Custom Search

Reviews Directory

Khamis, 13 Mac 2008

Keutamaan Bidang Sejarah

Antara Sains & Matematik Dengan Sejarah.


Semua subjek atau bidang ilmu itu sangat penting dalam kehidupan, namun bagi setiap subjek itu mempunyai keutamaan yang berbeza. Dalam konteks hari ini, ramai pihak beranggapan bahawa subjek sains dan matematik lebih penting lagi dari subjek-subjek yang lain kerana keperluan terhadap ilmu pengetahuan dalam bidang ini semakin meningkat untuk mengisi ruang-ruang kerjaya yang memerlukan ilmu pengetahuan tersebut.


Tidak memadai dengan ilmu pengetahuan sains dan matematik, wujud pula keperluan dan kepentingan mahir dalam bahasa Inggeris. Kerana sekiranya hendak terus maju dalam bidang sains dan matematik ini perlulah mahir dalam bahasa Inggeris kerana banyak sumber maklumat dan ilmu berkaitan diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Tidak dinafikan bahawa semua bidang ilmu tersebut penting dan perlu diberi keutamaan sejajar dengan perkembangan semasa dan kehendak zaman ini yang memerlukan kemahiran dan kepakaran dalam bidang sains dan matematik.


Namun demikian, kita jangan terlalu taksub dengan kepentingan dan keutamaan yang telah diberikan dalam bidang ilmu sains dan matematik ini. Sehinggakan kita menjadi lalai, alpa dan merendahkan bidang lain yang dianggap ketinggalan zaman, tidak menyumbang kepada pembinaan tamadun dan menyekat pemikiran ke arah kemajuan masa depan.


Saya tak mau menyentuh tentang kepentingan sains dan matematik ini, kerana ia sudah banyak diberi keutamaan dalam ulasan dan penjelasan oleh pihak-pihak berkenaan bagi menggalakkan lagi kita belajar sains dan matematik. Saya hendak membincangkan bagaimana sejarah juga memainkan peranan yang sangat besar dalam membina tamadun dan kemajuan malah lebih penting dan utama lagi dari sains dan matematik.


Sejarah adalah subjek yang hidup sepanjang zaman dan sejarah juga merupakan pengisian utama kitab al-Quran dalam memberi pengajaran dan tauladan tentang Islam. Sejarah merupakan bidang kajian dan penelitian yang bukan saja menghidupkan bidang sains dan matematik malah paling penting adalah masa depan. Tanpa sejarah, sains dan matematik akan pincang dan tidak dapat berdiri teguh mudah runtuh dalam sekelip mata. Sejarah adalah tunggak utama kepada survival sesuatu bangsa dan catatan lampau yang sangat penting untuk menentukan hala tuju masa depan sesuatu tamadun bangsa. Jika sejarah dilupakan dan dipinggirkan berikutan sibuk mengejar ilmu sains dan matematik, dibimbangi kelak yang dikejar tak dapat sementara yang dikendong berciciran.


Kita boleh lihat sendiri apa yang telah berlaku pada hari ini, ataupun kita sendiri boleh menilai kejadian-kejadian sejarah yang berlaku dalam tempoh 100 tahun yang lalu bagaimana kemajuan sains dan kepandaian dalam membentuk kod matematik telah menghasilkan komputer dan teknologi canggih lalu mengubah kehidupan manusia. Dalam tempoh tersebut kemajuan sains dan teknologi ini tidak banyak membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada bangsa yang lemah dan celik ilmu pengetahuan sejarah.


Kita kena kaji sejarah dan teliti mengapa bangsa barat yang menerajui kemajuan sains dan teknologi ini mampu membina dan mempertahankan tamadun bangsa mereka sehingga menguasai dunia sama ada dari segi ekonomi, budaya, politik, teknologi dan ketenteraan. Semua ini berlaku bermula dari kurun ke-11 lagi iaitu selepas barat gagal dalam kempen perang salib untuk menguasai semula Palestin dan menjatuhkan pemerintahan khalifah Islam di semenanjung Arab. Mereka sedar bahawa mereka tidak akan mampu menewaskan umat Islam dan menguasai wilayah yang telah diperintah oleh Islam.


Jika kita kaji dan teliti sejarah bagaimana bangsa Arab dan bangsa-bangsa kecil bukan Arab setelah memeluk Islam mampu melahirkan ramai cendikiawan dan pakar-pakar ilmu dalam bidang masing-masing. Sumber utama kepada kejayaan mereka ini ialah kitab al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Dari situlah mereka mula mengkaji dan membuat penyelidikan secara praktikal. Membuat rujukan dari sumber-sumber ilmu dari tokoh yang pernah muncul dalam sejarah lampau ketika zaman Yunani. Mungkin ada antara kita pernah mendengar tokoh-tokoh seperti Plato dan Socrates. Ilmuan-ilmuan Islam awal ini telah membuat kajian terhadap teks-teks dan tulisan-tulisan yang dibuat oleh tokoh-tokoh dari zaman Yunani dan Rom.


Hasil dari kajian dan pemahaman terhadap kitab al-Quran, Hadis serta ilmu pengetahuan dari tulisan tokoh zaman lampau, maka lahirlah bidang-bidang baru seperti perubatan, astronomi, zoologi, matematik, sains, sosial dan sebagainya dipelopori oleh ilmuan Islam. Dengan ilmu pengetahuan dalam bidang inilah maka umat Islam yang terdiri dari bangsa-bangsa kecil di semenanjung tanah Arab mampu membina tamadun yang cemerlang dengan pembinaan-pembinaan yang agung, teknologi perkapalan dan pandu arah yang tepat dan strategi-strategi ketenteraan serta pembentukan sosial masyarakat yang teguh.


Kemajuan sains dan teknologi bangsa kecil yang menjadi umat Islam dahulu dimulai dengan kesedaran mereka terhadap kajian sejarah lampau dan penyelidikan terhadap apa yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadis. Sumber-sumber asas ilmu ini bukanlah semata-mata buku atau kisah sejarah, sebaliknya ia adalah sumber untuk menggalakkan lagi kemajuan. Bukan saja terhadap fizikal tapi juga rohani, mental dan pemikiran bangsa dan umat Islam yang akan mewujudkan pembentukan sistem sosial dan masyarakat yang maju dan kuat berusaha untuk memperbaiki diri.


Kesedaran inilah yang telah membina kekuatan bangsa-bangsa kecil sehingga dihormati dan digeruni oleh bangsa yang kuat dan besar dari parsi, rom, india dan china. Pengetahuan tentang sains dan matematik semata-mata tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kerana jika kita lalai dan lupa sehingga melakukan kesilapan dan kecuaian maka ilmu sains dan matematik ini akan memakan diri sendiri dan kita akan kehilangan sesuatu yang lebih berharga dari kemajuan sains dan teknologi itu sendiri.


Apakah yang paling berharga itu? Iaitu maruah bangsa, tanah air dan hak kita sebagai bangsa peribumi yang menjadi pemilik asal kepada tempat tanah tumpah darah yang kita pijak disini. Bila kita melupakan sejarah dan mengabaikannya kita akan melakukan kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan oleh bangsa-bangsa lain yang dahulunya kuat dan dihormati tapi sekarang terhina dan merempat di bumi sendiri tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kita lihat saja apa yang telah berlaku di timur tengah, di Palestin, di Iraq bahkan seluruh bangsa Arab hari ini tidak berupaya untuk menuntut hak mereka di bumi Palestin dari bangsa Yahudi dan mempertahankan negara mereka dari ancaman Barat yang diwakili oleh Amerika Syarikat.


Di dalam sejarah, kebangkitan semula bangsa-bangsa eropah atau barat setelah tewas ditangan pemerintahan umat Islam bermula dengan kesedaran seorang panglima tentera salib mereka yang ditangkap dan menjadi tawanan umat Islam. Dia sendiri telah melihat dengan mata kasarnya setelah meninjau-ninjau cara hidup orang Islam dan pegangan agama yang mereka amalkan. Dari situ baru dia menyedari punca kepada kekalahan mereka adalah disebabkan oleh ajaran Islam itu sendiri yang menjadi umat Islam kuat dan bersemangat sehingga mampu mengalahkan tentera salib yang ramai lengkap bersenjata dan lebih canggih dari teknologi tentera Islam.


Ketika masih dalam tawanan itulah panglima tersebut telah mengutus surat secara rahsia kepada raja mereka di Eropah menyatakan sebab punca kekalahan mereka sepanjang kempen perang salib yang telah mereka lakukan selama ini. Dari situlah, bermulanya satu kesedaran kepada bangsa eropah untuk mengkaji apa yang terkandung dalam ajaran Islam sehingga menyebabkan ia umat Islam mampu bangkit dalam tempoh yang singkat dan berupaya menewaskan mereka walaupun dalam keadaan yang kekurangan tidak sehebat mereka.


Kempen-kempen perang bangsa barat di tanah Arab selepas itu tidak lagi begitu menonjol, Cuma terdapat sekali usaha mereka untuk mengalahkan umat Islam di timur tengah tetapi telah digagalkan oleh Salahudin al-Ayubi. Tumpuan mereka selepas itu banyak kepada penerokaan wilayah baru menggunakan angkatan kapal laut di luar tanah Arab dengan tujuan untuk mencari sumber kekayaan baru dan menyebarkan ajaran kristian bagi menghalang agama Islam berkembang ke wilayah luar dari tanah Arab. Mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di timur tengah, mereka memulakan kempen untuk menawan wilayah yang belum dikuasai Islam. Bangsa barat ini khuatir sekiranya bangsa-bangsa kecil di wilayah berkenaan bangkit dan mampu muncul sebagai satu bangsa yang kuat jika mereka menerima ajaran Islam dan mengamalkan cara hidup Islam.


Oleh sebab itulah, dalam sejarah negara kita Portugis telah sampai ke Melaka sekitar tahun 1500 dan merampas penguasaan pemerintahan kerajaan Melayu Melaka supaya agama Islam yang telah menjadi pegangan orang Melayu ketika itu tidak dapat berkembang dan mengukuhkan lagi kedudukan serta tamadun bangsa Melayu di seluruh semananjung tanah Melayu. Selama lebih dari 600 tahun kita dijajah dan ajaran Islam tidak berkembang dengan baik dalam kehidupan kita menyebabkan kita terus lemah dan tidak mampu untuk bangkit dengan lebih teguh.


Sehinggalah kita merdeka pada tahun 1957, hari ini kita mampu untuk bermuhasabah diri, menuntut ilmu dan mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan kita. Namun begitu, bangsa barat tidak pernah lupa akan sejarah lalu dan sentiasa memperkukuhkan lagi kedudukan mereka serta berusaha untuk melemahkan dan memecahbelahkan bangsa-bangsa lain di dunia agar mereka tidak dapat menjadi ancaman kepada penguasaan bangsa mereka pada masa hadapan.


Bangsa barat ini memajukan bangsa mereka berdasarkan pengalaman sejarah mereka. Mereka menilai dan kemudian membuat penyelidikan demi penyelidikan supaya mereka dapat mencari jalan bagaimana hendak menyekat kebangkitan bangsa lain sebelum mereka kuat dan mengancam penguasaan bangsa mereka terhadap dunia hari ini. Dalam masa yang sama juga mereka berusaha untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka melalui penciptaan teknologi baru yang lebih canggih dan sofistikated. Supaya dengan teknologi itu mereka dapat mendahului bangsa lain dari segi kemampuan menguasai ilmu pengetahuan dan membolot segala kekayaan yang ada di pelusuk dunia.


Kita tau bahawa sebahagian besar kekayaan dunia berada di wilayah yang diduduki dan didiami umat Islam. Maka itulah melalui strategi yang licik bangsa-bangsa barat ini akan cuba bersungguh-sungguh untuk melalaikan umat Islam agar mereka tidak dapat mempertahankan hak dan harta mereka. Kemudian melalui kemajuan teknologi mereka dapat masuk ke wilayah umat Islam atau bangsa kecil yang lemah menguasai kekayaan itu dan mengeluarkan hasilnya untuk kepentingan mereka dan sekutu-sekutu mereka.


Justeru itu, jika kita hendak maju dan membina tamadun yang cemerlang, gemilang dan terbilang perlulah dimulakan dengan kesedaran anak bangsa kita sendiri. Kesedaran itu tidak akan timbul sekiranya kita membelakangkan sejarah dan menganggap subjek sejarah ini sebagai bidang kelas kedua yang tidak begitu penting. Sejarah bukan sekadar sejarah, di dalam sejarah banyak cabang-cabang ilmu yang akan membuka laluan kepada pembangunan dan kemajuan termasuk sains dan teknologi. Sejarah akan menyedarkan kita betapa pentingnya amalan dan ajaran Islam itu dipegang dalam kehidupan seharian kita. Kerana sejarah juga telah membuktikan bahawa agama Islam ini telah membawa bangsa Arab dan bangsa-bangsa kecil di sekitar timur tengah ke satu tahap tamadun yang tinggi, dihormati dan digeruni oleh bangsa-bangsa besar seperti Eropah, China, India dan Parsi.


Jadi, marilah kita sama-sama mulai menilai semula dasar yang telah kita lakukan sekarang kerana ternyata dasar yang kita lakukan sekarang tidak begitu banyak membantu kesedaran kita untuk bangun dan maju ke hadapan. Kita terlalu asyik menumpukan masa depan dengan pengajian sains dan teknologi, pengiraan matematik dan hasil ekonomi. Kita tidak sedar bahawa terdapat bangsa lain cuba hendak menjatuhkan kita dan menguasai kita dengan merosakkan akhlak dan pemikiran kita. Bila akhlak kita rosak dan pemikiran kita mudah diperdayakan dengan sogokan-sogokan harta kekayaan dan kemewahan, maka mudahlah bangsa lain merampas hak kita yang paling besar dan menduduki tanah yang kita pijak ini.


Bermula dengan menguasai minda, mereka akan menjajah dan merosakkan pemikiran bangsa kita. Bila sudah rosak akhlak, sudah rosak fikiran, bangsa kita takkan dapat berfikir dengan waras dan betul. Mereka akan mengambil kesempatan ini untuk cuba pula menguasai fizikal kita, mereka akan membeli hak kita melalui syarikat milik kita, tanah kita dan kemudian mereka akan mengukuhkan kedudukan mereka dengan memajukan pembangunan yang menghasilkan kekayaan di atas tanah itu. Sementara kita yang sudah kehilangan hak itu bila melihat diri kita tiada apa-apa lagi yang boleh melambangkan kekuasaan dan kehebatan kita barulah mula sedar kembali. Jika apa yang kita miliki sudah dikuasai orang lain, amat sukar untuk kita mendapatkannya kembali kerana hak milik kita bukannya dirampas tapi diserahkan oleh kita sendiri secara sukarela kerana terpedaya dengan janji-janji dan tawaran mereka.


Apa yang penting ialah, kita kembali semula untuk meneliti sejarah dan membuat penyelidikan mengenai sejarah itu supaya kesilapan datuk nenek moyang kita dahulu tidak diulangi oleh kita. Dan kita boleh mengambil pengajaran serta tauladan dari sejarah bagaimana satu bangsa kecil yang lemah, berpecahbelah boleh bersatu teguh, bangkit bangun memajukan bangsa mereka melalui penguasaan ilmu dan bidang yang luas. Kita sebenarnya satu bangsa yang kecil saja berbanding bangsa cina dan india di negara ini. Jika kita tidak berpegang kepada amalan dan ajaran yang pernah bangsa Arab pegang dahulu, kita sebagai bangsa yang kecil tak akan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa yang besar di dunia.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

satu penulisan yang menarik.
ideology "bangsa" mungkin perlu digubah dari segi satu kaum kepada beberapa kaum. pada zaman yang kian berkembang, faktor asimilasi yang sudah merjadi kebiasaan memainkan peranan yang penting untuk melahirkan definasi baru "bangsa". kestabilan hanya akan tercapai jikalau definasi " bangsa " digubah dan diterima oleh semua kaum di MALAYSIA sebagai "BANGSA MALAYSIA".

critic berkata...

terima kasih atas komen..
kita ambil contoh bangsa-bangsa di eropah. mereka tidak dibezakan oleh bangsa2 dari setiap wilayah dan negara di eropah. dlm sejarah eropah ada cubaan utk mengagung2kan satu bangsa saja iaitu oleh Hitler yg cuba mengagungkan bangsa aryan iaitu bangsa asal jerman.

dahulu sebelum bangsa2 di eropah bersatu dan boleh menerima satu konsep bangsa eropah, sering berperang dan berebut wilayah sesama mereka. namun kini, mereka bersatu dan boleh menerima sebagai satu bangsa iaitu bangsa eropah yg terdiri drpd pelbagai suku kaum bangsa di eropah.

walaupun sesekali wujud perbalahan namun ia akan cuba diselesaikan dgn baik. perang dunia 1 dan 2 telah menyaksikan betapa unsur2 perkauman di eropah telah memcahbelahkan eropah dan mengancam ketamadunan mereka jika dibiarkan berulang.

maka itu pd hari ini kita lihat perpaduan negara2 bangsa eropah lebih kukuh lagi berbanding dulu melalui kesatuan eropah (EU)dan pd masa yg sama mereka berusaha utk memajukan sains dan teknologi mereka utk menghadapi ancaman bangsa2 lain yg sedang bangkit ketika ini.