Kata bijak pandai kalau sesuatu itu dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, pasti suatu masa kelak tanpa disangka-sangka dia akan mendapat ganjaran yang setimpal yang dia sendiri tak tau apakah bentuk ganjaran itu, bila dan dimana.
Bagi melahirkan pelajar universiti yang mampu mencapai taraf cendiakawan memerlukan satu sokongan yang kuat bukan saja dari segi kewangan tapi juga dorongan dan juga persekitaran yang menyokong budaya keilmuan dan berfikir secara kritikal. Kalaulah hendak belajar di universiti pun sudah berhutang dengan pinjaman pendidikan pastinya konsisten fikiran pelajar agak terganggu dan tekanan akan berlaku untuk belajar bersungguh-sungguh supaya mencapai keputusan yang cemerlang. Dengan itu, bila tamat pengajian kelak mereka berharap mendapat pekerjaan yang baik dan diterima oleh majikan supaya dapat melangsaikan hutang pinjaman pendidikan itu.
Mungkin ada yang berpandangan bahawa sekiranya bantuan kewangan pendidikan diberikan secara percuma akan melalaikan pelajar tersebut dan menyebabkan dia tak bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh kerana bantuan tersebut tak perlu dibayar balik. Ayuhlah, jangan lagi kita berfikiran sempit, jangan mandulkan pemikiran kerana sekiranya bantuan pendidikan diberi percuma bermakna ia adalah satu penghargaan dan amanah besar yang diberikan oleh mereka yang memberi bantuan supaya pelajar bila tamat pengajian dapat membayar balik dengan kelulusan dan kelayakan mereka untuk menjadi seorang saintis, jurutera, ahli falsafah, astronomi dan pelbagai lagi bidang lain. Dengan itu, diharap mereka boleh memberi sumbangan kepada negara, bangsa dan agama melalui hasil ciptaan dan kajian mereka.
Jika cendiakiawan ini terhasil mereka akan mencipta sesuatu yang akhirnya akan menguntungkan negara juga untuk jangka masa yang lebih panjang. Jika cendiakiawan ini berjaya mencipta teknologi baru, teknologi ini akan menjadi sumber pendapatan negara ataupun menjadi nadi kepada penghasilan sumber pendapatan negara. Dari situlah, pelajar ini akan membayar segala kos pendidikan yang diberi percuma dahulu dengan hasil-hasil yang memberi pulangan berlipat kali ganda kepada negara. Pastinya pelajar itu juga akan mendapat pulangannya sendiri secara peribadi.
Jangan terlalu berburuk sangka kepada generasi muda, tidak yakin dengan kemampuan mereka menyebabkan tidak mahu memberi bantuan pendidikan tinggi secara percuma. Sekiranya mereka dibentuk dan didorong dengan betul pastinya mereka tidak akan menyeleweng dan menyimpang dari jalan yang lurus. Mereka mesti diberi kepercayaan, dan kepercayaan terhadap mereka disampaikan melalui bantuan pendidikan atau biasiswa pengajian tinggi ke universiti. Sesuatu yang diusahakan secara ikhlas, dibuat secara jujur dan beramanah akan menghasilkan kejayaan yang baik. Mereka pasti akan menghargai kepercayaan itu dengan menjadi cendiakiawan yang akan berbakti dan memberi pulangan kepada negara, bangsa dan agama.
Tapi hari ini, amat malang sekali kerana amalan dan budaya sebegini tidak lahir dalam jiwa mereka yang berkemampuan atau berkuasa untuk membantu dan membimbing mereka. Sebaliknya mengambil kesempatan untuk menjadikan ia satu perniagaan yang menguntungkan atau satu modal untuk mereka dilihat sebagai pihak yang prihatin terhadap kesusahan mereka untuk mendapatkan belanja bagi pengajian pelajar universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan