Perlukah Pengajaran Sains dan Matematik dilakukan dalam Bahasa Inggeris
1) Perlu sekiranya IPTA mahu menarik pelajar-pelajar dari luar negara untuk mengikuti kursus-kursus di IPTA di peringkat Sarjana Muda dan Sarjana. Ini juga dapat meningkatkan kredibiliti Universiti tersebut dengan adanya para pelajar dari luar negara.
2) Tidak perlu sekiranya para pelajar di negara ini kurang penguasaan Bahasa Inggeris untuk memahami ilmu Sains dan Matematik yang diajarkan dalam bahasa tersebut.
Ketika Dunia Islam mengusai ilmu pengetahuan (ketika Daulah Khilafah masih wujud), orang Eropah belajar daripada orang Islam ilmu-ilmu Sains dan Matematik. Mereka belajar bahasa Arab, untuk memahami Sains dan Matematik dari orang Islam. Tetapi orang Eropah tidak menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda mereka. Mereka mengalih bahasakan buku-buku Sains dan Matematik yang ditulis dalam bahasa Arab ke bahasa Latin.
Sehingga sekarang beberapa istilah bahasa Arab masih lagi dikekalkan dalam bahasa mereka seperti:
- Chemistry (yang berasal dari Kimia),
- Sugar (yang berasal dari sukkar)
- Alkali (yang berasal dari alkali)
- Alcohol (yang berasal dari alcohol)
- Algebra (yang berasal dari aljabar)
Bahasa Inggeris hanyalah bahasa, dan bukannya suatu cabang dari ilmu Sains dan Matematik. Oleh itu, sekiranya seseorang ingin belajar membina atau mencipta kapal terbang, roket, kereta, motosikal dan komputer, beliau tidak perlu belajar bahasa Inggeris, kerana kebanyakan buku panduan bagaimana untuk mencipta kapal terbang, roket, kereta, motosikal dan komputer ada ditulis dalam bahasa Jepun, Rusia, Korea, Jerman, Perancis dan sebagainya. Malah ada Microsoft Windows versi Jepun dan Korea yang menggunakan sepenuhnya bahasa Jepun dan Korea.
Bahasa hanyalah suatu medium (perantaraan) untuk memahami ilmu Sains dan Matematik. Sekiranya seorang itu selesa untuk belajar ilmu sains dan Matematik dalam bahasa ibundanya dan bukan bahasa Inggeris, maka itulah yang paling baik baginya. Pengajaran Sains dan Matematik di Jepun dan Korea dilakukan dalam bahasa Jepun dan Korea, dan mereka lebih maju dalam Sains dan Matematik jika dibandingkan dengan negara ini di mana pengajaran Sains dan Matematik dilakukan dalam bahasa Inggeris sekarang.
Menjadikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak semestinya menjadikan pelajar-pelajar lebih faham tentang Sains dan Matematik, tetapi mungkin sebaliknya. Saya telah memeriksa beratus-ratus skrip peperiksaan STPM, Matrikulasi dan Universiti dan mendapati kefahaman tentang bahasa Inggeris pelajar-pelajar masih rendah. Sekiranya penguasaan terhadap bahasa Inggeris masih rendah, maka adalah amat tidak wajar mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kerana langkah tersebut hanya menambahkan bebanan pelajar untuk memahami Sains dan Matematik, malah lebih buruk lagi, pemahaman menjadi semakin merosot.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa kebanyakan buku-buku rujukan dan research journals ditulis dalam bahasa Inggeris, maka oleh itu perlulah mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Memang benar, kebanyakan buku-buku rujukan dan research journals bagi Sains dan Matematik ditulis dalam bahasa Inggeris, namun hakikatnya, apakah guna mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sekiranya penguasaan majoriti pelajar dalam bahasa Inggeris masih amat lemah. Adalah lebih sesuai sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa yang lebih mudah difahami oleh pelajar-pelajar (tidak kira sama ada Bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil atau Arab). Pada masa yang sama, pertingkatkan kualiti pengajaran subjek bahasa Inggereis, degan penambahan subjek bahasa Inggeris untuk Sains (English for Scientific purposes) sebagai matapelajaran yang berasingan, untuk membolehkan para pelajar membaca dan memahami sumber-sumber saintifik dalam bahasa Inggeris.
Sekiranya anda ke luar negara seperti Eropah ke negara-negara Jerman, Perancis, Sepanyol atau Itali, rata-rata mereka boleh berbahasa Inggeris, tetapi jarang mereka akan melayan anda dalam bahasa Inggeris. Mereka mungkin akan melayan anda sekiranya anda bercakap dalam bahasa mereka di negara mereka sendiri. Keadaan yang sama sekiranya anda pergi melawat Jepun dan Korea. Sekiranya anda dapat perhatikan profesor-profesor dari Jepun dan Korea memberikan syarahan dalam bahasa Inggeris, anda akan mendapati seorang pelajar sekolah menengah di Malaysia lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding profesor-profesor ini. Adakah ini bermakna mereka gagal dalam mengajarkan Sains dan Matematik hanya kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka lebih rendah dari pelajar sekolah menengah di Malaysia?
Hakikatnya, Bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya Bahasa Sains dan Matematik. Bahasa, dalam konteks ini hanyalah 'container' atau 'bekas' untuk menyampaikan idea-idea Sains dan Matematik. Mana-mana bahasapun boleh digunakan sebagai 'container' bagi Sains dan Matematik selama mana idea-idea tersebut dapat difahami sebaik-baiknya oleh yang mengkajinya . Ini adalah kerana Sains dan Matematik bukanlah suatu bentuk 'hadharah' yang perlu disandarkan kepada bahasa Inggeris semata-mata. Ini berbeza dengan bahasa Arab. Tanpa bahasa Arab, banyak perkara di dalam Islam tidak dapat dipenuhi; ijtihad sebagai contoh. Bahasa Arab adalah sebahagian dari hadharah Islam. Kesinambungan dari itu, bahasa Arab, setelah Islam menguasai 1/3 dunia, telah menjadi bahasa elit – tamadun dunia itu sendiri disandarkan kepada bahasa Arab sehinggalah umat mula melalaikannya.
Sumber : www.mykhilafah.com
Artikel yang berkaitan dengan tajuk ini
2 ulasan:
saya setuju dengan tulisan yang saudara kemukakan, TETAPI:
1. adakah negara kita telah/mampu untuk menggunakan langkah yang dipakai di beberapa negara asing yang 'tidak begitu mengutamakan' bahasa Inggeris? contohnya, di Jepun, bagi setiap buku ilmiah yang diterbitkan di dalam bahasa Inggeris, dalam tempoh kurang dari sebulan buku itu memasuki pasaran Jepun, buku yang sama akan/telah diterbitkan di dalam bahasa Jepun. Apakah ada undang2 sebegitu untuk pembawaan masuk buku2 ilmiah di Malaysia?
2. berapa ramaikah penterjemah tempatan yang mahir bahasa asing (selain English) yang berkhidmat untuk DBP atau syarikat2 buku tempatan? boleh korek siket? at least, boleh lah kita tahu berapa cekap / efisiennya usaha untuk mengekalkan keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia. (bukannya merendah-rendahkan taraf bahasa Melayu, tetapi kita sedia maklum, banyak buku2 ilmiah kini diterbitkan bukan dalam bahasa Melayu. even in Malaysian universities pun, buku rujukan banyak dalam bahasa Inggeris, betul?)
3. apakah ada sistem / tawaran / diskaun untuk pembelian kamus2 (baik buku, atau electronic dictionary) untuk para pelajar bagi membantu penterjemahan bahasa asing ke dalam bahasa Melayu? seingat saya, masa saya kecil, kamus (pembacaan dan penghafalannya) dan sistem 'learn a word a day' banyak membantu.. apakah kita masih mengamalkannya?
sekian terima kasih, harap dapat dibawa ke perhatian pihak2 yang berkuasa..
memang diakui BI penting tp jgn sampai pelajar kita jd bhn eksperimen. utk mempertingkatkan penguasaan BI dikalangn pelajar maka usaha memperbaiki pengajaran BI dlm subjek BI perlu diperkemaskan lagi dan perlu ada aktiviti2 sekolah yg menggalakkan pgunaan BI di sekolah. jgn memporak perandakan pengajaran subjek sains dan mate.
bila pelajar sudah dpt menguasai BI melalui cara ini maka dgn sendirinya mereka bila baca buku rujukan atau ilmiah sains dan mate dlm BI akn faham dan boleh terjemahkannya dlm BM dan juga boleh ulas dlm BI.
saya tak brapa fasih ckp BI tp boleh ckp sikit2 BI broken.saya akui kelemahan saya adalah pd pgunaan grammar. vocabulary tak jd masalah asalkan rajin baca buku atau artikel BI dan rujuk kamus. mungkin sbb masa sekolah dulu pihak sekolah kurang menekankan atau memperbanyakkan aktiviti melibatkan pgunaan BI. tp saya belajar dlm aliran sains tulen dan kemudian sains sosial. tp saya masih boleh faham apa2 jua artikel dlm BI dan buat ulasan mengenainya dlm BM.
Catat Ulasan