Custom Search

Reviews Directory

Ahad, 9 Mac 2008

BA Perlu Satu Anjakan

Asalamualaikum,


Hari ini kita diperlihatkan dengan kemenangan yang besar diperolehi parti BA di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Pendirian DAP yang kini menerajui Pulau Pinang untuk tidak mengadakan sambutan secara besar-besaran bagi meraikan kejayaan mereka bagi menghormati parti-parti BA lain adalah sangat dialu-alukan dan mana-mana parti BA yang berjaya membentuk kerajaan di negeri yang lain patut mencontohi tindakan tersebut. Kerana tanpa parti BA lain masing-masing tidak akan dapat berdiri dengan betul dan mereka mesti bekerjasama untuk mewujudkan kestabilan dan pembangunan yang diingini.

Tanpa sokongan rakyat mereka takkan berjaya memenangi kerusi tersebut. Menjadi harapan saya sebagai seorang rakyat yang berfikiran terbuka untuk menerima sesiapa saja pemimpin asalkan ikhlas dan menghormati hak dan kepentingan orang lain biarpun berlainan pegangan agama dan kaum. Yang penting kita adalah rakyat Malaysia yang berkongsi harapan dan impian untuk negara.

Apabila sudah berada di puncak kuasa dan memegang kekuasaan itu, ia merupakan satu tanggungjawab yang besar dan mereka perlu menjaganya dengan baik dan mempergunakannya dengan betul. Kerana sekiranya peluang ini tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dalam tempoh 5 tahun ini tentunya mereka akan dinilai semula oleh rakyat yang memilih mereka pada pilihanraya umum akan datang. Sudah semestinya lawan mereka akan berusaha bersungguh-sungguh memburukkan mereka namun sekiranya ia ditangkis dengan cara berhemah akan mampu mematahkan usaha lawan mencemarkan nama baik mereka.

Justeru itu, kepada pihak parti BA saya sebagai seorang rakyat yang rasional dan berfikiran terbuka ingin menyatakan sesuatu sebagai peringatan bersama. Bukanlah hendak mengugut atau mengancam, Cuma hendak memberitahu supaya lebih berhati-hati dan berjaga-jaga ketika peluang diberi untuk berkuasa oleh rakyat. Antara harapan saya kepada BA :

  • Jika mahu terus diberi mandate pada masa akan datang maka mereka mesti bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ditimbulkan oleh pemerintah sebelumnya. Mereka tidak boleh melakukan sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kerana dalam tempoh 5 tahun ini merupakan satu tempoh penilaian dan sangat kritikal untuk mereka dalam mempertahankan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat.
  • Mereka hendaklah membuktikan kredibiliti sebagai parti yang dipilih rakyat dan menunjukkan profesionalisme dengan saling bekerjasama dengan parti BA yang lain. Tidak perlulah bertelingkah dan berebut siapa yang patut memegang jawatan itu dan ini kerana jika ini berlaku maka mudahlah parti BN memanipulasikan keadaan itu bagi membuktikan kecelaruan pakatan BA di mata rakyat. Walaupun ada pihak yang memandang sinis akan keupayaan kerjasama tersebut namun esok masih ada untuk kita melihat bagaimana reality sebenarnya. Jangan kita menjatuhkan hukuman sebelum terbukti disabit kesalahannya. Ini berikutan pertama kali parti-parti BA berjaya membentuk kerajaan di 4 negeri dan sebelum ini tiada reputasi mereka yang boleh dinilai dalam menjadi sebuah pemerintah dari parti campuran pakatan BA.
  • Sungguhpun tidak menjadi kerajaan di Parlimen, namun sebagai sebuah pakatan BA yang kuat mereka mesti menjadi pendesak dan pengkritik yang kuat dan lantang bersuara mewakili kehendak rakyat. Mereka mungkin tidak dapat menentukan keputusan namun mereka masih dapat mempengaruhi sesuatu keputusan yang dibuat dalam parlimen. Mereka boleh memberi penjelasan dan berterus terang kepada rakyat sekiranya mereka tidak dapat menunaikan janji-janji yang disuarakan melalui manifesto mereka sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat. Apa yang penting adalah mereka telah berusaha untuk mempengaruhi parlimen mempertimbangkan usul mereka dan keputusannya pastinya ditentukan oleh parti yang menjadi kerajaan. Pastinya parti BN tidak akan memberi jalan mudah untuk menerima usul cadangan pakatan BA. Ini sedikit sebanyak akan memperlihatkan bahawa BA tidak mampu menunaikan janji-janji mereka sedangkan kita sedia maklum bahawa sesuatu keputusan itu perlu dibuat dengan suara majority. Situasi ini akan dipergunakan oleh BN dengan sebaik-baiknya untuk membuktikan BA gagal menunaikan janji-janji mereka. Antara BN dan BA masing-masing mempunyai kerusi 140 dan 82. Sudah jelas bahawa apa yang dicadangkan oleh BA tidak akan dapat ditunaikan.
  • Walaubagaimanapun, pakatan BA boleh memberi penjelasan kepada rakyat secara jujur dan terbuka, memberikan alasan yang relevan dan boleh diterima. Bukannya alasan yang hendak memperdayakan rakyat dan memperbodohkan pemikiran rakyat sebagaimana yang telah dilakukan oleh parti yang berkuasa sebelum ini. Pakatan BA perlu bijak dalam menghadapi situasi sebegini bagi menjawap segala ketidakupayaan mereka memutuskan usul cadangan di parlimen untuk dilaksanakan pada peringkat nasional.
  • Jika penjelasan mereka difahami rakyat maka rakyat boleh terima alasan kekurangan ahli dewan di parlimen mengakibatkan janji-janji mereka sukar dilaksanakan. Sudah tentunya rakyat boleh mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak kerusi kepada pakatan BA pada pilihanraya umum akan datang sebagai tanda kepercayaan dan keyakinan rakyat bahawa alasan mereka boleh diterima dan perlu membuktikan usaha mereka sekiranya diberi mandate menjadi kerajaan pada masa depan. Apa yang penting dalam tempoh penggal sekarang ialah kelantangan dan keberanian mereka menyuarakan pendapat, mencadangkan usul untuk dibincangkan dan memberi penjelasan yang rasional kepada rakyat mengapa janji-janji mereka sukar ditunaikan. Penggal ini hanyalah merupakan langkah permulaan dan mereka kena tunjukkan langkah permulaan yang baik sebagai pembangkang yang kuat, lantang dan relevan di parlimen.
  • Apa yang penting juga ialah mereka perlu sedar bahawa BN sekarang akan menyusun semula jentera dan barisan mereka untuk menarik semula sokongan rakyat. Sekiranya pakatan BA mahu terus diterima oleh rakyat mereka perlu juga memperkemaskan lagi barisan dan pakatan mereka. Mereka perlu membentuk visi yang jelas dan prinsip kerjasama yang erat dengan menghormati hak dan kepentingan masing-masing. Mereka perlu menunjukkan bahawa mereka bukan parti yang berasaskan perkauman dan boleh menerima sesiapa saja sebagai ahli parti asalkan cukup syaratnya. Misalnya PAS tidak semestinya ahlinya dari kalangan orang Melayu yang beragama Islam saja, sebaliknya mana-mana orang Islam walaupun bukan kaum Melayu layak menjadi ahli parti PAS. Sekiranya boleh dengan adanya kuasa memerintah di 4 negeri mereka perlu mempertimbangkan untuk membentuk satu parti gabungan supaya pada pilihanraya akan datang gabungan mereka mampu menggugat majority BN. Maka tidak akan ada lagi dalam keputusan pilihanraya akan datang keputusan undi pakatan BA dipecah kepada PAS, DAP, PKR ataupun Bebas.
  • Rakyat seperti saya mengharapkan satu parti yang bukan lagi berasaskan perkauman sebagaimana UMNO untuk orang Melayu saja, MIC untuk orang India saja dan MCA pula untuk orang Cina saja. Apa yang saya dan seluruh rakyat mau perhatikan ialah DAP, PKR dan PAS diwakili oleh campuran semua kaum dan bergabung membentuk sebuah parti gabungan. Dengan adanya setiap kaum dalam satu parti akan lebih merapatkan lagi hubungan dan toleransi antara kaum dan agama dan apabila bergabung tentunya mereka akan lebih saling faham memahami kerana setiap parti bukannya memperjuangkan hak dan kepentingan kaum masing-masing tetapi sesuatu yang lebih besar dan lebih utama lagi iaitu hak dan kepentingan rakyat serta perkara-perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

Itu adalah antara pandangan saya saja sebagai seorang rakyat biasa, sekiranya ada sebarang kesilapan atau kecacatan pandangan itu adalah disebabkan saya tidak begitu arif dalam hal politik ini. Namun, keprihatinan saya dalam bidang ini menunjukkan saya ada tanggungjawab untuk melihat satu scenario politik yang matang dan professional. Saya percaya ramai lagi rakyat biasa seperti saya diluar sana mempunyai kepekaan dan keprihatinan terhadap hal ini.

Saya tidak berpihak kepada mana-mana parti kerana saya sendiri tidak menyertai keanggotaan mana-mana parti pun. Saya telah memberikan pandangan saya terhadap BN, mengapa BN tumbang di 4 negeri dan gagal mencapai 2/3 majoriti. Dan BN perlu memperbaiki reputasi mereka dengan membuat satu perubahan yang jelas untuk kembali mendapat sokongan rakyat. Saya juga telah memberikan pandangan saya terhadap pakatan BA, apa yang perlu mereka usahakan dan bagaimana untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka supaya boleh diterima rakyat dan terus mendapat sokongan yang lebih padu dari rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Jadi tidak perlulah membuat andaian bahawa saya ini menyokong BN ataupun BA kerana apa yang saya sokong hanyalah yang terbaik, ikhlas dan adil dalam melaksanakan tanggungjawab. Saya tidak mudah untuk dihasut dan diperdayakan oleh mana-mana parti kerana saya sendiri mempunyai pendirian yang tegas dalam membuat keputusan pemilihan berdasarkan criteria-kriteria tertentu. Inilah kebebasan dan kemerdekaan saya yang sebenarnya kerana apa-apa jua keputusan pemilihan wakil rakyat adalah ditangan saya, bukannya semata-mata disebabkan pengaruh dan propaganda mana-mana parti dari BA dan BN.

Tiada ulasan: