Custom Search

Reviews Directory

Khamis, 21 Februari 2008

Publish Or Perish

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beberapa tahun lalu pernah mengeluh kerana hanya segelintir daripada lebih kurang 9’000 tenaga akademik tanahair yang menulis. Saya tidak pasti apakah beliau bermaksud menerbitkan karya dengan agensi pimpinan beliau atau angka itu mengambil kira penerbit-penerbit yang lain juga. Saya juga kurang pasti apakah beliau merujuk kepada penerbitan ilmiah dalam bidang masing-masing atau penerbitan yang meskipun ilmiah yang bersifat umum dan melepasi audien pengkhususan ahli-ahli akademik itu.

Bagaimanapun setahu saya masalah yang disebut Ketua Pengarah DBP itu memang wujud. Sukar untuk menafikan bahawa jumlah yang menulis dan menerbit di kalangan pensyarah-pensyarah universili amat kecil bilangannya. Mungkin kalau diletakkan angka 10% dari keseluruhan angka 9’000 atau di dalam fakulti atau jabatan pun sudah tinggi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kebanyakan tenaga pengajar di universiti hanya mengajar dan memeriksa kertas sahaja. Dan apa yang menyedihkan ialah mereka yang tidak menulis dan menerbit tidak berasa bersalah atau janggal. Setengahnya malah tanpa segan silu mengatakan bahawa “tugas saya mengajar, bukan menulis”! Golongan ini jarang atau tidak pernah menghadiri, jauh sekali menyampaikan kertas dalam seminar di dalam atau luar negara. Dengan demikian hanya pelajar yang mengambil kertas atau kursus mereka sahaja yang mengenali mereka.

Pada hakikatnya menerbit, yakni menulis di peringkat pengajian tinggi, dengan sendirinya mengkehendaki penyelidikan. Ini kerana penulisan akademik bukan penulisan yang cetek dan tidak mempunyai sebarang analisis. Hatta jika para pensyarah itu mahu menulis di dalam media popular sekalipun ia memerlukan kepakaran dan penyelidikan. Jika tidak tulisan mereka akan hambar dan dangkal.

Di peringkat universiti, mengajar sebenarnya memerlukan penyelidikan kerana para mahasiswa mengharapkan sesuatu yang baru dan asli, yang tidak mungkin datang tanpa penyelidikan. Sebab itu adalah salah jika golongan berkenaan mengatakan bahawa tugas mereka hanya mengajar, bukan menyelidik. Apakah mereka beranggapan bahawa cukup untuk mereka menyalin dan mengulang bahan yang sama saban semester dan tahun? Bagaimana pula dengan perkembangan lain yang perlu diambilkira sama, yang kebanyakannya tidak terdapat di dalam buku-buku teks?

Apa yang disebut oleh Ketua Pengarah DBP sebenarnya adalah sesuatu yang lebih jauh lagi kerana saya menduga bahawa beliau menjurus kepada penerbitan-penerbitan yang boleh dijual kepada umum, bukan penerbitan-penerbitan yang hanya boleh difahami oleh mereka yang berkecimpung di dalam bidang berkenaan sahaja.

Bidang ini sebenarnya lebih sulit dan tidak ramai golongan pensyarah, hatta di kalangan yang menyelidik dan menulis sekalipun yang berkecimpung di dalamnya. Kebanyakan ahli akademik hanya menyelidik dan menulis untuk teman-teman sepakaran sahaja. Tidak ramai orang akademik yang boleh bercakap seperti Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, Profesor KS Jomo, Profesor Syed Naquib al-Attas atau Dr Chandra Muzaffar. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan untuk mengaplikasikan bidang dan kepakaran masing-masing ke atas masalah semasa masyarakat.

Tidak perlulah disebutkan betapa kemampuan itu juga turut mengkehendaki keberanian dan ketulenan intelektual. Ini semua datang sekiranya seseorang pensyarah itu benar-benar komited dan memahami peranan dan fungsi mereka. Dan oleh kerana golongan ini sedar bahawa mereka mempunyai nilai yang tinggi mereka tidak takut berhadapan dengan risiko kerana kalau tindakan membuang kerja diambil sekalipun mereka boleh bekerja di tempat lain. Di pihak berwajib pula mereka berfikir banyak kali sebelum mengambil tindakan kerana tindakan yang tidak bijak akan hanya mengundang kontroversi dan menyebabkan pihak berkenaan dipandang sebagai anti intelektual, satu gelaran yang mereka tidak sanggup untuk menerimanya.

Berbalik kepada soal penerbitan tadi sebenarnya insentif yang ada dalam bidang ini mencukupi. Meskipun insentif yang ada di negara ini tidak dapat menandingi apa yang diperolehi oleh teman-teman sejawatan mereka di Barat, rasanya ia tidaklah terlalu rendah. Seorang bekas guru saya yang kini adalah seorang profesor di Universiti Oxford mengakui bahawa beliau dapat “buat duit’ apabila buku beliau diterbitkan oleh penerbit Penguin. Saya agak terkejut kerana buku yang beliau tulis itu ialah buku tenlang undang-undang Kesatuan Eropah (EU). Bagaimanapun apabila ia diterbitkan oleh Penguin ia sudah cukup menggambarkan betapa pendekatan yang diambil oleh professor berkenaan boleh dijual kepada umum.

Masalah kurangnya penerbitan di kalangan tenaga akademik sebenarnya turut menandakan adanya satu kitaran ganas, baik di dalam kampus atau di dalam sistem pentadbiran kita. Dunia penerbitan tidak begitu ”glamour” kerana masyarakat kita tidak gemar membaca. Saya tidak mempunyai statistiknya tetapi yang saya ingat bahawa setakat ini saya belum pernah menemui perangkaan yang menunjukkan bahawa minat membaca di negara ini meningkat.

Dan gejalanya telah mula kelihatan sejak di universiti lagi. Para pelajar hanya membaca nota kuliah dan buku teks sahaja. Mereka tidak gemar membaca buku lain, hatta yang masih mempunyai kaitan dengan bidang pengajian mereka. Pelajar undang-undang misalnya tidak berminat membaca buku-buku akademik yang berkaitan dengan subjek yang mereka ambil.

Hendak dikatakan bahawa para mahasiswa tidak mempunyai wang mereka kelihatannya mampu membeli benda-benda lain seperti telefon bimbit, baju berjenama, motosikal dan seumpamanya. Sekarang ini kebanyakan kampus di Malaysia menghadapi masalah tempat letak kereta, sesuatu yang menunjukkan bahawa pelajar sebenarnya mampu membeli buku dan bahan bacaan lain. Malangnya mereka lebih gemar menyalin sahaja. Kita boleh bayangkan bagaimana ini akan merebak selepas mereka tamat pengajian dan meninggalkan kampus.

Jika beginilah sikap golongan yang berpendidikan tinggi terhadap buku, kita boleh bayangkan kesannya terhadap perkembangan minda dan intelektual khususnya terhadap industri buku dan penerbitan lainnya.

Berbalik kepada para pensyarah tadi, kita boleh mencadangkan supaya pihak berkenaan mengeluarkan dana atau geran yang cukup untuk membantu penerbitan. Bagaimanapun setakat ini tidak banyak kemajuan diperlihatkan. Malah sebenarnya pihak universiti juga mengeluarkan geran untuk penyelidikan dan penerbitan. Mengingat kenyataan ini kita terpaksa mengakui bahawa ia sebenarnya bergantung kepada soal sikap di kalangan para akademik itu sendiri. Dan dalam apa bidang sekalipun komitmen dan pengorbanan amat perlu.

Dari sudut yang lain barangkali fenomena yang dibangkitkan oleh Ketua Pengarabh DBP itu secara tidak langsung turut menonjolkan imej hodoh dasar membantu para pelajar bumiputera untuk menjadi ahli akademik. Sebaik sahaja mereka memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) mereka berasa sudah berjaya dan mengira-ngira kenaikan pangkat melalui jalan-jalan yang lain, seperti menjadi dekan, timbalan dekan atau ketua jabatan. Dan oleh kerana di negara ini kedudukan berkenaan lebih merupakan lantikan yang dibuat berdasarkan kriteria bukan akademik maka ia menjadi sarang buat golongan yang sudab lupa diri itu.

Sering disebutkan bahawa dalam dunia akademik kata-kata seperti “publish or perish” adalah amaran buat semua pensyarah. Bagaimanapun oleh kerana sistem yang ada membolehkan golongan yang malas tadi hidup setengahnya malah berupaya mendapat kenaikan pangkat akademik, kata-kata itu hanya benar bagi golongan paria yakni golongan yang tidak disukai oleb pihak ”eshtablishment” baik di dalam mahupun di luar kampus.

Sementara itu para pensyarah yang terlibat dengan program motivasi agak ramai kerana ia mendatangkan pulangan kewangan yang lebih segera. Dan masyarakat nampaknya meminati program-program seumpama itu. Program-program sedemikian juga banyak disiarkan dalam televisyen. Berbanding dengan pembacaan, program-program sedemikian nampaknya menunjukkan sambutan yang lebih di kalangan masyarakat.

Untuk memperbetulkan keadaan yang disebut oleh Ketua Pengarah DBP tadi satu perubahan yang mendasar perlu dibuat di universiti-universiti kita. Anugerah-anugerah yang mempunyai potensi mengurangkan minat dan kesungguhan untuk menyelidik dan menulis harus tidak diwujudkan. Selain itu dasar-dasar dan program-program perlu mencerminkan kesungguhan ke arah kecemerlangan akademik yang sebenarnya tiada lain merupakan penyelidikan dan penerbitan. Jawatan-jawatan pentadbiran perlu digilirkan supaya tidak ada siapa yang berasa bahawa mereka dikecualikan daripada pninsip “publish or perish” itu.

Tiada ulasan: