Benteng Diri Dengan Mengingati Allah
Di dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang menerangkan akan kelebihan dan betapa pentingnya tentang zikrullah. Bagi orang-orang yang berfikir sudah tentu hal tersebut akan menjadi sebuah renungan yang mendalam. Apakah yang ada disebalik semuanya itu sehingga Allah berulang-ulang menjelaskan secara terperinci, sudah tentu ianya ada sesuatu yang sangat istimewa.
Seperti sudah kita maklumi bersama bahawa musuh yang nyata dan terbesar bagi manusia yang beriman adalah syaitan laknatullah, ia memang licik dan liat sekali, syaitan dan juak-juaknya tak akan membiarkan manusia beriman untuk mengingat Allah barang sedetik pun. Syaitan akan terus membuat rintangan dan halangan, fikiran kita selalu dibelokkan kepada unsur-unsur yang boleh melalaikan kita daripada mengingat Allah. Jangankan pada kita sedang mengurus hal ehwal dunia, malah sedang bersolat pun fikiran kita dibelok-belok.
Dari kenyataan itulah maka ulama tasawuf berijtihad mencipta gerakan zikrullah guna untuk membentengi diri daripada serangan syaitan yang datang dari berbagai arah. Sudah tentu ijtihad ini bukan sebarang ijtihad namun ianya berdasarkan firman tuhan di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka. Dan engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka yang bersyukur” (Al-A’raaf : ayat 17).
Membentengi diri dengan zikrullah akan membawa dan menampakkan kehidupan yang tenteram, aman dan damai. Peribadi itulah yang akan dinamakan dengan peribadi yang tenang dan tenteram, berlindung dengan cara zikrullah adalah sebaik-baik perlindungan serta memperolehi kekuatan, kerana dengannya kita dapat menyandarkan diri kita sepenuhnya kepadaYang Maha Perkasa, iaitu pencipta langit dan bumi berserta seluruh isinya.
Kalau tidak bersandarkan kepada Yang Satu itu, maka kepada siapa lagi kita mengharapkan pertolongan. Dalam hadis Qudsi Allah s.w.t berfirman yang maksudnya :
“Laa Ilaaha Ilallah itu Aku, maka sesiapa masuk ke dalamnya maka masuklah ia ke dalam benteng Ku, dan barang siapa masuk ke dalam benteng Ku, maka amanlah ia dari azab Ku.”
Bahkan syaitan pun dengan terang-terang menyatakan bahawa dirinya akan hancur dengan kalimah ‘Laa Illaah Illallah’ sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam kitab Faidlul Qadir ; “Wajib bagi kamu sekalian berpegang teguh dengan kalimah ‘Laa illaha llallah’ dan memohon keampunan dengan kalimah itu, perbanyakkanlah mengamalkan kedua-duanya, maka sesungguhnya iblis berkata “Aku menghancurkan manusia dengan berbuat dosa-dosa, da manusia menghancurkan aku dengan kalimah ‘Laa Illaha Illallah’ dan beristighfar”. (HR Abi Ya’la dari Abu Bakar)
Sayugia diingatkan bahawa kita tidak tahu apakah kita akan dapat lagi menghirup udara sampai hari esok. Oleh itu sebelum kita dijemput oleh Allah untuk menghadap Nya maka bersegeralah kita mencari keampunan Allah s.w.t dengan memperbanyakkan zikrullah yang telah ditanamkan secara kukuh di dalam hati, kerana zikir ‘Laa Illaha Illallah’ adalah kalimat taubat, kalimah iman, kalimah lkhlas.
Paling tidak, ada empat jaminan bagi sesiapa yang sentiasa berzikir kepada Allah, selain ianya memperolehi rahmat daripada Allah, malaikat yang terus-terusan meminta ampun kepada Allah supaya mengeluarkan orang yang berzikir itu daripada belenggu kegelapan kepada kehidupan yang dipenuhi dengan cahaya dan kebaikan, serta dilabelkan menjadi orang yang beriman.
Sepertimana firman Allah yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, dengan sebutan yang banyak dan bertasbihlah kamu kepada Nya di waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikatnya memohon keampunan untukmu, supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya yang terang, dan adalah Dia yang Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.” (Al-Ahzaab : ayat 41-43)
Justeru itu setiap yang beriman mesti yakin bahawa jaminan itu bukan hanya sekadar kalimat yang bersifat menghibur, malah ianya adalah jaminan, itu adalah konkrit dari Allah s.w.t untuk hamba-hamba Nya yang sentiasa ingat kepada Nya. Mudah-mudahan kita semua tergolong dikalangan orang-orang yang selalu berzikir kepada Allah. “Amin”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan