Mampukah penguasa jadikan Rasulullah sari teladan mereka?
Ali Bukhari Amir | |
Latta dan Uzza, menurut satu riwayat adalah sosok manusia agung di zamannya yang mungkin taraf mereka diumpamakan Stalin di Rusia, Mao di China atau Mustaffa Kamal di Turki. Boleh jadi Latta dan Uzza adalah manusia terbaik di zaman mereka di mana hal 'terbaik' dan 'kebaikan' itu adalah menurut tafsiran masyarakat pada ketika itu. Mungkinkah Latta dan Uzza adalah pendeta, cendekiawan yang soleh atau mereka adalah pemimpin masyarakat Arab yang dihormati kabilah-kabilah? Ini kerana, masyarakat Arab tak akan boleh bersatu kerana wujudnya semangat berpuak-puak yang menebal. Masing-masing puak ada pemimpinnya yang tersendiri. Mereka tentu memuji pimpinan mereka sebagai jaguh terhebat, manusia terulung dan mungkin mengeji pimpinan kabilah yang lain. Atau, mungkinkah mereka adalah pendeta yang diterima oleh semua kabilah? Oleh itu, mustahil juga seseorang ahli kabilah boleh menerima dan mengagung-agungkan pemimpin daripada kabilah lain. Hal ini boleh dilihat daripada peristiwa empat pemimpin kabulah yang berebut-rebut ingin meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya setelah banjir besar. Menurut suatu riwayat, hal itu berlaku ketika usia Nabi Muhammad 35 tahun. Diringkaskan cerita, hal itu dapat diselesaikan oleh baginda di mana pada akhirnya setiap pemimpin kabilah itu bersetuju apabila baginda sendiri meletakkan batu tersebut. Ketua-ketua kabilah itu diraikan baginda dengan memegang keempat-empat bucu kain apabila mengalas batu tersebut ke tempat asalnya. Ertinya, ketika baginda belum diangkat sebagai rasul lagi, ciri-ciri kepimpinan terserlah dalam kalangan para pemimpin kabilah Arab sendiri! Jika pimpinan kabilah sendiri telah hormatkan baginda, apatah lagi ahli-ahli kabilah biasa itu. Pemimpin parti tidak diterima ahli parti lain Ciri-ciri kepimpinan sebegini sukar ditemukan pada watak pemimpin hari ini. Obama itu dihormati oleh pengikutnya saja dan pengikut Hillary tidak menerima kepimpinan Obama kerana perbezaan warna kulit. Hal ini terjadi antara pemimpin parti dalam Malaysia juga kalau kita mampu melihatnya. Malah, ada pemimpin parti yang ditolak pengikutnya sendiri. Tapi, hal ini tidaklah dapat dilakukan kerana pengikutnya sudah takut kerana sering ditakut-takutkan oleh pimpinan. Ringkasnya, pemimpin sejati diterima semua pihak sebagai Nabi Muhammad dan semua pemimpin Arab purba yang berwibawa sebelum itu. Jika Latta dan Uzza bukanlah pendeta, sebaliknya pemimpin Arab purba, ertinya mereka ini benar-benar pemimpin hebat kerana 'jasad' mereka dalam binaan berhala telah diletak di sisi Kaabah. Jika hipotesis itu dapat diguna buat sementara waktu maka Latta dan Uzza ada persamaan dengan Nabi Muhammad daripada segi kepimpinan kerana kerana potensi kepimpinan mereka telah diterima oleh kebanyakan masyarakat Arab terdahulu. Atau, Latta dan Uzza bukan saja politikus siasah, malah politikus berjiwa pendeta. Maka, sebab itulah kepimpinan mereka berdua diterima kebanyakan masyarakat Arab purba. Ini semua adalah andaian-andaian yang mungkin boleh dibedahsiasat semula. Dalam suatu kuliah yang pernah saya dengar daripada Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, beliau menyatakan bahawa kedudukan berhala dalam kepercayaan masyarakat Arab tidaklah sama dengan kedudukan berhala dalam kepercayaan Rom, Yunani dan bangsa lain. Ini kerana, semua berhala yang disembah seperti Zeus, Hercules, Amon Ra dalam bangsa dan tamadun Yunani, Greek, Rom, Mesir itu telah diangkat sebagai dewa-dewa dan kisah kehidupan dewa-dewa ini diriwayatkan dalam bentuk peperangan dan kisah cinta. Tetapi, tidak ditemukan hikayat, catitan dan dokumen yang menunjukkan berhala-berhala di Kaabah adalah masyarakat dewa-dewa kayangan yang hadir bersamanya kisah mereka sepertimana yang wujud dalam tamadun Yunani, Rom dan lain-lain peradaban itu. Kesimpulannya, Latta dan Uzza adalah manusia biasa yang dihormati sebagai pemimpin, atau, mungkin pendeta, atau politikus berjiwa pendeta yang akhirnya diterima masyarakat Arab seluruhnya. Ciri-ciri kepimpinan seperti inilah yang juga wujud pada diri Rasulullah s.a.w dan jarang-jarang ada pada pemimpin hari ini. Dan, akhirnya tubuh dan wajah mereka diabadikan sebagai patung replika. Wajah mereka pun diukir dan dipahat sebagai lambang idola, sembahan ikutan zaman-berzaman. Hal ini berlaku selepas berlalunya suatu tempoh pemerintahan sebuah masyarakat daripada suatu generasi ke generasi. Kepercayaan mula diwariskan secara turun-temurun. Dalam tempoh kesesatan itu, banyak benar amalan khurafat yang muncul kerana syaitan berperanan dalam menghias tindakan mereka, hinggakan amalan jelek diperlihatkan syaitan sebagai suatu yang indah. Tiada seorang nabi diangkat bagi mengeluarkan mereka daripada lembah kesesatan itu. Baginda berdepan dengan semua berhala yang masih tertegak di keliling Kaabah. Melihat hal ini baginda tiada kekuatan merobohkan berhala lalu baginda berkhalwat di Gua Hira' sehinggalah dilantik sebagai rasul dan pemimpin bagi semua mereka yang beriman. Ketika dilantik sebagai rasul, bukanlah sifat kepimpinan baginda tertolak, sebaliknya dakwah baginda itulah yang dicerca dengan menyifatkannya sebagai gila, ahli sihir serta pemecahbelah antara penduduk kota yang telah terbiasa dengan amalan khurafat itu. Sari teladan pemerintahan baginda, penguasa kita tidak ikut Tapi di bawah baginda itulah juga terhimpunnya Muslimin daripada kabilah-kabilah Bani Hashim, Bani 'Adi, Bani Tamim dan segala suku kaum lain. Pada saat ini, hal pemisahan itu tidak lagi bersifat perkauman, sebaliknya batas sempadannya ialah iman dan kufur. Marilah sama-sama kita merenung pula kepada pola pemikiran umum pada hari ini. Iaitu, ketika media, akhbar mempromosikan Maulidur Rasul sebagai suatu slogan di mana pada slogan itu terhimpun segala seruan yang baik tentang baginda, apakah kita dengar slogan yang meminta para pemerintah kita meniru gaya pemerintahan Rasulullah s.a.w? Kenapakah media cuma asyik menyeru suami agar menjadi suami mithali yang memasak, mencuci baju sendiri dan menyidainya sebagai satu cara meniru akhlak nabi? Kenapakah rakyat masih berkata: "Saya ikut sunnah nabi segi amalan pemakanan, iaitu makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang." Kaum wanita pula ketika ditanya mengenai calon suami, akan berkata: "Kita mahu calon suami yang memiliki kejujuran seperti Rasulullah s.a.w." Rakyat kita melihat sosok agung Nabi Muhammad s.a.w sebagai suami yang penyayang, berjiwa romantis, atau ayah yang baik. Semua ini adalah satu juzuk terpencil dan terkecil dalam kehidupan. Walhal, Rasulullah s.a.w dibangkitkan sebagai rahmat seluruh alam. Jika media tidak dapat dan tidak mampu memainkan peranan yang sihat melaungkan slogan bahawa Rasulullah s.a.w adalah pemimpin yang terbaik, maka rakyat yang sedar perlulah memainkan peranan ini dengan sebaik-baiknya. Sungguh menyedihkan apabila media sebagai lidah pemerintah menasihat rakyat supaya mencontohi baginda dan menjadikan baginda sebagai sari pati teladan yang baik, walhal mereka (penguasa) sendirilah yang perlu terlebih dulu meletakkan Rasulullah sebagai contoh ikutan dalam menjalankan pentadbiran. Adakah pentadbiran rasuah itu contoh daripada Rasulullah? Adakah sikap berat sebelah itu menjadi lambang amalan baginda dalam pemerintahannya? Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Jika Fatimah, anakku sendiri yang mencuri, nescaya aku sendiri yang memotong tangannya." Kenapakah menteri-menteri bermasalah masih boleh diterima memegang jawatan? Ini semua adalah amalan berat sebelah ketika penguasa hadhari melaungkan slogan anti rasuahnya dan seruan cemerlang, gemilang dan terbilang itu. Siapa yang mampu bersabar ketika kepalanya ditaburi najis unta dan dia sedikit pun tidak melawan? Itulah Rasulullah dan Fatimah pun berlinangan air mata tatkala membersihkan kekotoran itu. Hingga kini insan yang paling banyak dihina ialah baginda dalam karikatur di dalam akhbar Denmark. Walhal, inilah insan yang paling rapat dengan Allah s.w.t. Hari ini, jika ada rakyat berdemonstrasi guna menegur dan menasihat pemerintahnya agar kembali kepada pemerintahan yang adil melalui amalan pilihan raya yang bersih, adakah rakyat akan selamat? Sekali-kali tidak. Walhal baginda itu adalah rahmat ke seluruh alam dan tidak membalas perbuatan manusia yang jahil itu. Jadi, bilakah waktunya penguasa pula mahu mencontohi amalan pemerintahan Rasulullah itu. Tidaklah adil jika rakyat saja yang diseru mencontohi baginda sedangkan penguasa tidak mahu menjadikan Rasulullah sebagai sari teladan dalam pemerintahan. Pemimpin yang adil, rakyat sanggup mati kerananya Kenapa manusia seperti Bilal bin Rabah sanggup bermatian untuk Islam dan Rasulullah? Pertama, Bilal adalah hamba yang tertindas dan mencari jalan keluar daripada penindasan ini. Dia tak tahu bagaimana mahu keluar dan siapa yang dapat memimpinnya keluar dari garis batasan dan sempadan antara wilayah perhambaan dan kemerdekaan. Di celah-celah kegilaan edan itu datangnya sosok agung lagi mulia. Lidah percakapannya sentiasa benar dan membenarkan, pada dirinya sifar pendustaan. Jika dia bercakap, tidak ada yang akan terpedaya, sebaliknya ucapannya bagaikan air dingin yang menyenangkan dan menenangkan hati yang panas bergolak. Bilal sanggup mati dan rela mempertaruhkan nyawanya sendiri dmi kemerdekaan kerana beliau sudah melihat jalan keluar daripada sistem penindasan ini dan beliau yakin bahawa Muhammad bin Abdullah itulah sosok yang benar dipercayai sebagai pemimpin berjiwa pembela. Uwais al-Qarni seorang Tabiin sanggup mematahkan giginya sendiri apabila didengarnya Rasulullah telah patah giginya di medan perang. Uwais bertindak demikian lantaran ingin mengetahui bagaimana rasanya kesakitan yang dialami Rasulullah pada ketika itu. Pada mereka, biar terluka batang tubuh mereka, jangan terluka sedikit pun batang tubuh Rasulullah s.a.w. Kasih sayang yang terbina itu adalah dengan sebab pengorbanan yang ditunjukkan oleh baginda sendiri. Baginda sedia disakiti tetapi tidak sanggup menyakiti. Tetapi, pemerintah hari ini, sekali disinggung dan disakiti hatinya melalui ceramah dan penulisan di dada akhbar, penjara tahunan masa dan hukuman ISA itulah yang terpaksa diterima rakyatnya sendiri. Sejengkal dosa rakyat, sedepa pula hukuman penguasa. Lihatlah, jubah serta serban putih bertukar warna merah darah ketika baginda berdakwah ke Taif kerana baginda disambut dengan lemparan batu-batu. Malah, ketika ditawarkan oleh malaikat untuk membalas kembali perbuatan itu, baginda menolak. Sebaliknya, baginda yang sedang kesakitan kerana dilempar batu itu mendoakan kesejahteraan mereka dan berharap daripada keturunan mereka itu akan lahir zuriat yang akan menerima ajaran Islam. Penguasa yang terbaik adalah mereka yang mendoakan rakyatnya dan rakyatnya mendoakan penguasa. Penguasa hari ini, sedikit saja ditegur, rakyatnya langsung dibelasah tanpa belas kasihan. Adakah doa selamat kepada penguasa terapung di langit saat belantan FRU menghempap kepala dan membelasah demonstran dengan bonus simbahan water canon dan desiran asap berpuaka molotov? Bukan doa syeikh� tetapi kutukan berbisa! Ini doa rakyat yang dizalimi dan jeritan doa ratusan ribu pendokong Bersih yang mendoakan kejatuhan BN. Doa mereka yang sarat dengan kutukan itu telah termakbul kini dan tiada hijab apa-apa lagi antara orang yang dizalimi. Siapa yang menangis, meraung ketika BN kalah? Mana ada? Yang ada, fenomena rakyat melompat suka dan kenduri kesyukuran 40 hari seantero negeri! Semua bertakbir, bertasbih dan bertahmid bersama malaikat di langit tertinggi! Rakyat tidak kasihan kepada BN sepertimana para sahabat sanggup bermati-matian mempertahankan batang tubuh Rasulullah s.a.w itu. Tiba masanya rakyat balas dendam Pemerintah hari ini perlu bermuhasabah selepas pilihan raya, kalau mereka diancam apa-apa, adakah rakyat akan menangisi penderitaan mereka atau sebaliknya rakyat cuma akan mencemuh: "Huh! Padan muka! Pade doh!" atau "Nah! Rasakan! Dulu aku demo sampai pecah tempurung kepala dan berkecai kepala lutut. La ni giliran hangpa pulak demo!" Bukan sedikit yang akan mencebik, mengutuk dan menyindir: "Buat apa la hangpa demo-demo ni? Bukankah dulu hangpa juga yang kata, berundinglah jangan berdemo? Lani apa lagi, cubalah berunding! Tok sah lah berdemo-demo ni. Tak baik�" Kira-kira 20 buah pertubuhan NGO Muslim di Pulau Pinang telah pun bermesyuarat dan berunding dengan kerajaan alternatif DAP Pulau Pinang baru-baru ini berhubung kedudukan Melayu dan Islam di pulau mutiara itu. Mereka berunding dengan baik, tidak perlu demo-demo. Umno Tanjung (Pulau Pinang) perlu ikut contoh ikutan dan sari teladan yang sudah ditunjukkan pimpinan alternatif dan pimpinan NGO-NGO Muslim ini. Firman Allah s.w.t: "Wa amruhum syura bainahum." Maka, Rasulullah s.a.w bersyura bersama para sahabatnya ketika memutuskan sesuatu perkara. Syura dan rundingan adalah sunnah Rasulullah dan inilah serpihan contoh teladan yang langsung daripada Allah ke atas baginda dan umat manusia. Jika Umno Tanjung tidak bersyura dengan pimpinan negeri Pulau Pinang, susahlah. Buruk nama, imej dan reputasi Pak Lah yang memang sedia buruk itu. Apatah lagi, Pak Lah adalah anak Tanjung. Sikap Umno Tanjung ini seperti sokong membawa rebah ke atas Pak Lah. Jika tidak mampu bersyura, usah 'bicara kemaih' dan 'sembang deraih' dalam Bicara Mufti dan Forum Hal Ehwal Islam tentang cita-cita mahu menyuruh rakyat kita mengikut sari teladan Rasulullah kalau pemimpin BN sendiri gagal menjadikan pemerintahan baginda sebagai landasan perjuangan mereka sejak dulu, kini dan selama-lamanya. "Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu sari teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan banyak menyebut nama Allah." (al-Ahzab: 21) "Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa kepada seorang lelaki antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan, adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (al-Ahzab: 40) Sekolah Pemikiran Kg Baru |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan