Custom Search

Reviews Directory

Jumaat, 29 Februari 2008

Membangunkan Ekonomi Islam

Bersama Menbangunkan Ekonomi Umat Islam

Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Negeri Perlis)

Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak patut disebutkan. Nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai ‘perkauman’.

Pandangan itu dinyatakan kerana saya ingin menggalakkan masyarakat muslim membantu membeli produk-produk keluaran saudara-saudara muslim. Saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor, antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama sebagai kuasa pengeluar sedangkan kita mempunyai kuasa membeli. Juga pembabitan umat Islam di tanah air dalam bidang perniagaan masih tidak kukuh.

Para peniaga muslim menghadapi cabaran di sudut persaingan. Agak sukar melihat pasar raya besar milik muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Kedai yang dimiliki oleh umat Islam dan produk muslim juga terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli produk umat Islam.

Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasar raya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Keadaan menjadi lebih buruk jika umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Di peringkat antarabangsa, negara-negara umat Islam bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak. Tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni.

Kita masih gagal mewujudkan kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya. Sesungguhnya dunia Arab tidak dapat memerangi Barat – jika keadaan memerlukan demikian – selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain.” (Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, Maza khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah).

Inilah realiti, kita hamba penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, banyak negara umat Islam meminta sedekah. Keadaan ini benar-benar mendesak. Dunia sudah berubah, bukan hanya kekuatan senjata menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara terhadap percaturan dunia. Ekonomi juga menentukan perubahan peta.

Firman Allah dalam surah al-Anfal: 60: (maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh umat. Kekuatan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda, salah satu daripadanya yang dapat dilihat di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu.

Pada zaman sekarang, senjata-senjata canggih menggerunkan musuh dan umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu, kekuatan ekonomi adalah senjata baru dalam membina kekuasaan yang mampu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi adalah tuntutan agama.

Malangnya kita cuai dan alpa. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita... jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadangkala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim yang berkualiti adalah kewajipan. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasar raya milik orang Islam. Di peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan.

Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar al-Quran dan al-Sunah mewujudkan rangkaian ikatan persaudaraan (ukhuwah Islamiah) yang kukuh. Di atas akidah teguh ini menjadikan umat dahulu bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan.

Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam.

Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan lain, termasuk bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb: (Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa dunia Islam... kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi, peperangan, pemikiran dan kebudayaan. (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu’asir)

Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwah (persaudaraan) sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan ukhuwah Islamiah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi. Sedangkan ini adalah sesuatu yang dituntut. Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya kaum al-‘Asy‘ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripada-ku dan aku daripada mereka. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini, Rasulullah memuji sikap tolong-menolong, bantu-membantu serta perasaan mengambil berat antara satu sama lain. Baginda memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy’ariyin yang jamin-menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud: “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah. Tolong-menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan takwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit.

Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadis di atas: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi assabiah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-

Asy’ariyin sebahagian daripada baginda.

Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu-membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi’ wa Qawa’id ‘Ammat).

Kalaulah tolong-menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasulullah tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuhi dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong-menolong, bantu-membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara kebaikan adalah tuntutan persaudaraan Islam. Sabda Nabi s.a.w.: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tolong-menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam akan menjadi kuat.

Namun jika ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah daripada orang lain dan Islam dipandang hina. Dr. Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadis di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat dalam hadis ini bertujuan menggalakkan bantu-membantu dan tolong menolong sesama mukmin.

Pembinaan umat tidak sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agama.

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi, sehingga mampu berdiri dengan sendiri, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita menjadi hambar. Apakah mampu selepas itu kita mencanangkan Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?

Malanglah bagi kita jika tidak habis-habis bising tentang barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi kesedaran.

Bahkan dalam soal ekonomi, kita tidak wajar mementingkan persoalan latar politik dan sempadan negeri. Saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal, sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan kefahaman politik.

Sekiranya kesedaran ukhuwah Islamiah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Saya nyatakan demikian berdasarkan faktor-faktor berikut:

  • Kuasa membeli yang tinggi: Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada secara kelompok mereka memiliki kuasa membeli. Jumlah umat menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa.
  • Isu halal haram: Isu-isu mengenai makanan tidak halal menimbulkan keresahan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam gagal menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.
  • Ketegangan yang wujud: Ketegangan antara blok Barat dan umat Islam boleh membantu mewujudkan umat yang lebih memiliki jati diri dan berdikari. Jika pelancong-pelancong Arab enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.

Jika ukhuwah Islamiah itu benar-benar digilap sehingga ke peringkat penghayatan dalam ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jati diri dalam ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh besar dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa.

Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah tanggungjawab setiap muslim zaman ini.

Tiada ulasan: