Custom Search

Reviews Directory

Jumaat, 18 Januari 2008

Pembuka Bicara

Salam hormat untuk semua,

Sebelum melanjutkan bicara ini ketika kita semua masih lagi berada di bulan Januari, belum lagi terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2008 dan Maal Hijrah 1429 kepada semua pembaca blog yang budiman.

Tahun ini merupakan tahun yang sangat penting dan bermakna sekali kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia, kerana tidak lama lagi pilihanraya umum akan diadakan. Tidak kira pihak mana yang anda pilih yang penting ialah kita mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang difikirkan layak.

Tahun ini juga penting dan bermakna untuk saya sendiri secara peribadi, kerana angka 2008 pernah menjadi satu tahun yang mengkehendaki saya mencapai sesuatu walaupun mungkin tidak akan tercapai kerana kekangan keadaan. Namun begitu, ia bukan halangan dan bukan alasan untuk saya menyerah dengan keadaan. Kadang-kadang kita tidak boleh terlalu idealistic, kita perlu juga realistic. Kita boleh berfikir apa saja dan boleh mengatakan tiada apa yang mustahil boleh dilakukan, tapi kita juga harus ingat bahawa tiada yang mustahil juga boleh berlaku kerana malang itu tidak berbau dan diluar dugaan kita. Jika kita menganggap diri kita serba sempurna dan boleh melakukan apa saja sudah tentulah kita kelak akan sukar untuk menerima hakikat yang sebenarnya. Sebab itu ramai orang yang seperti ini apabila berlaku sesuatu yang tak diingini kepada diri mereka, tak mau mengakui akan kekurangan, kesilapan dan kelalaian yang telah mereka lakukan. Mereka akan beralasan bahawa mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dan berkeyakinan dengan apa yang mereka lakukan malangnya disebabkan oleh sikap dengki dan cemburu serta menjadi mangsa diperdaya oleh orang lain maka usaha mereka menjadi gagal atau tidak tercapai seperti yang diharapkan, lalu mereka menyalahkan orang lain sepenuhnya tanpa mencerminkan diri sendiri.

Sekiranya kita bandingkan dengan cara dan pemikiran orang barat terutama Amerika Syarikat (USA), mereka tidak bimbang jika melakukan kesilapan dan tidak pula melatah apabila ada pihak yang cuba mensabotaj apa yang mereka usahakan. Sebaliknya mereka berani mengambil risiko dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul sekiranya sabotaj yang dilakukan oleh pihak lain berjaya menggugat kedudukan mereka. Kita perhatikan saja tindakan mereka di Iraq dan Afghanistan, sungguhpun ramai pihak dalaman tahu akan risikonya tetapi mungkin disebabkan oleh kepentingan pihak tertentu maka mereka berani mengambil risikonya. Mereka sanggup membelakangkan kebenaran dan memilih untuk bertindak sungguhpun tahu akan risikonya. Namun mereka telah bersiap sedia menghadapinya lama sebelum itu lagi, sebab itulah mereka sejak dari awal lagi sudah pun bersedia dengan segala keperluan dan kelengkapan serta menggunakan segala apa yang ada sama ada dari segi diplomatic, politik, ekonomi, teknologi dan ketenteraan. Kerana merasakan diri mereka memiliki segalanya keupayaan yang ada maka mereka berani bertindak dan mengambil risiko yang tinggi akibat daripada bantahan negara lain dan ancaman pihak yang menjadi pengganas disebabkan oleh tindakan USA itu. Saya bukanlah hendak menyokong tindakan USA yang membuli negara lain secara terang-terangan, tetapi dari segi positifnya saya mengambil pengajaran dari segi cara pemikiran orang USA yang sentiasa bersiap sedia dengan segala keperluan bagi menghadapi segala kemungkinan dan risiko. Sebarang tindakan keterlaluan dan angkuh kepimpinan kongres USA memanglah tidak disenangi oleh sesiapa saja. Namun, sekiranya kita mahu menandingi mereka kita mesti memiliki apa yang mereka ada dan melengkapkan keperluan yang setanding dengan mereka. Melainkan jika kita bersatu dan tidak lagi saling berbalah serta tuduh menuduh sesama sendiri sudah pasti kita mampu untuk berusaha memperbaiki diri dan memikirkan cara terbaik untuk maju ke hadapan dengan pelbagai idea dan ciptaan sendiri.

Mungkin disebabkan kita negara yang baru bangun dari cara pemikiran orang di dunia ketiga, maksudnya orang yang mundur baru nak merasa dan berusaha untuk menjadi maju. Maka, kita tidak bersedia untuk menerima kegagalan dan kesilapan, dan tidak mahu mengakui akan kekurangan diri sendiri. Kita tidak mahu menerima hakikat kerugian dan ianya perlu diganti atau dibayar balik oleh sesiapa yang dipersalahkan oleh mereka. Dalam sebarang kerugian dan kegagalan mereka perlu ada pihak yang dipertanggungjawabkan atau dalam kata lain menjadi ‘kambing hitam’ bila berlakunya kegagalan dan kesilapan yang dilakukan oleh pihak mereka sendiri. Mereka ini dan kita semua tidak mahu berusaha untuk duduk semeja dan berbincang untuk menyelesaikan sebarang permasalahan, sebaliknya lebih suka untuk menuding jari dan menuntut gantirugi. Jika tidak dapat diselesaikan di luar maka akan dibawa ke mahkamah untuk memutuskan secara muktamad bahawa ada pihak yang perlu bersalah dan dipertanggungjawabkan bagi sebarang kesalahan dan kegagalan. Saya bukannya hendak menafikan hak dan keadilan seseorang untuk menuntut serta membela dirinya, tetapi sebagai muslim kita mesti tunjukkan keimanan kita untuk mengakui Qada dan Qadar yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Kerana apa yang berlaku itu jika buruk datangnya dari kita dan jika baik sudah tentu atas izin Allah swt.

Justeru itu, bagi menunjukkan kita insan yang bersyukur dan beriman kita mesti redha dengan apa yang berlaku dan menerimanya dengan hati terbuka. Tidak perlulah kita sampai beremosional, berdendam dan bermusuhan terhadap pihak yang mengakibatkan kerugian, kegagalan dan kesilapan yang kita lakukan. Kita mesti tenang menghadapinya dan berfikir untuk melihat apakah kita sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Jika kita belum bersedia sememangnya kita akan cenderung kepada kegagalan dan mudah menjadi sasaran kepada ancaman luar. Jika kita tidak cukup bersiap sedia akan mudahlah kita melakukan kesilapan. Semestinya kita mesti sedar diri kita sendiri, tidak perlu ego dan angkuh dengan kelebihan yang ada pada diri, sama ada kelebihan dari segi pangkat yang tinggi, darjat yang lebih mulia, mempunyai pendidikan sehingga ke tahap master, memiliki harta bernilai trillion US dolar dan mempunyai jasa yang banyak kepada bangsa, agama dan negara. Alangkah lebih baiknya jika kita sentiasa memperbaiki diri dan bermuhasabah setiap hari untuk mengkaji dan berfikir apakah kelemahan yang ada pada diri kita, apakah kekurangan yang masih ada dan apakah kita telah membuat persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan.

Sejajar dengan persoalan ini, blog ini didedikasikan kepada pembaca semua untuk melihat sesuatu perkara dan sesuatu peristiwa dari perspektif pemikiran kritikal dan analitikal. Adakah patut kita mengambil tindakan yang kita buat sekarang atau apakah ada cara lain yang lebih baik yang sepatutnya dilakukan sebagai seorang insan yang berakal dan berakhlak mulia. Ingatlah, sebagai seorang muslim kita diberitahu menerusi hadis dan al-Quran bahawa diri kita tidak dipandang dari sisi Allah swt dari segi darjat, pangkat dan harta di dunia tetapi dipandang dari segi takwa. Siapakah yang paling bertakwa diantara kita, maka akan layak menerima pembalasan yang setimpal dari sisi Nya di akhirat kelak. Jika kita redha dengan apa yang berlaku pada diri kita di dunia maka Allah swt akan gantikan ia dengan sesuatu yang lebih baik lagi di akhirat kelak.

Allahu’alam. Hanya Allah swt saja yang Maha Mengetahui.

Sekian dari saya,

Akai_pc

Tiada ulasan: