Custom Search

Reviews Directory

Ahad, 30 Mac 2008

Pembentukan Jerman Moden

Perlembagaan Jerman

Perlembagaan Jerman memberikan peruntukan bagi sebuah parlimen yang terdiri dari dua bahagian, Majlis Persekutuan (Bundestrat) dan Diet Maharaja (Reichstag). Majlis Persekutuan adalah terdiri daripada wakil-wakil yang dilantik dari semua negeri di Jerman. Diet Maharaja mengandungi hampir 400 orang ahli yang dipilih oleh semua rakyat Jerman.


Sistem ini pada zahirnya nampak sangat demokratik tetapi ia sebenarnya tidaklah bagitu demokratik. Diet Maharaja yang seakan-akan sama dengan Dewan Rakyat kita, tidak mempunyai banyak kuasa. Majlis Persekutuan, Canselor atau Kaiser boleh membatalkan sebarang keputusan yang dibuat oleh Diet Maharaja.


Kuasa sebenar adalah ditangan Canselor dan Kaiser. Canselor boleh melantik menteri-menterinya sendiri. Dia tidak bertanggungjawab kepada Parlimen tetapi kepada Kaiser. Ini bermakna dia bebas dari kuasa Panlimen jika dia mahu berbuat demikian. Kaiser juga tetap mempunyai kuasa-kuasanya. Perlembagaan tidak menjadikannya sebagai raja berpelembagaan. Baginda mempunyai kuasa yang luas atas tentera darat, tentera laut, hubungan luar dan perlulusan undang-undang. Selain dari itu baginda juga menguasai banyak undi parlimen dengan cara melantik wakil-wakilnya sendiri di parlimen. Kaiser adalah sangat dihormati oleh semua negeri di Jerman walaupun dahulunya baginda hanyalah menjadi raja Prusia sahaja. Tetapi kita mesti ingat bahawa Prusia adalah negeri terbesar di Jerman. Ia merupakan 3/5 dari jajahan Jerman dan lebih kurang 2/3 dari jumlah penduduk negara baru itu.


Perubahan-perubahan ekonomi

Golongan peniaga dan pengilang telah memberikan galakan dan sokongan kepada Bismarck dalam usahanya menyatukan Jerman sebelum tahun 1871. Sebuah negara yang bersatu akan mempunyai satu sistem ekonomi yang lebih cekap. Dalam sebuah negara yang bersatu tentu akan terdapat undang-undang, ekonomi, cukai, matawang serta sistem ukur dan sukat yang seragam yang akan menguntungkan golongan peniaga.


Bismarck memberikan perhatian yang sungguh-sungguh terhadap kemajuan ekonomi selepas tahun 1871. Sebuah negara akan bersatu dan kuat hanya jika ekonominya stabil. Satu dari kejayaan Bismarck yang pertama ialah mengadakan matawang serta sistem ukur dan sukat yang seragam bagi seluruh negeri. Perkhidmatan-perkhidmatan pos dan telegraf telah disatukan. Negeri itu telah mendapat sistem perhubungan yang lebih baik dengan jalan-jalan yang elok dan satu rangkaian jalan keretapi yang meluas. Bismarck juga memperkenalkan berbagai perubahan dalam beberapa sektor ekonomi.


a) Pengilangan dan Perindustrian

Bismarck mahu menjadikan Jerman sebagai sebuah negara perindustrian yang kaya. Jerman mempunyai sumber asli yang kaya seperti arang batu, besi, potash dan ligmit. Sumber-sumber ini digunakan dengan mahir dan cekap. Bismarck telah membentuk kartil. Ini adalah merupakan pertubuhan-pertubuhan yang menyelaras dan memberi arahan untuk pertumbuhan industri-industri. Dalam tahun 1875, sebuah bank kebangsaan dipanggil Reich Bank telah ditubuhkan. Kerajaan memberikan pinjaman-pinjaman jangkamasa panjang dengan kadar bunga yang sesuai untuk memulakan perusahaan-perusahaan baru. Daerah-daerah perusahaan yang besar wujud di sepanjang lembah-lembah Rhine, Ruhr, Saar dan di Silesia di timur.


b) Pertanian

Pengeluaran pertanian telah juga bertambah. Baja-baja kimia yang murah dikeluarkan oleh industri-industri di Jerman sendiri. Tuan tanah-tuan tanah Jerman menjadi satu kelas yang kaya dan penyokong kuat Kaiser negeri itu.


c) Perdagangan

Bismarck mahu menjadikan Jerman sebagai negara perdagangan yang penting di Eropah. Pada mulanya perusahaan-perusahaan dan pertanian Jerman mengalami kerugian sebab barang-barang mereka tidak dapat bertanding dengan barang-barang yang dikeluarkan oleh negeri-negeri lain seperti Britain dan Peranchis. Petani-petani Jerman, sebagai contoh, mengalami kerugian sebab terlalu banyak gandum masuk ke Jerman dari Rusia dan Amerika. Bismarck mengambil tindakan tegas untuk melindungi perusahaan dan pertanian Jerman. Pada tahun 1879, dia telah memperkenalkan undang-undang tarif Jerman. Barang-barang yang diimport ke Jerman dicukai dengan tinggi. Terdapat pemulihan ekonomi yang pesat dan tidak lama kemudian Jerman telah mengatasi Britain dan Peranchis dalam pengeluaran besi dan keluli. Pada masa menjalankan berbagai perubahan ekonomi mi. Bisrnarck tidaklah melupakan kebajikan kaum pekerja biasa dan petani. Dia telah memperkenalkan beberapa perubahan sosial.


Pemulihan-pemulihan Sosial

Rancangan-rancangan sosial Bismarck mencerminkan pemikiran yang moden dan maju. Bismarck berpendapat bahawa dalam sebuah negara yang kaya, orang-orang yang miskin tidaklah harus dibiarkan tinggal begitu sahaja. Demi perpaduan negara, jurang antara golongan yang sangat kaya dan yang sangat miskin haruslah dirapatkan. Jika tidak, golongan yang miskin akan berasa tidak puas hati dan ini akan mengancam perpaduan negara.


Bismarck memberikan perhatian utama terhadap nasib golongan pekerja di kilang-kilang baru. Dia mengadakan berbagai undang-undang bagi membaiki taraf dan mutu hidup mereka. Pada tahun 1885 dia telah memperkenalkan Undang-undang Insuran Sakit. Pekerja-pekerja membayar sebahagian dari gaji mereka ke dalam sebuah tabungan wang. Majikan juga menyumbangkan wang kepada kumpulan wang tersebut. Pekerja-pekerja boleh mendapat kemudahan perubatan percuma dan juga gaji mereka, jika mereka sakit. Satu lagi undang-undang telah diluluskan untuk melindungi pekerja-pekerja yang cedera semasa bekerja. Pihak Majikan terpaksa membayar dengan penuh kos-kos perubatan pekerja-pekerjanya. Dalam tahun 1889 Undang-undang Insuran Masa Tua telah diluluskan. Ini adalah lebih kurang sama seperti mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang kita ada di Malaysia sekarang. Pekerja-pekerja menyumbangkan sebahagian dari gaji mereka kepada tabungan wang ini dan boleh mengeluarkannya apabila mereka telah bersara.


Tindakan-tindakan bagi mencapai perpaduan politik


a) Keamanan di Jerman dan Eropah

Dalam usaha untuk mencapai perpaduan negara, Bismarck sedar bahawa keamanan adalah perlu bagi Jerman. Orang yang dahulu menyeru penggunaan “darah dan besi” sekarang menyarankan cara-cara aman bagi membangunkan negara. Bagaimanapun dia masih digelar Canselor Besi. Ini bukan disebabkan kerana dia suka berperang tetapi kerana dia adalah tegas dan berdisiplin sebagai seorang pentadbir Jerman. Bismarck bimbang yang negeri-negeri asing, terutamanya Peranchis, mungkin menyerang Jerman. Peranchis marah yang ia telah kehilangan banyak jajahannya kepada Jerman pada tahun 1871. Bismarck mengamalkan dasar yang berhati-hati dalam membuat persahabatan dengan lain-lain negeri di Eropah. Menjelang tahun 1882, Austria, Itali dan Jerman telah menjadi sekutu. Ini dipanggil Perikatan Bertiga. Dengan cara ini Bismarck berharap negeri-negeri lain tidak akan memulakan peperangan. Bismarck memerlukan keamanan di Eropah supaya dia boleh membina Jerman.


b) Dasar rerhadap gereja

Dalam masa pemerintahannya sebagai Canselor, Bismarck telah menghadapi masalah dengan Gereja Roman Kotalik di Jerman. Untuk memahami masalah ini kita perlu mengetahui latar belakangnya. Di Eropah sebelum kurun ke-l6, Paus sebagai pemimpin Gereja Roman Katolik adalah seorang yang sangat berkuasa. Hampir seluruh Eropah adalah di bawah kuasanya. Raja-raja di sana memberikan taat setia mereka kepada Paus. Oleh itu Gereja Roman Katolik mempunyai kuasa yang luas di Eropah. Beliau terlibat dalam hal ehwal politik semua negeri-negeri di Eropah. Paderi-paderi kerapkali menjadi penasihat kepada raja. Bagaimanapun selepas kurun ke-16 kuasa Paus mulai merosot. Satu perpecahan yang serius telah berlaku di kalangan orang-orang Kristian. Mazhab Protestant telah mencabar kuasa Paus. Lagipun banyak negara yang mahukan kebebasan dari kuasa Paus dan dengan itu mengurangkan kepentingan Gereja di negeri masing-masing. Bagaimanapun pengaruh Gereja tidak dapat diketepikan sama sekali.


Di Jerman paderi-paderi Roman Katolik mahu berkuasa semula. Paderi-paderi telah menyeru setengah-setengan jajahan di Jerman untuk menuntut lebih kebebasan dari Kaiser. Pada masa itu juga Paus mula mencuba untuk mempengaruhi Jerman dalam setengah-setengah hal ehwal politiknya. Ini mencemaskan Bismarck. Dia takuti kebangkitan semula Gereja akan memecahkan perpaduan negeri Jerman. Rakyat akan memberikan taat setia mereka kepada Paus dan tidak kepada negara Jerman dan Kaiser.


Untuk mencegah perkembangan semula kuasa Gereja, Bismarck telah memulakan satu pergerakan anti-Gereja yang dipanggil Kulturkampf, pada tahun 1872. Dia telah meluluskan beberapa siri undang-undang yang dipanggil Undang-undang May. Mengikut undang-undang ini semua sekolah agama Katolik adalah diletakkan di bawah kuasa negeri. Kerajaan mempunyai kuasa untu melantik pegawai-pegawai tinggi Gereja seperti Bishop dan lain-lain. Hanya orang-orang Jerman sahaja yang boleh memegang jawatan-jawatan dalam Gereja.


Bagaimanapun Bismarck tidak berjaya untuk menindas kuasa Gereja. Ramai orang tidak suka pada layanan dan dasar Bismarck terhadap paderi-paderi yang mereka sanjung itu. Akhirnya Bismarck sendiri terpaksa melonggarkan peraturan-peraturan berkenaan dengan gereja Katolik ini.


Pemecatan Bismarck

Bismarck telah bekerjasama rapat dengan Kaiser William I. Apabila William I mangkat, Kaiser yang baru ialah William II. William II percaya akan kuasa mutlak Kaiser. Lebih-lebih lagi baginda juga percaya akan hak ketuhanan raja. Ini bermakna raja mendapat kuasa mereka daripada Tuhan dan dengan itu dia tidak bertanggungjawab kepada sesiapa pun. Di bawah William I, Bismarck telah memegang banyak kuasa politik. William II merasa bahawa Bismarck telah menjadi lebih berkuasa daripada Kaiser sendiri. Pada tahun 1890 baginda telah memecat Bismarck. Pemecatan Bismarck ini telah diibaratkan sebagai “pengguguran pemandu”. Ini bermakna orang yang telah memandu negara Jerman ke arah kebesaran telah dipecat. Sungguhpun begitu nama Bismarck akan tetap dicatat dalam sejarah sebagai orang yang membentuk negara Jerman. Dan banyak negeri-negeri kecil yang berasingan, Bismarck telah berjaya membentuk sebuah negara yang bersatu. Dia telah membangkitkan perasaan megah dan nasionalisme di kalangan orang-orang Jerman melalui peperangan-peperangannya. Dia telah menjadikan Jerman sebuah negara yang kuat dari segi ekonorni dan ketenteraan. Kalau tidak kerana Bismarck mungkin Jerman masih lagi merupakan sebuah negara yang mengandungi negeri-negeri kecil yang longgar persekutuannya dan tidak mempunyai sifat atau pun keperibadian kenegaraannya sendiri.


Dalam masa pemerintahannya sebagai Canselor, Bismarck telah banyak mendapatkan tanah-tanah jajahan untuk Jerman iaitu di timur dan barat Afrika dan juga beberapa buah pulau di kawasan Pasifik. Di antara tanah jajahan Jerman di Afrika ialah Barat daya Afrika, Cameroon, Togo land dan Afrika Timur Jerman. Di kawasan Pasifik pula Jerman telah mendapat Kepulauan Marshall.


Bismarck telah memandu Jerman ke arah yang membolehkannya menjadi sebuah negeri yang terkemuka di Eropah. Bismarck meninggal dunia pada tahun 1898. Dia telah dilahirkan di Jerman yang mengandungi 39 buah negeri-negeri kecil. Apabila dia meninggal dunia Jerman telah menjadi sebuah negara yang mempunyai satu corak pemerintahan, sempadan yang tetap, satu perlembagaan, bahasa dan kebudayaan yang sama dan banyak lagi simbol lain yang melambangkan sebuah negara yang bersatu.


Artikel lain yang berkaitan Jerman
Sejarah Awal Jerman
Penyatuan Negara Jerman
Tentang Jerman dan Jepun

Tiada ulasan: