Custom Search

Reviews Directory

Ahad, 9 Mac 2008

Pandangn Pribadi: BN gagal?

Assalamualaikum,

Salam sejahtera untuk semua rakyat Malaysia, hari ini kita telahpun mendapat keputusan jelas pengundian Pilihanraya Umum Ke-12 yang diadakan semalam 8 Mac 2008. Di mana dapat diperhatikan parti BN telah banyak kehilangan kerusi perwakilan di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri. Lebih mengejutkan ialah ketika usaha bersungguh-sungguh dilaksanakan untuk menawan kubu kuat pembangkang yang diwakili PAS, BN telah kehilangan pegangan pemerintahan ke atas 4 negeri sekaligus. Ini merupakan satu tamparan yang sangat hebat buat BN.

Saya tidak mau mengulas lebih lanjut mengenai kemenangan dan kekalahan kedua-dua belah pihak tersebut kerana saya bukanlah ada ijazah maupun kelayakan akademik berkaitan politik untuk menceritakannya dengan panjang lebar. Apa yang hendak saya sampaikan disini adalah mengenai pandangan peribadi saya sebagai seorang rakyat biasa yang mempunyai akal fikiran yang rasional untuk menilai apa jua kenyataan dan tindakan yang telah dilakukan oleh kedua-dua pihak tersebut selama ini dalam usaha untuk menarik sokongan rakyat biasa yang tak kaya raya, tak berpendidikan tinggi dan tak berpengaruh seperti saya, yang tidak ada apa-apa faedahnya pun untuk mereka melainkan undi dari saya semasa pilihanraya.

Saya berani berterus terang disini kerana inilah medium yang paling ampuh untuk menyatakan pendapat secara jujur dan terbuka tanpa rasa takut dan khuatir akan dianiaya dan teraniaya oleh pihak ‘pembuli siber’ yang mungkin akan jadi pembuli realiti yang tidak senang hati dengan kenyataan rakyat biasa seperti saya yang tidak ada apa-apa kuasa, pengaruh dan harta benda mewah pun. Cuma yang ada hanyalah kuasa kebebasan untuk bersuara. Namun begitu, saya masih tetap untuk menjaga tatatertib dan budibahasa ketika berbicara agar tidak mengeluarkan kata-kata lucah, mengugut ataupun mengancam mana-mana pihak. Apa yang disuarakan hanyalah menunjukkan rasa tidak puas hati dan kritikan membina bagi memperbetulkan apa yang tidak betul kepada mana-mana pihak terutama yang berkuasa dan memegang tampuk pemerintahan dan pentadbiran. Biasanya golongan ini mudah lupa dan mudah gelap mata dengan pangkat, darjat dan kuasa mereka.

Mengapa BN tewas di beberapa negeri dan gagal mendapat majority 2/3 di Parlimen?

Sebagai seorang rakyat biasa peringkat akar umbi dapatlah saya nyatakan pendirian saya sendiri disini :

  • Tindakan pemimpin BN yang mempersenda dan memperlekehkan keupayaan lawan, dengan kenyataan-kenyataan seperti pembangkang hanyalah ‘syok-syok sendiri’ bilamana mengemukakan manifesto dan menyatakan hasrat mereka untuk memerintah Negara telah membuatkan saya sendiri menyampah mendengar kenyataan yang melambangkan kesombongan dan kebongkakan mereka apatah lagi ketika mereka berkata begitu masih dipuncak kekuasaan. Kenyataan berkenaan sebenarnya telah memakan diri mereka sendiri, ibarat meludah ke langit kena muka sendiri.
  • Mereka begitu yakin sekali akan menang besar lebih dari 2/3 sedangkan apa yang mereka lakukan dan perkatakan tidak mencerminkan mereka selesa dengan keyakinan itu. Kalau ikut psikologi, sesuatu yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tertekan kebiasaannya terbalik. Semakin lantang mereka merendah-rendahkan keupayaan lawan bermakna ada sesuatu yang goyah bakal berlaku kerana ia mencerminkan kebimbangan mereka. Maka, untuk tidak menjadikan apa yang mereka bimbangkan itu jadi reality maka tindakan dan kenyataan mereka akan menjadi berserabut dan kelam kabut bagi mempertahankan kedudukan mereka. Mereka akan cuba menghentam lawan mereka dan mempergunakan sepenuhnya jentera dan media yang dikuasai mereka untuk memberi gambaran dan kenyataan mereka kepada umum.
  • Kenyataan bahawa BN akan berusaha memporak-perandakan pakatan pembangkang juga memperlihatkan betapa pemimpin BN bukanlah bekerja untuk rakyat tapi untuk parti mereka sendiri. Dimana dalam keadaan terdesak dan tertekan mereka sedaya upaya untuk memburukkan pembangkang dan memperlihatkan kepada rakyat bahawa pembangkang bukanlah satu parti yang kuat dan bersatupadu. Supaya dengan itu rakyat akan terus menyokong dan memilih BN. Malah diburukkan lagi dengan tindakan penyokong yang melampaui batas. Sedangkan mana-mana pihak pun boleh bertindak menganiaya atau menyamar, misalnya menyalahguna lambang parti lawan kemudian melakukan rusuhan atau kekacauan atau sabotaj dan terus melarikan diri setelah membuat jenayah itu. Jika ada antara rakyat yang sedar akan taktik buruk ini menyatakan mereka akan memporak-perandakan parti lawan, pastinya akan ragu-ragu dengan keikhlasan sebenar BN apatah lagi Pemuda mereka beria-ia benar hendak membantu dan menggunakan khidmat Mat Rempit. Sudah tentu saya syak akan berlaku tindakan baling batu sembunyi tangan.
  • Penggunaan media perdana seperti TV, suratkhabar dan majalah oleh BN untuk berusaha mempengaruhi pemikiran rakyat. Media-media ini akan membuat ulasan yang lebih lanjut dan memperlihatkan kenyataan-kenyataan pemimpin BN yang bersifat emosional dan memperlekeh atau merendah-randahkan keupayaan pembangkang. Kenyataan pemimpin lawan pula diambil sekerat-sekerat mengikut bagaimana mereka boleh memanipulasikan kenyataan tersebut. Apabila ini disebarkan secara meluas maka rakyat umum akan dapat mengetahui dan dapat membuat penilaian dengan pemikiran yang kritikal. Tidak semua rakyat itu mudah diperdaya dan dimomokkan dengan kenyataan-kenyataan yang berunsur mengugut, menghina dan cuba memperbodohkan pemikiran majority rakyat yang berpendidikan setakat SPM dan PMR. Walaupun ada juga ditunjukkan dan diulas tentang program-program pembangunan dan kejayaan projek-projek pembangunan sebelum ini oleh parti memerintah, ia bukanlah satu soal penentu muktamad yang akan menarik perhatian rakyat keseluruhannya.
  • Antara perkara yang turut diambilkira ialah soal keperibadian, latarbelakang, sikap dan kepercayaan terhadap pemimpin terbabit untuk berkhidmat dengan ikhlas, jujur dan bertanggungjawab. Apa yang diperkata, apa yang telah dibuat dan apa yang didedahkan tentang penyelewengan mereka akan menimbulkan rasa syak dan ragu-ragu. Apatah lagi sekiranya pendedahan itu melibatkan bukti yang jelas tentang kejelekan sikap dan perbuatan mereka di belakang pengetahuan rakyat umum. Kegagalan mereka memberi penjelasan yang memuaskan untuk mempertahankan diri mereka dari tohmahan itu akan memperkukuhkan lagi bahawa apa yang didedahkan itu adalah benar dan takkan dapat disembunyikan lagi.
  • Apabila timbul rasa tidak puas hati terhadap barisan kepimpinan sedia ada, tiada tindakan sewajarnya dilakukan oleh kepimpinan utama untuk merombak semula atau menggantikan pemimpin tersebut dari kalangan mereka yang betul-betul berkelayakan. Setelah jelas pemimpin tersebut merosakkan imej Negara dengan kenyataan yang kelam kabut dengan penggunaan bahasa Inggeris yang teruk dan tergagap-gagap. Tindakan terburu-buru menghantar wakil permohonan maaf kemudian setelah disiasat bukanlah rakyat asing. Ini sangat memalukan dan mencerminkan kepimpinan Negara yang tidak professional dalam menjalankan tugas sehingga boleh merendahkan martabat Negara di mata dunia sekiranya diperhati dan diketahui oleh masyarakat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia tentunya saya sangat malu juga mempunyai pemimpin Negara seperti ini. Sepatutnya pemimpin sebegini perlu digugurkan dari memegang jawatan tersebut dan digantikan oleh pemimpin lain yang lebih berkelayakan.
  • Soal prinsip dimana terdapat kecenderungan dikalangan pemimpin BN yang melanggar prinsip. Saya tidak menyentuh tentang prinsip-prinsip khusus misalnya prinsip RUKUNEGARA, tapi prinsip yang umum yang perlu ada sebagai manusia amnya dan sebagai muslim khususnya. Sebagai manusia pemimpin perlu bersikap terbuka dan tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak apabila berlaku masalah dalam Negara. Mereka tidak boleh menyalahkan rakyat atau menyindir rakyat malas dan tidak bersungguh-sungguh bekerja meningkatkan pendapatan semata-mata nak mempertahankan keputusan mereka menaikkan harga minyak dan mengurangkan subsidi. Pada saya, mereka seolah-olah telah menghukum rakyat terutama dari kalangan berpendapatan rendah dan tidak bekerja tetap dan menuduh golongan ini pemalas. Rakyat mana yang tidak marah bila dikatakan begitu.
  • Kalau benar selama ini banyak peluang diberikan dan bantuan pula tidak mengharapkan balasan atau bayaran balik sudah tentunya akan lahir ramai rakyat walaupun tidak begitu cemerlang dalam pendidikan dapat membantu memperbaiki diri sendiri memulakan perniagaan sendiri walaupun dijalankan secara kecil-kecilan namun tersusun dan boleh berkembang dalam jangkamasa panjang. Disokong pula oleh persatuan-persatuan dan badan-badan perniagaan misalnya koperasi yang membekalkan produk untuk dijual oleh ahlinya kepada masyarakat. Pemerintah boleh membuat skim pinjaman lot kedai di bangunan komersil di Bandar-bandar atau pekan-pekan yang giat membangun dengan bayaran bulanan yang mampu dibayar sehingga berpuluh tahun, sehingga perniagaan itu boleh diwarisi pula oleh anak cucu akan datang. Sekiranya keuntungan pemilik mencapai berlipat kali ganda bolehlah diselesaikan segera pembayarannya tanpa perlu menunggu tempoh yang ditetapkan.
  • Sementara itu ibubapa turut disalahkan apabila kini berlaku banyak gejala social dikalangan remaja. Ibubapa disalahkan tidak tahu mendidik dan mengasuh anak-anak. Ibubapa disalahkan tidak tahu menjaga kanak-kanak bila berlaku penculikan dan kehilangan kanak-kanak yang kian berleluasa kini. Bila saya telitikan, begitu banyak unsur-unsur yang merosakkan pemikiran remaja yang disajikan setiap hari menerusi media massa dan elektronik. Budaya hiburan yang melampau dengan konsert-konsert dan lessen diberikan kepada pusat-pusat hiburan dan perjudian yang menjadi tumpuan anak muda. Usaha untuk mengurangkan unsur-unsur yang boleh mengurangkan penjenayah tidak digiatkan sebaliknya gaya hidup dan pengaruh budaya kuning menyuburkan lagi kelahiran penjenayah-penjenayah baru di Negara ini.
  • Dalam menentukan dasar Negara ia hendaklah seiring dengan prinsip yang diamalkan. Jika prinsip perlembagaan menetapkan bahawa bahasa melayu sebagai bahasa utama dan bahasa kebangsaan dan perpaduan apa-apa dasar berkenaan bahasa melayu perlu selari dengan prinsip tersebut. Jika dasar pendidikan dalam pengajaran sains dan mate dibuat dalam bahasa inggeris ini telah melanggar prinsip asas yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama dalam perlembagaan. Apakah tiada langsung cara lain untuk memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa inggeris tanpa melanggar prinsip tersebut.
  • Prinsip sebagai seorang pemimpin muslim pula hendaklah jujur, ikhlas, tidak berbohong, tidak menyembunyikan sesuatu yang patut diketahui oleh rakyat, tidak memperdayakan rakyat dan memperbodoh-bodohkan rakyat. Rakyat akan faham sekiranya jawapan yang diberikan oleh seorang pemimpin yang menjawap tohmahan lawan itu relevan dan rasional, boleh diterima tanpa menimbulkan tanda soal yang meragukan. Lebih teruk persoalan itu terus dibiarkan begitu saja sebaliknya cuba menimbulkan perkara baru pula untuk mengalih perhatian rakyat. Pemimpin yang berprinsip tentu akan dihormati, disanjungi, dipercayai dan diyakini oleh rakyat. Rakyat tidak akan tawar hati sekiranya prinsip ini dipegang oleh seorang pemimpin yang berbudi dan berakhlak mulia dengan menghormati hak dan pandangan orang lain.

tulah antara pandangan peribadi saya sebagai seorang rakyat biasa, rakyat bawahan yang tiada kuasa, tiada pengaruh dan tiada apa-apa jawatan tinggi pun, yang menentukan mengapa kepimpinan BN tidak lagi diterima secara menyeluruh oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan taraf hidup. Pihak-pihak berkenaan perlu menerima pandangan ini secara hati yang terbuka tanpa rasa benci, tanpa emosional dan tanpa berniat hendak mengenakan tindakan terhadap mana-mana blogger seperti saya semata-mata hendak menutup mulut saya supaya jangan lagi berbicara tentang perkara ini secara terbuka melalui blog. Tindakan itu bukanlah satu yang professional, mereka mesti mendengar pandangan rakyat bawahan seperti saya walaupun pahit untuk diterima.

Mereka mesti berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri mereka, ketua mereka pula mesti memilih perwakilan yang bakal menjadi menteri dari kalangan yang benar-benar berkelayakan bukan saja dari segi taraf pendidikan tetapi juga akhlak yang baik dan keimanan mereka sekiranya pemilihan dibuat dari kalangan muslim. Mereka patut berterima kasih kepada rakyat seperti saya kerana berterus terang menyatakan kelemahan mereka. Blogger-blogger seperti saya adalah cermin untuk mereka perhatikan tentang siapa diri mereka dan bagaimana penerimaan seorang rakyat terhadap gaya kepimpinan mereka.

Diharap mereka sedar dan insaf akan kesilapan ini, janganlah terlalu bongkak dan sombong dan menyangka kekuasaan akan terus berada dalam genggaman mereka sehingga sanggup bertindak sesuka hati tanpa pertimbangan yang wajar sebelum membuat kenyataan dan mengambil tindakan yang melibatkan kepentingan dan hak rakyat.

Tiada ulasan: