Biar Miskin Harta, Jangan Miskin Minda
‘Biar miskin harta jangan miskin minda’, itulah ungkapan pujangga yang selalu kita dengari apabila menceritakan tentang betapa tingginya kedudukan minda dan pemikiran seseorang. Tidak dapat disangkal atau dinafikan peranan minda di dalam mencanai dan membentuk peribadi, akhlak, kelakuan dan sikap seseorang. Jika ingin melihat nilai minda atau akal seseorang itu lihatlah pada kelakuan, tutur kata dan tingkah lakunya. Malah ia mencerminkan keseluruhan peribadi dan keturunannya. Maka mengayakan minda adalah menjadi tanggunglawab diri kita sendiri, tambah-tambah lagi kepada generasi yang akan datang iaitu anak-anak kita.
Ramai yang tidak mengetahui bahawa minda juga perlu disemai, dibaja, disiram dan disantap dengan perkara-perkara yang baik dan sensitif. Janganlah membuang masa berfikir tentang hal- hal yang remeh-temeh. Sebaliknya gunakanlah segenap ruang yang ada untuk memikirkan tentang bagaimana anda mahu memperbaiki arah hidup anda dan masa depan keluarga anda. Jadi, apakah perancangan anda? Bagaimanakah anda mampu menggunakan segala kekuatan dan keajaiban minda ini untuk merealisasikan impian anda terutamanya untuk menjadi kaya.
Perkara pertama yang paling penting adalah bersedia untuk berubah pemikiran kerana apabila anda menukar cara pemikiran, maka anda akan mengubah cara hidup. Belajar untuk mengadaptasi perkara-perkara baru di dalam kehidupan. Bukalah minda anda seluas-luasnya. Lihat betapa luas dan indahnya dunia ini serta belajarlah menghormati kehidupan disamping menikmatinya.
Tengok apa bezanya diri kita dan orang lain dari segi kualiti kehidupan. Dapatkan sedikit inspirasi dan semangat daripada orang-orang yang tepat. Belajar melihat sesuatu benda dan perkara dengan mata hati akan membuatkan anda berasa dan mula berfikir. Lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutamanya belajar mengenai perkara-perkara baru yang dapat merangsang minda dan jiwa anda. Berikan sedikit kesegaran kepada bank info anda.
Tukarkan juga gaya pemikiran anda seperti siapa yang anda mahu jadi. Andai anda mahu jadi ‘tauke’ maka berfikirlah cara ‘tauke’ bukan berfikir cara ‘kuli’. Begitu juga dengan aliran pemikiran anda, pastikan ia sentiasa pada mood ‘positif’. Minda perlu sentiasa cantik dan penuh optimis terhadap apa jua yang anda rencanakan.
Cetuskan idea-idea yang bernas dan kreatif. Pada zaman ini, idea- idea adalah terlalu mahal dan berharga. Malah idea-idea yang bernas ini mampu menandingi kepandaian seseorang. Buka minda dan mata dengan melihat lebih banyak benda serta perkara. Pengalaman adalah guru dan ilmu terbaik untuk anda memperbaiki diri kerana melaluinya, kesedaran dan ilham akan timbul, jika boleh mencari kelainan dan mempunyai kelebihan tersendiri, anda akan menjadi lebih hebat daripada orang lain yang anda pernah lihat.
Mempunyai strategi dan perancangan teliti juga penting untuk mencerminkan anda kaya minda dan kalau boleh biarlah ia berskala besar. Ini juga menunjukkan anda sudah pun berfikir daripada segenap sudut tentang keuntungan dan risikonya. Ia membuatkan anda lebih bersedia.
Dan akhir sekali yang terpenting adalah sikap dan mentaliti anda. Orang yang kaya minda selalunya mencerminkan peribadi dan akhlak terpuji, bermurah hati, penuh dengan kasih sayang dan puji-pujian. Orang yang kaya mindanya hanya akan lihat pada kelebihan orang lain bukan kelemahan orang itu. Orang kaya minda akan menjaga kata tuturnya agar tidak menyakiti hati orang lain. Orang kaya minda juga akan sentiasa senyum walaupun dalam kesusahan dan kesempitan. Orang kaya minda akan hormat dan menyayangi dirinya sendiri.
Kaya atau miskin, hanya kita yang mampu mengubah nasib kita. Segalanya di dalam tangan dan minda kita. Namun sealunya yang miskin akan memberi pelbagai alasan dan yang kaya akan memberi seribu jalan, renungkanlah, tingkatkan potensi minda anda semaksimumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan