Dahulu pemimpin negara kita pernah menyatakan, sungguhpun negara dilengkapi dengan prasarana dan kemudahan kelas pertama setaraf dengan negara maju, namun ia tidak seiring dengan taraf pemikiran kebanyakan rakyat kita. Di luar sahaja nampak elok dan nampak sempurna tapi bak kata pujangga ‘indah khabar dari rupa’. Sememangnya seringkali ahli bijak pandai dan kalangan pemimpin melaungkan agar rakyat perlu mengubah taraf hidup mereka supaya menjadi lebih maju. Dengan segala kemudahan yang telah disediakan maka ia perlu diiringi dengan penyertaan rakyat supaya apa yang disediakan itu tidak menjadi sia-sia dan matlamat mencapai tahap negara maju menjelang 2020 akan tercapai.
Namun apa yang berlaku sekarang ialah semakin galak pula masalah social berlaku dan kegiatan jenayah semakin berleluasa tanpa mengira peringkat umur. Tidak perlu kita salahkan rakyat 100 peratus kerana sememangnya begitulah yang akan terjadi sekiranya berlaku kejutan budaya yang mendadak dan taraf hidup yang semakin meningkat. Sedangkan masih ramai rakyat yang belum bersedia untuk menghadapi kejutan itu sehingga ia menjadi satu bebanan bukan saja kepada tulang empat kerat mereka tapi juga kepada akal fikiran mereka. Ketidaksediaan tersebut disebabkan oleh tidak mau menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada lalu mereka menjadi tidak tahu apabila menghadapi sesuatu keadaan. Mereka mungkin tahu dalam satu hal tapi tidak tahu akan hal yang lain.
Memang benar untuk berjaya perlulah focus kepada bidang yang kita ceburi, namun perlu diingat kebijakan memerlukan seseorang perlu tau juga tentang hal yang lain. Contoh terbaik insane seperti ini ialah baginda Rasulullah yang serba boleh dalam setiap bidang, namun focus utamanya ialah menegakkan ajaran dan agama Islam maka itulah bidang pengetahuannya tentang Islam sentiasa berkembang selaras dengan turunnya wahyu. Dan sesungguhnya dalam pengetahuan Islam itu menekankan keseimbangan dalam setiap cabang kehidupan untuk menjadikan seseorang itu lebih hamper kepada kesempurnaan walaupun tidak mungkin akan sempurna sepenuhnya.
Ketika ada antara rakyat yang belum bersedia ada pula pihak yang sudah bersedia mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dan meraih sokongan demi kepentingan peribadi. Maka itulah, ada antara kita yang begitu mudah untuk tertipu dan terpengaruh dengan sesuatu yang kelihatan menarik. Tanpa membuat penilaian dan penelitian kita lebih mudah untuk menurut apa yang disogokkan. Apatah lagi sogokan itu sentiasa diwar-warkan setiap hari di mana-mana saja. Mungkin kerana kita tidak mau berfikir panjang kerana kerja berfikir-fikir ini amat membebankan otak lalu kita menerima apa yang disogokkan itu. Tapi bila dah kena ‘kantoi’ tau pula kita bising-bising dan berfikir bagaimana nak kenakan balik terhadap mereka yang memperdaya, memperguna dan menganiaya kita.
Berfikir selepas ditimpa malang memang lebih membebankan dari berfikir panjang sebelum terkena, kerana kita lebih cenderung untuk mengenangkannya. Bahkan ada diantara kita yang tak dapat mengawal emosi dan fikiran yang kacau bilau sehingga sakit mental dan akhirnya jika tak terkawal akan sakit jiwa. Maka itu ramai di kalangan rakyat kita yang sakit jiwa selepas ditimpa masalah yang tidak dapat dikawal dan diselesaikan dengan cara yang berkesan. Situasi akan menjadi lebih kritikal sekiranya seseorang itu tiada pedoman yang jelas lalu bertindak melampaui batas di luar kawalan.
Kemajuan bermakna terkehadapan dalam sesuatu bidang dan perkara, negara maju ialah negara yang lebih terkehadapan dari negara lain dari segi prasarana dan teknologi yang digunakan dalam urusan kehidupan rakyatnya. Sebagai rakyat yang bercita-cita untuk maju perlu memiliki pemikiran yang lebih terkehadapan setanding dengan rakyat negara lain yang lebih maju. Kita perlu dapat menjangkakan apa yang kita ingin capai dan berusaha untuk mencapainya melalui akal fikiran, barulah selepas mengambilkira semua aspek kita bertindak melaksanakan usaha bagi menjadikan cita-cita satu reality.
Sebuah kereta tidak boleh dibuat dalam sehari, begitu juga usaha kita ianya perlu diusahakan setiap hari. Setelah siap biarkanlah ia digunakan bagi melaksanakan tugasnya dan jangan jadikan ia sekadar bahan pameran, namun sebarang kekurangan yang ada perlulah sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. Kita perhatikan bagaimana dalam tempoh 2 tahun saja kereta Toyota Vios telah diperbaiki sebanyak 3 kali. Begitu juga dengan usaha kita perlulah sentiasa diteliti, dikaji dan diperbaiki agar ia menjadi bertambah baik dan semakin berkesan. Semua itu memerlukan kita untuk sentiasa berfikir setiap masa siang dan malam di mana-mana saja. Kerana kekurangan pemikir yang layak menjadi jurutera, industri otomatif kita tidaklah sehebat negara seperti Jepun dan Korea. Kita lebih cenderung untuk menjenamakan semula dan menciplak rupa bentuk daripada terus menerus mengeluarkan rekaan asli setiap tahun. Bukannya tiada modal, tapi modal telah diselewengkan oleh mereka yang ‘terlampau maju’ pemikirannya dalam menguruskannya.
Mentality kita perlu berubah dari mundur kepada lebih maju, jangan pula semakin mundur ke belakang. Diluar nampak maju dengan gaya dan trend terkini tapi di ‘dalam’ tidaklah semaju yang disangkakan. Bak kata iklan Petronas ‘Jalan perlu ke depan’, jangan undur tapi toleh ke belakang boleh supaya kita tau apa kesilapan yang pernah kita lakukan dan tidak akan mengulanginya semula. Orang negara maju kata mentality negara dunia ketiga ialah mentality yang suka meminta-minta, malas tidak berilmu dan tidak mau berusaha bersungguh-sungguh. Orang negara mundur pula kata mentality negara maju ialah mentality yang suka membuli, mengambil kesempatan dan merampas hak orang miskin.
Walau apapun kata dua pihak ini tak perlulah kita berbalah tuduh menuduh dan menyalahkan antara satu sama lain kerana ia hanya memburukkan lagi keadaan dan kita sendiri pun akan sakit hati. Kita bentuk mentality kita untuk terus maju ke hadapan tanpa mengendahkan apa yang orang kata. Kalau ada orang yang mengata kita dan mencerca kita, teruskan usaha kita dan tak perlulah kita membuang masa bertekak bertikam lidah dengan mereka. Kita bukan rakyat mentality dunia ketiga, maka kita berkatalah dengan cara yang sebaik-baiknya. Ramai pakar motivasi menyatakan bahawa dalam mencapai sesuatu yang penting adalah hasil, hasil yang baik diperoleh dengan cara yang baik juga. Jika kita terlibat dengan sesuatu yang buruk lambat laun kita akan menerima keburukannya juga. Apa yang kita buat, itulah hasilnya kelak.
Umpama memandu di jalan raya, jika kita telah menetapkan hendak menuju ke sesuatu destinasi janganlah pula kita singgah di tepi jalan bila melihat sesuatu yang menarik perhatian. Atau membelok ke simpang lain di saat-saat akhir kerana ada urusan lain. Kita kena terus ke hadapan menuju ke puncak perjalanan kita untuk mencapai apa yang kita kehendaki. Kadang-kadang ada pihak yang berniat tidak baik cuba menghalang dan menahan kita di tepi jalan. Jangan kita jadi terlalu baik bila mana ada orang yang menahan kita di tepi jalan kononnya hendak meminta bantuan. Kita harus ingat bahawa kita masih lagi negara dunia ketiga sungguhpun prasarananya kelas pertama. Negara kita masih ramai lagi yang bermentaliti dunia ketiga yang suka mengambil jalan mudah dengan mengambil hak orang lain. Bukan rakyat biasa saja, tapi juga dari kalangan yang dianggap professional.
Kita kena mendahului pemikiran kita ke hadapan, begitu banyak sekali maklumat-maklumat disekeliling kita dan ia perlu diproses untuk memberi kebaikan kepada kita. Kita boleh mengetahui apa yang berlaku di sekeling kita dan apa yang terjadi di sana sini di seluruh negara maupun dunia. Dari itu kita boleh bersiap sedia dan mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan bagi menghadapi cabaran dan memajukan diri kita. Setiap antara kita mempunyai potensi unik tersendiri, jangan kita terlalu dimomokkan dengan aura ‘Mawi’, dia hakikatnya telah diheboh-hebohkan akan potensinya lalu dia memperoleh keuntungan yang banyak hasil dari hebahan media setiap masa di mana-mana saja. Kita perlu yakin dan percaya pada diri sendiri dan tak perlulah kita terlalu merendahkan diri kita dan tak perlulah merendah-rendahkan orang lain.
Kita kena ubah mentality kita dan sentiasa mempertingkatkan usaha kita setiap masa siang dan malam tak kira di mana saja. Kita perlu juga sentiasa meperbaiki sebarang kekurangan agar ia tidak merebak memburukkan lagi keadaan. Ini memerlukan keprihatinan yang tinggi dari diri kita sendiri dan bukan sekadar dari orang lain saja. Jangan hanya cakap saja tau tapi sendiri tak buat.
Khamis, 24 Januari 2008
Mentaliti dunia ketiga
Labels:
Sosial dan Kemasyarakatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan