Zaman sekarang juga adalah zaman materialistic dan individualistic, mungkin kerana kurangnya iman maka persaingan yang tidak sihat berlaku sehingga setiap orang membanding-bandingkan diri mereka dengan orang lain dan akan menjatuhkan saingan mereka jika rasa diancam ataupun terancam. Kerana itulah ramai pihak telah berani tuduh menuduh dan saman menyaman kerana sifat mementingkan diri sendiri dengan mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan dari kelemahan dan kesilapan orang lain.
Di zaman serba canggih dan moden kini, seseorang yang bercakap benar dan berbicara dengan pendekatan agama akan dianggap kolot, dipandang sebagai cenderung kepada fahaman melampau dan berpotensi menyebar ajaran sesat. Bahkan jika ada pihak rasa terancam dengan keberanian seseorang yang bercakap benar akan cuba untuk memburuk-burukkan orang itu dengan pelbagai cara. Ada yang menangkis dengan menuduhnya sebagai seorang pengikut fahaman ‘wahhabi’, ada yang menganggapnya sebagai seorang yang berpegang pada ajaran Islam liberal dan sebagainya. Kadang-kadang kita rakyat biasa pun menjadi serba salah mana pihak yang benar dan mana pihak yang hanya berpura-pura. Kerana itulah pentingnya untuk diri kita sendiri berubah dan tak perlulah menunggu orang lain mengubah diri kita. Kerana jika dilihat kepada perkembangan di alaf ini sekiranya kita tidak memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi dan tidak mempunyai kesedaran peribadi, maka kita akan mudah dieksploitasi oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas kelemahan dan kekurangan diri kita. Inilah yang dikatakan sebagai penjajahan semula tanpa kita sendiri sedar yang kita telah dijajah secara halus.
Jika kita hendak berkata benar, tidak perlulah kita berpihak kepada sesiapa pun dan berjuang atas nama perkumpulan yang kita sertai. Sekiranya kita menyertai mana-mana kumpulan pun jangan sampai kita menjadi hamba ‘yess boss’ dan mengiakan apa saja yang dibuat oleh orang atasan kita. Jika kita khuatir diambil tindakan tegas oleh mereka yang berkuasa, kita ada cara kita sendiri namun janganlah sampai melampaui batas. Kita ada hak untuk membuat pilihan dan bertindak atas kuasa diri sendiri untuk bertindak dengan apa yang sepatutnya difikirkan wajar demi kebaikan semua pihak. Sejak akhir-akhir ini mungkin disebabkan dekatnya pilihanraya ke-12 maka muncul banyak kumpulan-kumpulan yang menuntut pelbagai tuntutan untuk memastikan hak mereka terjamin. Bahkan ada juga yang menuntut sesuatu yang tidak masuk akal dan mustahil untuk dicapai. Selain itu, rasa tidak puas hati bukan saja disuarakan secara perkumpulan tetapi juga melalui laman-laman blog di internet. Maka itulah, apabila munculnya pihak-pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati secara melampau dengan penyebaran maklumat yang tidak benar atau fitnah, menyerang peribadi seseorang yang dianggap musuh dan membangkitkan isu-isu yang dianggap oleh pihak yang rasa tergugat sebagai ancaman keselamatan negara ataupun membangkitkan isu-isu sensitive, maka pihak yang berkuasa akan berusaha untuk mengawalnya akan memberi peringatan yang kadang-kadang seperti mengugut kepada pihak yang melampau itu. Bahkan apabila terdesak sehingga terlalu hendak menjaga kepentingan mereka, penulis-penulis blog yang tidak menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik turut menjadi mangsa ‘polis internet’ ini. Walaupun demikian, usaha untuk menstabilkan keadaan sangatlah dialu-alukan tapi janganlah sampai melampaui batas. Itulah pentingnya sikap timbang rasa dan melaksanakan tanggungjawab dengan professional, bukannya sikap pilih kasih dan bertindak dengan emosional.
Walau apapun yang berlaku sekarang ini, kebebasan bersuara hanya dibataskan untuk berbicara tentang hal yang baik-baik sahaja demi menjaga keharmonian negara. Namun begitu, pada dasarnya kita sebenarnya masih boleh menghentam mana-mana pihak selagi tidak melampaui batas dan menimbulkan fitnah yang besar. Kita mempunyai mata, telinga dan hati. Selemah-lemah iman seseorang muslim adalah apabila dia membenci sesuatu kemungkaran dan kemaksiatan dengan hatinya. Apabila dia berbicara mengenainya dan memberi peringatan dan tauladan akan meningkatlah tahap keimanannya walaupun tidak setinggi apabila mencegahnya dengan tangan sendiri. Sedangkan pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab itu pun tidak mampu mencegahnya secara menyeluruh sehingga terjadinya kerosakan yang besar dalam masyarakat. Kita tidak harus sekadar melihat saja dan menyimpan di dalam hati sebaliknya kita juga telah menyampaikan apa yang sepatutnya kepada umum. Kita mungkin tidak akan mampu bertindak mencegah dengan tangan kita sendiri kerana kita tidak ada kuasa dan tidak berkuasa. Silap langkah kita sendiri pula akan menjadi mangsa kerana menjaga ‘tepi kain’ orang lain yang sesat dan menyeleweng. Hanya dengan bekerjasama dengan pihak yang berkuasa saja yang boleh kita lakukan untuk mencegah kemungkaran. Dalam menghadapi kemungkaran yang dilakukan oleh pihak berkuasa pula, kita sememangnya tidak akan mampu menghadapi mereka walaupun apa yang kita perkatakan adalah benar dan mereka tentunya akan menafikannya. Jika mereka benar-benar bijaksana sudah tentu mereka tidak akan melatah, sebaliknya mereka perlu merenung kembali tindakan mereka dan bermuhasabah diri.
Kebijaksanaan perlu juga dihadapi dengan kebijaksanaan, kalau mereka tidak bijaksana mereka tidak akan berada di tempat mereka berada sekarang. Namun, sekiranya kebijaksanaan itu digunakan untuk melakukan penyelewengan lambat laun ianya akan terbongkar jua akhirnya. Kerana itulah, seseorang yang cintakan kedamaian bukan saja dalam kehidupan ini malah pada hatinya juga melalui iman, tidak akan boleh duduk diam dan memerhatikannya saja apa yang mereka lakukan. Jika kita tiada sumber dan tiada upaya untuk mencari bukti, akan ada pihak lain juga yang mempunyai sifat cintakan kedamaian mempunyai sumber dan upaya untuk membongkarkannya. Bagi kita yang tiada upaya, cukuplah sekadar berbicara dengan penuh hikmah sekiranya ia dapat mengetuk kepala dan pintu hati mereka yang berkenaan agar sedar dan kembali ke pangkal jalan. Bercakap saja kadang-kadang boleh menggugat kedudukan seseorang kerana ia sebenarnya mampu memberi kesedaran dan menjana semangat seseorang untuk melangkah lebih jauh lagi dan memperbaiki kekurangan dirinya.
Kita lihat peranan yang negara kita lakukan dalam membicarakan isu Palestin, Iraq dan Afghanistan. Sungguhpun kita tidak mampu menghadapi tindakan kuasa besar seperti USA yang bertindak berat sebelah, namun kita masih boleh mempengaruhi pihak lain yang berkuasa setanding dengan USA tapi tidak sebulu dengan USA seperti Russia dan China. Berbanding sekarang, dahulu negara kita cukup lantang dalam menyuarakan ketidakadilan yang dilakukan oleh kuasa besar terhadap negara lain. Sama ada dalam soal politik, ekonomi maupun penjagaan alam sekitar, negara kita tidak serik untuk membangkitkannya secara terbuka menerusi forum-forum antarabangsa. Lain orang lain caranya, mungkin sebab itulah negara kita kita tidak lagi begitu menonjol di kalangan negara-negara membangun dalam menyuarakan hal-hal yang membabitkan kepentingan negara mundur dan negara membangun di persada antarabangsa. Suatu masa dahulu, tonggak kepimpinan negara kita berani mencabar kuasa besar dan secara sindiran berani mengatakan USA menjadi proksi kepada Israel atau golongan Yahudi dalam menyuarakan isu-isu di Asia Barat. Sebagai rakyat Malaysia, kita cukup berbangga dengan keberanian kepimpinan negara ketika itu dan menjadi pencetus semangat kepada kita untuk tidak mau dengan mudahnya dibuli oleh mereka yang ‘Berkuasa Besar’. Tapi harus juga disedari bahawa kalau bukan ‘Kuasa Besar’ dari luar negara yang membuli kita, silap-silap ‘Kuasa Besar’ di dalam negara sendiri pula yang akan membuli kita. Namun, masa telah pun berubah dan pemimpin lalu diganti oleh pemimpin baru. Sejauh mana keberkesanan mereka, tepuk dada tanya selera, buka kitab tanya iman, ada mata ada telinga dan ada hati, sendiri mau ingat.
Betapa besarnya pengaruh kata-kata itu walaupun hanya sepatah ayat. Maka itulah amat penting sekali untuk kita bercakap baik-baik, bercakap berpada-pada dan tidak melampaui batas. Melampaui batas apabila kita bercakap terlalu emosional, menyembunyikan sesuatu dengan menuding kesalahan pada pihak lain, tukar topic dan bermacam-macam lagi helah yang disuarakan dengan penuh bijaksana bagi mengaburi mata dan minda orang lain. Walaupun kadang-kadang kita bercakap sesuatu perkara yang kecil dan nampak tidak penting, namun jika ianya disampaikan dengan cara yang berhikmah dan bijaksana akan mampu menonjolkan intipati perkara yang hendak disampaikan. Sebab itu, sastera juga memainkan peranan penting kerana sains dan matematik tidak akan mampu menyampaikan sesuatu yang boleh menyentuh perasaan dan membentuk jiwa insane menjadi mulia. Hanya seseorang yang telah mempunyai jiwa yang bersemangat kental dan perasaan yang berkobar-kobar saja akan mampu menjadikan dia seorang pakar sains dan matematik. Jika tidak, terjadilah apa yang telah terjadi pada hari ini bilamana ramai lepasan universiti tidak berkualiti dan menganggur tanpa mampu untuk berdikari mencari peluang kerja dan memupuk potensi sendiri menjadi boss atau ‘Kuasa Besar’.
Isnin, 21 Januari 2008
Cakap yang baik-baik saja
Labels:
Sosial dan Kemasyarakatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan