Berbicara tentang budaya pendidikan di negara kita, dari apa yang saya perhatikan kurang begitu memuaskan dan berada pada tahap yang rendah. Walaupun begitu, saya bincangkan terlebih dahulu secara ringkas peringkat-peringkat bagaimana hendak membentuk budaya pendidikan anak-anak supaya ia menjadi satu amalan yang akan menjadikan seorang anak itu insan yang soleh dan menjunjung budaya menerokai ilmu pengetahuan.
Bagi menyemai budaya pendidikan perlu bermula dari rumah, sejak dari kandungan lagi sehinggalah seseorang anak itu menjadi remaja dan dewasa. Mungkin ada antara anda pernah terbaca mengenai bagaimana seorang ibu boleh mendidik anak dalam kandungannya dengan membaca surah-surah al-Quran dan memperdengarkan bacaan-bacaan tersebut melalui ear phone ke perut si ibu. Amalan sebegini dilakukan setelah anak-anak tersebut sudah cukup sifatnya. Si ibu juga perlu mempunyai emosi yang baik dan amalan kesihatan yang dapat membantu melahirkan anak yang sihat dan cerdas. Begitu juga si bapa perlu memberi sokongan kepada isterinya sepanjang proses kandungan tersebut dan mempunyai amalan-amalan yang baik seperti beribadat, bersedekah, berdoa, membantu orang lain dan sebagainya sehinggalah anak tersebut dilahirkan.
Setelah lahir proses pembelajaran dan pengajaran kepada anak tersebut perlu diteruskan supaya ia menjadi satu budaya untuk menuntut ilmu bila anak kita besar kelak. Anak yang masih bayi perlu diajar dengan komunikasi kerana derianya sedang berkembang. Komunikasi melalui percakapan, jangan beranggapan bahawa bayi tidak faham kerana deria pendengarannya cukup tajam dan peka untuk mengetahui setiap patah ayat apa yang didengarnya. Cubalah kita bercakap dengan bayi kita setiap hari, cakap apa saja yang baik sama ada dengan bahasa kita sendiri atau bahasa Inggeris. Pelbagaikan proses komunikasi kita dengannya sama ada dengan membaca surah al-Quran, menyanyikan lagu, berpantun atau apa-apa saja yang boleh menarik perhatian anak-anak kita. Deria penglihatan bayi juga sedang berkembang dan justeru itu tidak salah sekiranya kita mula mengajarnya ABC atau 123 atau memperlihatkannya dengan gambar-gambar yang boleh mendidiknya lebih awal.
Proses tumbesaran anak akan terus berkembang mengikut peringkat usianya, ketika anak sudah tahu memegang atau menggenggam, sesuatu proses pengajaran sebelum ini boleh dilanjutkan lagi. Jika sebelum ini anak hanya mendengar dan melihat saja tapi kini dia perlu menyentuh apa yang dilihat dan apa yang didengarnya. Ini penting kerana dia akan tahu lebih lanjut lagi apa yang selama ini hanya didengar dan dilihatnya saja. Jangan kita melarang atau memarahinya jika dia hendak mengambil sesuatu kerana tindakan ini sebenarnya boleh merencatkan sikap ingin tahunya. Justeru itulah, ibu bapa perlu menyediakan satu ruang yang boleh menjadi tempat untuk anak-anak ini bermain mengikut kehendak hatinya dan sediakan alat permainannya di samping ibu bapa membimbing apa yang perlu ketika bersamanya.
Anak-anak ketika sudah berumur antara 3-5 tahun sudah tahu bercakap dan banyak bertanya. Biarlah mereka terus bertanya dan kita jawablah dengan berhemah. Pada peringkat inilah budaya pendidikan yang lebih aktif sudah bermula di mana akan wujud satu komunikasi langsung antara ibu bapa dengan anak. Maksud saya ialah apabila kita berkata sesuatu kepada anak, maka anak akan menerima ia sebagai satu yang perlu dia ikuti dan patuhi. Sebagai contoh, bila kita kata jangan mencuri kerana ia satu dosa, kita terangkan apa itu dosa dan apa hukumannya sama ada hukuman di dunia maupun di akhirat. Tunjukkan video atau gambar akibat orang yang mencuri atau melakukan dosa sebagai satu pengajaran kepadanya. Seharusnya anak-anak pada usia ini tidak boleh dibiarkan terkapai-kapai atau tertanya-tanya, dan juga tidak boleh begitu dimanjakan mengikut apa saja kehendak dan kemahuannya, ibu bapa kena beri penjelasan yang sewajarnya agar anak faham. Ketika inilah anak-anak perlu dididik tentang ibadat, tentang amalan-amalan baik, apa yang boleh dan apa yang tak boleh. Ibu bapa perlu kemukakan alasan yang kukuh kepada anak-anak dan memberi penjelasan yang boleh diterima akal, biarpun anak kita itu baru berumur 3 tahun.
Apabila anak-anak kita sudah mula melangkah ke bangku sekolah maka dia akan mengalami satu budaya yang baru dalam pendidikannya. Jika selama ini ibu bapa sebagai guru yang mengajarnya kini guru di sekolah pula yang turut memainkan peranan mendidiknya. Kita tak akan merasa bimbang sekiranya kita telah didik anak apa yang baik dan apa yang buruk semenjak dia berusia 3-5 tahun lagi. Cuma ibu bapa perlu memantau perkembangannya dan mengambil tahu apa yang dipelajarinya dan membantunya dalam proses pembelajaran dan pengajaran yang dia perolehi di sekolah. Sehinggalah dia ke peringkat pendidikan menengah, jika kita terus mengambil tahu apa yang dipelajarinya semestinya anak yang kita didik dengan baik sejak dari kecil lagi akan menghargai kita kerana telah memberi dorongan dan bimbingan sehingga dia menjadi seorang pelajar yang baik dan cemerlang.
Walaupun banyak pengaruh negative di sekelilingnya ketika di bangku sekolah, disebabkan kita telah didiknya tentang apa yang baik dan apa yang buruk disamping kita berterusan mengambil tau tentang dirinya, insyaAllah anak kita akan terpelihara dari ancaman pengaruh negative. Amalan budaya pendidikan yang kita semai sejak dari kandungan lagi akan beterusan sehingga ke dewasa di mana anak-anak ini akan terus ingin tau tentang sesuatu melalui deria penglihatan dan pendengarannya dan berusaha untuk mencapai sesuatu melalui panca indera tulang empat keratnya sehingga dia menemui jawapannya. Selagi belum ditemui apa yang dia hendak tau selagi itulah dia berusaha untuk menerokai ilmu tersebut kerana akalnya sudah terdidik dengan persoalan-persoalan yang perlu dijawab dengan bernas dan munasabah.
Jika masih kanak-kanak dan remaja mereka bergantung kepada ibu bapa untuk apa jua persoalan dan permasalahan dan dibantu dengan sebaik-baiknya sehingga mereka berjaya mencapai apa yang mereka kehendaki menerusi nasihat dan perundingan dengan ibu bapa. Maka setelah dewasa mereka sudah tahu berdikari untuk merungkai persoalan di benak mereka dan menyelesaikan sendiri permasalahan mereka dengan sebaik-baiknya tanpa perlu lagi bergantung dengan ibu bapa, sebaliknya mereka perlu berunding dengan orang lain yang lebih tau dan arif. Pastinya mereka mampu berdikari hasil dari didikan yang sempurna sejak dari kecil lagi.
Adakah budaya sebegini diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat kita? Melihat kepada kualiti graduan yang negara kita hasilkan tidak ramai yang benar-benar boleh berdikari sendiri dan tidak mampu menghadapi cabaran dan persaingan yang sengit. Terlalu ramai yang menganggur dan mengharap untuk bekerja makan gaji dengan majikan. Di sekolah pula pelbagai kes yang tak elok didengar dengan gejala-gejala negative yang merosakkan pemikiran dan masa depan generasi anak-anak kita. Institusi keluarga pula tidak lagi utuh lantaran ibu bapa kini terlalu sibuk mengejar kebendaan dengan sibuk bekerja. Anak-anak dicurahkan dengan kemewahan, bukannya kasih sayang dan bimbingan yang betul. Anak-anak dibimbing oleh pembantu rumah, tv dan rakan-rakan yang belum tentu baik akhlaknya. Kesemuanya tidak lagi dipantau dan dibimbing dengan baik oleh ibu bapa, membiarkan anak-anak dengan karenah dan perilaku masing-masing tanpa nasihat dan teguran yang membina.
Untuk menceritakan panjang lebar tentang perkara ini amat pahit untuk diterima oleh kebanyakan kita. Namun, jika kita mahu terus maju dan memperbaiki diri seharusnya kita perlu terima apa jua pandangan dan pendapat orang lain. Kerana bilamana kita mampu menghimpunkan semua pandangan dan pendapat, fikiran kita akan lebih terbuka kepada idea-idea baru tak kira ia bernas atau tidak hanya kita sendiri boleh memikirkannya secara bijak untuk menerima mana yang baik dan mana yang buruk. Usah khuatir dengan kritikan orang dan takut dengan ugutan pihak berkuasa yang tidak senang hati dengan apa yang kita ungkitkan. Selagi apa yang kita perkatakan itu dapat memperbaiki keadaan yang tidak betul, mereka kena terima ia sebagai satu rasa kekesalan dan tidak puas hati kita sebagai rakyat yang sudah matang dan tahu menilai sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling dalam negara kita.
Saya akan bincangkan lebih lanjut tentang perkara ini bila ada masa terluang, tentang budaya pendidikan yang berlaku dalam negara kita. Mereka yang berkenaan kenalah terima teguran ini dan ambil ia sebagai satu suara rakyat yang perlu diambil kira dalam membuat sesuatu dasar dan keputusan. Bukannya menghukum, menyekat dan mencantas kebebasan berfikir rakyat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan