Satu untuk engkau dua untuk aku, dua untuk engkau empat untuk aku…begitulah si penyamun Nyawa dan Badan dalam kisah Nujum Pak Belalang membahagikan wang dinar emas yang dirompak mereka berdua dari istana sultan. Mungkin ada antara kita teringat akan zaman-zaman kegemilangan kerajaan Islam dahulu kala yang menggunakan dinar emas dan dirham perak sebagai matawang dalam urusniaga mereka. Dengan sekeping syiling dinar emas saja boleh beli banyak barang dimana nilainya mungkin bersamaan dengan RM300-RM1000 mengikut saiznya. Kalau untuk nilai yang lebih kecil dari itu maka dirham perak digunakan.
Kedua-dua barang komoditi emas dan perak yang dibentuk menjadi wang syiling menjadikan ia sesuatu yang benar-benar berharga dan bernilai apabila diniagakan di pasaran terbuka. Siapa yang tak nak terima emas dan perak yang ternyata amat berharga. Sementara wang kertas pula hanyalah sekeping kertas berkualiti tinggi yang dicetak dan mempunyai ciri-ciri istimewa tertentu lalu diiktiraf bank negara sebagai matawang untuk dijual beli dalam pasaran. Tetapi jika kita memiliki wang kertas yang buruk, koyak, diconteng, peniaga kedai takkan mahu terima. Mereka tak lihat ia sebagai sesuatu yang berharga tetapi melihat ia sebagai kertas yang buruk dan tak laku dijual beli. Dari segi nilai sebenar, perbezaan wang kertas dengan wang dinar dan dirham amat jelas sekali.
Dalam cerita lawak arab P.Ramlee kita sering melihat si orang kaya memberi kantung dinar emas atau dirham perak kepada orang yang dibayarnya untuk sesuatu perkhidmatan yang diberikan. Dalam cerita Ali Baba dan Kassim Baba misalnya…. nyiat insoooonnn… matakajiiiiiii… semaranginsengggggg… telah menyapu bersih harta yang di rompak oleh kumpulan penyamun. Lalu si Kassim Baba ditangkap dan dihukum kerat kepala, kaki dan tangan dengan parang gajah. Apek haiiyaa cik Siti…pelempuan manyak muda… uang dan linggit… ana tataak heran na… ditawarkan dengan beberapa kantung yang berisi wang dinar emas untuk menjahit kepala, tangan dan kaki si Kassim Baba yang dikerat oleh bapak penyamun itu. Apek tak sanggup nak jahit, tambah lagi satu kantung dinar emas. Tak sanggup juga, tambah lagi dua kantung lalu akhirnya Apek pun setuju. Kalau satu keping dinar emas tu bernilai RM500 dan dalam sekantung itu ada 100 keping sudah tentu Apek dapat untung RM5000. Kalau Apek dapat 5 kantung, Apek untung RM25’000.
Kerajaan negeri Kelantan telah menghidupkan kembali matawang dinar emas ini dan ianya diterima di negeri itu untuk urusan simpanan, mas kahwin, bayaran zakat, pemberian hadiah, sedekah, harta cagaran, upah dan sumbangan. Setiap satu dinar emas mempunyai nilai-nilai tertentu berdasarkan harga pasaran bagi satu gram emas. Misalnya satu dinar mungkin bernilai RM350. Apabila kita memiliki wang dinar emas maka kita telah memiliki sekeping wang yang sangat berharga sekali dan tidak akan jatuh nilainya kerana nilai emas tidak pernah jatuh menjunam berbanding nilai wang ringgit Malaysia yang terpaksa mengikut perkembangan pasaran matawang dunia. Matawang kertas begitu mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu seperti speculator matawang sebagaimana yang pernah berlaku kepada Ringgit Malaysia pada satu ketika dulu.
Kalau dahulu RM10 boleh beli banyak barang keperluan tetapi sekarang perlukan RM50. Dulu sebungkus nasi lemak boleh dibeli dengan harga 30 sen tetapi sekarang 50 sen. RM1 dahulu boleh beli 5 biji telur ayam, tetapi sekarang RM1 hanya untuk 3 biji telur sahaja. Kian banyak barang keperluan masa kini naik harga kerana nilai matawang tidak begitu berharga lagi, nilainya sudah jatuh menjunam sementara harga emas dan perak terus meningkat dari sehari ke sehari. Dengan memiliki wang dinar emas kita tidak risau akan kejatuhan nilainya, apatah lagi jika kita membuat simpanan harta bukan dalam bentuk wang kertas Ringgit Malaysia atau Dolar Amarika, sebaliknya dalam bentuk kepingan wang dinar emas di bank-bank yang menggunakan sistem simpanan matawang sebegini.
Jika bertahun-tahun disimpan sudah pasti nilainya telah meningkat dan ia merupakan satu pelaburan yang sangat berguna sekali untuk masa depan kita. Dengar khabarnya ar-rahn juga akan membuka cawangannya di Kuala Lumpur. Idea penggunaan wang dinar ini sebenarnya dicetuskan semula oleh bekas perdana menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad setelah beratus-ratus tahun ditinggalkan oleh pemerintah umat Islam akibat penjajahan kuasa barat di dunia Islam. Entah kenapa idea ini tidak diperkembangkan lagi dan tidak dimulakan kemudian dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di dalam negara oleh kepimpinan sekarang. Tak usahlah kita menyeru negara lain agar menggunakan matawang dinar sebagai satu instrument jual beli di kalangan negara luar seperti negara-negara OIC. Kita usahakanlah sendiri di dalam negara dengan menggalakkan setiap negeri menerima penggunaan matawang dinar emas dan dirham perak untuk tujuan-tujuan yang telah dinyatakan pada permulaan kisah ini tadi dan membuka lebih banyak cawangan seperti ar-rahn di negeri lain ataupun boleh dibuat di bank-bank sedia ada dengan memberi pilihan kepada pelanggan dan penyimpan harta di bank agar tidak terbatas dalam bentuk wang kertas Ringgit Malaysia sahaja dan pelanggan juga boleh menukar atau membeli wang dinar emas di kaunter bank.
Satu contoh yang sangat baik sekali bagi negeri Kelantan apabila pemerintahnya melihat kepentingan matawang dinar ini untuk memelihara hak dan nilai harta rakyat yang disimpan di pusat-pusat simpanan seperti ar-rahn. Kelantan merupakan perintis kepada usaha ini sedangkan negeri-negeri lain masih lagi mempertahankan nilai wang kertas ringgit di pasaran yang semakin hari semakin jatuh nilainya. Penggunaan matawang dinar ini bukanlah hendak menghapuskan terus penggunaan matawang kertas yang sedia ada, tetapi ia hanyalah sebagai satu pilihan untuk mereka yang mahu menghargai nilai harta mereka dengan sesuatu yang benar-benar berharga.
Apatah lagi dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi sekarang ini membolehkan penggunaan matawang dinar tidak perlu di bawa ke mana-mana di dalam dompet yang mungkin agak berat untuk dibawa atau mudah tercicir, sebaliknya boleh digunakan dengan pengenalan kad debit iaitu nilai simpanan kita dalam bentuk wang dinar akan ditolak terus dari akaun simpanan jika kita membeli sesuatu barangan di kedai yang menerima bayaran menggunakan kad debit. Sekiranya kita membawa wang dinar pun, sekeping dinar emas akan bernilai RM300 bermakna kita boleh membawa hanya beberapa keping saja. Jika penggunaan matawang dinar ini digalakkan dan diterima di pasaran seiring dengan penggunaan matawang kertas maka tauke-tauke kedai tentu akan menerimanya.
Sebagai contoh apabila kita hendak membeli telefon bimbit Nokia yang berharga RM1’700 di kedai apek Chong, kita kena hulurkan 6 keping dinar emas kepada apek Chong. 6 dinar bersamaan dengan RM1’800 (1 dinar = RM300), jadi baki RM100 bolehlah diberi balik kepada kita dalam bentuk wang kertas Ringgit Malaysia. Kalau takut nilai RM100 itu jatuh pada hari tersebut, cepat-cepatlah ke pusat simpanan ar-rahn atau bank yang menyediakan kemudahan simpanan matawang dinar dengan hanya perlu menambah RM200 lagi untuk disimpan dalam bentuk 1 dinar emas. Kalau pada hari itu RM300 jatuh nilainya menjadi RM250, tetapi dengan 1 dinar emas nilai wang kita selamat dan kekal kepada RM300 bahkan mungkin meningkat menjadi RM350 sekeping.
Bukankah ini dilihat sebagai sesuatu yang menguntungkan. Saya tidak fikir bahawa mereka yang berkuasa untuk melaksanakan sistem ini tidak nampak akan kebaikan dan kepentingan matawang dinar dan dirham ini digunakan dalam urusan jual beli di pasaran. Mungkin ada sebab ataupun mungkin ada alasan lain untuk mereka tidak memulakan perlaksanaannya disebabkan untuk menjaga kepentingan sesuatu. Ada yang mengatakan disebabkan perlu mengikuti bentuk sistem kewangan yang digunapakai pada peringkat antarabangsa yang menggunakan dagangan matawang kertas berasaskan Dolar Amerika. Pada pandangan saya tak perlulah kita terlalu melihat secara sempit, kita lihat akan potensinya jika ia digunapakai dalam negara sahaja, tak perlu melihat kepada penggunaannya di peringkat antarabangsa. Lambat laun orang luar akan nampak faedahnya jika negara kita berjaya melaksanakannya di dalam negara.
Akhir kata, kepada sesiapa yang berkenaan janganlah jadikan penggunaan dinar emas ini hanya sebagai satu tinggalan sejarah saja, sejarah telah membuktikan bahawa betapa berharga dan bernilainya matawang dinar emas ini sehingga pada zaman dahulu ketika era penjajah, si pencari harta karun yang sebenarnya merupakan pencuri dan perompak harta umat Islam sanggup meredah lautan dan gurun padang pasir untuk mencari peti wang emas dinar di negeri-negeri Arab. Bagi yang berkuasa seperti British dan Peranchis pada ketika itu sanggup berbelanja besar untuk berperang dengan kerajaan Islam kerana pulangan dari kemenangan mereka cukup besar dan lumayan sekiranya berjaya merampas dan membawa balik wang emas dinar berjuta-juta di peti harta karun yang tersimpan di istana raja-raja dan sultan-sultan arab.
Pembangunan di Britain, Peranchis dan Amerika sekarang ini adalah hasil dari rompakan yang dibuat oleh mereka pada zaman dahulu dan sekarang ini mereka mengecapi hasil kemajuannya. Tetapi sekarang ini, pencuri, perompak, penyamun, penyangak, penjajah tidak perlu lagi meredah ombak lautan yang bergelora, ribut pasir gurun yang kencang kerana mereka boleh merompak dan merampas matawang kertas mana-mana negara dengan hanya memanipulasikan dagangannya di pasaran matawang dunia hanya melalui internet mahupun di kaunter bursa saham mereka. Mereka boleh membeli dan menjual sesuka hati mereka kerana yang dijual beli adalah matawang kertas yang tak berharga langsung bila ia koyak rabak, buruk dan diconteng. Tauke kedai pun tak nak terima wang kertas sebegitu, melainkan jika kepingan dinar emas sudah pasti tauke kedai dengan tangan terbuka menerimanya walaupun ia sudah tercalar dan kemik sekalipun, ia tetap kepingan emas yang berharga.
Penjajah zaman sekarang ini tidak perlu lagi merompak emas negara lain sebab semuanya telah hampir habis dikebas. Sekarang ini bukan emas kuning lagi jadi rebutan sebaliknya emas hitam pula cuba dirompak dari negara-negara arab. Wahh…betapa kayanya negara arab yang memiliki banyak emas kuning dan emas hitam yang tak pernah habis-habis dari dulu sampai sekarang tapi pemimpin mereka kurang cerdik untuk memanfaatkannya sehingga mudah diperdaya dan dijajah oleh bangsa asing. Diharap pemimpin negara kita janganlah jadi kurang cerdik seperti pemimpin negara arab ini. Sejarah telah memperlihatkan akibat daripada kurang cerdik ini dan seharusnya kita mengambil pengajaran dari kisahnya.
Maklumat lanjut tentang :
Dinar emas Kelantan
Kijang Emas Maybank
Isnin, 28 Januari 2008
Dinar emas
Labels:
Ekonomi dan Perniagaan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan