Custom Search

Reviews Directory

Jumaat, 28 Mac 2008

Sejarah Awal Jerman

Bagi pengunjung blog yang ingin mengetahui Sejarah negara Jerman, disini saya sertakan satu artikel berkaitan kewujudan sebuah negara Jerman yang sememangnya merupakan sebuah negara yang sudah menunjukkan kekuatan dan ketekunan rakyat dan pemimpinnya sejak dari dulu lagi. Artikel-artikel ini akan dibahagikan 3 bahagian iaitu :


Sesebuah negara mempunyai ciri-ciri tertentu seperti sempadan, perlembagaan, bahasa yang seragam, ideologi dan kebudayaannya sendiri. Ciri-ciri ini tidak wujud dengan sendirinya. Sesebuah negara adalah dibentuk dan diwujudkan oleh rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka. Pembentukan negara Jerman adalah sebagai satu contoh. Jerman sekarang adalah sebuah negara yang bersatu dan mempunyai banyak ciri-ciri kenegaraan. Jerman bukan merupakan sebuah negara yang bersatu hinggalah lebih kurang 100 tahun yang lalu. Pembentukan Jerman sebagai sebuah negara yang bersatu adalah hasil usaha Bismarck, seorang pemimpin Jerman.

Sejarah awal negara Jerman

Sebenarnya, negara-negara mula dibentuk dalam kurun ke-17. Negara-negara di Eropah mempunyai sempadan tertentu, raja-raja dan semangat nasionalisme yang ditunjukkan oleh rakyat. Bagaimanapun negara Jerman seperti yang kita kenali sekarang ini belum lagi wujud pada masa itu. Sebelum kurun ke-l9 Jerman mempunyai lebih kurang 360 buah negeri kecil. Tiap-tiap negeri membentuk kerajaannya sendiri dan negeri-negeri ini diperintah sebagai sebuah negeri yang bebas.


Bagaimanapun keadaan ini mula berubah pada permulaan kurun ke-l9. Seluruh Eropah telah ditakluk oleh Peranchis. Seorang pemimpin tentera telah menjadi pemimpin Peranchis pada tahun 1804. Dia ialah Napoleon Bonaparte. Jerman telah ditakluki dan diduduki oleh tentera Peranchis. Dalam masa pendudukan Peranchis, Napoleon telah menyusun semula struktur negeri Jerman. Ia telah mengurangkan bilangan negeri-negeri di Jerman dengan mencantumkan negeri-negeri yang kecil. Bagaimanapun permerintahan Napoleon di Jerman tidaklah lama. Ia telah dikalahkan oleh satu pakatan negara-negara Eropah pada tahun 1815. Selepas itu pemimpin-pemimpin di Eropah telah mengadakan satu persidangan dinamakan Kongres Vienna.


Kongres Vienha 1815

Dalam masa pemerintahannya di Eropah, Napoleon telah menurunkan raja-raja dan takhta mereka dan juga mengubah sempadan negeri-negeri Eropah. Tujuan Kongres Vienna ini ialah untuk mengembalikan semula kedudukan sempadan kepada asalnya iaitu seperti sebelum penaklukan Napoleon. Takhta-takhta kerajaan telah juga dikembalikan kepada raja-raja yang berhak dan sempadannya juga telah dikembalikan seperti dahulu. Bagaimanapun keadaan di Jerman tidaklah kembali seperti sediakala. Bilangan negeri-negeri telah dikurangkan. Jerman telah dibahagikan kepada 39 buah negeri. Negeri-negeri ini telah dipanggil Pergabungan Negara Jerman. Ia adalah sebuah persekutuan yang terdiri dari semua negeri-negeri kecil itu.


Bagaimanapun anda tidak boleh menganggap ini sebagai satu persekutuan seperti negara kita hari ini. Persekutuan Malaysia mempunyai satu kerajaan pusat yang kuat. Pergabungan Jerman adalah longgar. Tiap-tiap negeri mempunyai raja, putera atau Duke mereka sendiri. Negeri-negeri ini mengekalkan kedaulatan mereka. Daripada 39 buah negeri ini, yang terbesar ialah Prussia dan Austria. Lain-lainnya ialah termasuk Bavaria, Hanover, Wurtemberg dan Saxony. Di antara semua negeri ini Austria yang terkenal sekali, dan oleh itu pemimpin Austria telah dijadikan ketua Pergabungan Negara Jerman itu.Di negara-negara Eropah, bentuk pemerintahannya ialah pemerintahan raja-raja mutlak. Pada tahun 1848, beberapa pemberontakan telah berlaku di seluruh Eropah. Rakyat menuntut kebebasan yang lebih dari raja-raja mereka. Jerman juga turut terlibat.


Pemberontakan 1848 di Jerman

Di kebanyakan negeri-negeri Jerman, pemimpin-pemimpin tempatan telah menuntut kebebasan akhbar dan bercakap, serta satu bentuk perlembagaan dari raja-raja mereka. Selama daripada tuntutan-tuntutan untuk kebebasan, pemberontakan tahun 1848 di Jerman mempunyai satu ciri yang lain. Ramai orang, terutamanya dari kalangan peniaga-peniaga, mahukan semua negeri-negeri di Jerman disatukan. Peniaga-peniaga ini berpendapat bahawa jika negeri-negeri ini disatukan, ekonomi negara akan maju dengan lebih pesat lagi. Lebih kurang 500 orang pemimpin tempatan dari semua negeri di Jerman telah bersidang di Frankfurt pada bulan Mei 1848. Tujuan mereka ialah untuk membentuk satu perlembagaan bagi sebuah negara Jerman yang baru dan bersatu.


Bagaimanapun pertelingkahan mula berlaku mengenai beberapa perkara. Siapakah yang akan menjadi raja? Patutkah Austria dimasukkan ke dalam negara baru ini? Masalah-masalah ini tidak dapat diselesaikan dan akhirnya Perhimpunan Frankfurt tidak mencapai sebarang hasil pun. Ini adalah pecubaan pertama untuk menyatukan Jerman. Penyatuan Jerman akhirnya telah diusahakan oleh sebuah negeri, iaitu Prusia.

Prussia

Prussia adalah salah sebuah dari 39 buah negeri dalam Pergabungan Jerman. Dalam kurun ke-17 Prussia sendiri adalah terdiri dari beberapa buah negeri kecil. Negeri-negeri ini telah disatukan oleh seorang Prusia, Frederick William, di antara tahun 1640 dan 1688. Anaknya telah mengambil gelaran Frederick I dan menjadi raja Prusia dengan rasminya pada tahun 1701. Salah seorang dari pemimpin Prusia yang terkenal ialah Frederick II yang memerintah dari tahun 1740 hingga 1786. Ia juga dikenali sebagai Frederick Yang Gagah. Ia telah menjadikan Prusia sebagai sebuah negeri yang kuat dan terkenal, jika dibandingkan dengan lain-lain negeri di Jerman. Ia telah menubuhkan sebuah angkatan tentera yang kuat, berdisiplin dan lengkap. Angkatan tenteranya adalah


Prussia
yang paling lengkap di Eropah pada masa itu. Frederick Yang Gagah telah meluaskan jajahan Prussia. Bagaimanapun ia tidak dapat menyatukan negara Jerman. Penyatuan hanya berlaku lebih kurang 100 tahun setelah Frederick meninggal dunia. Orang yang bertanggungjawab menyatukan Jerman ialah Otto Von Bismarck.


Lagi artikel berkaitan Jerman
Penyatuan Negara Jerman
Pembentukan Jerman Moden
Tentang Jerman dan Jepun

Tiada ulasan: