Masa berlalu begitu pantas sekali sehinggakan kita tidak menyedarinya. Tapi apakah pencapaian yang telah kita lakukan pada hari ini. Apakah masih sama seperti hari kelmarin atau hari-hari sebelumnya. Seharusnya kita perlu membuat perubahan dan kalau boleh setiap hari, namun bagi yang tidak mampu cukuplah sekadar memperbaiki diri sendiri. Itu pun dikira sebagai satu perubahan walaupun kita tidak membuat sesuatu yang baru pada hari ini.
Berbicara tentang perubahan ini sebenarnya sesuatu yang begitu peribadi tetapi kita boleh melihat apakah perubahan yang berlaku pada orang-orang tertentu sama ada yang kita tak kenali mahupun yang kita kenali. Tahap perubahan tidak sama bagi setiap orang kerana kita masing-masing mempunyai latar belakang yang berlainan dan dipengaruhi pula oleh keadaan situasi persekitaran. Ada yang dilahirkan dalam kemewahan, ada yang keluarganya susah hanya kais pagi makan pagi, ada juga yang terdidik dengan betul dan sempurna sejak dari kecil lagi dan macam-macam lagi keadaannya yang akan mempengaruhi proses perkembangan dari seorang kanak-kanak kecil sehingga menjadi dewasa.
Jika yang berasal dari keluarga yang mewah atau agak senang sedikit, maka perubahan yang berlaku kepada mereka sememangnya terurus dengan sempurna, tidak kurang juga yang tak sempurna kerana keluarga terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan dunia menyebabkan kasih saying mereka terabai. Bagi mereka yang datang dari keluarga yang susah sudah tentu banyak menghadapi banyak cabaran dan dugaan. Mereka ini kebanyakannya lebih berfikiran kritikal daripada kreatif, namun sekiranya pemikiran kedua-duanya dapat diseimbangkan maka kekreatifannya akan lebih menonjol bagi mencerminkan sifat lasaknya yang tahan terhadap dugaan. Dengan kekreatifannya itulah maka sebarang kesukaran dapat dipermudahkan sama ada disebabkan oleh kebijaksanaan caranya berfikir atau hasil usahanya untuk mempermudahkan tugas yang berat.
Pemikiran sebegini banyak digunakan oleh orang-orang dahulu kala kerana dahulu kita tahu kehidupan memang susah kerana tidak banyak peralatan. Jadi kesusahan itulah menjadikan mereka berusaha mencari idea demi idea bagi menghasilkan ciptaan-ciptaan moden. Daripada ciptaan yang ringkas berkonsepkan mekanikal kemudiannya semakin berkembang selaras dengan perubahan pemikiran yang semakin kompleks. Sehinggalah ke hari ini kita melihat perkembangan yang sangat menakjubkan dalam teknologi-teknologi canggih yang berasaskan teknologi maklumat. Dengan teknologi maklumat maka semua peralatan menjadi pintar dan boleh bertindak secara automatic dan bertindak balas dengan pantas sekali. Kalau bukan kerana disebabkan orang yang mahu berubah pasti perubahan dari yang ringkas kepada sesuatu yang sofistikated tidak akan terhasil. Kita tidak akan berada di depan computer ini sekarang jika tiada perubahan.
Mengapa ramai orang terutama di negara membangun dan mundur tidak banyak yang berpemikiran kritikal sebaliknya lebih banyak yang emosional? Ini sebenarnya melibatkan dasar dan polisi kerajaan dalam sesebuah negara. Di negara maju, mereka mengamalkan dasar yang terbuka dan menghargai mereka yang berfikiran terbuka dan kritikal maka golongan ini akan diberi sokongan dan bantuan yang sewajarnya. Mereka sedar akan potensi golongan yang kritikal ini kerana pemikiran mereka sentiasa hidup dan berkembang. Jika dimanfaatkan dengan sebaiknya maka mereka yang berfikiran kritikal ini dapat memberi sumbangan yang cukup bermakna dari segi idea dan keupayaan kemahiran yang dibentuk berdasarkan cara mereka berfikir. Manakala bagi negara mundur dan membangun lebih bersikap menekan dan berhati-hati khuatir dengan ancaman pihak lawan sehinggakan rakyat yang suka mengkritik pun dianggap berada di pihak lawan.
Sebab itulah kita boleh lihat ramai golongan bijak pandai,cendakiawan dan pakar-pakar dari negara lain berhijrah menjadi warganegara Amerika Syarikat kerana polisi kerajaan Amerika yang menghargai idea dan menerima pandangan yang kritikal supaya dengan itu boleh wujud dialog dan perdebatan untuk mencari idea siapa yang lebih baik dan lebih realistic. Manakala peluang untuk mereka memperbaiki diri dan menyatakan idea serta pandangan di negara sendiri tidak dihargai, sebaliknya diri mereka dimusuhi, dianggap sebagai pencetus kekacauan dan menghasut orang lain supaya menentang pemerintah yang dilihat korup dan mengamalkan kronisme. Ketakutan ini telah membenamkan potensi seseorang itu untuk menjadi ejen perubahan dan menjadi penyumbang kepada idea-idea untuk pembangunan bangsa, agama dan negara. Kita lihat saja apa yang telah berlaku di Pakistan bilamana bekas presidenn Benazir Bhutto ditembak mati oleh pengikut parti pemerintah yang melampau.
Walau bagaimanapun, bagi kita yang masih tinggal di negara sendiri walaupun ruang untuk menjadi lebih maju itu agak terbatas terpaksalah bersusah payah memajukan diri. Sungguhpun ada pihak menyatakan peluang itu ada tetapi hakikatnya ruang yang wujud sangat sempit kerana ianya dipengaruhi dan dikuasai oleh mereka yang berkuasa dan berpengaruh saja. Hanya mereka yang dekat dengan golongan ini sajalah yang dapat menikmati peluang tersebut. Peluang dan ruang adalah sesuatu yang berbeza, walaupun peluang banyak diberikan tetapi ruangnya agak sempit maka yang lemah tak berkeupayaan akan tewas oleh mereka yang kuat dan mempunyai pengaruh. Namun, bagi kita yang ada potensi tapi tak berpeluang untuk mengisi ruang, dalam menghadapi cabaran dunia global sekarang ini kita mesti juga mempertingkatkan usaha ke arah kebaikan dengan penuh kepayahan. Tak kira dalam apa jua perkara dan bidang sekalipun, sama ada dalam pekerjaan, perbuatan, perkataan, ilmu pengetahuan dan yang paling penting sekali ialah amalan. Supaya dengan itu, kita tidak terus tenggelam dan ditekan. Sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk menonjolkan keupayaan kita yang tidak mendapat tempat yang sewajarnya.
Apa yang lebih penting dan utama sekali adalah niat kita, berubah untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik dari hari semalam. Jika kita keberatan untuk mula melakukan sesuatu yang baik dan cenderung untuk melakukan sama ada kejahatan atau hanya berdiam diri saja, adalah disebabkan oleh nafsu kita sendiri dan dihasut pula oleh iblis yang berbisik ke telinga dan hati kita. Apabila kita berusaha untuk melawan nafsu kita dan menentang bisikan kejahatan maka ia adalah satu jihad untuk kita. Begitu juga bila kita berjuang untuk melakukan amalan kebaikan maka ia juga merupakan jihad. Jangan kita sempitkan erti jihad, kerana Rasulullah pernah bersabda bahawa peperangan melawan musuh Islam hanyalah jihad kecil saja berbanding jihad yang lebih besar iaitu melawan nafsu kita sendiri dan hasutan iblis ke atas kita.
Jangan pula kita terlalu berani sehingga mencapai tahap berani mati, sebaiknya gunakanlah keberanian kita untuk mempertingkatkan usaha. Jika gagal dalam usaha yang dilakukan sekarang maka usahakanlah yang lain yang berpotensi untuk berhasil. Jangan kerana kegagalan lalu kita kecewa dan putus asa, kita berdendam terhadap pihak yang menggagalkannya. Mungkin ada pihak yang menggagalkan usaha kita tetapi jika kita tidak setanding dengan kekuatan dan kemampuan mereka tak perlulah kita melawan mereka. Adalah lebih baik kita terus berusaha dalam bidang yang lain, memperbaiki kesilapan lalu, memperkukuhkan lagi kedudukan dan kemampuan kita pada masa akan datang dan lebih berjaga-jaga terhadap pihak yang pernah menggagalkan usaha kita. Supaya dengan cara demikian kita boleh menjadi lebih kuat dan semakin kuat setanding dengan kekuatan pihak yang membuli kita. Bila kita ada kekuatan maka orang lain akan rasa gentar untuk membuli kita lagi. Usaha ini mesti dilakukan secara berterusan dengan sentiasa melakukan perubahan dan memperbaiki diri.
Ada juga antara kita yang berpandangan bahawa jika tiada wang maka bagaimana hendak berubah kerana zaman sekarang ini semuanya perlukan wang. Namun, untuk berubah hanya memerlukan tenaga dan tulang empat kerat kita saja. Dan kalau mahu berubah dengan lebih pantas lagi gunakanlah akal untuk kita berfikir. Kerana dengan akal fikiran inilah perkara yang susah boleh menjadi mudah, dan yang mustahil menjadi reality. Bagaimana nak dapat wang kalau tenaga tidak digunakan untuk bekerja, tulang empat kerat tidak digunakan untuk melaksanakan kerja dan akal fikiran pula tidak digunakan untuk mencari dan berusaha melakukan atau mempermudahkan cara kerja. Rajin dan sekuat manapun kita bekerja kalau tidak disertai dengan cara berfikir untuk bekerja dengan lebih baik dan lebih mudah, lambat laun kita akan rasa letih dan lelah dan ini boleh melemahkan semangat untuk terus bekerja. Jika kita permudahkan cara kerja dengan berfikir lebih bijak lagi maka kita akan rasa gembira dan senang dengan apa yang kita lakukan. Dan pada masa depan kita tidak lagi perlu bersusah payah untuk mengulangi kerja dan cara kerja yang sama kerana setiap pembaharuan dan perubahan yang dilakukan telah mempermudahkan lagi kerja kita dan boleh dibuat secara automatic. Kita boleh terus menumpukan usaha untuk mempertingkatkan lagi kemudahan yang sedia ada supaya lebih canggih lagi dan lebih efektif.
Inilah yang dapat kita perhatikan pada kemajuan dunia barat terutama Amerika Syarikat hari ini yang kita lihat semakin maju dari aspek fizikal dan kebendaan, manakala bagi negara kita pula sentiasa diselubungi masalah dan ancaman kejatuhan. Ini adalah kerana tiada usahasama dan peranan pengkritik tidak begitu kukuh untuk menghalang penyelewengan dan salahgunakuasa. Perebutan seringkali terjadi sehingga berlakunya penyelewengan yang merugikan syarikat-syarikat besar. Dan bagi menyelamatkan syarikat itu pula, wang dari cukai rakyat pula digunakan bagi memastikan syarikat itu dapat terus bertahan. Perebutan itu berlaku di kalangan mereka manakala yang benar-benar baik dan berpotensi untuk menjadi penyelesai masalah terpinggir sekadar mengkritik rasa kecewa dan tidak puas hati. Pengkritik yang keterlaluan pula akan ditahan dan diugut supaya jangan terus bersuara dan mengkritik.
Khamis, 7 Februari 2008
Perlu Sentiasa Berubah
Labels:
Motivasi dan Tauladan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan