Sekolah merupakan tempat pendidikan formal untuk memasyarakatkan generasi muda, maksudnya untuk mendidik mereka supaya menjadi warga prihatin dan peka dengan budaya masyarakat untuk saling tolong menolong dan hormat menghormati tanpa mengira kaum, pangkat dan jawatan apa pun. Secara teorinya memanglah begitu tetapi realitinya ‘jauh panggang dari api’.
Selama ini kita menyangka sekolah adalah tempat yang baik untuk anak-anak kita belajar tentang hidup bermasyarakat, tapi seringkali kita mendengar tentang kes buli, keracunan makanan, didera guru dan banyak lagi sebenarnya yang tidak begitu dihebohkan bagi menjaga nama baik pihak sekolah dan nama pihak yang berkenaan yang sering bercakap soal perpaduan, soal kemajuan. Tidak semua kes-kes yang dilaporkan itu adalah benar, kerana ada yang sengaja digosipkan oleh media dan ceritanya sengaja diada-adakan oleh ibu bapa yang ‘menatangkan’ anak bagai ‘minyak yang penuh’. Pantang dicubit sikit anak terus mengadu kepada ibu bapa, ibu bapa pula macam kanak-kanak juga mengadu kepada wartawan.
Apakah maju sekiranya akhlak semakin merosot dan budaya tolong menolong serta hormat menghormati semakin terhakis. Hormat-menghormati bukan sekadar tunjuk baik saja tapi sekiranya ada masalah anak-anak di sekolah mengapa tidak berhubung terus dengan pihak sekolah dan bertanya kisah sebenarnya. Begitu juga pihak sekolah perlu melaporkan segera kepada ibu bapa apa sebenarnya yang berlaku, jangan sampai sudah sejam berlalu baru nak diberitahu kepada pihak keluarga atau diambil tindakan segera apabila berlaku kemalangan kepada pelajar di sekolah. Tidak dinafikan bahawa tidak banyak sekolah yang menghadapi masalah dengan PIBG masing-masing tetapi sekiranya masalah kecil tidak dibendung dan tidak diberi penjelasan sewajarnya kepada semua pihak yang terlibat sudah pasti akan berlaku salah faham dan tiada keseragaman dalam mengambil tindakan. Kes-kes terpencil inilah yang selalunya menjadi besar dan digembar gemburkan oleh media.
Bagi mengetahui perkembangan pendidikan pelajar, mereka yang berada di dalam situasi persekolahan itu saja yang dapat memahami dan memerhatikannya. Jangan pula fikir saya ini seorang guru atau kakitangan di sekolah sehingga boleh memerhatikan keadaan ini, saya juga mempunyai ramai rakan dan saudara mara yang bekerja di dalam sector pendidikan untuk mengetahui perkara ini dan sesekali juga saya bertanya tentang bagaimana keadaan sekolah mereka, selain daripada pemerhatian saya sendiri. Sedia berkhidmat adalah satu slogan yang sangat baik dan saya sentiasa menyokongnya apatah lagi sekiranya kita bekerja untuk rakyat dan masyarakat setempat. Tetapi kalau sedia berkhidmat tanpa banyak soal, tanpa banyak rasa tak puas hati dengan situasi yang semakin merosot akibat system yang tidak betul, itu sudah dalam kategori pekerja hamba yang sentiasa patuh dan taat saja pada perintah dengan mengatakan ‘saya yang menurut perintah’ semata-mata. Seharusnya pihak atasan juga harus sedia ditegur dan tidak perlulah merasa ego dengan pangkat dan taraf yang disandang.
Antara keadaan yang telah menjadikan tabiat pelajar dan menjadi kebiasaan di sekolah ialah, membuang sampah di merata-rata tempat. Walaupun tong sampah sudah disediakan masih juga membuang sampah dan menyelit sampah kecil seperti bungkus gula-gula di celah-celah pintu atau soket elektrik. Keadaan ini telah menyusahkan pekerja-pekerja pembersihan di sekolah dan juga pekerja-pekerja di makmal sains, makmal computer dan bengkel KHB kerana setiap kali pelajar selesai menggunakan makmal dan setiap sesi persekolahan, maka berlonggok-longgoklah sampah di atas lantai, di celah pintu, di celah soket, dalam almari dan mana-mana saja tempat yang tersembunyi untuk menyembunyikan sampah itu. Kononnya tak mahu diketahui oleh pekerja pembersihan.
Lebih teruk lagi apabila pelajar terlalu dijaga macam ‘anak raja’, mereka dihantar di sekolah hanya untuk belajar saja, jadi kerja seperti mengutip sampah tidak perlu dilakukan oleh pelajar. Apakah mengutip sampah dan membuang sampah ke tempat yang betul itu bukan belajar? Mereka tidak diajar dan dipraktikkan supaya membersihkan sampah yang mereka buang sendiri. Mengapa pelajar tiada disiplin dalam soal ini? Adakah berpunca dari rumah, mungkin tidak, sebab rumah tempat tinggal jadi perlulah sentiasa bersih atau terpaksa membersihkannya. Tapi bagi anak orang kaya ada orang gaji nak membersihkan rumah dan bilik tidur kanak-kanak ini. Tapi masalahnya bukan saja masih kanak-kanak, yang sudah meningkat remaja pun masih lagi bersifat ’pengotor’.
Sikap ini sebenarnya adalah akibat sistem pendidikan yang tidak mengutamakan aktiviti kemasyarakatan semasa di luar sesi pembelajaran di kelas. Di dalam kelas hanya untuk belajar akademik, di luar kelas pula pelajar perlu dididik untuk berdikari dan menghormati orang lain melalui aktiviti-aktiviti masyarakat dalam sekolah. Sebaliknya, realiti yang dilihat adalah mereka melihat ada orang lain atau pekerja yang bertanggungjawab membersihkan sampah itu, maka tidak mengapa buang sampah merata-rata Dan pada pandangan mereka, apalah gunanya pekerja tukang sapu dan pemungut sampah ini dibayar gaji memang sudah kerja mereka jadi jangan makan gaji buta saja.
Ini bukan soal tugas atau tanggungjawab pekerja makan gaji tetapi soal tanggungjawab masyarakat dan kesedaran sivik yang perlu diterapkan mulai dari bangku sekolah lagi untuk saling bantu membantu meringankan tugas masing-masing. Rakyat akan menjadi sihat kerana menghirup udara segar dan pekerja pemungut sampah pula dapat mempertingkatkan kualiti pembersihan dan menyediakan lebih banyak kemudahan kerana lebih banyak komitmen boleh ditumpukan ke arah itu daripada hanya menyapu dan mengutip sampah saja setiap hari. Bayangkan kalau tiada pekerja pengutip dan penyapu sampah dan mereka akan mogok dalam tempoh seminggu, pasti kita akan melihat sampah akan menimbun berteraburan di atas jalan raya dan di kawasan lapang.
Pekerja membersih sampah tidaklah seramai orang yang membuang sampah setiap hari di jalanan, di bangunan, di kaki lima, di dalam tandas, di sungai-sungai dan di mana-mana saja. Jika alam menjadi kotor dan busuk jangan salahkan 100% kepada pekerja pembersihan tapi pesalah utamanya ialah kita sendiri yang tidak berdisiplin dan tidak ada sikap prihatin, memang padanlah muka kita jika alam sekitar hari ini semakin panas dan ditimpa pelbagai bencana alam sekitar seperti banjir, pemanasan global dan sebaran penyakit. Hanya beberapa kerat saja orang yang prihatin sanggup memberi peringatan dan berjuta-juta orang yang terus membuang sampah merata-rata.
Kalau sejak dari kanak-kanak lagi sudah membuang sampah merata-rata maka kita boleh lihatlah orang dewasa sekarang di luar sana di mana-mana saja tetap akan bertabiat membuang sampah merata-rata tempat, bahkan tong sampah pun dibiarkan membusuk dan kotor tidak dibersih dan susun dengan baik. Ini kerana mereka sejak dari kecil lagi sudah bertabiat begitu kerana ’kurangnya ajaran’ tidak diajar dengan baik dan betul tentang sikap untuk sentiasa menjaga kebersihan di rumah, di sekolah dan di luar kedua-duanya.
Ini sebenarnya perkara asas saja tetapi kita mengambil mudah tentangnya kerana kita kini lebih tumpukan soal matapelajaran sains dan teknologi kemudian bila dah jadi saintis macam-macamlah ciptaan dibuat untuk menjaga kebersihan alam sekitar dan mencegah penyakit. Adalah bodoh jika perkara yang tak memerlukan kos yang tinggi tak dipraktikkan daripada kita menyelesaikan masalah yang sengaja kita buat sendiri. Hanya perlu buang sampah di tempat yang betul kemudian asingkan sampah yang boleh dikitar semula dengan sampah yang boleh lupus mereput. Jadi udara pun sentiasa segar dan mata kita pun selesa memandang alam sekitar yang menghijau tanpa cebisan-cebisan sampah berterabur di sana sini dihinggapi lalat dan menjadi tempat pembiakan nyamuk dan ulat-ulat pembawa penyakit.
Pihak yang menguruskan pembersihan sampah pun dapat tumpukan tenaga kerja mereka untuk mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan dengan menyediakan kemudahan yang berteknologi tinggi dalam memproses sampah yang boleh dikitar semula dan yang tak boleh dikitar semula, memperbanyakkan lagi kemudahan tempat membuang sampah dan mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan. Contohnya sampah yang mudah reput boleh diproses untuk menghasilkan tenaga biojisim. Semasa di sekolah dulu saya ada belajar tentang sains berkaitan tenaga yang boleh di kitar semula seperti biojisim tapi ia hanya sekadar teori semata-mata dan sehingga kini saya tidak melihat pun teknologi itu digunakan di negara kita.
Tenaga biojisim terhasil dari proses penguraian bakteria bagi sampah-sampah yang mudah reput, ketika proses inilah gas hidrogen terhasil dan kita tahu bahawa gas ini boleh di manfaatkan. Saya tidak pasti sama ada teknologi penghasilan gas ini menerusi penguraian sampah wujud di negara-negara maju. Apa yang saya tahu ialah adanya teknologi insinerator yang boleh memproses sampah dengan berkesan tanpa mencemarkan alam sekitar. Kalau tidak ada pun kita boleh buat kajian sendiri dan menjadi antara penyumbang kepada kemajuan yang boleh membawa kebaikan kepada alam dan seluruh masyarakat. Kita juga perlu menjadi masyarakat yang tahu mencipta dan berfikir, jangan hanya tahu mengguna dan membeli teknologi dari masyarakat luar negara saja.
Jumaat, 1 Februari 2008
Masyarakat & sampah
Labels:
Sosial dan Kemasyarakatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan