Custom Search

Reviews Directory

Jumaat, 28 Mac 2008

Penyatuan Negara Jerman

Otto Von Bismarck

Bismarck dilahirkan pada 1 April 1815 di Brandenburg, Prusia. Bapanya adalah seorang Junker, yang dalam Bahasa Jerman bermakna golongan bangsawan yang memiliki tanah. Pada masa dia berumur 17 tahun Bismarck telah pergi ke Berlin untuk mempelajari undang-undang dan sains politik. Setelah lulus sebagai seorang peguam, dia telah berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Prusia. Ia tidak gemar bekerja di situ, lalu meletakkan jawatannya. Kemudian dia telah menguruskan harta-harta bapanya.


Dalam tahun 1847, Bismarck telah dipilih menjadi wakil ke Parlimen. Parlimen ini yang digelar Diet Bersatu, telah dipanggil bersidang oleh Raja Frederick William IV kerana tekanan-tekanan dari golongan liberal yang menuntut supaya diberikan tempat di dalam pentadbiran kerajaan. Bagaimanapun Bismarck bukanlah seorang yang berfahaman liberal. Dia percaya bahawa kuasa mestilah berada di tangan raja. Sebenarnya pernah dikatakan bahawa Bismarck percaya kepada kuasa raja lebih dari raja itu sendiri. Pada peringkat ini dia telah membina satu lagi keyakinan yang kuat, iaitu Prusia harus menjadi pemimpin dalam menyatukan semua orang-orang Jerman.


Dalam masa ini Bismarck menjalankan dasar bermusuh dengan Austria. Austria sebagai sebuah negeri yang terbesar dalam Pergabungan Jerman telah menguasai negeri-negeri lain. Bismarck percaya bahawa pengaruh Austria atas negeri-negeri lain haruslah dihapuskan jika Jerman hendak disatukan di bawah Prusia. Pada tahun 1895 Bismarck telah dihantar ke Rusia sebagai Duta Prusia. Kemudian Bismarck ke Paris pula. Bagaimanapun keadaan di Prusia telah berubah, dan tidak lama selepas itu Bismarck telah menjadi Ketua Menteri Prusia.


Bismarck Menjadi Ketua Menteri Prusia

Prusia, sebagaimana yang telah kita baca telah pun mempunyai Parlimen pada masa pemerintahan Frederick William IV. Bagaimanapun Parlimen mempunyai kuasa yang terhad. Pada tahun 1861, seorang raja baru Prusia, William I telah menaiki takhta kerajaan. William I tidak percaya dengan demokrasi dan faham liberalisme. Baginda telah melantik menterinya sendiri. Pertelingkahan telah berlaku di antara Parlimen dengan raja. Pada tahun 1862, William I cuba meluluskan satu undang-undang bagi membesarkan lagi angkatan tentera Prusia. Parlimen enggan meluluskan perbelanjaan yang diperlukan bagi pembesaran angkata tentera. Satu suasana yang tegang telah wujud. William I telah memanggil balik Bismarck dari Paris dan melantiknya sebagai Ketua Menteri pada tahun 1862. William I sedar bahawa Bismarck adalah seorang yang percaya dalam kuasa raja dan oleh itu Bismarck tentu akan menerima pendapat-pendapatnya.


Sebagai Ketua Menteri, Bismarck tidak menghiraukan pendapat Parlimen. Apabila Parlimen sekali lagi enggan meluluskan perbelanjaan bagi rancangan-rancangan pembesaran angkatan tentera, dia telah pergi sendiri ke Perbendaharaan dan mengambil wang yang diperlukan.


Penyatuan Jerman oleh Bismarck

Bismarck adalah seorang yang tegas. Dia sedar bahawa negeri-negeri dalam Pergabungan Jerman tidak akan melepaskan dengan mudah kedaulatan mereka. Untuk menyatukan negeri-negeri ini dia terpaksa menggunakan kekerasan. Bismarck mengatakan bahawa Jerman hanya boleh disatukan dengan “darah dan besi” sahaja. Perhimpunan Frankfurt tahun 1848 telah cuba menyatukan Jerman dengan cara aman tetapi telah gagal. Bismarck mahu membentuk sebuah negara Jerman yang bersatu melalui dua peringkat. Pertama, Prusia terpaksa berperang menentang negara-negara yang menguasai beberapa buah negeri Jerman. Peringkat kedua ialah memperkuatkan negeri-negeri ini selepas ianya dibebaskan dari penguasaan asing. Ini melibatkan perubahan-perubahan ekonomi, politik dan sosial untuk menyatukan rakyat ke dalam sebuah negara yang mempunyai identiti kebangsaan.


Dalam peringkat pertama, dan tahun 1864 hingga 1870, Bismarck telah berperang sebanyak tiga kali. Ini adalah untuk menentang Denmark, Austria dan Peranchis. Sebelum Bismarck melancarkan peperangan, dia memperkuatkan angkatan tenteranya terlebih dahulu. Askar-askamya dilatih dengan cukup dan dilengkapkan dengan senjata-senjata yang termoden. Tentera Prusia adalah yang paling baik di Eropah pada masa itu. Bismarck adalah seorang yang bijak. Dia tidak berperang dengan ketiga-tiga negeri tersebut pada masa yang sama, tetapi satu persatu. Apabila dia melancarkan peperangan dengan sesebuah negeri, dia terlebih dahulu menentukan, dengan cara diplomasi yang bijak, bahawa negeri-negeri lain tidak akan bersatu menentangnya.


Peperangan dengan Denmark

Peperangan dengan Denmark adalah berhubung dengan dua buah negeri, Holstein dan Schleswig. Raja Denmark mempunyai kuasa ke atas negeri-negeri itu. Pada tahun1864, seorang raja baru Denmark telah cuba menyatukan negeri-negeri ini dengan Denmark. Bismarck selama ini telah mempunyai rancangan untuk menyatukan kedua-dua negeri ini dengan Jerman. Pada tahun 1864, Bismarck telah mengisytiharkan peperangan dengan Denmark. Bagaimanapun Bismarck bimbang jika Austria akan merasa curiga akan cita-citanya. Oleh itu Bismarck telah mengajak Austria, dengan cara diplomasi yang bijak, supaya bersama-sama dengan Prusia menentang Denmark. Denmark dengan mudah telah dapat dikalahkan. Prusia telah mengambil Schleswig dan memberikan Holstein kepada Austria. Ini adalah kejayaan tentera Bismarck yang pertama ke arah penyatuan negeri-negeri Jerman. Bismarck kemudian telah berpaling tadah untuk menentang Austria.


Peperangan Menentang Austria

Austria telah menguasai banyak jajahan Jerman. Bismarck berpendapat bahawa untuk menyatukan Jerman, Austria mesti dikalahkan dan kuasanya dikurangkan. Bismarck telah memberikan perhatian yang lebih dalam peperangan menentang Austria. Dia bimbang jika negara-negara lain akan membantu Austria. Bismarck telah menandatangani satu perjanjian dengan Rusia. Dia kemudian telah berjumpa dengan pemimpin Peranchis, Napoleon III. Sekali lagi dengan cara diplomasi yang bijak, Napoleon III telah dapat dipujuk supaya tidak akan campur tangan jika berlaku peperangan di antara Prusia dan Austria. Sebenarnya Bismarck telah memberitahu Napoleon III bahawa Peranchis boleh mengharapkan untuk mendapat pampasan jika Austria dapat dikalahkan. Napoleon III sedikit pun tidak sedar bahawa Peranchis akan menjadi sasaran Bismarck seterusnya. Bismarck juga telah berjaya menarik Itali supaya menyokongnya. Dia telah menjanjikan kepada Itali, jika mereka menang dalam peperangan menentang Austria, dia akan memaksa Austria untuk melepaskan beberapa jajahannya kepada Itali. Dengan cara ini Bismarck telah berjaya memencilkan Austria.


Setelah itu Bismarck telah bersiap sedia untuk berperang dengan Austria. Apa yang diperlukan sekarang iaiah satu helah untuk memulakan peperangan. Bismarck telah menuduh Austria memberi layanan yang buruk terhadap orang-orang Jerman di Austria. Bismarck kemudian telah mengarahkan tentera Prusia memasuki jajahan Holstein yang sebenarnya telah diberikan kepada Austria selepas peperangan dengan Denmark. Ini membawa kepada peperangan besar-besaran di antara Prusia dengan Austria pada tahun 1866. Tentera Prusia adalah lebih kuat. Tenteranya dilengkapi dengan senjata yang dipanggil “senapang jarum” yang boleh menembak enam kali lebih cepat dari senjata-senjata tentera Austria. Peperangan ini dikenali sebagai Perang Tujuh Minggu. Ini disebabkan peperangan ini mengambil masa selama tujuh minggu. Austria telah dikalahkan di Sadowa dan Perjanjian Prague telah ditandatangani.


Dengan perjanjian ini Austria telah melucutkan tuntutannya ke atas Holstein dan memberikannya kepada Prusia. Austria juga telah menyerahkan Venetia kepada Itali. Kedudukan Prusia di Jerman Utara telah diperkukuhkan. Dasar “darah dan besi” Bismarck telah berjaya dengan cemerlangnya. Menjelang tahun 1866 Bismarck telah menyatukan 2/3 dari negerii Jerman dan 2/3 dari jumlah orang-orang Jerman.


Tetapi negeri-negeri Jerman di selatan masih lagi di luar pengaruh Bismarck. Peranchis mempunyai rancangan untuk meluaskan pengaruhnya di negeri-negeri ini terutamanya di Bavaria, Wurtemberg, Raden dan Hesse. Peperangan Bismarck yang terakhir untuk penyatuan Jerman ialah menentang Peranchis.


Peperangan Menentang Peranchis

Napoleon III di Peranchis, memandang dengan cemas akan perkembangan kuasa Prusia di Eropah. Baginda telah berharap untuk mendapat jajahan-jajahan di selatan Jerman sebagai hadiah kerana kerjasama Peranchis dengan tidak campur tangan dalam Perang Prusia-Austria pada tahun 1866. Bagaimanapun Bismarck dengan cepat telah menandatangani perjanjian dengan negeri-negeri Jerman Selatan dan membawa mereka masuk Prusia. Bismarck telah berjaya mendapatkan negeri-negeri ini melalui tipu helahnya. Peranchis telah menulis surat kepada Bismarck menuntut supaya ia diberikan negeri-negeri Jerman Selatan sebagai hadiah bagi kerjasamanya pada tahun 1866. Bismarck telah menunjukkan surat itu kepada pemimpin-pemimpin negeri-negeri Jerman Selatan. Negeri-negeri ini dengan cepat telah bergabung dengan Bismarck.


Bismarck mahukan peperangan dengan Peranchis untuk menyempurnakan penyatuan semua negeri-negeri Jerman. Peperangan-peperangan Bismarck menentang Austria dan Denmark telah membangkitkan semangat nasionalisme di Jerman. Orang-orang Jerman berasa megah dengan negeri Jerman. Bismarck telah menjadi juara nasionalis Prusia.


Bismarck
telah melancarkan perang ke atas Peranchis pada bulan Julai 1870. Seperti dahulu, melalui perjanjian-perjanjian rahsia, Bismarck telah berjaya memastikan yang lain-lain negara di Eropah tidak akan menolong Peranchis. Peranchis telah dikalahkan oleh Prusia pada bulan Julai 1871. Peranchis terpaksa menandatangani Penjanjian Frankfurt dalam tahun 1871. Dengan penjanjian ini Peranchis telah terpaksa melepaskan Alsace dan Lorraine, kawasan lombong arang batu yang kaya di Jerman. Lebih dari itu Peranchis juga terpaksa membayar lebih kurang 3 ribu juta ringgit sebagai ganti rugi perang kepada Prusia.


Jerman telah Disatukan

Selepas Peranchis dikalahkan, Bismarck telah mendesak negeri-negeri Jerman yang lain supaya bersatu di bawah Prusia. Kesemua 39 buah negeri telah bersatu kecuali Austria yang tinggal sebagai sebuah negeri yang berasingan. Jerman yang telah diperintah oleh berbagai raja, putera dan duke telah disatukan dibawah seorang raja. Pada 18 Januari 1871, di Istana Versailles yang terkenal di Peranchis, semua putera-putera Jerman telah berkumpul dan mengakui William I sebagai Maharaja Jerman. Baginda telah diberi gelaran “Kaiser”, yang dalam Bahasa Jerman bermakna “raja yang tertinggi”.


Sebagai hadiah kepada sumbangannya, Bismarck telah dianugerahkan martabat seorang putera, dan dilantik sebagai Canselor negara baru itu. Canselor adalah satu jawatan seperti Perdana Menteri. Jerman telah disatukan secara fizikal sahaja. Selepas tahun 1871, Bismarck telah melancarkan peringkat kedua rancangan penyatuan Jerman iaitu mengubahkan keadaan dalam negeri dan menyatukan rakyat Jerman supaya menjadi sebuah negara yang bersatu padu. Ini telah dilakukan melalui berbagai perubahan perlembagaan, ekonomi dan sosial. Selepas tahun 1871, Bismarck hanya berminat dalam pembangunan negara, bukan lagi dalam peperangan. Satu dari tugas-tugas pertama Bismarck ialah untuk mempunyai satu perlembagaan umum bagi seluruh negara Jerman.


Lagi artikel berkaitan Jerman
Sejarah Awal Jerman
Pembentukan Jerman Moden
Tentang Jerman dan Jepun

Tiada ulasan: