Sudah lebih seminggu PRU12 berlalu dan macam-macam peristiwa yang berlaku selepas keputusan diketahui. Ada yang kecewa, ada yang dulunya mudah lupa kini kembali sedar, ada juga yang belum sedar sedar lagi masih diulit mimpi indah, ada yang masih tak nak lepaskan jawatan ketika rakan-rakan kamcengnya yang lain sudah letak jawatan sebagai bertanggungjawab di atas kekalahan mereka dan parti yang mereka wakili. Walau apa pun biarlah mereka dengan dunia politik mereka itu, sememangnya mereka itu suka cari pasal.
Sebagai rakyat, saya dan kita semua akan memerhati perkembangan politik mereka akan datang dan ingin tahu bagaimana mereka menyelesaikannya. Kalau dahulu kita dianggap mudah digula-gulakan dengan habuan itu dan ini dan dibodoh-bodohkan dengar putar belit dan temberang mereka, tapi kini dengan dunia tanpa sempadan, gerbang maklumat semakin melebar dan ilmu pengetahuan kini kian berkembang, menjadikan rakyat Malaysia semakin bijak untuk menilai mana intan dan mana kaca, terutamanya golongan muda dan belia yang tidak mau lagi dianggap budak mentah dan hingusan yang dilayan macam orang suruhan.
Kita tidak mau lagi melihat pemimpin yang bongkak dan sombong dengan kuasa di tangan mereka, sesuka hati saja mengata dan menuduh rakyat tak tau berfikir bila menyokong pembangkang, menuding rakyat yang mengkritik mereka sebagai pengkhianat negara, menganggap rakyat yang tak puas hati macam monyet, menganggap rakyat yang tak maju dan masih mundur sebagai malas dan macam-macam lagi ayat dan perkataan yang menyinggung perasaan rakyat yang telah memilih mereka selama ini untuk menjadi pemimpin dan penolong rakyat ketika dalam kesusahan. Mereka inilah pemimpin yang tak mengenang budi dan tak tau bersyukur kerana terpilih menjadi pemimpin dengan mendapat undi majority dari rakyat selama ini.
Rakyat Malaysia sebenarnya boleh bersatu bilamana hak asasi mereka dihalang dan dicabar oleh pemimpin yang bongkak. Rakyat Malaysia apabila secara individu hakikatnya lemah kerana tiada kuasa, tiada pengaruh dan tiada wang untuk berhadapan dengan orang yang berkuasa, orang yang berpengaruh dan orang yang mewah untuk boleh lakukan apa saja terhadap rakyat yang lemah. Namun, jangan diperkecil akan keupayaan rakyat Malaysia yang tertindas di bumi sendiri. Kalau tidak dengan menyertai perhimpunan atau demonstrasi maka cara yang lebih tertib dan halus boleh digunakan untuk menyatakan pandangan dan menghimpunkan 1001 suara dari seluruh negara melalui blog.
Selepas ini kelak, pastinya pihak berkenaan akan memantau lebih ketat akan perkembangan blog-blog dari seluruh negara untuk mengetahui suara-suara rakyat Malaysia yang sudah celik IT dan celik maklumat yang telah berjaya melemahkan dan menumbangkan kekuasaan mereka. Keprihatinan pihak tersebut sangat dialu-alukan dan bertindaklah dengan bijak dan rasional dalam menghadapi para bloggers ini kerana mereka bukanlah golongan yang fanatic dan konservatif. Berilah peringatan kepada ketua-ketua atau pemimpin-pemimpin masing-masing supaya jangan bongkak, angkuh, sombong dan suka membuat tuduhan serta fitnah terhadap rakyat yang lemah tidak berdaya.
Kerana kini rakyat Malaysia tidak lagi hanya bersatu pada sukan, riadah, perayaan dan aktiviti kebudayaan saja, tapi rakyat kini boleh menjadi lebih bersatu melalui alam maya, bersatu dalam pemikiran, bersatu menyampaikan suara hati, bersatu mengemukakan idea, bersatu memberi pandangan, bersatu untuk berkongsi perasaan dan bersatu tekad melalui luahan kata-kata yang disampaikan melalui blog dan forum internet. Kuasa rakyat melalu suara hati di dalam blog dan forum kini mula berkembang pesat dan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dijangka akan lebih pesat lagi bilamana banyak laman-laman social yang menghimpun lebih ramai rakan dan taulan bukan saja dari kalangan rakyat Malaysia malah dari seluruh dunia.
Seharusnya mereka yang yang mendapat kuasa melalui saluran demokrasi berperlembagaan yang mengiktiraf kebebasan bersuara dan hak rakyat harus sedar bahawa kini bukan lagi zaman 60an, 70an, 80an atau 90an. Sekarang adalah zaman millennium, zaman ledakan maklumat, zaman di mana seluruh penduduk bumi boleh berkongsi pengalaman, berkongsi rasa dan berkongsi ilmu. Sehinggakan ada yang menyalahgunakannya untuk berkongsi apa saja untuk menyebarkan perkara yang buruk dan berunsur maksiat. Walau bagaimanapun, inilah dikatakan dunia, setiap manusia tidak sama sifat dan sikapnya.
Kalau tidak dicipta pisau atau parang, bagaimana nak potong ikan atau kayu yang keras untuk makanan dan kegunaan manusia. Hanya bila ia jatuh pada orang yang salah maka ianya memudaratkan hingga boleh mencedera dan membunuh orang lain. Namun dalam membela dan mempertahankan diri, kita terpaksa juga menggunakannya untuk menjatuhkan orang yang zalim dan tidak adil. Jika tidak demikian, orang yang lemah akan terus ditindas dan dianiaya oleh orang yang angkuh dan gila kuasa untuk mendapatkan segala apa yang dia kehendaki dengan mengorbankan rakyat yang lemah dan tiada kepentingan bagi mereka.
Bicara Buat Yang Menang Dalam Merebut Jawatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan