Custom Search

Reviews Directory

Khamis, 20 Mac 2008

Taser



FUTURE WEAPONS
Rancangan ini merupakan antara kegemaran saya, bagaimana teknologi senjata masa depan lebih toleran terhadap pengganas atau penjenayah atau musuh negara. Dibawah tajuk FUTURE WEAPONS saya akan mengulas sedikit tentang teknologi senjata yang akan dipaparkan yang patut negara kita maupun umat Islam harus miliki dan kuasai ilmu penciptaannya demi kesejahteraan dan keamanan sejagat tanpa menimbulkan kemusnahan besar-besaran kepada manusia sejagat. Barat telah mendahului kita, jika kita tiada kesedaran dalam bidang ini maka kita akan berterusan dibuli dan dianiaya oleh mereka yang menyalahguna ilmu teknologi ini untuk terus menguasai dunia dan merampas hak manusia sejagat.


TASER
Taser adalah sejenis pistol yang berkonsepkan kejutan elektrik, sekarang kebanyakan anggota keselamatan seperti polis menggunakan pistol atau submesingun peluru hidup semasa menghadapi ancaman penjenayah yang tidak menggunakan senjata api secara bersemuka. Sehinggakan apabila penjenayah tersebut menerkam dengan parang atau pisau, anggota keselamatan terpaksa melepaskan tembakan sehingga mencederakan penjenayah tersebut dan kadang-kadang hingga menyebabkan kematian yang tak disengajakan.

Begitu juga ketika dalam tunjuk perasaan atau demonstrasi, terutama di negara kita dimana tidak ada rakyat yang menggunakan senjata api atau parang ketika berhadapan dengan halangan anggota keselamatan ketika berdemonstrasi. Anggota keselamatan menggunakan kayu belantan dan perisai bagi menyuraikan perhimpunan sehingga kadang-kadang ketika menghadapi pendemonstrasi yang agresif anggota keselamatan tiada pilihan lain akan memukul sehingga cedera tidak boleh melawan sebelum boleh ditangkap dan dibawa ke balai untuk disoal siasat. Situasi beginilah yang sering digunakan oleh pihak yang tak berpuas hati bilamana pihak keselamatan menggunakan pendekatan yang dilihat mencederakan orang awam yang bertindak agresif tanpa menggunakan senjata api atau senjata berbahaya.

Justeru, dari video yang kita lihat di atas ternyata taser hanyalah digunakan untuk melumpuhkan seketika penjenayah tersebut menggunakan kejutan elektrik bagi membolehkan anggota keselamatan menangkapnya tanpa mencederakan fizikalnya. Taser lebih toleran dalam menghadapi keagresifan penunjuk perasaan. Sebelum penunjuk perasaan menghayun tangannya memukul anggota keselamatan dengan kayu atau membaling batu ke arah anggota keselamatan, taser akan diacu ke arah seseorang penunjuk perasaan dengan panduan inframerah dan mengenainya dengan tepat. Ketika masih dalam keadaan kaku tak boleh bergerak itulah anggota keselamatan boleh menggarinya untuk disoal siasat atau ditenangkan bagi meredakan ketidakpuas hatiannya di balai polis.

Pendekatan sebeginilah yang kita inginkan, iaitu pendekatan yang tidak menimbulkan rasa benci dan marah dikalangan rakyat umum sekiranya melihat orang awam yang menunjuk perasaan dipukul sehingga bengkak dan berdarah oleh anggota keselamatan dengan kayu belantan dan sepak terajang menggunakan but keselamatan. Dan kadang-kadang dikejar oleh anggota polis menggunakan pistol peluru hidup sedangkan orang awam tersebut hanya menggunakan kayu atau objek keras seperti batu untuk mempertahankan dirinya dari tindakan anggota keselamatan yang tidak rasional dan tidak toleran ketika berhadapan dengan mereka yang sangat agresif tanpa senjata api atau tajam.

Namun, persoalannya mampukah anggota keselamatan kita memiliki senjata seperti ini pada masa depan atau mengaplikasikannya semasa berhadapan dengan situasi penjenayah yang tidak bersenjatakan pistol. Ini kerana ia dicipta oleh orang barat yang tidak mahu berkongsi ilmu teknologi canggih dan terkini mereka pada orang lain yang dianggap boleh mengancam masa depan mereka. Jika kita tidak mampu menciptanya sendiri maka terpaksalah anggota keselamatan menggunakan pendekatan dan teknologi konvensional yang tidak toleran dan terlalu zalim terhadap mereka yang tidak berupaya.

Selagi itulah juga anggota keselamatan kita akan dilihat sebagai satu pasukan yang tidak profesional dan bertindak di luar batasan. Janganlah suatu hari nanti ketika mana negara maju sudah mampu berhadapan dengan penjenayah tanpa senjata api menggunakan taser secara meluas kita masih lagi serupa dengan anggota keselamatan di negara dunia ketiga, sedangkan pemimpin kita sibuk menjaja nama negara kita sebagai sebuah negara maju.

Tiada ulasan: