Custom Search

Reviews Directory

Khamis, 14 Februari 2008

Hakikat Valentine's Day

Sempena Hari Valentine yang disambut hari ini dan pada hari tahun-tahun berikutnya, saya sertakan artikel ini untuk panduan bersama berkenaan dengan kasih terhadap wanita. Sebagai seorang lelaki kita kena memahami mengapa kita mencintai wanita dan apakah batas-batasnya. Jangan kita mudah terpengaruh dengan budaya barat yang menyambut Hari Valentine secara keterlaluan dan menganggapinya sekadar menunjukkan tentang perasaan cinta semata-mata. Sehingga apa yang mereka lakukan semasa menyambutnya juga kita ikuti juga. Berhati-hatilah dengan dakyah halus ini kerana sememangnya golongan kafir tak akan redha dengan kehidupan kita umat Islam sehingga kiamat selagi kita tidak mengikut apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka perkatakan. Sebab dalam banyak-banyak hal umat Islam yang lemah imannya lebih bersikap keterlaluan daripada orang barat sendiri dalam pengamalan budaya yang diperkenalkan kepada umat Islam. Mereka sentiasa memperelokkan sesuatu yang tidak elok supaya kita mudah terjerumus ke dalam kesesatan dan kemaksiatan.


Sejarah Ringkas Asal Usul Valentine Day
Valentine’s Day disambut untuk memperingati kematian tragis seorang Paderi iaitu St. Valentine yang dibunuh oleh Raja Romawi yang bernama Raja Claudius II (268-270M). St. Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan ramai askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Ianya ikon kasih sayang yang diwujudkan oleh Pope Gelasius I (496M) untuk mendekatkan masyarakat Rom kepada agama Kristian melalui satu sambutan perayaan gereja. Ia juga bagi menyaingi perayaan Paganisme Romawi kuno iaitu Lupercalia (perayaan untuk Dewa Lupercius dengan mempersembahkan korban binatang).

Jadi, apabila ada unsur ritual agama lain dan kita pula sama-sama raikannya, seakan-akan kita reda dengan perbuatan menyekutukan Allah (syirik) sedangkan syirik adalah dosa yang tidak terampun. Jika dulu untuk menyaingi perayaan Paganisme Rom sekarang diperkenalkan pula kepada umat Islam untuk menyaingi apa yang diajarkan oleh Islam dan tauladan Rasulullah kepada kita dalam mengungkapkan cinta terhadap wanita. Ini suatu usaha untuk menyesatkan dan merosakkan umat Islam.

Kasih Terhadap Wanita : Lelaki Capai Kesempurnaan
Sifat kasih sayang merupakan suatu anugerah Allah s.w.t. kepada manusia. Ia juga antara sifat semula jadi manusia yang berkecenderungan berkasih sayang antara satu sama lain. Justeru, manusia saling kasih mengasihi sesama mereka. Allah s.w.t. menegaskan mengenal sifat kasih sayang atau cinta dalam al-Quran melalui surah Ali Imran, ayat 14 yang bermaksud, “Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita, anak-anak dan harta.” Ketika mentafsirkan ayat ini, Ibnu Kathir menegaskan bahawa Allah s.w.t. memberitahu bahawa manusia dihiasi dengan kecintaan terhadap perkara yang lazat dan menyeronokkannya seperti wanita, anak-anak dan harta, namun wanita diutamakan kerana melalui wanitalah lahir pelbagai kebaikan, mahupun fitnah dan dugaan.

Dengan ini, kasih atau cinta adalah lumrah kejadian insan di muka bumi ini, malah manusia yang saling cinta mencintai mengikut proses semulajadi yang betul dianggap satu kesempurnaan bagi setiap insan. Mencapai tahap kesempurnaan insan di muka bumi ini agak mustahil kerana sifat kesempurnaan mutlak itu hanyalah milik Allah sebagaimana yang boleh kita fahamkan melalui proses penciptaan manusia, iaitu pada asal kejadiannya adalah sebagai makhluk yang lemah, hanya Allah s.w.t sahajalah yang sempurna segala-galanya.

Menyentuh mengenai kesempurnaan ini, Ibnu Al-Jauzi ada menegaskan bahawa kesempurnaan itu adalah suatu perkara baik, yang sudah tentu diterima oleh jiwa dan akal manusia. Tetapi secara realitinya, bilangan yang sempurna itu amat sedikit (Ibnu al-Jauzi: Shoidul Khatir 1999:304). Ini membuktikan bahawa kesempurnaan itu jarang-jarang ditemui lebih-lebih lagi dalam kalangan makhluk ciptaan Allah s.w.t. di dunia ini. Hanya Allah s.w.t. pencipta yang Maha Sempurna segala-galanya.

Namun kesempurnaan yang dimaksudkan di sini ialah kesempurnaan yang menjadi kelaziman dalam kehidupan. Manakala kelaziman pula perkara yang menenangkan jiwa melalui penyaksian akal. Dalam erti kata lain, kelaziman ialah penerimaan jiwa dan akal terhadap sesuatu. Umpama perasaan dan hati tidak dapat menerima dan menanggapkan lelaki itu sempurna jika tidak mengingini atau mengasihi wanita. Sebaliknya manusia melalui perasaan dan akal menganggapkan seorang lelaki yang mengasihi wanita dan mengingininya adalah sempurna atau normal.

Manusia mampu berusaha untuk mencapai ke arah yang sempurna, bukan sekadar berpuas hati terhadap pencapaian dalam perbicaraan atau bidang yang diceburi. Sama ada tahap kesempurnaan itu tercapai atau tidak, itu hal yang lain. Hanya kepada Allah s.w.t. kita berserah yang akan menentukannya.

Dalam konteks kesempurnaan ini, dan apabila dikaitkan dengan kasih sayang, seorang lelaki yang mempunyai perasaan kasih sayang terhadap wanita dikira seorang lelaki yang telah sampai kepada kesempurnaan manusia. Maksudnya ialah, lelaki tersebut tidak mempunyai kecacatan perasaan berbanding dengan seorang lelaki lain yang tidak mempunyai kasih sayang atau mempunyai perasaan terhadap wanita sedikit pun. Bahkan tidak menjadi suatu keaiban dan tanggapan negatif bagi seseorang yang mencintai wanita sekalipun dengan keterlaluan, bahkan demikian itu melahirkan suatu tanda kesempurnaan seseorang yang digelarkan lelaki.

Pakar psikologi Barat juga menganggap mereka yang tidak berkasih sayang atau mempunyai keinginan terhadap wanita adalah tidak sempurna kelelakiannya. Justeru, pondan yang tidak berkeinginan kepada wanita dianggap tidak normal.

Allah s.w.t. telah menciptakan wanita untuk golongan lelaki demi keperluan lahir dan batin sebagaimana dalam firman Allah s.w.t. dalam sural Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud, “Dan sebahagian daripada ayat-ayat Nya bahawa ia jadikan bagi kamu daripada jenis kamu isteri-isteri yang kamu dapat bersenang-senang kepadanya. Dan ia jadikan di antara kamu percintaan dan kasih sayang. Demikian itu untuk menjadi tanda kekuasaan Allah s.w.t. bagi kaum yang mahu berfikir.”

Daripada ayat ini jelas bahawa, Allah s.w.t. menciptakan wanita sebagai penenang kepada lelaki, agar kaum lelaki dapat menikmati ketenangan dan ketenteraman hati di samping isteri-isteri yang mereka cintai. Seterusnya Allah s.w.t. menciptakan di antara kedua-dua suami isteri itu kasih sayang yang berasaskan keikhlasan kepada Allah s.w.t. yang kemudiannya dapat melahirkan perasaan mawaddah dan rahmat di antara pasangan suami isteri itu.

Rasulullah s.a.w. sendiri bersifat dengan sifat seorang yang penyayang. Baginda diriwayatkan menyayangi dan mencintai beberapa perkara termasuk wanita, siwak, bau wangian, dan solat witir. Dengan contoh pemimpin Islam yang amat teragung seperti Rasulullah s.a.w. ini juga mencintai wanita, sudah tentu ini melambangkan mengasihi wanita adalah suatu perkara yang diharuskan dalam Islam, malah menggambarkan kesempurnaan kelelakian.

Dalam hal ini juga, Rasulullah s.a.w. tidak mengaku umat terhadap mereka yang tidak mahu mengahwini wanita, ini jelas dilihat daripada sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Segala pujian bagi Allah s.w.t., dan saya sentiasa memujinya. Saya sembahyang dan tidur, saya berpuasa dan membukanya, saya juga mengahwini wanita, siapa yang tidak suka kepada sunnahku, maka ia bukan daripada golonganku.”

Mengahwini wanita merupakan sunnah Rasulullah s.a.w., justeru sudah tentu untuk melaksanakan sunnah tersebut memerlukan kepada wanita, begitu pentingnya satu ciptaan Allah s.w.t. yang dinamakan wanita itu dalam kehidupan ini. Menurut sesetengah pendapat ulama, wanita juga mencantikkan alam ini. Dengan itu, dianggap normal serta mencapai kemuncak kemanusiaan seorang lelaki yang mencintai wanita, dan kemudian mengahwininya. Cinta seorang lelaki terhadap wanita bukan suatu keaiban dan kekurangan, bahkan ia dapat menggambarkan kemuncak kesempurnaan seorang manusia.

Bagaimanapun, cinta kepada wanita juga hendaklah disemai dan dijaga supaya tidak terkeluar daripada landasan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Namun, kita amat diseru mengutamakan cinta yang dapat mendorong mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ibnu Qayyim Al-Jauziah ada menegaskan bahawa cinta yang terpilih baginya ialah cinta yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan mentaati Nya seperti cinta terhadap isteri dan hambanya. Maka cinta ini dapat memberi faedah kepadanya dengan mendorong untuk mencapai tujuan maqasid syariat Allah s.w.t. iaitu berkahwin. Dengan itu, dia dapat merendahkan pandangan serta memelihara hati daripada mengingati wanita yang lain daripada isterinya. Cinta seperti ini disukai oleh Allah s.w.t. serta mendekatkan diri kepadanya. Cinta seperti ini juga disukai manusia.

Namun yang amat menyedihkan, hari ini, ramai telah salah menggunakan nikmat kasih sayang semulajadi manusia yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. sehingga sanggup melakukan hubungan seks secara haram.

Kesimpulannya, sifat kasih sayang atau kecenderungan seorang lelaki terhadap seorang wanita adalah suatu anugerah Allah s.w.t. yang amat bernilai kepada insan. Malah ia juga dapat menjadikan seorang itu sempurna serta normal melalui kecintaannya kepada wanita. Dengan ini seorang lelaki mencapai kesempurnaan kelelakiannya melalui wanita. Namun begitu ramai para lelaki yang tidak menyedari tentang nikmat ini sehingga menjadikan kasih sayang kepada wanita itu sebagai pencetus objek maksiat, atau mengadakan pergaulan bebas serta menderhaka terhadap Allah s.w.t. Apakah kecintaan atau kasih sayang wanita seperti ini dianggap sempurna kelelakian seseorang lelaki atau kebinasaan yang sempurna?

Untuk maklumat lanjut :
Valentine Day menurut pandangan Islam

Tiada ulasan: