurna, laluan yang sesak atau tiada lampu isyarat.
Walau bagaimanapun, pastinya akan ada yang mempertikaikannya dan memperlekehkan sesuatu pandangan dan idea. Sememangnya manusia ini makhluk yang suka berbantah-bantah dan banyak soal dalam melakukan sesuatu yang baik. Sehinggakan apabila sudah melakukan pendekatan lain berlaku pula masalah lain dan kembali pula memikirkan pandangan dan idea asas yang dahulunya dipandang remeh. Yang pasti sudah banyak kos dibelanjakan untuk melaksanakan pendekatan yang mereka ingat baik untuk mereka dan telah terbazir begitu saja. Dan lebih mengharukan wang dari cukai rakyat pula digunakan untuk menampung kerugian yang disebabkan oleh keputusan perlaksanaan mereka.
Tak perlulah kita menyalah dan menuduh sesiapa. Hanya dengan kerjasama saja semua pihak boleh menjadikan apa yang kita usahakan menjadi mudah, dan kesediaan kita menerima teguran dapat membuatkan kita berfikir secara rasional dan kembali kepada sifat kemanusiaan diri sendiri. Sedangankan aliran deras air sungai yang dihalang juga akan merobohkan tembok dan tiang jambatan. Mengapa itulah di negara maju telah wujud kesedaran dikalangan jurutera untuk membina sesuatu pembangunan mengikut sifat alam semulajadi termasuk juga sifat manusia itu sendiri yang tidak gemar dihalang dengan macam-macam peraturan yang remeh.
Ahad, 27 Januari 2008
Intergriti dan jalan raya
Labels:
Pendidikan dan Pembelajaran
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan