Custom Search

Reviews Directory

Isnin, 3 Mac 2008

Polis Ronda Jalan Kaki

Saya tertarik dengan satu cadangan pihak tertentu yang prihatin dengan masalah jenayah dan gejala social yang semakin berleluasa sekarang ini, untuk menjadikan anggota Polis di negara kita seperti mana yang terdapat di England. Di sana anggota polis menjalankan tugas rondaan dengan berjalan kaki. Di negara kita rasanya ada anggota sedemikian tetapi ia bukanlah anggota polis peronda sebaliknya merupakan anggota polis pelancong dengan topi yang bergaris petak-petak.

Menurut penjelasan pihak berkenaan, polis peronda berjalan kaki banyak kebaikannya. Ia bukan saja merapatkan hubungan dengan masyarakat malah membolehkan tugas rondaan dijalankan dengan lebih efisyen lagi. Ini kerana ketika meronda, anggota polis berkenaan boleh mengenalpasti sesuatu pergerakan atau aktiviti yang mencurigakan dengan lebih dekat. Berbanding dengan meronda menggunakan kenderaan tentunya sesuatu pergerakan atau aktiviti yang mencurigakan sukar dikesan lantaran duduk memerhatikan saja di dalam kenderaan yang sedang bergerak dan sukar untuk memerhati gerakan yang mencurigakan.

Pada pandangan saya, polis peronda berkenderaan masih lagi diperlukan tapi tidak perlu digunakan sepenuh masa. Sebaliknya digunakan dalam keadaan yang bersiap sedia saja sekiranya terdapat panggilan atau laporan dari anggota peronda pejalan kaki yang memerlukan bantuan anggota polis kereta peronda. Dalam keadaan penjenayah yang tidak sedar akan kehadiran anggota polis peronda berjalan kaki, anggota polis berkenaan boleh mengintip pergerakkan mereka sambil menghubungi polis peronda berkereta untuk bersiap-sedia sekiranya penjenayah berkenaan cuba melarikan diri dengan kenderaan.

Anggota preman atau polis yang tak berpakaian seragam berbeza dengan anggota polis peronda berjalan kaki. Anggota preman digunakan sebagai penyiasat atau penyamar bagi mendapatkan maklumat dan membuat serbuan mengejut. Anggota polis peronda berjalan kaki akan meronda sepanjang masa di dalam kawasan rondaannya mengikut jadual giliran bertugas. Pastinya apabila terdapat anggota polis yang berjalan meronda dapat memastikan kawalan keselamatan terjamin kerana ianya lebih berkesan untuk memantau sesuatu kawasan dengan lebih terperinci.

Sudah tentu apabila meronda secara berjalan kaki akan mendedahkan diri anggota polis berkenaan kepada tindak balas penjenayah atau diintai oleh penjenayah. Apatah lagi sekiranya penjenayah terbabit menggunakan senjata api. Sebagai pasukan yang professional pastinya mereka boleh membuat andaian apakah ancaman yang bakal dihadapi oleh anggota berkenaan semasa bertugas secara terbuka. Maka, disinilah pentingnya penggunaan teknologi seperti baju kalis peluru dan senjata khas yang lebih spesifik untuk pertempuran dalam bandar besar yang sibuk. Bukan setakat penggunaan teknologi saja malah strategi dan taktik pertempuran dengan penjenayah di dalam bandar perlu ada pada seorang anggota polis berjalan kaki. Disamping hubungan baik dengan masyarakat setempat di dalam kawasan kawalannya, sudah tentu akan memudahkan anggota polis mendapat maklumat.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, terdapat satu usaha untuk memantapkan lagi tugas rondaan di dalam bandar besar menggunakan teknologi pesawat mikro GPS tanpa pemandu yang boleh dikawal dari pusat kawalan jarak jauh. Pada dasarnya teknologi itu digunakan untuk pihak tentera namun ia juga diaplikasikan untuk kegunaan polis bandaraya dan kota metropolitan. Teknologi berkenaan boleh membuat rondaan tanpa khuatir ia akan terhempas terlanggar dinding bangunan kerana ia sememangnya dicipta dapat mengesan halangan dan melihat sekeliling menggunakan kamera resolusi tinggi.

Mungkin negara kita belum lagi mampu berbuat demikian lantaran kosnya yang terlalu mahal dan pengetahun teknologi berkenaan belum sampai pada kita. Namun, apa yang boleh dipraktikkan adalah dengan membuat rondaan secara berjalan kaki dan dilindungi dengan perkakasan yang sesuai ketika menjalankan tugas. Supaya dengan itu anggota polis berkenaan mempunyai perlindungan yang mencukupi dengan system persenjataan yang lebih praktikal dalam keadaan yang tak terduga.

Zaman sekarang merupakan zaman maklumat, maka itu seseorang anggota peronda pejalan kaki merupakan pencari maklumat dan pemantau keselamatan setempat. Dengan bantuan teknologi maklumat yang sesuai dapat membantunya melaksanakan tugas menjejak dan menyampaikan maklumat penting dengan segera ke pusat kawalan untuk tindakan lanjut. Bermakna anggota polis berjalan kaki adalah barisan hadapan rakyat dalam menghadapi ancaman jenayah di tempat awam. Kalau dalam tentera ia dikenali sebagai langkah menjejak musuh sebelum musuh itu menyerang.

Tapi, sejauh manakah keberkesanan peranan polis dalam negara kita sekarang ini, saya sendiri belum pernah melihat polis berpakaian seragam membuat rondaan dengan berjalan kaki secara berkumpulan di tempat-tempat awam. Yang sering saya nampak hanyalah kereta polis meronda ke hulu ke hilir berulang-ulang, disamping polis traffic membuat rondaan untuk mencari pesalah dikalangan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal.

Mungkin saya tidak sedar ada kalangan polis yang menyamar sebagai orang awam mencari maklumat dan penjenayah yang dikehendaki. Walau bagaimanapun, cadangan untuk mewujudkan polis peronda berjalan kaki merupakan satu usaha yang lebih praktikal untuk merapatkan hubungan antara rakyat dan penduduk setempat dengan anggota polis. Dimana polis dapat menjaga keselamatan awam dengan lebih terkawal dan masyarakat setempat pula dapat memberi maklumat secara bersemuka di tepi jalan saja sekiranya terserempak dengan aktiviti yang mencurigakan. Jadi, tidak perlu lagi ke pondok-pondok polis berdekatan untuk membuat laporan kerana dengan adanya polis yang meronda berjalan kaki maka sesiapa saja boleh berjumpa dengan anggota polis tersebut untuk membuat laporan.

Bukan sekadar itu saja, polis yang berjalan kaki tentunya akan menemui lubuk-lubuk jenayah dan lokasi-lokasi masalah social seperti tempat penagih dadah, penghidu gam, pengedar pil, tempat tumpuan pelajar ponteng dan melepak. Bahkan polis berjalan kaki juga boleh memasuki premis-premis seperti pusat hiburan, siber kafe, pusat membeli belah, lorong-lorong terpencil dan dimana-mana saja lokasi tertutup di dalam bandar. Semua itu adalah untuk memastikan tiada anasir-anasir jahat yang boleh mengancam ketenteraman awam dan mengganggu keharmonian penduduk setempat.

Walau bagaimanapun, sejauh mana cadangan ini dapat dilaksanakan? Perlu ada usaha untuk mendapatkan maklumat dan belajar dari pengalaman polis bandaraya England yang membuat rondaan secara berjalan kaki. Mungkin penjenayah sekarang melihat ruang untuk mereka melakukan jenayah ada dan tiada kawalan terperinci serta pemantauan 24 jam oleh polis yang hanya meronda di tempat-tempat terbuka dan melalui jalan raya utama saja. Janganlah hanya menjaga secara teliti dari ancaman pendemonstrasi jalanan sahaja, sebaliknya jagalah keselamatan rakyat secara teliti dengan turun padang dan berjalan sama seperti orang awam di tempat awam.

1 ulasan:

maer wan berkata...

salam hormat saudara akaipc, di sini, ingin saya menurunkan beberapa cadangan dan pemerhatian. diharapkan tiada akta dan apajua sekatan diberikan atas cadangan/ pandangan ini. antaranya ialah:

1. untuk skuad yang mobil, iaitu rondaan polis berjalan kaki, pastikan ada sekurang-kurangnya 4 orang polis yang berjalan dalam suatu kumpulan. tujuannya? dapat membantu memastikan keselamatan peronda, dan jua untuk mengurangkan risiko penawaran & penerimaan rasuah. contohnya, di australia, rondaan 4 org polis pejalan kaki / berkuda boleh dilihat di bandar2 mereka..

2. jika kekurang pegawai polis untuk meronda, cadangan mungkn boleh dikemukakan agar dikurangkan polis2 yang menjadi pengapit / konvoi para VIP. kenapa? kerana jika jenayah berkurangan disebabkan polis2 ini dapat digunakan untuk melindungi masyarakat awam, masyarakat awam sendiri akan membantu para VIP dari segi keselamatan. afterall, para VIP ialah calon yang diundi dan dipilih oleh rakyat, jadi yang dipilih haruslah melindungi si pemilih, dan bukan sebaliknya..

3. jika masih terdapat kekurangan jumlah pegawai polis, mungkin perlu diadakan suatu sistem di mana sistem rondaan bagi beberapa kawasan tertentu diserahkan kepada pegawai2 keselamatan yang meronda bagi menjaga kawasan2 tertentu, seperti kawasan komersil. contohnya, bagi kawasan CBD (Central Business District of KL), beberapa kompeni besar yang berkepentingan mungkin patut menggajikan pelatih2 yang telah melepasi ujian untuk menjadi polis. jadi, dengan itu, tanggungjawab keselamatan boleh digalas bersama oleh polis, komuniti dan kompeni2 (seperti yang berlaku di singapura).

4. tetapi, on top of that all, usaha lebih giat patut diadakan untuk meningkatkan bukan sahaja kuantiti polis, tetapi juga kualiti setiap pegawai polis produk pusat latihan. anjakan minda perlu dilakukan agar mereka kesemua (polis dan orang awam) sedar bahawa menjadi polis adalah suatu tanggungjawab yang besar, bukan hanya kerana gaji, tetapi jua demi agama dan negara mereka. penjawat jawatan polis perlu diberi penghormatan in such a way that people won't say: "alah, susah2 if tak dapat keje, jadi polis.." or such things like: "polis? apa susah, hulur je..".. kesimpulannya, policeman (and policewoman) should be made to be proud of what they're doing. a few men (and women) doing their job with dignity and utmost hardwork is way better than having thousands which might just think that they're doing it just to get paid at the end of the month.

salam hormat. moga2 maruah polis dapat dikembalikan sepertimana our forefathers (including mine) were honored and revered as policemen who protected their beloved countries..

"Polis Sedia Berkhidmat"