Konsep pembangunan untuk rakyat yang sering diwar-warkan oleh pemimpin hari ini ialah menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan dan keselesaan rakyat. Projek-projek pembangunan seperti jalan raya, sekolah, hospital, taman rekreasi, masjid, pusat membeli belah dan sebagainya diusahakan untuk kepentingan rakyat jelata. Namun begitu, apakah semua itu memadai atau berkesan dalam memberi kemudahan dan keselesaan rakyat sepenuhnya.
Sememangnya, apa jua yang ada dalam kehidupan ini tidak akan 100% sempurna dan tak akan dapat memenuhi kehendak setiap orang. Begitu juga dalam soal pembangunan ini, walaupun banyak mana sekalipun projek-projek pembangunan dimajukan sekiranya taraf hidup penduduk itu tidak diperbaiki, tidak dibantu, tidak dibimbing dan dipimpin, pembangunan itu tidak akan banyak membawa perubahan kepada taraf hidup rakyat secara peribadi. Apatah lagi jika projek-projek tersebut melibatkan satu pembaziran wang yang banyak.
Contohnya pembinaan masjid yang cantik, indah dan berseri-seri bagaikan mahligai dan kristal, pembinaan taman-taman rekreasi dengan hiasan bunga-bunga, lampu-lampu dan aksesori-aksesori lain seperti patung, kolam dan sebagainya. Projek-projek sebegini bukanlah melibatkan sumber kewangan dari pelabur atau tauke bisnes tapi diperolehi dari wang cukai rakyat. Apa manfaatnya projek-projek seperti ini untuk rakyat terutamanya dari golongan yang berpendapatan rendah. Hanya sekadar untuk menarik dipandang mata dan menjadi tempat riadah pelawat. Sedangkan masjid yang biasa saja masih boleh digunakan secara lebih efektif dan rakyat yang sekadar kais pagi makan pagi dan petang makan petang tiada banyak masa untuk beriadah di taman-taman sebegitu. Hanya segelintir saja yang menikmatinya untuk melapangkan fikiran selepas penat bekerja di pejabat.
Wang rakyat sepatutnya perlu digunakan untuk membantu rakyat kembali, bukannya membina projek-projek yang membazir dan tidak memberi manfaat yang berkesan untuk kepentingan rakyat sendiri. Sebab itulah apabila sesebuah hospital dibina dengan menggunakan wang cukai rakyat tidak boleh mengenakan bayaran yang membebankan pesakit secara keterlaluan. Bayaran yang diberi hanyalah untuk caj perkhidmatan kepada pekerja-pekerja hospital, sementara ubat-ubatan dan peralatan sebenarnya sudah dibayar oleh rakyat melalui cukai-cukai yang pelbagai dikutip dari rakyat sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Dalam Islam menekankan bahawa yang kaya dan yang mampu hendaklah membantu mereka yang susah dan miskin. Mereka tidak semestinya membantu secara langsung dengan memberi wang ringgit secara ’by hand’ kepada orang miskin. Sebaliknya yang kaya dan mampu ini membayar cukai kepada kerajaan dan kemudian wang cukai itu digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membantu pula yang susah dan tidak berkemampuan.
Jika tauke-tauke bisnes ada syarikat besar, mereka akan bayar cukai perniagaan mereka kepada kerajaan. Kerajaan pula boleh menggunakan hasil cukai itu untuk membantu orang-orang miskin yang tak mampu. Kerajaan yang berhemah dan bijak pastinya akan memanfaatkan wang cukai itu untuk membantu melahirkan lebih ramai cendiakiawan dan usahawan kerana kedua-dua bidang ini sangat penting dalam memperbaiki taraf hidup rakyat secara lebih menyeluruh.
Dengan cukai dari orang kaya dan berpendapatan tinggi bukan saja dapat menyediakan kemudahan yang akan meringankan beban orang miskin yang tak mampu menikmati segala kemewahan sebagaimana orang berada. Malahan dengan cukai itu juga, kerajaan berupaya untuk memberi bantuan modal kepada mereka yang tak mampu untuk memulakan langkah memajukan diri dengan melibatkan diri dalam perniagaan ataupun perusahaan.
Sungguhpun sekarang ini ada bantuan ia bukanlah bantuan yang sebenarnya sebaliknya lebih berupa pinjaman modal yang memerlukan rakyat membayar semula pada kadar yang agak tinggi dalam tempoh tertentu. Lagipun pinjaman modal yang diberikan itu adalah terbatas dalam bidang yang hasilnya boleh dituai dalam jangka masa yang agak panjang dan agak berisiko. Sekiranya hasil gagal diperoleh seperti yang diharapkan maka pinjaman tersebut terpaksa juga dilangsaikan.
Seharusnya, rakyat terutama yang miskin perlu dibantu sehingga berjaya. Jangan hanya melepas batuk di tangga sekadar melaungkan supaya rakyat terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan pendapatan sendiri. Sedangkan peluang dan khidmat sokongan tidak diberikan secara berterusan dan jika adapun semuanya cuba mengambil kesempatan diatas kepayahan dan kesusahan orang lain. Oleh sebab itulah, tidak ramai dikalangan usahawan kecil dan sederhana muncul kerana untuk berjaya mereka perlu berhempas pulas dan berusaha sendiri membangunkan diri sama ada secara individu maupun berkumpulan. Lebih teruk lagi, hanya pada peringkat permulaan saja bersemangat namun lama-kelamaan usaha mereka menjadi longlai dan akhirnya terbengkalai. Ini semua adalah kerana tiadanya sokongan dan bebanan hutang yang perlu ditanggung sedangkan keuntungan hanya sedikit saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan