Semenjak 9 Januari lepas adik Sharlini masih lagi belum ditemui. Lama sebelum itu kita dikejutkan dengan kehilangan adik Nurin yang berakhir dengan tragedy yang memilukan kita semua sebagai insan yang mempunyai akal fikiran kemanusiaan. Sebelum itu juga kehilangan adik Yin yang akhirnya ditemui. Itu adalah antara kes-kes kanak-kanak yang hilang dilaporkan secara meluas oleh media massa. Post ini enggan mengulas secara terperinci tentang kehilangan adik Sharlini, dikhuatiri akan dianggap sebagai spekulasi atau laporan yang boleh menjejaskan kes siasatan. Apa yang hendak diperkatakan ialah mengapa anak kita rakyat Malaysia hilang. Apakah kita tidak tahu menjaga anak kita atau kerana disebabkan persekitaran kita tidak selamat lagi untuk menjadi tempat permainan kanak-kanak.
Dahulu semasa saya masih kanak-kanak bebas bermain di sekitar rumah bersama kawan-kawan bahkan kerana terlalu asyik bermain balik lewat sampai ke senja. Saya masih teringat lagi bagaimana satu tragedy ngeri menimpa adik kawan saya yang kemalangan dilanggar kereta kerana melintas di jalan raya tanpa memandang ke kiri dan ke kanan. Sejak itulah saya tidak lagi berani untuk bermain di jalan raya sebarangan, namun apabila dewasa saya antara ‘jaguh’ peluncur jalan raya yang berhemah dan dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya cuai sesaat ketika memandu di jalan raya. Sememangnya sejak dahulu lagi sudah ada ancaman terhadap kanak-kanak namun sejajar dengan perkembangan semasa ancaman tersebut kini telah berubah. Kalau dahulu ancaman yang tidak disengajakan atau bersifat kemalangan seperti lemas, jatuh bangunan, disengat binatang berbisa dan sebagainya ketika bermain di luar rumah. Tapi kini ancaman yang paling dikhuatiri adalah ancaman yang disengajakan oleh pihak lain yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi kanak-kanak.
Mengapa ada pihak yang hendak menculik kanak-kanak ini dan apakah tujuan mereka yang sebenarnya. Sebenarnya banyak kemungkinan yang boleh kita andaikan secara umum mengikut keadaan hidup dan corak masyarakat kita kini. Dahulu ketika saya masih kanak-kanak saya sering mendengar cerita orang-orang tua mengatakan bahawa terdapat pihak pemaju projek pembangunan memerlukan kepala manusia untuk dipersembahkan kepada penunggu atau hantu jembalang di tempat projek pembangunan mereka. Kanak-kanak merupakan mangsa yang paling mudah diperolehi. Agar dengan demikian pemaju dapat melaksanakan projek mereka dengan lancar dan tidak diganggu oleh penghuni asal tempat tersebut iaitu makhluk halus.
Kini baru saya sedar cerita ini cumalah dongeng orang-orang tua dulu kala untuk menakutkan kanak-kanak supaya tidak terlalu bebas bermain jauh dan sentiasa berhati-hati ketika berada di tempat lain. Tapi zaman sekarang ini perbuatan menakutkan kanak-kanak tidak digalakkan kerana ianya dianggap boleh menjejaskan perkembangan mental kanak-kanak menjadi seorang penakut. Lagipun, zaman yang serba canggih sekarang ini ramai orang tidak percayakan hantu jembalang. Intipati sebenarnya bukanlah untuk menakut-nakutkan kanak-kanak tapi untuk mendidik mereka supaya sentiasa berhati-hati dan berdisiplin agar tidak melanggar perintah kedua orang tua. Malangnya, kita beranggapan lain lalu kanak-kanak dahulu yang fobia merasakan diri dipermainkan oleh orang tua mereka dulu dengan cerita-cerita karut kini telah dewasa dan melanggar pantang larang itu. Yang kita tidak sedar ialah benda-benda karut ini sememangnya wujud dan boleh muncul dengan pelbagai rupa, makhluk halus tersebut kini benar-benar telah wujud dengan merasuk ke dalam badan penculik kanak-kanak itu. Makhluk halus itu telah menjadi penunggu di dalam tubuh penculik tersebut dan menjadi seorang jembalang yang boleh dilihat dengan mata kasar kita sendiri. Jembalang halus dalam tubuhnya telah menghasut penculik itu untuk melakukan perkara yang diluar peri kemanusiaan terhadap kanak-kanak. Pengaruh dadah, pil khayal, video lucah, wang dan apa saja yang dianggap oleh penculik kanak-kanak ini boleh dieksploitasikan terhadap kanak-kanak tersebut.
Jika di negara dunia ketiga atau negara mundur, kanak-kanak dieksploitasi untuk menjadi tenaga kerahan dengan menjadi askar, buruh murah dan menjadi pelacur oleh ‘jembalang-jembalang jadian’ ini, di negara kita juga tidak kurang hebatnya apabila ada pihak menjadikan kanak-kanak sebagai peminta sedekah. Suatu ketika dahulu pernah rancangan TV ‘Gerak Khas’ menyiarkan sindiket yang mencolek kanak-kanak untuk dijadikan peminta sedekah. Kanak-kanak dicolek di tempat lain dan dipaksa menjadi peminta sedekah di tempat lain. Dalam kes Yin yang lepas, terdapat andaian yang menyatakan bahawa individu yang menjaga Yin sebelum diserahkan kepada mereka yang berkenaan mempunyai niat untuk menjadikan Yin sebagai peminta sedekah berdasarkan apa yang dilakukan terhadap kanak-kanak tersebut seperti membotakkan rambutnya agar tidak dikenali umum. Sementara kes Nurin pula diandaikan sebagai perbuatan ‘along’ yang bermasalah dengan kedua orang tuanya. Daripada kes-kes tersebut kita boleh nampak bahawa kanak-kanak menjadi mangsa kerakusan mereka yang tamak dan dijadikan tebusan untuk meraih keuntungan dan satu jalan mudah untuk membalas dendam dengan memperalatkan kanak-kanak berkenaan.
Terdapat satu lagi situasi yang tidak boleh kita pandang remeh iaitu telah muncul ‘binatang melata’ yang bertopengkan manusia mengganggu keharmonian kehidupan manusia. Orang-orang sebegini kian ramai di jalanan sekarang ini kerana pengaruh ‘dajjal’ yang semakin meluas ke seluruh pelusuk dunia, bukan saja di bandar-bandar besar menerima pengaruhnya tapi juga kini turut berada di desa-desa yang jauh di pedalaman. Anasir-anasir unsur lucah seperti video lucah yang bukan saja boleh diakses melalui computer tapi juga melalui telefon bimbit kini semakin merebak. Apabila nafsu serakah menguasai jiwa rakyat kita maka mereka ini tidak lagi mengira mangsanya, sama ada yang kecil baru setahun jagung, yang tua kerepot, yang bertudung sopan, yang mudah diperalat dan dipujuk akan menjadi mangsa. Bahkan yang paling sedih terdapat juga ‘haruan yang makan anak’, harapkan pagar, pagar yang makan padi. Mengapakah semua gejala ini berlaku, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam post yang lalu ia adalah berpunca dari jiwa yang kosong dengan iman, jiwa yang kotor dengan maksiat dan dosa. Mereka tidak dididik dengan ajaran agama yang secukupnya sama ada secara formal maupun tidak formal. Maka, jika berlakunya bala bencana dan malapetaka dalam kehidupan kita semua maka kita perlu kembali kepada pokok persoalan. Mengapa semua itu berlaku? Yang baik datangnya dari Allah swt manakala yang buruk adalah berpunca dari hati yang kotor dan perbuatan tangan manusia.
Maka itulah pegangan agama amat penting sekali kerana ia mendidik manusia menjadi baik dan memberi manfaat kepada orang lain dan orang lain pula memberi manfaat kepada mereka. Masing-masing saling bantu membantu dalam kehidupan bermasyarakat. Semua agama mengajar tentang kebaikan namun sebaik-baik agama adalah Islam kerana telah jelas dinyatakan menerusi al-Quran.
“Pada hari ini telah Aku (Allah swt) sempurnakan untuk kamu agamamu, Aku telah mencukupkan nikmat Ku kepada kamu dan Aku telah merasa senang Islam itu menjadi agamamu”
(Al-Maidah : ayat 3)
Rabu, 23 Januari 2008
Anakku yang hilang
Labels:
Sosial dan Kemasyarakatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan