Custom Search

Reviews Directory

Jumaat, 29 Februari 2008

Adil Dalam Pertimbangan

Hukumlah Dengan Keluasan Islam, Bukan Sentimen

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Negeri Perlis)

ADA orang bertanya, apakah bezanya antara politik orang dakwah dan dakwah orang politik? Saya kata barangkali itu hanya mainan bahasa. Saya kurang suka dengan mainan bahasa, yang penting adalah maksud dan tujuan sesuatu ungkapan. Ungkapan itu mungkin dimaksudkan politik orang dakwah menggunakan kaedah dan strategi yang diizinkan syarak. Adapun dakwah orang politik kadangkala dia menjadikan ajakannya kepada Islam mempunyai tujuan politik. (akai_pc : contohnya Islam Hadhari diperkenalkan untuk menarik sokongan rakyat beragama Islam pada parti UMNO/BN)

Saya bukan menafikan kemungkinan orang politik juga jujur dalam dakwahnya. Namun jika kedudukan politik menjadi fokus dalam dakwah, dia bukanlah pendakwah sebenar yang membawa obor Islam yang syumul dan lengkap. Perkara ini saya tujukan untuk semua tanpa berpihak.

Kita disuruh memasuki Islam dari pintu yang syumul. Seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah: 208: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Apabila kita memasuki Islam secara keseluruhan, kita akan dapati dalamnya ada akidah, ibadah, ekonomi, politik, akhlak dan sebagainya. Maka kita akan berusaha supaya setiap tuntutan Islam itu ditunaikan. Juga menilai setiap perkara dengan keluasan Islam itu. Jika kita cuba melihat Islam hanya dari pintu ekonomi umpamanya, tanpa melihat soal akidah, ibadah, akhlak, politik dan sebagainya, maka perbincangan ekonomi kita akan kontang dari sudut akidah, ibadah dan akhlak.

Sehingga jangan nanti panel-panel syariah bank hanya cekap ‘meluluskan’ produk-produk bank atas nama Islam, namun tidak memikir soal roh keadilan dan kebebasan dari unsur penindasan ekonomi ke atas pengguna yang merupakan cabang dari akhlak Islam. Maka ramai mulai terasa sesetengah produk perbankan Islam lebih membebankan berbanding konvensional.

Demikian juga janganlah dalam keghairahan berpolitik, kita melihat segalanya dengan nilaian politik. Kita melupai soal- soal akidah dan akhlak Muslim, persaudaraan Islam dan sebagainya yang menjadi tuntutan agama. Sama kesnya apabila seorang wanita yang tidak menutup aurat bertanya kepada saya: “Dr! Adakah saya masuk neraka kerana tidak menutup aurat, sedangkan saya solat dan melakukan ibadah- ibadah yang lain?”

Saya beritahu: “Saya bukanlah malaikat penjaga neraka. Bahkan malaikat penjaga neraka sendiri tidak berhak menentukan siapa yang akan dimasukkan atau dikeluarkan dari neraka. Ini kekuasaan mutlak Tuhan yang menciptakan neraka. Di akhirat, neraka dimasuki oleh sesiapa yang ditentukan Allah. Demikian juga syurga.”

Namun Allah memberitahu tentang keadaan manusia di akhirat dengan firman- Nya (bermaksud), Adapun orang yang berat timbangan (amal baiknya), maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangannya (amal baiknya), maka tempat kembalinya ialah ‘Haawiyah’, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘Haawiyah’ itu? (Haawiyah itu ialah): Api yang panas membakar. (al-Qariah: 6-11).

Adapun saya yang daif ini tidak mengetahui bagaimanakah timbangan amalan saudari di akhirat. Saya sendiri tidak tahu nasib saya, bagaimana saya boleh tahu nasib orang lain? Namun jika saudari bertanya, adakah perbuatan saudari salah atau betul, jawapannya, ia satu kesalahan.

Apakah perbuatan itu faktor yang membawa ke syurga atau ke neraka? Maka jawapan dalil-dalil al-Quran dan al-sunah menunjukkan ke neraka. Namun timbangan amalan insan di akhirat bukan hanya terbatas kepada suatu bab.

Sesiapa beramal dengan kebaikan seberat biji sawi akan dinilai. Sesiapa yang beramal dengan seberat biji sawi keburukan juga akan dinilai. Kemudian jika natijah dari nilaian itu menunjukkan kebaikan lebih berat dari kejahatan, maka selamatlah dia. Jika sebaliknya, rugilah dia.

Dalam hidup ini, ada ujian dan cubaan. Sesiapa yang sabar diberi pahala dan dihapuskan dosa. Kesalahan orang kepada kita juga menjadikan pahalanya dipindah kepada kita atau dosa kita diberikan kepadanya seperti dalam hadis al-Imam Muslim. Maka keputusan neraka dan syurga adalah hak Allah. Dosa menyumbang ke arah neraka, pahala ke arah syurga.

Jika ditanya membuka aurat, riba, derhaka ibu bapa dan seumpamanya ke arah mana? Jawapannya ke arah neraka. Jika ada yang berkata, mereka ini juga solat dan buat baik dalam perkara yang lain. Kita katakan; amalan baik menuju ke syurga. Allah yang maha adil akan menimbangnya dan menentukannya. Demikianlah semua insan. Padanya ada baik dan buruk. Amalan kita akan ditimbang di akhirat. Wanita itu diam, barangkali dia berpuas hati.

Mesej saya adalah hendaklah melihat setiap insan menerusi kerangka Islam yang menyeluruh, bukan sekadar sentimen ekonomi atau politik.

Janganlah kebencian kepada seseorang atau puak, menyebabkan kita tidak adil kepadanya. Firman Allah dalam surah al- Maidah: 8 (maksudnya): Wahai orang- orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Saya agak dukacita apabila mengenangkan ada ‘ustaz-ustaz’ daripada pihak tertentu yang belum dapat menerima beberapa perkara yang saya sebut lantas mereka menjawabnya secara ‘maki hamun’. Ada yang menjual kaset-kaset mereka ini.

Faktor yang menyebabkan hal ini adalah kerana menghukum berdasar sentimen. Sepatutnya, persoalan ilmiah dijawab secara ilmiah. Jangan terbawa-bawa dengan sentimen, lantas menjadikan maki hamun pendekatan dalam persoalan ilmiah syarak. Jangan tafsir, hukum semua perkara dengan nada politik atau ‘kaca mata’ politik.

Penilaian sesuatu kebenaran adalah dalil dan hujah bukan sekadar pandangan mereka yang ‘sekapal’ dengan kita. Jangan kerana seseorang itu, tidak ‘satu kem’ , maka semua pandangannya ditolak. Saya bukan orang politik. Nilailah pandangan-pandangan tersebut dengan nilaian ilmiah.

Persoalan dakwah dan ilmiah sebenarnya lebih jauh dari persoalan pilihan raya dan merebut kerusi. Kerja politik pilihan raya ada musimnya. Namun dakwah kepada Islam dalam bentuknya yang menyeluruh tidak terhenti dengan berakhirnya pilihan raya. Kadangkala mendengar sesetengah ceramah yang dikatakan agama yang dibaluti dengan makian dan sumpah seranah maka saya tertanya-tanya, adakah tindakan seperti ini bertujuan inginkan pahala, atau sekadar melepas amarah.

Adakah ini wajah dan suasana masyarakat Islam yang kita impikan? Inikah Islam yang lengkap, merangkumi segala keluhuran dan keharmonian? Namun saya tahu, bukanlah semua penceramah begitu. Ramai juga yang lunak dan bersopan.

Barangkali baik juga untuk semua mendapat manfaat dari nasihat tokoh dakwah yang masyhur, Al-Syeikh Abu al-Hasan Ali Al-Nadwi yang pernah ditujukan kepada Al-Ikhwan Al-Muslimin. Nasihat ini dirakamkan dalam risalahnya: Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan Al-Muslimin).

Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga memetik ungkapan-ungkapan indah risalah tersebut dalam bukunya, ‘Al-Syeikh Abu Al-Hasan Al-Nadwi kama ‘araftu’.

Saya terjemahkan antara kata-kata itu: “Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu atau menghadapi buta huruf dan kejahilan atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti diperjuangkan para pejuang perubahan di Barat dan Timur.

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, roh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya… Istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikirkan kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintah-Nya dan menunaikan risalah-Nya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperoleh kerajaan. Bahkan itu semua tidak terlintas dalam fikiran.

Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. Ini seperti firman Allah (maksudnya), Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41).

Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperoleh itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semula jadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semula jadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya….

Katanya juga: “Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehnya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jemaah (kumpulan) yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan. Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah.

Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara Muslim, mengeluarkan manusia - dengan izin Allah - dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada hari akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kasih kepada insan yang terseksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa - setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah - tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, khusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang Mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.” (Al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu Al-Hasan Al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Hasan Al-Hudaibi pernah menyebut, “Tegakkan negara Islam itu dalam diri kamu, nescaya ia tertegak di tanah air kamu.”

Perjuangan mewujudkan masyarakat Islam yang lengkap atau sempurna dari segi penghayatan dan pelaksanaan Islam adalah cita-cita mulia. Tiada siapa pun berhak mempertikaikannya. Cuma yang kita bincangkan, pendekatan dalam mencapai matlamat itu. Matlamat Islam mesti melalui denai-denai dan tatasusila Islam.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Hasrat Islam hendaklah diterjemahkan dalam wajah Islam. Jangan hasrat Islam diwatakkan kepada manusia dengan wajah yang tidak Islamik. Maka cita-cita Islam itu nanti akan dipertikaikan.

Membangunkan Ekonomi Islam

Bersama Menbangunkan Ekonomi Umat Islam

Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Negeri Perlis)

Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak patut disebutkan. Nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai ‘perkauman’.

Pandangan itu dinyatakan kerana saya ingin menggalakkan masyarakat muslim membantu membeli produk-produk keluaran saudara-saudara muslim. Saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor, antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama sebagai kuasa pengeluar sedangkan kita mempunyai kuasa membeli. Juga pembabitan umat Islam di tanah air dalam bidang perniagaan masih tidak kukuh.

Para peniaga muslim menghadapi cabaran di sudut persaingan. Agak sukar melihat pasar raya besar milik muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Kedai yang dimiliki oleh umat Islam dan produk muslim juga terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli produk umat Islam.

Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasar raya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Keadaan menjadi lebih buruk jika umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Di peringkat antarabangsa, negara-negara umat Islam bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak. Tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni.

Kita masih gagal mewujudkan kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya. Sesungguhnya dunia Arab tidak dapat memerangi Barat – jika keadaan memerlukan demikian – selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain.” (Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, Maza khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah).

Inilah realiti, kita hamba penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, banyak negara umat Islam meminta sedekah. Keadaan ini benar-benar mendesak. Dunia sudah berubah, bukan hanya kekuatan senjata menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara terhadap percaturan dunia. Ekonomi juga menentukan perubahan peta.

Firman Allah dalam surah al-Anfal: 60: (maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh umat. Kekuatan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda, salah satu daripadanya yang dapat dilihat di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu.

Pada zaman sekarang, senjata-senjata canggih menggerunkan musuh dan umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu, kekuatan ekonomi adalah senjata baru dalam membina kekuasaan yang mampu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi adalah tuntutan agama.

Malangnya kita cuai dan alpa. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita... jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadangkala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim yang berkualiti adalah kewajipan. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasar raya milik orang Islam. Di peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan.

Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar al-Quran dan al-Sunah mewujudkan rangkaian ikatan persaudaraan (ukhuwah Islamiah) yang kukuh. Di atas akidah teguh ini menjadikan umat dahulu bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan.

Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam.

Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan lain, termasuk bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb: (Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa dunia Islam... kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi, peperangan, pemikiran dan kebudayaan. (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu’asir)

Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwah (persaudaraan) sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan ukhuwah Islamiah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi. Sedangkan ini adalah sesuatu yang dituntut. Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya kaum al-‘Asy‘ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripada-ku dan aku daripada mereka. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini, Rasulullah memuji sikap tolong-menolong, bantu-membantu serta perasaan mengambil berat antara satu sama lain. Baginda memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy’ariyin yang jamin-menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud: “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah. Tolong-menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan takwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit.

Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadis di atas: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi assabiah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-

Asy’ariyin sebahagian daripada baginda.

Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu-membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi’ wa Qawa’id ‘Ammat).

Kalaulah tolong-menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasulullah tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuhi dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong-menolong, bantu-membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara kebaikan adalah tuntutan persaudaraan Islam. Sabda Nabi s.a.w.: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tolong-menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam akan menjadi kuat.

Namun jika ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah daripada orang lain dan Islam dipandang hina. Dr. Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadis di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat dalam hadis ini bertujuan menggalakkan bantu-membantu dan tolong menolong sesama mukmin.

Pembinaan umat tidak sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agama.

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi, sehingga mampu berdiri dengan sendiri, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita menjadi hambar. Apakah mampu selepas itu kita mencanangkan Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?

Malanglah bagi kita jika tidak habis-habis bising tentang barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi kesedaran.

Bahkan dalam soal ekonomi, kita tidak wajar mementingkan persoalan latar politik dan sempadan negeri. Saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal, sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan kefahaman politik.

Sekiranya kesedaran ukhuwah Islamiah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Saya nyatakan demikian berdasarkan faktor-faktor berikut:

  • Kuasa membeli yang tinggi: Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada secara kelompok mereka memiliki kuasa membeli. Jumlah umat menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa.
  • Isu halal haram: Isu-isu mengenai makanan tidak halal menimbulkan keresahan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam gagal menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.
  • Ketegangan yang wujud: Ketegangan antara blok Barat dan umat Islam boleh membantu mewujudkan umat yang lebih memiliki jati diri dan berdikari. Jika pelancong-pelancong Arab enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.

Jika ukhuwah Islamiah itu benar-benar digilap sehingga ke peringkat penghayatan dalam ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jati diri dalam ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh besar dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa.

Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah tanggungjawab setiap muslim zaman ini.

Khamis, 28 Februari 2008

Perniagaan Runcit Di Malaysia

Sektor peruncitan di negara ini merupakan antara bidang perniagaan yang boleh menjanjikan keuntungan tinggi bersandarkan keadaan rakyat di negara ini yang sememangnya gemar menbeli-belah di samping mendapatkan barang keperluan seharian mereka.

Tradisi aktiviti peruncitan secara moden pula boleh dikesan sejak dari zaman pemerintahan Inggeris lagi apabila banyak kedai runcit kepunyaan saudagar dari India dan milik imigran dari Tanah Besar China dibuka di bandar-bandar besar Tanah Melayu.

Ada diantara kedai-kedai tersebut menjadi warisan sehingga kini dan diusahakan pula oleh anak cucu mereke dengan reka bentuk kedai asal tetap dikekalkan dan penggunaan alat kira seperti sempoa masih dipraktikkan.

Bagi orang Meleyu pula, ada golongan yang berani terbabit dengan akitiviti ini dengan membuka kedei-kedai runcit kecil di kawasan luar bandar dan kampung. Walaupun saiz operasinya tidaklah sebesar saiz operasi kedai runcit milik bangsa lain, tetapi fungsinya sebagai pembekal barangan kering dan basah untuk masyarakat luar desa tidak boleh diabaikan.

Sehingga ke hari ini, aktiviti peruncitan seperti ini masih berterusan. Yang membezakan antara dulu dan sekarang adalah kedai runcit bangsa lain sudah berkembang menjadi pasar raya besar manakala kedai runcit milik orang Melayu masih mengekalkan operasinya secara sederhana serta tidak mampu bersaing dengan kedai milik bangsa lain.

Jika ada perbezaan sekalipun, mungkin kini orang Melayu sudah berani untuk membuka kedai runcit di kawasan bandar dan sekitar taman perumahan dengan operasinya dibesarkan sedikit menjadi pasar mini (mini market).

Satu revolusi baru dalam sektor peruncitan negara dikesan berlaku pada awal tahun 1990-an apabila Jaya Jusco Berhad, sebuah syarikat peruncitan terbesar di Jepun dipelawa memasuki pasaran negara ini oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bermula pada tahun itu, operasi syarikat tarbabit terus berkembang sehingga pada tahun 2005 dilaporkan hasil jualan syarikat berkenaan melebihi RM1 bilion dengan 13 cawangan pasar raya Jusco berada di negara ini. Dengen situasi keadaan negara ini, tidak mustahil sekiranya pendapatan syarikat ini bakal terus berkembang dengan jualan dijangka mencecah lebih dari RM2 bilion pada tahun ini.

Kemudian sekitar tahun 1993, muncul pula gergasi penuncitan dari Eropah yang mula mengintai untuk memasuki pasaran di negara ini. Carrefour mengambil giliran dan sehingga kini kumpulan terbabit mempunyai 13 cawangan di seluruh negara.

Apa yang menarik mengenai Carrefour ialah, kumpulan terbabit menguasai pasaran peruncitan di Eropah dan menduduki tangga kedua di dunia dari segi keuntungan selepas Wal-Mart dari Amerika dengan jualan berjumlah RM309.6 bilion di seluruh dunia.


Industri peruncitan negara kemudian menyaksikan pula kemasukan Tesco pada sekitar tahun 2000 hasil usaha sama di antara syarikat terbabit dengan Sime Darby Berhad. Tesco merupakan syarikat peruncitan keempat terbesar di dunia dengan jualan melebihi AS RM237 bilion setahun.

Andai ada syarikat tempatan yang mampu menyaingi syarikat gergasi ini, cuma Kumpulan Mydin Mohamad Holdings Berhad yang bermula pada tahun 1956 dengan 15 cawangan di seluruh negara serta jualan melebihi AS$111 juta setahun dapat bersaing dengan mereka.

Bagaimanapun pasar raya Mydin mungkin tidak boleh dibandingkan dengan gergasi-gergasi peruncitan yang lain kerana dari segi keuntungan, saiz operasi dan khidmat selepas jualan, Mydin boleh dianggap masih di belakang lagi.

Dari segi segman pemasaran juga, Mydin cuma menguasai golongan kelas yang berpendapatan sederhana dan rendah sahaja. Sedangkan golongan yang mempunyai pendapetan melebihi RM2000 sebulan masih tertumpu pada pasar raya besar yang lain.

Di sini satu persoalan mengapakah kerajaan melalui syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan seperti Khazanah Holdings dan yang lain tidak mahu atau tidak berani untuk melakukan palaburan dalam sektor ini sedangkan industri ini amat besar pasarannya?

Jika pengurusan dan pentadbiran yang dibimbangkan, maka jika diteliti nama-nama pengurus di syarikat antarabangsa terbabit, kita akan mendapati hampir separuh daripadanya adalah orang Melayu yang pastinya beragama Islam.

Sebagai contoh, daripada 13 cawangan Jusco di negara ini, lapan pengurusnya adalah Melayu. Ini tidak termasuk lagi pengurus-pengurus kanan dan kumpulan pengurusan atasan yang lain. Ini tidak ditambah lagi dengan pengurus-pengurus Melayu dari Carrefour, Tesco atau Giant.

Yang pastinya kita tidak akan ketandusan kelompok profesional untuk mengurus atau mentadbir sebuah syarikat peruncitan berteraskan Islam sepenuhnya sekiranya ada pihak yang berani untuk melabur dan terlibat secara serius dalam industri ini

Andai masalah modal pula dibangkitkan, terdapat banyak sumber umat Islam yang boleh digunakan. Tabung Haji misalnya mempunyai ratusan juta wang umat Islam di negara ini yang boleh digunakan sebagai modal pelaburan.

Buat masa kini, Tabung Haji hanya banyak terbabit dengan aktiviti pelaburan yang dianggap selamat seperti pertanian dan pembinaan. Walaupun pelaburan Tabung Haji ini boleh dianggap menguntungkan, namun ia mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan keuntungan.

Sebagai contoh aktiviti perladangan memerlukan tempoh antara tujuh hingga lapan tahun sebelum pokok sawit dapat mengeluarkan hasil sekaligus memberikan pulangan kepada pelabur. Sesuatu yang patut dipertimbangkan juga adalah harga minyak sawit berada di pasaran komoditi. Maka harga minyak sawit bersifat tidak statik sama seperti getah yang mengalami kenaikan harga dan penurunan harga mengikut pasaran dunia.

Sektor peruncitan pula menjanjikan sesuatu yang amat berbeza. Dengan anggaran penduduk Islam di negara ini yang melebihi 10 juta orang, pelaburan terhadap pasar raya besar menjanjikan keuntungan dan kecairan modal yang pantas kecuali jika terdapat situasi salah urus atau masalah lain seperti bencana alam atau peperangan.

Bayangkan dengan kewujudan sebuah pasar raya besar seperti ini, umat Islam di negara ini mempunyai satu pilihan alternatif yang lebih praktikal untuk membeli-belah dan berbelanja. Di samping itu kecairan tunai umat Islam dapat disalurkan kepada satu sistem ekonomi yang turut dipunyai oleh umat Islam sendiri.

Adalah sesuatu yang menarik sekiranya usaha ini dapat menjadi realiti. Andai syarikat-syarikat gergasi peruncitan antarabangsa mampu menembusi negara-negara Islam tidak mustahil juga peluang syarikat milik umat Islam mampu untuk berkembang di negara Islam yang lain adalah besar juga.

Dengan jaringan pasaran industri peruncitan umat Islam yang besar dari negara di Timur Tengah ke negara China, industri ini bukan sahaja mampu menjana ekonomi umat Islam malah dapat membantu memasarkan produk-produk yang dijamin halal dan bersih.

Sekiranya di Malaysia ni ada pihak yang jual rumah kedai atau lot kedai macam yang mereka buat dengan jual rumah di taman perumahan. Bayar serendah RM100 sebulan sewabeli sehingga 50 tahun atau lebih. Kalau tak sempat anak atau cucu boleh sambung bayar. Tentu ramai bumiputera mempunyai ruang niaga sendiri di deretan bangunan komersil di bandar-bandar besar maupun pekan-pekan yang sedang membangun. Saya tak pasti sama ada, ada ke tak projek sebegini yang dibuat oleh kerajaan untuk membantu bumiputera yang tak berkemampuan tapi ada jiwa untuk menjadi peniaga yang ada lot perniagaan sendiri. Kalau ada pun mungkin sewa bulanan mahal yang hanya mampu dimiliki oleh konco-konco, kroni-kroni dan golongan elit bumiputera yang kaya raya saja.

Jadi, buatlah wilayah pembangunan koridor apa pun, utara, selatan, timur, barat kerana dalam setiap pembangunan itu peluang untuk bumiputera berniaga dalam lot bangunan komersil ada. Tapi kalau masih juga berniaga tepi jalan, tepi kaki lima, depan supermarket cina dan bangsa lain, sia-sia saja pembangunan itu. Hanya menguntungkan bangsa lain dan kroni-kroni politik bumiputera yang meluluskan projek pembangunan itu saja. Orang lain untung berniaga mereka pulak dapat komisen dan share sama. Walaupun kena cukai tapi cukai tu untuk pembangunan lagi, pembangunan yang akan terus-menerus menguntungkan mereka sampai bila-bila. Bukannya memberi faedah pada rakyat dan meringankan beban rakyat. Untuk menikmati pembangunan itu rakyat kena bayar dengan tolnya, minyak yang dipotong subsidi, nak berubat kat hospital kena bayar, nak belajar kena bayar.

Inikah yang dinamakan kerajaan prihatin, yang ikhlas membantu rakyat? Kita perlukan satu pembaharuan dalam pemikiran mereka yang membuat keputusan dan dasar kerajaan. Selagi kerajaan sekarang masih memerintah pastinya mereka akan terus membolot segalanya dan rakyat tidak akan mampu mengecapi kemajuan yang sebenarnya untuk masa depan dengan berdikari. Beri pancing dan biar rakyat sendiri mencari lubuk dimana ada ikan yang banyak. Kalau tak nak bagi free pun buatlah skim bayaran mudah yang meringankan beban anak cucu dan cicit bagi tempoh jangka masa panjang.

Rabu, 27 Februari 2008

Pemikiran Tun Dr. Mahathir

Mengapa saya lebih menghormati Tun Dr. Mahathir daripada PM sekarang?
Inilah sebabnya :

Part 1

Part 2

Part 3

Part 4

Seorang pejuang bangsa dan negara yang sebenar tidak akan berpura-pura, dia berani berkata benar dan tak akan menyembunyikan sesuatu. Sebab itu beliau dihormati lawan maupun kawan. Sukar sekali untuk menjatuhkannya kerana setiap bantahan pasti ada jawapan yang relevan mematikan hujah lawan. Berbanding dengan PM kini yang begitu bias dengan apa yang sering dikatakan olehnya dan pengikutnya. Ini menimbulkan banyak tanda tanya dan 1001 persoalan yang tak terjawab oleh mereka.

Realiti & Ilusi

Realiti dan Ilusi Kehidupan Maya

Selepas lari daripada kebosanan hidup akhirnya seseorang
itu terdampar dalam Ilusi dan fantasi dunia maya.


Frances Caincross, editor kanan Majalah Economist, dalam sebuah bukunya The Death of Distance: How, the Communications Revolutions will C174711-e Our Lives (1997) telah meramalkan fenomena "kematian jarak" akan menjadi kuasa ekonomi terpenting membentuk masyarakat pada tahun 2038. "Kematian jarak" telah dilihat oleh Caincross sebagai konsep kehidupan masyarakat maya atau masyarakat alaf digital yang mengalami perubahan akibat revolusi komunikasi. Sempadan geografi dapat diterokai oleh sesiapa dan di mana-mana saja asalkan mempunyai jaringan telekomunikasi yang canggih. Jaringan ini pula sinonim dengan "kematian jarak" yang akhirnya mewujudkan komuniti atau masyarakat bijak melalui pemikiran inovatif dan menciptakan kekreatifan dalam pelbagai dimensi serta membuahkan kehidupan maya yang amat hebat diperkatakan dalam konteks alaf baru atau alaf ketiga.

"Kematian Jarak" menurut Caincross lagi, amat memudahkan kehidupan manusia. Bayangkan komunikasi manusia akan berlaku tanpa sebarang batasan sempadan, dunia pekerjaan dapat diuruskan dari rumah, tidak perlu ke pejabat lagi; perniagaan dapat dijalankan dengan kehadiran jaringan talian komunikasi yang serba canggih dan mudah, mendapatkan maklumat pula hanya perlu dengan sentuhan sebiji butang dan pelbagai lagi janji indah yang ditawarkan dalam kecanggihan teknologi maya.

Terrace Mckenna, seorang ahli etnobotani Amerika, dalam bukunya Foods of the Gods: The Search for the Original Tree of Knowledge: A Radical History of Plants, Drugs and Human Evolution (1992), telah membuat sebuah senario tentang kehidupan maya di alaf ketiga yang optimistik dan mengejutkan. McKenna telah melihat tanaman etnik yang mengandungi zat-zat pembangkit halusinasi dan visi (halusinogen) seperti Stoparia Cubensis atau Banisteriopsis merupakan tanaman utama dalam metabolisme kehidupan alaf ketiga. Menurut McKenna, abad ke-21 adalah abad halusinogen.

Melalui beberapa eksperimen yang dilakukannya di Lembah Amazon, beliau membuktikan bahawa tanaman-tanaman etnik tersebut mengandungi zat-zat seperti mescaline, triptamine atau demethil triptamine yang tak lain adalah kecerdasan (intelligence) dan informasi. Dengan meminum zat-zat tersebut dalam dos-dos tertentu, maka kita akan dibawa ke alam halusinasi. Akan tetapi, alam halusinasi yang dimaksudkan McKenna bukanlah dalam pengertian normal sebagai alam yang tidak nyata. Sebaliknya, ia sangat percaya bahawa apa-apa yang kita alami adalah bentuk kehidupan alam realiti yang lebih tinggi (higher reality), yang di dalamnya kita dapat memperoleh informasi dan berkomunikasi dengan makhluk luar angkasa. McKenna seterusnya meyakini bahawa pada tahun 2012, ketika kecanduan dan penggunaan halusinogen semakin meluas cdan diterima secara global akan membawa kita memasuki sebuah ruang kehidupan yang disebutnya hyperspace, iaitu sebuah ruang yang mana batas antara realiti clan halusinasi akan lenyap. Sehingga, pada abad tersebut kita akan mendiami sebuah plenum, iaitu sebuah ruang yang sangat padat informasi, sehingga tidak ada satu sudut pun yang tidak diisi dengan informasi. Di dalam ruang padat informasi tersebut, kita tidak lagi menyerap informasi, tetapi diri kita sendiri yang terseret ke dalam informasi. Hal-hal seumpama ini telah mula kelihatan pada fenomena Cyberspace. Kita tidak lagi mengembara di dalam ruang nyata untuk memperoleh informasi, tetapi kita mengembara di dalam informasi cyberspace itu sendiri, sebuah perjalanan kehidupan yang diwarnai oleh sifat "kemayaan" (virtuality). Kemayaan inilah yang mencorakkan ekonomi maya, konsumerisme dan gaya hidup maya, kesenian maya, dan keseluruhan kehidupan.

Namun, apakah kecanggihan kehidupan maya akan memberi makna yang mendalam dalam aspek-aspek pembangunan kemanusiaan? Apakah manusia akan mampu menikmati kehidupan peribadi yang penuh bermakna lantaran tiada lagi yang menjadi rahsia dalam dunia maya? Adakah akan lenyap batas-batas sosial, kategori sosial, dan identiti sosial? Hal ini tentu mungkin sekali terjadi ketika pelbagai media informasi telah bersifat telus yang mana setiap infor¬masi yang sebelumnya dianggap terlarang dan haram, kini dapat diperoleh secara terbuka oleh sesiapa pun. Fenomena ini dinamakan oleh Alan Touranine dalam tulisannya Two Interpretations of Social Change (1992) sebagai "akhir sosial", suatu senario yang akan berlaku dalam kehidupan alaf ketiga. Menurut Touraine, pada alaf ketiga, banyak konsep sosial seperti integrasi, kesatuan, persatuan, nasionalisme, dan solidariti semakin kehilangan realiti sosial clan akhirnya menjadi mitos. Kehidupan sosial kini telah kehilangan kesatuan, dan hal ini kini tidak lebih sebuah arus perubahan yang tiada kesudahan, yang mana individu mahupun kolektif tidak lagi bertindak sesuai dengan nilai-nilai dan norma-norma sosial, akan tetapi mengikut strateginya masing-masing dan tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh kekuasaan negara.

Akhir sosial juga ditandai oleh ketelusan sosial, iaitu suatu situasi lenyapnya kategori sosial dan hierarki sosial yang sebelumnya membentuk suatu masyarakat. Misalnya, batas-batas sosial antara dunia anak-anak dan dunia orang dewasa lenyap di tangan clisket cyberporn, netsex, batas antara kebenaran dan kepalsuan lenyap di tangan hiperrealiti media dan informasi. Jaringan informasi menjadi bersifat telus dan tidak ada lagi kategori moral yang mengikatnya. Ketika segala sesuatu menjadi telus dan berputar bebas dalam litar global, maka hukum yang mengatur masyarakat bukan lagi hukum kemajuan melainkan hukum yang disebut sebagai "hukum orbit". Melalui hukum orbit, segala sesuatu berputar secara global, berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, dari satu komuniti ke komuniti yang lain. Ada orbit televisyen, orbit ekonomi, orbit ekstasi, orbit seksual, dan kini orbit party line.

Sebagai satu bentuk wacana sosial, party line merupakan satu bentuk aksi komunikasi mengghairahkan dan terpesona dengan media komunikasi. Lebih parah lagi, dunia hiperkomunikasi party line merupakan wahana untuk mengeksploitasi segala rahsia yang sebelumnya tertutup oleh tabir sosial Douglas Rushkoff pula berpendapat di dalam bukunya Cyberia: Life in the Trenches of Hyperspace (1994) realiti kehidupan maya serta kebudayaan akan sarat oleh gemerlapan citra (image) yang datang dan pergi silih berganti dengan kecepatan tinggi. Tinggi rendahnya irama pergantian citra, diiringi dengan tinggi rendahnya irama emosi yang dibawa oleh arus pergantiannya. Semakin cepat tempo pergantian citra, semakin cepat emosi bergerak ke arah situasi "keributan" (turbulence) iaitu hentakan-hentakan (emosi) disebabkan tekanan-tekanan (informasi) yang mengasak dan tidak menentu. Segala sesuatu tampil di hadapan kita sebagai sebuah "layar perak" (panggung tontonan) dan meleburkan diri seseorang ke dalam sebuah special effects ataupun permainan video yang dipenuhi oleh halusinasi-halusinasi gerakan. Kita tidak lagi bergerak dengan kecepatan dalam sebuah ruangan yang nyata (fizikal) tetapi dalam sebuah ruang simulasi dan halusinasi. Rushkoff menamakan bentuk kehidupan maya ini sebagai Cyberia, suatu bentuk kehidupan yang penuh kepesonaan yang tidak terarah dan kacau bilau.

Sementara itu Sherry Turkle melalui bukunya Life on Screen: Identity in the Ago of the Internet (1995) membuat kajian tentang pengguna Internet yang menghabiskan masa di laman Web sehingga mencetuskan penyakit Internet addicted disease yang menjauhkan mereka dari dunia realiti. Paling menarik daripada kajian Turkle, ialah wujudnya identiti baru yang memberi kesan kepada psikologi pemikiran manusia dan pelbagai idea yang keliru tentang minda, tubuh, dan mesin akibat daripada pengaruh komputer yang akhirnya membuahkan krisis identiti. Hal ini kerana orang ramai ingin mencari sebuah kehidupan yang bermakna di sebalik skrin. Akhirnya terbentuklah kehidupan palsu (artificial life) yang disangka benar dan lebih parah lagi komputer bukan lagi sebuah mesin untuk memudahkan urusan manusia tetapi telah menjadi intimate machines yang akrab dengan manusia. Akhirnya komputer akan menjadi tempat untuk meluahkan perasaan, bermain cinta, melayari fantasi, ataupun mencipta apa-apa saja yang boleh memuaskan perasaan dan pemikiran. Selepas lari daripada kebosanan hidup akhirnya seseorang itu terdampar dalam ilusi dan fantasi dunia maya.

Realiti kehidupan semacam inikah yang bakal kita saksikan pada alaf baru ini? Menurut Benjamin Wooley dalam tulisannya Virtual Worlds: A journey in Hype and Hypereality (1993) kehidupan bentuk maya ini bukan saja mengubah cara kita melihat realiti, tetapi juga menimbulkan kesedaran baru tentang kemungkinan hidup dalam percaturan manusia antara yang asli dan palsu di dalam simulasi elektronik dan di dalam halusinasi ruang. Dan, dalam perkembangan kehidupan tersebut, bahasa-bahasa objek tidak lagi bersandar pada unsur-unsur formal konvensional (garis, bidang, warna), tetapi unsur-unsur hibrid formal-virtual yang cenderung keluar dari batas-batas formal, dan sebaliknya bersifat sensitif, psikik, halusinatif, interaktif, dan holografis. Hal ini akan lebih dicirikan oleh pemanfaatan secara maksimum dan komprehensif kemampuan-kemampuan indera sebagai elemen estetika (perasaan, pendengaran, perabaan, penglihatan, penciuman).

Barangkali kehidupan maya adalah ekstasi (keseronokan) kehidupan di sebalik kecanggihan teknologi yang diciptakan itu. Namun begitu kehadirannya di alaf ketiga tidak dapat disangkal lagi, dan kita amat memerlukan sikap kearifan, kebijaksanaan, kejujuran, keterbukaan dan sekali gus sikap dan pandangan optimisme. Cabaran besar yang menanti kita sebenarnya adalah untuk menciptakan dunia hipermoden dan kehidupan maya yang berkuasa "spiritual", yakni sebuah dunia "supermaju" yang berkearifan.

Selasa, 26 Februari 2008

Minda Itu Media


Mungkin ada yang belum tau apa itu minda, berikut adalah pengenalan tentang bagaimana minda itu berfungsi :

Memahami Minda Sebagai Satu Bentuk Media

Pernahkah kita terfikir bahawa minda adalah juga satu bentuk media? Bagaimana hal ini boleh terjadi?

James K. Van Fleet dalam bukunya Hidden Power telah membicarakan minda bawah sedar (subconcious mind) sebagai satu gelanggang ekslusif yang tidak sahaja berperanan sebagai pemikir tetapi juga pencetus idea, penyelesai masalah dan pembuat keputusan. Hal ini bagaikan satu gelanggang yang bertindak apa-apa saja mengikut arahan pemiliknya. Sebagaimana media dimiliki dan diperalat oleh pemiliknya, minda di dalam kepala juga akan bertindak mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh tuan punya kepala. Minda adalah satu bentuk media yang terhebat dan tercanggih kerana media bercetak atau elektronik yang berada di sekeliling kita sekarang ini dilahirkan oleh media (minda) yang berada di dalam kepala itu

Kehebatan minda sebagai media adalah keupayaannya bertindak sendiri dengan memberikan jawapan-jawapan yang dikehendaki oleh pemiliknya. Misalnya, A mahu menulis sepucuk surat untuk seorang teman yang tinggal amat berjauhan daripada negaranya. Sewaktu menulis itu A akan dibantu oleh mindanya dengan memberikan maklumat-maklumat sampingan yang relevan, misalnya fakta tentang cuaca, suasana, iklim, ekonomi dan politik negaranya mengikut ilmu bantu yang dimilikinya hingga menjadikan suratnya bukan seperti surat biasa tetapi seperti senaskhah akhbar yang penuh maklumat. Minda dalam otak A telah bertindak sebagai sebuah ensiklopedia, seperti sebuah kamus, seperti sebuah perpustakaan, seperti arkib, seperti jabatan kaji cuaca, malah seperti parlimen. Dalam kata lain minda dalam otak A telah bertindak sebagai sebuah media .

Kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar mendapati cara minda atau media dalam otak ini bekerja adalah hampir menyamai sebuah komputer bekerja. Bagaimanapun, seorang saintis telah rnenyebut, “Minda bekerja seperti sebuah komputer tetapi tiada satu pun komputer dapat bekerja seperti minda.” Seterusnya dia berkata, “Buat selama-lamanya, sains tidak akan mampu menghasilkan sesuatu yang sehebat minda. Walaupun jika dapat, minda manusia masih diperlukan untuk menggerak kannya.”

Terdapat sebanyak 10 hingga 15 bilion neurons di dalam setiap otak atau dua kali lebih banyak daripada sejumlah manusia di seluruh dunia. Meskipun jumlah neurons menunjukkan tahap kebijaksanaan - kebijaksanaan ditentukan oleh jumlah sambungan setiap otak sekurang-kurangnya mempunyai sebanyak 10 trilion (10 000 000 000 000) sambungan yang dipanggil synapse. 10 trilion ini adalah jumlah yang amat besar untuk diyakini sebagai kejadian paling ajaib dan menakjubkan yang ada pada diri manusia. Sudah tentulah, apabila minda dikatakan sebagai media - dengan jumlah sambungan yang sebegini banyak - menjadikan ia satu pengkalan data yang terhebat mengatasi komputer terbaik pernah dihasilkan atau tidak mungkin mampu dihasilkan.

Sudah tentu ini suatu hal yang semestinya kerana komputer itu sendiri dicipta oleh otak. Sudah tentu bahan ciptaan tidak boleh mengatasi kehebatan si pencipta sebagaimana ALLAH tidak dapat ditandingi oleh ciptaan Nya.

Para saintis telah membahagikan otak manusia kepada tiga; neocortex, mammalian dan reptilian. Dalam otak neocortex inilah minda dibahagikan kepada dua bahagian pula iaitu kiri dan kanan. Biasa disebut otak kanan sebagai otak kreatif dan kiri sebagai numeric. Kajian menunjukkan kedua-dua minda ini bekerja memberikan pelbagai maklumat atau apa-apa juga yang diperlukan. Misalnya, bahagian belakang neocortex berfungsi memproses data visual, sisi memproses data auditori, tengah memproses data hasil sentuhan dan mengawal pemikiran, pendengaran, penglihatan dan juga pertuturan. Manakala otak mammalian berperanan sebagai alat pengingat dan otak reptilian mengawal pernafasan serta denyutan jantung.

Secara lebih terperinci minda kiri berfungsi melalui empat pecahan iaitu logik, bahasa, matematik dan analisis, di mana logik adalah turutan, sebab, dan arahan; bahasa adalah tulisan, bacaan dan bertutur; matematik ada nombor dan analisis adalah penilaian.

Pecahan minda kanan pula ialah gambar, imaginasi, ritma dan dimensi. Dimana gambar adalah rnengenal warna, imej dan corak; imaginasi adalah nilai kreativiti dan ritma adalah muzik dan dimensi adalah ruang.

Apabila dibicarakan terus tentang peranan minda menguasai seluruh cara berfikir dan pergerakan individu terutama tentang bagaimana ia menerima maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya kembali apabila diperlukan dengan begitu pantas dan efisien, serasa ia adalah media yang paling tidak terjangkau untuk difahami dan difikirkan oleh minda itu sendiri. Lihat bagaimana memori terbentuk. Bermula daripada menerima maklumat, menyimpan, kemudian mengeluarkannya kembali atau registration, retention, dan retrieval. Semuanya boleh dilakukan sama ada sekelipmata, lemban, atau tidak sekali-kali bergantung kepada minda sedar (concious mind), minda bawah sedar (subconcius mind) ataupun minda tidak sedar (un concius mind) sewaktu menerima sesuatu maklumat itu.

Bercakap tentang minda bawah sedar ini pula menurut Fleet lagi seluruh idea manusia datangnya dari situ. Ia satu bentuk media yang benar-benar menakjubkan dengan bertindak sebagai ensiklopedia, kampus, komputer, CD, dan segala-galanya. Ia adaah sumber maklumat, penentu bagi sebarang keputusan yang akan dibuat oleh minda sedar malah ibarat enjin yang menggerakan jika diibaratkan seperti sebuab kenderaan.Tanpa minda bawah sedar ini manusia tidak ubah bagaikan alat mainan kanak-kanak iaitu berfungsi mengikut progam yang telah ditentukan sahaja. Jika sesebuah alat mainan itu telah diprogramkan berpusing, ia akan terus-menerus berpusing sehinggalah kuasa yang dibekalkan atau disambungkan kepadarnya habis. Namun, satu kekurangan Fleet dalam berteori ialah meletakkan seluruh keupayaan kepada minda bawah sedar tanpa dapat mengaitkannya dengan kehendak Tuhan dan peranan doa untuk meraih ilham.

Minda bawah sedar adalah satu-satunya media yang boleh bertindak sendirian mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh minda sedar. Misalkan begini; seseorang (B) telah menetapkan bahawa dia perlu berjaya dalam bidang yang diceburinya. Katalah bidang jualan. Apabila hatinya berkata; ”Aku mesti buat jualan bernilai RM1 juta pada tahun ini”. Dia sebenarnya telah meletakkan satu target dalam minda sedarnya. Target yang tertanam dalam minda sedar ini secara automatik akan diketahui oleh minda bawah sedar. Tanpa diketahui oleh B, minda bawah sedar ini akan bekerja dengan sendirinya dan akan memberikan jalan-jalan atau idea secara tidak terduga. Ia mungkin muncul seminit dua selepas itu atau pun sehari dua atau pun seminggu dua dan seterusnya. Syaratnya B mesti ada ilmu bantu iaitu pengetahuan-pengetahuan asas tentang perniagaan, ekonomi atau pengalaman-pengalaman berkaitan dan sebagainya. Pertumbuhan idea sebegini hanya mampu dilakukan oleh media yang bernama minda dan hanya boleh dilakukan oleh hidupan yang bernama manusia. Sekali lagi, kehebatan media ini perlu dikaitkan dengan izin Allah kerana bergantung semata-mata kepada minda bawah sedar tidaklah tepat dan tidaklah selalunya benar. Keupayaan manusia tidak selama-lamanya total sebab ia adalah kejadian yang dijadikan.

Lihatlah betapa minda bukan sekadar membekal maklumat tetapi mencari jawapan kepada permasalahan. Justeru, mengatakan ia adalah suatu bentuk media sahaja belumlah mencukupi sebab setiap yang dijadikan sentiasa dibawah kawalan ”Yang Menjadikan” dan inilah suatu hakikat yang perlu difahami dan diyakini oleh semua. Dalam kita mengagumi minda sebagai suatu bentuk media yang terhebat kita sebenarnya tertakluk kepada cabaran untuk mengakui memang ia ia telah dijadikan sedemikian oleh sebenar-benar pencipta iaitu Allah Yang Maha Mencipta.

Isnin, 25 Februari 2008

Megacreativity

Dalam kehidupan reality kita jangan terlalu fanatic dengan mempertahankan sikap konservatif enggan membuat perubahan walaupun sedikit. Seharusnya kita mesti berani melakukan sesuatu yang bukan kebiasaan supaya kita boleh nampak jalan yang kita tidak nampak di hadapan. Malang bagi kita selama ini bilamana fikiran kita dikelirukan dengan pelbagai kata-kata ugutan dan ancaman supaya kita terus berada ditakuk lama dan terus menyokong apa yang orang lain lakukan terhadap kita. Berikut adalah pengalaman seorang rakyat Rusia menerusi bukunya tentang perbezaan suasana sekeliling yang membentuk kreativiti seseorang manusia.

Anda ingin menjadi insan kreatif? Bolehkah semua orang menjadi kreatif? Kalau boleh, apakah caranya? Buku Megacreativity: 5 Steps to Thinking Like Genius dapat memberi cara-cara yang berkesan untuk menjadi kreatif dan mencapai genius. Cara-cara ini boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa yang terluang. Begitulah kesan kepada penulis apabila menganalisis buku ini.

Buku ini ditulis oleh Andrei Aleinikov mantan kolonel Rusia selama 10 tahun, berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan akhirnya menjadi rakyat AS pada Mei 2002. Pengalamannya sebagai rakyat Rusia seolah-olah memperlihatkan bahawa orang tidak boleh menjadi kreatif sewaktu tinggal di Rusia sebaliknya dapat menyuburkan kreativiti semasa tinggal di Amerika Syarikat.

Begitulah Aleinikov mengemukakan lima langkah untuk kita berfikir sebagai seorang genius. Pada langkah pertama dengan judul Quit Quitting, Aleinikov menjelaskan bahawa untuk seseorang mencapai tahap genius yang tertentu, mereka harus bertindak melatih diri menjadi kreatif.

Cara pertama dalam langkah ini tidak lain tidak bukan ialah “membuka minda”. Jika minda tertutup, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan kerana orang boleh terus menerus menjadi jumud. Untuk membuka minda, mereka harus mendedahkan dirinya kepada masalah. Dia akan menjadi kreatif dan genius jika terus melatih diri menyelesaikan masalah yang timbul pada setiap masalah. Untuk mematangkan diri dengan penyelesaian masalah, penulis memberi bimbingan terhadap penyelesaian secara tahap demi tahap. Hanya dengan membiasakan diri menyelesaikan masalah secara ini, minda kita akan terbuka dan berani berdepan dengan berbagai-bagai masalah kehidupan harian. Minda kita pula menjadi semakin kreatif dan terbuka.

Cara selanjutnya dalam langkah ini adalah untuk memahami bentuk genius. Untuk tujuan ini penulis berusaha membongkar konsep genius yang lama ini mengelirukan orang. Kekeliruan ini dijelaskan untuk mendapatkan konsep genius yang sebenarnya. Penulis cuba mencabar beberapa mitos tentang genius yang mengelirukan.

Antaranya, genius itu dilahirkan. Sebenarnya tidak. Genius bukan dilahirkan tetapi diciptakan. Genius juga bukan kerana keturunan tetapi kerana penyuburan diri seseorang melalui pendidikan awal dan pengaruh sosial yang kuat ditambahkan dengan ketrampilan yang dipelajari. Tanpa hal-hal ini orang tidak akan menjadi genius.

Mitos kedua yang mengatakan genius dapat dikenal pasti dalam diri anak-anak. Ini dicetuskan daripada idea tahap kecerdasan yang dipanggil prodigy dan rumusan yang cukup mengelirukan. Idea yang menyatakan bahawa jika kanak-kanak itu tidak dikenal pasti sebagai genius sejak dari kanak-kanak, ertinya kanak-kanak itu tidak genius.

Sebenarnya prodigy yang dikenal pasti pada zaman kanak-kanak. Seseorang yang mencapai tahap kecerdasan luar biasa yakni prodigy memperlihatkan kebolehan tahap dewasa pada zaman kanak-kanaknya. Genius pula berbeza. Misalnya Albert Einstein tidak boleh bercakap sehingga berumur tiga tahun bahkan mengalami kecacatan dalam percakapan semasa bersekolah. Pablo Picasso pula hanya dapat belajar dengan baik apabila bapanya duduk berdekatan dengannya semasa belajar. Thomas Edison pula memperoleh markah C dalam mata pelajaran Fizik. Robert Frost menerbitkan buku pertamanya pada umur 38 tahun. Peter Roger mencipta tesaurusnya yang masyhur selepas bersara, iaitu sewaktu berumur 70 tahun.

Mengambil kira hal-hal itu, dapatlah dikatakan bahawa genius boleh sahaja dicapai sewaktu seorang mencapai umur dewasa atau meningkat tua. Begitulah penulis mencadangkan bahawa pernyataan ”genius dapat dikenal pasti pada zaman kanak-kanak” ditukar kepada “eloklah dikenal pasti genius dalam diri setiap kanak-kanak dan orang yang dewasa”.

Untuk tujuan itu, Aleinikov mencadangkan agar setiap orang mengungkapkan genius “dalam diri kanak kanaknya”. Maksudnya biar pun seseorang sudah mencapai usia dewasa, yang matang atau meningkat tua, seseorang masih memiliki tabiat seperti anak-anak. Contohnya mereka suka berangan-angan, suka berlucu, berfikir gila-gila dan kadang kadang kelihatan memikirkan idea yang pandir. Adakalanya orang bermimpi untuk melaksanakan idea-idea yang pandir tetapi praktikal dalam hidupnya.

Andrei Aleinikov mencadangkan kita merakamkan beberapa idea pandir ini agar dapat dilaksanakan. Mana tahu jika idea yang bodoh ini boleh dilaksanakan dan menjadi kenyataan. Selanjutnya ada sesuatu pertanyaan yang harus difikirkan jika kita mahu menjadi lebih kreatif dan mencapai tahap genius. Adakah kita sanggup mengatakan “ya” kepada sesuatu kemungkinan atau kemustahilan? Pada beliau, kita harus positif dan mengatakan “ya” yakni bersetuju kepada sesuatu kemungkinan atau kemustahilan yang kita depani.

Manfaat kita melihat kemungkinan atau kemustahilan sebagai sesuatu yang positif ialah kita dapat melihat sesuatu dengan berbagai-bagai pandangan idea dan nazrah. Dengan cara ini, kita dapat melihat sesuatu masalah, fenomena atau peluang dengan cara yang baru dan segar. Dengan kata-kata lain, tidak akan kita lihat sesuatu masalah, fenomena atau peluang dalam dua konsep: tolak atau campur sahaja, bahkan kita melihat sesuatu yang lain, yang mungkin lebih menarik dan banyak kemungkinannya. Sebab itu pada beliau untuk meningkatkan kreativiti, kita harus selalu belajar mengelak akan kata-kata, “tidak” atau “tidak boleh”. Sebaliknya harus kita mengamalkan kata-kata “mengapa tidak”. Misalnya “mengapa tidak masalah itu diselesaikan dengan cara yang lain daripada yang lain”.

Di sini nampaknya penulis cuba mencabar agar dapat menukar cara kita berfikir satu haluan kepada pelbagai haluan kerana berfikir pelbagai haluan memungkinkan kita memperoleh idea yang baru dan lebih segar. Begitu juga dengan cara penyelesaian masalah yang lebih kreatif, segera dan terbuka berbekalkan cara berfikir pelbagai haluan.

Langkah selanjutnya iaitu langkah ketiga, keempat dan kelima memperlihatkan antara tujuan menjadi kreatif dan genius, iaitu “Go to a Million”, “Megavalue People” dan “Launch to Genius Orbit”. Perlu dijelaskan bahawa “Go to a Million” pada beliau tidak semestinya untuk menjadi kaya sahaja, tetapi menjadikan otak kita lebih bernilai jauh lebih penting.

Untuk tujuan ini, orang yang kreatif harus melakukan pembaharuan atau inovasi. Hubungan kreativiti dengan inovasi memang cukup erat kerana orang harus terlebih dahulu dapat berfikir secara kreatif dan terbuka sebelum melakukan sebarang inovasi.

Setelah melakukan inovasi sekali gus berjaya menjadi orang kreatif, kita harus melakukan lompatan untuk menguasai konsep kreativiti yang lebih besar yang beliau namakan Megacreativity. Maksud Megacreativity ialah penciptaan idea yang lebih pantas dan besar, berbanding dengan penciptaan idea sebelumnya yang agak lambat dan kecil.

Untuk memastikan kita memperoleh idea yang digolongkan dalam Megacreativity, ada hal-hal penting yang harus diperhatikan. Contohnya pemahaman yang jelas tentang penyuburan kreativiti dalam diri kanak-kanak. Kehidupan biasa dalam hidup kanak-kanak bukanlah kreativiti. Sebaliknya usaha menyuburkan hidup yang kreatif dalam jiwa kanak-kanak itulah suatu kreativiti.

Demikian juga bahawa kecantikan atau ketampanan semula jadi yang dimiliki oleh seseorang bukanlah kreativiti. Sebaliknya tugas seni seseorang jurucantik adalah kreativiti kerana ia mempercepat proses alamiah untuk mencantikkan wajah dan melambatkan proses alamiah ketuaan.

Selanjutnya proses pengajaran biasa bukanlah kreativiti sebaliknya usaha pencepatan pengajaran melalui reka bentuk pengajaran yang lebih kreatiI itulah kreativiti. Ertinya usaha pencepatan penyerapan idea kreatif dalam pelbagai bidang kehidupan tentunya akan mencapai tahap Megacreativity jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Begitulah langkah terakhir iaitu “Launch to the Genius Orbit” merupakan puncak penerapan idea yang kreatif dan Megacreativity dalam hampir semua bidang kehidupan. Aleinikov mencadangkan agar orang yang kreatif menguasai kaedah menjadi genius yang dicadangkan lebih awal. Diperlukan juga gerakan yang terancang untuk menerapkan keterampilan kreatif dan inovatif sebagai seorang genius yang kita miliki. Akan tetapi pesanan beliau yang cukup berguna kepada kita ialah memanfaatkan idea kreatif yang kita miliki dan mencuba memanfaatkannya dengan kadar yang segera.

Kesimpulannya, kita bukannya bodoh sangat tapi telah diperbodohkan, kita bukannya lembab dan lemah akal untuk berfikir kreatif tetapi telah dilemahkan untuk berfikir secara bebas dan terbuka dengan pelbagai ugutan dan ancaman pihak yang berkuasa dan kuat demi menjaga survival mereka supaya tidak dicabar oleh mereka yang mempunyai kesedaran dan berpotensi dalam kebijaksanaan berfikir jika ruang dan peluang dibuka dengan seluas-luasnya untuk mereka.

Sabtu, 23 Februari 2008

Budaya Sampah Di Sekolah

Sebelum ini saya ada menyentuh tentang sampah dan masyarakat, tapi kali ini saya hendak membicarakannya secara khusus tentang budaya membuang sampah di sekolah. Mustahil sekali ada sekolah yang benar-benar bersih tanpa ada sekeping kulit gula-gula atau keropok di buang di merata-rata tempat di sekolah.

Yang paling menyakitkan hati para pekerja kebersihan ialah apabila ada sampah yang dibuang di celah-celah lubang tak kira lubang apa pun sama ada lubang kunci, celah meja, celah suis, kalau di dalam makmal sains misalnya di dalam laci dan almari penuh dengan kulit gula-gula setiap kali selepas makmal digunakan. Itu belum lagi makmal computer, bengkel KHB dan bengkel seni.

Tong sampah sebenarnya ada disediakan tetapi mengapa pelajar masih juga membuang sampah di merata-rata tempat. Ini melibatkan budaya pendidikan di sekolah negara kita. Pendidikan di negara kita lebih menekankan akademik dan kecemerlangan keputusan ujian dan sukan. Soal akhlak, sikap dan perangai pelajar tidak ditekankan. Ada pihak mengatakan pelajar tidak perlu dibebankan dengan tugas-tugas yang remeh seperti itu. Kalau dulu semasa saya masih bersekolah setiap pagi pasti ada sekumpulan pelajar dari setiap kelas telah ditugaskan untuk membersih tandas, membersih longkang dan mengutip sampah. Tidak ada seorang pelajar pun akan terkecuali kerana setiap pelajar tak kira dari tingkatan berapa akan tiba gilirannya untuk tugas-tugas social di sekolah sepanjang tahun.

Tapi hari ini semua tugas itu telah diambil alih oleh pekerja kontrak pembersihan dan juga pekerja tetap di sekolah itu. Seorang tukang akan sibuk menukar suis yang rosak, tingkap kelas yang pecah dan pintu kelas yang tercabut, ia sengaja dirosakkan oleh pelajar. Pelajar hari ini terlalu dimanjakan dan tidak diberi latihan untuk melakukan kerja-kerja amal di sekolah. Pada tanggapan pihak lain, apa gunanya pekerja dibayar gaji tiap bulan kalau bukan hendak mengerjakan itu semua.

Ini bukan soal tak kerja dan goyang kaki tak ada kerja nak buat, tapi ini adalah soal pendidikan kepada anak-anak kita supaya saling tolong menolong dan menjaga kebersihan kawasan dan harta benda awam di sekolah. Bila di sekolah sudah terdidik dengan cara sedemikian, pasti juga ia menjadi amalan di rumah. Pastinya setiap ibu bapa inginkan anak-anak yang cemerlang dalam semua segi. Jangan cemerlang akademik dan sukan saja tapi akhlak hancur menyusahkan ibu bapa.

Kalau budaya sebegini dipraktikkan di sekolah secara berterusan pastinya tidak ada budaya vandalisme dan menyusahkan ketenteraman awam berlaku di luar sekolah. Golongan yang tak mendapat didikan akhlak di sekolah ini lah yang bakal mengganggu dan merosakkan harta benda awam di dalam kalangan masyarakat umum kelak. Walaupun ada matapelajaran kesedaran sivik namun ianya sekadar teori semata-mata, tiada praktikal diamalkan di sekolah. Pembelajaran tidak seiring dengan perlaksanaan praktikal, ini semua kerana mengutamakan keputusan semata-mata.

Disebabkan di sekolah mereka dilayan seperti anak raja, tidak diberi latihan kerja social maka itulah muncul gejala baru iaitu tabiat membuli. Sekarang ini pelajar bukan saja suka membuli sesama mereka sendiri di kalangan pelajar tetapi mula sudah tahu membuli orang dewasa secara tidak langsung. Mereka membuang sampah merata-rata kemudian pekerja pembersihan mengutip dan membersihnya. Mereka sengaja merosakkan kerusi bangku dan suis elektrik serta memecah tingkap kemudian pekerja am akan membaiki dan menggantikannya. Begitulah seterusnya sampai bila-bila selagi tidak ada usaha untuk mendidik pelajar agar mempunyai sikap hormat dan bertanggungjawab di sekolah.

Jika system pembelajaran dan pengajaran di sekolah disusun dengan betul iaitu antara pembelajaran di dalam kelas dengan pembelajaran di luar kelas. Tidak mustahil pelajar dapat dibentuk dengan baik. Di dalam kelas cemerlang dengan akademik, di luar kelas pula bukan saja cemerlang dalam kokurikulum tapi juga sikap tolong menolong dan hormat menghormati. Sudah tentu negara akan dapat menjimatkan wang rakyat daripada memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Jika program latihan khidmat sekolah dapat dibentuk dengan baik dan tersusun pastinya pelajar kita yang akan menjadi orang dewasa kelak akan mempunyai disiplin yang baik. Jadi negara kita dapat menjimatkan wang rakyat daripada diperuntukkan bagi program PLKN ini.

Di sekolah yang saya lihat walaupun tong sampah berada di depan mata sekalipun masih juga pelajar membuang sampah di bawah bangku, atas meja, bawah meja. Di dalam kelas lagi teruk, seolah-olah tiada pelajar yang bertugas atau rela bertugas untuk bekerjasama membersihkan kelas masing-masing. Sehinggakan di dalam kelas pun tiada jadual nama pelajar bertugas membersih kelas dari hari isnin hingga jumaat. Beginilah reality pelajar masa kini.

Mungkin ada pentadbiran sekolah yang cukup ketat perlaksanaan disiplin pelajarnya. Tidak kurang juga banyak sekolah yang pentadbirannya berterabur dengan masalah disiplin yang teruk. Tidak pasti apakah puncanya, adakah kerana bebanan tugas yang semakin hari semakin banyak? Tepuk dada tanya selera. Kerana apa yang paling penting adalah kecemerlangan akademik dan sukan perlu dijaga dan dipertingkatkan. Yang lain-lain tu tolak tepi biarkan saja asalkan sekolah dapat anugerah maka semua tenaga kerja perlu dikerah supaya tak makan gaji buta untuk memanjakan anak-anak dan pelajar kita dengan segala kesenangan dan kemudahan yang mereka tak perlu bersusah-susah nak dapat.

Jadi, pekerja yang jadi kuli pelajar dan kuli pegawai atasan terpaksalah terima hakikat ini. Jangan banyak soal dan jangan komplen kat mana-mana media, kalau tak akan kena gam. Tapi saya bukan hamba abdi, saya manusia yang bebas dan mempunyai hak untuk bersuara secara bebas tanpa rasa khuatir. Namun, realitinya kebebasan itu hakikatnya tiada kerana yang kuat akan berkuasa dan yang berkuasa boleh bertindak atas mereka yang lemah.

Kalau tidak mau dibuli maka bersuaralah dalam keadaan Private & Confindential tanpa mendedahkan identity supaya tak akan dibuli sama ada di alam siber maupun di alam reality.

Khamis, 21 Februari 2008

Publish Or Perish

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beberapa tahun lalu pernah mengeluh kerana hanya segelintir daripada lebih kurang 9’000 tenaga akademik tanahair yang menulis. Saya tidak pasti apakah beliau bermaksud menerbitkan karya dengan agensi pimpinan beliau atau angka itu mengambil kira penerbit-penerbit yang lain juga. Saya juga kurang pasti apakah beliau merujuk kepada penerbitan ilmiah dalam bidang masing-masing atau penerbitan yang meskipun ilmiah yang bersifat umum dan melepasi audien pengkhususan ahli-ahli akademik itu.

Bagaimanapun setahu saya masalah yang disebut Ketua Pengarah DBP itu memang wujud. Sukar untuk menafikan bahawa jumlah yang menulis dan menerbit di kalangan pensyarah-pensyarah universili amat kecil bilangannya. Mungkin kalau diletakkan angka 10% dari keseluruhan angka 9’000 atau di dalam fakulti atau jabatan pun sudah tinggi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kebanyakan tenaga pengajar di universiti hanya mengajar dan memeriksa kertas sahaja. Dan apa yang menyedihkan ialah mereka yang tidak menulis dan menerbit tidak berasa bersalah atau janggal. Setengahnya malah tanpa segan silu mengatakan bahawa “tugas saya mengajar, bukan menulis”! Golongan ini jarang atau tidak pernah menghadiri, jauh sekali menyampaikan kertas dalam seminar di dalam atau luar negara. Dengan demikian hanya pelajar yang mengambil kertas atau kursus mereka sahaja yang mengenali mereka.

Pada hakikatnya menerbit, yakni menulis di peringkat pengajian tinggi, dengan sendirinya mengkehendaki penyelidikan. Ini kerana penulisan akademik bukan penulisan yang cetek dan tidak mempunyai sebarang analisis. Hatta jika para pensyarah itu mahu menulis di dalam media popular sekalipun ia memerlukan kepakaran dan penyelidikan. Jika tidak tulisan mereka akan hambar dan dangkal.

Di peringkat universiti, mengajar sebenarnya memerlukan penyelidikan kerana para mahasiswa mengharapkan sesuatu yang baru dan asli, yang tidak mungkin datang tanpa penyelidikan. Sebab itu adalah salah jika golongan berkenaan mengatakan bahawa tugas mereka hanya mengajar, bukan menyelidik. Apakah mereka beranggapan bahawa cukup untuk mereka menyalin dan mengulang bahan yang sama saban semester dan tahun? Bagaimana pula dengan perkembangan lain yang perlu diambilkira sama, yang kebanyakannya tidak terdapat di dalam buku-buku teks?

Apa yang disebut oleh Ketua Pengarah DBP sebenarnya adalah sesuatu yang lebih jauh lagi kerana saya menduga bahawa beliau menjurus kepada penerbitan-penerbitan yang boleh dijual kepada umum, bukan penerbitan-penerbitan yang hanya boleh difahami oleh mereka yang berkecimpung di dalam bidang berkenaan sahaja.

Bidang ini sebenarnya lebih sulit dan tidak ramai golongan pensyarah, hatta di kalangan yang menyelidik dan menulis sekalipun yang berkecimpung di dalamnya. Kebanyakan ahli akademik hanya menyelidik dan menulis untuk teman-teman sepakaran sahaja. Tidak ramai orang akademik yang boleh bercakap seperti Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, Profesor KS Jomo, Profesor Syed Naquib al-Attas atau Dr Chandra Muzaffar. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan untuk mengaplikasikan bidang dan kepakaran masing-masing ke atas masalah semasa masyarakat.

Tidak perlulah disebutkan betapa kemampuan itu juga turut mengkehendaki keberanian dan ketulenan intelektual. Ini semua datang sekiranya seseorang pensyarah itu benar-benar komited dan memahami peranan dan fungsi mereka. Dan oleh kerana golongan ini sedar bahawa mereka mempunyai nilai yang tinggi mereka tidak takut berhadapan dengan risiko kerana kalau tindakan membuang kerja diambil sekalipun mereka boleh bekerja di tempat lain. Di pihak berwajib pula mereka berfikir banyak kali sebelum mengambil tindakan kerana tindakan yang tidak bijak akan hanya mengundang kontroversi dan menyebabkan pihak berkenaan dipandang sebagai anti intelektual, satu gelaran yang mereka tidak sanggup untuk menerimanya.

Berbalik kepada soal penerbitan tadi sebenarnya insentif yang ada dalam bidang ini mencukupi. Meskipun insentif yang ada di negara ini tidak dapat menandingi apa yang diperolehi oleh teman-teman sejawatan mereka di Barat, rasanya ia tidaklah terlalu rendah. Seorang bekas guru saya yang kini adalah seorang profesor di Universiti Oxford mengakui bahawa beliau dapat “buat duit’ apabila buku beliau diterbitkan oleh penerbit Penguin. Saya agak terkejut kerana buku yang beliau tulis itu ialah buku tenlang undang-undang Kesatuan Eropah (EU). Bagaimanapun apabila ia diterbitkan oleh Penguin ia sudah cukup menggambarkan betapa pendekatan yang diambil oleh professor berkenaan boleh dijual kepada umum.

Masalah kurangnya penerbitan di kalangan tenaga akademik sebenarnya turut menandakan adanya satu kitaran ganas, baik di dalam kampus atau di dalam sistem pentadbiran kita. Dunia penerbitan tidak begitu ”glamour” kerana masyarakat kita tidak gemar membaca. Saya tidak mempunyai statistiknya tetapi yang saya ingat bahawa setakat ini saya belum pernah menemui perangkaan yang menunjukkan bahawa minat membaca di negara ini meningkat.

Dan gejalanya telah mula kelihatan sejak di universiti lagi. Para pelajar hanya membaca nota kuliah dan buku teks sahaja. Mereka tidak gemar membaca buku lain, hatta yang masih mempunyai kaitan dengan bidang pengajian mereka. Pelajar undang-undang misalnya tidak berminat membaca buku-buku akademik yang berkaitan dengan subjek yang mereka ambil.

Hendak dikatakan bahawa para mahasiswa tidak mempunyai wang mereka kelihatannya mampu membeli benda-benda lain seperti telefon bimbit, baju berjenama, motosikal dan seumpamanya. Sekarang ini kebanyakan kampus di Malaysia menghadapi masalah tempat letak kereta, sesuatu yang menunjukkan bahawa pelajar sebenarnya mampu membeli buku dan bahan bacaan lain. Malangnya mereka lebih gemar menyalin sahaja. Kita boleh bayangkan bagaimana ini akan merebak selepas mereka tamat pengajian dan meninggalkan kampus.

Jika beginilah sikap golongan yang berpendidikan tinggi terhadap buku, kita boleh bayangkan kesannya terhadap perkembangan minda dan intelektual khususnya terhadap industri buku dan penerbitan lainnya.

Berbalik kepada para pensyarah tadi, kita boleh mencadangkan supaya pihak berkenaan mengeluarkan dana atau geran yang cukup untuk membantu penerbitan. Bagaimanapun setakat ini tidak banyak kemajuan diperlihatkan. Malah sebenarnya pihak universiti juga mengeluarkan geran untuk penyelidikan dan penerbitan. Mengingat kenyataan ini kita terpaksa mengakui bahawa ia sebenarnya bergantung kepada soal sikap di kalangan para akademik itu sendiri. Dan dalam apa bidang sekalipun komitmen dan pengorbanan amat perlu.

Dari sudut yang lain barangkali fenomena yang dibangkitkan oleh Ketua Pengarabh DBP itu secara tidak langsung turut menonjolkan imej hodoh dasar membantu para pelajar bumiputera untuk menjadi ahli akademik. Sebaik sahaja mereka memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) mereka berasa sudah berjaya dan mengira-ngira kenaikan pangkat melalui jalan-jalan yang lain, seperti menjadi dekan, timbalan dekan atau ketua jabatan. Dan oleh kerana di negara ini kedudukan berkenaan lebih merupakan lantikan yang dibuat berdasarkan kriteria bukan akademik maka ia menjadi sarang buat golongan yang sudab lupa diri itu.

Sering disebutkan bahawa dalam dunia akademik kata-kata seperti “publish or perish” adalah amaran buat semua pensyarah. Bagaimanapun oleh kerana sistem yang ada membolehkan golongan yang malas tadi hidup setengahnya malah berupaya mendapat kenaikan pangkat akademik, kata-kata itu hanya benar bagi golongan paria yakni golongan yang tidak disukai oleb pihak ”eshtablishment” baik di dalam mahupun di luar kampus.

Sementara itu para pensyarah yang terlibat dengan program motivasi agak ramai kerana ia mendatangkan pulangan kewangan yang lebih segera. Dan masyarakat nampaknya meminati program-program seumpama itu. Program-program sedemikian juga banyak disiarkan dalam televisyen. Berbanding dengan pembacaan, program-program sedemikian nampaknya menunjukkan sambutan yang lebih di kalangan masyarakat.

Untuk memperbetulkan keadaan yang disebut oleh Ketua Pengarah DBP tadi satu perubahan yang mendasar perlu dibuat di universiti-universiti kita. Anugerah-anugerah yang mempunyai potensi mengurangkan minat dan kesungguhan untuk menyelidik dan menulis harus tidak diwujudkan. Selain itu dasar-dasar dan program-program perlu mencerminkan kesungguhan ke arah kecemerlangan akademik yang sebenarnya tiada lain merupakan penyelidikan dan penerbitan. Jawatan-jawatan pentadbiran perlu digilirkan supaya tidak ada siapa yang berasa bahawa mereka dikecualikan daripada pninsip “publish or perish” itu.

Rabu, 20 Februari 2008

"Smart"

Selalu mendengar, “Learn smart, work smart, earn smart?” Selalu juga mendengar ungkapan, “Don’t work hard, but work smart?”

Nampaknya perkataan “smart” begitu berkeramat sekali. Ia mudah disebut tetapi payah juga untuk dibuktikan. Mengapa? Sebab ia adalah gabungan mental, fizikal dan spiritual. Tanpa salah satu seseorang itu tidak akan menjadi “smart’ tidak boleh dikatakan “smart” bahkan dia mungkin melakukan perkara-perkara yang boleh ditafsirkan sebagai tak berakal.

Mental seseorang yang “smart” sentiasa “brilliant” dan “evergreen” untuk mengeluarkan idea-idea baru lagi bernas, sesuai dengan peredaran zaman atau perkembangan yang mengambil tempat. Fizikalnya sihat, terpancar melalui pergerakannya yang tangkas dan spiritualnya utuh, tergambar melalui pengamalan-pengamalan agamanya.

Realitinya, dalam kehidupan hari ini apabila perkataan “smart” disebut, ramai orang membayangkan seseorang yang bertali leher, pen jenama popularnya di poket, mungkin memakai kot. Pendek kata kemas. Jika wanita pula orang itu memakai blazer sedondon. Dia mungkin mengenakan kacamata hitam berbingkai emas. Kenderaan yang dipandunya jenis import.

Tidak dinafikan, itulah ciri-ciri yang merangsang “smart” tapi “smart” jauh lebih mencabar dari itu. “Smart” sebenarnya bermula di kepala. Apa yang menghiasi tubuh adalah “booste” untuk membantu apa yang ada di dalam kepala menjadi “smart” dan bertindak “smart”.

Peliknya otak manusia ini, kadang-kadang walaupun tidak berapa banyak ilmu tersimpan di situ, tetapi disebabkan adanya rangsangan rangsangan luaran yang disebutkan itu tadi, ia boleh bertindak seiring dengan apa yang dihadapi. Misalnya, seorang jurujual yang hanya tahu mempengaruhi pelanggan biasa, suatu hari dia berdepan dengan pelanggan “smart” yang pakar dalam satu-satu bidang. Disebabkan oleh tampil dirinya hampir menyamai pelanggan itu, mungkin sama-sama bertali leher dan berkot serta berkacamata tebal, dia mampu menyampuk apa-apa juga yang diperkatakan oleh pelanggan itu, walaupun sebelumnya dia tidak begitu berpengetahuan.

Begitulah “smart” nya orang yang merasakan dirinya “smart” lalu bertindak dengan “smart” . Tidak semena-mena mindanya mengeluarkan idea-idea “smart’: jurujual yang “smart” seperti ini akan sentiasa dapat mempengaruhi pelanggannya. Bukanlah dia bijak tetapi semata-mata kerana dia “smart’.

Jika begitu peranan berlaku “smart”, nampaknya kita terpaksa mengusahakan agar sikap ini terbentuk dan tertanam terus dalam diri kita. Maklumlah dalam menjalani hidup yang serba canggih hari ini kita memang perlu sentiasa “smart” supaya orang yang lebih “smart” tidak memperdayakan kita.

Saya mengakronimkan ejaan SMART sebagai ”Saya Menguasai A Rata Tinggi” atau dalam bahasa Inggeris, “I win A Flat” atau dalam bahasa Sarawak “Kamek Menang Semua”. Dengan meletakkan slogan ini tatkala “bersmart-smart” dengan sendirinya merangsang otak untuk turut “smart” selari dengan tampil diri yang mahu ditunjukkan. “Saya mahu menguasai A rata tinggi” bermakna satu dorongan untuk melakukan yang terbaik.

Secara khusus bagaimanakah ciri-ciri “smart” ini boleh direalitikan? Mengikut kaedah “extra mind” saya menggariskan tiga cara:

1. Konsisten
Orang smart berterusan dalam memotivasi diri. Dia seorang yang tekun dalam kerjanya dan sentiasa cuba menguasai bidangnya serta mengikut perkembangan persekitaran dengan penuh kesedaran untuk memperbaiki diri. Sebenarnya, mengikut kajian psikologi, dengan menyibukkan diri setiap hari, ia akan mengurangkan tekanan atau “stress” . Orang yang tidak melakukan apa-apa atau malas sebenarnya lebih mudah mendapat tekanan berbanding orang yang sentiasa aktif menjalani hidupnya.

2. Ghairah
Ghairah dalam aspek ini adalah lonjakan yang dibentuk setiap awal pagi sebaik sahaja terjaga dari tidur. Rasa ghairah untuk hidup dan melakukan yang terbaik akan mendorong kecemerlangan dan rasa sihat sepanjang hari. Orang “smart” sentiasa merasakan hidup adalah jalan untuk meraih kejayaan meskipun seribu halangan terpaksa ditempuh. Ghairah dengan hidup adalah punca segala kejayaan. Rasa ini lahir dari jiwa yang suci. Ia berkait rapat dengan matlamat hidup seseorang itu.

3. Gapai
Apa juga yang diingini tidak akan diperolehi jika tangan tidak dihulur untuk mengambilnya. Tanpa inisiatif untuk merealitikan segala impian, semua yang diidam-idamkan itu akan hanya wujud dalam imaginasi dan ilusi sahaja. “Bulat tidak akan datang bergolek dan pipih tidak akan datang melayang” tanpa usaha yang gigih. Individu yang “smart” sentiasa cuba menggapai apa yang diingininya. Dia tidak hanya bertahan pada angan-angan.

Orang “smart” berani mengambil risiko walaupun dia tahu risiko selalunya diterjemahkan kepada kerugian dan kesakitan. Dia seorang yang berani untuk gagal dengan menganggap kalau dia tidak gagal jawapannya pasti sebaliknya - berjaya. Dia hanya akan berada dalam dua situasi gagal atau berjaya. Dengan segala usaha yang dicurahkan dia lebih yakin akan berjaya namun berani untuk gagal sebab kegagalan adalah tiket kedewasaan dan bertambahnya pengalaman.

Sesungguhnya seseorang yang takut pada risiko bukan sahaja membantutkan segala kreativiti yang ada pada diri mereka malah ianya merupakan penghalang ke arah proses anjakan paradigma ke arah kehidupan “smart” .